Gerbang Info Pengguna

  • UniMAP-AMCT2019
  • QS World Ranking
  • SUTERA 2019
  • Pembelian Buku-Buku UniMAP di Market Place
  • Urock 2019
  • silk2019
  • Salam Aidilfitri 2019
  • 2019 Kempen Bebas Rokok
  • QS World Ranking
  • Selamat Datang Kepada Semua Pelajar Baru Diploma UniMAP!
Previous Next

Berita Terkini

Khidmat Masyarakat Ramadan UniMAP Santuni Warga HTF

Khidmat Masyarakat Ramadan UniMAP Santuni Warga HTF

KANGAR – Muram dengan riak sedih yang terpamer di wajah sebahagian penghuni wad pembedahan di…

Baca..

Pensyarah UniMAP Dilantik Penyelidik Kunjungan Di Universiti Sweden

Pensyarah UniMAP Dilantik Penyelidik Kunjungan Di Universiti Sweden

ARAU – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Wooi Chin…

Baca..

Khidmat Masyarakat : UniMAP – PSU Santuni Masyarakat Songkla – Hatyai

Khidmat Masyarakat : UniMAP – PSU Santuni Masyarakat Songkla – Hatyai

ARAU – Atas rasa keprihatinan yang tinggi untuk membantu masyarakat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui…

Baca..

Program Diploma Kejuruteraan UniMAP Mendapat Pensijilan Penuh MQA

Program Diploma Kejuruteraan UniMAP Mendapat Pensijilan Penuh MQA

ARAU – Semua enam program pengajian diploma kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah lulus dan…

Baca..

UniMAP Pilihan Utama

UniMAP Pilihan Utama

ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) nyata menjadi pilihan utama apabila dipilih sebagai lokasi Seminar…

Baca..

UniMAP Prihatin Anak-Anak Staf Meninggal Sempena Festival Nasyid 2019

UniMAP Prihatin Anak-Anak Staf Meninggal Sempena Festival Nasyid 2019

Pauh Putra, 28 Mei- Dalam kegembiraan umat Islam membuat persiapan menyambut lebaran yang akan tiba…

Baca..

UniMAP Beri Kebebasan Bersuara Kepada Pelajar

UniMAP Beri Kebebasan Bersuara Kepada Pelajar

PAUH PUTRA, 26 Mei- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberikan kebebasan kepada semua pelajar dalam memberikan…

Baca..

Produk Eco Geopipe Raih Emas di EUROINVENT di Romania

Produk Eco Geopipe Raih Emas di EUROINVENT di Romania

Kangar, 19 Mei - Penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis…

Baca..

Prof. Dr. R. Badlishah Dilantik Naib Canselor UniMAP

Prof. Dr. R. Badlishah Dilantik Naib Canselor UniMAP

Kangar - Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Ir. Ts. Dr.…

Baca..


KANGAR, 3 JAN – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melangkah ke arah E-Dagang (E-Commerce) dalam mempromosikan buku-buku yang dihasilkan oleh pensyarahnya melalui Penerbit UniMAP.

Pengarah Penerbit UniMAP, Prof. Madya. Ir. Dr. Mohd Hafiz Fazalul Rahiman berkata, langkah itu merupakan satu usaha bagi meluaskan   lagi saluran dan rangkaian pemasaran atas talian dalam memasarkan buku-buku terbitan Penerbit UniMAP.

“Jika sebelum ini kita hanya memasarkan  melalui laman web dan portal UniMAP dan jumlah jualan hanya terhad kepada pengunjung web dan portal  semata-mata.

“Dengan platform e-dagang, ia membuka ruang pasaran kepada orang ramai dengan lebih meluas ke seluruh dunia untuk mendapatkan buku dari Penerbit UniMAP,”katanya ketika berucap pada Majlis  Pelancaran Portal E-Dagang, di sini, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal. Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamaruddin.

Ujar Mohd Hafiz lagi, koleksi  buku-buku terbitan Penerbit UniMAP, kini sudah boleh didapati secara atas talian di  LAZADA dan SHOPEE.

“Selain itu, koleksi buku elektronik (e-book) juga boleh didapati melalui portal e-Sentral, dengan pembelian yang lebih mudah,”katanya lagi.

mpp2018

mpp2018

mpp2018

PAUH, 8 Jan – Keinginan untuk merangkul kejuaraan di Sukan Sea 2019 dalam acara sukan sepak takraw telah menarik kunjungan delegasi Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang diketuai Presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail ke negeri Perlis bagi mengadakan pertemuan bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus induknya di sini, semalam.

Turut bersama-sama mereka adalah delegasi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh pensyarah kanan dari Fakulti Pengajian Antarabangsa yang juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) PSM, Dr. Che Mohd Aziz Yaakob hadir bagi membincangkan pelan strategik Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) sukan sepak takraw di Malaysia secara amnya dan pasukan Sepak Takraw Malaysia khasnya.

Menurut Datuk Seri Ahmad, beliau inginkan satu kajian menyeluruh dilaksanakan bagi menambahbaik prestasi pemain melalui teknologi yang boleh ditawarkan oleh UniMAP dan UUM.

“Peruntukan R&D bagi sukan sepaktakraw sudah wujud sejak enam tahun lalu namun tidak dimanfaatkan berikutan kurangnya kepakaran sekaligus gagal meningkatkan prestasi pemain ke tahap yang kita harapkan.

“Antara teknologi yang boleh dibangunkan adalah mesin pelancar bola yang berperanan untuk menggantikan khidmat manusia semasa sesi latihan pemain,” katanya.

Beliau menambah, pembangunan teknologi harus disegerakan untuk membantu para pemain membuat persediaan awal bagi menghadapi Sukan Sea 2019 yang bakal berlangsung November ini.

“Oleh itu, peruntukan bagi R&D sukan sepaktakraw harus dikekalkan untuk dimanfaatkan para pemain kerana dari segi kemahiran, mereka (para pemain) masih lagi di tahap membanggakan tetapi kelemahan dari segi mental dan fizikal mereka yang perlu dititikberatkan,” katanya.

Dalam pada itu Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Tuan Haji Suhizaz Sudin yang juga merupakan ahli jawatankuasa R&D PSM berkata, kolaborasi beberapa orang penyelidik dari UniMAP dan UUM adalah satu langkah yang bijak bagi merealisasikan hasrat PSM.

“Kita akan mengkaji secara terperinci dari segenap aspek seperti koordinasi pemain, postur tubuh, jangkaan (anticipation) pemain dan pelbagai lagi bagi mendapatkan hasil menyeluruh yang memenuhi kehendak PSM.

“Namun ia akan mengambil masa. Oleh itu, sebagai persediaan pemain bagi menghadapi musuh tradisi dari Thailand pada temasya Sukan Sea 2019, kita akan memberi fokus mengikut keutamaan dan akan ditambahbaik dari semasa ke semasa,” katanya.

Bagi jurulatih skuad kebangsaan, Mohd Helmi Ismail, beliau mengharapkan teknologi untuk memperbaiki teknik pemain secara konsisten sekaligus boleh digunapakai oleh semua pemain mengikut kesesuaian fizikal dan mental mereka.

“Faktor seperti ketinggian, kelenturan tubuh, kemahiran, emosi dan sebagainya adalah saling berhubungkait dan kita perlukan satu penyelidikan yang boleh disesuaikan dengan kondisi mereka.

“Kita mempunyai model pemain yang mempamerkan permainan yang terbaik tetapi cara untuk mengaplikasikan corak pemain ini kepada pemain lain itulah yang masih belum boleh dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya lagi, apa yang penting kelebihan tubuh pemain yang lebih fleksibel memudahkan jurulatih untuk membentuk corak permainan mereka di samping mengurangkan sebarang bentuk kecederaan.

Sementara itu, Ketua Prestasi Sukan Cawangan Prestasi Tinggi, Institut Sukan Negara (ISN), Muhammad Fawwas Jamal berkata pihaknya menyokong penuh pelan strategik sukan sepaktakraw dan mengalu-alukan penggunaan sebarang bentuk fasiliti di ISN untuk pembangunan sukan tersebut.

“Para penyelidk boleh menggunakan semua kemudahan yang ada di ISN seperti biomekanik dan kamera 3D bagi tujuan penyelidikan untuk meningkatkan prestasi pemain,” katanya.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PSM Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Haji Abidullah Haji Salleh; Bendahari PSM Datuk Abdul Jalil Ariffin; Pengurus Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Kejuruteraan Sukan UniMAP, Prof Madya Mazelan Abd Hamid, dan pegawai-pegawai dari ISN.

UniMAP – UUM Sedia Bantu Pasukan Sepaktakraw Malaysia

Kangar , 24 Januari  – Seorang pelajar Teknologi Kejuruteraan Universiti Malaysia  Perlis (UniMAP) dianugerahkan Anugerah Projek Tahun Akhir Kejuruteraan Awam Presiden Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM), Sabtu baru-baru ini.

Pelajar itu, Muhammad Faiz Zainal berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, piala dan sijil, satu tahun keahlian percuma REAM serta dapat mengikuti minimum enam bulan Latihan Kebolehpasaran Siswazah di syarikat  sektor korporat dalam bidang kejuruteraan awam.

Muhamad Faiz berkata dia tidak menyangka terpilih menerima anugerah itu sebelum ini kerana tidak mengetahui adanya anugerah seperti itu kerana hanya mahu melakukan yang terbaik dalam hasil kajiannya.

Katanya, dia terkejut apabila dihubungi pihak universiti memaklumkan  kejayaannya meraih anugerah itu sambil menyifatkan ia adalah hasil bimbingan penyelianya, Liyana Ahmad Sofri serta pensyarah-pensyarah Teknologi Kejuruteraan Awam selain keluarga dan rakan-rakan sekuliah.

“Saya cuma berharap kajian itu memberi impak kepada industri dan alam sekitar dengan tajuk kajian saya ialah“Use of Palm Kernel Shell from Agriculture Waste as Partial Replacement for Course Aggregate in Hot Mix Asphalt”,” katanya ketika dihubungi selepas Majlis Makan Malam Gala Dinner REAM.

Dalam majlis itu , Menteri Kerja Raya,Dato’ Sri Fadillah Yusof menyampaikan anugerah berkenaan kepada lima pelajar terbaik yang terpilih termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Pahang dan UniMAP sendiri.

Menurut Muhamad Faiz,  tesis itu dihasilkan bertujuan bagi mengurangkan penggunaan batu baur kasar dalam pembinaan jalan raya dalam usaha memastikan sumber alam semulajadi tidak terancam.

“Selain itu tesis itu dihasilkan bagi mengurangkan bahan sisa seperti tempurung kelapa sawit agar tidak membawa pencemaran kepada alam sekitar.

“Hasilnya,bahan sisa itu dijadikan gantian separa untuk batu baur kasar dalam pembinaan jalan raya sekaligus dapat memelihara alam sekitar kita,” katanya.

Selain Muhammad Faiz, tujuh pelajar UniMAP  daripada 75 pelajar dari 10 Universiti Awam (UA) lain pula menerima sumbangan Dana Pendidikan REAM bernilai RM1,500 setiap orang.

REAM menyediakan insentif pendidikan dalam bentuk pemberian bantuan kewangan kepada pelajar cemerlang dari keluarga kurang berkemampuan dengan objektif dapat membantu melahirkan lebih ramai profesional yang berkebolehan khususnya dalam bidang kejuruteraan awam.

Kangar  , 22 Disember – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengintai ruang dan peluang kolaborasi dengan syarikat pengeluar sarung tangan industri merangkumi bidang penyelidikan, peluang pekerjaan serta latihan industri.

Bagi merealisasikan hasrat itu UniMAP diketuai Naib Canselornya, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal mengadakan lawatan dan perbincangan ke Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd disertai Pengarah Urusannya, Keizo Sato.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP, Prof Madya Dr Khairel Rafezi Ahmad dan Pengarah Shorubber, Imran Ibrahim turut menyertai perbincangan itu.

Zul Azhar berkata, UniMAP menerusi Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan industri itu adalah bagi meneroka aktiviti penyelidikan bersama di samping menempatkan kepakaran UniMAP sekaligus mewujudkan jaringan strategik yang efektif.

Katanya, UniMAP mempunyai kira-kira 3,500 pelajar yang mengikuti latihan industri bagi tahun 2017 justeru kerjasama strategik dengan rakan industri bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi dapat membantu industri membangunkan teknologi bersama di masa hadapan.

“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bersama pihak industri boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UniMAP dan menjadi platform terbaik bagi bakal graduan mengenal pasti peluang kerja yang bersesuaian serta mengikut kehendak industri masa kini,” kata beliau, di sini, semalam.

Delegasi UniMAP turut dibawa melawat bagi melihat sendiri pengendalian mesin-mesin bagi memproses pengeluaran sarung tangan syarikat itu yang juga anak syarikat Showa Glove Japan.

Sementara itu, Sato menyambut baik hasrat UniMAP dan teruja untuk berkolaborasi dengan universiti kejuruteraan itu dalam memperkasa manfaat bersama yang mampu memberi impak kepada bidang kepakaran yang dipelopori syarikatnya.

Menurutnya, sebelum ini ramai pelajar UniMAP yang mengikuti latihan industri di syarikat itu malah turut menceburi kerjaya mereka di situ.

Shorubber yang beroperasi di negeri Perlis sejak 1991 itu adalah sebuah syarikat pengeluar sarung tangan industri berasaskan getah asli, getah tiruan, PVC dan Polyurethane selain mempunyai hampir 1800 tenaga kerja tempatan manakala hampir 600 lagi merupakan tenaga kerja asing.   

Produk yang dihasilkan syarikat itu adalah 100 peratus bagi pasaran luar dan diuruskan oleh Showa Group Company.

Pauh Putra, 18 Januari  – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima kunjungan istimewa Duta Besar Republik Azerbaijan di Malaysia iaitu H.E Mr Qaley Allahverdiyez sempena lawatan beliau selama dua hari ke negeri ini, hari ini.

Qaley dilahirkan di Bashkiria, Persekutuan Rusia pada 29 April 1950 dan mengikuti pengajian di Baku State University sebelum memulakan kerjaya sebagai penterjemah di Iraq, Syria dan Libya mulai 1973 hingga 1981.

Selain itu, bapa kepada tiga anak itu juga pernah menjadi penyelidik saintifik, setiausaha utama, kaunselor di kementerian-kementerian dan pejabat kedutaan mulai 1982 serta mampu menguasai lima bahasa iaitu bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Indonesia, bahasa Rusia dan bahasa Turki.

Beliau menyampaikan siri syarahan antarabangsa bertajuk ‘Azerbaijan: Independence History, Latest Achievement adn Azerbaijan-Malaysia Realtions”’ manakala galeri pameran Discover Azerbaijan’ turut diadakan di tingkat bawah Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), di sini.

Berkenan berangkat hadir melancarkan pameran dan menyaksikan syarahan berkenaan ialah Canselor UniMAP , Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pro Canselor UniMAP , Raja Puan Muda  Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan pengurusan tertinggi UniMAP.

Tragedi 20 Januari 1990 yang turut disebut ‘Black January’ meninggalkan kesan hitam di kalangan warga Azerbaijan apabila hampir 200 penduduk Baku, ibu kota Azerbaijan itu terkorban manakala 800 lagi cedera akibat serangan tentera Soviet pimpinan Mikhail Gorbachev.

Kangar, 15 Januari – Program  memperkasa bahasa Melayu anjuran Pusat Bahasa dan Antarabangsa (CIL) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di wilayah Phangnga selatan Thailand terus mendapat sambutan menggalakkan dari sekolah-sekolah di wilayah itu.

Ini jelas terbukti apabila salah sebuah sekolah di wilayah itu iaitu Sekolah Fahad Wittayathan serius memperluaskan bahasa Melayu dengan menjadikan subjek itu sebagai subjek teras kurikulum di sekolah mereka sekaligus mahu menjadikan sekolah itu sebagai pusat sehenti pendidikan bahasa di wilayah berkenaan.

Seramai empat guru bahasa iaitu Mohamad Zaki Abdul Halim, Wan Norhaizar Harun, Sareepa Jeware dan Nurul Syazwani Zulkifli terlibat bagi program yang memasuki fasa keenam itu bermula 10 hingga 14 Januari lalu.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata kerjasama antara UniMAP dan sekolah itu yang diperkukuhkan sebelum ini adalah dengan matlamat memperkasa bahasa Melayu di wilayah Phangnga yang dilaksanakan sejak 2015.

“Sekolah Fahad Witthayatan adalah sekolah angkat UniMAP kini telah melaksanakan sukatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah mereka yang melibatkan pelajar tahun 1 hingga tahun 6 sebagai subjek kokurikulum.

“Selain UniMAP, program kali ini turut mendapat perhatian dan penglibatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis dan Politeknik Syed Sirajuddin (PTSS),” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP berkenan bercemar dulu merasmikan majlis penutup program sempena Ziarah Mahabbah baginda berdua ke Wilayah Trang.

Kangar, 10 Januari – Tiga pensyarah Universiti Malaysia Perlis berjaya terpilih sebagai Jurulatih Utama (Master Trainer) bagi memberikan latihan kepada 100 guru-guru sekolah di seluruh negeri ini.

Mereka adalah Dr Syed Zulkarnain Syed Idrus dan Dr Wan Nor Ashiqin Wan Ali dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) serta Dr Hasnah Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan (PPKKP) UniMAP.

Program berkenaan adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR)  kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) ,Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan UniMAP bagi mengintegrasikan modul pemikiran komputasi dan sains pengkomputeran ke dalam kurikulum sekolah.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, program itu adalah antara program tanggung jawab sosial universiti (USR) ‘mega’ UniMAP kepada komuniti di negeri ini khasnya guru-guru.

“Program CSR ini sekaligus memberi peluang kepada UniMAP  berkongsi kepakaran yang dimiliki dalam bidang sains komputer untuk manfaat warga pendidik di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, menerusi program itu, UniMAP  turut dipilih sebagai pusat kursus pengembangan  Profesional (Continous Professional Development) berdasarkan saranan industri untuk meningkatkan kesediaan pendidik.

“Pusat itu berperanan bagi  program Sijil Pengajaran Sains & Komputer untuk guru di negeri Perlis serta meningkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru dalam pengajaran sains komputer.

“Selain itu, pusat berkenaan turut merangkumi program jangkauan berdasarkan konsep pembuat digital, pengaturcaraan dan robotik kepada pelajar sekolah selain sebagai titik rujukan untuk ‘Digital Hub’ di zon utara khususnya negeri Perlis,” kata beliau dalam sebuah kenyataan di sini.

Terdahulu, Dekan PPKKP, Dr Azremi Abdullah Al-Hadi berkata sebelum itu,  setiap pensyarah UniMAP yang terpilih perlu melalui bengkel hands-on selama lima hari di Cyberjaya.

