Gerbang Info Pengguna

  • UniMAP-AMCT2019
  • QS World Ranking
  • Selamat Datang Kepada Semua Pelajar Baru Diploma UniMAP!
  • Salam Aidilfitri 2019
  • 2019 Kempen Bebas Rokok
  • QS World Ranking
  • silk2019
  • Pembelian Buku-Buku UniMAP di Market Place
  • Urock 2019
  • SUTERA 2019
Previous Next

Berita Terkini

Khidmat Masyarakat Ramadan UniMAP Santuni Warga HTF

Khidmat Masyarakat Ramadan UniMAP Santuni Warga HTF

KANGAR – Muram dengan riak sedih yang terpamer di wajah sebahagian penghuni wad pembedahan di…

Baca..

Pensyarah UniMAP Dilantik Penyelidik Kunjungan Di Universiti Sweden

Pensyarah UniMAP Dilantik Penyelidik Kunjungan Di Universiti Sweden

ARAU – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Wooi Chin…

Baca..

Khidmat Masyarakat : UniMAP – PSU Santuni Masyarakat Songkla – Hatyai

Khidmat Masyarakat : UniMAP – PSU Santuni Masyarakat Songkla – Hatyai

ARAU – Atas rasa keprihatinan yang tinggi untuk membantu masyarakat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui…

Baca..

Program Diploma Kejuruteraan UniMAP Mendapat Pensijilan Penuh MQA

Program Diploma Kejuruteraan UniMAP Mendapat Pensijilan Penuh MQA

ARAU – Semua enam program pengajian diploma kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah lulus dan…

Baca..

UniMAP Pilihan Utama

UniMAP Pilihan Utama

ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) nyata menjadi pilihan utama apabila dipilih sebagai lokasi Seminar…

Baca..

UniMAP Prihatin Anak-Anak Staf Meninggal Sempena Festival Nasyid 2019

UniMAP Prihatin Anak-Anak Staf Meninggal Sempena Festival Nasyid 2019

Pauh Putra, 28 Mei- Dalam kegembiraan umat Islam membuat persiapan menyambut lebaran yang akan tiba…

Baca..

UniMAP Beri Kebebasan Bersuara Kepada Pelajar

UniMAP Beri Kebebasan Bersuara Kepada Pelajar

PAUH PUTRA, 26 Mei- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberikan kebebasan kepada semua pelajar dalam memberikan…

Baca..

Produk Eco Geopipe Raih Emas di EUROINVENT di Romania

Produk Eco Geopipe Raih Emas di EUROINVENT di Romania

Kangar, 19 Mei - Penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis…

Baca..

Prof. Dr. R. Badlishah Dilantik Naib Canselor UniMAP

Prof. Dr. R. Badlishah Dilantik Naib Canselor UniMAP

Kangar - Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Ir. Ts. Dr.…

Baca..


19 Julai 2018, KUALA LUMPUR Tuanku Syed Putra Foundation yang juga dikenali sebagai Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) berhasrat untuk mengumpul dana tambahan sebanyak RM5.5 juta lagi untuk membina sebuah pusat autism bagi komuniti di Perlis, kemudahan pertama seumpamanya di negeri tersebut. Pusat tersebut akan memberi manfaat kepada golongan yang mengalami autism di wilayah utara untuk membina masa depan lebih cerah.

Melalui kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sejak dua tahun lalu, inisiatif Hab Sumber Pendidikan dan Latihan Autism (A-HEART) telah dibentuk dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM500,000 untuk membina sebuah pusat autism kanak-kanak di kampus UniMAP.  Kini, Pusat Autism A-HEART UniMAP mahu membina sebuah pusat yang lebih lengkap untuk membantu golongan yang memerlukan. YTSP kini mensasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM6 juta dalam tempoh tiga tahun demi merealisasikan impian tersebut.

YTSP dipengerusikan oleh Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Canselor UniMAP. Manakala

 Pusat Autism A-HEART UniMAP dinaungi oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku  Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Pro-Canselor UniMAP.

Ahli Lembaga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Pengerusi Ahli Lembaga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, “YTSP mahu membina sebuah pusat autism untuk menawarkan peluang pendidikan berkualiti, latihan kemahiran hidup dan sokongan kepada komuniti, ibu bapa yang mempunyai anak autistik, penjaga dan profesional.  Yayasan menerima sokongan yang memberangsangkan daripada badan-badan korporat dan telah menyumbang setengah juta ringgit sehingga kini. Hari ini, kami berbesar hati kerana Acts One Group Inc. ada menyokong kita untuk membantu menjadikan impian membina sebuah pusat autism yang lengkap satu realiti tidak lama lagi.”

Pengasas dan Pengerusi Acts One Group Inc., Serena Chiam berkata, “Saya percaya atas sumbangan demi kebaikan masyarakat. Ia merupakan budaya yang diamalkan dalam syarikat saya iaitu membantu mereka yang memerlukan.

“Kita memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang lebih baik untuk semua. Kami harap lebih banyak syarikat dan individu akan memberi sumbangan kepada YTSP untuk membiayai pembinaan Pusat Autism A-HEART UniMAP.”

Turut hadir ialah Naib-Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Dr. Zul Azhar Zahid Jamal yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada badan-badan korporat yang sudi memberi sumbangan, bukan sahaja dengan wang ringgit, malah menganjurkan acara-acara kemasyarakatan. 

“Baru-baru ini, Bank Rakyat menganjurkan Karnival Bank Rakyat-A-Heart Autismlympic 2018, satu acara sukan yang unik untuk menggalakkan pelajar-pelajar autism bersukan. Pada Februari tahun ini, YTL telah menyumbang sebanyak RM100,000 kepada YTSP. Tahun lalu, Bank Rakyat sekali lagi menganjurkan ‘Bank Rakyat-A-HEART Rainbow Walk’ yang menyaksikan 1,398 peserta terdiri daripada kanak-kanak daripada rumah anak-anak yatim dan pelajar universiti meraikan Bulan Kesedaran Autism Kebangsaan.

“Justeru, saya percaya bahawa dengan meningkatkan kesedaran di setiap peringkat berbeza, orang ramai akan dapat menyumbang secara positif dalam membentuk satu ekosistem yang dinamik buat komuniti autism. Kami harap lebih banyak badan korporat, individu dan pihak akan tampil ke depan untuk menyokong inisiatif Tanggungjawab Korporat Sosial UniMAP ini. Saya juga sangat bangga dengan para pendidik dan pelajar UniMAP yang menguruskan pusat sedia ada. Melalui inisiatif ini, saya harap ia akan terus menaikkan semangat mereka untuk berbakti kepada masyarakat.” 

Sementara itu, Autism Buddies yang memainkan peranan penting dalam inisiatif A-HEART diwakili oleh Puan Sri Dato’ Akmal Abdul Salam, yang juga merupakan penaung Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA).

Beliau berkata, “Walaupun kesedaran orang ramai terhadap autism adalah tinggi, namun pemahaman mengenainya masih rendah. Selama beberapa tahun, pihak berwajib yang menawarkan perkhidmatan pendidikan berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan kelompok rakyat Malaysia yang mengalami autism. Jadi, kami perlu meningkatkan sumber dalam negara untuk membangunkan kemudahan dan program-program buat komuniti yang memerlukan perkhidmatan seperti ini.’’

Buat masa sekarang, Pusat Autism A-HEART UniMAP dioperasikan sepenuhnya oleh universiti. Pusat itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan bantuan pembelajaran yang interaktif. Selain kemudahan-kemudahan tersebut, Pusat Autism A-HEART UniMAP komited untuk menawarkan perkhidmatan seperti pengesanan awal dan intervensi menerusi rawatan, terapi serta pendekatan pendidikan terbaik kepada anak-anak autism. Di samping memberi sokongan kepada ibu bapa, penjaga dan golongan profesional.

Bukan itu sahaja, pusat tersebut akan menyediakan pendidikan dan latihan kepada golongan muda penghidap autism berdasarkan kepada kemahiran serta minat mereka yang berbeza. Ini bermakna, pendekatan yang diambil oleh Pusat Autism A-HEART UniMAP akan dapat membantu golongan austistik membina masa depan mereka. Seterusnya, ia menjadi titik rujukan kepada pihak-pihak lain yang ingin memberi khidmat kepada komuniti autism di Perlis.

Acts One Group Inc. juga merupakan penaja korporat YTSP untuk majlis makan malam penghargaan GOLD A-HEART Fundraising bagi Pusat Autism A-HEART UniMAP yang akan diadakan pada 19 Oktober 2018 di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur.

Acts One Group Inc. ialah sebuah syarikat multi-disiplin dan anak syarikatnya, Aureo Gallery Ltd merupakan Pengedar Tunggal Seni Kreatif di Asia Tenggara terutama seni emas oleh Kim Il Tae. Acts One Group Inc. dan Aureo Gallery akan menyumbang dua karya seni emas yang hanya ada dua di dunia untuk dilelong pada majlis makan malam tersebut. Selain dua karya seni emas, barang-barang koleksi juga akan dilelong. 

Maklumat lanjut mengenai majlis makan malam amal untuk GOLD A-HEART Fundraising, sila hubungi Edna Lee di talian 016-246 3186.

Kangar, 20 Julai – Seramai dua puluh pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ditawarkan pekerjaan di syarikat Tessolve Semiconductor Sdn. Bhd. di Pulau Pinang sebelum bergraduasi pada Oktober 2018 nanti.

“Mereka ini akan memulakan tugas mereka pada Ogos nanti,” kata Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC) UniMAP, Dr. Ruswahida Ibnu Ruslan ketika dihubungi pemberita baru-baru ini.

“Ini merupakan kumpulan pertama dan kedua yang melibatkan 58 pelajar dari tiga pusat pengajian yang dipanggil untuk sesi temuduga pada Mei di UniMAP dan 24 Jun lalu di salah sebuah hotel di Pulau Pinang.

“Dari jumlah tersebut, kumpulah pertama yang diambil bekerja adalah 11 orang manakala kumpulan kedua yang ditawarkan pekerjaan adalah sembilan pelajar dan mereka ini akan melaporkan diri pada Ogos iaitu dua bulan awal dari tarikh mereka bergraduat,” katanya.

