Gerbang Info Pengguna

  • SUTERA 2019
  • silk2019
  • Urock 2019
  • UniMAP-AMCT2019
  • QS World Ranking
  • Selamat Datang Kepada Semua Pelajar Baru Diploma UniMAP!
  • Pembelian Buku-Buku UniMAP di Market Place
  • 2019 Kempen Bebas Rokok
  • Salam Aidilfitri 2019
  • QS World Ranking
Previous Next

Berita Terkini

Khidmat Masyarakat Ramadan UniMAP Santuni Warga HTF

Khidmat Masyarakat Ramadan UniMAP Santuni Warga HTF

KANGAR – Muram dengan riak sedih yang terpamer di wajah sebahagian penghuni wad pembedahan di…

Baca..

Pensyarah UniMAP Dilantik Penyelidik Kunjungan Di Universiti Sweden

Pensyarah UniMAP Dilantik Penyelidik Kunjungan Di Universiti Sweden

ARAU – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Wooi Chin…

Baca..

Khidmat Masyarakat : UniMAP – PSU Santuni Masyarakat Songkla – Hatyai

Khidmat Masyarakat : UniMAP – PSU Santuni Masyarakat Songkla – Hatyai

ARAU – Atas rasa keprihatinan yang tinggi untuk membantu masyarakat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui…

Baca..

Program Diploma Kejuruteraan UniMAP Mendapat Pensijilan Penuh MQA

Program Diploma Kejuruteraan UniMAP Mendapat Pensijilan Penuh MQA

ARAU – Semua enam program pengajian diploma kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah lulus dan…

Baca..

UniMAP Pilihan Utama

UniMAP Pilihan Utama

ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) nyata menjadi pilihan utama apabila dipilih sebagai lokasi Seminar…

Baca..

UniMAP Prihatin Anak-Anak Staf Meninggal Sempena Festival Nasyid 2019

UniMAP Prihatin Anak-Anak Staf Meninggal Sempena Festival Nasyid 2019

Pauh Putra, 28 Mei- Dalam kegembiraan umat Islam membuat persiapan menyambut lebaran yang akan tiba…

Baca..

UniMAP Beri Kebebasan Bersuara Kepada Pelajar

UniMAP Beri Kebebasan Bersuara Kepada Pelajar

PAUH PUTRA, 26 Mei- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberikan kebebasan kepada semua pelajar dalam memberikan…

Baca..

Produk Eco Geopipe Raih Emas di EUROINVENT di Romania

Produk Eco Geopipe Raih Emas di EUROINVENT di Romania

Kangar, 19 Mei - Penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis…

Baca..

Prof. Dr. R. Badlishah Dilantik Naib Canselor UniMAP

Prof. Dr. R. Badlishah Dilantik Naib Canselor UniMAP

Kangar - Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Ir. Ts. Dr.…

Baca..


PAUH PUTRA 24 Feb - Kontinjen Kor SUKSIS Universiti Malaysia Perlis (UniMAP ) dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Sukan Kor SUKSIS Zon Utara (SUTRA 2019) yang berlangsung mulai 22 hingga 23 Februari (semalam).

UniMAP yang juga tuan rumah bagi SUTRA kali ini berjaya memperolehi tiga pingat emas, dua perak dan empat gangsa menerusi 11 acara yang disertai.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP selaku Komandan Kor SUKSIS UniMAP, ACP (KS) Prof  Dr Mohd Foad Sakdan berkata UniMAP berjaya meraih tiga pingat emas berkenaan menerusi acara futsal lelaki dan wanita serta bola baling wanita.

"Kita berjaya mengatasi pesaing terdekat iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) yang meraih tiga pingat emas, satu perak dan enam gangsa.


"Bagi pingat perak UniMAP pula diperolehi menerusi acara bola tampar lelaki dan Iron Men," kata beliau selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah SUTRA 2019 di Kompleks Sukan Syed Sirajudin Areeb Putra, di sini.

Sementara itu, Ajutan Kor SUKSIS UniMAP,  Deputi Superitendan (KS) Mustaffa Ismail    berkata Kor SUKSIS UniMAP selaku penganjur dan tuan rumah kali ini membuat persiapan rapi bagi menerima delegasi kontinjen dari Universiti Awam zon utara.

Katanya, mereka membuat persiapan sejak lima bulan lalu bagi memastikan kelancaran SUTRA 2019.

"Lebih manis UniMAP juga berjaya mencapai kejayaan walaupun menerima saingan sengit daripada UA lain yang tidak kurang hebatnya," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

SUTRA 2019 yang dirasmikan oleh Naib Canselor UniMAP, Dato' Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal itu turut disertai hampir 700 atlet dan pegawai Kor SUKSIS dari UniMAP, USM,Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, UiTM Kedah, UiTM Perak dan UiTM Pulau Pinang.

Sempena SUTRA 2019 itu juga para pegawai dan jurulatih turut berpeluang bertanding dalam pertandingan Woodball yang semakin popular pada masa kini.

Kor SUKSIS UniMAP Juara SUTRA 2019

Kor SUKSIS UniMAP Juara SUTRA 2019

Kor SUKSIS UniMAP Juara SUTRA 2019

Kangar, 20 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani surat hasrat (Letter of Intent-LOI) dengan Macro Dimension Concrete (MDC) Sdn Bhd bagi memenuhi keperluan industri dalam penyediaan konkrit, semalam.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata UniMAP menerusi Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) dan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan menjalinkan kerjasama dengan MDC bagi membangunkan penyelidikan saintifik dalam bidang berkenaan.

Ujarnya, perbincangan berkenaan telah dimulakan sejak beberapa bulan lalu bersama pusat kecemerlangan itu sebelum LOI ditandatangani semalam.

“Selain itu, antara objektif LOI ini adalah bagi memantapkan kewangan luaran, institusi atau jabatan untuk menjalankan aktiviti penyelidikan antara kedua-dua pihak di samping mobiliti kakitangan dan pelajar UniMAP,”  kata beliau ketika majlis menandatangani LOI itu.

Majlis menandatangani LOI berkenaan berlangsung di Pejabat Naib Canselor dengan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin, Timbalan Naib Canselor  Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan, Pengarah Pusat Kerjasama Industri & Kerajaan Tempatan (CIGC) UniMAP Dr Shafriza Nisha Basah, Pengurus CEGeoGTech Prof Madya Dr Mohd Mustafa Albakri Abdullah, dan Dekan PPK Bahan Dr Mohd Firdaus Omar.

Pada majlis itu, UniMAP diwakili Dr Zul Azhar manakala MDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mr Leow Khang Heng.

Tambah Dr Zul Azhar, MDC juga bersetuju untuk memperuntukkan biasiswa kepada pelajar UniMAP di samping penempatan latihan industri serta memperkasa akademi MDC.

“Lebih menarik Akademi MDC turut menawarkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bertepatan dengan teras UniMAP dalam bidang kejuruteraan,” kata beliau.

MDC telah diperbadankan pada 10 Mac 1997 di Jitra, Kedah Darul Aman bermula dengan membekalkan konkrit siap pakai bagi projek pembinaan kerajaan dan swasta. Kini MDC melakar nama sebagai pengeluar dan pembekal konkrit siap pakai yang boleh dipercayai dalam sektor pembinaan serta meluaskan liputannya ke Lembah Klang dan kawasan timur (Kuantan).

LoI UniMAP - MDC

LoI UniMAP - MDC

LoI UniMAP - MDC

LoI UniMAP - MDC

Kangar, 12 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menawarkan lapan program akademik di TIBA University , sebuah universiti baharu di bawah naungan Thebes Integrated Institute, Egypt.

Penawaran berkenaan diputuskan hasil daripada perbincangan delegasi UniMAP diketuai Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dengan Presiden universiti berkenaan, Prof Seddik Afifi sempena lawatan akademik UniMAP ke TIBA University bermula 10 hingga 14 Februari ini.

Dr Zul Azhar berkata sempena lawatan itu juga satu perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak turut ditandatangani di samping melawat tapak kampus TIBA University.

Katanya, program kerjasama ini adalah sangat penting dan memberi impak yang tinggi kepada UniMAP, sejajar dengan saranan Menteri Pendidikan dalam mengantarabangsakan program-program universiti di Malaysia.

“Kerjasama ini adalah bertepatan sekali dan dapat mengembangkan nama UniMAP di persada antarabangsa. Pihak UniMAP akan memberi sepenuh komitmen untuk memastikan usaha ini menempa kejayaan besar di kedua-dua belah pihak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin, Timbalan Presiden TIBA University Prof Ahmed Siddik, Dekan Pengurusan Akademik UniMAP, Prof Madya Ir Dr Anuar Mat Safar, dan Dekan Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) UniMAP Dr Tunku Salha Tunku Ahmad.

Ujar Dr Zul Azhar, hubungan kerjasama UniMAP dan Thebes Integrated Institute, Egypt yang mempelopori bidang pendidikan tinggi swasta di Egypt telah bermula sejak tahun 2015 malah pada 2017, salah sebuah universiti milik Thebes Intergrated Institute iaitu Nahda University di Beni Suef, Egypt telah menghantar 12 orang pelajar ke UniMAP bagi mengikuti program mobiliti selama dua minggu. 

“Seterusnya, pada Disember 2017, lima orang pensyarah kanan UniMAP telah dilantik oleh Nahda Universiti sebagai pensyarah pelawat dan berjaya melaksanakan tugas pengajaran di universiti itu selama tiga minggu.

Susulan itu, kesinambungan kerjasama antara UniMAP dan Thebes Intergrated Institute diteruskan dengan beberapa siri perbincangan untuk melaksanakan kerjasama akademik melalui penawaran program akademik UniMAP di TIBA University pula,” katanya.

Sementara itu, Prof Seddik berkata pihaknya berbesar hati dengan kerjasama yang terjalin di antara UniMAP dan menyatakan rasa kagum dengan sistem pendidikan tinggi di Malaysia sekaligus berharap kemajuan dan penambahbaikan dalam pendidikan di Mesir menerusi kerjasama itu.

“Kerjasama ini dapat memberi banyak peluang kepada rakyat Malaysia dan Mesir sendiri dalam pelbagai aspek khususnya aspek pendidikan tinggi dan kami ingin belajar daripada pengalaman Malaysia.

“Kami turut menaruh harapan yang tinggi agar dapat mencapai kejayaan yang lebih besar di masa akan datang tambahan, dapat mengukuhkan hubungan yang terjalin menerusi perjanjian yang ditandatangani, hari ini,” katanya.

Dalam persetujuan tersebut, pihak TIBA University bakal menyediakan kemudahan infrastruktur, fasiliti dan tenaga pengajar manakala pihak UniMAP menyediakan semua perkara berkaitan dengan akademik, kurikulum, jaminan kualiti dan sijil pengijazahan.

Lapan program yang bakal ditawarkan ialah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik, Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer, Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan Kejuruteraan), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Kejuruteraan), Sarjana Sains (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (Penyelidikan)

Dalam persetujuan tersebut, pihak TIBA University menyediakan kemudahan infrastruktur, fasiliti dan tenaga pengajar manakala pihak UniMAP menyediakan semua perkara berkaitan dengan akademik, kurikulum, jaminan kualiti dan sijil pengijazahan.

lapan program akademik di TIBA University

lapan program akademik di TIBA University

KUALA LUMPUR, 8 Februari – Pasukan silat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) beraksi cemerlang apabila menjadi johan keseluruhan  kategori terbuka di Kejohanan Silat Terbuka Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dan Jemputan Antarabangsa Taming Sari IV, baru-baru ini

Mereka turut membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa di kejohanan yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abd Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai 26 hingga 29 Januari.

Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Tuan Suhizaz Sudin berkata UniMAP menghantar lima atlet silat dan menyaksikan Muhammad Ziyad Irham Mohd Rafi meraih pingat emas bagi kategori G Putra manakala Mohammad Syamrin Shah Ramli meraih emas bagi kategori I Putra.

 “Nazirul Mubin Abd Aziz pula meraih pingat perak bagi kategori J Putra manakala Nurshafawati Muhammad Rashidi membawa pulang pingat perak bagi kategori E Puteri serta Norsyamimi Mohd Noor membawa pulang pingat gangsa kategori bebas Puteri,” kata beliau.

Sementara itu, Muhammad Ziyad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik ketika dihubungi berkata kerana minat yang mendalam mereka mengambil inisiatif pergi ke pertandingan itu sendiri walaupun sedang bercuti semester ketika itu.

“Rata-rata kami berada di kampung menyebabkan kami berusaha untuk menyertai juga pertandingan ini dan ternyata ia berbaloi dengan kejayaan yang berjaya dicapai.

Penyertaan ini juga sebagai persediaan ke pertandingan silat peringkat kebangsaan akhir di Pahang pada Mac ini bagi melayakkan kami menyertai pasukan elit Malaysia. InsyaAllah kami bukan sahaja membawa nama UniMAP tetapi juga membawa nama negeri Perlis ke pertandingan itu,” katanya.

Kejohanan selama empat hari itu turut disertai 35 pasukan dari IPT seluruh negara termasuk pasukan jemputan dari Yala Sport School Thailand.

UniMAP Johan Silat IPT

UniMAP Johan Silat IPT

Kangar, 8 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus melakar kejayaan dalam penyelidikan peringkat antarabangsa apabila meraih 100 peratus pingat di Bangkok International Intellectual Property Invention, Innovatioan and Technology Exposition (IPITEX 2019).

Pencapaian itu adalah melalui pecahan enam  pingat emas, enam perak dan tiga gangsa yang dicapai oleh 15 penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) yang menyertai pameran yang berlangsung di Bangkok International Trade & Exhibition Centre, Thailand.

Ketua Delegasi UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah yang juga pensyarah serta Exco Persatuan Penyelidikan Inovasi Malaysia (MyRIS) berkata lebih membanggakan UniMAP turut meraih anugerah khas daripada beberapa buah negara antaranya Anugerah Khas Poland dan Anugerah Khas University of Sibiu Romania.

Katanya, antara penyelidikan yang menerima pingat emas ialah UHT Boiler : Design And Development Of Automated Machine For Dadih And Milk, Geo-Sleepers, Geopolymer Ceramics for Electrical Applications, Phase Stabilized Lead-Free Solder For Aerospace Electronic Interconnect Application, A Novel Geopolymer Reinforced Lead Free Solder For High Power Module Applications, dan New Innovative Palm Trunk Plywood.

“Kita perlu bersaing dengan lebih 1000 inovasi penyelidikan yang dipertandingkan membabitkan 25 buah negara justeru kejayaan ini sekaligus menyuntik semangat kita untuk mencapai lebih banyak kejayaan sepanjang tahun ini walaupun perlu bersaing dengan negara-negara lain yang lebih hebat,” kata beliau ketika dihubungi.

Selain daripada CEGeoGTech UniMAP, sebanyak 27 sekolah Malaysia dibawah penasihatan UniMAP MyRIS juga turut serta kerana ia terbuka kepada penyelidik sekolah, universiti dan industri.

Antara sekolah Malaysia lain yang menyertai IPITEX kali ini ialah SMS Hulu Selangor, SMS Kuala Selangor, SMS Selangor, Kolej TunkuKursiah, Kolej Vokasional Keningau, SM St. Michael Penampang, SMAP Kajang, SMK Ibrahim Kedah, SK Sena Perlis, SMK UluTiram Johor, SK Kayang Perlis, SMK Lake Sarawak, SJKT RRI Sg. Buloh, SJKT Permas Jaya dan banyak lagi.

IPITEX 2019 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, ACM Prajin Juntong telah berlangsung selama empat hari mulai 2 hingga 6 Februari dengan disertai Kanada, India, China, Iran, Indonesia, Romania, Poland, Vietnam, Philippine, Jepun, Korea Selatan, Croatia, Taiwan dan beberapa yang lain selain tuan rumah Thailand.

ipitex 2019

Busan, 23 Februari - Seramai lapan orang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mengikuti Program UniMAP-Korean Universities Study Travel (UniKU) di Korea Selatan baru-baru ini.

Program tersebut, yang dianjurkan oleh Pusat Bahasa Antarabangsa (PBA) telah berlangsung pada 26 Januari hingga 11 Februari 2018, melibatkan Dong-EUI University,di sini.

Program tersebut membolehkan pelajar UniMAP mempelajari bahasa Korea dalam persekitaran pembelajaran yang autentik dan mendapat pemindahan dua kredit bagi kursus ini untuk tujuan pengijazahan.

Di samping itu, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar UniMAP  menyantuni budaya Korea dan menjalin persahabatan dengan pelajar universiti di negara itu.

Seorang pelajar Perniagaan Antarabangsa, Lim Ying Thing yang juga ketua kumpulan pelajar ke sana berkata, dia pernah menanam impian ke negara Korea dan tidak menyangka dapat menjejakinya ketika masih lagi belajar.

Katanya,  sepanjang di negara itu dia sangat teruja mendekati masyarakat Korea selain mempelajari bahasa mereka yang tulen dengan tenaga pengajar berbangsa Korea.

“Saya dan rakan-rakan juga cuba berbahasa Korea ketika beramah mesra dengan masyarakat Korea menyebabkan mereka sangat terkejut dan tertarik pula untuk mengetahui lebih lanjut mengenai negara kita.

“Kami  juga dapat melihat sendiri budaya yang diamalkan mereka di sana termasuk berkenaan urusan seharian terutama apabila menggunakan kemudahan awam yang wajar dicontohi oleh masyarakat negara kita,” katanya.

Katanya, dia juga begitu meminati drama dan lagu Korea menyebabkan ia adalah salah satu sebab dia memilih bahasa Korea sebagai bahasa ketiga.

“Sedikit sebanyak saya dapat menonton drama Korea kegemaran saya tanpa sarikata terjemahan kerana sudah banyak memahami bahasa itu hasil mengikuti kursus bahasa itu sehingga ke tahap empat,” katanya.

Selain Lim dari Pusat Pengajian Inovasi Peniagaan dan Teknousahawan(PPIPT) , tujuh lagi pelajar UniMAP adalah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, PPK Pembuatan, PPK Alam Sekitar dan PPK Bioproses bersama tenaga pengajar PBA, Cik Wang Jing mengikuti program UniKU berkenaan.

Seorang lagi pelajar tahun tiga Kejuruteraan Awam, Nur Akma Balqis Mazilan berkata dia menimba peluang dan pengalaman di Korea dengan sebaiknya.

Menurutnya, dengan mengikuti pembelajaran bahasa Korea di negara itu dia dapat meningkatkan kemahiran menggunakan bahasa itu dengan lebih tepat.

“Selain itu, pengalaman ke sana juga seolah-olah bagai mimpi kerana apa yang dilihat dalam drama sebelum ini akhirnya dapat dilihat dengan mata sendiri secara langsung.

“Malah, kami juga berpeluang menjalin persahabatan bukan sahaja dengan rakan-rakan Korea malah rakan-rakan dari negara lain yang turut mempelajari bahasa Korea di universiti tersebut,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata program itu adalah program julung kali diadakan yang terbuka kepada dua kelompok pelajar kursus bahasa Korea UniMAP,  iaitu mereka yang mengambil kursus Bahasa Korea untuk memenuhi keperluan kurikulum masing-masing, dan juga pelajar yang bakal mengambil ujian kemahiran bahasa Korea (TOPIK).

Katanya, pelajar berpeluang mengikuti pengajian bahasa Korea menggunakan pendekatan “immersion” dan merasai sendiri pengalaman belajar di universiti berprestasi tinggi di republik yang terkenal itu. Malahan ada perancangan untuk program UniKU melibatkan universiti-universiti lain lagi di negara itu pada masa hadapan.

Menurutnya, secara tidak langsung program itu meningkatkan keterlihatan UniMAP pada persada antarabangsa selain mengeratkan hubungan kerjasama yang lebih erat dengan universiti-universiti berprestij di Korea Selatan.

“Program ini turut memberi peluang kepada kakitangan PBA UniMAP di bawah teraju pengarahnya, Prof Dr Harshita Aini Haroon untuk berkongsi ilmu dengan tenaga pengajar di sana, yang boleh dipraktikkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Korea di UniMAP,” katanya.

Pauh Putra, 10 Februari – Pokok mahogani, jati dan karas antara pokok yang bakal menjadi penghias sekitar kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam usaha melestarikan kawasan hijau.

Projek menanam pokok buat julung kalinya di UniMAP itu dikenali sebagai program “MyTreeVolution, National Forest Restoration Project” (myTREEvolution iCSR) adalah anjuran Majlis Profesor UniMAP dengan kerjasama Jabatan Pembangunan, Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) UniMAP , Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP dan MyTreeVolution Bahagian Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata UniMAP bertuah kerana program berkenaan turut mendapat sokongan Jabatan Perhutanan  yang bersedia menyediakan bekalan anak-anak pokok bagi menjayakan program itu.