“Pensyarah yang terpilih ini perlu melengkapkan tugasan untuk kelayakan sebagai Jurulatih Utama pada 21 hingga 26 Januari ini bagi Pensijilan Kemahiran Komputasional dan Komputer Sains Dalam PdP ,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pada tahun lalu, seramai 35 pensyarah dari enam Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara telah diiktiraf sebagai Jurulatih Utama untuk melatih guru bagi kursus pensijilan yang sama sebelum menambah lapan lagi IPTA bagi tahun ini.

Kangar , 26 Januari  –Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggerakkan misi Ops Banjir Pantai Timur Fasa 1 bagi tahun ini ke Kelantan dalam usaha membantu proses pembersihan kawasan banjir di beberapa kawasan yang terjejas.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan berkata seramai 35 sukarelawan yang terdiri daripada 20 lelaki dan 15 perempuan terlibat bagi melaksanakan misi berkenaan.

Menurutnya, mereka ditempatkan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian dan bakal menumpukan usaha pembersihan di tiga lokasi pemindahan banjir sementara bermula 24 hingga 27 Januari ini.

“Antara lokasi berkenaan ialah Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Jajahan Pasir Puteh, pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Canggai dan di SK Wakaf Raja.

“Pengisian aktiviti misi kali ini adalah membersihkan dan mencuci pejabat JKM Pasir Puteh termasuk dua pusat pemindahan ini selain menganjurkan aktiviti bersama kanak-kanak mangsa banjir seperti mewarna, tarian  serta gotong-royong memasak bersama Anggota Perkhidmatan Awam (APM) serta JKM,” kata beliau ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Foad berkata UniMAP turut mendapat kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor HEPA UniMAP, Jabatan HEPA UniMAP, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2016/17 serta Kelab Sukarelawan UniMAP selain kerjasama HEPA USM, JKM Pasir Puteh dan APM Kelantan.

Katanya, selain bantuan membersihkan kawasan yang terjejas itu UniMAP juga mengadakan sesi perkongsian, motivasi serta interaksi bersama mangsa-mangsa banjir dalam usaha mengurangkan tekanan kepada mereka.

UniMAP turut menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan kepada JKM dan APM bagi memberi sokongan serta melancarkan usaha agensi terbabit dalam membantu mangsa banjir,” katanya.

Untuk rekod, pada Januari tahun lalu UniMAP menggerakkan misi bantuan pasca banjir dengan membabitkan 2000 sukarelawan pelajar dan kakitangan UniMAP sendiri melibatkan tujuh fasa bagi membantu mangsa banjir di Kelantan.

Sukarelawan UniMAP bergambar kenangan sejurus tiba di pejabat JKM Pasir Puteh, Kelantan.

Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan memberi taklimat kepada sukarelawan UniMAP sebelum upacara pelepasan ke Kelantan bagi Misi Ops Banjir Pantai Timur Fasa 1.

Sukarelawan UniMAP melakukan aktiviti mewarna bersama anak-anak mangsa banjir di pusat pemindahan sementara SK Canggai.

Kangar, 25 Januari - Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus menerima pengiktirafan pihak luar apabila dua pensyarahnya dilantik sebagai penasihat penyelidikan Fakultas Matematik dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA) di Universitas Negeri Makasar (UNM), Indonesia.

Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh dilantik atas kesarjanaan masing dalam penyelidikan dan penerbitan jurnal terutama dalam bidang geopolimer dan teknologi hijau.

Pelantikan untuk tempoh dua tahun itu, secara tidak langsung akan menyerlahkan lagi keterlihatan UniMAP di peringkat antarabangsa sekaligus meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia amnya.

Menurut Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri, FMIPA merupakan fakulti yang terbesar di UNM dengan mempunyai enam jabatan antaranya Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.

“Pelantikan ini juga merupakan dibuat selepas FMIPA dan UNM kini dalam  perancangan membudayakan dan memperkasakan penyelidikan dan penerbitan dikalangan pensyarah-pensyarahnya agar lebih menyerlah di peringkat antarabangsa,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pelantikan kedua-dua pensyarah tersebut di buat dalam satu majlis ringkas bersempena sesi Kuliah Tamu CEGeoGTech UniMAP anjuran FMIPA khusus untuk lembaga penyelidikan UNM dengan dihadiri oleh Timbalan Rektor Prof. Dr. Gufran Darma Dirawan, M.Ed. (Bidang Pengembangan dan Kerjasama).

Dr. Mohd Mustafa menyampaikan kuliah bertajuk, Analisa Pencapaian Penyelidikan dan Penerbitan UNM & Strategi Membudayakan Penyelidikan UNM manakala Dr. Mohd Arif menyampaikan kuliah berkaitan Strategi Penerbitan Berimpak.

Dalam masa yang sama, Dr. Mohd Mustafa Al-Bakri berkata, beliau bersama dua lagi penyelidik CEGeoGTech, Dr. Rafiza Abdul Razak dan Dr. Zarina Yahya turut menyampaikan kuliah tamu Teknologi Hijau dan Geopolimer kepada 60 orang mahasiswa yang menjalankan kajian penyelidikan dalam bidang geopolimer.

Ujar beliau, inisiatif perkongsian ilmu ini turut bertujuan untuk meningkatkan penyelidikan dalam bidang  geopolimer dan teknologi hijau yang mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara.

CEGeoGTech UniMAP sememangnya telah dikenali dalam aspek penyelidikan dan penerbitan teknologi ini dimana UniMAP kini menghuni tangga pertama dalam bidang geopolimer berdasarkan pengkalan data Scopus bagi tempoh 5 tahun terakhir ini. 

“Hasil lawatan kali ini juga, CEGeoGTech UniMAP telah bersetuju untuk menerima beberapa orang pelajar FMIPA bagi menjalankan penyelidikan geopolimer di UniMAP bagi tempoh satu hingga tiga bulan, ujarnya lagi.

Beliau menambah, jalinan kerjasama ini juga diharap dapat meningkatkan mobiliti kedua-dua universiti dan pada masa sama kedua-dua institusi juga bersetuju untuk menghasilkan penerbutan secara bersama.

Kangar , 19 Januari  – Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Universiti Malaysia  Perlis (UniMAP) dinobatkan sebagai johan di Perasmian Penutup Majlis Menghafaz Al-Quran peringkat negeri Perlis, hari ini.

Nur Syuhada Tasnim Kayati, 21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik meraih kemenangan itu bagi kategori 20 juzuk dan bakal mewakili negeri ke peringkat kebangsaan di Melaka pada Mac depan.

Nur Syuhada yang  juga diberi gelaran Srikandi Syuhada berkata, makluman pertandingan tersebut diketahui menerusi laman sosial Facebook seterusnya mengambil inisiatif menghubungi pihak Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menyertainya.

“Saya juga pernah menyaksikan pertandingan ini pada sesi lepas sekaligus mendorong saya untuk menyertainya pada tahun ini dengan pergi ke MAIPs bagi mendaftar pada 6 Januari lalu.

“Saya tidak menyangka berjaya meraih johan bagi kategori 20 juzuk memandangkan perlu bersaing dengan ramai peserta yang hebat-hebat di pertandingan tersebut,” katanya ketika dihubungi selepas kejayaan berkenaan.

Nur Syuhada yang berasal dari Wakaf Bharu, Kelantan itu bercita-cita menjadi seorang pensyarah dan mula menghafaz Al-Quran sejak tingkatan satu sehingga tamat pada bulan November ketika masih di tingkatan empat.

Anak keempat dari enam beradik itu berkata, dia sudah bersedia bagi pertandingan peringkat kebangsaan walaupun masih di tahap sederhana dan akan melakukan yang terbaik kerana berpeluang mengulang hafazan sepanjang cuti semester.

Katanya, sebelum ini dia terikat dengan jadual harian yang sangat padat sebagai pelajar jadi pengurusan masa bagi mengulang hafazan adalah berorientasikan waktu solat dengan sedaya upaya memanfaatkan setiap waktu solatnya.

“Adakalanya saya banyak memanfaatkan waktu selepas solat Subuh untuk mengulang hafazan saya kerana waktu berkenaan adalah lebih berkat seperti yang disarankan oleh guru-guru saya sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam UniMAP, Nasrul Che Ali berkata Nur Syuhada menerima sijil penyertaan, sepasang kain dan wang tunai RM3,000 di atas kejayaan buat julung kalinya bagi UniMAP itu.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh, di sini.

Kangar, 6 Januari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini telah mengaktifkan bilik gerakan bencana bertujuan untuk mengutip bantuan bagi membantu mangsa banjir  yang sedang di Kelantan dan Terengganu.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, bilik gerakan bencana akan beroperasi menyelaraskan kutipan sumbangan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

“Kita telah mula membuka bilik gerakan serta merta di Bilik Seminar Za,ba, Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) UniMAP, Taman Pertiwi Indah.

“Kita mengalu-alukan sumbangan berbentuk wang tunai, makanan kering, beras, minyak masak, makanan dalam tin, air mineral serta barang keperluan harian seperti tuala, tuala wanita, lampin pakai buang, selimut, sabun, ubat gigi, berus gigi dan lain-lain keperluan yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ujar beliau lagi, sekiranya ada pihak yang bermurah hati untuk menyumbang bantuan kepada mahsa banjir bolehlah menghubungi pegawai yang bertugas Norazam Abdul Rashid di talian 014-3961901 (Hotline - 24 jam) dan 04-9798411 (Pejabat) atau datang sendiri di:

 

BILIK GERAKAN BENCANA UniMAP

No.2, Blok D, Taman Pertiwi Indah
Jalan Kangar - Alor Setar, Seriab
01000 Kangar, PERLIS

PHUKET 31 Jan. – Kerana ingin melihat bahasa Melayu kembali berkembang dan menjadi 'lingua franca' di nusantara seperti dahulu, dua buah universiti awam di Perlis tampil mengambil inisiatif untuk mengajar bahasa itu di dua buah sekolah di daerah ini dan Phang-Nga.

Kedua-dua daerah itu merupakan antara 15 wilayah Andaman terletak di selatan negara ini yang sudah tidak lagi menggunakan bahasa Melayu sebagai pertuturan.

Dipisahkan oleh jarak perjalanan sejauh lebih 500 kilometer tidak menghalang kedua-dua buah universiti terbabit iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk menjayakan hasrat tersebut.

Berikutan itu, UiTM Cawangan Perlis telah menjadikan Sekolah Muslim Wittaya di sini sebagai sekolah angkat manakala UniMAP pula Sekolah Fahad Wittaya di Phang-Nga.

Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Perlis, Zailuddin Ariffin berkata, buat permulaan, seramai lima orang pensyarah dari Akademi Pengajian Bahasa universiti itu dihantar ke Sekolah Muslim Wittaya untuk mengajar 30 orang guru bahasa selama lima hari bermula 27 Disember tahun lalu.

“Kami menggunakan kaedah pengajaran tidak formal dan apa yang mengejutkan guru-guru di sini mampu belajar bahasa Melayu walaupun ada yang tidak mempunyai asas.

“Antara kaedah yang digunakan adalah kamus bergambar, permainan Sahibba, poster dan nyanyian lagu-lagu Melayu,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program pembelajaran bahasa Melayu yang dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Sekolah Muslim Wittaya, semalam.

Berangkat sama ke program yang turut mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istidat Melayu Perlis (MAIPs) itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pada program itu para hadirin dihiburkan dengan nyanyian lagu 'Rasa Sayang Eh' dan 'Kalau Rasa Gembira' oleh pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dengan baik.

Zailuddin seterusnya memberitahu, pihaknya mendapat kerjasama erat daripada pengurusan sekolah yang sudah menetapkan dua jam sesi pembelajaran bahasa Melayu seminggu oleh empat orang guru.

Katanya, itu merupakan satu perkembangan positif dan pihaknya merancang melanjutkan program tersebut dengan membawa guru dan pelajar sekolah itu ke Perlis untuk belajar bahasa Melayu.

“Kami rasa gembira kerana penduduk Islam di sini berminat mempelajari bahasa Melayu dan sudah tentu dapat menjalin hubungan lebih erat sesama Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Bahasa dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Harun berkata, pihaknya juga menggunakan konsep sama dengan beberapa orang pensyarah telah dihantar ke Sekolah Fahad Wittaya untuk me­ngajar guru-guru sekolah itu bahasa Melayu, baru-baru ini.

“Ini merupakan pertama kali pensyarah kita mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua kerana penduduk di sini sebahagian besar tidak boleh bertutur dalam bahasa ini,” katanya.

- Utusan Malaysia

 

ALOR SETAR  30 Januari – Kira-kira 5,000 pengunjung hadir memenuhi ruang pameran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sepanjang dua hari penganjuran Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2016  "Jom Masuk IPT" di Perkarangan Stadium Darul Aman, baharu-baharu ini.

Pengerusi Sekretariat Promosi UniMAP, Prof. Madya Dr. Rizalafande Che Ismail berkata, penganjuran karnival sepanjang dua hari itu dapat  memberi ruang buat institut pengajian tinggi dalam mempromosi dan memberi info terkini kepada pelajar khususnya di bahagian utara semenanjung.

"Melalui program karnival ini, pelajar lepasan SPM/STPM/Matrikulasi dan lepasan Diploma dapat menerima maklumat yang tepat mengenai peluang-peluang ke pengajian tinggi dan dengan itu, mereka boleh membuat pilihan yang sesuai.

“Selain itu, ia juga membolehkan UniMAP dapat bertemu dan berbincang secara terus dengan bakal pelajar mengenai program pengajian yang bakal mereka ikuti serta membantu membimbing pelajar dalam mengenalpasti peluang dan strategi memilih program pengajian di dalam sistem UPU berdasarkan kepada keputusan peperiksaan akhir yang diperolehi,”katanya ketika ditemui pada Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2016  "Jom Masuk IPT".

Beliau yang juga Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik UniMAP itu berkata, UniMAP kini menawarkan 21 program di dalam bidang kejuruteraan, 14 program Teknologi Kejuruteraan, dua program perniagaan dan satu program sains komunikasi. 

UniMAP juga bakal memperkenalkan program baru bagi sesi pengambilan bermula tahun ini iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Teknologi Makanan).

“Ia bertepatan dengan lonjakan keempat PPPM (PT) iaitu 'Graduan TVET Berkualiti', UniMAP sebagai salah satu penyedia program TVET sudah pasti ingin menawarkan peluang pengajian dalam bidang ini kepada pelajar menerusi konsep pengajaran dan pembelajaran yang digunapakai oleh UniMAP” katanya lagi.

Majlis perasmian karnival tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh. Turut hadir, Naib Canselor UniMAP Brig. Jen. Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin.

Karnival yang bermula 30 Januari hingga 3 April 2016 di enam zon seluruh negara itu bermula di Kedah dan seterusnya akan berakhir di Selangor.

Ia melibatkan pelbagai agensi berkaitan pendidikan tinggi seperti 20 Universiti Awam, Jabatan Pendidikan Politeknik, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan lain-lain agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

JELI 29 Januari- Kearah menjadikan pengajian kejuruteraan sebagai pilihan utama, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus komited dalam mempromosikan bidang tersebut di kalangan pelajar terutama pelajar sekolah.

Naib Canselor UniMAP Brig. Jen. Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata, bidang kejuruteraan mampu menawarkan lebih banyak pekerjaan kepada graduan.

“Sekarang ini, bidang kejuteraan bukan sahaja dimonopoli oleh  golongan lelaki, namun terdapat juga ramai jurutera wanita yang bekerja di syarikat-syarikat besar”.

“Kaedah promosi dari sekolah ke sekolah memberi peluang kepada UniMAP untuk mengetengahkan keunikan dan keistimewaan pelbagai program pengajian yang ditawarkan.” katanya ketika dalam ucapannya sempena Program Tambatan Ilmu 2016 bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Balah di Jeli, baharu-baharu ini. 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid dan Pengetua SMK Kuala Balah, Hashim Ismail.

Ujar Datuk Kamarudin lagi, usaha itu adalah seiring dengan komitmen UniMAP untuk memupuk minat pelajar sekaligus melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang kejuruteraan.

Program anjuran Institut Kajian Strategik, Kepimpinan dan Komuniti (IKSK) turut melibatkan penyertaan dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP.


Sementara itu, pada majlis sama, UniMAP menerusi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) turut menyumbangkan teknologi solar panel di sekolah tersebut.

Terdahulu, UniMAP turut menyumbangkan teknologi sama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut di Tumpat.


SMK Kampung Laut merupakan sekolah angkat yang dibantu UniMAP ketika menghadapi bencana banjir besar pada tahun lepas.

Ujar kamarudin, kos pemasangan teknologi itu akan ditanggung dua pusat pengajian kejuruteraan (PPK) di UniMAP iaitu Sistem Elektrik dan Mikroelektronik.

 

Pauh Putra, 25 Januari – Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-HEART) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mengadakan pameran lukisan dengan tajuk The Exploration Journey : An Art Exhibition by Kirtantaw Subramanian di sini, hari ini.

Pameran berkenaan membuktikan bahawa anak-anak istimewa khususnya autisme mempunyai bakat mereka tersendiri sekalipun mereka berbeza daripada anak-anak normal yang lain.

Naib Canselor UniMAP, Brig Jen Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata pameran yang diadakan di galeri Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) bertujuan meningkatkan kesedaran dan keprihatinan warga UniMAP dan masyarakat Perlis terhadap bakat golongan autism.

“Pameran hari ini mengetengahkan bakat remaja autisme iaitu Kirtanraw Subramnian yang berjaya menghasilkan 60 lukisan meliputi abstrak dan gambaran sebenar.

“Selain itu, objektif utama pameran ini adalah bagi meningkatkan motivasi ibu bapa, keluarga dan masyarakat mengenai bakat anak-anak istimewa  sekaligus mendorong mereka sentiasa menyokong penuh setiap bakat yang dimiliki anak-anak ini,” katanya selepas Program Meraikan Anak-anak Istimewa di Auditorium PTSFP.

Turut berkenan berangkat hadir ke program berkenaan ialah Raja Puan Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP dan juga penaund diraja A-HEART.

Kirtanraw,22, yang berasal dari Sungai Petani Kedah mula berjinak-jinak dengan lukisan sejak berusia tujuh tahun yang meminati kaedah lukisan lakaran pensil seta lukisan berasaskan minyak.

Sehingga kini, Kirtanraw berjaya menghasilkan hampir 100 lukisan pelbagai saiz dan kebanyakan lukisannya dihasilkan daripada imaginasinya sendiri.