Mereka adalah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mikroelektronik (lima orang), PPK Komputer dan Perhubungan (11 orang) dan empat daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Elektronik.

Menurut Ruswahida, mereka ini terpaksa melalui beberapa proses seperti penilaian mengenai pengetahuan teknikal, sesi taklimat dan juga temuduga oleh mereka yang berpengalaman dari syarikat tersebut.

“Kebanyakkan penemuduga didatangkan khas dari Bangalore, India dan hanya dua orang sahaja penemuduga dari Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, pelajar ini beruntung kerana berpeluang untuk mengembangkan kerjaya mereka di syarikat Tessolve kerana ia merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan solusi bagi Chip Solutions, Hardware Solutions, Software Solutions dan Embedded Solutions.

“Syarikat ini menyediakan perkhidmatan kepada syarikat seperti Intel, Broadcom, Qualcomm, Texas Instruments, NXP, National Instruments, Cadence, Jetter, Coyote.

“Peluang diterima bekerja walaupun sebelum bergraduat menunjukkan bahawa graduan UniMAP laris dipasaran pekerjaan dan ini sekaligus membuktikan bahawa kurikulum UniMAP menepati kehendak industri,” katanya.

Pauh Putra, 18 Julai  – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus meningkatkan keterlihatan universiti itu di rantau ASEAN menerusi Program Communicative English Course dengan kerjasama Nakhon Pathom Rajabhat University (NPRU) Thailand.

Program di bawah kendalian Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) UniMAP  itu menerima 20 pelajar Pusat Pengajian Kemanusiaan NPRU dan berlangsung selama 21 hari bermula 28 Jun lalu sehingga hari ini.

Pengarah CIL, Prof Dr Harshita Aini Haroon berkata program ini bertujuan untuk menyerlahkan UniMAP di rantau ASEAN melalui kerjasama kepakaran akademik dalam bidang bahasa Inggeris di samping mendedahkan para pelajar kepada kemahiran komunikasi dan budaya Melayu.

“ Di samping itu, ia juga sebagai mengukuhkan hubungan kerjasama kedua-dua universiti selain bertindak sebagai saluran untuk pengembangan dan pengukuhan ASEAN dalam meningkatkan nilai perkongsian ilmu di rantau ini.

“Saya berharap semoga kedua-dua universiti dapat memanfaatkan program ini sebagai batu loncatan ke arah program kerjasama yang lain lagi di masa akan datang samada dalam bidang akademik mahupun bukan akademik, “ kata beliau ketika Majlis Penutupan program berkenaan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Institut Bahasa NPRU, Khanitta Thaichareon.

Di majlis penutup berkenaan,  pelajar NPRU mempersembahkan tarian ayam didik yang dipelajari di dalam kelas ketika mengikuti program selama tiga minggu itu.

Sementara itu, pengarah program itu Masturah Sabri berkata sepanjang mengikuti program berkenaan di UniMAP, para pelajar mendapat pengajaran penuh di dalam kelas melalui modul yang dibangunkan khas.

Katanya, modul berkenaan dihasilkan sendiri  oleh pensyarah dan guru bahasa CIL. 

“Selain sesi dalam kelas, pelbagai aktiviti lain direncana seperti lawatan akademik ke Pulau Langkawi, Pulau Pinang dan Alor Setar selain mereka berpeluang menimba  pengalaman mempelajari budaya Melayu melalui aktiviti masuk kampung yang diadakan di Kampung Pulau Pisang, Jitra,” katanya.

Tambahnya,selain kelas bahasa Inggeris, para pelajar NPRU juga perlu mengikuti sesi kelas bahasa Melayu yang diajar guru bahasa CIL Juliana Ahmad dan tarian Melayu bimbingan artis budaya Unit Kebudayaan & Rekreasi (UKR) UniMAP

Terdahulu, salah seorang pelajar NPRU, Yasmeena Yuerae berkata, pengalaman mempelajari bahasa dan tarian Melayu ini sangat menyeronokkan dan ini merupakan satu pengalaman baharu yang tidak akan diperolehi di Thailand. 

 “Kami berpeluang mempelajari adat dan kebudayaan masyarakat di Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa serta mempunyai keunikan tersendiri.

 “Malah, saya juga dapat meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris ketika mengikuti modul yang ditetapkan sekaligus membantu kami lebih yakin berkomunikasi dengan rakan-rakan di rantau ASEAN, ” katanya ketika ditemui di majlis itu.

Pauh Putra, 12 Julai – Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Projek Antarabangsa : Kesukarelaan & Tanggungjawab Sosial Korporat (iVCORE) di Kampus UniMAP, di sini , semalam.

Projek julung kalinya diadakan ke peringkat antarabangsa berkenaan merupakan anjuran Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) melalui Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (POTENSI) UniMAP.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, hasrat MASTI melebarkan sayap bantuan kemanusiaan ke Thailand amat disokong malah Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut memperuntukkan bantuan RM10,000 bagi membantu asnaf di sana.

Titahnya, peruntukan itu adalah bagi menyokong hasrat iVCORE agar daapt disampaikan kepada penduduk asnaf dan anak-anak yatim di negara jiran berkenaan.

“Inisiatif merentasi sempadan seumpama ini harus diberi pujian kerana ia merupakan saluran bantuan kepada golongan yang amat memerlukan di luar sana berbanding kita di Malaysia.

Ini kerana di sini, pelbagai Agensi Kerajaan masih ‘mampu’ melaksanakan tanggungjawab membantu golongan asnaf namun di negara luar seperti Thailand tanggungjawab ini banyak digerakkan oleh individu yang prihatin semata-mata,” titah Baginda ketika melancarkan iVCORE di sini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan dan Presiden POTENSI, Raja Shah Erman Raja Ariffin.

Sementara itu, Presiden MASTI Azri Hohad berkata VCORE dilancarkan pada 2015 di Perlis sebelum terus dilaksanakan di beberapa negeri iaitu Sabah pada 2016 dan Terengganu (2017) serta merancang ke Sarawak bagi tahun ini.

Katanya, kali ini MASTI menerusi POTENSI berhasrat melebarkan lagi bantuan kemanusiaan bagi peringkat antarabangsa dengan memilih Kampung Khokkek di Chana, Thailand mulai esok (hari ini) hingga 15 Julai.

“Dua aktiviti utama telah dikenalpasti iaitu sumbangan dan pembinaan sekolah di masjid selain aktiviti sukan serta motivasi bersama anak-anak yatim Sekolah Santiwit di daerah berkenaan,” kata beliau ketika berucap sempena majlis pelancaran berkenaan.

Selain MAIPs, iVCORE turut mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak seperti Persatuan di Universiti Awam (UA) masing-masing yang disertai hampir 50 peserta bagi menjayakan bantuan kemanusiaan itu.

Di samping bantuan kemanusiaan itu, MASTI turut mengadakan lawatan dan perbincangan bersama pentadbir Prince Of Songkhla University (PSU)bagi bertukar-tukar idea berkaitan tugasan pentdabir universiti serta mengukuhkan hubungan sedia ada.

PAUH PUTRA, 31 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menjadi tuan rumah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Awam (UA)  yang akan berlansung selama tiga hari di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP Pauh Putra, di sini.

Pengerusi Bersama KIK UA Ke-13, Prof. Madya Dr. Idris Md Noor berkata, konvenseyen yang bermula 1 hingga 3 Ogos itu itu disertai 39 pasukan pasukan dari 20 buah UA.

“Semua 39 pasukan akan mempertandingkan projek KIK mereka pada konvensyen kali ini antaranya Universiti Teknologi MARA (UiTM) , Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia terengganu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, dan dan tuan rumah UniMAP.

“Penyertaan terbesar adalah dari UiTM yang menghantar lima pasukan dari lima cawangan iaitu  Kelantan, Kedah, Perlis, Perak dan Selangor,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujar beliau lagi,  Johan, naib johan dan tempat ketiga akan membawa pulang hadiah masing-masing berupa wang tunai RM6,000, RM4,000, RM2,000 bersama trofi dan sijil penghargaan.

Majlis Perasmian Penutup KIK UA Ke-13 akan disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus.

Konvensyen KIK merupakan program tahunan utama UA dan ia mula dianjurkan pada 2004.

Tanjung Malim, 30 Julai -  Pasukan olahraga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memulakan aksi cemerlang pada Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti-universiti Malaysia (SUKUM) Ke-42 apabila muncul juara keseluruhan acara olahraga melalui pungutan 15 pingat emas daripada 44 pingat emas yang dipertandingkan.

Kejayaan tersebut membolehkan UniMAP mengekalkan kuasa olahraga universiti-universiti Malaysia apabila mengekalkan kejuaraan untuk kali ke-10 berturut-turut semenjak tahun 2008.

Ketua Kontinjen UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan berkata,  kejayaan pasukan olahraga UniMAP diharap mampu mencetuskan semangat untuk pasukan-pasukan lain meneruskan aksi gemilang dalam acara permainan yang sebahagian besarnya akan bermula esok.

“Alhamdulillah, pasukan olahraga UniMAP masih meneruskan pencapaian cemerlang tahun ini dan saya berharap pencapaian ini akan menjadi titik permulaan untuk atlit UniMAP meneruskan pencapaian cemerlang ini.

“Dengan sistem pungutan pingat secara terbuka yang dilaksanakan oleh tuan rumah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun ini, UniMAP optimis dalam mencapai misi juara keseluruhan SUKUM untuk kali ke-10 tahun ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pasukan olahraga UniMAP turut meraih enam pingat perak dan empat pingat gangsa mengenepikan saingan pencabar terdekat Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat kedua dengan tujuh pingat emas, lapan pingat perak dan enam pingat gangsa.

Universiti Malaya (UM) pula menduduki tempat ketiga dengan lima pingat emas, empat pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Mohd. Fo’ad berkata, seperti diramalkan, UniMAP menggungguli acara 100 dan 200 meter apabila meraih empat pingat emas bagi kategori lelaki dan wanita senior menerusi atlitnya Mohd. Helmi Awang dan Nurhaslinda Md. Hussin selain turut meraih emas bagi acara 100 meter wanita veteran menerusi Dr. Shuhaida Yahud.

