Pro Canselor


 

DULI YANG TERAMAT MULIA
TUANKU DR. HAJAH LAILATUL SHAHREEN AKASHAH KHALIL

 

S.P.M.P., PhD. (Universiti Malaya)
Honoris Causa in Health Sciences
Universidad Nacional Pedro Henriquez Urenã. DR.

 

RAJA PUAN MUDA PERLIS / PRO CANSELOR UniMAP

 

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatat satu lagi lembaran penting dalam sejarahnya apabila Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dimasyhurkan sebagai Pro Canselor pertama universiti tersebut. Pelantikan ini dibuat berdasarkan cadangan Senat UniMAP dan telah diperakukan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, selaras dengan hasrat memperkukuh tadbir urus dan imej universiti.

 

DYTM Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan untuk melantik DYTM Raja Puan Muda Perlis sebagai Pro Canselor UniMAP selama dua tahun sembilan bulan berkuatkuasa mulai 13 Mac 2009 hingga 12 Disember 2011. Pro Canselor adalah berperanan mewakili Canselor mempengerusikan Istiadat Konvokesyen atau menghadiri mana-mana majlis rasmi atas jemputan universiti. Pro-Canselor akan memegang jawatan selama tempoh yang diperkenan oleh Canselor. Majlis penyerahan watikah pelantikan Pro-Canselor telah disempurnakan oleh DYTM Tuanku Canselor kepada DYTM Raja Puan Muda Perlis dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Istana Arau pada 28 Jun 2009.

 

Bagi mengenali Baginda dengan lebih dekat, berikut merupakan biografi DYTM Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro-Canselor UniMAP. Baginda diputerikan di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 28 Mac 1970 dan merupakan puteri kedua daripada empat orang anak perempuan usahawan Dato' Haji Khalil Akasah dan Datin Hajah Nik Rahimah Wan Ahmad.

 

Baginda menerima pendidikan di Sekolah Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur dari tahun 1977 hingga 1984 seterusnya baginda melanjutkan pelajaran di Melbourne Girls Grammar School, Merton Hall, Australia. DYTM Tuanku juga telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Ilmu Kemanusiaan daripada La Trobe University, Melbourne, Australia pada tahun 1992 dan Sarjana Pentadbiran Awam (MPA) di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang pada tahun 2014. Baginda juga dianugerahkan Honoris Causa in Health Sciences (Universidad Nacional Pedro Henriquez Ureña, Republik Dominika).

Pada 25 Mei 2023, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil secara rasmi merupakan pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Islam dari Universiti Malaya (UM). Baginda menjalankan penyelidikan ilmiah yang bertajuk “The Importance of Islamic Regal Leadership In Zakat Delivery To The Asnaf In Perlis”.

 

Semasa menuntut di Australia bermulanya perkenalan antara Tuanku Raja Puan Muda dengan Tuanku Syed Faizuddin Putra. Sifat peramah dan pandai berkawan menjadikan Baginda amat disenangi oleh ramai rakan dan taulan. Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah mempunyai pelbagai minat dan bakat. Selain membaca, melukis dan berseni. Baginda meminati sukan luncur ais, jet ski dan berenang. Baginda pernah juga mengikuti kursus asas bahasa termasuk bahasa Mandarin, Perancis, Sepanyol dan Jerman. Sehingga tahun 1995, Tuanku Raja Puan Muda memegang jawatan sebagai Pengurus Pentadbiran ASIE Sdn Bhd tetapi mengambil keputusan meletakkan jawatan apabila mula mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra berangkat menjalankan tugas Baginda di luar negara hampir tiga tahun di Madrid, Sepanyol dan empat tahun di Zurich, Switzerland.

 

Pada 1 Ogos 2002, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah dikurniai gelaran rasmi "Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis" apabila Tuanku Syed Faizuddin Putra diisytiharkan sebagai Raja Muda Perlis. Tuanku Hajah Lailatul Shahreen dikurniai anugerah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran 'Dato Seri' pada 17 Mei 2002.

 

Baginda merupakan Penaung bagi Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia Cawangan Perlis, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Wanita (DEWANITA) Cawangan Perlis, Smart Reader Worldwide di samping menjadi Pengerusi Persatuan Alumni La Trobe University Malaysia (PALTUM). Baginda dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang bertemakan "Women in Search of Excellence" di peringkat kebangsaan. Selain daripada itu, Baginda merupakan Presiden Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Allianze College of Medical Sciences berkuatkuasa mulai 15 Mac 2009. Terkini Baginda ditauliahi sebagai Mejar Kehormat dalam Rejimen Askar Wataniah.