Ujarnya, penggerak bagi melaksanakan myTREEvolution iCSR terdiri daripada Felo CEO@Faculty Programme 2.0 iaitu sekumpulan pensyarah dari semua Universiti Awam di Malaysia manakala jawatankuasa myTREEvolution iCSR akan bertindak sebagai penyelaras bagi melancarkan program ini.

“Di UniMAP, seramai 50 pelajar Diploma dan staf terlibat khususnya mereka yang mempunyai minat yang tinggi terhadap aktiviti menghijaukan kampus selain turut mengalu-alukan mana-mana agensi kerajaan mahupun korporat yang berminat menyertai projek ini,” katanya ketika pelancaran program berkenaan di Dataran AUPF, Kampus UniMAP, di sini.

Turut hadir, pengurusan tertinggi UniMAP serta Pengarah INSAT UniMAP Prof Madya Dr Mahmad Nor Jaafar.

Menurut Zul Azhar, antara objektif program berkenaan ialah bagi memupuk rasa cintakan alam sekitar di kalangan pelajar dan staf selain rasa sayangkan kampus dengan menanam pohon hijau di sekitar kampus.

“Saya percaya, walaupun pelajar mahupun staf sibuk dengan urusan pengajian dan tugasan masing-masing namun menerusi program seperti ini mereka sentiasa sedar tanggungjawab mereka mencintai kampus ini seterusnya memelihara dengan baik.

“Sudah banyak unit-unit mahupun pusat pengajian UniMAP di sekitar negeri ini berpindah ke kampus ini,justeru langkah awal mencantikkan serta menghijaukan kampus harus bermula sekarang,” katanya.

Kangar, 28 Feb – Kakitangan di Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Firdaus Bin Jamen, 23, mengharumkan nama UniMAP apabila berjaya merangkul gelaran Juara Cabaran Orang Kuat Sabah Edisi Kelima 2017 (Sabah Strongest Man).

Dalam pertandingan yang disertai oleh wakil peserta dari seluruh negara itu, Mohammad Firdaus, berjaya mencatatkan catatan terbaik bagi kesemua lima acarayang disertainya sekaligus menumpaskan Zarol Alfiyan (Selangor) di tempat kedua dan Andy Gerald dari Penampang, Sabah ditempat ketiga.

“Saya tidak menyangka akan bergelar juara menerusi acara tersebut kerana persaingan yang sengit. Pada mulanya, saya hanya ingin mencabar ‘personal best’ yang dicatatkan dalam edisi tahun lalu.

“Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya, dan ini merupakan kejuaraan kedua saya menerusi acara ini selepas turut bergelar juara Cabaran Orang Kuat Tenom pada April tahun lalu,” katanya ketika ditemui.

Pertandingan Orang Kuat Sabah yang dianjurkan oleh Casero Sabah itu, merupakan satu pertandingan dimana setiap peserta dikehendaki melengkapkan satu siri cabaran yang terdiri dari lima acara sebelum layak digelar Orang Kuat Sabah.

Mohammad Firdaus telah berjaya mencapai ‘personal best’ dalam kelima- lima acara iaitu ‘Tyre Flip’, ‘Circus Dumbell’, ‘Last Man Standing Dead Lift’, menarik trak dan bas, serta ‘Loading Race’.

Hadiah berupa wang tunai dan piala disampaikan oleh Yang di- Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

 

PULAU PINANG, 27 Februari 2016 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengorak langkah memperkasakan bidang pendidikan tinggi Malaysia di persada antarabangsa melalui kerjasama strategik bidang akademik University of Sindh (SU), Pakistan.

Kerjasama tersebut merangkumi pertukaran ahli akademik serta kerjasama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan jurnal terutama bagi bidang sains sosial dan kemanusiaan yang merupakan bidang tujahan utama SU, ujar Naib Canselornya, Prof. Dr. Fateh Muhammad Burfat.

Menurut beliau, bidang penyelidikan merupakan antara elemen penting yang akan menaikkan imej universiti terutama dalam menangani dan memahami cabaran global masa kini.

UniMAP mempunyai kekuatan dalam bidang kejuruteraan manakala SU mempunyai kepakaran dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial, justeru apabila kedua-dua bidang ini digabungjalinkan ia pasti akan dapat menyelesaikan banyak permasalahan global dan ekonomi.

“Berdasarkan perspektif  kerja, jurutera adalah berkaitan dengan menghasilkan aplikasi komersil dan menyediakan keperluan teknologi yang diterima masyarakat manakala bidang kemanusiaan dan sains sosial itu adalah bidang teras dan insaniah yang perlu ada dalam diri seseorang jurutera.

“Selain itu hasil ciptaan jurutera juga adalah untuk manfaat dan kegunaan manusia secara keseluruhannya,” ujar beliau ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa ke-4 Peranan Kemanusiaan dan Sains Sosial dalam Kejuruteraan 2017 (ICoHSE4) yang diadakan di Hotel Park Royal, di sini semalam.

Persidangan yang disertai oleh lebih 150 peserta dari dalam dan luar negara itu dianjurkan secara bersama oleh Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) UniMAP, SU dan ENSICAEN School of Engineering Caen, Perancis.

Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamarudin hadir merasmikan persidangan tersebut. Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Seri Mohd. Salleh Yaapar.

Dr. Burfat berkata beliau gembira apabila dijemput sebagai penganjur bersama persidangan bertaraf antarabangsa di Malaysia dan melihat pemilihan tersebut sebagai peluang untuk menggalakkan program pertukaran pelajar dan pengajar antara kedua-dua universiti.

SU sebelum ini telah menjemput dan melantik dua profesor dari UniMAP sebagai Profesor Kunjungan bagi membantu pembangunan akademik, penyelidikan dan kualiti pensyarah di universiti berkenaan untuk tempoh dua minggu pada awal Februari lalu.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, pelantikan tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa kepakaran ahli akademia UniMAP semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila mampu menjadi pakar rujuk bagi universiti luar negara.

Ujar beliau, kedua-dua Profesor yang dilantik iaitu, Timbalan Pengerusi Majlis Prof UniMAP, Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd Zain, dan Dekan IKOM, Prof. Madya  Dr. Huzili bertanggungjawab memberikan khidmat nasihat untuk program-program akademik di universiti terbabit selain berkongsi kepakaran dalam bidang pengurusan akademik, sistem pendidikan tinggi, penyelidikan dan penulisan tesis.

UniMAP akan terus menggalakkan staf dan pelajar untuk mengembangkan portfolio akademia masing-masing melalui program mobiliti antarabangsa meskipun berdepan dengan kekangan kewangan.

“Pendekatan dan kaedah baharu akan dirangka bagi memastikan kelangsungan program mobiliti yang merupakan platform terbaik untuk mengembangkan rangkaian perhubungan dengan universiti lain di luar negara,” ujarnya lagi.

ARAU, 26 Feb (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan menyertai program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) - Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Berbakti di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini.

Program julung kali itu diadakan bersempena seminar Memperkasakan Amalan Terbaik SUKSIS Universiti Awam (UA) 2017 disertai 600 peserta mewakili 20 UA, bermula dan berakhir di Dewan Ilmu UniMAP.

Melalui USR, peserta berpeluang berkongsi amalan terbaik projek-projek kesukarelaan yang pernah dianjurkan oleh UA bersama pihak korporat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan bagi mewujudkan kerjasama pintar melaksanakan program-program tanggungjawab sosial.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Tuanku Canselor UniMAP turut menyertai senamrobik bersama para peserta dan kemudian baginda serta 80 anggota SUKSIS menyertai program berbasikal 'Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf' kali ke-14 bagi tahun 2017 sejauh 25 kilometer.

Selain singgah menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih, baginda selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyampaikan zakat MAIPs kepada 30 asnaf terpilih di surau Kampung Rambai, Padang Siding, dekat Arau.

Program lain yang diadakan ialah membuat lukisan mural di sebuah jambatan, memberi motivasi kepada 150 pelajar Sekolah Menengah Tunku Budriah serta mengecat dan membersihkan sebuah rumah asnaf terpilih, semuanya di Arau.

 

 

 

 

 

Gurun, 23 Februari 2016 - Pendekatan pembelajaran dan latihan amali menggunakan sistem berteknologi terkini seiiring dengan industri telah menjadikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) antara universiti awam yang berjaya melahirkan jurutera yang berkualiti kepada industri luar.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, salah satunya ialah kerjasama antara UniMAP- Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) yang berjaya menyemarakkan penyelidikan kejuteraan bidang automotif dan motorsport di kalangan pensyarah dan pelajar UniMAP.

“Pihak Modenas telah memberikan peralatan seperti sistem enjin dan motorsikal untuk digunakan oleh Unit Penyelidik dan Sukan Permotoran (MoTECH) UniMAP yang mana melalui kolabrasi ini, ianya telah memberi peluang kepada UniMAP untuk menganjurkan pelbagai aktiviti untuk masyarakat luar.

“Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah Program Modenas-UniMAP Racing School dan Grandpix Pilot Selection di litar UniMAP. Malah, pihak Modenas juga telah menggunakan litar UniMAP untuk menguji kualiti motorsikal terbaharunya,” ujarnya selepas mengadakan sesi pertemuan dan kunjungan hormat ke Modenas di sini semalam.

Selain Dr. Zul Azhar, lawatan kerja tersebut turut disertai oleh Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, Prof. Madya Dr. Khairel Rafizi, Pengarah Technopreneur Sdn Bhd (TUSB), Dr Zunaidi Ibrahim, Pengarah MoTECH UniMAP, Dr Shariman Abu Bakar, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik, Prof. Madya Dr. Abu Hassan Abdullah dan  dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan, Prof. Madya Dr. Khairul Azwan Ismail.

Selain mengeratkan hubungan antara universiti dan industri, lawatan tersebut juga bertujuan untuk memberi pendedahan dan melihat fasiliti serta keupayaan Modenas dalam menghasilkan sendiri enjin motosikal nasional buatan anak-anak Malaysia.

Kunjungan tersebut juga membolehkan pengurusan UniMAP bertemu dengan alumni UniMAP yang telah berkhidmat di Modenas.

Menurut Dr. Zul Azhar, satu Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani dalam masa terdekat untuk menubuhkan UniMAP Automotive and Motorsport Center of Excellence dimana ianya menjadikan UniMAP sebagai pusat sehenti untuk Pusat Penyelidikan dan Jualan serta Pusat Technoprenaur kepada staf, pelajar dan graduan universiti.

UniMAP dan Modenas telah bekerjasama semenjak tahun 2012 yang mana ia memberi fokus kepada akademik bagi membolehkan pelajar UniMAP mendalami secara mahir bidang automotif di samping mencetuskan teknologi lebih maju selain meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Selepas lebih empat tahun bekerjasama, UniMAP dan Modenas melihat peluang yang lebih besar untuk mengukuhkan lagi kerjasama melalui kewujudan pusat kecemerlangan ini dan kita akan memastikan kerjasama atau penyelidikan yang dijalankan menambah kualiti pelajar dan relevan dengan keperluan semasa serta membantu perkembangan MoTECH.,” ujarnya lagi.

UniMAP Bakal Tuan Rumah SMART Kor Suksis Universiti Awam 2017

KANGAR, 23 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menjadi tuan rumah Seminar Memperkasakan Amalan Terbaik (SMART) Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Februari ini yang menghimpunkan lebih 500 peserta dari 19 Universiti Awam (UA) di seluruh negara.

Pegawai Latihan Luar Kor SUKSIS UniMAP, Asisten Superintenden Kor SUKSIS, Raja Shah Erman Raja Arifin berkata, bersempena persidangan tersebut juga, satu projek khidmat komuniti UA yang membabitkan lima aktiviti akan dijalankan secara serentak pada 26 Februari nanti.

“Program yang dinamakan “Projek Khidmat Komuniti – SUKSIS Berbakti” ini merupakan salah satu pengisian aktiviti yang telah disenaraikan dalam SMART edisi pertama yang dihoskan oleh UniMAP.

“Dalam projek ini kita telah menyenaraikan lima aktiviti utama yang dijalankan secara serentak iaitu menceriakan jejambat di Lebuhraya Changlun – Kuala Perlis, menaiktaraf dan memperbaiki rumah keluarga daif, program motivasi sekolah, bantuan ihsan ke hospital dan pemeriksaan kesihatan percuma di kampung-kampung terpilih,” katanya.

Ujar beliau lagi, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail merangkap Canselor UniMAP berkenan hadir merasmikan kelima-lima projek tersebut.

Ujar beliau, UniMAP amat berbangga apabila penganjuran edisi pertama ini berjaya menghimpunkan lebih 500 anggota Kor SUKSIS termasuk 200 pegawai-pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

 “Projek-projek seperti ini mungkin pertama kali diadakan dengan tujuan memberi peluang kepada sukarelawan SUKSIS Malaysia bukan saja untuk menggabungjalinkan idea dan kemahiran dan menterjemahkkanya kepada komuniti melalui kempen berbentuk mural ini tetapi juga dalam masa yang sama membantu masyarakat selaras dengan tanggungjawab anggota PDRM,” katanya lagi.

Projek keceriaan ini merupakan projek usahasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis dan juga IM4U Malaysia.

Bersempena program SMART itu juga akan diadakan Majlis Majlis Perasmian Karnival Sedekad SUKSIS UniMAP yang akan disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

 

 

Pauh Putra, 22 Februari 2017 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menganjurkan Program Youngpreneurs Go! (YPGo) SSM 2017 di Dewan Kecemerlangan UniMAP, Kampus Pauh Putra pada 24 dan 25 Februari ini.

Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UniMAP, Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin berkata penganjuran program YPGo SSM 2017 diadakan di UniMAP selepas menerima kunjungan Pengerusi SSM, Dato’ Sri Jamil Salleh yang juga  Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Penganjuran ini adalah hasil lanjutan program wacana sosial Dato’ Sri Jamil yang pertama di UniMAP dan sebelum itu beliau dilantik sebagai CEO@Faculty bagi UniMAP pada Mei tahun lalu.

“Program YPGo SSM 2017 ini bertujuan memberi pendedahan sekaligus menggalakkan mahasiswa menceburi bidang keusahawanan sekalipun mereka mengikuti pengajian dalam bidang lain,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Program dua hari berkenaan bakal dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor UniMAP.

Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong dan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dijadualkan turut hadir ke majlis perasmian yang diadakan pada 27 Februari ini.

Dr Rezuwan berkata, antara pengisian program YPGo SSM 2017 ini adalah dengan memberi peluang kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi sekitar Perlis menjalankan perniagaan sepanjang program itu berlangsung.

“Sebanyak 41 gerai jualan dibuka khas untuk pelajar berniaga serta lima buah ‘food truck’ turut mengambil bahagian sekaligus memberi pendedahan kepada pelajar dengan aktiviti perniagaan yang pelbagai.

“Selain itu, antara program menarik yang akan berlangsung adalah taklimat bersama Ikon Usahawan selebriti tanah air seperti Elfira Loy dan Fizo Omar, seminar keusahawan, taklimat daripada agensi-agensi berkaitan keusahawanan serta aktiviti riadah seperti Treasure Hunt,” kata beliau.

Selain memberi pendedahan mengenai keusahawanan, antara objektif program YPGo SSM 2017 itu adalah bagi mempromosikan pendaftaran perniagaan kepada pelajar IPT secara percuma.

Terdahulu, kerajaan telah memperuntukkan geran khas sebanyak RM10 juta yang disalurkan melalui SSM dalam tempoh 10 tahun untuk tujuan berkenaan.

Kuala Lumpur, 18 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya meraih kejayaan 100 peratus pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2017 yang berlangsung pada 16 hingga 18 Februari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) UniMAP, Prof. Dr. Syed Alwee Al Junid Syed Junid berkata, menerusi pertandingan tersebut, delegasi UniMAP berjaya memenangi tiga pingat emas, tujuh pingat perak dan sembilan pingat gangsa.

Selain itu, UniMAP turut berjaya meraih satu Anugerah Merit menerusi Prof. Madya. Dr. Zainab Hamzah.

“Adalah sesuatu yang membanggakan apabila ketiga-tiga produk yang meraih pingat emas turut mendapat Anugerah Penyelidik Terbaik dan Anugerah Khas Antarabangsa.

“Anugerah Penyelidik Terbaik dianugerahkan kepada penyelidikan Robust Green Composite Solder Paste hasil inovasi Dr. Norainiza Saud serta produk Energy Management System Controller hasil penyelidikan Ir. Dr. Rosnazri Ali, ” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah MTE 2017, di sini semalam.

Sementara itu satu lagi produk penyelidikan UniMAP iaitu Portable Room Temperature Gas Sensor Utilizing r-Go hasil inovasi Dr. Muhammad Mahyiddin Ramli memperoleh Anugerah Khas dari Croatia.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Presiden, Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (MARS), Dr. Wan Manshol Wan Zin.

Dr. Syed Alwee berkata, penyertaan UniMAP pada MTE 2017 lebih menumpukan kepada produk-produk yang dihasilkan penyelidik-penyelidik muda.

“Saya percaya dengan pendedahan yang diberikan ini akan dapat memupuk minat yang lebih mendalam terhadap bidang penyelidikan sekaligus akan dapat menghasilkan lebih banyak teknologi baharu selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020,” katanya lagi. Sementara itu, pada majlis yang sama, Prof. Dr. Syed Alwee Al Junid Syed Junid, dianugerahkan Anugerah Penyelidik Paling Menonjol (Outstanding Inventor Award) pada Malaysia Technology Expo(MTE) 2017.

Anugerah itu diberikan atas pencapaian beliau yang telah meraih pelbagai anugerah terbaik sepanjang menyertai MTE serta bagi menghargai sumbangan beliau yang sentiasa aktif membantu penyelidik untuk menyertai pertandingan penyelidikan seperti MTE.

MTE 2017 merupakan ekspo penyelidikan tahunan anjuran MARS.

Ia mempertandingkan lebih 300 produk dari dari kolej, politeknik, universiti dan sekolah dari dalam dan luar negara.

ARAU, 29 Feb (Bernama) -- Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) memperuntukkan RM350,000 untuk menaja lima siswazah mengikuti Program Kepimpinan Wanita di Universiti Antarabangsa Josai (JIU) di Jepun selama setahun bermula 3 April depan.

Surat tawaran biasiswa itu oleh disampaikan oleh Presiden YTF Raja Puan Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil kepada lima siswazah berkenaan pada majlis di Galeri Diraja Arau di sini, hari ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Tiga daripada penerima biasiswa adalah daripada UniMAP iaitu Lim Xin Shi, 25, dari Johor dan Khuzaimah Ramli@Lahman, 25, dari Kedah yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dan Nurul Najwa Halim, 23, dari Kedah, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sains Biosistem.

Dua lagi daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) iaitu Nor Salihah Zaini, 24, dari Perak, graduan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Termal Cecair dan Nurul Afizan Yaakob, 24, dari Selangor, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan.

Pemegang Amanah YTF Tan Sri Dr Ng Yen Yen berkata program itu bertujuan untuk melahirkan pemimpin muda wanita yang mempunyai jati diri yang unggul.

"YTF jalinkan kerjasama strategik bersama JIU ini selama lima tahun dan setiap tahun kami akan hantar lima graduan wanita yang berpotensi dalam bidang kepimpinan mulai tahun ini," katanya.

Dr Ng berkata mereka akan berpeluang menimba pengalaman baharu daripada aspek gaya hidup, kebudayaan, persekitaran di bandar dan luar bandar, serta kehidupan seharian di Jepun selain berinteraksi dengan pelajar dari 27 negara di JIU.

Sementara itu, Lim berkata dia sanggup berhenti kerja sebagai Eksekutif Pemasaran di Singapura memandangkan peluang yang ditawarkan oleh YTF hanya datang sekali seumur hidup.

"Saya bersyukur kerana terpilih ... saya berjanji akan menggunakan sebaik-baiknya peluang ini untuk memperkenalkan Malaysia di samping mengutip sebanyak pengalaman di sana untuk dilaksanakan sebaik kami pulang ke Malaysia," katanya.


-- BERNAMA

Kangar, 29 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperkenalkan tiga platform pembelajaran atas talian menerusi Online Learning UniMAP khusus untuk mempromosi dan menggalakkan penggunaan pembelajaran atas talian di kalangan pensyarah dan pelajarnya.

Pemangku Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, ketiga-tiga platform tersebut iaitu Massive Open Online Courses (MOOC), Global Access Asia (GAA) dan E-Pembelajaran UniMAP merupakan satu pendekatan alaf baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran berkesan seiring dengan memperkasakan pembangunan  insan.

Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) menjelaskan, kaedah pembelajaran terbaru ini juga ni merupakan usaha murni universiti dalam usaha mengoptimumkan kaedah pembelajaran dan pengajaran berkesan dan memberi faedah kepada pelajar secara keseluruhannya.

“Ia juga merupakan sebahagian daripada komitmen universiti dalam menyokong inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui lonjakan Sembilan yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi iaitu, Pembelajaran Atas Talian Global.