Mohd. Helmi ujar beliau turut membantu pasukan kuartet 4x100 meter dan 4x400 meter lelaki senior menyumbangkan dua lagi pingat emas buat kontinjen UniMAP yang turut dibarisi tiga bekas atlit elit negara, Mohd. Robani Hassan, Muhammad Idris Zakaria dan Mohamad Baihaqi Razlan.

“Turut menyumbang pingat emas buat kontinjen UniMAP ialah kuartet 4x100 meter wanita senior, atlit 800 dan 1,500 meter wanita senior, 400 meter lelaki dan wanita senior, lontar peluru lelaki senior, lempar cakera lelaki senior dan lompat jauh lelaki senior,” katanya.

Kejohanan SUKUM Kali Ke-42 disertai oleh lebih 2,500 peserta dari 20 Universiti Awam (UA) seluruh negara serta kontinjen dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

PAUH PUTRA, 28 Julai  - Hasrat mulia tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma untuk berkongsi keindahan lautan bersama insan yang kurang bernasib baik membolehkan mereka muncul juara keseluruhan  (Best Of The Best) pada Perlis Makers Day 2017.

Produk yang dinamakan Bild Ozean atau imej lautan, ciptaan Shautul Wafie Arizal, 13, Nur Wafaa Aqilah Mohd Ridzuan, 14 dan Nur Hidayatul Akma Badri 14 antara lainnya membolehkan imej di lautan direkodkan dengan menggunakan kamera yang diletakkan pada alat tersebut.

Ketua kumpulan, Shautul Wafie Arizal berkata, idea untuk mencipta produk tersebut muncul melalui minat beliau sendiri yang sukakan pemandangan laut.

“Idea ini, seterusnya disuarakan kepada mentor dari Universiti Malysia Perlis (UniMAP) dan mereka bersetuju untuk membantu dalam penciptaan produk ini sebagaisatu medium untuk berkongsi keindahan imej hidupan laut bersama insan yang kurang bernasib baik.

“Kami amat berterima kasih kepada guru dan mentor yang banyak membantu sehingga produk kami berjaya meraih kemenangan pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Perlis Makers Day 2017, di sini baru-baru ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi  dan  Kepenggunaan Perlis, Asmaiza Ahmad.

Yang turut hadir, Dekan Pusat Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Syed Alwee Aljunid Syed Junid dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Komputer dan Perhubungan UniMAP, Prof. Madya Dr. Azremi Abdullah Al-Hadi.

Perlis Makers Day 2017 dianjurkan secara bersama oleh PPK Komputer dan Perhubungan UniMAP, 1M4U, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Institut Kejuruteraan Nano Elektronik UniMAP dan Chumbaka Sdn. Bhd.  

Pertandingan ini dianjurkan khusus untuk para pelajar tingkatan satu  hingga empat mengetengahkan idea masing-masing sebagai satu inisiatif  menggalakkan pendidikan dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda.

Perlis Makers Day disertai oleh 8 buah sekolah di negeri Perlis membabitkan penyertaan sekitar 128 orang yang mewakili 32 kumpulan. Pertandingan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu makanan dan pertanian, automotif/mobility, kesihatan, rumah dan perlindungan, peralatan berat dan mesin serta peruncitan.

Pemenang pertandingan ini akan mewakili negeri ke National Makers Day yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada awal Ogos nanti.

Kangar, 26 Julai – Pasukan Tenpin Boling Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta kejutan apabila meraih pingat emas bagi acara tenpin bolingberpasukan lelaki pada kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baharu-baharu ini. 

Lebih membanggakan apabila pasukan UniMAP yang dibarisi pemain amatur itu berjaya menumpaskan nama-nama besar dalam acara tersebut apabila berjaya menewaskan Bank Simpanan Nasional (BSN) ditempat kedua selepas melakukan 9,201 jatuhan pin.

Pasukan pilihan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang turut dibarisi beberapa atlit Malaysia terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Ketua Kontinjen yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, kejayaan tersebut adalah sesuatu yang sangat mengujakan apabila melihat kesungguhan dan semangat berpasukan yang dipamerkan oleh para pemain UniMAP

“Ianya lebih bermakna apabila kedua-dua pemain kita iaitu Nurakmal Ramli dan Mohd Zul Fauzi Mohamed Sawal  telah menduduki tempat pertama dan kedua bagi acara all event perseorangan lelaki sekaligus menewaskan pemain Malaysia di tempat ketiga dengan perbezaan 76 jatuhan pin,” katanya ketika dihubungi.

Kejohanan SUKANUN yang dihoskan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Melaka disertai oleh lebih 2,000 atlit yang mewakili Agensi Badan Berkanun di seluruh negara.

Sebanyak 21 acara dipertandingkan pada kejohanan tersebut antaranya badminton, bola sepak, bola jaring, boling padang, catur, dart, futsal, golf dan ping pong.

Menurut Mohd. Fo’ad, UniMAP hanya menghantar kontinjen kecil ke kejohanan tersebut bagi menyertai dua acara iaitu tenpin boling dan golf.

Beliau optimis, dengan kejayaan yang diraih oleh pasukan tenpin boling UniMAP di kejohanan SUKANUN ini akan membakar semangat atlit UniMAP untuk terus melakar kejayaan cemerlang pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti (SUKUM) 2017 yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

UniMAP sememangnya memberi fokus utama kepada kejohanan SUKUM 2017 yang akan berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mulai 28 Julai ini, dan atas dasar itulah, hanya dua pasukan yang dihantar mengambil bahagian pada kejohanan SUKANUN.

“Misi kami adalah untuk memburu kejuaraan kali ke-10 di kejohanan SUKUM akan datang,” ujar beliau.

Kuala Lumpur, 24 Julai – Ahli Lembaga Pengarah MIMOS Semiconductor (M) Sdn. Bhd., Dato’ Dr. Mohd. Sofi Osman dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa pada 1 Julai 2017 hingga 30 Jun 2020.

Lantikan dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu adalah bagi menggantikan Dato’ Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainai Bin Mohamed yang memegang jawatan tersebut mulai 1 Julai 2012 – 30 Jun 2017.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, warga UniMAP keseluruhannya mengalu-alukan pelantikan tersebut memandangkan Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman bukanlah satu nama asing bagi UniMAP.

“Beliau merupakan Ahli LPU Universiti dan saya percaya, beliau akan terus bersama-sama pentadbiran Universiti dalam memacu kegemilangan UniMAP kearah antara 500 universiti terbaik di dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tugas Pengerusi LPU Di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir, mantan LPU UniMAP, Dato’ Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainai Mohamed; ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti; dan pengurusan tertinggi universiti.

Tambah Dato’ Zul Azhar lagi, beliau yakin dengan barisan LPU yang baharu ini, UniMAP akan terus mencatatkan pelbagai kejayaan membanggakan di masa akan datang. Semoga UniMAP juga mampu menjadi universiti terbaik tanpa mengenepikan nilai intergriti.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk bekerja bersama-sama Pengerusi dan Ahli-Ahli LPU yang lama dan baharu demi kegemilangan UniMAP.

PAUH PUTRA, 23 Julai –Kelab Diploma Pelajar Universiti Malaysia Perlis (DiReC UniMAP) dengan kerjasama Pusat Pengajian Diploma (PPD), Majlis Penghuni Kolej Kediaman UniCiti Alam dan Majlis Perwakilan Pelajar 2016/2017 UniMAP telah menganjurkan 'UniCiti Game On 2017.

Program selama sehari itu melibatkan 132 orang pelajar dari tahun satu  hingga tahun tiga PPD dan antara aktiviti sepanjang program tersebut adalah permainan atas talian DOTA, Pro Evolution Soccer 2017, Counter Strike.

Selain itu, permainan yang melibatkan aktiviti fizikal turut diadakan seperti street soccer, gusti lengan dan melukis henna.

Majlis Perasmian Penutup 'UniCiti Game On 2017’ disempurnakan Penasihat DiReC UniMAP,  Pubalan Nadaraja yang  mewakili Dekan Pusat Pengajian Diploma (PPD) Prof. Madya Dr Hakimah Osman.

“Ini merupakan program ke – 14 anjuran DiReC UniMAP yang bertujuan bagi mengeratkan hubungan sesama pelajar Diploma,” kata Pubalan ketika menyampaikan ucapan penutup program tersebut.

Turut hadir, Pengetua Kolej Kediaman UniCiti Alam Tuan Syed Akhmal Syed Jamalil.

Kangar, 21 Julai – Dua buah sekolah, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Putra dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah (Al-Maad) bakal membawa cabaran Perlis ke World Invention Creativity Contest (WICC) edisi keenam yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Julai ini di Seoul Korea.

SRK Putra menerima penajaan penuh berjumlah RM10,000 daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) susulan kejayaan penyelidik cilik dari sekolah berkenaan menjuarai pertandingan Perlis Engineering Research & Learning Innovation Symposium (PERLIS) 3.0 menerusi produk ``Solar Cat Feeder” yang berlangsung Mei lalu dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra.

Manakala SMA Al-Maad pula menerima penajaan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah serta Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP serta Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dan bakal diwakili oleh enam pelajar dan empat guru pengiring.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, UniMAP sentiasa menganjurkan pelbagai program serta aktiviti penyelidikan dan inovasi khusus bagi meningkatkan minat pelajar untuk menyertai aliran berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan pelajar sekolah.

Ujar beliau, ia juga secara tidak langsung merupakan khidmat sosial universiti khususnya bagi membolehkan sasaran Dasar 60:40 yang dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah pelajar aliran sains sebanyak 60 berbanding 40 peratus pelajar bukan sains.

 “Berdasarkan statistik tahun 2014, terdapat sekitar 46 peratus pelajar yang memilih aliran STEM di seluruh negara dan jika dilihat di peringkat negeri Perlis, jumlah yang mengambil aliran STEM masih jauh ketinggalan iaitu sekitar 25 peratus.

“Justeru, melalui aktiviti sebegini, adalah menjadi harapan UniMAP agar ianya dapat menyuburkan minat pelajar untuk mendalami ilmu STEM ini. Pelajar-pelajar diberi bimbingan untuk menterjemahkan idea penyelidikan masing-masing oleh tenaga pengajar dari semua Pusat Pengajian Kejuruteraan yang ada di UniMAP,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Jamuan Aidilfitri Pejabat Naib Canselor (PNC) UniMAP di Bangunan KWSP di sini hari ini. Pada majlis tersebut, kesemua pelajar dan guru menerima sumbangan cenderahati dan saguhati untuk perbelanjaan di Korea.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan dan Pendaftar UniMAP, Zuber Haji Mohamad.

