×
×
Bahasa Melayu English (UK) Chinese

 

Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan

UR6540001 - Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan dengan Kepujian

Objektif utama program ini adalah untuk melatih pelajar dalam bidang kejuruteraan pembuatan melalui penjanaan dan penyebaran teknik-teknik berinovasi dalam pengajaran dan penyelidikan. Perjalanan kursus telah dirangka ke arah melahirkan jurutera yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari. Pelajar-pelajar dibekalkan dengan kebolehan merekabentuk, membangun dan melaksanakan sistem bersepadu yang menggabungkan unsur-unsur kemanusiaan, bahan, peralatan, maklumat dan tenaga.

Struktur program ini adalah berlandaskan silibus kejuruteraan mekanikal yang merangkumi teras seperti Mekanik, Termo-bendalir, Bahan, Pembuatan, Kawalan, Mekatronik, Pembuatan Termaju, dan Sistem Pembuatan di samping kursus-kursus universiti yang menerapkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, pengurusan, dan keusahawan. Dengan itu, kemahiran yang diterapkan akan membantu melahirkan jurutera yang berkebolehan menangani sebarang masalah dalam pelbagai industri.

Graduan program ini juga dilatih supaya bersikap profesional dalam menjalankan tugas dengan mempraktikkan proses pembelajaran berterusan sama ada secara formal atau tidak formal. Graduan ini berpeluang untuk bertugas sebagai jurutera pembuatan dalam pelbagai industri, sebagai contoh, automotif, elektronik, farmasiutikal, tekstil serta industri pemprosesan makanan.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Jurutera Projek
  • Jurutera Proses
  • Jurutera Produk
  • Jurutera R&D
  • Jurutera Pengujian
  • Jurutera Pembuatan
  • Jurutera Kawalan Kualiti
  • Jurutera Penyelenggaraan
  • Jurutera Fasiliti
  • Jurutera Mekanikal
  • Jurutera Industri