Antara program pameran yang mempamerkan lukisan karya Kirtanraw samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa ialah Solo Exhibition Theme Exploration 2014 di Pulau Pinang, Art Exhibition 2014 di Sungai Petani Mall, Art Exhibtion 2013 di Blackwood Cafe Sungai Petani, Animals Kingdom Art Exhibition 2013, Vetri Festival of Art Exhibition 2015 di Pondichery India dan Art Exhibition di Solaris Publika Dutamas White Box 2015.

Lukisan-lukisan yang dipamerkan ini juga sedia dijual kepada para pengunjung.

 

Pauh Putra, 25 Januari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Program Meraikan Kecemerlangan Bakat Anak-anak Istimewa bagi mengetengahkan inisiatif dalam menjana bakat anak-anak istimewa di negeri ini, hari ini.

Program inisiatif daripada Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-Heart) itu bukan sahaja mensasarkan anak-anak autisme tetapi semua anak-anak istimewa pelbagai kategori di wilayah utara khususnya negeri Perlis.

Naib Canselor UniMAP, Brig Jen. Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata selain mengetengahkan bakat anak-anak istimewa, program kali ini turut memperkenalkan hub A-Heart dan kad keahlian Hub A-Heart.

Katanya, sepanjang 2015 aktiviti pendidikan anak-anak istimewa agak terbatas kerana terpaksa menggunakan Surau UniMAP buat sementara waktu namun pada awal tahun ini, Hub A-Heart mula digunakan sepenuhnya di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP).

“Hub ini ditubuhkan khas bagi menyediakan ruangan agar proses penawaran sumber dan penganjuran aktiviti pendidikan untuk anak-anak istimewa ini dapat dijalankan dengan lebih aktif,” katanya ketika berucap di program berkenaan.

Turut berkenan berangkat hadir ke program itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP yang juga penaung diraja A-Heart.

Hadir sama Pengerusi PISKANITA UniMAP, Datin Noridah Yangman.

Menurut Dr Kamarudin, kad keahlian hub A-Heart pula diperkenalkan untuk memberi keistimewaan kepada anak-anak serta ibu bapa atau penjaga anak-anak istimewa itu mengunjungi PTSFP.

“Kad keahlian ini memberi peluang kepada anak-anak istimewa dan penjaga mereka mengunjungi PTSFP untuk menggunakan kemudahan yang disediakan seperti pinjaman buku, peralatan mainan ilmiah, ruang permainan dan ruang tayangan.

“Pendek kata, melalui A-Heart UniMAP komited merangka pelbagai program untuk menjayakan A-Heart sekaligus memberi peluang anak-anak istimewa ini menggilap bakat mereka,” katanya.

Selain program berkenaan turut diadakan pameran lukisan The Exploration Journey : An Art Exhibition yang dihasilkan anak istimewa, Kirtanraw Subramanian.

Bagi ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak-anak istimewa ingin mendapatkan keahlian kad Hub A-Heart itu boleh menghubungi talian 04-9885402 atau emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

KANGAR, 25 Januari - Masyarakat Perlis kini semakin memahami agenda utama kerajaan negeri yang memberikan fokus dalam memajukan Perlis menjelang tahun 2015.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, kajian yang dilakukan Institut Kajian Stretegik Kepimpian dan Komuniti  (IKSK) UniMAP meliputi lima aspek utama iaitu ekonomi, sosial, infrastruktur, alam sekitar dan pentadbiran kerajaan.

“Hasil dari kajian yang dilaksanakan dari tahun 2012 hingga 2014 menunjukkan keputusan yang amat memberangsangkan dan rakyat amat positif dalam membantu kerajaan bagi membantu memajukan Perlis.

“Jika dilihat pada graf keyakinan rakyat dengan usaha kerajaan meningkat dari 87.7 peratus pada 2013 kepada 93.8 peratus pada 2014,”katanya ketika membentangkan laporan kajian Persepsi Rakyat Perlis terhadap Agenda Negeri sempena Konvensyen Perlis Maju Rakyat Minda Kelas Pertama, di Dewan Warisan, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Speaker Kerajaan Negeri Perlis, Hamdan Bahari, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Ahmad Zamri Khairuddin.

Ujar Dr. Kamarudin lagi, persepsi kemajuan prasarana juga meningkat dari 85.1 peratus pada 2013 kepada 90.3 peratus pada 2014, manakala bagi kemajuan perkhidmatan meningkat dari 80.7 peratus pada 2013 kepada 93.8 peratus pada 2014.

“Manakala bagi persepsi kemajuan utiliti dan pentadbiran kerajaan masing-masing meningkat  88.1 peratus  kepada 92.4 peratus dan 57.4 peratus  kepada 90.4 peratus bagi tahun 2013 dan 2014,”katanya lagi.

Pada konvensyen itu juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Izamael Zamzuri Ismail turut membentangkan laporan prestasi agenda negeri manakala Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali memberikan penilaian dan rumusan terhadap prestasi agenda kerajaan negeri Perlis.

Perlis Maju 2015 merupakan agenda utama kerajaan negeri Perlis dalam usaha menyediakan persekitaran yang kondusif kepada rakyatnya. Oleh itu kerajaan negeri telah menetapkan 53 indikator dalam memastikan impian negeri Perlis negeri maju dapat dicapai.

Sementara itu pada majlis yang sama, seramai 14 sekretariat Perlis Maju 2015 dari UniMAP dan agensi kerajaan lain diberikan sijil penghargaan dari kerajaan negeri Perlis di atas sumbangan mereka terhadap agenda Perlis Maju 2015

Pengkalan Chepa, 25 Januari - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sepakat menjalinkan kerjasama dalam memperkasakan bidang keusahawanan.

Hasrat berkenaan dicapai ketika lawatan penanda aras Pejabat Naib Canselor (PNC) UniMAP ke UMK, di sini, semalam.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, UMK merupakan universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang keusahawananan sekaligus menarik minat UniMAP untuk mengadaptasi kepakaran itu di universiti kejuruteraan berkenaan.

Katanya, beliau berharap perkongsian bijak (Smart Partnership) akan dapat diteruskan dengan fokus UniMAP adalah dalam bidang pertanian manakala UMK dalam bidang keusahawanan.

“Sebagai antara universiti muda, UniMAP sentiasa melihat ruang dan peluang yang ada untuk menjalinkan kerjasama  strategik dengan pelbagai pihak bagi berkongsi idea dalam meningkatkan mutu penyelidikan di samping mencari peluang untuk menjana pendapatan sendiri.

“Saya berharap kerjasama strategik seperti ini akan menjadi medan utama dalam menghasilkan produk penyelidikan yang memberikan pelbagai kebaikan kepada seluruh masyarakat dan kita bersama” beliau berkata demikian selepas mengetuai lawatan penanda aras berkenaan semalam.

Kehadiran delegasi dari UniMAP ini disambut oleh Naib Canselor UMK, Dato’ Prof Dr. Mortaza Mohamed dan pengurusan tertinggi UMK.

Menurut Dr Kamarudin, lawatan tersebut sebagai pengukuh ikatan antara kedua-dua Universiti serta menyemarakkan hubungan yang sedia terjalin sekaligus membuktikan bahawa UniMAP dan UMK komited dalam mengadakan kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak. 

“Lawatan ini juga bertujuan untuk bertukar pendapat dan pengalaman terutama dalam hal-hal berkaitan pengurusan pentadbiran terutama di Pejabat Naib Canselor yang menjadi pengantara hubungan UniMAP dengan universiti-universiti lain.”

“Selain itu , jalinan hubungan yang terjalin antara UniMAP dan UMK diharapkan akan terus mekar dan mampu menyumbang kepada perkembangan pendidikan dan memberi manfaat dari segi peningkatan ilmu pengetahuan kedua-dua universiti,” katanya. 

Beliau percaya kerjasama antara UniMAP dan UMK adalah saling menyokong antara satu sama lain, lebih-lebih lagi untuk meningkatkan kecekapan sumber manusia, mengoptimum input untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran serta meningkatkan kecekapan tadbir urus universiti.

 

Tumpat, 24 Januari - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) apabila menyumbangkan teknologi solar panel di sekolah angkatnya di sini, hari ini.

Teknologi solar bernilai RM5,000 itu diserahkan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut ketika delegasi UniMAP diketuai Naib Canselornya mengadakan lawatan ke sekolah itu. 

Naib Canselor UniMAP Brig. Jen. Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata usaha berkenaan adalah salah satu promosi kepada guru dan pelajar sekolah itu mengenai pengajian kejuruteraan serta pendedahan mengenai teknologi solar.

Katanya, ia melibatkan dua pusat pengajian kejuruteraan (PPK) di UniMAP iaitu Sistem Elektrik dan Mikroelektronik.

"Pada program CSR kali ini UniMAP turut melakukan pembaharuan iaitu turut menyumbangkan papan kenyataan digital (Display Board Digital) kepada sekolah ini," katanya.

Menurutnya, beliau turut berbamgga dengan prestasi SMKKL walaupun pernah dilanda bencana banjir pada Disember 2014 apabila menjadi antara sekolah cemerlang dalam ujian Penilaian Tingkatan Tiga (PT3).

"SMKKL adalah sekolah yang dibantu UniMAP ketika menghadapi banjir pada tahun lepas dan saya berbangga, walaupun ditimpa bencana besar pada penghujung 2014, namun berjaya menunjukkan prestasi yang baik dalam PT3", beliau bercakap demikian pada majlis perhimpunan SMK Kampung Laut.

Turut hadir , Ketua Sektor Akademik Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat, Alias Ismail dan Pengetua SMK KL, Puan Jamari Othman serta lebih 1,000 pelajar dan guru sekolah berkenaan. 

Pada majlis itu, UniMAP turut menyumbangkan sumbangan berbentuk wang tunai kepada pelajar yang cemerlang dalam akademik.

 

 

PAUH PUTRA 22 Januari- Kira-kira 80 orang guru dan kakitangan Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar telah mengadakan kursus dalam perkhidmatan dan lawatan penandarasan ke Universiti Malaysia Perlis baru-baru ini.

Rombongan yang diketuai pengetuanya, Adnan Harun disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof.Emeritus Dr. Kamarudin Hussin.

Menurut Adnan, lawatan tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada guru dan kakitangan mengenai corak kerja yang diamalkan UniMAP.

Menurutnya, walaupun UniMAP sebuah universiti muda, namum kecekapan Naib Canselornya dalam menguruskan universiti menyebabkan UniMAP mampu bergerak seiring bersama universiti awam lain di negara ini.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP ketika dalam ucapannya berkata, UniMAP sentiasa memberi sokongan penuh dan bersedia memberi tunjuk ajar kepada sekolah-sekolah dinegeri ini yang menunjukkan minat dalam bidang kejuruteraan.

Katanya, kewujudan seperti "Young Engineer Club" di sekolah dilihat menjadi pentas pertama selain dapat mengcukil minat pelajar dalam alam kejuruteraan.

Rombongan tersebut dibawa melawat perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Galeri PPK Pembuatan dan Litar Go Kart UniMAP.

Mereka turut meninjau Smart Green House Harumanis dan Kampus Uniciti Alam Sungai Chuchuh yang telah dibangunkan bersama syarikat swasta dan menjadi ikon di peringkat KPT.

Selain itu, guru-guru dan kakitangan sekolah itu diperkenalkan dengan perpustakaan Hub Digital yang merupakan perpustakaan termoden.

Perpustakaan tersebut beroperasi dengan menggunakan teknologi terkini tanpa menggunakan buku bercetak.

 

Kangar, 22 Januari - Pusat Pengajian Diploma (PPD), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mencatat sejarah apabila ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia sebagai salah satu Pusat Latihan Dual Nasional (PLDN).

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu lagi pemangkin ke arah melahirkan tenaga kerja mahir selaras dengan seruan kerajaan untuk memperkasakan agenda Latihan Teknikal Dan Vokasional TVET di Malaysia.

Jelas beliau, memandangkan pendidikan teknik dan vokasional perlu diberi perhatian penting oleh semua pihak, maka UniMAP menetapkan strategi melalui PLDN untuk memastikan pembangunan pendidikan dalam negara terus mampan dan berdaya berdaya saing.

Menurut beliau,  dengan pengiktirafan tersebut juga, para pelajar akan menjalani sesi pembelajaran teori di UniMAP manakala latihan praktikal boleh dijalankan di mana-mana industri yang berdaftar sebagai pusat latihan dengan JPK.

“Melalui inisiatif ini, pelajar Diploma Kejuruteraan UniMAP bukan sahaja mendapat sijil diploma universiti tetapi juga akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) setelah mereka menamatkan pengajian kelak.

“Langkah ini dilihat bakal membantu pelajar yang bergraduat untuk menjadi lebih berdaya saing dalam merebut peluang pekerjaan di industri sama ada di dalam atau luar negara,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

PPD UniMAP yang dahulunya dikenali sebagai Unit Penyelarasan Program Diploma (UPPD) telah ditubuhkan pada 1 April 2006 dengan menawarkan enam program pengajian Diploma kejuruteraan iaitu Kejuruteraan Metallurgi, Kejuruteraan Pembuatan, Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Mikro Elektronik dan Program Diploma Kejuruteraan Elektrik

Menuru Dr. Kamarudin, menerusi PLDN tersebut, PPD menerima tauliah dalam 13 bidang pekerjaan iaitu Juruteknik Kanan Program Logik, Juruteknik Rangkaian (Rekabentuk), Operasi Sistem Komputer, Kawalan Kualiti Industri, Operasi Pemesinan, Pengeluaran Pemasangan Semikonduktor dan Juruteknik Embedded System (Rekabentuk).

Selain itu, PPD UniMAP turut memperolehi tauliah bagi bidang Pemasangan Penyelenggaraan Elektrik Satu Fasa, Pemasangan  Penyelenggaraan Elektrik & LED, Proses Kimpalan Arka Kepingan Logam, Proses Kimpalan Gas Logam, Pelukis Plan Mekanikal dan Perkhidmatan Sokongan Kejuruteraan Automasi Industri.

“Pentauliahan ini juga bakal membuka peluang untuk UniMAP menawarkan kursus-kursus jangka pendek kepada pihak luar dan ia sekali gus dapat mendokong agenda Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dari universiti kepada masyarakat,” ujar beliau lagi.

Pauh Putra, 21 Januari – Majlis Pengurusan Kolej Kediaman Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya menerbitkan Buku Manual Prosedur Kerja (MPK) bagi melancarkan pengurusan kolej kediaman di universiti itu.

Buku berkenaan dilancarkan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Fo’ad Sakdan yang mewakili Naib Canselor ketika merasmikan Majlis Konvesyen Kolej Kediaman di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di sini.

Hadir sama Dekan HEPA, Prof Madya Razli Ahmad dan Pengerusi Majlis Pengurusan Kolej Kediaman En Hirwan Jasbir Jaafar.

Dr Mohd Foad berkata buku itu dihasilkan selepas Majlis Pengurusan Kolej Kediaman ditubuhkan pada 1 Januari lalu dengan diterajui oleh semua Pengetua Kolej Kediaman mengikut portfolio yang ditetapkan oleh pihak pengurusan tertinggi universiti.

Menurutnya, buku itu mengandungi keseluruhan panduan prosedur tugas bagi pengurusan kolej kediaman yang juga boleh dijadikan rujukan oleh Pusat Tanggungjawab (PTj) yang lain berkenaan urusan berkaitan.

Katanya, kakitangan kolej kediaman khususnya dapat melakukan tugas mereka dengan lancar dengan kewujudan buku itu sekaligus dapat memberi gambaran yang jelas tentang prosedur tugas setiap kakitangan.

“Saya yakin buku ini dapat mewujudkan urus tadbir pengurusan kolej kediaman yang lebih seragam, mantap, efisien dan sistematik bagi mencapai visi serta misi universiti,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.

Dalam majlis itu turut diadakan penyampaian surat perlantikan jawatankuasa majlis pengurusan kolej kediaman terdiri daripada Pengetua dan Penolong Pengetua Kolej Kediaman.

Terdahulu, Bengkel Pemurnian Manual Prosedur Kerja, Fail Meja dan Penetapan Sasaran Kerja Tahunan Kolej Kediaman telah diadakan di Dewan Kuliah 9 melibatkan seluruh kakitangan kolej kediaman.

 

KANGAR, 20 Januari— Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mensasarkan 10 pingat emas pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SUKIPT) 2016 yang bakal berlangsung pada 25 Januari hingga 5 Februari 2016 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, sasaran tersebut ditetapkan dalam usaha mengekalkan pencapaian dengan  memperoleh tempat 10 terbaik pada  SUKIPT 2014 lalu.

 “Pada tahun 2014 lalu, kita meraih kedudukan keempat keseluruhan dan pada penyertaan kali ini saya mengharapkan UniMAP dapat mengekalkan kedudukan atau memperbaiki kedudukan yang lebih baik lagi pada kejohanan kali ini.

“Saya percaya kita akan mampu mencapai sasaran 10 pingat emas, sembilan  perak dan lapan gangsa sekiranya para atlet berusaha sehabis baik,”katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan bendera Kontinjen UniMAP ke SUKIPT 2016 di Kampus Kubang Gajah UniMAP, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’. Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP  Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Pengarah Pusat Sukan UniMAP, merangkap Ketua Kontinjen SUKIPT UniMAP 2016, Suhizaz Sudin.

Ujar beliau , antara acara yang disasarkan menjadi penyumbang emas ialah Karate Do, Olahraga, Bola Tampar Pantai dan Petanque.

“Kita akan menyertai 10 acara daripada 25 acara yang dipertandingkan dan UniMAP menghantar kontinjen seramai 132 orang atlit termasuk pegawai yang bakal menggalas cabaran SUKIPT 2016 kali ini.

“Saya yakin, semua atlet telah melakukan persedian yang tebaik dan bersedia untuk mengharumkan nama universiti pada kejohanan kali ini,”katanya.

Antara acara yang akan disertai UniMAP adalah Bola Baling (L), Boling Padang,Karate Do, Silat, Taekwando, Tenis,Petanque, Olahraga, Memanah dan Bola Tampar Pantai

Untuk rekod, pada SUKIPT 2014 yang diadakan di Universiti Teknologi MARA lalu, UniMAP berjaya mengutip  15  emas, enam perak dan lapan gangsa bagi meraih tempat keempat keseluruhan.

ARAU, 19 Jan (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa berusaha mengoptimumkan kebolehpasaran graduan universiti itu melalui program-program yang dirangka dalam Program Fakulti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), kata Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin.

"Dalam usaha mengukuhkan program teras, UniMAP mengambil inisiatif bekerjasama dengan syarikat peralatan terkemuka dunia, B.Braun yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi perubatan terkini dan farmaseutikal.