WICC yang dianjurkan oleh Korea University Invention Association (KUIA) merupakan platform penyelidikan khusus yang menghimpunkan inovasi para pelajar dari sekolah-sekolah di seluruh dunia.

Pertandingan tersebut akan berfungsi sebagai medium pendidikan interaktif dalam mewujudkan peluang untuk pelajar memperoleh inspirasi inventif dan inovatif melalui interaksi di kalangan peserta.

PAUH PUTRA, 20 Julai – Prestasi penjawat awam sering dinilai oleh masyarakat dan di zaman moden ini, ia begitu mudah disebarkan terutamanya menerusi media sosial.

Bagi memperkukuhkan kepercayaan dan menambahbaik Perkhidmatan Awam Jabatan (JPA) telah memperkenalkan  Dasar Pemisah atau Exit Policy demi penambahbaikan perkhidmatan awam pada masa depan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kejayaan sesebuah organisasi dalam perkhidmatan awam adalah usaha bersama dan bergantung kepada setiap individu yang ada dalam perkhidmatan awam.

“Kita telah melihat beberapa contoh bagaimana nama perkhidmatan awam sedikit sebanyak telah tercemar akibat dari salah laku yang telah dilakukan oleh segelintir penjawat awam, walaupun mereka yang melakukannya bukan di dalam organisasi kita.

“Amalan rasuah, salah guna kuasa, cuai dan tidak beradab ketika menjalankan tugas adalah beberapa isu yang sering dan pernah dihebahkan di media massa,”katanya ketika berucap pada Taklimat Pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) UniMAP, di  Dewan Kecemerlangan, Kampus Induk, Pauh Putra, di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Cawangan Dasar dan Perundingan Bahagian Perkhidmatan JPA, Hasmarulaini Omar dan Penolong Pengarah  Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Mohd Noor Ikhram Husin.

Ujar beliau lagi, penjawat awam juga, hendaklah sentiasa peka dengan segala pekeliling dan arahan yang dikeluarkan JPA.

“Pelaksanaan Dasar Pemisah ini adalah merujuk kepada pegawai yang penilaian prestasi terkini berada pada tahap kurang daripada 60 peratus walaupun prestasi tahun-tahun sebelumnya melebihi 60 peratus.

“Dasar ini akan dilaksanakan melalui penamatan perkhidmatan demi kepentingan awam di bawah peraturan 49 P.U. (A) 395/1993 dan kemudian dibersarakan. Saya yakin tiada warga UniMAP yang akan terjatuh dalam kategori ini dan mengekalkan kecemerlangan dalam setiap kerja yang dilakukan,”katanya.

Pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) bagi pegawai yang berprestasi rendah dalam Perkhidmatan Awam dan pelaksanaan pekeliling ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti Kali Ke-56 Bil.2/2017 yang lalu.

Melalui pekeliling itu, pihak kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan untuk mengeluarkan pegawai berprestasi rendah daripada Perkhidmatan Awam.

“Sebagai warga UniMAP yang senantiasa berdedikasi dan komited, anda tidak perlu bimbang terhadap pelaksanaan Dasar Pemisah kerana dasar ini telah dirancang dengan teliti menerusi penilaian yang adil dan telus bagi memastikan tidak ada pegawai kerajaan yang teraniaya,”ujarnya lagi.

 

Kangar, 19 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyasarkan juara keseluruhan Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) 2017 buat kali ke sepuluh berturut-turut yang bakal berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 28 Julai hingga 5 Ogos 2017.

Perkara tersebut disuarakan oleh Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal ketika menyampaikan amanat kepada kontinjen UniMAP yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan di sini, pagi tadi.

Menurut Prof. Dr. Zul Azhar, beliau percaya kejuaraan Kejohanan Sukan Antara Staf 2017 akan menjadi milik UniMAP buat kali ke 10 berturut-turut.

“Dengan kekuatan kontinjen seramai 151 orang,  kita menyasarkan 30 pingat emas, 15 perak dan 10 gangsa pelbagai acara seperti futsal, tenpin boling, olahraga, basikal, tenis, bola jaring, golf, petanque, memanah, catur dan bola tampar.

“Walaupun tahun 2017 adalah tahun yang agak sukar dengan kekangan kewangan dan kekurangan atlet tetapi saya tetap berbangga kerana kita cuba mengatasinya dan percaya kejuaraan Kejohanan SUKUM 2017 akan menjadi milik kita buat kali ke 10 berturut-turut,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu adalah pengurusan tertinggi UniMAP terdiri daripada Timbalan Naib Canselor, Pendaftar dan juga Bendahari UniMAP.

Selain itu, beliau turut berpesan kepada para atlet untuk menjaga nama baik UniMAP di samping menitikberatkan permainan yang adil (fair play).

“Saya berharap agar kontinjen UniMAP akan menjaga tingkah laku semasa kejohanan berlangsung dan membina jalinan hubungan dan persahabatan bersama atlet universiti awam lain.

“Atlet UniMAP juga seharusnya menjadi role model kepada univerisiti awam yang lain dan tidak sama sekali menggunakan barang terlarang seperti dadah semasa kejohanan ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, selain SUKUM 2017 turut bakal berlangsung adalah Kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) pada 21 hingga 26 Julai 2017 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan UniMAP menghantar atlet bagi dua acara iaitu Golf dan Boling dan kedua-dua acara ini dijangka akan meraih pingat emas.

Kangar, 14 Julai - Seramai 53 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Kanak-Kanak (RKK) Arau telah diraikan dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini semalam.

Dekan IMK UniMAP, Dr. Muhammad Zaini Ahmad berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti universiti yang dikendalikan oleh Kelab Kebajikan IMK yang dianjurkan buat julung kalinya.

Ujar beliau, antara objektif utama penganjuran majlis yang berlangsung di RKK Arau itu ialah untuk mengeratkan silaturrahim dalam kalangan staf IMK dan juga anak-anak yang kurang bernasib baik di samping berkongsi kegembiraan menyambut Aidilfitri.

“Selain itu, program ini juga merupakan platform terbaik untuk staf menonjolkan kebolehan kerja berpasukan, kemahiran pengurusan dan keusahawanan serta kebolehan berfikir secara kreatif dan inovatif.

“Semoga jalinan kerjasama seperti ini menjadi titik permulaan kepada pelbagai lagi program kerjasama antara IMK UniMAP dan RKK,” ujarnya ketika berucap di majlis perasmian Majlis Sambutan Aidilfitri IMK UniMAP – RKK di sini.

Yang turut hadir adalah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Mohd.Hazam Ismail; Pengetua Rumah Kanak-Kanak (RKK), Anies Suzana Azhan Ahamad.

Selain disajikan dengan pelbagai juadah hari raya, penghuni RKK juga turut  menerima sumbangan duit raya serta menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang program berlangsung.

Pauh Putra, 19 Jun- Mungkin ramai yang tidak sedar dalam ketenangan rakyat Malaysia tidur lena sepanjang malam, ada insan yang bersengkang mata, meninggalkan anak isteri bagi memastikan kita hidup dalam keadaan aman damai.

Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya mengingati serta menghargai jasa angkatan tentera yang berkorban apa sahaja demi memastikan negara kekal aman dan selamat.

Atas dasar itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), melalui Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) menganjurkan Kursus Bahasa Inggeris dan Pengenalan Bahasa Tagalog sebagai simbolik penghargaan atas segala jasa pasukan keselamatan Malaysia.

Pengarah CIL UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon berkata, program tersebut yang julung kali dianjurkan membabitkan kerjasama Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4RRD).

“Sebelum ini kita tidak mempunyai saluran untuk menganjurkan program seperti ini. Dengan kelebihan yang kami ada (guru bahasa) penganjuran kursus ini saya kira merupakan satu sumbangan kecil UniMAP kepada pasukan keselamatan kita.

“Prorgam komuniti seperti ini juga merupakan hasrat Naib Canselor  yang inginkan UniMAP  memperbanyakkan  aktiviti yang dapat membantu masyarakat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ujar beliau lagi, selian dari mengajar bahasa Inggeris dan Tagalog kepada anggota tentera, tenaga pengajar juga dapat mempelajari sesuatu dari pengalaman yang dikongsi anggota keselamatan itu.

“Ini merupakan salah satu program pembelajaran dua hala dimana kedua-dua pihak boleh berkongsi ilmu-ilmu baharu yang saya percaya bukan mudah untuk orang awam mengetahuinya dari pihak tentera,” katanya lagi.

Sementara itu bagi Pegawai Gerakan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja, Mejar Mohd Nazrin  Hamid, berkata, peluang itu merupakan satu pengalaman baharu tentera untuk belajar bersama pensyarah universiti.

“Sebelum ini kita tidak pernah terlibat dengan program atau kelas bersama orang awam kerana dalam angkatan tentera juga mempunyai Kor Pendidikan dimana tenaga pengajarnya juga dari kalangan tentera.

“Kelas ini merupakan persediaan untuk latihan bersama anggota tentera Filipina yang dijadualkan awal Oktober nanti untuk misi Eksesais Land Malphi Siri 18/2017,”katanya.

Ujar  Mohd Nazrin  lagi, latihan bersama anggota tentera dari negara luar menuntut anggota tentera kita  untuk berkomunikasi menggunakan bahasa selain dari bahasa Melayu, justeru kelas persediaan Bahasa Ingeris dan Tagalog seperti itu amat berguna kepada mereka.

 “Untuk kelas kali ini, kita menggabungkan pegawai-pegawai dari pelbagai peringkat, kerana kebanyakkan latihan  akan melibatkan tentera dari luar negara.

“Saya berharap pihak UniMAP sudi untuk mengadakan lagi kelas seperti ini, untuk memberikan suasana baharu kepada anggota-anggota belajar di luar suasana kem,”katanya lagi.

Kelas yang berlangsung selama lima hari itu disertai seramai 50 anggota 4RRD bermula 13 sehingga 17 Jun lalu di UniMAP Kampus Pauh Putra.  Kelas tersebut dikendalikan oleh lima staf CIL termasuk seorang staf antarabangsa dari Filipina.

