×
×
Bahasa Melayu English (UK) Chinese

Pro Canselor UniMAP

Pro Canselor UniMAP


DULI YANG TERAMAT MULIA
TUANKU DR. HAJAH LAILATUL SHAHREEN AKASHAH KHALIL

S.P.M.P.
Honoris Causa in Health Sciences
Universidad Nacional Pedro Henriquez Urenã. DR.

RAJA PUAN MUDA PERLIS / PRO CANSELOR UniMAP

 

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menerima seorang warga baru yang amat istimewa apabila Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah dilantik sebagai Pro Canselor UniMAP yang pertama. Pelantikan ini dibuat atas cadangan Senat Universiti dan telah diperakukan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

DYTM Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan untuk melantik DYTM Raja Puan Muda Perlis sebagai Pro Canselor UniMAP selama dua tahun sembilan bulan berkuatkuasa mulai 13 Mac 2009 hingga 12 Disember 2011. Pro Canselor adalah berperanan mewakili Canselor mempengerusikan Istiadat Konvokesyen atau menghadiri mana-mana majlis rasmi atas jemputan universiti. Pro-Canselor akan memegang jawatan selama tempoh yang diperkenan oleh Canselor. Majlis penyerahan watikah pelantikan Pro-Canselor telah disempurnakan oleh DYTM Tuanku Canselor kepada DYTM Raja Puan Muda Perlis dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Istana Arau pada 28 Jun 2009.

Bagi mengenali Baginda dengan lebih dekat, berikut merupakan biografi DYTM Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro-Canselor UniMAP. Baginda diputerikan di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 28 Mac 1970 dan merupakan puteri kedua daripada empat orang anak perempuan usahawan Dato' Haji Khalil Akasah dan Datin Hajah Nik Rahimah Wan Ahmad. DYTM Raja Puan Muda merupakan mantan pelajar Sekolah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur mulai tahun 1977 hingga 1984. Baginda seterusnya meneruskan pelajaran di Melbourne, Australia, selama lapan tahun. Ketika di Australia, Baginda mulanya menuntut di Merton Hall - Melbourne Girls Grammar School, dan kemudiannya di La Trobe University yang menganugerahi Baginda Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Kemanusiaan pada tahun 1992.

Semasa menuntut di Australia bermulanya perkenalan antara Tuanku Raja Puan Muda dengan Tuanku Syed Faizuddin Putra. Sifat peramah dan pandai berkawan menjadikan Baginda amat disenangi oleh ramai rakan dan taulan. Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah mempunyai pelbagai minat dan bakat. Selain membaca, melukis dan berseni. Baginda meminati sukan luncur ais, jet ski dan berenang. Baginda pernah juga mengikuti kursus asas bahasa termasuk bahasa Mandarin, Perancis, Sepanyol dan Jerman. Sehingga tahun 1995, Tuanku Raja Puan Muda memegang jawatan sebagai Pengurus Pentadbiran ASIE Sdn Bhd tetapi mengambil keputusan meletakkan jawatan apabila mula mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra berangkat menjalankan tugas Baginda di luar negara hampir tiga tahun di Madrid, Sepanyol dan empat tahun di Zurich, Switzerland.

Pada 1 Ogos 2002, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah dikurniai gelaran rasmi "Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis" apabila Tuanku Syed Faizuddin Putra diistiharkan sebagaiRaja Muda Perlis. Tuanku Hajah Lailatul Shahreen dikurniai anugerah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran 'Dato Seri' pada 17 Mei 2002.

Baginda merupakan Penaung bagi Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia Cawangan Perlis, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Wanita (DEWANITA) Cawangan Perlis, Smart Reader Worldwide di samping menjadi Pengerusi Persatuan Alumni La Trobe University Malaysia (PALTUM). Baginda dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang bertemakan "Women in Search of Excellence" di peringkat kebangsaan. Selain daripada itu, Baginda merupakan Presiden Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Allianze College of MedicalSciences berkuatkuasa mulai 15 Mac 2009. Terkini Baginda ditauliahi sebagai Mejar Kehormat dalam Rejimen Askar Wataniah.

Pengalaman yang banyak yang ditimba Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah ketika berada di luar negara tidak disia-siakan begitu sahaja. Berbekalkan pengalaman yang luas itulah  Baginda kerap mencurahkan ilham, mencadangkan pelbagai idea dan berbincang dengan Tuanku Raja Muda tentang cara-cara menambahkan keceriaan Negeri Perlis yang Permai lagi Mempesona.

Hajah Lailatul Shahreen Akashah dikurniai tiga orang putera-puteri yang pertama Y.A.M Sharifah Khatreena Nuraniah (10 Februari 1995), Kedua Y.A.M Sharifah Farah Adriana (4 Mac 2001) dan yang bongsu Y.A.M Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail ( 12 April 2009).


Maklumat lanjut, sila hubungi:

Pusat Komunikasi Korporat
Nur Azizah Hasnin
Pegawai Perhubungan Awam
Email : azizahhasnin@unimap.edu.my
Tel : 04-9414107

Tarikh Kemaskini: Januari 2024