"UniMAP di bawah Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan serta Pusat Kecemerlangan Industri Kluster Penjagaan Kesihatan (ICoE Healthcare) membuka peluang kepada pelajar UniMAP menjalani latihan industri di B.Braun yang berpusat di Pulau Pinang melalui Program Latihan Amali Berstruktur," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Program Fakulti CEO-'Envision Your Future' bersama Presiden B.Braun Kawasan Asia Pasifik, Anna Maria Braun di Dewan Kecemerlangan UniMAP, di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan puteri sulung baginda Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Keberangkatan baginda berdua disambut Pengarah Bahagian Hubungan Industri Kementerian Pendidikan Tinggi Dr Arham Abdullah, Kamarudin dan pegawai kanan universiti berkenaan.

Pada program itu, Anna Maria berkongsi pengalaman mengenai perjalanan hidup beliau bermula sebagai seorang pelajar undang-undang di sebuah universiti di Jerman, sebelum menceburi bidang perniagaan dalam industri teknologi perubatan dan farmaseutikal yang diusahakan secara turun temurun oleh keluarga Braun sejak enam generasi terdahulu.

"Tidak penting di mana kita bermula, tetapi bagaimana pengakhiran kita kerana tidak semua yang diusahakan bakal menempa kejayaan seperti dirancang," katanya.

Anna Maria berkata sudah menjadi tanggungjawab baginya sebagai ahli korporat untuk memberi input berguna kepada masyarakat terutama kepada golongan pelajar.

"Saya memang meminati perkara seumpama ini (memberi syarahan umum). Secara tidak langsung, saya dapat berkongsi kepada mereka tip dan nasihat berguna untuk maju dalam sesebuah perniagaan.

"Di B.Braun, kami sangat mementingkan kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kilang kami yang beroperasi di Pulau Pinang menjadi penanda aras kepada hub pengeluaran utama kami di Malaysia," katanya.

Untuk rekod, Braun merupakan Profesor Adjung Negara yang dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, dan turut terlibat dalam Program Fakulti CEO, yang membariskan CEO syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan tunjuk ajar melalui ceramah motivasi atau sebagai panel penasihat di 22 universiti awam.

Sesi perkongsian yang berlangsung selama tiga jam itu, dihadiri kira-kira 600 pelajar dan ahli akademik UniMAP.

-- BERNAMA

 

PUTRAJAYA, 18 Januari – Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) akan melaksanakan program Dua Universiti Dua Industri (2U2i) di beberapa Universiti Awam (UA) terpilih mulai tahun ini dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai perintis tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program tersebut merupakan usaha meningkatkan kebolehpasaran, persediaan dan kemahiran pelajar universiti untuk menghadapi alam pekerjaan.

“Pengalaman dalam industri amat penting bagi melahirkan graduan holistik sekaligus mencapai sasaran yang terkandung dalam Pelan Pengajian Pendidikan Malaysia Pendidikan Tinggi (PPPM PT),” ujarnya ketika berucap di Majlis Amanat Tahun Baharu 2016 Menteri Pendidikan Tinggi di sini hari ini.

Majlis tersebut dihadiri oleh warga KPT, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Naib-Naib Canselor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor serta Pengurusan Tertinggi UA. Yang turut hadir wakil-wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UA, warga Politeknik serta Kolej Komuniti.

Idris juga dalam amanatnya turut menyatakan Malaysia akan menjadi negara pertama yang melaksanakan pengiktirafan dan pemindahan kredit bagi Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-besaran (MOOCs) ke arah pendidikan fleksibel.

Menurut beliau berkata Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) diberi mandat membangunkan platform MOOCs untuk membolehkan semua kursus MOOCs dari Malaysia dan luar negara didaftarkan dibawah platform itu dan diberikan kredit.

"Pelajar boleh mengikuti pengajian secara fleksibel di beberapa universiti dalam dan luar negara yang didaftarkan dibawah MOOCs dalam talian dan kredit boleh dipindahkan untuk tujuan penganugerahan sijil, diploma dan ijazah," katanya.

Di bawah pendidikan fleksibel yang menjadi tema amanat Menteri tahun ini, beliau berkata MQA memperluaskan pelaksanaan program Akreditasi Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Sebelum (APEL) bagi tujuan penganugerahan kredit yang dikenali sebagai APEL (C) untuk membolehkan pelajar mendapat pemindahan kredit daripada pengalaman kerja.

APEL (C) membolehkan graduan memiliki tempoh pengajian sendiri yang lebih fleksibel, katanya.

Selain itu, Idris dalam pada itu jugaberkata pelajar dari negara ASEAN berpeluang untuk mengikuti program pengajian sepenuh masa di tiga buah politeknik premier iaitu di Ipoh, Shah Alam dan Johor Baharu mulai tahun ini.

"Politeknik menyasarkan pengambilan pelajar luar negara sehingga dua peratus enrolmen pelajar menjelang 2020," katanya.

Sementara itu, Idris berkata Kolej Komuniti akan menerajui projek pembinaan rumah kos rendah menggunakan teknologi komposit dengan kos kira-kira RM20,000.

"Projek perintis sebanyak 50 unit rumah akan dibina di Besut, Terengganu. Tapak sudah dikenal pasti dan kerja asas akan dimulakan dalam tempoh terdekat," katanya sambil menambah pembinaan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dijangka mengambil masa selama dua minggu.

 

 

  

  

Kangar, 18 Januari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak hanya memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik dan penyelidikan semata-mata tetapi turut menjadikan bidang kebudayaan sebagai antara fokus utama untuk menempa nama universiti tersebut sebaris dengan universiti yang lebih lama.

Ini terbukti apabila seorang pelajar antarabangsanya, Shehabaddin Ghilan dari Yemen dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bonang Emas bagi Kategori Pelajar Paling Aktif.

Anugerah disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Haji Mohd Dom pada Majlis Anugerah Seni yang dianjurkan Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) 2015 di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Terengganu baru-baru ini.

Selain Shehabaddin, Kelab Sutramaya UniMAP  yang berfokus kepada tarian turut terpilih untuk menerima Anugerah Gambang Mustika bagi Kategori Kelab Terbaik.

Dalam ucapannya, Tan Sri Alimuddin menyifatkan bahawa penganjuran majlis seperti ini adalah sebagai salah satu cara untuk menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar yang bergiat aktif dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

“Penglibatan dalam bidang kesenian dan kebudayaan terutamanya di kalangan penuntut-penuntut universiti awam akan menjadikan mahasiswa ketahap yang lebih baik serta mampu menghasilkan daya pemikiran kreatif, motivasi yang cemerlang dan nilai kerja berpasukan.”

“Malah, penglibatan dan kerjasama yang sangat baik daripada 20 universiti awam di Malaysia ini secara tidak langsung menjadi perangsang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk terus menjinakkan diri dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan,” katanya.

Menurut Pengarah Pusat Kesenian & Warisan UniSZA merangkap Setiausaha MAKUM Sesi 2013/2015, Sahar Sa’di Hashim, setiap universiti menghantar senarai calon dan juga kelab kebudayaan dari universiti mereka dan pihak sekretariat memilih hanya seorang pelajar dan juga sebuah kelab kesenian dan kebudayaan yang paling aktif dari setiap UA bagi menerima anugerah tersebut

“Oleh itu, seramai 20 pelajar terpilih menerima Anugerah Bonang Emas MAKUM bagi Kategori Pelajar Paling Aktif dan 20 kelab kebudayaan UA menerima Anugerah Gambang Mustika MAKUM bagi Kategori Kelab Terbaik,” katanya.

Selain dua anugerah tersebut, terdapat lima lagi anugerah yang menjadi rebutan pada malam tersebut iaitu Anugerah Citra Budiman Emas MAKUM yang diberikan kepada Pegawai MAKUM yang gigih untuk meningkatkan mutu kecemerlangan MAKUM melalui sumbangan aktif dalam menganjurkan atau menyelaras aktiviti MAKUM ke arah memartabatkan Warisan Budaya Bangsa di university masing-masing.

Manakala Anugerah Gong Kencana MAKUM diberikan kepada universiti awam yang paling menonjol dalam menyertai pertandingan dan program-program yang dipertandingan oleh MAKUM; Anugerah Kenong Budi MAKUM adalah untuk agensi  yang  banyak memberikan sumbangan dan berjasa kearah kecemerlangan MAKUM;

Lain-lain anugerah adalah Anugerah Saron Wangsa MAKUM pula dianugerahkan kepada setiausaha  MAKUM; dan Anugerah Saron Wangsa Utama MAKUM dianugerahkan kepada Sekretariat  MAKUM  Sesi  2013-2015.

Majlis yang telah mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini turut mengumumkan pemilihan Univerisiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai sekretariat MAKUM bagi 2016 hingga 2017.

ARAU 14 Jan. – Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan JobHouse Sdn. Bhd. (JHSB) sedia untuk melatih 75 pelajar sebagai kumpulan pertama pada tahun ini menerusi program Kebolehanpasaran Graduan-Hi Tecs.

 

Pengarah CIGC UniMAP, Dr. Mukhzeer Mohamad Shahimin berkata, program ini dilaksanakan pada setiap tahun supaya graduan bukan saja mahir daripada segi teknikal malah boleh berkomunikasi serta cekap dalam pengurusan yang diperlukan di dalam industri.

 

“Program ini sekaligus membolehkan UniMAP mengintegrasikan soft skills dalam pembelajaran dan pengajaran kepada pelajar dan memberikan pendedahan realiti dunia pekerjaan yang sebenar pada peringkat awal,” katanya selepas pelancaran program Kebolehanpasaran Graduan Hi Tecs di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra di Kampus Tetap Pauh Putra dekat sini hari ini.

 

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JHSB, Sam Elias- Utusan Online

DHAKA, 13 Jan (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengembangkan jaringan antarabangsanya apabila mengikat kerjasama dengan Universiti Antarabangsa Daffodil (DIU), antara universiti terkemuka di Bangladesh di sini malam tadi.

Kedua-dua universiti itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang antara lain bagi melaksanakan kerjasama dalam bidang penyelidikan, konsultasi, pertukaran kepakaran dan intelektual.

UniMAP diwakili naib canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin manakala DIU diwakili naib canselornya, Prof Dr Yusuf Mahbubul Islam pada majlis yang berlangsung di Kelab Golf Kurmitola di sini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP berangkat menyaksikan majlis menandatangani MoU itu dan hadir sama ialah Pengerusi DIU, Md Sabur Khan.

Dr Kamarudin berkata hubungan UniMAP dengan DIU telah lama terjalin melalui beberapa kegiatan bersama sebelum ini, dan MoU yang diadakan itu adalah bagi memperkukuhkan kerjasama berkenaan.

"MoU ini adalah yang pertama bagi UniMAP membabitkan pusat pengajian tinggi di Bangladesh," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata UniMAP meletakkan sasaran berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia menjelang 2020 dan yakin ia boleh dicapai dengan momentum pencapaian sekarang.

Jumlah pelajar UniMAP juga berkembang bermula dengan 114 pelajar perintis pada 2002 dan kini meningkat kepada lebih 13,000 orang termasuk ratusan pelajar antarabangsa.

Antara pelajar antarabangsa yang melanjutkan pengajian mereka di UniMAP termasuk 30 dari Bangladesh.

-- BERNAMA

 

Daripada Adnan Jahaya

Julai 2016 - Edisi Khas Aidilfitri

Salam Aidil Fitri : Tingkatkan Kesyukuran Semaikan Keikhlasan, UniMAP Juara Perpaduan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan kepada Allah Azza Wajalla kerana memberi peluang kepada kita menyambut Aidil Fitri, iaitu hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa. Kemenangan ini lebih bermakna jika kita berjaya mentransformasikan diri menjadi insan yang berakhlak mulia walau di mana kita berada.

Ibadah puasa merupakan satu rahmat yang dapat mendidik jiwa agar lebih dekat kepadaNya. Ia juga medan mengukur kemampuan diri. Semoga Ramadhan yang dilalui menjadikan kita insan yang lebih baik dari tahun-tahun terdahulu.

Dalam kemeriahan hari kemenangan ini, saya menyeru warga kampus agar tidak sesekali mengabaikan mereka yang hidup dalam serba kekurangan. Selain itu, jauhilah pembaziran kerana sesungguhnya membazir itu amalan syaitan. Amalan tidak membazir termasuklah memastikan peralatan elektrik dipadam sepenuhnya. Firman Allah:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

 

"Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara Syaitan, sedang Syaitan pula makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." [Surah al-Israa : 27]

Marilah kita menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur, sebagaimana firman Nya:

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

 

 

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku menambah (nikmat) kepada kamu; dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” [QS Ibrahim: 7]

Akhir kata saya mewakili Pengurusan UniMAP mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada semua anggota kampus. Raikanlah dengan penuh kesyukuran dan semoga kita dipertemukan dengan Ramadan yang akan datang insyaa Allah. Bagi yang akan pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah di jalanraya.

 

Awal Syawal rai kejayaan,

Warga UniMAP saling berkunjungan,

Bertahmid bertakbir tanda ketaqwaan

Semoga kekal dalam kemenangan.

 

Allahu Akbar

Allahu Akbar

Allahu Akbar Walillah Ilhamd

 

 

PADANG BESAR, 10 Jan (Bernama) -- Kejayaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) membangunkan Kampus Uniciti Alam dilengkapi penginapan pelajar di Sungai Chuchuh di sini menarik minat Politeknik untuk melaksanakan konsep seumpama itu dalam rancangan pembangunannya.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Politeknik, Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Mohlis Jaafar berkata konsep itu sesuai dilaksanakan dengan sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi menampung bilangan pelajar yang ramai.

"Saya kagum dengan konsep UniMAP Sungai Chuchuh yang lengkap dengan kolej kediaman dan berharap konsep sama dapat dilaksanakan di 33 Politeknik seluruh negara," katanya.

Mohlis yang mengetuai pegawai-pegawai kanan Jabatan Politeknik berkata demikian semasa berucap selepas melawat Uniciti Alam yang dibina di atas tanah seluas 19.34 ekar (7.82 hektar), Sabtu.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin dan Pengerusi Eksekutif Proven Holding Berhad merangkap Profesor Adjung UniMAP Datuk Dr Yusof Jusoh.

Proven Holding Berhad merupakan syarikat pemaju Uniciti Alam.

Sehubungan itu, Mohlis berharap UniMAP dan Politeknik dapat bekerjasama membangunkan kolej kediaman atau asrama seperti Uniciti Alam.

Terdahulu, Kamarudin berkata UniMAP bersedia berkongsi pengetahuan membangunkan infrastruktur Politeknik bagi memenuhi konsep TVET dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi)(PPPM-PT).

Katanya pendekatan perkongsian pintar sektor awam-swasta dan penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) menjadi faktor kejayaan pembangunan Uniciti Alam yang dibangunkan pada 2012.

Uniciti Alam dilengkapi 480 apartmen berkeluasan 860 kaki persegi yang mampu menampung 3,840 pelajar Program Pengajian Teknologi Kejuruteraan dan pelajar Diploma.

Kampus itu juga mempunyai 92 kedai dan pejabat untuk usahawan dalam kalangan warga UniMAP termasuk pelajar menjalankan perniagaan, katanya.

-- BERNAMA

 

Sungai Chuchuh,9 Januari - Kejayaan pembangunan Kampus Uniciti Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menambat hati pihak Politeknik menerusi Jabatan Pembangunannya bagi mewujudkan konsep pembangunan yang sama untuk penginapan pelajarnya.

Pernyataan tersebut disuarakan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Politeknik , Datuk Mohlis Jaafar sempena lawatan delegasi organisasi berkenaan ke Uniciti Alam yang dibina di atas keluasan tanah 19.34 ekar, di sini hari ini.

Datuk Mohlis berkata beliau kagum dengan pembangunan kolej kediaman yang dijalankan UniMAP di kampus itu dan berharap konsep yang sama dapat direalisasikan kepada 33 buah Politeknik di seluruh negara.

"Pembangunan kampus ini juga bertepatan dengan kehendak sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sekaligus amat sesuai dilaksanakan oleh Politeknik bagi menampung pelajar-pelajar yang semakin meningkat.

Justeru, saya berharap sekiranya hasrat ini mencapai persetujuan kelak, UniMAP dan Politeknik dapat berkerjasama dalam membangunkan kolej kediaman atau asrama seperti kejayaan Uniciti ini," katanya ketika berucap di taklimat ringkas pembangunan Uniciti di sini.

Hadir sama ke taklimat berkenaan ialah Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin dan Pengerusi Eksekutif Proven Holding Berhad merangkap Profesor Adjung UniMAP, Datuk Yusof Jusoh.

Terdahulu, Dr.Kamarudin berkata UniMAP amat mengalu-alukan kerjasama di antara UniMAP dan Politeknik serta sedia berkongsi kemudahan yang dimiliki UniMAP kepada pelajar pelajar Politeknik sekaligus memenuhi konsep TVET selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT).

Ujarnya, UniMAP menggunakan pendekatan perkongsian sektor awam-swasta sebagai ramuan utama pembangunan di Uniciti ALAM ini dengan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi membangunkan kampus yang moden dan terancang dengan kemudahan kemudahan terkini untuk memudahkan aktiviti pengajaran pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan pelajar.

“Sejumlah 480 unit apartment dengan keluasan 860 kaki persegi diperuntukkan untuk kediaman pelajar dan boleh menampung seramai 3,840 pelajar dari Program Pengajian Teknologi Kejuruteraan dan pelajar Diploma UniMAP.

“Selain itu, ia turut menawarkan 92 unit ruang kedai dan pejabat untuk para usahawan dari kalangan warga UniMAP dalam usaha kita untuk menjana kreativiti, inovasi dan minda usahawan di kalangan warga UniMAP termasuk pelajar,” ujar beliau.

Dalam majlis ringkas itu juga, Penolong Naib Canselor Kelestarian Korporat, Dato' Wira Dr Salleh Din dan Ketua Pegawai Operasi UniMAP Holdings Dr Najmuddin Hassan turut memberi taklimat kejayaan pembangunan Uniciti kepada delegasi berkenaan.

Delegasi itu turut dibawa melawat rumah contoh penginapan pelajar di Uniciti, hub digital Uniciti, model teknologi IBS dan Pusat Agroteknologi Lestari UniMAP.

Pembangunan Uniciti dimulakan pada tahun 2012 yang lalu dan kini bukan sekadar menempatkan pelajar UniMAP tetapi turut menjana pembangunan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) iaitu Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) serta pertumbuhan sektor perniagaan seperti restoran, pasaraya, pusat perubatan dan gimnasium.

KANGAR, 8 Januari— Dalam usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menganjurkan UniMAP Korean Week (UniKOW) yang dijangka berlangsung pada April ini.

Naib Canselor UniMAP, Briged. Jen. Datuk Prof. Emeritus  Dr. Kamarudin Hussin berkata, kemajuan Korea Selatan dalam bidang TVET telah menarik minat UniMAP untuk menjadikan negara tersebut sebagai modelnya.