Sesi pembelajaran akan memberi tumpuan kepada kemahiran pertuturan, pendengaran dan kerja berkumpulan, supaya dapat membantu pegawai tentera melaksanakan misi tersebut dengan lebih efisyen dan efektif.

PAUH PUTRA, 3 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mensasarkan empat pingat emas pada Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2017 yang akan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 7 hingga 22 Julai nanti.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kontinjen UniMAP menghantar 10 penyertaan bagi acara Olahraga, Tenpin Boling, Sepak Takraw, Tenis, Ragbi 15 sebelah, Bola Tampar, Taekwondo, Karate Do, Bola Keranjang  dan Bola Baling .

“Tahun lalu, kita gagal memenangi sebarang pingat emas dan hanya berpuas hati dengan enam perak dan lima gangsa bagi acara woodball dan karate-do. Dengan persiapan rapi yang dibuat pada tahun ini, kita harapkan acara-acara yang kita sasarkan mampu menyumbang emas untuk kontinjen UniMAP.

“Antara acara yang kita sasarkan emas adalah tenis, olahraga, taekwando, dan bola keranjang, saya berharap dengan adanya sasaran ini, para atlet akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UniMAP di Bilik Seminar PFI 2, Kampus UniMAP, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP  Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Pengarah Pusat Sukan UniMAP,  Suhizaz Sudin.

Beliau berharap agar para atlet menunjukkan prestasi yang terbaik dan menjadikan MASUM 2017 sebagai platform dalam melahirkan atlet-atlet UniMAP yang berpotensi untuk ditonjolkan ke peringkat antarabangsa.

“Inilah semangat yang perlu dipupuk, iaitu bukan sekadar bertanding atas prestasi selaku wakil universiti semata-mata, tetapi paling penting bersaing bagi melayakkan diri dalam pasukan kebangsaan dan akan membawa cabaran lebih besar di peringkat serantau dan antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik,” katanya lagi.

 

Pauh Putra, 21 Jun - Dalam kemeriahan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, faktor keselamatan perlulah dititikberatkan termasuklah dalam aspek pemanduan dan keselamatan rumah ketika di musim perayaan.

Dalam usaha menasihati warganya yang bakal pulang berhari raya, Jabatan Keselamatan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontijen Perlis, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Perlis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis menganjurkan Kempen Selamat : Harta Benda Selamat, Selamat Tiba Ke Destinasi.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamarudin berkata, kempen itu mempunyai dua objektif utama iaitu untuk memberi kesedaran dan panduan mengenai keselamatan harta benda baik di rumah mahupun di pejabat serta  keselamatan di jalanraya.

“Kempen ini dilihat perlu diadakan diperingkat UniMAP kerana  kapasiti kepadatan warganya sudah mencecah seramai 15,000 orang dengan jumlah 13,000 pelajar dan 2000 staf.

“Dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,300 kenderaan yang berdaftar dengan UniMAP  dan kita menjangkakan sebanyak 40 peratus staf akan memandu meninggalkan pejabat serta kediaman pada musim perayaan ini,” katanya ketika berucap merasmikan kempen itu di Pintu Gerbang Utama, Kampus UniMAP, di sini baru-baru ini.

Turut Hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya. Dr. Mohd Foad Sakdan, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Kontinjen Perlis, Supritendan V.Raja A/L Vadivellu, Pengarah JKJR Negeri Perlis, Kalai Kumar A/L Periyasamy  dan Pengarah Jabatan Keselamatan UniMAP Datuk  Zull Aznam Haron.

Ujar beliau lagi, dalam suasana  musim perayaan dan cuti yang panjang, amatlah wajar pihak UniMAP mengadakan kempen secara bersama dengan PDRM, JPJ dan JKJR yang lebih arif dalam bidang masing-masing untuk disampaikan kepada seluruh warganya.

“Kami berharap agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan bukan saja warga UniMAP, malah masyarakat Perlis keseluruhannya,”katanya.

Pada kempen itu, semua staf dan pelajar UniMAP diberikan risalah mengenai aspek keselamatan serta makanan ringan untuk dibekalkan sepanjang perjalanan ke kampung nanti.

PAUH PUTRA, 23 Jun - Kemeriahan Aidilfitri semakin terasa, namun disebalik itu ada insan yang hanya menyambutnya ala kadar disebabkan kesempitan hidup yang dialami.

Terpanggil dengan  keadaan itu, Unit Pembangunan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan Persatuan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif membantu golongan asnaf yang terpilih di negeri Perlis dan Kedah.

Timbalan Naib Canselor HEPA UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, semua sumbangan terbabit adalah hasil kutipan dari jabatan-jabatan dan warga UniMAP.

“Pada tahun ini kita dapat mengagihkan sumbangan kepada tujuh keluarga di sekitar Perlis dan Kedah yang berupa keperluan harian dan duit raya berjumlah RM300 sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

“Saya berharap agar sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga-keluarga ini untuk membuat persiapan menjelang hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Dekan Pembangunan Alumni UniMAP, Dr. Ummi Naiemah Saraih dan Timbalan Presiden Persatuan Alumni UniMAP, Mohd Hafiz Arshad.

Sementara itu bagi salah seorang penerima, Ahmadi Hassan dari Kampung Lembah Keriang, Changloon, 37,  amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan kepada keluarganya.

“Saya amat berterima kasih kepada orang ramai yang sudi memberi sumbangan kepada keluarga kami selama ini.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam menyambut hari raya yang bakal tiba nanti,” katanya.

Ahmadi yang tinggal bersama 14 orang saudara termasuk ibunya dalam sebuah rumah yang didirikan atas Tanah Rezab Kerajaan berkata, keluarganya amat berharap agar ada pihak yang bermurah hati untuk mendermakan sebuah rumah kepada mereka.

“Kakak saya yang lumpuh dan menghidap kanser payudara serta tiroid juga tinggal bersama kami,” katanya yang bekerja di sebuah kelab golf berdekatan dengan rumahnya.

 

Padang Besar, 30 Julai –Seramai 26 pelajar mengikuti lawatan akademik dan khidmat masyarakat ‘Kembara Di Bumi Asean’ selama tiga hari dua malam anjuran Kolej Kediaman Uniciti ALAM Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama komuniti di Thasala, Nakhon Si Tammarat Thailand.

Kembara  yang disertai pelajar dari pelbagai kolej kediaman UniMAP itu bermula di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Besar sebelum ke Bandar Hatyai dan seterusnya ke Nakhon Si Tammarat.

Pengetua Kolej Kediaman Uniciti Alam, Syed Akhmal Syed Jamalil berkata tujuan  program kembara ASEAN ini adalah sebagai salah satu menyerlahkan UniMAP di persada antarabangsa menerusi lawatan akademik dan khidmat masyarakat.

Katanya, Walailak University merupakan destinasi pertama deligasi yang turut disertai enam orang Penolong Pengetua, Pengurus Asrama dan kakitangan kolej kediaman itu bagi program lawatan akademik.

“Di Walailak University, pelajar diberi pendedahan tentang gaya hidup serta budaya pelajar di universiti yang mempunyai 700 pelajar itu sekaligus meningkatkan peluang memantapkan struktur kolej kediaman di universiti kita,” katanya.

Menurut Syed Akhmal, selain lawatan akademik berkenaan deligasi turut mengadakan program khidmat masyarakat di Prateepsat Ismail Memorial School dan Madrowsatul Ulumiddeen dengan memberi sumbangan berupa alat tulis dan wang tunai.

“Deligasi berpeluang mengadakan aktiviti kemasyarakatan iaitu mengajar pelajar di sekolah agama, memberi sumbangan kepada sekolah pondok swasta serta sukaneka bersama pelajar.

“Secara tidak langsung, program seperti ini bukan sahaja bermanfaat kepada pelajar tetapi mampu mempromosikan universiti, negeri Perlis dan Malaysia kepada masyarakat Asean khususnya Thailand,” katanya.

Deligasi UniMAP itu turut berpeluang melawat Wat Phra Mahathat di bandar Nakhon Si Tammarat yang merupakan antara kuil terpenting di negara Thailand selain tercatat antara Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Georgetown, 25 Julai – Biarpun sudah empat bulan bersara, ketokohan mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus diingati dan dihargai apabila dianugerahkan Anugerah Tokoh Kepimpinan UniMAP 2016.

Penganugerahan anugerah kepada Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin itu adalah sempena Majlis Anugerah Tokoh Alumni UniMAP (ALUMNIGHT) 2016 anjuran Persatuan Alumni dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UniMAP yang diadakan di Hotel Equatorial, di sini, semalam.

Pengerusi Persatuan Alumni UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil berkata anugerah berkenaan dianugerahkan kepada Dr Kamarudin di atas jasa dan pengorbanan beliau selama hampir 14 tahun membangunkan UniMAP sebelum ini.

“Beliau juga tokoh terawal menerima kemasukan pelajar-pelajar sulung sejak UniMAP masih lagi sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) daripada ‘zero’ hingga gah di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“Justeru, Persatuan Alumni UniMAP menganugerahkan anugerah ini sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada beliau yang telah bersama-sama kami sejak kami masih pelajar sehingga kini,”kata beliau ketika ditemui di majlis berkenaan.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof  Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan.

Selain Dr Kamarudin, Pengurus Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech)  Prof  Madya Dr Mohd Mustafa Abdullah dianugerahkan Anugerah Tokoh Akademik,Pemilik syarikat PROKAS, REMO Sdn Bhd Mohd Reza Mohyin (alumni 2008) dianugerahkan Anugerah Tokoh Usahawan dan Ahmad Faeiz Zulkifli (alumni 2008)yang bertugas sebagai ‘Senior Engineer’ di Toyota Motor Asia Pacific di negara jiran, Thailand.

Sementara itu, Dr Zul Azhar berkata beliau berharap alumni UniMAP yang kini seramai 12,791 orang dapat mencari peluang  melawat UniMAP bagi menyuntik semangat dan pendedahan kepada pelajar-pelajar yang masih menuntut di UniMAP .

“Kita sedia maklum, persekitaran bidang pekerjaan amat mencabar kini, justeru alumni yang telah berjaya boleh menyumbang informasi terkini kepada alumni yang baru bergraduat mahupun masih menuntut di UniMAP.