 

Pengalaman yang banyak yang ditimba Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah ketika berada di luar negara tidak disia-siakan begitu sahaja. Berbekalkan pengalaman yang luas itulah  Baginda kerap mencurahkan ilham, mencadangkan pelbagai idea dan berbincang dengan Tuanku Raja Muda tentang cara-cara menambahkan keceriaan Negeri Perlis yang Permai lagi Mempesona.

Hajah Lailatul Shahreen Akashah dikurniai tiga orang putera-puteri yang pertama YAM Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah (10 Februari 1995), Kedua YAM Sharifah Farah Adriana (4 Mac 2001) dan yang bongsu YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail ( 12 April 2009).

 



YANG AMAT MULIA HAJAH SHARIFAH KHATREENA NURANIAH BINTI TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL

Pro-Canselor Universiti Malaysia Perlis

Yang Amat Mulia Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah binti Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diputerakan pada 10 Februari 1995 bersamaan 9 Ramadan 1415 Hijrah, di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

Yang Amat Mulia merupakan anakanda puteri sulung Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Canselor UniMAP dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pro Canselor UniMAP.

Seawal usia, Yang Amat Mulia telah diasuh dalam suasana kekeluargaan yang berteraskan kasih sayang, ilmu pengetahuan serta nilai kemuliaan budi. Didikan yang teratur dan penuh kebijaksanaan daripada ayahanda serta bonda telah membentuk peribadi yang tinggi pekerti, berhemah dan luas pandangan.

Tatkala ayahandanya berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan bagi syarikat Malaysia Airlines di rantau Switzerland, Austria dan Eropah Tengah,  Yang  Amat  Mulia beroleh peluang menimba ilmu di Inter-Community School of Zurich, Zumikon, Switzerland.

Pengalaman menimba ilmu dan kehidupan di perantauan serta peluang melawat banyak negara luar menjadikannya seorang yang berpandangan jauh, berjiwa global tetapi tetap berpegang teguh kepada adat dan nilai ketimuran.
 
Menginjak usia remaja, Yang Amat Mulia memulakan persekolahan rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Indera, Kangar dan kemudian ke Uplands International School di Pulau Pinang sebelum menyambung pengajian ke peringkat asasi di Trinity College Melbourne. Setelah itu, Yang Amat Mulia meneruskan pendidikannya dengan melanjutkan pengajian tinggi di University of Melbourne, Australia dan telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan pengkhususan dalam bidang Politik Antarabangsa dan Antropologi.

‘Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’, semasa di perantauan, bakat kepimpinannya terserlah apabila Yang Amat Mulia yang aktif dalam kegiatan kepimpinan dan kebudayaan dilantik sebagai Ketua Hal Ehwal Kebudayaan Kelab UMNO Australia Melbourne (KUAM). Di samping itu, Yang Amat Mulia merupakan penggerak utama program MUZIKA MELBOURNE, sebuah wadah seni dan budaya yang mengangkat martabat anak watan di pentas antarabangsa.

Usai menamatkan pengajian, Yang Amat Mulia menzahirkan minat mendalam terhadap dunia fesyen dan bidang keusahawanan. Hasil minat mendalam, Yang Amat Mulia telah menubuhkan jenama fesyen KHATREENA, yang menampilkan rekaan busana wanita bertemakan keanggunan dalam kesederhanaan serta keindahan dalam nilai-nilai Islamik dan budaya Melayu.

Rekaan busana KHATREENA sering mendapat perhatian dan menghiasi pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) saban tahun dan seterusnya membuka ruang kolaborasi istimewa bersama Moccona Coffee pada tahun 2022, yang mempertemukan kehalusan seni rekaan dengan falsafah kehidupan moden yang harmoni dan seimbang sekaligus mengangkat simbolisme antara cita rasa dan personaliti wanita moden.

Selain cemerlang dalam bidang keusahawanan dan rekaan, Yang Amat Mulia turut menzahirkan keprihatinan dan komitmen mendalam terhadap pembangunan sosial dan kebajikan masyarakat khususnya golongan asnaf dan masyarakat berkeperluan.
 
Dalam setiap usaha yang dilaksanakannya, Puteri Berjiwa Rakyat ini sentiasa mengambil aspirasi KHATREENA yang menggabungkan elemen keindahan fesyen, nilai kemanusiaan dan pembangunan minda dalam satu visi yang harmoni.