“Dengan pengalaman melebihi 30 tahun dalam TVET, kita percaya Korea Selatan merupakan acuan terbaik bagi Malaysia dalam mencorak dan memupuk minat golongan remaja untuk menceburi bidang ini.

“UniKOW telah mendapat perhatian syarikat-syarikat gergasi Korea seperti SAMSUNG dan KIA untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam program ini,’katanya ketika ditemui baharu-baharu ini.

Ujar Dr. Kamarudin lagi, antara pengisian UniKOW adalah International Conference On Korea High-Tech Application (ICKHA’16), Festival Kebudayaan “Hwan Yeong” dan pameran universiti dan industri dari Korea yang dirancang bakal berlangsung pada 8, 9 dan 10 April.

“Program seumpama ini yang julung kali diadakan seharusnya dimanfaatkan sebaiknya oleh semua golongan terutama sekali golongan pelajar dan pihak industri untuk menimba sebanyak mungkin ilmu mengenai budaya dan kemahiran yang dimiliki Korea ini.

“Kita mengalu-alukan kehadiran orang ramai dan membuka peluang kepada pihak universiti dan industri yang berminat untuk menyertai persidangan dan pameran sepanjang UniKOW ini berlangsung,”katanya lagi.

Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai UniKOW ini boleh hubungi Dr Haziah Abdul Hamid di talian 04-9885601 atau emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. (persidangan) manakala bagi yang berminat menyertai festival sempena UniKOW berkenaan boleh menghubungi En Mohd Izwan Izhar Haris di talian 04-9798720 atau emel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

 

Arau, 1 Januari – universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memulakan tahun baharu dengan tekad dan azam untuk bergerak seiring dengan tujuh petunjuk prestasi (KPI) Kementerian Pendidikan Tinggi  (KPT) yang digariskan oleh Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dalam amanat tahun barunya berkata, tahun 2016 menjanjikan cabaran yang sangat besar apatah lagi melalui pengurangan  peruntukan belanja mengurus sebanyak tujuh peratus.

Ujar beliau, cabaran pada tahun ini amat besar apabila UniMAP perlu menjana lebih banyak sumber kewangan bagi menampung perbelanjaan mengurus tanpa menaikkan yuran pengajian pelajar.

Atas dasar itu, Dr. Kamarudin saya menyeru semua warga UniMAP bersama-sama dengan beliau untuk berubah dan mengubah baik dari aspek sikap, minda, tabiat dan amalan bekerja bagi memastikan UniMAP dapat terus beroperasi dan mendidik anak bangsa.

 “Sebagai respons kepada perubahan yang menuntut kita berubah secara positif, UniMAP komited untuk menjayakan KPI melalui inisiatif-inisiatif yang telah digariskan untuk memastikan budaya berdaya saing UniMAP dapat diteruskan selepas ini.

“Harus diingat KPI ini perlu di lapor kepada Perdana Menteri yang mana sasaran yang telah ditetapkan menuntut kita melakukan beberapa banyak perubahan dengan melaksana inisiatif-inisiatif baru yang lebih segar, cekap dan berkesan secara kolektif,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2016 kepada pengurusan tertinggi UniMAP serta warga pentadbir dan pensyarah di Dewan Kecemerlangan di sini hari ini.

Menurut Dr. Kamarudin lagi, memandangkan aspek penjanaan kewangan merupakan fokus utama UniMAP, Datuk Prof. Dr. Salleh Din telah dilantik sebagai Penolong Naib Canselor (Kelestarian Korporat) yang antara lainnya bertanggungjawab melaksana aktiviti penjanaan kewangan universiti secara komprehensif antaranya melalui penawaran kursus jangka pendek secara komprehensif oleh setiap Pusat Pengajian di UniMAP.

Selain itu, Dr. Kamarudin menjelaskan, UniMAP turut komited untuk mencapai sasaran 80 peratus pelajar mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat berbanding sekitar 72 peratus tahun ini.

Ujar beliau, jika sebelum ini, perkara tersebut diletakkan di bawah tanggungjawab Pusat Kerjasama Industri dan Kerajaan (CIGC), namun pada tahun ini setiap pusat pengajian wajar mempunyai wakil atau jawatankuasa bertindak yang dipertanggungjawabkan untuk merancang, memantau dan membuat tindakan susulan.

Beliau menjelaskan, aspek pengantarabangsaan turut diberikan tumpuan apabila UniMAP meletakkan sasaran untuk mencapai 950 pelajar antarabangsa merangkumi pelajar ijazah pertama serta pasca siswazah.

“Bidang penerbitan penyelidikan turut menjadi fokus UniMAP justeru kita akan memastikan semua Pusat Kecemerlangan (COE) akan dipacu laju untuk menghasilkan lebih banyak penerbitan penyelidikan yang tinggi kualiti ilmunya selain merancang dengan teliti persidangan penyelidikan supaya dapat dimanfaatkan oleh Scopus dan badan-badan lain.

“Kita juga akan berusaha mencari sumber-sumber geran baru di dalam dan luar negara bagi mendanai aktiviti penyelidikan serta mengadakan afiliasi dan kolaborasi ‘menang-menang’ dengan universiti dan institut penyelidikan serta para penyelidik antarabangsa,” ujar beliau lagi.

Kangar, 31 Januari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengembangkan kerjasama strategik dengan Institusi Pendidikan di Romania apabila menandatangani surat hasrat dengan Technical University of Cluj-Napoca (TUCN), Romania.

Kerjasama tersebut bakal meliputi penglibatan dalam bidang penyelidikan, penerbitan jurnal berimpak serta perkongsian teknologi yang akan memberi fokus kepada bidang Teknologi Hijau dan Geopolymer.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, UniMAP sebelum ini mempunyai hubungan yang erat dengan Fakulti Sains dan Kejuruteraan Bahan, Technical University of Iasi, Romania dan perjanjian yang dimeterai hari ini di harap dapat mengukuhkan lagi kedudukan UniMAP di persada antarabangsa.

"UniMAP yakin, penglibatan dengan institusi pendidikan di luar negara ini mampu melonjakkan pencapaian UniMAP terutama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan jurnal berimpak,” ujar beliau.

Majlis menandatangani surat hasrat itu diadakan bersempena Seminar Bahan Termaju anjuran Pusat Kecemerlangan Geopolymer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP, Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan.

Pada majlis tersebut, UniMAP diwakili oleh Datuk Kamarudin sendiri manakala TUCN diwakili oleh Dr. Eng.Corbu Ofelia Cornelia, Pengarah Central Labarotary TUCN.

Seramai 50 orang pelajar pasca siswazah menyertai seminar tersebut yang memberi fokus kepada memperolehi input-input yang bermanfaat dalam menghasilkan thesis yang terbaik yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Andrei Victor Sandu, Saintis Kanan, Technical University of Iasi (TUI), Romania.

Menurut Dr. Kamarudin, penganjuran seminar ini juga adalah sebahagian dari usaha mengembangkan kerjasama antara UniMAP dan Institusi Pendidikan di Romania terutama yang mampu memberi impak kepada penghasilan graduan berkualiti.

Jelas beliau, UniMAP dan TUI sebelum ini juga turut berjaya menganjurkan Seminar Antarabangsa iaitu International Conference on Advanced Materials Engineering & Technology (ICAMET 2014) di Vietnam penghujung tahun lalu dengan UniMAP bertindak sebagai tuan rumah.

"Pada bulan Mei ini pula, satu lagi persidangan International Conference Innovative Research (ICIR) yang akan diadakan di Iasi Romania. Selain itu kedua-dua institusi juga kini aktif menerbitkan jurnal berimpak dengan jumlah jurnal telah mencecah 40 buah.

"UniMAP dan TUI juga telah berjaya menerbitkan sebuah buku secara bersama manakala beberapa buah buku lagi sedang dalam proses penterjemahan menggunakan bahasa masing untuk diterbitkan dalam masa terdekat,” ujar beliau lagi.

Kuala Lumpur, 30 Jan (Bernama) - Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) kini dalam proses membangunkan gajet atau peranti untuk mengesan kehadiran nyamuk aedes betina yang bertujuan mengurangkan masalah wabak denggi.

Pengarah Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (Unimap), Profesor Dr Uda Hashim, berkata peranti itu boleh mengesan kehadiran nyamuk aedes betina berasaskan gelombang akustik yang dihasilkan menerusi bunyi sayap nyamuk.

Bidang ini adalah gabungan penggunaan teknologi nano dalam kejuruteraan elektronik. Peranti akustik yang dihasilkan kelak adalah mudah alih, praktikal dan mampu dimiliki oleh orang ramai.

Peranti akustik berkenaan peka kepada bunyi sayap nyamuk aedes betina dan akan digabungkan dengan sistem kawalan tanpa wayar yang akan menghantar maklumat ke pusat pengumpulan data utama sama ada di dalam rumah itu sendiri atau di pusat-pusat kawalan nyamuk atau vektor yang berdekatan.

Kedua-dua teknologi itu akan dibangunkan serentak.

Kaedah ini dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tentunya tidak mampu untuk pergi dari sebuah rumah ke sebuah rumah dalam proses pemantauannya.

Sehingga kini memang terdapat banyak pendekatan yang digunakan bagi mengawal populasi nyamuk aedes, termasuk kawalan secara biologikal, fizikal, kimia, pengurangan sumber pembiakan nyamuk dan pengurusan vektor yang bersepadu.

"KKM memang telah melaksanakan pelbagai cara untuk mengawal wabak ini. Oleh kerana belum ada lagi vaksin yang boleh memulihkan pesakit denggi, cara terbaik adalah dengan mengawal tempat pembiakannya.

"Ia adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan kita mengharapkan peranti akustik yang dibangunkan ini dapat membantu mengurangkan masalah denggi yang semakin meningkat," kata Prof Uda.

Sehingga Januari ini kes denggi seperti yang dilaporkan dalam laman web iDenggi masih terus meningkat dan mencapai lebih 2,600 kes dengan lapan kematian di seluruh negara.

Tahun lepas sahaja angka kematian akibat kes denggi di seluruh negara meningkat 224 peratus. Mangsa yang terkorban akibat denggi direkodkan 199 orang berbanding 88 kematian pada 2013.

 

TINGKATKAN LANGKAH PENCEGAHAN

Nyamuk aedes boleh membiak dalam takungan air jernih dan memerlukan hanya satu minggu untuk menjadi nyamuk dewasa.

Menurut kenyataan akhbar oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, peningkatan kes dan kematian akibat denggi ketika ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

Langkah-langkah pencegahan denggi perlu dipertingkatkan dengan penglibatan aktif dan kerjasama semua agensi, jabatan dan masyarakat setempat.

Pihaknya menyarankan agar aspek kebersihan persekitaran diberi fokus utama iaitu dengan memastikan tiada tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan aedes.

SIAR PEMANTAUAN MINGGUAN

Denggi hari ini bukan lagi sejenis wabak tetapi boleh dijangkiti oleh sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia dan kes jangkitan denggi berlaku sepanjang tahun.

Memandangkan bertambahnya penyakit ini di kawasan bandar mahupun kawasan separa bandar, satu langkah telah diambil oleh Cawangan Penyakit Bawaan Vektor KKM dengan mengenal pasti tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Ia dilaksanakan mengikut kawasan utama sebagai langkah mencegah dan mengawal di samping mengadakan pelbagai aktiviti dan tindakan perancangan melalui media massa dan elektronik.

Kempen atau seruan yang sering diulang ialah dengan meluangkan masa 10 minit seperti yang dianjurkan oleh KKM untuk membersihkan kawasan persekitaran rumah.

Antara tempat yang perlu diberi perhatian ialah longkang, saluran hujan, kolah, dan pasu bunga. Bahan-bahan terbuang seperti tin, botol, tayar kereta dan tempurung kelapa elok ditanam. Bagi barang yang boleh menakung air dan masih berguna, pastikan diletakkan dalam keadaan terbalik.

KKM turut menyiarkan pemantauan mingguannya yang dipaparkan dalam laman web iDenggi. Maklumat terkini berkenaan wabak berkenaan sentiasa dikemas kini dari semasa ke semasa.- BERNAMA

Kangar, 30 Januari  2015 - Kepakaran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diakui di peringkat antarabangsa apabila Universiti Ubudiyah Indonesia (UUI)  ingin mendapatkan khidmat nasihat dalam membangunkan prasarana perpustakaan universitinya.

Menurut Ketua Pustakawan, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) UniMAP,Puan Mazmin Mat Akhir, perkara tersebut  telah dipersetujui semasa lawatan pertama UniMAP ke UUI Oktober tahun lalu.

“Pada lawatan tersebut, UniMAP telah menyediakan laporan cadangan pembangunan perpustakaan bersesuaian dengan keperluan dan hala tuju UUI sebagai universiti siber yang unggul di Indonesia.

“Kerja-kerja perundingan susulan dilaksanakan dengan membentangkan kerangka pembangunan perpustakaan bersepadu dan perkhidmatan kemudahan layan diri seperti stesen peminjaman bahan, kotak pemulangan buku selain panel pemantauan keselamatan bahan, “katanya ketika dihubungi selepas kembali dari mengikuti lawatan susulan ke UUI.

Turut bersama dalam projek pembangunan prasarana kerangka pelaksanaan ini ialah Inter XS Sdn Bhd dan Media Resources Sdn Bhd.

Hasil dari lawatan selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Januari 2015 itu, UUI dan UniMAP bakal mengusahakan projek pembangunan kandungan e-buku dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia dengan kepakaran teknologi dari Malaysia.

Sebelum ini deligasi UUI yang diketuai rektornya  Ibu Marniati S.E.M Kes telah mengadakan lawatan ke kampus UniMAP Pauh Putra  dan mereka amat mengagumi prasarana yang disediakan di PTSFP.

“Kita amat berbesar hati kerana dapat  berkongsi pengalaman tentang amalan terbaik dan pelbagai peluang yang boleh dimanfaatkan oleh UUI dalam membangunkan gedung ilmu untuk manfaat warganya.

UniMAP berharap untuk terus bekerjasama dengan pihak UUI untuk memenuhi komitmen membangunkan Perpustakaan Global yang dijenama dengan identiti Asia,”katanya lagi.

Sementara itu,Naib Canselor UniMAP Briged. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berharap agar perkongsian kerjasama ini dapat dimanfaatkan sebaiknya sekaligus menjadikan perpustakaan UUI sebagai cerminan PTSFP.

Kuala Lumpur, 27 Januari – Pelajar tahun dua Pusat Pengajian Kejuruteraan Pmbuatan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Khairul Rezwan Abdul Rahman, di beri penghormatan menyampaikan ucapan aluan mewakili perwakilan mahasiswa pada Majlis Makan Malam Persidangan Parlimen Mahasiswa Sesi 2015.

Lebih membanggakan ucapan tersebut di buat di hadapan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri  Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan Malaysia dan ratusan tetamu kehormat lainnya termasuk mantan Ahli-Ahli Parlimen terkenal di Malaysia.

Muhammad Khairul Rezwan dalam ucapannya menyambut baik usaha dan inisiatif kerajaan dalam penganjuran parlimen mahasiswa yang secara tidak langsung memberi pendedahan kepada golongan mahasiswa tentang etika dan peraturan yang harus dipatuhi sewaktu persidangan parlimen.

Menurut beliau, selain itu, persidangan tersebut juga menjadi wahana terbaik buat para mahasiswa melontarkan serta mempertahankan idea masing-masing berdasarkan isu-isu yang diutarakan.

“Ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan kepimpinan diri di kalangan mahasiswa yang merupakan tonggak utama kepimpinan negara di masa hadapan dan pada masa sama meningkatkan tahap keyakinan diri mahasiswa,” ujar beliau.

Seramai 200 pelajar dari 19 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menyertai persidangan dua hari di bangunan Parlimen yang berakhir semalam.

Ia dianjurkan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kementerian Pendidikan.

Pada majlis itu juga Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada pendebat terbaik iaitu Nur Ezzah Abdullah dari UIAM.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof Dr. Kamarudin Hussin berbangga dengan kredibiliti yang ditonjolkan oleh Muhammad Khairul Rezwan sehingga terpilih mewakili perwakilan untuk menyampaikan ucapan.

“Meskipun baru di tahun kedua pengajian, namun beliau memiliki aura tersendiri sehingga mampu memukau hadirin dengan ucapan dan kata-kata semangat yang dilaungkan,” ujar beliau.

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Persidangan Parlimen Mahasiswa 2015 yang julung kali diadakan tahun ini, akan diteruskan setiap tahun pada masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata persidangan seumpama itu perlu dijalankan dalam tempoh yang lebih panjang bagi memberi peluang kepada mahasiswa berbahas dan mengutarakan pelbagai usul demi kebaikan bersama.

"Saya setuju saranan supaya Persidangan Parlimen Mahasiswa diadakan setiap tahun. Tempoh sehari memang tidak cukup," katanya yang juga Menteri Pendidikan pada Majlis Makan Malam Perdana sempena Persidangan Parlimen Mahasiswa sesi pertama 2015 di sini, Selasa malam.

Muhyiddin berkata, beliau menyokong penuh program berkenaan kerana ia memberi pendedahan kepada mahasiswa bagaimana Parlimen berperanan menggubal undang-undang melalui proses perbahasan yang rasional demi kebaikan rakyat.

Menurutnya sebagai pemimpin pelapis pada masa hadapan, pengalaman mengambil bahagian dalam perbahasan itu akan memberikan mahasiswa perspektif baharu dalam memahami bagaimana negara ditadbir.

Beliau berkata program Parlimen Mahasiswa bukanlah suatu perkara baharu kerana ia turut dijalankan di Britain, Sweden, Australia dan negara-negara lain di Eropah sebagai platform mendidik dan melahirkan generasi pemimpin pelapis yang menghormati perundangan negara terutama perlembagaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan persidangan kali pertama itu cukup berjaya kerana mampu menonjolkan mahasiswa berbakat, yang berpotensi menjadi anggota Parlimen pada masa akan datang.

"Malahan, banyak perkara berkaitan pendidikan yang dibahaskan hari ini. Ada beberapa cadangan yang pasti...amat baik. Ia akan diserahkan kepada saya dan akan diberi perhatian istimewa,” katanya.

Muhyiddin juga berkata pada masa akan datang, persidangan itu akan melibatkan kehadiran menteri atau timbalan menteri untuk terlibat dalam sesi penggulungan.

Seramai 200 pelajar dari 19 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menyertai persidangan dua hari di bangunan Parlimen yang berakhir Selasa.

Ia dianjurkan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kementerian Pendidikan.

Pada majlis itu Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada pendebat terbaik iaitu Nur Ezzah Abdullah dari UIAM.