“Selain itu, para alumni yang bekerja di sektor industri mahupun institusi luar UniMAP juga diharapkan dapat memberi sokongan dalam kajian reputasi majikan bagi membantu UniMAP dalam QS World University Ranking untuk  mencapai 500 universiti terbaik menjelang 2020,” kata beliau kita berucap di majlis itu.

Beliau turut melancarkan  Tabung ‘I Care, You Care & We Care’ bagi mengumpul dana membantu alumni atau individu lain yang kurang bernasib baik serta kad keahlian Persatuan Alumni UniMAP yang mempunyai fungsi ‘TouchNGo’ di majlis yang dihadiri hampir 200 alumni UniMAP itu.

ARAU, 21 Julai (Bernama) -- Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) menyifatkan kerjasama strategik mengenai penyelidikan dan pembangunan (R&D) enjin dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menguntungkan industri automotif negara.

Ketua Bahagian R&D Modenas Wan Shahar Wan Teh berkata, Modenas menyasarkan melalui kerjasama ini, ia mampu menggalakkan perkembangan industri permotoran yang aktif dan terkenal di kawasan utara Malaysia.

Beliau berkata Modenas berkemungkinan menyediakan geran R&D pada masa hadapan dan masa ini, syarikat hanya bersedia menyumbang enjin untuk tujuan pembelajaran serta bertukar kepakaran.

“Kerjasama ini yang terjalin sejak 2012 membolehkan pelajar UniMAP mendalami secara mahir bidang automotif di samping mencetuskan teknologi lebih maju selain meningkatkan kebolehpasaran mereka," katanya.
Wan Shahar ditemui pada majlis 'Riang Ria Aidilfitri UniMAP' di kampus induk universiti di Pauh Putra, dekat sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau menyerahkan 10 unit enjin motosikal Modenas kepada Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal untuk digunakan Unit Penyelidikan dan Sukan Permotoran (MoTECH) UniMAP.

“R&D UniMAP dalam bidang ini berasaskan teori dan kami di Modenas akan mencari titik persamaan. Hasilnya, kami dapat mengoptimumkan aplikasi.

“Contohnya kami telah dapat meningkatkan mutu petri, lebih menjimatkan kos malah kecekapan turut meningkat," kata Wan Shahar.

Sementara itu, Zul Azhar Zahid berkata tajaan 10 unit enjin berkenaan merupakan simbolik kerjasama kedua-dua pihak untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Automotif dan Permotoran UniMAP-Modenas.

Katanya UniMAP juga akan memastikan kerjasama atau penyelidikan yang dijalankan menambah kualiti pelajar dan relevan dengan keperluan semasa serta membantu perkembangan MoTECH.

- BERNAMA -







Kangar, 20 Julai – Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menawarkan biasiswa kepada seorang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi membantu meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti berkenaan.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, pemberian biasiswa bernilai RM25,000 itu dimaklumkan oleh Pengerusi ACCCIM Chapter Perlis, Ch’ng Ban Pai dalam kunjungan rasminya ke pejabat beliau semalam.

“Kriteria pemilihan bagaimanapun belum diputuskan lagi dan ianya akan dimuktamadkan dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang dijadualkan Ogos ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Zul Azhar, kunjungan tersebut antara lainnya bertujuan untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan penempatan graduan universiti di sektor pekerjaan.

Antara lainnya, ujar beliau, ACCCIM dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara sebelum ini telah berurusan dengan beberapa universiti lain untuk menangani isu-isu pekerjaan di kalangan graduan.

“Beliau (Ban Pai) turut menyarankan graduan Bumiputera untuk mendapatkan peluang pekerjaan dengan PKS milik Cina dan ACCCIM akan memainkan peranan dalam membantu memudahkan proses tersebut.

“Secara keseluruhannya, perbincangan awal ini sangat positif dan kita turut membincangkan mengenai aspek latihan, biasiswa pelajar dan penyelidikan.

“Semoga inisiatif ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang buat UniMAP selepas ini dan pada masa sama memupuk hubungan dan perpaduan yang lebih baik dalam semangat 1 Malaysia,” ujarnya lagi.

Padang Besar, 10 Julai – Seramai 15 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berlepas ke Bangkok dari Stesen KTM Padang Besar bagi mengikuti program Musim Panas Asia (ASP 2016) yang dihoskan oleh Universiti Bangkok.

Program yang akan berlangsung selama 3 minggu sehingga 30 Julai itu merupakan program tahunan yang memasuki tahun kelima penganjurannya, ujar Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Menurut beliau, penglibatan pelajar UniMAP dalam program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif pengantarabangsaan yang bertujuan meningkatkan aspek kepimpinan, komunikasi serta memupuk kerjasama berpasukan antara pelajar UniMAP dan para peserta dari universiti lainnya di Asia.

UniMAP merupakan satu-satunya universiti dari Malaysia yang menyertai program ASP2016 ini dan para pelajar ini akan diiring oleh lima orang staf dengan diketuai oleh Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ASP 2016 merupakan program akademik yang melibatkan jumlah jam pengajian dan pada tahun ini ia disertai oleh 121 pelajar dari 16 buah universiti, 15 pemerhati.

Sebanyak 26 kursus pengajian ditawarkan dengan keseluruhan program bakal belangsung sekitar kampus Bandar dan kampus Rangsit di Universiti Bangkok.

Dalam pada itu, ketua kumpulan pelajar UniMAP, Lum Jason,21, yang berasal dari Kuala Lumpur berasa sangat bertuah kerana diberi peluang menyertai ASP 2016 walaupun terpaksa mengorbankan cuti semester masing-masing.

"Pekuang menyertai ASP2016 merupakan peluang keemasan dan sangat berbaloi sekalipun saya tidak dapat memghabiskan cuti semester kali ini. Ia kerana bukan semua pelajar berpeluang menyertai program berprestij seperti ini.

Menurut beliau lagi, selepas dimaklumkan terpilih menyertai program ASP2016 pada April lalu, dia dan rakan- rakan perlu membuat persiapan termasuk latihan tarian untuk malam kebudayaan dan pada masa sama turut sibuk dengan peperiksaan akhir semester.

"Saya juga berbangga dapat mewakili UniMAP serta mendapat sokongan penuh keluarga walaupun sedikit kesuntukan masa bagi membuat persiapan untuk menyertai program ini," katanya yang juga pelajar tahun Satu Kejuruteraan Keusahawanan, Pusat Pengajian Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) UniMAP.

Bagi pelajar tahun dua Komunikasi Media Baharu UniMAP, Kamaliah Mohamad, 22, yang berasal dari Kelantan berkata beliau terpaksa mengrbankan kemeriahan sambutan Aidilfitri bersama keluarga pada tahun ini.

Ujarnya yang tiba di Perlis pada hari raya kedua, ia berikutan pelbagai persediaan perlu dilakukan termasuk penyediaan makanan tradisional dan kostum tarian bagi pesta makanan tradisi serta persembahan di ASP nanti.

“Atas dasar itu saya bersama rakan rakan perlu berada di Perlis lebih awal bagaimanapun, saya tidak menyesal dengan pengorbanan ini memandangkan penyertaan kami di bangkok ini adalah ibarat duta kecil UniMAP dan Malaysia,” ujarnya.

SUNGAI CHUCHUH, 1 Julai:Peluang untuk pulang berhari raya di kampung halaman sememangnya ditunggu-tunggu oleh pada pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Lebih manis lagi, rombongan pelajar-pelajar UniMAP pulang berhari raya dilepaskan sendiri Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Dalam ucapannya, Dato’ Prof. Dr. Zul berharap agar para pelajar selamat sampai ke destinasi kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Selamat pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri, kirim salam kepada mak dan ayah serta keluarga di kampung.

“Diharapkan semoga kepulangan ke kampus semula nanti dengan lebih semangat untuk terus berusaha bersungguh-sungguh dalam pengajian masing-masing,” katanya pada Majlis Pelepasan Pelajar Diploma Balik Kampung, di Perkarangan Kampus Uniciti UniMAP, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Presiden Persatuan Alumni UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil.

Menurut Syed Akhmal Syed Jamalil, tiga buah bas disewa bagi membawa pulang 102 pelajar UniMAP ke Pantai Timur sempena Aildilfitri yang bakal dijangka 6 Julai ini.

“Ini juga adalah salah satu inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP bagi memastikan perjalanan pelajar UniMAP pulang ke kampung masing-masing tanpa perlu berebut tiket di stesen bas,” katanya.

PAUH PUTRA, 1 Julai: Bahang Aidilfitri semakin terasa, ramai orang sibuk dalam melakukan persiapan di minggu terakhir Ramadhan, namun berlainan bagi pula situasi bagi insan yang kurang berkemampuan.

Keadaan itu menyebabkan Unit Pembangunan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan Yayasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpanggil untuk berkongsi keceriaan dengan membantu golongan asnaf dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang terpilih.

Timbalan Naib Canselor HEPA UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, sumbangan yang diberikan adalah hasil kutipan derma dari warga UniMAP.

“Program ini melibatkan empat keluarga yang kurang berkemampuan dan dua keluarga OKU di sekitar Perlis.

“Saya berharap agar sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga-keluarga ini untuk membuat persiapan menjelang hari raya yang bakal tiba tidak berapa lama lagi,”katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Program Barakah Ya Ramadhan Bersama Alumni dan Yayasan UniMAP di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Dekan HEPA UniMAP, Dr. Ummi Naiemah Saraih dan Pengerusi Persatuan Alumni UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil.

Antara sumbangan yang diberikan kepada keluarga tersebut berupa barangan keperluan harian, kuih raya dan duit raya RM200.

Sementara itu bagi salah seorang penerima, Rosseli Mat, 78, amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan kepada anaknya yang kelainan upaya, Norfizah Rosseli, 52.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan belanja kami untuk membeli lampin pakai buang yang digunakan anak kami ini.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak UniMAP yang sudi membantu keluarga kami dalam menyediakan persiapan menyambut Aldilfitri,”katanya.

PADANG BESAR, 30 Julai— Kemeriahan sambutan Aidilfitri dan Festival Sajian Antarabangsa @ UniMAP 2015 yang berlangsung di Kampus UniCITI, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diserikan dengan sajian dari 17 buah negara.