“Semoga dengan adanya pendekatan pembelajaran yang baru ini akan membantu pensyarah dan seterusnya Universiti untuk kita menghasilkan graduan yang berkualiti, seimbang dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujar beliau di majlis pelancaran Online Learning UniMAP di Hotel Seri Malaysia di sini semalam.

Yang turut hadir, Dekan Pusat Pembangunan Kepimpinan Pendidikan Lestari (LEAD), Prof. Dr. Salleh Abdul Rashid.

Selain pelancaran Online Learning System, UniMAP turut menyampaikan  cenderahati dan anugerah kepada pensyarah yang bergiat aktif dalam penggunaan sistem E-Pembelajaran UniMAP.

Menurut Dr. Zul Azhar lagi, lonjakan sembilan tersebut turut  diperkasakan menerusi Global Access Asia (GAA) yang merupakan satu platform sistem pembelajaran atas talian yang terbaik dengan keanggotaan terbuka kepada pelajar dari Universiti Asia yang menjadi ahli Asian University Presidents Forum (AUPF).

“Kesemua pelajar boleh mendaftar dan mengakses pembelajaran atas talian tersebut tanpa dikenakan yuran tambahan kepada mereka, malah tambahan kredit diberi kepada kursus didaftakan,” ujar beliau.

Selain itu, beliau memberitahu, UniMAP turut mendapat peruntukkan sebanyak RM140,000.00 dari KPT bagi membangunkan MOOC dibawah jagaan LEAD dengan empat mata pelajaran di pilih sebagai perintis untuk dilaksanakan sehingga kini.

PADANG BESAR, 28 Feb (Bernama) -- Rakyat di negeri ini disaran agar merebut peluang menggunakan kemudahan yang ditawarkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam Perlis, Jafperi Othman.

Beliau berkata UCTC bermatlamat untuk merakyatkan ilmu dan mengoptimumkan prasarana fizikal yang ada di pusat pengajian tinggi untuk dikongsikan bersama masyarakat setempat terutama di Padang Besar dan kawasan sekitar.

"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, masyarakat khususnya golongan belia perlu bijak mengambil peluang ini bagi melengkapkan diri dalam menghadapi persaingan di sektor pekerjaan mahupun pendidikan.

"Dengan wujudnya pusat sehenti ini, sudah pasti ianya akan memberi kemudahan kepada mereka dan orang ramai untuk mengakses kemudahan yang ditawarkan di UniMAP seperti latihan perniagaan, sukan, kursus jangka pendek dan lain-lain untuk membangunkan komuniti yang lebih inovatif," katanya semasa merasmikan Karnival UCTC dan Pusat Transformasi Komuniti (CTC) Perlis di Kampus Uniciti Alam UniMAP di sini, Ahad.

Turut hadir Penasihat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin yang juga mantan Naib Canselor UniMAP, Timbalan Pengarah Kanan (Pemantauan) Unit Strategi Nasional (NSU) Kementerian Kewangan Syed Nasir Syed Ahmad dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Perlis Fadzir Kamarudin.

Jafperi berkata konsep UCTC juga membenarkan penggunaan prasarana universiti oleh komuniti dan penyelidikan pembelajaran sepanjang hayat.

Sementara itu, pemangku Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata UCTC UniMAP diluluskan penubuhannya pada Mac 2013 menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menyalurkan kepakaran dan khidmat sosial kepada komuniti sekitar.

"Dengan wujudnya pusat sehenti ini, UniMAP dapat mengadakan hubungan yang baik dengan komuniti setempat di samping program sukarelawan bagi membantu komuniti dalam pembangunan masyarakat.

"UCTC UniMAP turut menjalinkan hubungan dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mini di Kampung Bongor Kudong, Kok Klang dan Felcra Lubuk Sireh bagi memudahkan urusan orang ramai mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu turut mengadakan aktiviti seperti pasar melayu, kenduri rakyat, pertandingan karaoke, pertandingan mewarna, pameran usahawan, pameran kepakaran UniMAP serta perkhidmatan 'Mobile' CTC oleh Kementerian Kewangan.

-- BERNAMA

PADANG BESAR, 26 Feb (Bernama) -- Kampus Uniciti Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal mempunyai surau berteknologi hijau pertama sebagai mercu tanda baharu hasil kerjasama pintar UniMAP dan Proven Holdings Sdn Bhd, syarikat pemaju Uniciti Alam.

Penasihat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata projek surau yang menelan belanja RM1 juta itu akan menggunakan bumbung panel solar.

"Pembinaan surau itu menggunakan teknik Sistem Bangunan Berindustri (IBS) secara gotong royong oleh pelajar, dan kakitangan serta dijangka siap sepenuhnya sebelum bulan puasa tahun ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah surau As-Saodah di kampus Uniciti Alam UniMAP di Sungai Chuchuh di sini, Jumaat.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP Prof Madya Dr Mohd Fo'ad Sakdan dan Timbalan Mufti Perlis, Roslan Esa.

Kamarudin yang juga bekas Naib Canselor UniMAP berkata pembinaan surau itu juga bakal melengkapkan keseluruhan infrastruktur kampus berkenaan bagi kemudahan 3,840 pelajar dan 300 kakitangan Fakulti Teknologi Kejuruteraan UniMAP dan penduduk setempat di sini.

"Surau yang dibina di atas tanah berkeluasan 4,000 kaki persegi ini ditaja sepenuhnya oleh Pengerusi Eksekutif Proven Holdings Sdn Bhd merangkap Profesor Adjung UniMAP Datuk Dr Yusof Jusoh yang bakal menampung 500 jemaah dalam satu masa," katanya.

Sementara itu, Dr Yusof berkata pihaknya merancang membina 350 unit apartmen kepada pelajar dan kakitangan UniMAP yang bertugas di kampus Uniciti Alam itu berdekatan tapak kampus itu.

"Kita telah mengenal pasti tanah seluas 2.02 hektar bersebelahan dengan tapak kampus ini bagi membangunkan penempatan untuk pensyarah, kakitangan dan pelajar di kampus ini," katanya.


-- BERNAMA

 

Kangar, 23 Februari – Isu pelajar lapar pernah menjadi viral di dada akhbar dan laman sosial yang menarik perhatian pelbagai pihak tidak pernah dipandang remeh oleh setiap lapisan masyarakat termasuklah pihak agensi perbankan.

Atas kerpihatinan itu, dua buah institusi perbankan mengambil inisiatif untuk menyerahkan sumbangan zakat berjumlah RM130,000 kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertujuan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, dua agensi perbankan itu adalah Affin Islamic Bank Berhad dan Bank Islam (M) Berhad, yang masing-masing menyerahkan sejumlah zakat bernilai RM30 ribu dan RM100 ribu

“Wang zakat ini akan disalurkan ke Tabung Zakat UniMAP dan diagihkan kepada pelajar yang memenuhi syarat kelayakan untuk menerima wang bantuan tersebut.

“Jumlah bantuan yang akan diberikan adalah mengikut keperluan para pelajar dengan pemberian minimum adalah sebanyak RM300.00 dan maksimum RM1000.00 serta layak untuk dua kali penerimaan sepanjang tempoh pengajian mereka,” katanya.

Prof. Zul berharap agar pihak perbankan dan agensi lain akan terus-menerus menyalurkan sumbangan kepada universiti sekaligus membantu universiti menjaga kebajikan pelajarnya yang kurang berkemampuan.

UniMAP komited dalam membantu pelajar agar mereka ini dapat meneruskan pembelajaran serta tidak menjadikan faktor kemiskinan sebagai halangan,” katanya.

Kuala Lumpur, 20 Februari  – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)  berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut selepas meraih tujuh pingat emas pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2016.

Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Syed Alwee Al Junid Syed Junid berkata, kejayaan 100 peratus yang diraih UniMAP mengulangi pencapaiannya tiga tahun lalu.

“Kita mengulangi kembali kejayaan yang diperolehi pada 2012 dan 2013 dengan meraih pencapaian 100 peratus apabila semua 26 produk yang dipertandingkan berjaya membawa pulang pingat.

“Lebih manis lagi, dua produk yang mendapat pingat emas turut meraih Best Award iaitu Novel Hydroxyapatite (HAP) Nanoparticles Production By Supercritical Carbon Dioxide Processing For Drug Delivery Application hasil penyelidikan Dr Midhat Nabil Ahmad Salimi dan A Non-Invasive Cervical Cancer Detection Kit, produk penyelidikan Prof. Dr. Uda Hashim,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah MTE 2016, di Pusat Dagangan Dunia Putra, sini semalam.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Presiden Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (MARS), Dr. Wan Manshol Wan Zin.

Ujar Dr. Syed Alwee lagi, lima lagi  produk yang memenangi pingat emas adalah Unisense: Internet Of Things For Multi-Sensing hasil penyelidikan Dr. Latifah Munirah Kamarudin, Anti-THPRO: A Novel Invention For Anti-Thief And Heat Insulator For Electronic Devices, produk Dr. Ragunathan  Santiagoo; Geo-Sure-Grip High Performance Tile Grout, (Dr. Liew Yun Ming); CHICMON: System For Monitoring Early Signs Of Animal Ill-Health In Chicken Farm (Prof. Madya Dr. Abu Hassan Abdullah) dan Wireless Power (Dr. Syafruddin Hasan).

“Selain dari tujuh pingat emas ini, penyelidik UniMAP juga turut membawa pulang tujuh pingat perak dan 12 pingat gangsa,”katanya lagi.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Mantan Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin turut menerima The MARS Service Award di atas sumbangan beliau yang sentiasa aktif dalam membantu dan mempromosikan produk-produk yang dihasilkan penyelidik.

MTE 2016 yang berlangsung pada 18 hingga 20 Februari merupakan ekspo penyelidikan tahunan anjuran MARS. Ia mempertandingkan lebih 300 produk dari dari kolej, politeknik, universiti dan sekolah dari dalam dan luar negara.

 

Pauh Putra, 19 Februari – Majlis Profesor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan seminar perkongsian penyelidikan bidang akuakultur serta perikanan air tawar, air payau dan air masin di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PSFP), di sini hari ini.

Seminar bertajuk The Future: Fast Furious and Fishy yang dibentangkan Pensyarah dan Penyelaras Unit Akuakultur, Prof  Dr Ridzwan Abdul Rahman itu turut berkongsi berkenaan bidang yang dapat disumbangkan oleh UniMAP bagi bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) menerusi Jabatan Perikanan Malaysia.

Antara bidang itu ialah akuakultur, perikanan, tangkapan, ekologi akuatik, bioteknologi, kesihatan ikan dan pembangunan produk perikanan.

Menurut Dr Ridzwan, antara topik penyelidikan bagi bidang akuakultur termasuklah teknologi penambaikan sistem-sistem ternakan, sistem pengurusan pembiakan, teknik pembiakan aruhan, pembenihan dan penggandaan baka.

“Selain itu, teknologi lain seperti teknologi pemprosesan makanan, formulasi makanan menggunakan protein alternatif, pembangunan pusat nukleus, teknik diagnosis penyakit-penyakit orgasma ternakan serta sistem ternakan dalam sangkar laut juga dapat dijadikan sebagai topik penyelidikan.

“Pendek kata banyak penyelidikan boleh dilakukan UniMAP dalam bidang berkaitan akuakultur ini sekaligus mampu menjadikan UniMAP sebagai pusat penyelidikan terbaik mengenai bidang ini, “katanya.

Seminar berkenaan turut dihadiri ketua-ketua jabatan UniMAP serta hampir 100 pelajar yang berpotensi menjalankan penyelidikan itu.

Arau, 18 Februari - Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar dilantik bagi menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor berkuatkuasa 11 Februari lalu sehingga Naib Canselor UniMAP baharu dilantik.

Lantikan itu dinyatakan melalui surat yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selepas Naib Canselor pertama universiti tersebut, Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin tamat kontraknya pada 10 Februari lalu pada usia 61 tahun iaitu setahun selepas bersara wajib dari perkhidmatan awam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, kecemerlangan UniMAP adalah seiring dengan kecemerlangan perkhidmatan mantan Naib Canselor UniMAP sehingga khidmatnya itu telah melayakkan beliau menjadi Naib Canselor paling lama di Malaysia memegang jawatan tersebut iaitu selama 14 tahun.

“Malah khidmat beliau masih diperlukan sehingga dilantik menjadi Penasihat Khas kepada Menteri KPT,” titah baginda.

Oleh itu, baginda inginkan kecemerlangan UniMAP diteruskan walaupun sesiapa jua yang memegang tampuk pentadbiran UniMAP kelak.

“Walaubagaimanapun dengan masa yang masih berbaki ini, saya berharap Prof. Zul Azhar dan pengurusan memanfaatkan dengan sebaiknya untuk meneruskan kerja-kerja pembangunan UniMAP yang masih belum selesai,” titah baginda semasa sesi perbincangan tertutup bersama pengurusan tertinggi UniMAP di Istana Arau, semalam.

Baginda juga berharap halatuju yang telah digariskan untuk pemantapan UniMAP tidak akan tersasar walaupun UniMAP kini sedang melalui proses peralihan kuasa pentadbirannya.

Sementara itu, Prof. Zul Azhar berjanji akan tetap meneruskan kerja-kerja yang dimulakan oleh mantan Naib Canselor UniMAP malah akan turut memperkasakan sesetengah aspek pembangunannya.

“Saya dan pihak pengurusan komited untuk meneruskan usaha bagi memantapkan UniMAP sekaligus memastikan halatuju yang telah kita gariskan sebelum ini tidak tersasar.

“Malah dengan sokongan padu warga UniMAP, insyaAllah segala perancangan ini akan berjaya dilaksanakan,” katanya.

Pattani, 15 Februari: Semua Universiti Awam (UA) disarankan untuk membangunkan kemudahan dan prasarana universiti dengan menggunakan dana yang diwakafkan pihak luar.

Penasihat Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, selain dari memberikan orang ramai dan organisasi untuk membuat kebajikan, ia juga dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Saya melihat dana wakaf ini bukan saja boleh digunakan untuk pembinaan bangunan semata-mata, tetapi ia boleh diperluaskan dengan pembinaan makmal-makmal untuk tujuan penyelidikan.

“Saya percaya melalui cara ini, lebih banyak manfaat akan dapat dikongsi untuk kebaikan semua golongan masyarakat,”katanya ketika ditemui semalam lawatan ke University Fattoni, di sini,semalam.

Ujar Datuk Kamarudin lagi, beliau amat kagum dengan cara pembangunan kampus yang dilakukan pihak University Fattoni yang menggunakan dana wakaf dari negara-negara luar dan orang perseorangan.

“Kita seharusnya mempromosikan konsep wakaf untuk membangunkan institusi pengajian tinggi, seperti yang dilakukan University Fattoni untuk manfaat masyarakat setempat,”katanya yang juga mantan Naib Canselor UniMAP.

Terdahulu, beliau mengiringi Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima Ijazah Doktor Kehormat Sains Pengurusan dari Yala Rajabhat University dalam satu istiadat konvokesyen khas di universiti itu di sini.

Turut bercemar duli berangkat hadir Pro Canselor UniMAP, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pauh Putra, 12 Februari – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan lawatan ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan negeri Perlis bagi mencapai kerjasama di antara kedua-dua universiti ini, hari ini.

Lawatan delegasi yang diketuai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UKM, Dato’ Prof Dr Mazlim Mokhtar bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat , Dato’ Prof Dr Imran Ho Abdullah, dekan-dekan, serta ketua-ketua jabatan UKM disambut oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan.

Sempena lawatan berkenaan, UKM berhasrat bagi mengadakan kerjasama dengan UniMAP bagi membantu golongan autisme memandangkan UKM mempunyai makmalnya sendiri berkaitan autisme selain turut mempunyai kursus khas pengajian diploma dalam bidang autisme yang ditawarkan di universiti itu.

Selain kerjasama mengenai autisme, UKM juga bersetuju bagi mengadakan kerjasama dengan UniMAP bagi mengkaji punca penurunan Kejuruteraan Teknologi Sains dan Matematik (STEM) di kalangan pelajar sekolah.

Perbincangan itu turut dihadiri dekan-dekan dan ketua-ketua jabatan UniMAP selepas UKM dibawa melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), di sini.

Kuala Terengganu,11 Februari:  Seramai 190 Anggota Kor Sukarawan Polis Siswa / Siswi (Suksis) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengikuti Kem Tahunan Kor Suksis di Terengganu baharu-baharu ini.

Pegawai Penyelaras Kor Suksis UniMAP,   Asisten Superintendent  Che Yob Pin berkata, kem yang berlangsung selama seminggu itu menumpukan tiga modul iaitu Kursus Etika dan Pengurusan Integriti Polis Diraja Malaysia ,Kursus Asas Pertolongan Cemas dan Kursus Asas Modul Pengenalan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Ketiga-tiga modul ini dibahagikan mengikut tahap anggota iaitu Junior,  Inter dan Senior. 

“Ia bertujuan bagi memberi pendedahan awal kepada semua Anggota Kor Suksis UniMAP dalam segenap aspek berdasarkan kepada peningkatan tahap kekananan anggota dalam Kor Suksis,”katanya ketika ditemui di Kem PGA Batalion 9, Gong Badak, di sini.

Ujar beliau lagi, semua modul itu amat berguna kepada semua anggota Suksis terutamanya kepada anggota yang bercadang untuk meneruskan khidmat dalam pasukan keselamatan.

“Ilmu yang didedahkan kepada mereka ini adalah sama seperti yang dilalui oleh bakal Inspektor dan kemahiran pertolongan cemas sebagai tambahan apabila menghadapi situasi cemas khususnya kemalangan yang melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa termasuk bencana alam.

“Manakala modul terakhir yang dilalui mereka adalah ilmu pertahanan, pertempuran dan ikhtiar hidup di medan peperangan dengan mengikuti sepenuhnya aktiviti di dalam hutan,”katanya lagi.

Majlis Perasmian Penutup Kem Tahunan Suksis disempurnakan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Perlis, Supritendan V Raja Vadivelo yang mewakili Ketua Polis Perlis.

Turut hadir, Timbalan  Komandan Kor SUKSIS UniMAP, Supritendent  Kehormat Prof. Madya Dr. Khairul Nizar Ismail, Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA, Superintenden Mohd Abduh Ismail, dan Pegawai Latihan Luar Kor Suksis UniMAP, Asisten Superintendent  Kor Suksis, Raja Shah Erman Raja Arifin.

Pauh Putra, 10 Februari  – Naib Canselor pertama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jen. Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin menamatkan kontrak setahun beliau sebagai Naib Canselor sekaligus mencipta rekod paling lama dalam jawatan.

Beliau yang telah bersara wajib sebagai penjawat awam pada 10 Februari tahun lalu menyandang jawatan tersebut selama 14 semenjak 16 Februari 2002.

Dr Kamarudin sebelum ini adalah rektor ketika awal penubuhan universiti itu yang dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) yang kemudiannya menjadi Naib Canselor selepas KUKUM dinaiktaraf sebagai universiti awam (UA) ke-17 dengan nama UniMAP sehingga hari ini.

Dr Kamarudin yang turut menyambut hari lahir ke 61 tahun pada hari ini diraikan dalam sebuah majlis perpisahan sempena persaraan beliau sebagai Naib Canselor yang dihadiri seluruh kakitangan UniMAP, pelajar pengajian Diploma serta pelajar antarabangsa di Dewan Ilmu UniMAP, di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Astronaut Technology Sdn Bhd (ATSB), Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arshad dan barisan pengurusan tertinggi UniMAP.

Dr Kamarudin berkata walaupun selepas ini beliau bukan lagi Naib Canselor UniMAP,beliau melahirkan harapan agar segala perancangan yang dirancang sebelum ini dapat direalisasikan agar UniMAP terus cemerlang dalam pelbagai aspek.

“Mulai tahun ini kita akan memulakan gerak kerja baru bagi strategi 2016-2020 dengan banyak inisiatif yang dicadangkan. Inisiatif jika kekal sebagai cadangan tidak akan membawa universiti ini ke mana-mana. Usahakanlah.

“Justeru, saya berharap kepemimpinan baru UniMAP akan meneruskan segala agenda strategik yang telah diusahakan mahupun dirancang dengan membantu UniMAP menjana kewangan serta memastikan nama UniMAP sentiasa segar dan masyhur di persada antarabangsa,” kata beliau ketika menyampaikan amanat terakhir di sini, hari ini.

Beliau turut melahirkan rasa penghargaan kepada Canselor UniMAP, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pro Canselor UniMAP, Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta kerajaan negeri Perlis kerana memberi kepercayaan kepada beliau untuk sama-sama membangunkan negeri Perlis menerusi pembangunan UniMAP.

Kecemerlangan Dr Kamarudin sebagai Naib Canselor terus diiktiraf apabila Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh melantik Dr Kamarudin sebagai Penasihat Khas beliau di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mulai 11 Februari 2016.