Nur Ezzah yang ditemui pemberita selepas itu berkata persidangan itu merupakan peluang keemasan kepada mahasiswa memberikan pendapat menggunakan medium yang sewajarnya.

Beliau berkata mahasiswa perlu mengambil tahu segala perkara yang berlaku dalam dan luar negara, dan tidak hanya bergantung kepada buku teks untuk memperkaya ilmu pengetahuan.

Pauh Putra, 26 Januari 2015 – Sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak ketinggalan untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) kepada masyarakat dengan membantu memberikan bimbingan kepada anak-anak staf yang didiagnos menghidap penyakit autisme.

Ketua Pustakawana UniMAP, Puan Mazmin Mat Akhir yang juga Penyelaras Autism Hub for Educational Resources and Training (A-HEART) berkata atas rasa tanggungjawab, pihak universiti menggerakkan beberapa program untuk membantu anak-anak istimewa ini.

“Bermula Disember lalu, A-HEART mengenalpasti anak-anak staf yang menghidap autisme dan sesi orientasi bersama para ibubapa telah dijalankan.

A-HEART juga menganjurkan  Kelas Mengaji Al-Quran untuk Anak-anak Istimewa (Kemanis) di Surau UniMAP, Pauh Putra dan program ini merupakan program berterusan yang akan dijalankan setiap hujung minggu,”katanya.

Menurut beliau, pengisian program pada peringkat awal ini meliputi latihan mengambil wudhu', solat dhuha, bacaan ruqyah dan pengenalan kepada abjad jawi.

“Setakat ini seramai tujuh orang anak staf telah mendaftar dan jumlah ini dijangka meningkat dengan bimbing oleh lapan tenaga pengajar terlatih yang terdiri daripada sukarelawan dari kalangan staf dan pelajar. Sekiranya mendapat sambutan yang baik, A-HEART bercadang untuk meluaskan skop penyertaan ke peringkat negeri,”katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin berkata, dengan perlaksanaan CSR begini secara tidak langsung mendidik warga UniMAP untuk menanamkan semangat kesukarelawanan.

UniMAP bukan sahaja melahirkan modal insan yang kamil tetapi, kita juga sentiasa mencari ruang untuk berbakti kepada masyarakat seperti anak-anak istimewa ini,”katanya.

Kangar, 23 Januari  2015 – Seramai 271 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)  berbakti sebagai sukarelawan pasca banjir menerusi program Inovasi Sosial 1Malaysia (InoS1M) – Pasca Banjir bermula 18 hingga 21 Januari di mukim Pasir Salak, baru-baru ini.

Menurut Ketua Operasi Pasca Banjir Perak yang juga merupakan Timbalan Dekan Pusat Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) Dr. Hanum Hassan, kebanyakan sukarelawan yang terlibat adalah  pelajar tahun satu  yang baru selesai menduduki peperiksaan akhir semester satu bagi sesi pengajian 2014/2015.

“Tidak ketinggalan, operasi ini turut disertai pelajar tahun dua, tiga dan empat yang membersihkan Masjid Pulau Juar, Dewan Serbaguna Kampung Pulau Tiga Kiri, Gelanggang Futsal 1Malaysia, Gelanggang Sepak Takraw Pulau Tiga Kiri dan Loji Lembaga Air Perak,” katanya.

Mereka juga turut melakukan aktiviti pembersihan di Litar Datuk Sagor dan Pejabat Penghulu Alang Talib Mukim Pasir Salak.

“Komitment 100 peratus diterima daripada mahasiswa dan pihak berkaitan yang mempercepatkan proses pembersihan kawasan banjir ini.

Walaupun kerja pembersihan di Pejabat Penghulu Alang Talib Mukim Pasir Salak menemui kesukaran berikutan air yang bertakung perlu dikeringkan secara manual, namun kerja pembersihannya dapat juga dilaksanakan dengan cepat berikutan kerjasama jitu yang diterima daripada semua pihak,” katanya.

Program InoS1M yang pada asalnya adalah merupakan program baktisiswa dan anak angkat yang mewajibkan penyertaan pelajar tahun satu telah diubah pengisiannya kepada misi Operasi Pasca Bencana Banjir bagi membantu proses pembersihan kawasan banjir di empat negeri yang terlibat dalam bencana tersebut.

Manakala operasi Pasca Banjir ini pula adalah kesinambungan kepada misi sukarelawan yang telah digerakkan dalam empat fasa terdahulu yang bermula 1 Januari dengan berfokuskan negeri Kelantan mengikut pembahagian kawasan angkat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, secara keseluruhan bagi Program InoS1M, UniMAP telah menghantar 1,440 mahasiswa sebagai sukarelawan pasca banjir di negeri seperti di Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Terdahulu Fasa pertama misi Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur melibatkan 107 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) selama 6 hari bermula 1 Januari sebelum diambil alih oleh fasa kedua yang melibatkan staf UniMAP berakhir 9 Januari.

Fasa ketiga pula membabitkan alumni dan Majlis Penghuni Kolej Kediaman UniMAP yang berakhir 11 Januari  dan diteruskan dengan pergerakan sukarelawan fasa keempat juga dari kalangan staf dan berakhir 15 Januari 2015.

Menurut Dr. Kamarudin, selain membina jaringan hubungan antara pimpinan kerajaan negeri dengan mahasiswa, program InoS1M ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada mahasiswa UniMAP yang rata-ratanya terdiri daripada anak kelahiran negeri-negeri terbabit pulang berbakti kepada negeri kelahiran masing-masing.

“Ini secara tidak langsung dapat menggalakkan mahasiswa memainkan peranan sebagai agen sosialisasi untuk pembangunan masyarakat setempat, negeri dan Negara dan pada masa sama menerapkan nilai-nilai kesukarelawan di kalangan mahasiswa UniMAP,” ujar beliau. 

Tanah Merah, 21 Januari 2015 –  Anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan Sukarelawan Polis Siswa Siswa (SUKSIS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan misi bantuan sukarelawan sempena Operasi Pasca Bencana Banjir universiti itu dengan menyumbangkan bakti di kawasan pedalaman negeri Kelantan.

Pendaftar UniMAP Encik Zuber Hj Mohamad yang juga ketua operasi berkata, seramai 150 anggota dan pegawai terlibat untuk misi bantuan ke Gua Musang dan Tanah Merah bermula 19 hingga 21 Jan 2015.

“Tumpuan kita pada hari pertama adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Geris, Dabong dimana kumpulan ini terpaksa menempuh perjalanan jauh yang mengambil empat jam dari Bachok. Saya amat memuji semangat yang ditunjukkan oleh kedua-dua badan beruniform ini.

Sementara itu pada hari kedua misi bantuan diteruskan ke SK Sokor, Tanah Merah dimana semua sukarelawan sekali lagi terpaksa menempuh perjalanan mencabar dengan menaiki lori dan kenderaan pacuan empat roda berikutan keadaan jalan yang rosak teruk akibat bencana banjir baru-baru ini.

Di SK Sokor kita mengalami kesukaran kerana sumber bekalan air yang terhad dan tiada bekalan elektrik. Segala kerja-kerja pembersihan dijalankan secara manual oleh para sukarelawan,”katanya.

Menurut beliau, para sukarelawan membersihkan sekitar kawasan sekolah selain membantu mengenalpasti peralatan yang rosak untuk dibuang serta menyusun semula dengan peralatan yang baru.

Saya amat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh sukarelawan PALAPES dan SUKSIS ini. Saya melihat kita mencapai sasaran untuk memberikan bantuan kepada masyarakat  yang terlibat banjir.

“Pihak sekolah juga amat menghargai bantuan ini kerana bilangan sukarelawan yang datang di dua-dua kawasan ini agak kurang.

Saya berharap segala bantuan yang dihulurkan ini dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung seterusnya memberikan semangat baru untuk mereka menjalani sesi persekolahan. Semoga melalui misi ini, ia juga mampu mendidik para pelajar kita untuk memiliki semangat kesukarelawan dan sentiasa bersedia memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat,”katanya.

Majlis pelepasan dilakukan serentak dengan program Inovasi  Sosial 1 Malaysia (InoS1M) dengan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pada majlis pelepasan tersebut seramai  1,440 peserta dengan 400 pelajar digerakkan ke Kelantan, 203 pelajar ke negeri Pahang, 179 pelajar ke negeri Terengganu, 422 pelajar ke Perak, 80 pelajar antarabangsa, 150 pegawai kadet PALAPES dan Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (SUKSIS), 31 wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan 25 sukarelawan Green Earth.

Tumpat, 19 Januari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menyediakan teknologi yang boleh digunakan bagi menghasilkan air bersih untuk kegunaan harian pelajar-pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru di sini.

Naib Canselornya, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, teknologi berkenaan merangkumi penggunaan tenaga solar atau sensor yang bersesuaian untuk menghilangkan bau dan rasa payau pada air.

Menurut beliau, perkara tersebut bagaimanapun memerlukan penelitian dan kajian yang mendalam menggunakan sumber dan kepakaran yang dimiliki universiti tersebut.

“Saya pada dasarnya bersetuju untuk membantu pihak sekolah mengatasi masalah air bersih yang dihadapi oleh pihak sekolah sejak sekian lama. Atas dasar itu juga, saya memutuskan SK Pulau Beluru akan menjadi sekolah angkat UniMAP dan akan diletakkan di bawah tanggungjawab Pusat Kokurikulum di bawah seliaan Prof Madya Dr. Zaliman Sauli,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ringkas dan menyampaikan sumbangan peralatan dan kelengkapan lengkap sekolah kepada 150 orang pelajar SK Pulau Beluru selain sumbangan 120 unit katil beserta tilam dan bantal.

Guru Besar SK Pulau Beluru, Mustaffa Hassan menerima sumbangan tersebut sebagai mewakili pengurusan sekolah dan waris. Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Tumpat, Alias Ismail, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan dan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi, Prof. Madya Dr. Haji Huzili Hussin.

Selain peralatan dan kelengkapan, UniMAP juga turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM10,000 bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan sekolah di buat selepas kejadian banjir baru-baru ini.

Lawatan tersebut adalah bersempena Program Inovasi Sosial 1 Malaysia (InoS1M) – Misi Bantuan Pasca Banjir yang berlangsung serentak di empat buah negeri iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

Menurut Dr. Kamarudin, program InoS1M yang pada asalnya merupakan program baktisiswa dan anak angkat yang diwajibkan kepada pelajar tahun satu telah di ubah pengisiannya kepada misi Operasi Pasca Bencana Banjir dalam usaha membantu proses pembersihan kawasan banjir di keempat-empat negeri tersebut.

“Ia juga, merupakan kesinambungan kepada misi sukarelawan yang telah digerakkan dalam empat fasa terdahulu yang bermula 1 Januari lalu dengan tumpuan pada masa itu di negeri Kelantan mengikut pembahagian kawasan angkat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Namun pada kali ini, memandangkan jumlah pelajar adalah lebih ramai, misi sukarelawan ini dikembangkan lagi ke negeri-negeri lain yang turut terlibat bencana banjir dengan tidak mengenepikan kawasan angkat asal di negeri Kelantan membabitkan 1,440 orang pelajar.

Tumpat, 20 Jan – Program Inovasi Sosial 1 Malaysia (InoS1M) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dilihat mampu mendekatkan para pelajar universiti itu dengan masyarakat setempat khususnya para guru dan pelajar di negeri Kelantan.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata InoS1M ini merupakan program tahunan universiti berbentuk bakti siswa dan anak angkat yang diwajibkan penyertaannya kepada pelajar tahun satu dan pada tahun ini ia telah diubah pengisiannya kepada Misi Operasi Pascabencana Banjir.

“ Pada program kali ini, seramai 1,440 pelajar termasuk 68 daripadanya adalah pelajar antarabangsa terlibat dalam usaha membantu melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta penyelengaraan ekoran bencana banjir yang telah melanda baru-baru ini.
Saya percaya pendekatan seperti ini mampu membentuk jatidiri pelajar agar menjadi modal insan yang terbilang selain mendidik mereka agar memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi,”katanya.

Penganjuran InoS1M ini juga merupakan kesinambungan kepada misi sukarelawan yang telah digerakkan dalam empat fasa bermula 1 Januari lalu dengan tumpuan di Kelantan mengikut pembahagian kawasan angkat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Beliau ketika berucap pada  majlis perasmian InoS1M di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Laut berkata program ini merupakan misi sukarelawan UniMAP untuk fasa lima hingga lapan yang berlangsung serentak di empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

Turut hadir, Pemangku Ketua UMNO bahagian Tumpat, Datuk Haji Mohd Rosdi Ab Aziz, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Pemangku Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat, Tuan Haji Che Husin Che Soh dan Pengetua SMK Kampong Laut, Hajjah Jamari Othman.

Pada majlis tersebut juga UniMAP telah menyumbangkan 1,423 pakaian dan keperluan sekolah kepada pelajar dari tujuh buah sekolah sekitar Tumpat antaranya SMK Kampong Laut, Sekolah Kebangsaan Sri Kampong Laut, Sekolah Kebangsaan Kampong Laut, Sekolah Kebangsaan Sungai Pinang, Sekolah Kebangsaan Palekbang, Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru dan Sekolah Kebangsaan Manik Urai.

UniMAP turut menyumbangkan 80 kelengkapan elektrik dan 30 tong cat kepada SMK Kampong Laut. Sebanyak 200 keperluan asrama seperti katil, tilam dan bantal juga turut diberikan untuk keperluan sekitar PPD Tumpat.

Sementara itu, dalam sidang media Prof. Dr. Kamarudin berkata UniMAP akan berkongsi kepakaran penyelidikan melalui pemasangan sistem amaran awal banjir yang efisien di beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir di Kelantan sebagai persiapan awal menghadapi bencana itu pada masa depan.

“Sistem itu dibangunkan susulan beberapa kajian pemetaan seluas 90 hektar yang dijalankan di kawasan terjejas banjir di Tumpat. Prototaipnya sudah disiapkan dan sebagai permulaan 12 unit pertama akan dipasang pertengahan tahun ini iaitu enam unit di tebing Sungai Kelantan dan enam lagi di beberapa kampung di Tumpat yang terjejas teruk akibat banjir bulan lepas.

Sistem itu akan mengesan paras kenaikan air banjir melalui pengesan waktu nyata dan amaran banjir akan dikeluarkan serta-merta secara visual (cahaya) dan bunyi siren. Ciptaan ini juga amat berguna kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai atau kawasan yang biasa dilanda banjir bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda,”katanya.

Menurut beliau lagi, UniMAP sedang buat pemetaan menggunakan sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) untuk meninjau dari udara kesan banjir di Tumpat seluas 500 hektar lagi untuk menentukan pemasangan alat pengesan itu.

Penggunaan alat pengesan yang dicipta Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses UniMAP Dr Midhat Nabil Ahmad Salimi mungkin diperluas ke kawasan dan negeri lain mengikut keperluan.

Peralatan itu juga boleh digabung melalui emel atau sistem pesanan ringkas untuk manfaat agensi seperti Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Selain itu, Datuk Haji Mohd Rosdi ketika diminta mengulas berkata, kehadiran UniMAP di Tumpat ini membawa banyak semangat dan keceriaan buat masyarakat di sini.

“Selain memberi penekanan untuk melahirkan modal insan terbaik, institusi ini turut memikirkan peranan mereka dalam membantu masyarakat.
UniMAP datang bersama perancangan yang menyeluruh iaitu ketika awal banjir, pertengahan dan selepas banjir. Ini amat memberi kesan yang besar kepada penyelesaian masalah banjir di Tumpat,’katanya.
Ujarnya, bantuan serta penyelidikan yang dijalankan UniMAP memberi impak yang besar dan beliau akan membawa agenda ini  untuk dibincangkan secara menyeluruh pada mesyuarat peringkat Perhubungan UMNO berkaitan kerjasama yang boleh dijalankan bersama dengan pihak universiti.

Dari Meja Naib Canselor

 

Januari 2015

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana kita telah melangkah ke tahun baru 2015. Begitu cepat masa berlalu dan UniMAP kini telah berusia 13 tahun.

Dalam kegembiraan kita melayari pelbagai kejayaan dan anugerah yang kita perolehi sepanjang 2014, ada juga sahabat kita sedang dirundung duka di negeri-negeri Pantai Timur disebabkan musibah banjir.

Tragedi yang melanda awal Disember lalu amat memberikan kesan yang mendalam  terhadap saya dan seluruh warga UniMAP. Atas kesedaran itu, kita telah menghantar pasukan 7 Fasa sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa di Kelantan. Di kesempatan ini, saya ingin menyeru agar semua pihak  turut membantu meringankan beban yang ditanggung mereka ini.

Kita tinggalkan seketika kesedihan mangsa banjir di Pantai Timur, terlebih dahulu, di sini ingin saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua warga UniMAP yang selama ini bertungkus lumus bersama dengan saya untuk memajukan dan menaikkan nama UniMAP yang kita sayangi ini. Segala usaha anda semua hanya Allah yang mampu membalasnya. TERIMA KASIH.

Sebagai permulaan tahun baru ini, ingin saya kongsikan sedikit info psikologi sebagai persediaan kita di tahun baru ini. Info ini disediakan Oleh Kaunselor dari Pusat Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi UniMAP.

Tips bagi awal tahun ini adalah mengenai “mengatasi stress”saya pasti bukan mudah sebagai staf  dalam  menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Masalah seperti  tekanan dari pihak atasan, bebanan kerja yang melampau, pengurusan masa dan sebagainya akhirnya akan mengundang stress.

Bagi membantu mengatasi tekanan yang dihadapi di tempat kerja berikut disenaraikan beberapa tips yang boleh dijadikan panduan untuk kita.

  • Bersikap realistik terhadap pekerjaan anda
  • Merancang Kerja dengan baik
  • Mengamalkan komunikasi berkesan
  • Tingkatkan sokongan sosial
  • Mengamalkan Gaya hidup Sihat
  • Amalan kerohanian

 

Semoga tips yang dikongsikan ini akan dapat diamalkan semua warga UniMAP bagi mengekalkan kesihatan kita semua, kerana staf merupakan aset yang paling berharga bagi sesebuah organisasi.

Rasanya cukuplah setakat ini coretan saya pada kali ini, semoga apa yang disampaikan ini akan dapat menjadi pedoman buat kita bersama,

 

Sekian, Wabillahittaufiq Walhidayah,Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Pauh Putra, 18 Januari – Seramai 1,440 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) digerakkan sebagai sukarelawan pasca banjir menerusi program Inovasi Sosial 1 Malaysia (InoS1M) di empat buah negeri yang terlibat dengan bencana banjir baru-baru ini.