Semua sajian itu disediakan sendiri oleh para pelajar dan staff antarabangsa UniMAP. Antara negara yang mengambil bahagian adalah tuan rumah, Malaysia, Amerika Syarikat, Somalia, Yemen, Mesir, Bosnia,Thailand, Uzbekistan, Nigeria, Bangladesh, Jepun, China, Korea Selatan,Indonesia, Libya dan Pakistan.  

DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamallulail berkenan bercemar duli berangkat hadir merasmikan sambutan tersebut.

Turut bercemar duli berangkat hadir, DYMM Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Canselor serta Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Naib Canselor UniMAP, Briged. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin dan barisan Exco kerajaan negeri.

Majlis itu dihadiri lebih 2,000 tetamu yang terdiri dari staff dan pelajar UniMAP serta penduduk setempat.

Sementara itu, pada majlis itu juga, DYMM Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamallulail berkenan merasmikan Pra-pelancaran Masjid Al-Saodah yang bakal dibina di Kampus UniCITI Alam UniMAP.

Masjid tersebut yang berkeluasan 4000 kaki persegi dan dijangka mampu menampung 500 jemaah pada satu-satu masa merupakan sumbangan Pengerusi Eksekutif Proven Group of Companies (Proven), Dato’ Yusof Jusoh.

Ia merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) Proven untuk pembangunan kampus tersebut.

 Di akhir majlis, Pengurusan Tertinggi Universiti menutup acara dengan  pemberian duit raya kepada kanak-kanak dan pelajar yang hadir.

Padang Besar, 31 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menawarkan kepakaran yang dimiliki dalam bidang pertanian berasaskan kejuruteraan khusus untuk memajukan sektor pertanian kepada mana-mana pihak yang berminat.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, penggunaan elemen penyelidikan berasaskan kejuruteraan dalam bidang pertanian yang dimiliki oleh UniMAP turut merangkumi pengurusan risiko baik dari aspek iklim, cuaca mahupun sistem kawalan pengairan.

Jelas beliau, UniMAP menerusi Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) kini giat menjalankan modul teknologi penanaman menggunakan teknik rumah hijau (green house).

“Memandangkan Perlis terkenal dengan tanaman harum manis, maka fokus UniMAP kini ialah untuk terus menghasilkan pengeluaran mangga sepanjang tahun. Walaubagaimanapun, teknologi ini turut sesuai untuk diaplikasikan kepada semua jenis tanaman,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Brunei Darussalam Ke Malaysia, Datuk Paduka Haji Alaihuddin Bin Pehin Datuk Seri Utama Haji Awang Mohd. Taha di INSAT di sini hari ini.

ARAU, 26 Julai (Bernama) - Graduan perlu memiliki sikap jujur, ikhlas dan amanah bagi menjadi insan yang berupaya memenuhi aspirasi masyarakat, titah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Menurut baginda, dalam persekitaran yang kompetitif sekarang, manusia sanggup membuat apa sahaja untuk bersaing dengan kadang kala sifat kejujuran, keikhlasan dan amanah diketepikan demi memenuhi kepentingan peribadi mereka.

"Kejadian seperti pecah amanah dan rasuah adalah berpunca akibat hakisan sifat tersebut dalam diri anggota masyarakat," titah baginda yang juga Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada sidang kedua majlis konnvokesyen ke-10 (UniMAP) di Kampus Pauh Putra di sini semalam.

Tuanku Lailatul Shahreen menyeru graduan agar turut meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam berbagai bahasa dan memiliki kemahiran lain sebagai nilai tambah untuk meningkatkan kualiti diri mereka.

Pada sidang kedua itu, baginda menyampaikan diploma kepada 193 graduan sementara pada sesi pagi, baginda menyampaikan diploma kepada 173 graduan.


-- BERNAMA





ARAU, 25 Julai (Bernama) -- Persaingan sengit untuk mendapatkan pekerjaan menuntut bakal graduan mempersiapkan diri untuk diterima dalam pasaran kerja, titah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Menurut baginda dalam perkembangan sekarang majikan mempunyai banyak pilihan selain mengenakan pelbagai syarat ketat dan graduan yang berketrampilan serta berkebolehan sahaja akan ditawarkan pekerjaan.

"Saya ingin mengingatkan kemahiran insaniah atau 'soft skills' seperti kemahiran berkomunikasi, interpersonal, kebolehan analatikal dan intelektual serta pengalaman yang diperolehi secara formal atau tidak formal adalah penting.

"Nilai-nilai ini menjadikan graduan-graduan lebih kompetensi," titah Tuanku Lailatul Shahreen merangkap Tuanku Pro-Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada majlis konvokesyen ke-10 di Kampus UniMAP Pauh Putra, di sini Sabtu.

Keberangkatan baginda sebelum itu disambut oleh Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin serta para peawai kanan universiti.

Pada majlis itu baginda berkenan menyampaikan diploma kepada 68 graduan jurusan Kejuruteraan Komputer; 59 graduan Kejuruteraan Mikroelektronik dan 56 graduan Kejuruteraan Elektrik.

Baginda juga berkenan menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat Sarjana Sains kepada Pengarah Kanan, Pembangunan Korporat dan Hubungan Luar Silterra Malaysia Sdn Bhd, Tahiruddin Tun Hamdan.

Turut menerima anugerah daripada Tuanku Lailatul Shahreen ialah penerima Pingat Emas Naib Canselor, Hadiah Pelajaran Industri, Hadiah Inovasi dan Hadiah Buku.


-- BERNAMA




Arau:  Kehidupan keluarga yang serba kekurangan menjadi dorongan buat graduan jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik untuk berusaha gigih bagi mencapai kejayaan sehingga dikurniakan Anugerah Pingat Emas Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kali ke-10 di sini semalam.

Muhammad Asri Abdul Ghani, 21 dari Kuantan, Pahang berkata, pengalaman membantu bapanya bekerja memasang jubin di rumah pelanggan pada usia belasan tahun memberi kekuatan kepada dirinya untuk cekal dalam pengajian supaya menjadi insan berguna.

Katanya, kegigihan dan ketelitian yang sering ditunjukkan oleh bapanya ketika melakukan kerja juga dijadikan panduan ketika menghadapi pelajaran kerana perkara sukar jika dilakukan secara berulang kali akan menjadi mudah untuk diselesaikan.

"Saya cuba fokus dalam pelajaran.  Memang ada kalanya saya juga pernah putus semangat dan gagal dalam ujian.  Selepas memikirkan kembali tujuan saya belajar ialah untuk membantu kembali keluarga selepas berjaya nanti akhirnya saya mendapat motivasi untuk berubah," katanya.

Muhammad Asri yang juga anak kedua daripada empat beradik  berkata demikian ketika ditemui selepas menerima skrol daripada Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor universiti terbabit di Kampus Induk UniMAP, Pauh Putra di sini.

Pada majlis yang sama, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah menyampaikan Ijazah Kehormat Sarja Sains kepada Pengurus Kanan Pembangunan Koporat dan Hubungan Luar syarikat Silterra Malaysia Sdn Bhd, Tahiruddin Tun Hamdan.

Turut Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Seramai 366 orang graduan membabitkan enam program pengajian menerima diploma  masing-masing sepanjangn konvokesyen berkenaan.

Menurut Asri dia yang meminati kerjaya sebagai  juruterbang sejak dari kecil kerana peluang untuk mengembara ke luar negara selain pendapatan lumayan melupakan niat itu kerana yuran pengajian yang terlalu tinggi walaupunpun pernah mendapat tawaran sebagai kadet penerbangan di sebuah institusi di Melaka sebelum ini.

Katanya , impiannya kini mahu berjaya dalam pengajian bagi mencari pekerjaan yang boleh membantu kembali kedua-dua ibu bapanya.

"Tidak dapat dinafikan, saya mendapat bantuan daripada rakan-rakan sepengajian dan juga pensyarah ketika saya tidak dapat memberi tumpuan terhadap bidang pengajian saya iaitu kejuruteraan elektrik yang sememangnya mencabar, namun kekuatan kembali selepas terfikir nasib keluarga saya yang harus saya perjuangkan,

"Jadikanlah keluarga sebagai faktor utama untuk kita berjaya dalam pelajaran dan hidup.  Dengan itu, niat kita untuk belajar akan menjadi ikhlas,"  pesan Muhammad Asri yang merupakan graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor, Oii Chui Yee, 21 dari Kedah berkata, kegagalan yang pernah dihadapinya semasa berhadapan dengan ujian dan ketika menyiapkan tugasan bukanlah suatu pengalang bagi dirinya untuk terus berusaha mendapat keputusan yang lebih cemerlang.

"Gagal sekali bukan bererti gagal untuk selama-lamanya.  Kegagalan merupakan suatu batu loncatan untuk kita mengenal kesilapan dan memperbaiki diri bagi mendapat keputusan yang lebih baik," kata graduan Diploma Kejuruteraan Microelektronik.

 

-- HARIAN METRO



 


PAUH PUTRA (ARAU), 25 Julai (Bernama) -- Graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berjaya mendapat pekerjaan meningkat kepada 88.34 peratus sehingga pertengahan tahun ini, berbanding kira-kira 75 peratus tahun lepas.


Naib Canselor UniMAP Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata peningkatan memberangsangkan itu adalah kerana kualiti graduan universiti berkenaan yang dapat memenuhi kehendak pasaran.

Beliau berkata angka itu berdasarkan 'Tracer Study' yang diisi oleh graduan sehingga 1 Julai lepas, bagi mereka yang mendapat pekerjaan, melanjutkan pengajian atau meningkatkan kemahiran.

"Dari 88.34 peratus itu, 70 peratus mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat multinasional seperti Intel, First Solar, AMD dan B. Braun," katanya semasa berucap pada Konvokesyen ke-10 UniMAP, di kampus tetap universiti tersebut, di sini, hari ini.

Tuanku Pro-Canselor UniMAP yang juga Raja Puan Muda Perlis Hajah Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat untuk menyampaikan skrol Diploma kepada 366 graduan.

Kamarudin berkata QS Star Rating memberikan UniMAP tiga bintang pada tahun lepas dan daripada lapan domain penilaian, kualiti pelajaran dan fasiliti adalah bertaraf lima bintang.