Dr Kamarudin melakukan 'clock out' terakhir sebagai Naib Canselor disaksikan barisan pengurusan tertinggi UniMAP di pejabat Naib Canselor Pauh Putra.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato' Zul Azhar Zahid Jamal menyampaikan cenderahati kepada Datuk Kamarudin sambil disaksikan barisan EXCO UniMAP.

Dr Kamarudin bersama isteri, Noridah Yangman diarak oleh anggota Jabatan Keselamatan UniMAP sempena persaraan beliau sebagai Naib Canselor UniMAP di Kampus Tetap Pauh Putra.

Arau, 10 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi universiti awam (UA) pertama di Malaysia yang menerima kuota tariff pemasangan panel solar dengan kapasiti 1.0 megawatt di salah sebuah bangunan di kampus tetapnya di Pauh Putra.

Naib Canselornya, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, projek tersebut yang dijalankan dengan kerjasama GetSol Sdn. Bhd. (GetSol) amat besar maknanya buat beliau secara peribadi dan UniMAP keseluruhannya selepas melalui beberapa proses dan prosedur yang panjang.

Ujar beliau, menerusi pemasangan tersebut, tenaga yang dihasilkan akan dikumpul dan dijualkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berdasarkan konsep Feed In Tariff yang mana ia merupakan sebahagian inisiatif UniMAP menjana pendapatan sendiri selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia.

Selain itu, jelas beliau pemasangan solar panel itu juga membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka dengan lebih mendalam teknologi tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) sekaligus membolehkan kaedah pembelajaran amali dipraktikkan.

“Terlalu banyak suka duka yang telah kami tempuhi dalam menjadikan UniMAP sebagai UA pertama yang diberikan kuota ini yang diterima pada 12 Mac tahun lalu yang mana hari ini, pemasangan panel ini telah mencapai tahap 80 peratus siap.

“Ia sekaligus, menjadi projek terakhir saya sebagai Naib Canselor UniMAP yang berakhir hari ini,” ujar beliau ketika berucap di majlis Pra-Pelancaran Panel Solar di Bangunan Univation di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif GetSol, Todd Morath; Pengarah Urusan GetSol, Dr. Gabriel Peter Salgo; Ketua Pegawai Ekesekutif UniMAP Holdings Sdn. Bhd. Baharuddin Abdul Majid dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Projek pemasangan panel solar tersebut merupakan inisiatif UniMAP dalam penjanaan kewangan melalui sewaan tapak (bumbung bangunan) selama 21 tahun serta tambahan melalui kontrak penyelenggaraan yang diberikan kepada UniMAP Holdings.

Menurut Dr. Kamarudin lagi, pihak Getsol turut memperuntukkan satu sistem solar bagi tujuan akademik dan penyelidikan yang bakal membolehkan UniMAP menawarkan kursus “hands on training’ dan sijil dengan kerjasama CIDB bagi program “Certified Solar Installer” dan “Solar Maintainance”.

“Secara tidak langsung ia membuka peluang kepada UniMAP menjadi Pusat Kecemerlangan Tenag Boleh Diperbaharui sekaligus menjadikan tapak projek ini sebagai menjadi showcase bagi pelawat dan industri ke arah inisiatif memperkenalkan Kampus UniMAP Pauh Putra sebagai Kampus Alam.

UniMAP dan GetSol juga sedang merangka untuk mendapatkan kuota tariff yang lebih besar di masa akan datang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Dr. Gabriel berkata, pemilihan UniMAP dibuat selepas melihat inisiatif dan kesungguhan Naib Canselornya dalam mempratikkan amalan kampus hijau di UniMAP termasuk penglibatan aktif beliau sejak awal perbincangan lagi.

Medan, 7 Februari: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani surat hasrat (LOI) bersama Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Harapan (STIE-Harapan) Medan dalam usaha untuk mengukuhkan jaringan antara UniMAP dengan Institusi Pengajian di Indonesia.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, ia merupakan antara inisiatif yang dilakukan UniMAP bagi merealisasikan jaringan kerjasama antarabangsa antara UniMAP dan STIE Harapan di masa hadapan.

“Saya percaya dengan terjalinnya kerjasama ini,ia akan membuka jalan untuk kita bergerak ke peringkat seterusnya iaitu untuk menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi merealisasikan kerjasama pendidikan kedua-dua pihak.

“Kerjasama sebegini cukup baik kerana akan memudahkan pelaksanaan terhadap perancangan yang dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangi LOI di sini, baharu-baharu ini.

UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin manakala STIE Harapan Medan, diwakili Ketuanya H.Kersna Minan.

Hadir sama menyaksikan majlis tersebut, Koordinator KOPERTIS Wilayah 1, Sumatera Utara, Prof. Drs. Dian Armanto dan Ketua Harian Yayasan Pendidikan HARAPAN Medan, Dr. Tapi Rondang Ni Bulan.

 

Ujar Datuk Kamarudin lagi, kepakaran yang dimiliki UniMAP harus disebarkan agar kelebihan yang ada dapat menjadi pendorong kepada institut pengajian tinggi lain untuk terus mencipta kejayaan.

"Saya percaya dengan adanya kerjasama ini, kita akan dapat mengadakan pelbagai bentuk program antaranya penganjuran seminar antarabangsa dan program pertukaran pelajar,”katanya  lagi.

Terdahulu, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin telah dijemput untuk menyampaikan ucapan umum kepada lebih 300 pensyarah dan pelajar sekolah tersebut.

Antara yang turut serta dalam lawatan kerja deligasi UniMAP ke Medan dan Acheh adalah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik, Professor Madya Dr. Rizalafande Che Ismail dan Ketua Pustakawan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UniMAP, Mazmin Mat Akhir.

5 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif menubuhkan UniMAP Libyan Arabic School khusus untuk membolehkan anak-anak warga Libya yang berada di Perlis mendapat pendidikan masing-masing.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, idea asal penubuhan sekolah swasta tersebut dicetuskan setelah melihat perlunya ada kemudahan untuk pembelajaran anak-anak staf dan pelajar antarabangsa di UniMAP.

“Ia juga merupakan sebahagian tanggungjawab sosial kami di UniMAP apatah lagi pelajar dan staf dari Arab yang datang ke Perlis sebahagian besarnya membawa anak-anak mereka.

“Memandangkan tiada sekolah antarabangsa di Perlis dan sekolah yang terdekat adalah di Kedah, maka idea menubuhkan UniMAP Libyan Arabic School adalah yang terbaik,” ujar beliau ketika berucap di majlis pelancaran sekolah tersebut di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Penolong Naib Canselor Komunikasi Korporat, Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd. Zin dan Pengarah Pusat Perhubungan Antarabangsa, Dr. Noorhafiza Mohamed.

UniMAP Libyan Arabic School akan menawarkan sembilan gred pengajian untuk anak-anak berusia antara lima hingga 16 tahun.

Dalam pada itu, Pengetua UniMAP Libyan Arabic School, En. Issa Alabiad memaklumkan bahawa sekolah yang menggunakan sistem dan kurikulum yang diiktiraf oleh kerajaan Libya ini akan mula beroperasi pada 15 Februari 2016. 

Ujar beliau, anak- anak warga Libya yang bersekolah di sini akan mendapat bantuan kewangan sepenuhnya dari kerajaan Libya dengan kekuatan 18 tenaga pengajar yang kesemuanya adalah penutur asli bahasa arab.

“Kita menjangkakan seramai 30 orang pelajar yang terdiri daripada anak-anak staf dan pelajar antarabangsa di UniMAP terutama dari  negara Libya, Yemen dan  Iraq akan mendaftar dan jumlah ini akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Kami amat bersyukur dengan keprihatinan Naib Canselor dan Pengurusan UniMAP dengan penubuhan sekolah ini, dan saya menjangkakan lebih ramai pelajar warga Libya, Arab dan Yemen akan memilih UniMAP sebagai institusi pendidikan tinggi pilihan mereka,” ujar beliau.

Beliau menambah, pihaknya juga dalam perancangan untuk membuka kelas bahasa arab kepada anak-anak staf tempatan di UniMAP dan menawarkan kursus bahasa arab kepada staf UniMAP yang berminat untuk mempelajari bahasa arab.

 

Bangkok, 5 Februari – Delegasi penyelidik Malaysia yang mengambil bahagian dalam Bangkok International Intellectual Property Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEX 2016) berjaya mengharumkan nama negara apabila meraih 24 pingat emas sekaligus muncul juara menewaskan 20 buah negara lain yang mengambil bahagian.

Penyertaan Malaysia yang dinaungi oleh Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dan Persatuan Reka Cipta dan Reka Bentuk Malaysia (MINDS) menghantar 31 penyertaan keseluruhannya termasuk enam penyertaan dari pelajar sekolah rendah dan menengah.

Presiden MyRIS, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, penyertaan bersempena Thailand Inventors Day 2016 itu juga turut menyaksikan satu produk penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr. Ammar Zakaria dinobatkan sebagai Best Asian Invention Awards.

Beliau yang juga Naib Canselor UniMAP turut berbangga apabila 17 penyelidik yang mewakili universiti pada pameran yang berlangsung selama empat hari berakhir semalam turut berjaya meraih 16 pingat emas dan satu pingat gangsa.

“Secara keseluruhannya delegasi penyelidik Malaysia berjaya meraih 24 pingat emas, lima pingat perak serta dua pingat gangsa dan ia merupakan langkah awal yang cukup membanggakan selaras dengan penunjuk prestasi utama yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) dan UniMAP awal tahun lalu,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pameran yang diadakan di Bangkok International Trade & Exhibition Centre (BITEC), Thailand itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, ACM Prajin Juntong.

Lebih 20 buah negara mengambil bahagian antaranya Russia, China, Poland, Indonesia, Iran, UK, Canada, Korea Selatan, Philippines, Romania, Taiwan, Hong Kong dan Malaysia.

UniMAP menghantar 17 penyertaan yang terdiri daripada pensyarah muda daripada pelbagai jabatan antaranya Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sensor Termaju (CEASTech), Pusat Kecemerlangan Tenaga Boleh Diperbaharui (BERE), Pusat Bahasa Antarabangsa serta Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, Mikroelektronik dan Pembuatan.

Sementara itu, Dr. Ammar berkata, produk penyelidikannya “Aquasense – Real Time and Intergrated Prawn Farming Monitoring” merupakan satu sistem  pemantauan kualiti air di dalam kolam air masin bagi ternakan udang, ikan dan lain-lain ternakan di laut.

Menurut beliau, sistem ini beroperasi melalui pemantauan secara dalam talian tanpa wayar dimana bacaan kualiti air akan dihantar ke pusat kawalan setiap 15 minit tanpa memerlukan tenaga kerja manusia di sangkar ternakan.

“Pemantaun dalam talian ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja dengan menggunakan capaian internet dan ia merupakan satu teknologi yang diperakui boleh mengurangkan kos tenaga buruh,” ujarnya ketika dihubungi.

Pauh Putra, 3 Februari – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengadakan lawatan penanda aras ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.

Delegasi terdiri daripada 26 orang itu diketuai Naib Canselornya, Dato’ Prof Dr Musa Ahmad bersama semua pengurusan tertinggi USIM termasuk dekan-dekan disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Brig Jen Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin serta pihak pengurusan tertinggi UniMAP ketika tiba di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP).

Delegasi berkenaan diberi taklimat korporat oleh Dr Kamarudin sebelum dibawa melawat PTSFP yang menjadi kebanggaan warga UniMAP, seterusnya ke Sungai Chuchuh bagi melihat projek tanaman harumanis di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) UniMAP serta Kampus Uniciti ALAM.

Dr Kamarudin berkata warga UniMAP amat mengalu-alukan kedatangan delegasi USIM ke UniMAP dan berharap jalinan kerjasama bagi memantapkan kedua-dua universiti dapat dijalinkan bersama pada masa akan datang.

“USIM dan UniMAP adalah antara universiti muda di negara ini, justeru pihak UniMAP amat mengalu-alukan sebarang usahasama yang dapat dicapai antara kedua-dua universiti ini bagi memantapkan lagi pencapaian USIM dan UniMAP sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Auditorium PTSFP, di sini.

Delegasi USIM turut diraikan dalam sebuah majlis santai di Rumah Tamu UniMAP di Kampung Kurung Tengar pada sebelah malam di samping mengadakan perbincangan bagi meningkatkan pencapaian kedua-dua universiti.

Kangar, 27 Februari – Hubungan di antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Acheh diharapkan semakin erat dengan pelbagai kerjasama dua hala yang mampu memberi banyak manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Harapan itu disuarakan oleh Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin ketika berucap mengalu-alukan kedatangan delegasi dari seberang itu di majlis makan malam di Hotel Seri Malaysia, hari ini.

Menurut Datuk Kamarudin, sebelum ini hubungan terjalin di antara UniMAP dan Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI)  dari wilayah berkenaan telah dimerterai dengan kerjasama dalam pelbagai bidang.

“Kali ini kedatangan delegasi dari Acheh disertai Ikatan Wanita Pengusaha Indonesia (IWAPI) yang bakal menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Isteri-isteri dan Kakitangan Wanita (Piskanita) UniMAP dengan aktiviti dua hala termasuk aktiviti kemasyarakatan.

“Justeru, sepertimana UUI, diharapkan hubungan dengan IWAPI juga akan semakin erat selepas ini dan UniMAP amat mengalu-alukan kedatangan kali pertama IWAPI ke Perlis khususnya UniMAP,” kata beliau.

Turut menyertai delegasi dari Acheh itu ialah isteri wakil gabenor Acheh, Marliyana Usman.

Hadir sama ke majlis makan malam berkenaan ialah Pengerusi Piskanita UniMAP  Datin Noridah Yangman dan Rektor UUI, Maniarti M.Kes.

Delegasi dari Acheh itu dijangka mengadakan lawatan kerja ke Hatyai Thailand bagi menjalinkan kerjasama di Universiti Walailak dan Universiti Prince Of Songkla (PSU) bersama delegasi UniMAP selama dua hari.

KUALA LUMPUR, 27 Februari - Manuskrip Melayu mesti diangkat sebagai punca teras untuk kita mendapat maklumat dalam mempertahankan tamadun Melayu untuk masa kini.

Itu adalah satu dari enam resolusi Seminar Institusi Raja (SIRaj III) 2015 yang dibacakan pengerusi majlis pada majlis penutupan SIRaj III 2015 yang disempurnakan Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Haji Awang Sariyan di  Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, DBP semalam.

Menurut Datuk Dr. Awang, SIRaj III 2015 adalah satu platform yang baik dalam usaha memartabatkan Institusi Raja di Malaysia.

“Malah DBP ingin terus bekerjasama dengan UniMAP bagi program seumpama ini di masa hadapan,” katanya.

Hadir sama adalah Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Lima lagi resolusi SIRaj III 2015 adalah:

  • Dalam menggarap  sejarah Melayu atau manuskrip Melayu, Institusi Raja adalah paksi kerajaan. Raja merupakan kuasa mutlak yang melahirkan adat istiadat, sistem pemerintahan, sistem adat istiadat, sistem pembesar dan juga urus tadbir kerajaan.
  • Manuskrip  Melayu  adalah bukti atau dokumen tamadun bangsa Melayu yang paling kukuh kepada kehebatan tamadun Melayu.
  • Institusi Raja adalah asas  tamadun Melayu. Daripada raja, kita memperoleh kerajaan, seterusnya melalui kerajaan urusan pentadbiran dan pemerintahan negeri serta pertumbuhan ekonomi dan sosiobudaya masyarakat dapat dikembangkan.
  • Perkembangan atau Pencetusan agama Islam sebagai agama yang dianuti telah diasaskan oleh raja. Hasil sumbangan raja ini, agama Islam dijadikan agama negeri dan kerajaan yang kekal sehingga hari ini.
  • Raja Melayu sebagai institusi yang telah dimaktubkan di dalam perlembagaan. Segala sokongan dan gerak kerja mesti  diarahkan kepada pendaulatan Institusi Raja sebagai negara berperlembagaan.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin ketika ditemui yakin bahawa resolusi yang dibentangkan akan menjadi panduan gerak kerja PKIRM dan UniMAP di masa hadapan bagi memperkukuhkan Institusi Raja di Malaysia.

Malah beliau turut menyuarakan hasrat untuk menterjemahkan manuskrip-manuskrip Melayu yang bertulisan jawi lama dalam bahasa yang boleh difahami masyarakat.

UniMAP juga akan menerbitkan manuskrip yang telah diterjemah dalam bentuk e-book bagi memudahkan masyarakat dunia mengakses maklumat tersebut,” katanya.

SIRaj III  merupakan anjuran bersama Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) UniMAP, dengan DBP dan juga Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).  

Pauh Putra, 27 Feb - Ketua Setiausaha (KSU) II, Kementerian Pendidikan Malaysia Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, melahirkan rasa puas hati dengan pembentangan projek pembangunan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan (JTPK), Kementerian Pendidikan Malaysia Sektor Pengajian Tinggi di Kampus Tetap Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kampus Pauh Putra, di sini.

Seramai 120 wakil dari IPTA dan KPM terlibat dalam mesyuarat pada kali ini.

Mesyuarat selama sehari yang dijalankan di UniMAP itu merupakan mesyuarat bulanan kementerian bagi membuat pemantauan dan melihat perkembangan terkini projek pembangunan di setiap universiti, politeknik dan kolej komuniti secara keseluruhannya.

Menurut beliau, mesyuarat pada kali ini bertujuan bagi melihat semula laporan Prestasi Perbelanjaan dan Kemajuan Fizikal Projek-projek Pembangunan RMKe-10 di setiap IPTA.

“Saya berharap segala projek yang telah dicadangkan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan,”katanya.

Turut hadir Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Pengajian Tinggi KPM, Dato’ Mohamed  Hussain, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom, Bendahari UniMAP, Puan Saodah Hassan dan Pengarah Jabatan Pembangunan UniMAP, Prof. Madya Mazelan Abdul Hamid.

Beliau turut dibawa melawat ke kolej kediaman Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) UniMAP serta turut menyempurnakan majlis Pra Perasmian Kolej Kediaman Pauh Putra.

Sebelum mesyuarat dimulakan, Dr. Zaini turut bersenamrobik bersama pengurusan tertinggi UniMAP dan ahli mesyuarat sebelum berbasikal disekitar kampus UniMAP selama 30 minit.

 

KANGAR, 27 Februari – Seramai 346 penghuni Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani (KKTAG), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberikan penghargaan pada Malam Apresiasi Tunas Akademik (MATA) baru-baru ini.

Majlis yang julung kali diadakan itu bertujuan bagi memberi penghargaan kepada penghuni kolej berkenaan yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata majlis penghargaan seperti MATA yang dianjurkan KKTAG merupakan sesuatu yang baik bagi menaikkan semangat pelajar.

“Majlis penghargaan seperti MATA ini seharusnya dianjurkan oleh semua kolej kediaman untuk memantau prestasi akademik setiap penghuni-penghuni kolej .

“Saya juga ingin menyarankan pihak pengurusan kolej memberikan keistimewaan kepada para penghuni yang mendapat keputusan cemerlang setiap semester seperti dibenarkan memilih rumah dan rakan serumah atau sebilik bagi memudahkan mereka berikteraksi dengan lebih berkesan,”katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.

Turut hadir, Pengetua KKTAG, Raja Shah Erman Raja Arifin dan Pengetua Kolej Kediaman UniCITI ALAM, Syed Akhmal Syed Jamalil.

Pada masa yang sama juga, Dr. Mohd Fo’ad juga menyambut baik cadangan pengetua kolej agar kajian diadakan dikalangan penerima anugerah berkaitan persekitaran kondusif kolej kediaman yang menyumbang kepada faktor kepada kecemerlangan akademik para penghuni.

Sementara itu, ujar Raja Shah Erman, Anugerah Kecemerlangan Akademik itu bertujuan untuk mengiktiraf penghuni tahun satu hingga empat tahun yang memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan semester 1, 2014/2015 lepas.

“Terdapat dua kategori telah diperkenalkan pada anugerah kali ini iaitu anugerah tunas akademik bestari bagi mereka yang memperoleh Purata Nilai Gred (PNG) 3.50 ke atas dan anugerah akademik tunas intelek bagi yang memperoleh PNG 3.75 ke atas.

“Dan pada malam ini kita telah memberikan anugerah ekapda 130 penghuni menerima bagi kategori tunas intelek dan 216 anugerah untuk kategori tunas bestari,”katanya.

KAHERAH,MESIR  26 Februari - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menapak selangkah lagi di persada  antarabangsa apabila bekerjasama dengan Nahda University, Mesir, dalam  menganjurkan persidangan bertajuk “Developing Higher Education in the Arab and Islamic World at the Age of Globalization and Knowledge” baru-baru ini.

Persidangan selama dua hari itu berlangsung di Triumph Hotel, dekat sini, dirasmikan isteri kepada bekas Presiden Mesir Dr Jehan Al Sadat.