Sebahagian besar pelajar terbabit merupakan pelajar tahun satu termasuk pelajar antarabangsa yang baru selesai menduduki peperiksaan akhir semester 1 sesi pengajian 2014/2015 semalam akan berbakti membantu mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, program InoS1M yang pada asalnya merupakan program baktisiswa dan anak angkat yang diwajibkan kepada pelajar tahun satu telah di ubah pengisiannya kepada misi Operasi Pasca Bencana Banjir dalam usaha membantu proses pembersihan kawasan banjir di keempat-empat negeri tersebut.

“Ia juga, merupakan kesinambungan kepada misi sukarelawan yang telah digerakkan dalam empat fasa terdahulu yang bermula 1 Januari lalu dengan tumpuan pada masa itu di negeri Kelantan mengikut pembahagian kawasan angkat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Namun pada kali ini, memandangkan jumlah pelajar adalah lebih ramai, misi sukarelawan ini dikembangkan lagi ke negeri-negeri lain yang turut terlibat bencana banjir dengan tidak mengenepikan kawasan angkat asal di negeri Kelantan.
“Lebih membanggakan ia bukan sahaja disertai oleh pelajar tahun satu, sebaliknya UniMAP turut menerima permohonan daripada para pelajar tahun dua, tiga dan empat yang ingin menyertai misi kali ini,” ujar beliau.

Beliau berakata demikian selepas majlis perlepasan peserta InoS1M yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof Madya Razli Ahmad.

Fasa kali ini membabitkan 1,440 peserta dengan 400 pelajar digerakkan ke Kelantan, 203 pelajar ke negeri Pahang, 179 pelajar ke negeri Terengganu, 422 pelajar ke Perak, 80 pelajar antarabangsa, 100 pegawai kadet PALAPES dan Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (SUKSIS), 31 wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan 25 sukarelawan Green Earth.

Terdahulu Fasa pertama misi Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur melibatkan 107 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) selama 6 hari bermula 1 Januari sebelum diambil alih oleh fasa kedua yang melibatkan staf UniMAP berakhir 9 Januari.
Fasa ketiga pula membabitkan alumni dan Majlis Penghuni Kolej Kediaman UniMAP yang berakhir 11 Januari  dan diteruskan dengan pergerakan sukarelawan fasa keempat juga dari kalangan staf dan berakhir 15 Januari 2015.

Menurut Dr. Kamarudin, selain membina jaringan hubungan antara pimpinan kerajaan negeri dengan mahasiswa, program InoS1M ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada mahasiswa UniMAP yang rata-ratanya terdiri daripada anak kelahiran negeri-negeri terbabit pulang berbakti kepada negeri kelahiran masing-masing.

“Ini secara tidak langsung dapat menggalakkan mahasiswa memainkan peranan sebagai agen sosialisasi untuk pembangunan masyarakat setempat, negeri dan Negara dan pada masa sama menerapkan nilai-nilai kesukarelawan dalam kalangan mahasiswa UniMAP,” ujar beliau.
Seorang peserta, Nur Fariidah Zakaria, 19 dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) gembira menjadi sebahagian sukarelawan yang digerakkan ke negeri Kelantan.

“Semenjak kejadian bencana dan gerakan sukarelawan yang dibuat oleh pelbagai pihak, saya menyimpan keinginan untuk menjadi sebahagian daripada mereka namun perlu memberi fokus peperiksaan akhir yang bermula 29 Disember lalu.
“Alhamdulillah, kali ini saya berpeluang manabur bakti membantu mangsa banjir di Kelantan bersama rakan-rakan,” ujar beliau yang juga merupakan pegawai kadet PALAPES UniMAP.

Bagi Shehabbadin Ghelal Hail pelajar tahun akhir dari Yaman, penglibatan pelajar antarabangsa pada misi kali ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka membantu mangsa banjir di Malaysia.

Beliau yang juga Exco MPP UniMAP melihat penganjuran program tersebut juga secara tidak langsung akan membuka mata dan minda pelajar tentang kesengsaraan yang dihadapi oleh mangsa banjir.
“Kami menumpang untuk menuntut ilmu di Malaysia dan kini masa untuk kami menabur bakti membantu masyarakat negara ini yang dilanda musibah banjir baru-baru ini,” ujar beliau.

PUTRAJAYA, 16 Jauari -  Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Negara yang akan member fokus kepada aspek pengurusan bencana.  Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata dana sebanyak RM20 juta turut disediakan dan boleh dipohon oleh institut pengajian tinggi (IPT) melalui Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Fundemental (FRGS) khusus bagi tujuan penyelidikan pengurusan bencana dan mitigasi banjir.

"Adalah diharapkan hasil kajian yang bakal dilaksanakan dapat menyumbang kepada pemantapan pengurusan bencana di negara ini," katanya pada majlis perutusan tahun baharu 2015 Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching dan Timbalan Menteri Pendidikan Kedua P.Kamalanathan serta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamed.

Muhyiddin berkata kejadian tanah runtuh, jerebu dan banjir yang kerap berlaku di negara ini memerlukan satu pendekatan komprehensif dan berkesan, menjadikan bidang pengurusan bencana semakin penting.

Beliau berkata antara perkara yang perlu diteroka oleh ahli-ahli akademik termasuklah aspek pengurusan alam sekitar, persiapan menghadapi bencana, program kesedaran masyarakat, penyelarasan bantuan, komunikasi dan pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat bencana.
Katanya, jika pengurusan bencana dapat dibuat dengan baik, banyak nyawa dapat diselamatkan selain mengelakkan kerugian berbilion ringgit akibat kerosakan infrastruktur dan kemusnahan harta benda.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya universiti tempatan memberi fokus kepada kajian mengenai pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari bagi mengelakkan masa depan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat terjejas akibat sumber alam yang tidak diurus dengan baik.

"Sudah sampai masanya untuk menjajarkan semula pendekatan pembangunan negara dengan melihat pemeliharaan alam sekitar sebagai satu faktor penting dalam menjamin kelestarian kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat pada masa hadapan," katanya.

Justeru, universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut digalak membuat kajian berimpak tinggi yang memberi fokus kepada pengurusan sumber alam, penghasilan teknologi hijau, penciptaan tenaga boleh dibaharui, seni bina mesra alam dan hidrologi, katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan penubuhan Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA) di Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menjalankan kajian khusus bagi menangani isu ketidaksamaan sosial dan ekonomi dalam masyarakat.
Beliau berkata institut itu akan memberi penekanan dan fokus kepada isu berkaitan pembangunan dan kemajuan ekonomi yang bersifat inklusif serta mengecilkan jurang pendapatan rakyat.

"Saya percaya pertumbuhan ekonomi saja tidak memadai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tanpa menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan sosial dalam masyarakat.

"Dalam konteks ini, jurang pendapatan yang masih wujud di negara kita perlu ditangani dengan berkesan untuk memastikan Malaysia terus kekal stabil dan harmoni," katanya.

Untuk itu, timbalan perdana menteri berharap institusi pendidikan di negara ini dapat memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara disertai pembahagian kekayaan yang adil dan saksama.

 

Kangar, 13 Januari  2015 – Persatuan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak ketinggalan untuk menabur bakti kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan apabila telah menyertai Operasi Pasca Banjir Sukarelawan UniMAP fasa tiga ke pantai timur baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Persatuan Alumni UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil ketika ditemui berkata mereka sangat bersimpati dengan keadaan yang menimpa masyarakat di Kelantan dan atas kesedaran itu, mereka mengambil peluang untuk terlibat dalam Operasi kali ini.

“Seramai 35 alumni dari 160 sukarelawan  menyertai misi operasi kali ini yang terdiri daripada pelajar badan beruniform UniMAP. Kami merasa sangat bertuah kerana dapat menabur bakti dalam membersihkan kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Laut (SMKKL) yang dibanjiri lumpur setinggi dua kaki.

Semoga dengan bantuan yang disumbangkan ini, para pelajar sekolah tersebut dapat menjalani sesi persekolahan dengan lancar,”katanya.

Menurut beliau lagi, Persatuan Alumni juga turut menyumbangkan wang bantuan sebanyak RM 1,000, kasut sekolah, lampin pakai buang bayi dan keperluan harian. Sumbangan diserahkan kepada Pengetua SMKKL , Puan Hajjah Jamari Othman dengan disaksikan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris b Jusoh yang ketika itu mengadakan lawatan ke sekolah tersebut.

Sementara itu, pada masa yang sama Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses turut menyumbangkan hasil penyelidikannya iaitu alat mencegah serangga yang diberi nama Doktor Soh Repellent.

Penyerahan produk tersebut dilakukan sendiri oleh penyelidiknya Prof. Dr. Awang Soh Mamat kepada Datuk Seri Idris Jusoh untuk kegunaan mangsa-mangsa banjir di Kelantan.

Bagi salah seorang alumni UniMAP yang berasal dari Yemen, Mostafa Mohammad AlHaj Ali, 27 ketika ditemui berkata beliau sangat gembira kerana diberi peluang untuk menyertai misi kali ini.

“Saya melihat musibah yang berlaku ini sangat teruk tetapi ada hikmahnya juga kerana dengan musibah ini, seluruh rakyat Malaysia berlumba-lumba untuk memberikan sumbangan di negeri ini samada bentuk barangan, kewangan serta sumbangan tenaga.

Ini secara tidak langsung menggambarkan semangat perpaduan dan kesukarelaan antara masyarakat di Malaysia masih kuat dan saya sangat teruja melihat keadaan ini.

Pauh Putra, 11 Januari  2015 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan misi Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur fasa keempat dengan menggerakkan sukarelawan dalam usaha membantu proses pembersihan kawasan banjir di Kelantan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, seramai 90 sukarelawan dari pelbagai jabatan dan kolej kediaman UniMAP telah bergerak ke Tumpat, pagi tadi.

“Mereka adalah pelajar dan staf UniMAP yang terdiri dari Majlis Perwakilan Kolej Kediaman, Jabatan Keselamatan, Jabatan Pembangunan, dan Institut Kajian Strategik, Kepimpinan dan Komuniti (IKSK),” 

“Misi keempat ini akan tertumpu di kawasan sekolah yang baru berikutan kerja pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Laut dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pinang telah siap sepenuhnya,” katanya.

Beliau ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelepasan tersebut  di Perkarangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di kampus induk UniMAP di sini berkata,  dengan bantuan yang dihulurkan oleh sukarelawan UniMAP dari fasa satu hingga tiga, alhamdulillah pelajar sekolah-sekolah yang terlibat ini, telah memulakan sesi persekolahan mereka dengan lancar hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; dan Pendaftar UniMAP, Encik Zuber Hj Mohamad.

Selain itu, beliau turut menyeru semua pelajar pelbagai bangsa untuk turut menyertai misi sebegini bagi menguatkan lagi semangat perpaduan di kalangan kaum.

“Pelajar harus mendekati masyarakat dan memahami kesusahan yang dialami untuk mendapat kesedaran sekaligus meningkatkan semangat perpaduan dalam diri,” katanya.

Terdahulu dalam Fasa pertama misi Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur telah melibatkan 107 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang bertolak ke Tumpat pada 1 Januari dan mengakhiri misi mereka pada 5 Januari lalu.

Misi kemudiannya diambil alih oleh fasa kedua bermula 5 Januari dan dijangka berakhir 9 Januari dan diteruskan oleh fasa ketiga sehingga 11 Januari.

Misi diteruskan dengan pergerakan sukarelawan fasa keempat hari ini hingga 15 Januari 2015 nanti dan akan diteruskan oleh sukarelawan fasa kelima, keenam dan ketujuh yang dijangka melibatkan paling ramai sukarelawan melalui penganjuran serentak Program Inovasi Sosial 1Malaysia di tiga negeri yang dilanda bencana seperti Kelantan, Perlis dan Pulau Pinang.

 

 

 

 

 

Kuala Lumpur, 9 Januari - Masyarakat khususnya parti politik digesa mencontohi persatuan-persatuan seni silat dalam memelihara kebudayaan dan semangat kesetiaan di kalangan ahlinya dalam kehidupan harian.

Pesanan ini disuarakan Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia merangkap Penaung Perayaan Jubli Emas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) , Tan Sri Dato Seri Utama Dr Rais Yatim ketika berucap merasmikan perayaan ke 50 tahun PSSCM di Menara Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Katanya, beliau mengagumi kegigihan PSSCM khasnya Presiden dan Guru Utama PSSCM Datuk Maideen Kadir Shah selaku pejuang dan pembentukan persatuan ini sehingga menempa kejayaan seperti hari ini.

"PSSCM berjaya dibangunkan dengan begitu progresif dan mampu menyatupadukan bangsa Melayu menerusi budaya yang masih dikekalkan dalam diri setiap ahlinya kerana di dalam silat ada dua perkara yang tidak akan mati iaitu budi dan angkasakaraya(kebudayaan).

"Sekiranya dalam politik kita tidak boleh bersatu, saya ingin sarankan kita semua bersatu dan jadikan silat ini yang terbesar serta langsungkan perjuangan terus menerus kerana kebudayaan yang kuat di dalam seni silat akan menyatukan kita semua," kata beliau.

Rais berkata, hubungan erat silat cekak dan silat lincah juga harus dijadikan contoh kerana secara tidak langsung bangsa Melayu dapat bersatu menerusi kedua-dua pertubuhan seni silat seperti ini.

Hadir sama ke majlis perayaan Jubli Emas berkenaan ialah Datuk Maideen Kadir Shah, Presiden PESAKA Senator Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam, Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM) merangkap Pendekar Negara Tan Sri Datuk Wira Omardin Mauju serta Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin.

Perayaan Jubli Emas PSSCM diraikan sempena 50 tahun penubuhannya yang diasaskan Almarhum Ustaz Hanafi Ahmad sejak 1965.

PSSCM diperakui kualiti yang ada pada persatuan ini kerana berjaya berkembang di Institut Pengajian Tinggi (IPT) apabila diterima sebagai salah satu mata pelajaran ko kurikulum berunit.

September tahun lalu Dr Kamarudin dianugerahkan Parang Ladin iaitu senjata tunggal sebagai senjata rasmi PSSCM pada satu majlis yang diadakan di UniMAP kerana beliau antara tonggak yang mengembangkan ilmu persilatan di UniMAP sehingga diterima menjadi salah satu mata pelajaran ko kurikulum dengan tiga nilai kredit.

 

 

9 Januari 2015. Pauh Putra – Sebanyak 115 teknologi penyelidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berjaya dipaten dan dilindungi hakciptanya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom berkata, dari tahun 2009 hingga Disember 2014 terdapat peningkatan bilangan produk penyelidikan yang dipaten dan mendapat hakciptanya.

“Jumlah ini dijangkakan akan meningkat sejajar dengan usaha universiti untuk membudayakan penyelidikan dan inovasi di kalangan pensyarah,” katanya ketika membacakan teks ucapan Naib Canselor UniMAP pada Majlis Perasmian Seminar Pengkomersilan “From Research To Commercial Value At UniMAP” di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di Kampus Induk UniMAP di sini, semalam.

Selain paten dan hakcipta, sebanyak dua teknologi penyelidikan UniMAP telah berjaya dikomersilkan, manakala tiga produk lagi akan dikomersilkan melalui Program Symbiosis UniMAP-MTDC-NCIA yang memberi tumpuan kepada bidang ‘biotechnology’ dan ‘agriculture’.

Seminar pengkomersialan tersebut telah mendapat penyertaan seramai 100 pensyarah dan penyelidik UniMAP dengan membariskan dua penceramah iaitu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTHM), Prof. Ir. Dr. Mohd Jailani Mohd Noor; dan Pengerusi Eksekutif, Nusantara Technologies Sdn. Bhd., Dato’ Ghazali Dato’ Mohd Yusoff.

Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan Bulan Inovasi UniMAP 2015 bagi memartabatkan lagi usaha UniMAP dalam bidang penyelidikan dan inovasi, pemindahan teknologi, dan pengkomersilan.

“Malah pelbagai program telah diatur sepanjang Januari antaranya Seminar Pengkomersilan, Syarahan Penyelidikan, Bengkel Penulisan Geran, Bengkel Penulisan Jurnal dan Buku dan  Ekspo Penyelidikan dan Inovasi UniMAP,” katanya.

Putrajaya,9 Januari - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sempena pelancaran Tabung Bantuan Banjir Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di sini, hari ini.

Pelancaran tabung bantuan berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan 2, Dato' Seri Idris Jusoh adalah kesinambungan usaha KPM bagi membantu mangsa banjir selepas menggerakkan Ops Pasca Banjir membabitkan 50,000 sukarelawan daripada pelajar dan kakitangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta seluruh negara sejak 1 Januari lalu.

Cek sumbangan disampaikan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin serta wakil-wakil daripada IPT lain kepada Pengerusi YSS, Datuk Zuraidah Atan yang keseluruhannya berjumlah RM1.5 juta.

Kamarudin berkata UniMAP sebelum ini menyumbang sebanyak RM120,000 daripada Tabung Bencana UniMAP khusus bagi membantu mangsa banjir yang merupakan sumbangan daripada seluruh warga UniMAP sendiri menjadikan keseluruhan sumbangan daripada UniMAP ialah RM150,000.

"Pihak UniMAP amat mengutamakan agenda Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) justeru hasrat KPM bagi membantu mangsa-mangsa banjir disambut baik oleh semua warga UniMAP sendiri yang juga menghantar 2000 sukarelawan terdiri daripada pelajar dan kakitangan pelbagai peringkat jawatan bagi membantu di Kelantan sejak 1 Januari lalu.

"Pelancaran Tabung Bantuan Banjir ini juga dapat memudahkan pihak IPT termasuk UniMAP menyalurkan bantuan dengan lebih mudah kepada mangsa-mangsa banjir sekaligus menjadikan KPM sentiasa dekat di hati masyarakat," kata beliau.

Katanya, komitmen tinggi UniMAP terhadap CSR juga mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada World Confederation of Business (WORLDCOB-CSR : 2011,2) pada November tahun lalu.

"Pengiktirafan ini diberi selepas UniMAP dinilai sebagai sebuah institusi yang mempunyai sistem pengurusan terbaik dalam tiga bidang iaitu Hubungan Pekerja, Komuniti dan Tanggungjawab Persekitaran.

"Oleh itu UniMAP akan terus memanfaatkan pengiktirafan ini dengan terus menggerakkan CSR di kalangan warga UniMAP kepada pihak yang lebih memerlukan khususnya mangsa banjir di pantai Timur " kata beliau.

Selain UniMAP, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) , Universiti Malaysia Pahang(UMP) dan lain-lain IPT Awam serta beberapa IPT Swasta seperti Universiti SEGi, Universiti Antarabangsa INTI, dan Universiti Sunway turut menyalurkan sumbangan bagi Tabung Bantuan Banjir berkenaan.