Maka, Yang Amat Mulia yang berpegang pada falsafah bahawa setiap benih ilmu yang ditanam mampu menumbuhkan perubahan yang bermakna telah mewujudkan satu program diberi nama Seeds of Knowledge di bawah jenama KHATREENA.

Melalui Seeds of Knowledge, KHATREENA yang berfokus kepada pembangunan komuniti, ia ingin menggalakkan setiap individu untuk menjadi ejen kebaikan melalui penyebaran ilmu, memupuk empati dan memperkukuh hubungan dalam komuniti.

Seiring slogannya iaitu “Menanam ilmu, menyubur jiwa, dan menuai kebaikan”, tidak hairanlah pelbagai aktiviti seperti sesi bual bicara, bengkel interaktif, pameran, serta kolaborasi dengan tokoh inspirasi dan organisasi dari pelbagai bidang dianjurkan dengan matlamat untuk membentuk dan meningkatkan nilai, budaya, keusahawanan, kemanusiaan, dan gaya hidup yang berteraskan keseimbangan hati dan juga akal.

Bagi Yang Amat Mulia, Seeds of Knowledge, KHATREENA ialah sebuah perjalanan yang menyatukan hati, akal dan tindakan dalam usaha membina dunia yang lebih berilmu dan berperikemanusiaan.
Selain itu, Yang Amat Mulia turut berperanan sebagai Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Pengukuhan Zakat Inisiatif Majlis Agama Islam  dan  Adat  Istiadat  Melayu  Perlis  (MAIPs)  serta  sebelum  itu menganggotai Lembaga Pengarah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).
 
Melalui wadah itu, Yang Amat Mulia terus aktif merancang dan mendukung usaha bagi memperkasakan golongan asnaf di negeri Perlis melalui pendidikan, latihan kemahiran dan keusahawanan agar mereka ini dapat berdiri teguh, berdaya saing dan berdikari membina kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah.
Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh Yang Amat Mulia adalah melalui Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis yang dititah saran oleh Ayahanda Yang Amat Mulia selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs serta mendapat perkenan Paduka Nenda DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail melalui Kapsul Masa MAIPs 2025 ketika Istiadat Sambutan 1 Kurun MAIPs pada 17 Julai 2020 di Istana Arau.
Yang Amat Mulia memulakan langkah dengan melaksanakan kerjasama dengan beberapa pihak korporat bagi menggerakkan program yang memberi fokus kepada pembentukan model pembangunan bersepadu yang memberi impak kepada penempatan golongan asnaf.
Projek ini telah berjaya dan menjadi sebahagian daripada mercu tanda MAIPs dalam meningkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat khususnya dalam bidang pelancongan.
Sehingga kini, Kampung Seberang Ramai Kuala Perlis yang lebih dikenali sebagai Kampung Warna Warni telah menerima purata kunjungan bulanan seramai 5000 orang.
Atas khidmat bakti, iltizam yang tinggi serta minat mendalam dalam memperkasakan pembangunan manusia sejagat, terkini, Yang Amat Mulia telah dilantik sebagai Penaung DiRaja, Yayasan Pembangunan
 
Kemanusiaan (Humanitarian Development Foundation - HDF) berkuatkuasa 15 Oktober 2025 lalu.

Di bawah naungan Yang Amat Mulia, Yayasan Pembangunan Kemanusiaan akan memberi fokus kepada Enam (6) Teras Utama iaitu Pendidikan, Ekonomi, Kesihatan, Kebajikan, Kepimpinan dan Negara Bangsa yang diyakini akan meningkatkan pembangunan sosial masyarakat dan seterusnya menyelesaikan isu hak asasi manusia.

Keperibadian Yang Amat Mulia Sharifah Khatreena Nuraniah mencerminkan citra wanita muda yang berilmu, berwawasan, kreatif, dan berjiwa rakyat serta berkeinginan menjadikan ilmu dan inovasi sebagai jambatan untuk memajukan masyarakat.

Oleh itu, dengan limpahan kebijaksanaan, kecemerlangan akademik, kelembutan budi, serta iltizam memperjuangkan kesejahteraan masyarakat, pelantikan Yang Amat Mulia Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah binti Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Perlis sesungguhnya amat bertepatan dengan aspirasi universiti untuk melahirkan siswazah yang bukan sahaja tinggi ilmu, tetapi juga berakhlak mulia, berjiwa ihsan dan berbakti demi agama, bangsa dan negara.