Ia disertai kira-kira seramai 250 peserta yang terdiri daripada pengurusan utama universiti, pentadbir serta ahli akademik dari seluruh benua Arab, Sepanyol, Indonesia dan juga Malaysia.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom yang mewakili Naib Canselor UniMAP diberikan penghormatan untuk menyampaikan Ucaptama pada persidangan tersebut.

“ Antara perkara yang ditekankan sepanjang  persidangan ini adalah  berkisar kepada trend pengajian tinggi di peringkat global terutama bagi negara-negara Islam serta bagaimana membangunkan inisiatif bagi membantu sistem pengajian tinggi di negara Arab supaya dapat melayari cabaran global.

UniMAP berasa amat berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan dari Kesatuan Universiti Mesir untuk membantu mereka merangka pelan strategik berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang ada,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, bersempena dengan persidangan tersebut, deligasi UniMAP turut dijemput untuk  melawat Nahda University yang terletak di Beni Sewiff, 150 kilometer dari Kaherah.
disambut oleh Presiden Universiti tersebut iaitu Profesor Seddik el Efifi serta barisan pengurusan utama universiti.

Ujar Prof. Dr. Hamid lagi,  agenda lawatan tersebut adalah perbincangan kerjasama UniMAP dan Nahda University.

“Kami telah dibawa melawat ke fakulti pergigian, kejuruteraan dan komunikasi yang terletak  di dalam kampus dan delegasi UniMAP turut dibawa ke sesi temuramah bersama  Nahda TV dan Radio.

“Saya berasa amat kagum dengan pembangunan pesat universti yang diasaskan sejak tahun 2006 lalu dan pendekatan konsep praktikal yang diambil oleh pengurusan Nahda University yang ditekankan kepada pelajar-pelajar mereka,”katanya lagi.

Nahda university merupakan sebuah institut pengajian tinggi  swasta yang sedang melonjak namanya di Mesir dan mempuyai seramai 5,000 pelajar.

Turut serta dalam lawatan tersebut , Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon, Pegawai Khas Naib Canselor, En. Shafiq Hizwari dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pembangunan Insan Dan Teknokomunikasi UniMAP Dr. Amani el Ali.

Sebelum Pulang ke Malaysia,  deligasi UniMAP turut mengambil kesempatan untuk  melawat Rumah Perlis di Kaherah yang menjadi premis penginapan bagi Keluarga Pelajar Perlis (KPP).

Menurut Prof. Dr. Abdul Hamid, lawatan ke Rumah Perlis itu  bertujuan bagi mendekatkan silaturrahim dengan pelajar-pelajar yang berasal dari Perlis dan menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang menetap di situ.

Delegasi UniMAP telah diraikan dengan meriah oleh 80 orang pelajar yang tinggal di rumah Perlis dan disambut oleh Yang Dipertua KPP iaitu saudara Ahmad Mahir.

Premis Rumah Perlis ini diletak di bawah jagaan KPP yang merupakan satu badan kebajikan yang berfungsi menyatupadukan anak negeri Perlis yang belajar di Mesir. Premis terkini yang diduduki ini telah dirasmikan oleh DYTM Tuanku Syed Faizudin Putra pada tahun 2005 dan merupakan premis kedua KPP yang diletakkan di bawah hakmilik kerajaan Malaysia. Pada tahun 2011, KPP mendapat sumbangan daripada MIDF untuk pembinaan dewan dan selesai proses pembinaan pada pertengahan 2013.

KUALA LUMPUR, 26 Februari - Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail berharap agar semua aspek kajian berkaitan pemerintahan institusi raja dapat didokumentasikan sebagai satu khazanah negara.

Baginda yang juga Canselor UniMAP bertitah demikian ketika merasmikan Seminar Institusi Raja (SIRaj-III) anjuran bersama Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKRIM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perpustakaan Negara Malaysia di Dewan Seminar Dato’ Hassan Ahmad, di sini baru-baru ini.

“Ia secara tidak langsung akan menjadi bahan rujukan penting buat generasi akan datang untuk mengetahui dengan lebih jelas melalui koleksi yang dibukukan atau direkodkan dari seantero dunia ini.

“Dokumentasi ini juga akan dapat memartabatkan lagi kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang mempraktikkan Sostem Raja Berpelembagaan,”titah baginda.

Turut hadir pada majlis tersebut, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man , Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Dato’ Sri Syed Danial Syed Ahmad,  Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dato’ Seri Md. Salleh Yaapar, Timbalan Ketua Pengarah dasar DBP, Prof. Dr. Zaharani Ahmad  dan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Hajah Nafisah Ahmad.

Seminar selama sehari itu, turut mendapat kerjasama dari Kerajaan Negeri Perlis, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam, Persatuan Perlis Kuala Lumpur dan Perbadanan Nasional Berhad. Pada majlis itu juga, baginda turut berkenan merasmikan pelancaran buku “Pemerintahan Raja dan Kerajaan Perlis”  hasil nukilan Pengarah PKRIM UniMAP, Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam.

Bertemakan “Pemerintahan DiRaja Dalam Manuskrip Melayu” ucaptama  SIRaj III disampaikan Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim,  bertajuk “Raja Sebagai Pemegang Amanah Kedaulatan Bangsa Melayu Melalui Tinjauan Lama dan Baharu”.

Sebanyak 12 kertas kerja dibentangkan dalam seminar sehari itu dengan memberikan penekanan kepada enam skop yang ditetapkan iaitu Kepimpinan Diraja, Pembangunan Ekonomi Pemerintahan Diraja, Pembinaan Kesenian dan kebudayaan Pemerintahan Diraja, Pendakwahan Pemerintahan Diraja, Hubungan Luar Pemerintahan Diraja dan Surat-Surat Diraja.

Antara pembentang kertas kerja bagi SIRaj III adalah Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Ramlah Adam, Pengarah Pusat Penerbitan UniMAP, Prof. Dr. Asiah Sarji,Naib Presiden Universiti Islam Malaysia,  Prof. Dato’ Dr. Abdul Monir Yaacob dan Pensyarah kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia Dr. Mohd Kasri Saidon.

Sementara itu, Datuk Kamarudin berkata, banyak kes melibatkan penghinaan terhadap Institusi Raja dilakukan rakyat Malaysia.

“Institusi Raja adalah satu institusi yang tinggi martabatnya dan perlu dipulihara kedaulatannya dari semasa ke semasa. Dan atas dasar itulah juga prinsip rukunegara yang kedua menekankan kepada “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” agar seluruh masyarakat menumpahkan taat setia kepada Raja-Raja Melayu.

“Atas kesedaran dan prinsip rukunegara kedua itulah kami, menganjurkan SIRaj buat kali ketiga berturut-turut dengan harapan bagi melahirkan kesedaran keapda rakyat tentang pentingnya Institusi Raja sebagai teras pemerintahan negara yang berjalan seiring dengan pentadbiran demikrasi ada hari ini,”katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada majlis tersebut.

Ujar beliau lagi, sebagai sebuah pusat pengumpulan maklumat, UniMAP akan menjadikan SIRaj sebagai satu aktiviti akademik bagi penjanaan ilmu yang berterusan di masa akan datang.

Pauh Putra, 25 Februari – Pengurusan tertinggi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini mengadakan lawatan kerja sehari ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Delegasi diketuai Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohamad Kadim Suaidi itu terdiri daripada ketiga-tiga Timbalan Naib Canselor UNIMAS, Pendaftar, Bendahari UNIMAS serta Pegawai Khas Naib Canselor datang melawat UniMAP bagi menyaksikan sendiri pembangunan universiti ini yang baru berusia 13 tahun.

Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin ketika berucap dalam ucapan aluannya berkata pihak UniMAP amat berbesar hati di atas kesudian delegasi UNIMAS yang terbang dari Bumi Kenyalang itu untuk melawat UniMAP.

Katanya, lawatan ini bukan sahaja meningkatkan hubungan strategik di antara kedua-dua buah universiti malah dapat bertukar-tukar pandangan mengenai pengurusan universiti masing-masing.

“Jika tiada aral InsyaAllah delegasi UniMAP pula akan mengadakan kunjungan balas ke sana bagi menyaksikan sendiri pembangunan UNIMAS selain memperkukuhkan hubungan strategik ini,” katanya.

Turut diadakan gimik perletakan batu asas oleh Dato’ Mohamad Kadim dengan disaksikan delegasi UNIMAS dan ketua-ketua jabatan UniMAP sebagai simbol lawatan UNIMAS ke universiti ini.

Terdahulu,delegasi UNIMAS dibawa melawat Uniciti Alam dan Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) di Sungai Chuchuh bagi melihat pembangunan kampus kedua UniMAP itu serta Rumah Hijau Harumanis yang dibangunkan UniMAP dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebelum melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di Kampus Tetap Pauh Putra, di sini.

Kaherah, 23 Februari – Delegasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diketuai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Abdul Hamid Adom disambut meriah oleh 80 pelajar dari Keluarga Pelajar Perlis (KPP) ketika melawat mereka di Rumah Perlis di sini, baru-baru ini.

Prof. Dr. Abdul Hamid yang mewakili Naib Canselornya berkata, lawatan ke Rumah Perlis ini bertujuan bagi merapatkan silaturrahim dengan pelajar-pelajar dari Perlis yang menyambung pengajian di Mesir.

“Saya berharap agar pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dan memanfaatkan peluang untuk belajar di Mesir dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Malah beliau turut menyampaikan pesanan daripada Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk tidak melibatkan diri dalam sebarang bentuk aktiviti yang boleh memudaratkan kesihatan dan keselamatan mereka.

Delegasi tersebut juga turut menyampaikan sumbangan dalam bentuk wang ringgit serta buku-buku terbitan UniMAP kepada mereka dalam satu majlis ringkas.

Terdahulu, pada tahun 2005, Rumah Perlis telah dirasmikan oleh Tuanku Syed Faizudin Putra dan merupakan premis kedua di bawah jagaan KPP yang diletakkan di bawah hakmilik kerajaan Malaysia.

KPP merupakan satu badan kebajikan yang berfungsi menyatu-padukan anak negeri Perlis yang belajar di Mesir. Pada tahun 2011 pula, KPP mendapat sumbangan daripada MIDF untuk pembinaan dewan yang selesai pembinaannya pada pertengahan 2013. 

Pauh Putra, 24 Februari 2015 - Majlis “Kenduri Naik Rumah” Kolej Kediaman Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra berlangsung meriah dengan kehadiran naib canselornya bersama pengurusan tertinggi universiti.

Majlis yang diadakan sempena meraikan kemasukan pelajar ke kolej yang baharu dibuka itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,500 pelajar yang sudah mula berpindah masuk ke kolej tersebut.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin dalam ucapan aluannya berkata pihak pengurusan universiti sentiasa mengambil kira kebajikan dan keselesaan para pelajar dalam memastikan para pelajar UniMAP 100 peratus memperoleh kemudahan penginapan di dalam kampus.

“Pihak universiti sentiasa berusaha mencari inisiatif untuk meningkatkan servis penginapan dan Alhamdulillah satu lagi kolej kediaman dapat beroperasi berhampiran dengan Kampus Induk UniMAP ini iaitu Kolej Kediaman UniMAP Pauh Putra.

Apa yang lebih menarik, kedudukan kolej kediaman ini amat strategik kerana ia terletak berhadapan dengan pintu masuk ke Kampus Pauh Putra dan lokasi ini amat berdekatan dengan Pusat-Pusat Pengajian, dewan kuliah dan perpustakaan utama UniMAP,”katanya.

Beliau berharap dengan perpindahan para pelajar ke lokasi berhampiran dengan kampus UniMAP akan memudahkan anak-anak untuk ke kelas sekaligus meningkatkan semangat untuk terus memberikan pencapaian yang terbaik dalam pembelajaran,”katanya.

Menurut beliau lagi kolej tersebut sudah mula menerima pelajar pada 21 Februari 2015 lalu. Jumlah pelajar yang sudah mendaftar masuk adalah sebanyak 2010 orang yang terdiri daripada 1,375 lelaki dan 635 perempuan.

Pelajar yang terlibat adalah pelajar tahun 3 dan 4 dari lima pusat pengajian yang terdapat di Pauh Putra ini iaitu PPK  Pembuatan, PPK Mekatronik, PPK Sistem Elektrik, PPK Mikroelektronik dan PPK Komputer dan Perhubungan,”kata Prof. Dr. Kamarudin.

UniMAP telah menyewa tiga blok apartmen lapan tingkat milik Bumita Properties Sdn Bhd dilengkapi dengan 3 bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, 2 bilik air, ruang dapur dan ruang kawasan jemuran pakaian serta set perabot.

Jumlah pelajar yang dijangka dapat ditempatkan adalah seramai 2,367 orang pelajar untuk satu-satu masa dengan bilangan unit sebanyak 300 unit dan boleh menempatkan seramai 9 orang pelajar pada setiap unit apartmen.

Sementara sebahagian unit diberikan kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar bagi memudahkan pengurusan dengan pelajar-pelajar.

FEBRUARI 2015

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Satu Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T  kerana dengan keizinanNya, kita telah melangkah ke bulan Februari. Begitu cepat masa berlalu dan pada bulan 10 haribulan ini genaplah usia saya 60 tahun. Sudah 13 tahun lamanya saya bersama UniMAP.


Walaupun akan bersara wajib, saya bersyukur kerana masih diberikan kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memimpin UniMAP untuk tempoh setahun lagi. Begitu banyak kenangan bersama warga UniMAP sepanjang saya menjadi Naib Canselor di sini. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua warga UniMAP yang selama ini bersama-sama saya berusaha keras siang dan malam tanpa rasa jemu untuk menaikkan nama Universiti yang kita sayangi ini. InsyaAllah dalam tempoh setahun yang diberikan ini, saya akan berusaha untuk memastikan segala perancangan yang dibuat akan dapat dicapai.

Baru-baru ini, saya bersama ketua-ketua jabatan telah ke Universiti Ubudiyah, Aceh, untuk menjalankan bengkel perancangan strategik UniMAP untuk tahun-tahun yang akan datang. Bengkel ini merupakan puncak siri perbincangan yang telah diadakan beberapa bulan yang lalu, di mana sasaran-sasaran baru dimateri agar dijadikan panduan bagi perancangan tahun ini dan tahun-tahun berikutnya. Selain itu, bengkel tersebut telah memberi peluang ketua-ketua jabatan UniMAP berinteraksi dengan pensyarah-pensyarah dari Ubudiyah untuk mengenalpasti ruang-ruang kerjasama yang boleh diterokai, selain melihat sendiri kecekalan saudara-saudara kita di seberang bekerja keras membangunkan kehidupan setelah ditimpa malapetaka gempa bumi dan tsunami sekitar sedekad yang lalu. Saya pasti banyak pengajaran yang dipelajari hasil pertemuan tersebut. Saya harap segala pengajaran itu akan dimanfaatkan oleh setiap yang turut serta.

Sebelum mengakhiri coretan ini, ingin saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua warga UniMAP yang berketurunan Cina. Di sini saya ingin berpesan dalam keseronokan menyambut Tahun Baru Cina ini, janganlah lupa dengan keselamatan ketika berada di jalan raya. Ingatlah sanak saudara yang sedang menanti kita di kampung.

Semoga Tahun Kambing Kali Ini Memberi Seribu Makna Untuk Semua
"Gong Xi Fa Cai "

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Banda Acheh, 16 Februari – Sewaktu kali pertama dimaklumkan terpilih mengikuti Kembara Ilmu di Bumi Acheh yang dianjurkan oleh Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan (IKSK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 13 hingga 15 Februari, perkara pertama yang terlintas di benak saya ialah wajib berkunjung ke Masjid Raya Baiturrahman.

Terlalu banyak cerita yang dibaca selepas peristiwa dan kejadian tsunami melanda Banda Acheh pada 26 Disember 2004 yang lalu, terutama keadaan fizikal masjid tersebut yang masih kukuh walaupun keadaan persekitaran musnah akibat arus deras.

Selain itu, cerita-cerita masjid itu dijadikan pusat pengumpulan mayat tanpa meninggalkan kesan bau turut membangkitkan keinginan saya untuk berkunjung ke masjid yang menjadi mercu tanda dan kemegahan Islam warga Acheh yang berjumlah sekitar empat juta orang itu.

Kebanyakan cerita tersebut saya dengar hasil pengalaman rakan-rakan wartawan di Utusan Malaysia yang membuat liputan bencana tsunami di Acheh ketika itu dan sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke perkarangan masjid Baiturrahman, perasaan sayu dan hiba menyelubungi diri ini.

Maha Suci Allah, yang mendatangkan musibah tsunami dan saat yang menyedihkan buat warga Acheh namun Allah jugalah yang memberikan nikmat yang sungguh indah apabila melihat keadaan struktur fizikal masjid yang begitu indah dan tesergam megah, 11 tahun selepas bencana berlaku.

Masjid yang merupakan hasil rekaan seorang arkitek dari Itali itu di bina oleh kolonial Belanda sebagai simbolik perdamaian berikutan kemusnahan masjid lama oleh Belanda sewaktu berlakunya perang Aceh. Ia dikatakan mula di bina pada tahun 1879 dan selesai sepenuhnya pada tahun 1881.

Seni reka masjid ini melambangkan pengaruh kolonial Belanda yang begitu kuat dengan turut menggabungkan unsur binaan seni reka India dengan struktur binaan menara yang  kukuh.

Ruang dalaman yang didominasi warna putih membangkitkan satu perasaan yang cukup mendamaikan selain penggunaan batu marmar putih di ruang solat yang terbuka dengan tiupan angin yang menyamankan.

Berada dalam masjid tersebut seolah-olah mengembalikan kenangan berkunjung ke Masjidil Haram di Makkah. Maha Suci Allah, pengalaman yang diraih ini cukup indah dan akan dikenang sehingga ke akhir hayat saya.

Dalam sesi lawatan itu juga, Delegasi UniMAP yang diketuai oleh Naib Canselornya, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin turut menunaikan solat berjemaah selain menyampaikan sumbangan wang tunai untuk pengurusan dan pentadbiran masjid.

Berkenan berangkat hadir, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail.

Banda Acheh, 16 Februari – Peluang berkunjung ke Muzium Tsunami Acheh serta Pembangkit Listrik Tenaga Diesel (PLTD) Apung merupakan antara pengalaman paling menginsafkan buat delegasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sepanjang mengikuti Program Kembara Ilmu di Bumi Acheh pada 13 hingga 15 Februari lalu.

Berkenan berangkat hadir dalam sesi lawatan pada hari pertama itu ialah Raja Muda Perlis, yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Rasa sayu dan sebak menyelubungi hampir kesemua delegasi sebaik sahaja tiba di hadapan muzium tsunami yang mana terdapat rangka helikopter yang musnah akibat bencana tsunami pada 26 Disember 2004 yang lalu.

Lebih menyedihkan apabila delegasi UniMAP melalui laluan gelap gelita, sempit, berpusing-pusing  dengan binaan dinding yang basah umpama sedang berada di dalam lautan yang gelap gelita dan apabila pandangan di arahkan ke bahagian atas laluan, akan terpamer perkatan Allah yang pasti akan membangkitkan keinsafan.

Dengan bentuk muzium yang dibina seakan-akan bahtera besar yang menyelamatkan manusia, delegasi UniMAP seterusnya berpeluang menyaksikan tayangan gambar-gambar bencana tsunami melalui panel skrin yang disediakan secara bertingkat.

Delegasi UniMAP seterusnya dibawa masuk ke ruang berbentuk bulat yang menghimpunkan ratusan ribu nama-nama mangsa tsunami yang dipahat dengan begitu cantik di bahagian dinding ruang. Delegasi UniMAP turut menghadiahkan doa untuk mangsa-mangsa Tsunami yang diketuai oleh Pengarah Pusat Islam UniMAP, Ustaz Hassan Arshad.

Sesi lawatan diteruskan dengan tayangan video tsunami di aras satu yang mana sebelum itu delegasi UniMAP perlu melalui satu ruang jambatan yang panjang dan dihiasi bendera-bendera negara yang menghulurkan bantuan ketika tsunami di bahagian atas bumbung laluan jambatan tersebut.

Sebaik tayangan video yang berdurasi sekitar sembilan minit, delegasi UniMAP di bawa melawat ruang pameran yang menempatkan gambar dan barangan bersejarah kesan tsunami serta keadaan bentuk muka bumi bandar acheh sebelum dan selepas kejadian.

Turut dipaparkan ialah gambaran pelukis ketinggian ombak yang melanda acheh, lukisan keadaan tsunami serta lukisan-lukisan keadaan persekitaran bandar Acheh selepas kejadian tsunami termasuk keadaan Masjid Raya Baiturrahman yang boleh diibaratkan seperti padang jarak padang tekukur.

Lawatan ke muzium di akhiri dengan sesi bergambar di perkarangan pintu masuk muzium sebelum diteruskan dengan sesi lawatan di PLTD Apung di daerah Punge Blang Cut di Banda Acheh.