Matlamat pelancaran tabung ini oleh KPM adalah bagi memudahkan proses sumbangan daripada semua IPT termasuk politeknik, kolej komuniti dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta membolehkan pengurusan bantuan lebih efektif oleh YSS merupakan yayasan milik penuh KPM.

Sumbangan yang disalurkan kepada YSS yang diberi status Tax Exempt Company oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membolehkan syarikat atau individu yang memberi sumbangan atau penajaan menuntut perbelanjaan ini daripada cukai pendapatan mereka menerusi Tax-Exempt Receipts yang dikeluarkan oleh YSS. 

Datuk Kamarudin (kiri) bersalaman dengan Dato' Seri Idris Jusoh ketika menyampaikan cek sumbangan kepada Datuk Zuraidah Atan (baju biru)

 

Wakil IPT bersama replika cek masing-masing sebelum disampaikan kepada YSS.

Pauh Putra, 8 Januari  2015 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan misi Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur fasa ketiga dalam usaha membantu mempercepatkan proses pembersihan kawasan banjir di Kelantan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, seramai 160 sukarelawan dari badan beruniform UniMAP telah bergerak ke Tumpat, pagi tadi.

“Mereka terdiri daripada Badan Beruniform Briged Bomba dan Penyelamat, Pertahanan Awam, Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), St. John Ambulance Malaysia dan Kumpulan Latihan Kelana Siswa Malaysia (KLKM) UniMAP,” katanya. 

Malah lebih bermakna, apabila alumni UniMAP turut sama menyertai misi bantuan yang bermula 8 dan bakal berakhir pada 11 Januari nanti.  

“Operasi fasa ketiga ini akan meneruskan kerja-kerja pembersihan kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Laut yang telah dimulakan oleh sukarelawan UniMAP fasa kedua.

“Tidak ketinggalan, kita juga akan memberi penumpuan di kawasan-kawasan sekolah yang masih belum dibersihkan antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pinang,” katanya ketika membuat pelepasan Sukarelawan di Perkarangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di kampus induk UniMAP, di sini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; Pendaftar UniMAP, Encik Zuber Hj Mohamad; dan Timbalan Komandan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) UniMAP, Kolonel Bersekutu (PA) Prof. Dr. Salleh Abd. Rashid.

Terdahulu dalam Fasa pertama misi Operasi Pasca Bencana Banjir di Pantai Timur telah melibatkan 107 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang bertolak ke Tumpat pada 1 Januari dan mengakhiri misi mereka pada 5 Januari lalu.

Misi kemudiannya diambil alih oleh fasa kedua bermula 5 Januari dan dijangka berakhir 9 Januari dan diteruskan oleh fasa ketiga sehingga 11 Januari ini.

Manakala, pergerakan sukarelawan fasa keempat melibatkan Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MKPP) pada 11 hingga 15 Januari 2015 dan diteruskan oleh sukarelawan fasa kelima, keenam dan ketujuh yang dijangka akan melibatkan paling ramai sukarelawan melalui penganjuran serentak Program Inovasi Sosial 1Malaysia di tiga negeri yang dilanda bencana seperti Kelantan, Perlis dan Pulau Pinang.

6 Januari 2015. Kubang Kerian - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merancang mengadakan kajian terhadap lumpur yang terlalu banyak tertinggal selepas air banjir surut di negeri ini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Brig. Gen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata sebagai universiti berasaskan kejuruteraan dan menekankan aspek penyelidikan, UniMAP berhasrat mengkaji manfaat yang boleh diperolehi daripada lumpur berkenaan.

"Kesan lumpur yang tertinggal terlalu banyak dan tinggi parasnya hampir di semua tempat yang dilanda banjir menyebabkan ekosistem tercemar dan terganggu sehingga mencacatkan pemandangan.

"Justeru UniMAP berhasrat menjalankan kajian bagi mengenalpasti punca lumpur berkenaan dan bagaimana mahu memanfaatkan lumpur yang dibawa air banjir ini ," kata beliau ketika sesi perbincangan di "War Room" Pasca Banjir Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Hospital Universiti Sains Malaysia(HUSM) di sini hari ini.

Perbincangan berkenaan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA)Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din merangkap pengerusi Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM),TNC HEPA Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Abdul Aziz Ab Latif dan TNC Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (HEPP) USM, Prof Adnan Hussein merangkap pengerusi organisasi "War Room" berkenaan. 

Dalam sesi perbincangan berkenaan, semua ahli turut melahirkan harapan kepada agensi kerajaan berkaitan seperti Majlis Perbandaran, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar dapat diselaraskan bagi menguruskan bahan buangan selepas kerja-kerja pembersihan oleh penduduk..

Sementara itu, Dr Mohamed Fadzil berkata terdapat banyak bahan buangan yang terbiar justeru berharap pihak-pihak yang berkaitan dapat diselaraskan bagi menyelesaikan permasalahan ini dengan lebih sistematik.

"Bahan buangan yang tidak diuruskan dengan baik dibimbangi mendatangkan pelbagai kesan seperti jangkitan penyakit yang boleh mengancam kesihatan masyarakat.

Kita akan sama-sama duduk berbincang mengenai kekangan yang terpaksa dilalui pihak-pihak ini bagi menyelesaikan masalah berkenaan agar ia dapat ditangani dengan baik," katanya

Terdahulu ahli perbincangan berkenaan diberi taklimat mengenai sekolah-sekolah yang terbabit dengan banjir yang melanda negeri ini sejak Disember lalu sebelum melawat 16 orang pesakit dialisis yang ditempatkan di HUSM kerana hospital dan tempat tinggal mereka di jajahan lain dilanda banjir.

6 Januari 2015. Tumpat – Prihatin dengan nasib anak-anak yang bakal kembali bersekolah minggu hadapan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan berupa pakaian sekolah kepada anak-anak murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Laut, di sini.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata pihak UniMAP  memahami kesukaran ibu bapa bagi mendapatkan pakaian sekolah di saat genting seperti ini justeru sumbangan ini diharapkan dapat meringankan sedikit beban mereka yang terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini sejak Disember lalu.

“Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan lokasi yang terjejas banjir kepada setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara bagi membantu  mereka yang terbabit, justeru UniMAP telah dikhaskan bagi membantu di jajahan ini bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Selain bantuan pakaian sekolah, UniMAP telah dan akan menggerakkan misi bantuan pasca banjir dengan membabitkan sukarelawan pelajar dan kakitangan UniMAP sendiri seramai 2000 orang melibatkan tujuh fasa bagi membantu mangsa banjir ini seperti membersihkan kawasan sekolah,” kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor (JKNCR).

Menurutnya, keadaan banjir di Tumpat semakin pulih dan fasa ops bantuan berikutnya lebih memberi fokus kepada usaha membersihkan sekolah, rumah dan kawasan sekitar bagi memudahkan mangsa banjir dapat melakukan rutin harian dengan lebih selesa terutama sesi persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi.

“Keadaan yang berlumpur selain banyak kelengkapan yang rosak menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan aktiviti seharian, justeru sukarelawan UniMAP akan membantu sedaya mungkin dengan tenaga mahir dan kelengkapan yang kita ada.

“Sekalipun tidak dapat membantu dengan begitu sempurna, namun sebarang kerosakan kecil atau bantuan asas akan cuba dihulurkan pihak UniMAP kepada mereka yang tidak bernasib baik,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan pakaian sekolah berkenaan.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Bahagian UMNO, Dato’ Mohd Rosdi Abd Aziz, Guru Besar SK Kampung Laut, Roslan Mohamed dan Pengerusi Isteri-isteri dan Kakitangan Wanita (PISKANITA) UniMAP, Datin Noridah Yangman.

Seramai 100 pelajar SK Kampung Laut mendapat sumbangan berupa pakaian, beg dan peralatan sekolah pada majlis tersebut.

Beliau juga turut menyuarakan hasrat untuk menandatangani memorandum persefaham bersama SK Kampung Laut dan Sekolah Menengah Kampung Laut bagi membantu para pelajar di kedua-dua sekolah tersebut dalam bidang akademik.

Terdahulu, Kamarudin turut membuat lawatan ke SMK Kampung Laut bagi melihat kerja-kerja pembersihan sekolah yang dilakukan sukarelawan UniMAP.

Sementara itu, Dato’ Mohd Rosdi turut merakamkan penghargaan terhadap sukarelawan UniMAP kerana sanggup mengharungi perjalanan selama 24 jam bagi membantu mangsa banjir di daerah Tumpat.

“Saya amat menghargai segala bantuan yang diberikan pihak UniMAP malahan mereka merupakan yang terawal sampai di sini untuk menghulurkan bantuan selepas banjir,”katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Persekolahan, semalam.

Untuk rekod, hampir 9000 mangsa banjir di jajahan ini terpaksa berpindah ke 34 pusat pemindahan sebelum ini selepas air naik mendadak mulai 24 Disember lalu yang mengakibatkan negeri ini dilanda banjir luar biasa.

6 Januari 2015. Tumpat -- Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dalam lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Laut hari ini mengucapkan penghargaan buat warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di atas bantuan sukarelawan yang dihulurkan di sekitar Tumpat.

Beliau ketika ditemui berkata ketabahan warga UniMAP ini amat memberangsangkan kerana kebanyakan sekolah dikawasan tersebut dilanda lumpur yang tebal dan memerlukan proses pembersihan secara manual.

“Saya melihat sendiri warga UniMAP berusaha untuk mengeluarkan lumpur di sekitar bangunan sekolah secara manual dan ini pasti amat memenatkan. Saya amat kagum dengan kerjasama dan bantuan yang diberikan ini.

Difahamkan ini merupakan kumpulan kedua yang datang memberikan khidmat sukarela di kawasan Tumpat, terdiri daripada 60 orang staf yang miliki kepakaran dalam bidang masing-masing seperti doktor perubatan, jurutera, juruteknik, kaunselor dan penolong pendaftar,”katanya.

Menurut beliau lagi, proses pembersihan ini akan mengambil masa lebih kurang satu minggu lagi untuk memastikan persekitaran sekolah dalam keadaan baik dan boleh digunakan untuk sesi persekolahan yang dijangka bermula 11 Januari ini.

Operasi Pasca Banjir Sukarelawan ke Kelantan fasa kedua ini telah dilepaskan oleh Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr Kamarudin Hussin pada malam 4 Januari lalu dan  akan berada di Tumpat selama 5 hari untuk kerja-kerja memulihara, pembaikan dan penyelenggaraan kecil di premis-premis kerajaan dan juga sekitar kediaman mangsa.

Fasa pertama Operasi  Pasca Banjir Sukarelawan UniMAP ke Tumpat melibatkan seramai 107 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan tiga buah lori bersama barangan keperluan harian yang disumbangkan oleh warga UniMAP dan rakyat Perlis telah berada di Tumpat pada 1 hingga 5 Januari 2015 lalu.

5 Januari 2015. Kangar – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan misi Operasi Pasca Banjir Sukarelawan ke Kelantan dengan menghantar staf yang memiliki pelbagai kepakaran dalam usaha untuk membantu dan meringankan bebanan yang ditanggung penduduk.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin ketika ditemui berkata, pada fasa kedua ini seramai 60 orang staf yang terdiri daripada pelbagai jawatan dan pangkat antaranya jurutera, juruteknik, doktor perubatan, pensyarah, penolong pendaftar serta kaunselor telah bergerak ke Tumpat, malam tadi.

“Operasi kali ini akan lebih tertumpu kepada kerja-kerja memulihara, pembaikan dan penyelenggaraan kecil di premis-premis kerajaan dan juga sekitar kediaman mangsa selain membantu membersihkan kawasan-kawasan sekolah bagi melancarkan proses persekolahan tahun ini yang dijangka bermula 11 Januari 2015 di negeri Kelantan.

UniMAP juga akan membantu memberikan khidmat perubatan serta kaunseling untuk membantu mengurangkan trauma kepada para penduduk,” katanya ketika membuat pelepasan Sukarelawan di Bilik Gerakan Banjir UniMAP di Seriab.

Turut hadir Pengerusi PISKANITA UniMAP, Datin Noridah Yangman, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Pendaftar UniMAP, Encik Zuber Hj Mohamad dan Timbalan Komandan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UniMAP, Mejar Prof. Madya Dr. Zaliman Sauli.

Menurut beliau lagi, UniMAP turut menghantar pasukan pesawat tanpa pemandu (UAV) untuk meninjau keadaan di Tumpat menerusi udara bagi tujuan melihat kesan banjir terhadap kawasan tersebut.

UniMAP akan membuat penyelidikan yang memberi fokus kepada membangunkan teknologi berasasakan UAV dan sensor bagi pengesanan awal banjir. Saya percaya inilah peluang kita untuk menggunakan teknologi yang ada di UniMAP bagi membantu masyarakat.

UniMAP melalui Pusat Kecemerlangan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (COEUAS) akan menggunakan teknologi Digital Elevation Model (DEM) untuk mengenalpasti kedudukan muka bumi dikawasan tersebut. Berdasarkan keputusan itu, kita dapat mengetahui dari mana pergerakan air mula mengalir,”katanya.

Kajian ini turut melibatkan kerjasama dengan beberapa syarikat terkenal seperti EMT Jerman, Drei Sohne Technologies (Deutchland) Sdn Bhd (DST) dan  Aerial Imaging Sdn Bhd ,

Selain itu, Prof. Dr. Kamarudin berharap agar para penyelidik UniMAP dapat bangunkan satu teknologi untuk menyelamatkan barangan melalui teknik apungan atau pembungkusan barang bagi mengelakkan kemusnahan teruk.

Sementara itu, Operasi Pasca Banjir ini akan melibatkan tujuh fasa dengan penyertaan sukarelawan yang berbeza. Fasa pertama Operasi  Pasca Banjir Sukarelawan UniMAP ke Tumpat melibatkan seramai 107 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) telah bertolak ke Tumpat pada 1 Januari 2015 lalu dan dijangka tiba di UniMAP hari ini.

Fasa kedua ini dijangka berakhir 9 Januari ini dan akan diambil alih oleh penyertaan fasa ketiga melibatkan sukarelawan pakaian seragam, sukarelawan Alumni, Sukarelawan Muda bermula 8 hingga 11 Januari 2015.

Pergerakan sukarelawan fasa keempat melibatkan Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MKPP) pada 11 hingga 15 Januari 2015 manakala Sukarelawan fasa kelima, keenam dan ketujuh adalah paling ramai melibatkan lebih kurang orang 1,500 pelajar melalui penganjuran serentak Program Inovasi Sosial 1Malaysia di tiga negeri yang dilanda bencana seperti kelantan, Perlis dan Pulau Pinang.

1 Januari  2015. Kangar – Misi bantuan pasca banjir Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi fasa II telah bergerak ke Tumpat, Kelantan hari ini dengan di ketuai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Misi bantuan melibatkan seramai 140 pelajar diploma dari badan beruniform Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) itu berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga 4 Januari 2015.

Prof. Madya Dr. Fo’ad ketika ditemui sebelum upacara pelepasan bantuan Pasca Banjir ke Tumpat berkata, pasukan UniMAP bergerak secara berkonvoi di mana pada hari ini melibatkan tiga buah bas dan tiga buah lori.

“Lori-lori tersebut dimuatkan dengan membawa barangan keperluan harian dianggarkan lebih dari RM 15,000.00 yang telah disumbangkan oleh warga UniMAP dan penduduk sekitar Perlis seperti air minuman atau mineral, lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa, tuala wanita, makanan dalam tin, makanan kering, selimut, susu formula bayi, nestum bayi serta kelengkapan pembersihan kawasan.

Saya berharap dengan bantuan yang digerakkan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung penduduk sekitar Tumpat kerana difahamkan kawasan ini merupakan lokasi kedua terbesar dilanda banjir bagi negeri Kelantan,”katanya.

Ketika ditanya kenapa Tumpat menjadi lokasi bantuan, beliau berkata pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan kawasan bantuan angkat bagi setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan UniMAP akan bekerjasama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk kawasan ini. 

Katanya lagi, Operasi pasca banjir yang diketuai oleh KPM ini melibatkan 50,000 sukarelawan dari kalangan pelajar dan staf IPT awam dan swasta dengan dilaksanakan secara berperingkat selama sebulan bagi sesi pembersihan kawasan sekolah dan kediaman untuk melancarkan sesi persekolahan yang tergendala.

Antara kawasan yang akan dibersihkan UniMAP adalah sekitar Kampung Delima, Sekolah Rendah Kebangsaan Delima, Sekolah Rendah Kebangsaan Kampung Laut dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Laut.

Beliau berkata bantuan sukarelawan UniMAP akan terus dihantar secara berperingkat sehingga kerja-kerja pembersihan selesai.

 

Arau, 29 Januari : Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kini bersedia mengibarkan bendera kejohanan di kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014 yang bakal berlangsung mulai 3 hingga Februari ini.

Kontinjen yang terdiri daripada 170 atlit termasuk pegawai diketuai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Suhizaz Sudin selaku ketua kontinjen bakal member saingan sengit dalam 14 acara termasuk olaharga, hoki, tenpin boling, sepak takraw dan lain-lain acara di kejohanan yang bakal diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata beliau meletakkan sasaran 20 pingat emas dalam menghadapi cabaran kejohanan SUKIPT kali ini dan berharap semua atlit dapat melakukan yang terbaik bagi mengharumkan nama UniMAP.

"Sasaran ini merupakan satu cabaran daripada saya kepada semua atlit UniMAP kerana saya yakin mereka mampu mencapainya sekaligus meneruskan kecemerlangan bagi tahun 2014 ini.

"Selain itu, saya juga mengharapkan UniMAP dapat mengekalkan kedudukan yang diraih pada SUKIPT edisi sulung yang lalu atau kedudukan yang lebih baik lagi pada kejohanan kali ini," kata beliau ketika majlis penyerahan bendera universiti kepada kontinjen UniMAP, di sini, semalam.

Datuk Kamarudin turut melahirkan harapan agar semua atlit UniMAP dapat menjaga pemakanan selain sentiasa berdisiplin bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Besar harapan saya agar kontinjen UniMAP membawa nama UniMAP ini dengan baik di mana jua mereka berada serta menerapkan semangat juang yang tinggi dalam semua acara yang disertai.

"Justeru, keseluruhan warga UniMAP menyatakan sokongan padu buat kontinjen UniMAP bagi meniupkan semangat kepada semua atlit yang bakal berentap di sana nanti," kata beliau.

Pada kejohanan SUKIPT 2012, UniMAP berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan daripada lebih 90 kontinjen yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

SUKIPT 2014 kali ini mempertandingkan 24 acara sukan dengan menawarkan sebanyak 251 emas, 251 perak dan 339 gangsa membabitkan 8,000 atlit dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Perasmian pembukaan SUKIPT 2014 ini bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin pada 3 Februari ini.

Info Tab Bawah-BM