Keadaan fizikal kapal tersebut tersebut dengan keberatan 2,600 tan, ukuran panjang sekitar 63 meter serta keluasan 1,900 meter persegi merupakan bukti nyata betapa dasyatnya kejadian tsunami yang melanda Acheh 11 tahun dahulu sehingga mampu menghempaskan kapal tersebut pada jarak kira-kira lima kilometer dari lokasi asal iaitu di sekitar Pelabuhan Ulee Lheue.

Monumen kapal PLTD Apung yang dinamakan Gelombang, Waktu dan Puing dibina di pintu masuk dengan corak ukiran tsunami yang begitu berseni selain turut memaparkan sejarah kapal, batu tanda peringatan serta nama-nama mangsa yang terkorban.di Dusun Lampoh Lubhouk, Dusun Tuan Dikandang.

Persekitaran bandar Acheh dengan menggunakan teropong turut boleh disaksikan dari puncak kapal PLTD Apung.

Banda Acheh, 15 Februari  - Bersempena dengan program Kembara Imu di Bumi Acheh, delegasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diketuai oleh Canselornya, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut mengambil peluang mempromosikan masakan Perlis di Acheh.

Promosi tersebut merupakan sebahagian daripada agenda wajib yang merupakan inisiatif Canselor sendiri dalam setiap rangka kerja lawatan baginda ke luar negara bagi membantu menarik kunjungan pelancong ke Malaysia khususnya Perlis.

Sebelum ini, promosi seumpamanya pernah di adakan antaranya di China, United Kingdom, Poland, Uzbekistan, Indonesia, Myanmar, Jepun, Vietnam, Qatar, Thailand, Australia, New Zealand, Jerman, Switzerland.

Antara masakan yang dipromosikan ialah, Nasi Kerabu, Buah Melaka, Pulut Ikan Masin serta Mee Kuah Tulang yang menggunakan produk keluaran UniMAP iaitu MeeGo yang dihasilkan daripada tepung berasaskan mangga.

Ia diadakan bersempena jamuan petang mee dan kopi Acheh yang dianjurkan oleh Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) bersebelahan Sungai Alue Naga yang terletak berhadapan kampus UUI.

Aneka juadah hidangan disajikan kepada warga UniMAP antaranya kuih muih tradisi Acheh, rojak buah-buahan, air kelapa serta murtabak.

Banda Acheh, 15 Februari – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig.Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin menerima kejutan hari lahir daripada warga Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) sebaik sahaja selesai membentangkan Pelan Strategik dan Hala Tuju UniMAP 2016-2020 di Dewan Plenarri UUI di sini.

Kejutan tersebut dimulakan dengan tayangan multimedia khas yang memaparkan ucapan selamat dan penghargaan dari warga UUI kepada Datuk Kamarudin termasuk ucapan khas dari Rektor UUI, Marniati M. Kes serta Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia, Dedi Zefrizal ST.

Sebaik sahaja tayangan multimedia itu selesai, para pensyarah dan warga kerja UUI menolak masuk kek sambil diiringi lagu Selamat Ulang Tahun dan Allah Panjangkan Usia diikuti sesi memotong dan menyuap kek.

Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut bercemar duli berangkat hadir ke Majlis tersebut. Turut hadir, isteri Naib Canselor UniMAP yang juga Pengerusi Piskanita UniMAP, Datin Noridah Yangman, Pengerusi Eksekutif Proven Holdings Group Sdn. Bhd, Datuk Yusof Jusoh serta Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, Mohd. Nizar Haji Sudin.

Menurut Marniati, selain kejutan hari lahir, ia juga merupakan sebahagian daripada penghargaan UUI terhadap Datuk Kamarudin yang diibaratkan seperti ayah yang banyak membantu beliau dan UUI untuk menjadi antara universiti terbaik di persada antarabangsa.

“Saya terlalu mengkagumi ketokohan beliau dan komitmen beliau dalam membantu kami di UUI selama ini. Beliau merupakan idola kami di UUI dan banyak memberikan tunjuk ajar bagaimana membangunkan dan meningkatkan keterlihatan universiti di persada antarabangsa.

“Selain berkongsi mengenai akademik dan penyelidikan, beliau juga sering membuka peluang hubungan antarabangsa kepada kami melalui pelbagai platform antaranya Asian Universiti President’s Forum (AUPF) dan Asian Summer Program (ASP),” ujarnya.

Marniati juga turut menyambut baik perlantikan semula Datuk Kamarudin sebagai Naib Canselor UniMAP selepas bersara wajib pada 10 Februari lalu.

KOTA BHARU, 15 Februari — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghantar staf yang terdiri dari tenaga pengajar dan pentadbir bagi berkongsi kepakaran pada Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan, di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, baru-baru ini

Persidangan  itu merupakan  anjuran USM dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan, Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan bertujuan untuk mengetengahkan pengetahuan, pemahaman dan meningkatkan kesedaran pemulihan pasca banjir serta mencari penyelesaian yang lestari.

Ia telah disertai lebih 300 peserta dari pelbagai sektor kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh negara.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) UniMAP berkata, kerajaan negeri perlu memperuntukkan sebahagian bajet tahunan bagi tujuan pengurusan bencana termasuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengumpulkan dana sumbangan dari individu atau pihak tertentu.

“Kerajaan negeri perlu mewujudkan  satu jawatankuasa  yang mempunyai peruntukan khas supaya pengagihan bantuan bencana boleh dilakukan dengan mudah dan mengelakkan berlakunya penipuan,”katanya yang membincangkan tajuk Kerangka dan Polisi.

Sementara itu bagi Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan UniMAP yang membincangkan tajuk ekonomi dan penghasilan berkata,  kerajaan persekutuan khususnya Majlis Keselamatan Negara perlu membangunkan satu panduan tetap dalam menguruskan sukarelawan.

“ Para sukarelawan perlulah dilengkapkan dengan pelbagai pengetahuan dari aspek sebelum, semasa dan selepas menguruskan bencana agar mereka betul-betul dalam keadaan bersedia dari segi mental, fizikal dan rohani selain mewujudkan ‘Bank Data’ sukarelawan di Malaysia,”katanya.

Antara staf UniMAP yang turut serta pada persidangan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan UniMAP, Prof. Madya Ir. Ghafar Ahmad, Penolong Pendaftar Jabatan Keselamatan UniMAP, Mohamad Irhamuddin Mansor dan Pengetua Kolej Kediaman UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil.

Banda Acheh, 15 Februari – Rektor Universitas Ubudiyah Indonesia, Marniati M. Kes dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk tempoh dua tahun.

Pelantikan tersebut diserahkan sendiri oleh Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin selepas selesai Program Pembentangan Strategik dan Hala Tuju UniMAP 2016-2020 di Dewan Plenary UUI di sini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP berkenan berangkat hadir menyaksikan pelantikan tersebut.Turut hadir, Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia (YUI), Dedi Zefrizal ST serta semua Pengurusan Tertinggi, Dekan dan Ketua Jabatan UniMAP.

Menurut Datuk Kamarudin, pelantikan tersebut di buat atas pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh Marniati terutama dalam membangunkan sebuah universiti di Acheh selepas kejadian Tsunami pada tahun 2004 yang lalu.

UniMAP amat mengkagumi komitmen dan kerja keras beliau dalam membangunkan UUI termasuk dalam aspek pengantarabangsaan yang menjadikan UUI antara Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang terkenal di Acheh meskipun baru berusia awal 30-an.

“Dengan pelantikan ini, saya berharap beliau dapat berkongsi pengalaman dan ilmu yang dimiliki dengan warga kerja serta pelajar UniMAP,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Marniati berkata, pelantikan tersebut merupakan pengiktirafan istimewa untuk beliau dan ia menyuntik semangat beliau untuk terus berjaya.

“Jika dibandingkan pengalaman saya dengan pengalaman Datuk Kamarudin memang jauh bezanya, namun penghargaan yang diberikan oleh beliau (Datuk Kamarudin) dan UniMAP ini amat saya hargai dan akan menggunakan platform Profesor Adjung ini bukan sahaja untuk berkongsi pengalaman saya dengan UniMAP sebaliknya meraih sebanyak mungkin pengalaman melalui kejayaan UniMAP,” ujar beliau.

Kangar, 15 Februari (Bernama) - Kerjasama erat yang terjalin antara Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) di Acheh akan lebih melonjak melalui pelaksanaan lebih banyak usaha secara bersama.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ia boleh dilaksanakan melalui promosi, pendedahan dan perkongsian maklumat yang memberi gambaran jelas mengenai landskap pembelajaran di kedua-dua universiti.

Syed Faizuddin bertitah keputusan kerajaan Acheh menaja rakyatnya yang berkelayakan menyambung pengajian ijazah sarjana muda di UniMAP bermula tahun ini bakal membuka lebih banyak ruang untuk meningkatkan kerjasama tersebut.

"Unimap akan menggunakan tenaga pakar akademiknya bagi membantu penganjuran seminar, penyelidikan dan penulisan artikel ilmiah oleh pensyarah UUI termasuk menerbitkan kertas kerja penyelidikan untuk dikemukakan kepada jurnal terindeks seperti Scopus," titah baginda.

Syed Faizuddin yang juga Canselor Unimap bertitah selepas berkenan merasmikan sebuah bangunan tiga tingkat yang diberi nama 'Gedung Perkuliahan Tarmizi bin Ayus' di kampus utama UUI, Banda Acheh, petang semalam.    

Turut hadir ketua Yayasan Ubudiyah, Dedi Zefrizal serta Rektor UUI, Marniati Kes.

Kenyataan baginda dikeluarkan oleh pejabat Canselor Unimap di sini hari ini.

Menurut Syed Faizuddin, Unimap juga akan membantu menyusun semula kurikulum bersangkutan program yang ditawarkan UniMAP serta menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran di UUI berdasarkan kaedah dan amalan Unimap.

"Bantuan ini diteruskan dengan meningkatkan penglibatan bersama dalam bidang penyelidikan antara Unimap dan UUI selain tenaga pengajar UniMAP memberi syarahan atau kuliah di UUI dari semasa ke semasa," titah baginda.

Naib Canselor Unimap, Datuk Prof Dr Kamaruddin Hussin ialah penasihat kepada UUI yang dilantik tahun lepas bagi membantu membangunkan sistem akademik yang efisien dan sistematik ke arah menjadikan UUI 'Universiti Siber Berkelas Dunia' menjelang tahun 2025.

Pada majlis itu, Syed Faizuddin berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah pembinaan sebuah kincir angin sumbangan anak Perlis, Tariq Husni yang merupakan pengurus projek di Mechanical Training Solutions Sdn Bhd Malaysia kepada UUI. - Bernama

Banda Acheh, 15 Februari – UniMAP Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) dan Yayasan Ubudiyah Indonesia (YUI) memeterai kerjasama strategik khususnya dalam aspek pembangunan latihan dan kerjaya selain turut merangkumi kerjasama dalam aspek pendidikan dan penyelidikan.

Pengurus Operasi UHSB, Dr. Mohd. Najmuddin Hassan berkata,  menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) selain turut merancang lawatan ilmiah di Malaysia dan Acheh.

Menurut beliau lagi, kerjasama tersebut antara lainnya membolehkan YUI dan UniMAP saling berkongsi kepakaran teknikal selain turut bersetuju agar kedua-dua pihak berkongsi kemudahan akademik, latihan dan penyelidikan yang dimiliki.

“Perjanjian ini akan terus ditambahbaik dari semasa ke semasa dan untuk permulaan ini semua perjanjian sah dalam tempoh tiga tahun,” ujar beliau selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara USHB dan YUI.

Pada majlis tersebut, UHSB diwakili oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UHSB manakala YUI diwakili oleh Ketuanya, Dedi Zefrizal ST. Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat hadir menyaksikan majlis MoU tersebut.

Turut hadir menyaksikan, Ahli Lembaga Pengarah UHSB, Datuk Wira Salleh Haji Din dan Rektor UUI, Marniati M. Kes.

MoU tersebut diadakan bersempena Program Kembara Ilmu Di Bumi Acheh yang disertai oleh semua Pengurusan Tertinggi , Dekan serta Ketua Jabatan UniMAP. Terdahulu, Datuk Kamarudin turut membentangkan Pelan Strategik UniMAP untuk tempoh lima tahun mulai 2016 hingga 2020.

YUI ditubuhkan khusus untuk melahirkan lebih ramai sumber manusia yang kompetitif dalam pelbagai bidang dan aspek khususnya pendidikan serta penyelidikan seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi dan politik di Indonesia amnya dan Acheh khasnya.

 

 

KUALA LUMPUR, 15 Februari 2015 - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mempertahankan kejuaraannya  buat kali ke  berturut-turut tiga tahun berturut-turut di Malaysia Technology Expo (MTE) 2015 yang berlangsung pada 12 hingga 14 Februari lalu,  di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Pada pameran yang berlangsung selama tiga hari itu, kumpulan penyelidik UniMAP berjaya membawa pulang 10 pingat emas 14 perak dan 10 gangsa serta tiga anugerah khas.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, berkata, pada penyertaan kali ini, UniMAP lebih menumpukan kepada produk-produk yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

“Pada penyertaan kali ini, UniMAP  menghantar sebanyak 35 produk, sama seperti tahun lalu dan saya amat bersyukur kerana dengan produk-produk ini, kita dapat mengekalkan kejuaraan malahan  tiga produk UniMAP telah berjaya memikat hati juri sekaligus mendapat anugerah khas.

“Dua produk Profesor Dr. Uda Hashim iaitu Salivary Glucose Measurement For Diabetes Mellitus mendapat anugerah khas Croatia INOVA  manakala produk  HPV Cervical Cancer Sensor Detection Kit meraih anugerah The Very Best Award yang membolehkan beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000, trofi dan sijil penghargaan,”katanya ketika dihubungi semalam.

Ujarnya lagi, satu lagi produk yang meraih anugerah khas The Best Award adalah hasil penyelidikan Prof. Madya Dr. Kenneth Sundaraj yang bertajuk  IPOD - Intelligent Pulmonary Online Diagnosi dan membawa pulang wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif  Malaysia Technology Developement Corporation, Datuk Norhalim Yunus.

MTE 2015 anjuran oleh Malaysian Association of Research Scientists (MARS) dan PROTEMP Exhibition Sdn. Bhd. disertai lebih 300 produk penyelidikan dari 14 institut penyelidikan awam dan swasta.

Banda Acheh, 15 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dalam rangka Program Kembara Ilmu di Bumi Acheh turut berkesempatan berkunjung ke rumah anak-anak yatim Panti Asuhan Yayasan Penyantun Islam (YPI) di Seutui di sini.

Berkenan berangkat hadir dalam lawatan tersebut ialah Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, Rektor Universitas Ubudiyah Indonesia, Marniati M. Kes, Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia, Dedi Zefrizal ST dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Pendidikan, Mohd. Nizar Haji Sudin.

Panti asuhan tersebut ditubuhkan semenjak tahun 1959 oleh Ustaz Zulkarnaen namun selepas kejadia tsunami yang melanda acheh, ia diubah suai mengikut hasil model rencana kontingensi bencana Gempa-Tsunami bagi mengumpulkan anak-anak mangsa tsunami yang terselamat dari bencana tetapi kehilangan harta benda, ibu atau ayah dalam bencana tersebut.

PYI menghimpunkan hampir 60 orang anak-anak yatim berusia di antara enam hingga 17 tahun. Kesemua anak-anak tersebut akan tinggal di YPI tersebut sehingga menamatkan persekolahan peringkat sekolah menengah rendah atau sekolah menengah atas.

Menurut guru agama panti asuhan YPI, sebahagian besar anak-anak akan kembali ke kampung halaman masing-masing sebaik tamat pengajian peringkat sekolah sama ada untuk meneruskan kelansungan hidup dengan bekerja atau menyambung pengajian ke pringkat universiti.

“Anak-anak ini akan dihantar bersekolah pada waktu siang sama seperti anak-anak lainnya, dan pada waktu malam akan mengikuti kelas pengajian Al-Quran dan kuliah agama,” ujar beliau sewaktu sesi taklimat dan pengenalan.

Pada sesi kunjungan tersebut juga, UniMAP turut menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai kepada pentadbiran panti asuhan selain turut sumbangan duit belanja kepada anak-anak YPI.

Selain itu, anak-anak YPI turut dihiburkan dengan sesi aktiviti dan permainan yang dikendalikan oleh Penolong Pendaftar UniMAP, Muhammad Azuan Mohd. Nasir.

Dalam pada itu, Datuk Kamarudin melahirkan rasa kagum dengan semangat anak-anak PYI yang begitu ceria dan bersemangat menerima kunjungan tetamu meskipun dalam keadaan serba kekurangan.

Beliau seterusnya menasihati anak-anak YPI untuk belajar bersungguh-sungguh sebagai jaminan masa hadapan masing-masing.

“Saya terharu, bangga dan kagum dengan semangat kental anak-anak ini yang pada hemat saya amat gembira dengan kehidupan mereka di panti asuhan ini,” ujar beliau.

 

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu melebarkan kolaborasinya dengan institusi pengajian tinggi yang terbaik di luar negara selain menjalin kerjasama dengan sektor industri dan agensi kerajaan, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP berharap, langkah itu bukan sahaja menjadikan universiti itu melonjak namanya di persada antarabangsa tetapi dapat menghasilkan graduan yang holistik dan modal insan yang releven dengan kehendak negara.

"UniMAP juga perlu memberi fokus kepada kegiatan pengkomersialan dan pembinaan harta intelek selain penjanaan pembangunan sosio ekonomi dan perkembangan sosial masyarakat," titah baginda ketika merasmikan pembentangan 'Hala Tuju Pelan Strategik UniMAP 2015-2020' di Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI), Banda Acheh, Indonesia hari ini.

Pembentangan pelan strategik lima tahun itu dilakukan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin kepada para pegawai tertinggi UUI, yang telah menjalin kerjasama akademik dengan UniMAP beberapa tahun lalu.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan UniMAP di sini, baginda juga mahu universiti itu menghasilkan lebih banyak kajian dan penyelidikan dalam aspek sains dan teknologi bagi menghasilkan produk bermanfaat kepada masyarakat yang secara tidak langsung menyumbang kepada sumber kekayaan universiti dan negara.

Melalui kolaborasi yang telah dan bakal terjalin dengan pelbagai pihak yang berpotensi, baginda yakin UniMAP mampu berdepan dengan cabaran dan persaingan global yang semakin sengit terutama sektor ekonomi yang bertunjangkan kekuatan sains dan teknologi.

Pada majlis itu juga, seorang usahawan Malaysia, Datuk Yusof Jusoh, Pengerusi Eksekutif Proven Group of Companies menyampaikan ucapan bertajuk 'Transformasi Akademia' kepada para pegawai kanan UUI.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP Prof Emeritus Datuk Ir Dr Zainai Mohamed, Ketua Yayasan Ubudiyah Dedi Zefrizal dan Rektor UUI Marniati M. Kes.

 

KANGAR, 14 Feb (Bernama) -- Kelebihan hubungan rapat antara Malaysia dan Indonesia hendaklah dipelihara dan diperkasakan lagi bagi mewujudkan situasi politik yang stabil.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah persamaan budaya dan bahasa yang menjadi teras dan kekuatan utama kedua-dua negara turut menjadi nilai tambah dalam mengukuhkan hubungan yang memanfaatkan rakyat Malaysia dan Indonesia.

"Kelebihan ini wajar disemarakkan lagi untuk memastikan hubungan sesama pemimpin dipelihara. Segala kebaikan hendaklah ditingkatkan dan kekurangan dicari jalan penyelesaian.

"Jangan sekali-kali biarkan rasa curiga atau berkecil hati merosakkan hubungan ini," titah baginda pada majlis makan malam yang diraikan Gabenor Acheh, Dr H. Zaini Abdullah dan isteri di kediaman rasminya di Banda Acheh, Indonesia malam tadi.

Turut hadir, Rektor Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI), Marniati M. Kes dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin.

Kenyataan media Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP dikeluarkan universiti itu di sini hari ini.

Baginda bertitah rakyat akan menerima kesan kemakmuran dan pelbagai aktiviti terutama yang menjurus kepada peningkatan ekonomi apabila hubungan rapat itu berada di tahap terbaik.

Sementara itu, Dr H. Zaini dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan pelabur Malaysia termasuk dari Perlis untuk melihat potensi pelaburan khususnya dalam sektor pendidikan, pertanian, pelancongan dan perikanan di Acheh.

Tuanku Syed Faizuddin yang mengetuai delegasi pegawai kanan UniMAP, tiba di Acheh pada Jumaat dan dijadual merasmikan 'Halatuju Pelan Strategik UniMAP 2016-2020' di UUI, Banda Acheh hari ini.

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Banda Acheh, baginda dan rombongan meluangkan masa melawat Muzium Tsunami dan Kapal Apung.

Hari ini, selain merasmikan pelan strategik UniMAP itu, baginda akan mengadakan pertemuan berasingan dengan Timbalan Gabenor Walikota (Datuk Bandar) Banda Acheh, kepimpinan UUI dan menyaksikan majlis pecah tanah kincir angin di universiti itu yang merupakan rakan kolaborasi rapat UniMAP- BERNAMA

Kuala Lumpur, 13 Februari 2015 – -  Nihon Superior Co Ltd bersetuju bagi melanjutkan kolaborasi dan tambahan geran penyelidikan dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bernilai kira-kira RM70 000.

Syarikat pengeluar bahan pateri terkemuka dunia yang berpengkalan di Osaka Jepun itu sebelum ini sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) dengan UniMAP pada tahun 2013 bagi pembiayaan geran penyelidikan dan kolaborasi dalam bidang berkenaan selama dua tahun membabitkan RM300 000.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata kolaborasi ini juga meliputi pembiayaan seramai lima pelajar sarjana di bawah projek penyelidikan dan pembangunan dalam kejuruteraan bahan pateri serta berjaya dilakukan dengan cemerlang.

Katanya, UniMAP melahirkan setinggi penghargaan di atas kepercayaan syarikat berkenaan bagi memperbaharui kolaborasi penyelidikan berkenaan sekaligus memberi peluang kepada penyelidik UniMAP meningkatkan usaha penyelidikan dalam bidang itu.

"Kolaborasi yang telah bermula sejak 2013 ini telah berjaya dan pihak Nihon Superior bersetuju bagi melanjutkan kolaborasi penyelidikan ini selama tambahan dua tahun bermula tahun ini hingga 2017  dan seterusnya bersetuju menambah jumlah geran penyelidikan dan tambahan pembiayaan pelajar sarjana.

"Saya juga berharap kepercayaan ini akan digunakan sebaiknya oleh para penyelidik UniMAP bagi menjalankan usaha penyelidikan dalam bidang kejuruteraan bahan pateri ini dengan lebih cemerlang", katanya dalam satu kenyataan di UniMAP baru-baru ini.

Menurutnya, tambahan geran ini telah dipersetujui oleh pihak Nihon Superior semasa lawatan dan eksperimen ketua penyelidik projek UniMAP-Nihon Superior dari Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech), Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP, Mohd Arif Anuar Mohd Salleh ke SPring-8 Synchrotron, Osaka Jepun pada 5 Februari lalu.

"Eksperimen menggunakan teknik pengambaran synchrotron ini telah berjaya dan merupakan eksperimen bersama Kyoto University Jepun, Imperial College London, University of Queensland dan UniMAP sendiri.

"Eksperimen ini juga merupakan salah satu kemudahan yang dipersetujui bersama dalam perjanjian sebelum ini," katanya.

Ketua penyelidik projek UniMAP-Nihon Superior dari Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech), Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP, Mohd Arif Anuar Mohd Salleh (berbaju belang) mengetuai perbincangan dengan pihak Nihon Superior di SPring-8 Synchrotron, Osaka Jepun pada 5 Februari lalu.

Kangar – Dalam mempraktikkan dasar kampus hijau, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan usaha mengurangkan kesan pencemaran ke atas alam sekitar dengan menggunakan sistem baru iaitu The QFX3000-M QFabric System dari The Juniper Networks Sistem QFabric®.
Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (ICT) UniMAP, Nasrudin Abd. Shukor ketika dihubungi baru-baru ini yang yakin bahawa teknologi tersebut akan membantu memelihara alam sekitar serta mengurangkan kos operasi data di samping mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelajar, kakitangan dan pihak luar.

UniMAP percaya dengan menggunakan teknologi terkini di kelas, makmal penyelidikan, pentadbiran akan membantu menarik minat pelajar pintar, pensyarah yang berkaliber di samping meningkatkan dana penyelidikan universiti.
“Sistem ini dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada Februari 2015 dan UniMAP adalah universiti pertama yang menggunakannya di Malaysia,” katanya.

The QFX3000-M QFabric Sistem direka bentuk untuk  beroperasi dengan kecekapan tenaga yang optimum di mana alat-alat yang digunakan adalah jauh lebih kecil berbanding satu rangkaian pusat data konvensional.

“Juniper Networks QFabric membolehkan UniMAP menyatukan kira-kira 100 pelayan yang sedia ada kepada hanya 2 pelayan berkapasiti tinggi yang bersaiz sehingga 200 mesin maya, sekali gus mengurangkan penggunaan kuasa dan memberi lebih ruang untuk menyokong perkhidmatan keluar.

“Pusat data ICT UniMAP boleh beroperasi lebih 30 kali dari saiz semasanya dan digunakan untuk e-perkhidmatan baru, pengajaran, penyelidikan menggunakan pengkomputeran berprestasi tinggi serta berkemungkinan perkongsian perkhidmatan ‘cloud’ untuk jabatan-jabatan kerajaan tempatan di negeri Perlis,” katanya

Pusat ICT UniMAP kini menawarkan lebih dari 50 sistem berasaskan web untuk pelajar dan kakitangan, di mana beberapa sistemnya telah dipertingkatkan sebagai aplikasi mudah alih Android dan melalui penggunaan sistem QFX3000-M dijangka akan mempercepatkan sistem respon pengguna selain penyampaian perkhidmatan yang lebih baik.

Kangar, 11 Februari  2015 – Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin terus diberikan kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menerajui Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) apabila beliau telah disambung semula kontraknya selama setahun sebagai Naib Canselor setelah bersara wajib pada umur 60 tahun 10 Februari 2015.

Beliau mula berkhidmat sebagai rektor pertama UniMAP pada 16 Februari 2002 yang ketika itu dikenali dengan Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) sebelum melalui proses penjenamaan sebagai sebuah universiti pada 1 Mac 2007.

Tempoh perkhidmatan selama 14 tahun ini menjadikan beliau antara peneraju paling lama bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini. Beliau juga terus menerajui Pengerusi Jawatankuasa Induk Naib Canselor/Rektor IPTA yang disandangnya bermula 2014 lalu.

Prof Dr. Kamarudin merupakan seorang yang peramah, sangat patriotik, sentiasa berfikiran positif dan proaktif dalam melaksanakan sebarang tugas yang diamanahkan.

Beliau ketika dihubungi merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak kerajaan dan KPM kerana terus memberikan kepercayaan untuk terus memimpin UniMAP.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana bermula dengan proses untuk membina KUKUM di bumi Perlis pada tahun 2002, sehinggalah kini, UniMAP telah mencapai pelbagai kejayaan sama ada dalam bidang penyelidikan, akademik, kebudayaan, sukan, mahupun khidmat sukarelawan.

Bukan senang untuk membangunkan sesebuah universiti melainkan dengan kesabaran dan tekad yang tinggi.  Saya juga amat menghargai semua jasa dan pengorbanan warga UniMAP yang sentiasa bersedia melaksanakan sebarang tanggungjawab yang diberikan sehinggalah UniMAP kini dikenali bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia. 

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu merupakan alumni Universiti Sains Malaysia bagi program Ijazah Sarjana Sains dengan kepujian Kimia pada tahun 1979 sebelum meneruskan  pengajian sarjana di universiti yang sama pada tahun 1982. Beliau seterusnya memperoleh doktor falsafah juga di USM dan  Kalgoorlie School of Mines, Australia.

Prof. Dr. Kamarudin memulakan khidmat sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Kimia, USM pada tahun 1982 sebelum menjawat pelbagai jawatan antaranya Pengerusi Rancangan Kimia, Timbalan Dekan, Dekan, seterusnya Pengarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia di Tronoh pada tahun 2001 hingga 2002 sebelum dilantik sebagai rektor KUKUM.

PAUH PUTRA (ARAU), 11 Feb (Bernama) - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat untuk terus berdaya saing dan relevan dengan menyasarkan berada dalam ranking ke-500 universiti terbaik dunia menjelang 2020.

Naib Canselornya Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata antara strategi ke arah mencapai matlamat itu ialah penubuhan pasukan 'Intelligent QS' bagi memastikan kriteria dan indikator yang ditetapkan dipenuhi.

"Berdasarkan QS World Universitites Ranking and Rating, UniMAP kini berada antara 750 hingga 800 universiti terbaik dunia walaupun ia universiti awam termuda negara yang menduduki tangga 243 di Asia.

"Ini menunjukkan kita sedang mendekati indikator untuk mencapai kedudukan 500 terbaik dunia tetapi perlu terus berusaha selain memastikan UniMAP relevan dengan perkembangan semasa,"katanya selepas menyampai ucap tama selepas dilantik semula sebagai Naib Canselor UniMAP di sini, Rabu.


Beliau menamatkan perkhidmatan semalam dengan mencatat sejarah sebagai Naib Canselor paling lama memegang jawatan itu selama 13 tahun dan dilantik semula secara kontrak selama setahun bermula hari ini.

Indikator lain ialah reputasi majikan, nisbah sitasi per pensyarah, nisbah penerbitan per pensyarah, jumlah pelajar antarabangsa serta pertukaran pelajar dalam negeri dan luar negara, katanya.

"Kita telah menghampiri indikator ini...dan perlu melaksanakan banyak lagi inisiatif sekiranya berhasrat mencapai kedudukan antara 500 universiti terbaik dunia pada tahun 2020," katanya.

Kamarudin berkata UniMAP akan melantik profesor dari universiti terkemuka dunia untuk menilai penerbitan dan kegiatannya yang akan dihantar setiap minggu bagi melonjak kedudukannya.

Perancangan juga dibuat untuk menjana pendapatan sehingga 30 peratus dari jumlah perbelanjaan UniMAP setahun menjelang 2020 berbanding 15 peratus pada masa ini.

"Usaha ini akan dilaksanakan antaranya melalui kerjasama keusahawanan dengan pihak luar, meningkatkan endowmen, memanfaatkan litar go-kart, pembinaan sekolah antarabangsa di UniCiti di Padang Besar dan memajukan Putrace (Proven UniMAP Training Centre) untuk pertandingan robot," katanya.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Kamarudin meminta kakitangan UniMAP menyumbang pendapat ke arah meningkatkan daya saing universiti itu.

Beliau berkata UniMAP menyertai Liga QS Universities Ranking and Rating adalah selari dengan tujuan penubuhannya menjadi universiti kejuruteraan terkemuka dunia.

"Saya juga berbangga kerana UniMAP turut menghantar 2,100 sukarelawan dianggotai 1,900 pelajar dan 200 staf membantu mangsa banjir pantai timur baru-baru ini di samping menyumbang kutipan sebanyak RM41,041," katanya.

Majlis itu dihadiri pegawai-pegawai kanan serta staf-staf UniMAP.

Kangar, 10 Februari – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini meraikan ulangtahun kelahiran yang ke-60 sekaligus menamatkan perkhidmatannya sebagai penjawat awam.

Majlis persaraan wajib dan ulang tahun kelahiran Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin selepas 33 tahun berkhidmat di sektor awam diraikan oleh kakitangan UniMAP yang diadakan sejak pagi menerusi aktiviti senamrobik, majlis doa selamat dan jamuan.

Datuk Kamarudin berkata, selama 33 tahun sebagai penjawat awam dan 13 tahun membangunkan UniMAP, banyak kenangan serta sejarah terlakar sejak awal penubuhan Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM).

Katanya, banyak perubahan sudah berlaku kepada UniMAP  yang berlaku di depan matanya menyebabkan kasih sayangnya pada UniMAP tidak akan pernah luntur.

“Lebih bermakna pengorbanan isteri, Datin Noridah Yangman dan keempat-empat anak saya terhadap kesibukan saya membangunkan UniMAP demi anak bangsa sehingga hanya mempunyai masa yang terhad dengan mereka.

“Tanpa pengorbanan mereka, saya tidak teguh berdiri di sini bersama-sama warga UniMAP sejak mula penubuhan sehinggalah sekarang sekaligus menyaksikan kejayaan demi kejayaan yang berjaya diraih UniMAP,” katanya.

Datuk Kamarudin turut mengimbau pertama kali menjejakkan kaki ke negeri Perlis selain beberapa ahli pengurusan tertinggi UniMAP ketika awal penubuhan yang silih berganti sehingga kini.

Terdahulu turut diadakan majlis santai bersama ketua-ketua jabatan dan dekan UniMAP bersama Datuk Kamarudin sekeluarga sebelum beliau melakukan “touch out” sebagai gimik berakhirnya tempoh beliau sebagai penjawat awam.

Datuk Kamarudin menerajui UniMAP semula selama setahun sehingga 2016 secara kontrak selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


 

Kota Kinabalu, 10 Februari -  Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan Program Usahasama bersama Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Anugerah Bestari (JAKMAS AB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui penganjuran Program Silang Budaya Ilmu di sini.

Program berteraskan kepada pengukuhan peranan pemimpin kolej kediaman, khidmat komuniti dan patriotisme yang berlangsung dari 6 hingga 10 Februari itu melibatkan penyertaan seramai 20 Ahli MPKK kolej Tan Sri Aishah Ghani (MPKKTAG) UniMAP, 15 Ahli JAKMAS UMS bersama 5 orang staf UniMAP.

Menurut Pengarah Program, Mohamad Rafi’uddin Mohaygen yang juga merupakan Yang Dipertua MPKKTAG, program ini mendapat kerjasama sepenuhnya pihak Kolej Kediaman AB UMS dimana ia turut merangkumi aktiviti lawatan kampus, perkongsian pintar, persembahan kebudayaan, sukan persahabatan, program motivasi dan khidmat komuniti.

“Semua Ahli MPKKTAG yang mengikuti program ini telah berusaha membuat persediaan sejak dari semester lepas lagi dalam segenap aspek termasuk berhubung sendiri dengan pihak JAKMAS di UMS. Program ini juga turut mendapat kerjasama dari pihak Biro Tatanegara Negeri Perlis dan Sabah,”katanya.

Pengetua Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani, YM Raja Shah Erman Raja Arifin yang turut menyertai program tersebut melahirkan rasa amat berpuashati dengan perancangan, persediaan dan pelaksanaan yang dilakukan sendiri oleh kepimpinan pelajar KKTAG termasuk mengorbankan cuti semester untuk mencari tajaan bagi menampung sebahagian dari kos program ini.

“Program ini diuruskan sendiri oleh MPKKTAG termasuk berhubung terus dengan JAKMAS UMS dalam mengatur aktiviti bersama. Ini membuktikan mereka berjaya mewujudkan komunikasi yang berkesan walaupun jauh secara geografinya.”katanya

Dalam sesi interaksi yang dijalankan antara MPKKTAG dan JAKMAS AB, Saudara Mohd Aimran Mohd Yunus  yang merupakan Yang DiPertuanya memuji inisiatif yang telah diambil oleh MPKKTAG apabila berjaya membawa kepimpinan kolej ke Sabah untuk bersama-sama berkongsi peranan JAKMAS termasuk aktiviti yang dijalankan secara berterusan dalam melahikran penghuni kolej yang proaktif.

“Kehadiran MPKKTAG ke UMS juga telah membuka lembaran baru kepada kepimpinan kami di kolej apabila banyak aktiviti berimpak yang telah dilaksanakan oleh UniMAP akan dijadikan penandaaras kepada pihak JAKMAS.

Gabungan pemimpin mahasiswa dalam melaksanakan program motivasi di sekolah sememangnya pendekatan terbaik dalam berkongsi kepakaran sebagai fasilitator,”katanya yang ditemui semasa Program Motivasi di SMK Ranau pada hari ketiga program berlangsung.

Selain itu, Kg. Singgarun Baru di daerah Ranau turut menjadi destinasi MPKKTAG bagi melaksanakan aktiviti khidmat komuniti seperti menanam pokok, merewang dan keluarga angkat.

Bagi melahirkan pemimpin mahasiswa yang berpengetahuan aras tinggi dan peka kepada isu-isu semasa, satu ceramah berkaitan Keselamatan Perairan Sabah turut diselitkan di dalam program ini. Program Silang Budaya Ilmu turut dihadiri Pengetua Kolej AB UMS, Pengetua Kolej Kediaman Zon Kuala Perlis UniMAP dan Penolong Pengetua KKTAG.

Kangar, 10 Februari  2015 –  Hubungan baik yang terjalin menerusi Operasi Pasca Banjir ke Pantai Timur baru-baru ini dimanfaatkan sebaiknya oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan menerima kunjungan balas dari  warga Tumpat, Kelantan dalam rangka lawatan mereka selama dua hari ke universiti itu.

Naib Canselor UniMAP berkata, melalui program Ops Pasca Banjir UniMAP ke Pantai Timur secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara universiti dengan warga Tumpat.

“Bagi UniMAP segala bantuan yang telah dihulurkan merupakan sebahagian sumbangan tanggungjawab sosial universiti (CSR) kepada masyarakat. Selain menghulurkan bantuan kewangan serta sukarelawan, UniMAP juga turut menghulurkan bantuan kepakaran teknologi.

Sepanjang Ops Pasca Banjir UniMAP ke Pantai Timur, seramai 1,870 sukarelawan terlibat dalam menjayakan tujuh fasa yang telah ditetapkan pihak universiti. UniMAP juga turut menyumbangkan 1,423 pakaian dan keperluan sekolah kepada pelajar dari tujuh buah sekolah sekitar Tumpat,” katanya.

Pada lawatan tersebut seramai 90 orang Pelajar dan guru dari lima buah sekolah di Tumpat terlibat antaranya Sek. Men. Kebangsaan Kg Laut, Sek.Men. Kebangsaan Tumpat, Sek. Men. Kebangsaan Wakaf Baru, Sek. Men. Kebangsaan Genting dan Sek. Kebangsaan Pulau Beluru.

Turut sama dalam lawatan tersebut adalah dua buah sekolah dari Sungai Petani iaitu Sek . Kebangsaan Tuan Syed Jan Al-Jafri dan Sek. Kebangsaan Sungai Petani serta Sekolah Seri Puteri Cyeberjaya.

Beliau ketika menyampaikan ucapan pada Malam Penghargaan dan Majlis Makan Malam Sempena Tamat Latihan PALAPES UniMAP berharap agar segala kerjasama yang terjalin antara UniMAP dan pihak sekolah dapat diteruskan dengan pelbagai perancangan dan agenda dapat direncanakan dalam usaha membantu mereka yang memerlukan sekaligus memupuk minat para pelajar dari peringkat sekolah untuk mencintai bidang sains dan teknologi.

Sementara itu, pada majlis tersebut turut diraikan adalah 261 orang Pegawai Kadet PALAPES UniMAP yang telah berjaya menamatkan Latihan Kem Tahunan selama dua minggu di Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam Kedah.

Kangar, 9 Februari – Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FETech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP),  mengorak langkah dengan menubuhkan Kumpulan Penyelidikan “Sport, Material & Advanced Research Technology (SMART) yang akan memberi fokus kepada penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi.

SMART merupakan kumpulan penyelidikan yang menggabungkan teknologi sukan serta teknologi bahan yang mana fokus penyelidikan menumpukan kepada peningkatan kualiti dan mutu sukan di negara ini.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof Dr. Kamarudin Hussin berkata, penubuhan kumpulan penyelidikan tersebut juga adalah susulan kepada penawaran program pengajian baru di bawah FETech iaitu Kejuruteraan Teknologi Sukan yang dijangka mengambil pelajar pertama September tahun ini.

“Adalah menjadi hasrat saya penubuhan kumpulan penyelidikan ini yang turut membabitkan penglibatan atlit-atlit UniMAP secara tidak langsung akan membantu para penyelidik membuat kajian berhubung isu dan masalah yang membelenggu para atlit di negara ini.

“Semoga produk penyelidikan SMART ini bukan sahaja memberi manfaat besar untuk UniMAP sebaliknya masyarakat sejagat serta mampu menghasilkan inovasi yang dapat meningkatkan mutu dan prestasi atlit sekaligus memantapkan mutu sukan negara,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kumpulan Penyelidikan SMART bersempena Malam Penghargaan FETech dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CeGeoGTech) serta pelancaran Buku Laporan Tahunan CeGeoGTech di sini semalam.

Majlis tersebut dianjurkan khusus untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada kumpulan penyelidik FETech dan CeGeoGTech yang meraih pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2014 yang lalu.

Turut menerima penghargaan ialah 10 Agensi Media yang banyak membantu mempromosikan kejayaan dan kecemerlangan FETech serta CeGeoGTech iaitu Berita Harian, Bernama, Utusan Malaysia, Kosmo, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sinar Harian, Harian Metro, New Straits Time, Guang Ming Daily serta Sin Chew Daily.

Pada majlis tersebut juga, dua Penolong Editor iaitu Khairina Yassin dari Berita Harian serta Adnan Jahaya dari Bernama turut menerima anugerah kewartawanan CeGeoGTech.

Dalam pada itu, Datuk Kamarudin berkata, penawaran program Teknologi Kejuruteraan ini bukanlah agenda UniMAP sebaliknya pendidikan teknikal dan kejuruteraan yang lebih realistik merupakan suatu agenda penting kerajaan dalam usaha menyokong pertumbuhan industri negara.

Ujar beliau, ia berikutan kurikulumnya yang digubal khusus bagi menyeimbangi  kemahiran kerja dan ilmu pengetahuan dan pada masa sama memberikan fokus agar masyarakat tidak hanya tahu menggunakan segala teknologi terkini malah turut sama menjadi penyumbang utama terhadap penghasilan teknologi.

“Saya percaya, dalam aspek pembelajaran, graduan teknologi kejuruteraan akan berdepan dengan pendekatan praktikal yang lebih banyak yang mana ia secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran teknikal yang dimiliki.

“Pendekatan kurikulum seimbang sebegini merupakan cerapan dari pendekatan yang telah terbukti keberkesanannya di Jerman, Korea, Jepun, Amerika Syarikat dan beberapa negara maju yang lain yang mana ia lebih memudahkan pelajar,” ujar beliau lagi.

PAUH PUTRA, 6 Februari — Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) meraih hadiah patron selepas memperolehi 10 pingat emas pada Ekspo dan Pameran Penyelidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) (EREKA 2014) di Dewan Ilmu, Kampus Pauh Putra, baru –baru ini.

Pingat emas disumbangkan Pengarah INEE, Prof. Dr. Uda Hashim, (enam emas) manakala Prof. Madya Dr. Yarub Al-Douri  meraih dua emas dan Dr. Ruslinda A. Rahim serta  Mohammad Nuzaihan Md Nor masing-masing meraih satu emas.

Manakala Anugerah Khas, Best Of The Best Award dimenangi Penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK)  Sistem Elektik, Baharuddin Ismail dengan produk Harmonic generator dan  Wong Yee Shian dari PPK  Alam Sekitar meraih Anugerah Khas Best Green Award bagi produk Advanced ASGCB for the Production of Bio-Methane Gas.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, antara perkara yang perlu diteroka oleh ahli-ahli akademik termasuklah aspek pengurusan alam sekitar, persiapan menghadapi bencana, program kesedaran masyarakat, penyelarasan bantuan, komunikasi dan pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat bencana.

“Sebagai sebuah universiti  yang mempunyai pelbagai kepakaran kita perlulah berusaha untuk membuat kajian berimpak tinggi.

“Saya ingin menyeru kepada semua penyelidik untuk menghasilkan sesuatu yang berguna dan bermanfaat dengan melihat pemeliharaan alam sekitar sebagai satu faktor penting dalam menjamin kelestarian kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup generasi kita  pada masa hadapan,”katanya

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP,  Profesor Madya Dr. Mohd Foad Sakdan, Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Syed Alwee Aljunid Syed Junid dan Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan UniMAP Dr. Mukhzeer Mohamad Shahimin.

Sebanyak 340  produk penyelidikan dari 15 Pusat Pengajian dan Pusat Tanggungjawab dipertandingankan pada EREKA 2014 manakala 84 bagi EMYIS 2015 kali ini.

Bangkok, 5 Februari – Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah mencipta sejarah tersendiri menjadi satu-satunya anak Melayu yang menganggotai International Federation of Inventors Association (IFIA) yang berpusat di Geneva Switzerland.

Dr. Mohd. Mustafa dilantik sebagai Pengurus bagi Jabatan Akademi IFIA yang baru ditubuhkan tahun ini  seperti yang diumumkan oleh Presiden IFIA, Alireza Rastegar dalam satu mesyuarat promosi  aktiviti-aktiviti yang bakal dianjurkan antara Setiausaha Agung National Research Council of Thailand (NRCT) Prof. Dr. Soottiporn Chittmittrapap, Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dan IFIA.

Jabatan Akademi IFIA ditubuh bagi menyelaras aktiviti-aktiviti penyelidikan yang member focus kepada program ilmiah selain daripada inovasi seperti bengkel, persidangan, seminar dan kursus jangka pendek.

Pemilihan Dr. Mohd Mustafa dibuat selepas mengambil kira keupayaan, pengalaman dan kepakaran yang beliau miliki terutama dalam membuasayakan aspek inovasi dan penyelidikan di kalangan penyelidik muda bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Mustafa berkata, pelantikan tersebut bukan bersifat peribadi sebaliknya ia secara tidak langsung membantu mempromosikan UniMAP di mata dunia.

“Saya berharap, melalui tanggungjawab yang diamanahkan ini, saya mampu membudayakan sains dan inovasi secara lebih meluas seterusnya melahirkan lebih ramai saintis dari kalangan generasi muda terutama dari Malaysia,” ujar beliau.

IFIA ditubuhkan pada tahun 2006 yang lalu dan kini dianggotai oleh lebih 50 buah negara dari seluruh dunia.

Bangkok, 4 Februari - Seramai lapan orang ketua penyelidik kumpulan dibawah Pusat Penyelidikan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya mengharumkan nama UniMAP dalam pameran Thailand Inventors’ Day 2015 yang berlangsung di  Dewan IMPACT, Muang Thong Thani, Bangkok Thailand.

Pada pameran yang berlangsung selama empat hari itu, kumpulan penyelidik UniMAP berjaya membawa pulang lima pingat emas dan empat pingat perak selain  Selepas penjurian selama dua hari, akhirnya penyelidik CEGeoGTech membawa pulang 5 pingat emas dan 4 pingat perak serta tiga anugerah khas.

Pingat emas UniMAP disumbangkan oleh Dr. Luqman Musa, Dr. Mohd Nazree Derman, Dr. Samsung Ting, Faizul Che Pa dan Dr. Kahtan S. Mohammed yang dibentang oleh Muhammad Faheem Mohd Tahir manakala pingat perak disumbangkan oleh Shayfull Zamree Abd. Rahim melalui dua produk inovasinya sertamasing-masing satu dari  Prof. Madya. Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali, Dr. Norainiza Saud.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin lebih membanggakan  penyelidik UniMAP juga diberi pengiktirafan oleh persatuan inovasi antarabangsa antaranya Dr. Luqman Musa yang menerima Anugerah Khas British Inventors Gold Award daripada Association of British Inventors and Innovators.

Jelas beliau, selain Dr. Luqman, Prof. Madya. Dr. Che Mohd Ruzaidi turut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan penerima Anugerah Utama World Invention Intellectual Property Association  serta Dr. Norainiza Saud yang menerima Hadiah Khas daripada World Women Inventors & Entrepreneurs Assocition.

“Kejayaan ini menjadi pembuka tirai kecemerlangan UniMAP untuk tahun 2015 ini dan saya berharap lebih banyak kejayaan mampu diraih pada tahun ini bukan sahaja dalam aspek penyelidikan sebaliknya bidang-bidang lain juga,” ujar beliau.

Pameran tersebut yang disertai oleh lebih 17 buah negara antaranya Thailand, China, Taiwan, Iran, Indonesia, Jepun, United Kingdom, Mesir, Indonesia, Korea Selatan, Philippines dan Hong Kong dengan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, Prof. Dr. Yongyuth Yuthavong.

Lebih 700 produk inovasi dipertandingkan merangkumi pelbagai bidang dan teras penyelidikan. Selain itu, UniMAP juga melalui Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) turut diberi peluang untuk mempromosikan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan dalam mesyuarat bersama Ketua Deligasi bersama Setiausaha Agung National Research Council of Thailand (NRCT) Prof. Dr. Soottiporn Chittmittrapap dan Presiden International Federation of Inventors Association (IFIA) Alireza Restagar.

KANGAR, 3 Februari — Para penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sewajarnya memanfaatkan sepenuhnya kemudahan peralatan yang terdapat di makmal-makmal secara optimum bagi menghasilkan produk yang berimpak tinggi.

Pengerusi Majlis Profesor UniMAP, Prof. Dr. Ali Yeon Md Shakaff berkata, walaupun memiliki peralatan makmal yang canggih, namun, ia masih belum digunakan sepenuhnya oleh penyelidik UniMAP.

“Atas kesedaran itu, kita telah menganjurkan Program Jelajah Techpark UniMAP bagi membawa Profesor-profesor untuk melihat sendiri kemudahan yang terdapat di Pusat Kecemerlangan UniMAP.

“Dalam lawatan selama sehari itu, kita telah dapat mengenalpasti secara lebih mendalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh setiap Pusat Kecemerlangan ini,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai program itu baru-baru ini.

Seramai 10 Profesor dari lapan pusat tanggungjawab mengikuti lawatan ke lima Pusat Kecemerlangan UniMAP, antaranya  Advanced Sensor Technology (CEASTech), Unmanned Aerial Systems (UAS), Advanced Communication Engineering (ACE), Institut of Nano Electronic Engineering (INEE) dan Advanced Multidisciplinary MEMS-Based Integrated Electronics NCER Centre Of Excellence (AMBIENCE).

Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Dato’ Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Ujarnya lagi, usaha yang dijalankan Majlis Profesor itu akan membolehkan   kerjasama antara pusat kecemerlangan dapat diwujudkan dalam masa terdekat untuk menghasilkan produk penyelidikan yang berimpak tinggi.

“Kita akan mengadakan program lawatan fasa dua ke pusat-pusat pengajian yang lain untuk mengenalpasti kelebihan yang boleh dikongsikan oleh semua warga UniMAP,”katanya lagi.

Sungai Petani, 1 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyampaikan 50 buah beg sekolah untuk pelajar-pelajar kurang berkemampuan dari Sekolah Kebangsaan Tuan Syed Jan-Al-Jaffri (SKTSJAJ) bersempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut semalam.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof Dr. Kamarudin Hussin, penyerahan sumbangan tersebut turut merangkumi wang tunai bernilai RM4,000 itu merupakan sebahagian tanggungjawab sosial universiti (CSR) dalam membantu golongan yang memerlukan.

Ujar beliau, meskipun sekolah tersebut terletak dalam daerah Sungai Petani dan dikategorikan sebagai pinggiran bandar, namun sebahagian besar pelajar merupakan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan.

“Saya difahamkan, sekolah ini juga kurang menerima perhatian dan peruntukan yang mana ia menyukarkan lagi proses pembangunan dan infrastruktur. Semoga dengan sedikit bantuan yang diberikan UniMAP ini akan meringankan bantuan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan ini,” ujar beliau.

Mesyuarat PIBG tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Sulit Kanan Yang Amat Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, Mohd. Nizar Haji Sudin. Pada mesyuarat tersebut juga, Mohd Nizar mengumumkan peruntukan infrastruktur berjumlah RM20,000 daripada kerajaan Malaysia selain peruntukan buku sumbangan Dewan Bahasa dan Pustaka bernilai RM2,000.

SKTSJAJ mempunyai sekitar 600 orang pelajar dari tahun satu hingga enam.

 

Sungai Petani, 1 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengambil langkah pro-aktif dalam membudayakan Sains dan Teknologi terutama di kalangan generasi muda dalam usaha meningkatkan minat dan penyertaan pelajar sekolah dalam bidang tersebut.

Terbaru, delegasi penyelidik UniMAP yang diketuai oleh Naib Canselornya, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkunjung ke Sekolah Kebangsaan Sungai Petani (SKSP) khusus untuk membolehkan pelajar melihat dan mempelajari Sains dengan kaedah yang lebih santai.

Selain itu, program yang dikendalikan di bawah naungan Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dan UniMAP Holdings itu juga turut dikukuhkan lagi menerusi perjanjian surat hasrat (LOI) antara kedua-dua pihak.

Menurut Guru Besar SKSP, Sabarina Said, UniMAP merupakan Institusi Pengajian Tinggi Pertama (IPT) yang “turun padang” ke sekolah berkenaan untuk mendedahkan pelajar kepada bidang inovasi dan robotik.

Program sebegini, jelasnya, disasarkan dapat membantu melahirkan lebih ramai saintis dari kalangan generasi muda untuk pembangunan modal insan yang gemilang selaras dengan hasrat negara meningkatkan bilangan saintis menjelang tahun 2020.

Ia juga, ujarnya secara tidak langsung akan memupuk minat pelajar untuk lebih meminati mata pelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang di ajar dalam kurikulum di sekolah.

“Di SKSP kami mengambil pendekatan untuk memberi bimbingan dengan kaedah yang paling mudah agar para pelajar tidak berasa terbeban dengan ilmu baru yang diperolehi.

“Namun kesempatan yang diperoleh untuk bekerjasama bekerjasama dengan UniMAP ini adalah medan terbaik untuk kami menggilap bakat dan potensi murid dalam bidang-bidang inovasi dan robotik memandangkan UniMAP merupakan antara universiti yang banyak mencipta kejayaan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” ujar beliau.

Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara UniMAP dan SKSP disaksikan oleh Setiausaha Sulit kepada Y.A.B Menteri Pendidikan Malaysia, Mohd. Nizar Hj Sudin.

Sepanjang program tersebut, pelajar-pelajar tahun satu hingga enam SKSP telah didedahkan dengan teknik dan perancangan dalam melaksanakan inovasi di peringkat sekolah rendah selain turut didedahkan dengan pengaturcaraan dan pembinaan set robotic.

Dalam pada itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Profesor Dr. Kamarudin Hussin berkata, UniMAP akan menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan SKSP agar dapat membimbing dan memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar sekolah rendah ini sehingga ke peringkat antarabangsa.

Selain mendedahkan pelajar dengan ilmu, beliau berkata para peserta bengkel juga diuji dari aspek kerjasama berpasukan melalui pertandingan pertandingan robotik antara pelajar-pelajar.

“Dari pertandingan seperti ini, adalah diharapkan ia dapat memupuk semangat berkumpulan dan daya saing yang tinggi yang mana ia merupakan antara aspek utama yang menyokong kejayaan sesebuah penyelidikan,” ujar beliau lagi. 

Kuala Lumpur, 8 Februari - Pelari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Nurul Faizah Asma Mazlan (tengah) berjaya memecahkan rekod kejohanan sekaligus memungut pingat emas acara 400 meter wanita dengan catatan masa 58.20 saat di Arena UM, Universiti Malaya (UM) sebentar tadi.

Beliau yang mencatat masa 58.35 saat pada SUKIPT 2012 lalu ternyata gembira dan berpuas hati di atas pencapaian beliau kali ini.

“Saya sangat gembira dengan pencapaian saya hari ini kerana bukan sekadar saya berjaya memecahkan rekod kejohanan tetapi saya juga dapat memperbaharui rekod peribadi ,” ujar Faizah.

Acara 400 meter lelaki pula dimenangi oleh atlet Universiti Teknologi MARA (UiTM), Muhamad Arif Zulhilmi, pingat perak dimenangi oleh atlet dari Politeknik Pulau Pinang, Yuvaraj A/L Panerselvam dan pingat gangsa dimenangi oleh Mohd Harmizi Arodi dari UniMAP. – SUKIPT

Kuala Lumpur, 8 Februari - Sekali lagi atlet Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Krishnan A/L Somunaidu beraksi cemerlang menamatkan larian dengan catatan masa 36 minit dan 8 saat dalam acara 10 000 meter (M) di Arena UM, Universiti Malaya.

Penampilan kedua beliau di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) membuahkan hasil apabila masa yang dicatatkan memecahkan rekod lama yang dipegang oleh Ananth Narayanan iaitu 37 minit dan 20 saat.

“Disamping latihan berterusan lima hari seminggu, jurulatih saya Nazmizan Muhammad banyak memberi dorongan dan sokongan untuk kemenangan saya hari ini,” ujar Krishnan.

Pingat perak menjadi milik atlet dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), Omar Ahmed Abdi Essa dengan catatan masa 37 minint dan 24 saat diikuti rapat oleh atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Saarvin A/L Chinathamby dengan catatan masa 37 minit dan 29 saat. – SUKIPT

SHAH ALAM, 4 Februari – Kontingen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memulakan cabaran Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2014) apabila menjadi pasukan yang ke-89 berbaris masuk ke Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini malam tadi.

Dengan kekuatan kontinjen seramai 170 orang atlit dan pegawai, UniMAP melangkah gagah melintasi pentas tetamu VVIP yang menempatkan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan diketuai oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Encik Suhizaz Sudin selaku ketua kontinjen.

Dengan membawa imej UniMAP (biru-kuning) dan diiringi maskot Si Pintar, UniMAP mencuri tumpuan para tetamu apabila turut melepaskan belon ke udara sebagai simbolik telah bersedia untuk bersaing dengan kontinjen lain yang mengambil bahagian.

Naib Canselor UniMAP yang turut berada di pentas kenamaan berpuas hati dengan perarakan masuk kontinjen UniMAP yang dianggapnya ceria dan melambangkan imej UniMAP yang sebenarnya.

UniMAP hebat dalam perbarisan, inilah sebenarnya imej UniMAP dan semua tetamu terpegun dengan perbarisan kontinjen UniMAP. Tahniah kepada semua atlit dan pegawai,” katanya.

Naib Canselor turut meluangkan masa bergambar dengan kesemua atlit dan pegawai UniMAP yang menyertai SUKIPT 2014.

Sebanyak 107 kontinjen melibatkan kira-kira 8,000 atlet mengambil bahagian dalam kejohanan SUKIPT kali ini dengan 24 acara berbanding 16 acara pada penganjuran kali pertama SUKIPT pada 2012.

Pertambahan lapan acara tersebut menjadikan Sukipt 2014 sebagai salah satu kejohanan terbesar dan bertaraf tinggi di negara ini setanding Sukan Malaysia (Sukma).

Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin berkata  kerajaan akan terus memberi sokongan penuh kepada kejohanan sukan di institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai usaha meningkatkan mutu sukan negara.

Menurut beliau yang juga Menteri Pendidikan Malaysia, kejohanan seperti SUKIPT dilihat bukan sahaja dapat melahirkan atlet IPT berprestasi tinggi malah menjadi medium terbaik untuk mengukuhkan perpaduan, membentuk jati diri dan mencapai kecemerlangan.

"Penganjuran kejohanan seperti ini sangat penting dalam melahirkan lebih ramai "The Thinking Athletes" seperti yang telah termaktub dalam Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi," katanya ketika berucap merasmikan SUKIPT 2014.

Beliau berharap kejohanan SUKIPT akan memberi impak menyeluruh kepada perkembangan sukan di IPT negara ini.

"Semoga lebih ramai wira-wira sukan negara dapat dilahirkan yang akan meneruskan momentum kecemerlangan sukan negara di pentas antarabangsa," katanya.

Beliau berkata SUKIPT akan dilihat berjaya sekiranya muncul muka-muka baharu yang layak mewakili negara ke pentas yang lebih tinggi seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan seterusnya ke tahap Sukan Olimpik.

17 Februari 2013

PAUH PUTRA: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Dana Kebajikan Untuk  Pelajar Cemerlang (BFOS), Yemen, menandatangani satu Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi menaja 36 pelajar Yemen menyambung pengajian di UniMAP.

Pada majlis MoU yang diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UniMAP, di sini, semalam, UniMAP diwakili, Naib Canselornya, Brig. Jen. Dato’ Prof. Dr. Kamarudin Hussin manakala BFOS, Yemen, diwakili Pengerusinya Dr. Meshal Sheban.

Dalam ucapannya,  Prof. Dr. Kamarudin berkata, semua pelajar tajaan BFOS ini akan mengikuti Kursus Intensif Bahasa Inggeris (IEC) selama enam bulan di UniMAP dan ia merupakan kursus persediaan bagi pelajar-pelajar antarabangsa sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah.

“Sepanjang lima tahun kursus ini ditawarkan sejak 2009, ia semakin mendapat sambutan yang baik terutamanya dari Thailand, Indonesia, Uzbekistan, Somalia, Arab Saudi, Burkina Faso dan Nigeria.

“Sekarang kita mempunyai seramai 107 pelajar yang sedang mengikuti kursus IEC di UniMAP dan 36 daripadanya merupakan pelajar dari Yemen yang ditaja BFOS, “katanya ketika berucap pada majlis itu semalam.

Turut hadir, Dekan Pusat Teknologi Komunikasi dan Pembangunan Insan UniMAP, Prof. Dr. Salleh Abd. Rashid dan Shafiq Hizwari Md Hashim, Ketua Jabatan Bahasa Antarabangsa UniMAP.

Sementara itu, Pengerusi BFOS, Dr. Meshal Sheban, dalam ucapannya berkata, pihaknya berminat untuk menaja pelajar ke UniMAP kerana kemudahan yang disediakan bagi pelajar antarabangsa amat selesa.

“Kita bercadang untuk menaja 36 lagi pelajar untuk semester akan datang bagi melanjutkan pelajaran di UniMAP, ini kerana kami amat berpuas hati dengan kemudahan dan cara pembelajaran yang disediakan UniMAP kepada para pelajarnya,”katanya.

Katanya lagi, kesungguhan UniMAP dalam menyediakan penempatan dan kampus baru iaitu UniCiti di Sungai Chuchuh menarik minat kami untuk menghantar lebih ramai pelajar menyambung pelajaran di UniMAP.

Info Tab Bawah-BM