UniMAP juga memperbaiki kedudukan QS Asia Universities Rating 2015 kepada kedudukan ke-227 berbanding 243 tahun lepas, katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Pembangunan Korporat dan Hubungan Luar Silterra Malaysia Sdn Bhd (Silterra), Tahiruddin Tun Hamdan yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sains pada majlis konvokesyen itu berkata kejayaan UniMAP adalah kerana silibus dan sistem pendidikan universiti itu memenuhi kehendak industri.

"Dalam tempoh 10 tahun penglibatan Silterra-UniMAP, kami menjalankan kerjasama strategik bagi memperkasa peranan UniMAP dalam aspek penyelidikan, inovasi, perundingan dan pengkomersialan reka cipta.

"Kerjasama Silterra-UniMAP adalah bagi memenuhi aspirasi kerajaan ke arah negara maju menjelang 2020," katanya.

-- BERNAMA

-- HARIAN METRO




Tokyo, Jepun, 13 Julai – Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal bekerjasama menganjurkan Program Kepimpinan Wanita (Woman Leadership Program) yang turut melibatkan kerjasama dengan Josai International University, Jepun.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, program tersebut bertujuan untuk melahirkan pemimpin wanita dari kalangan graduan UniMAP, khususnya dan dari kalangan rakyat Malaysia amnya, yang berdedikasi dan mampu menjadi antara pemimpin disegani bukan sahaja di Malaysia sebaliknya di seluruh dunia.

Ujar beliau, ketiga-tiga pihak kini dalam fasa terakhir perbincangan berkaitan perincian pelaksanaan program tersebut yang dijangka bermula pada tahun 2016 serta pembahagian bidang tanggungjawab antara ketiga-tiga pihak berkaitan iaitu Josai International University, UniMAP, dan YTF.

Dalam perbincangan yang turut dihadiri oleh Tan Sri Dr Ng Yen Yen, selaku Profesor Pelawat dan Pengarah, Josai Center of ASEAN Studies, Dr. Kamarudin berkata, kesemua peserta akan mengikuti kursus bahasa Jepun yang akan ditawarkan oleh Pusat Bahasa Antarabangsa, UniMAP untuk tempoh tiga ke enam bulan sebelum berlepas ke Jepun bagi mengikuti program tersebut.

“Program ini merupakan satu lagi program nilai tambah yang ditawarkan oleh UniMAP khusus untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja bijak dalam aspek akademik sebaliknya mempunyai kelebihan pelbagai aspek lain seperti kepimpinan, keusahawanan dan kesukarelawanan,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain Dr. Kamarudin, perbincangan yang berlangsung bersempena Asia Summer Program (ASP) 2015 itu turut dihadiri oleh Dr Yasunori Morimoto, Presiden Josai University;  Profesor Masato Kurabayashi, Naib Presiden Josai International University; Prof Madya Dr Mohamad Iqbal bin Omar, Pengarah Pusat Kesihatan UniMAP; dan Prof. Dr. Harshita Aini Haroon, Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP.

ASP 2015 menghimpunkan seramai 150 pelajar antarabangsa membabitkan 14 universiti dari sembilan buah negara dan akan berlangsung sehingga 28 Julai ini.

ASP mula dianjurkan pada tahun 2011 yang lalu hasil cetusan bersama pemimpin dari lima buah universiti pengasas iaitu Bangkok University, Thailand; Dongseo University, Korea; Josai University, Jepun; Petra Christian University, Indonesia dan UniMAP.

Menerusi program tersebut, kesemua universiti pengasas bersetuju untuk mewujudkan satu platform khusus khususnya bagi membantu melahirkan pemimpin masa hadapan sejajar dengan peredaran masa dan kepesatan pembangunan dunia yang semakin meningkat di Asia.

Kangar, 13 Julai -  Seramai 16 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpaksa mengorbankan kemeriahan sambutan Aidilfitri bersama keluarga tersayang selepas terpilih mewakili negara ke “Asia Summer Program” (ASP) 2015 yang dianjurkan oleh  Josai University Educational Corporation (JUEC), Jepun.

Turut bersama delegasi pelajar berkenaan yang berlepas ke Jepun pada 4 Julai lalu ialah tiga orang pensyarah, Afifah Hanani Yusuf dari Pusat Bahasa Antarabangsa, Nursalimah Alias dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) dan Mohd Shahidan Shaari dari Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT).

Ketiga-tiga mereka akan mengajar  yang akan mengajar kursus-kursus UniMAP, iaitu Bahasa Inggeris, Kemahiran Berfikir dan Prinsip Keusahawanan sepanjang u program berlangsung di tiga buah kampus iaitu kampus Togane dan kampus Awa, Josai International University (JIA); dan kampus Sakado, Josai University (JU).

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) (Proses Kimia Industri), Nur Annashuha Zakry, 21, teruja apabila terpilih mengikuti program ASP pada tahun ini memandangkan ia merupakan medan terbaik untuk beliau mengenali budaya masyarakat setempat selain mendapat kenalan baru.

Ujar beliau, meskipun terpaksa menjalani ibadah puasa untuk tempoh yang agak panjang berbanding di Malaysia dan mengorbankan sambutan Aidilfitri bersama keluarga, namun ia bukanlah penghalang untuk terus fokus menjalani semua program dan aktiviti yang di atur.

“Tipulah kalau saya tidak merasa sedih apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga ketika sambutan Aidilfitri buat kali pertama tahun ini, tetapi saya melihat semua ini dari sudut positif dan pada masa sama meletakkan diri saya sama seperti pelajar-pelajar lain yang menyambung pengajian di luar negara.

“Meskipun terpaksa mengikuti kuliah pada hari raya nanti, saya dan rakan-rakan akan cuba mencari peluang menghubungi keluarga,” ujar beliau.

Seorang lagi pelajar, Tan Yan Jun, 22, berkata, melalui penyertaan dalam ASP, dia bukan saja dapat mempelajari budaya baru, tetapi mampu melihat perbezaan cara hidup masyarakat luar sekali gus mengetahui dan memahami kepelbagaian budaya itu.

Beliau yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kejuruteraan Bahan, menyimpan impian untuk mengikuti program tersebut selepas melihat sendiri kemeriahan dan kepelbagaian budaya peserta yang mengambil bahagian apabila UniMAP terpilih menjadi tuan rumah pada tahun lalu.

“Selain itu, saya sememangnya amat kagum dengan adat budaya masyarakat di Jepun, dan ASP merupakan platform terbaik untuk saya melihat sendiri dengan lebih dekat keunikan budaya mereka selain mempelajari budaya dan adat resam masyarakat dari negara-negara lain.

“Melihat kepada jadual yang telah disusun, ia pasti menjanjikan satu pengalaman yang menarik untuk semua peserta,” ujar beliau.

ASP 2015 menghimpunkan seramai 150 pelajar antarabangsa membabitkan 14 universiti dari sembilan buah negara dan akan berlangsung sehingga 28 Julai ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, ASP yang mula dianjurkan pada tahun 2011 yang lalu hasil cetusan bersama pemimpin dari lima buah universiti pengasas iaitu Bangkok University, Thailand; Dongseo University, Korea; Josai University, Jepun; Petra Christian University, Indonesia dan UniMAP.

Ujar beliau, menerusi program ini, kesemua universiti pengasas bersetuju untuk mewujudkan satu platform khusus khususnya bagi membantu melahirkan pemimpin masa hadapan sejajar dengan peredaran masa dan kepesatan pembangunan dunia yang semakin meningkat di Asia.

“Pelajar yang mengikuti ASP ini bukan sahaja perlu mengambil  kursus berteraskan akademik, sebaliknya kesemua pelajar turut didedahkan dengan aspek seni budaya, seni mempertahankan diri serta lawatan ke tempat-tempat bersejarah,” ujar beliau.

Kangar, 13 Julai -  Seramai 16 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpaksa mengorbankan kemeriahan sambutan Aidilfitri bersama keluarga tersayang selepas terpilih mewakili negara ke “Asia Summer Program” (ASP) 2015 yang dianjurkan oleh  Josai University Educational Corporation (JUEC), Jepun.

Turut bersama delegasi pelajar berkenaan yang berlepas ke Jepun pada 4 Julai lalu ialah tiga orang pensyarah, Afifah Hanani Yusuf dari Pusat Bahasa Antarabangsa, Nursalimah Alias dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) dan Mohd Shahidan Shaari dari Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT).

Ketiga-tiga mereka akan mengajar  yang akan mengajar kursus-kursus UniMAP, iaitu Bahasa Inggeris, Kemahiran Berfikir dan Prinsip Keusahawanan sepanjang u program berlangsung di tiga buah kampus iaitu kampus Togane dan kampus Awa, Josai International University (JIA); dan kampus Sakado, Josai University (JU).

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) (Proses Kimia Industri), Nur Annashuha Zakry, 21, teruja apabila terpilih mengikuti program ASP pada tahun ini memandangkan ia merupakan medan terbaik untuk beliau mengenali budaya masyarakat setempat selain mendapat kenalan baru.

Ujar beliau, meskipun terpaksa menjalani ibadah puasa untuk tempoh yang agak panjang berbanding di Malaysia dan mengorbankan sambutan Aidilfitri bersama keluarga, namun ia bukanlah penghalang untuk terus fokus menjalani semua program dan aktiviti yang di atur.

“Tipulah kalau saya tidak merasa sedih apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga ketika sambutan Aidilfitri buat kali pertama tahun ini, tetapi saya melihat semua ini dari sudut positif dan pada masa sama meletakkan diri saya sama seperti pelajar-pelajar lain yang menyambung pengajian di luar negara.

“Meskipun terpaksa mengikuti kuliah pada hari raya nanti, saya dan rakan-rakan akan cuba mencari peluang menghubungi keluarga,” ujar beliau.

Seorang lagi pelajar, Tan Yan Jun, 22, berkata, melalui penyertaan dalam ASP, dia bukan saja dapat mempelajari budaya baru, tetapi mampu melihat perbezaan cara hidup masyarakat luar sekali gus mengetahui dan memahami kepelbagaian budaya itu.

Beliau yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kejuruteraan Bahan, menyimpan impian untuk mengikuti program tersebut selepas melihat sendiri kemeriahan dan kepelbagaian budaya peserta yang mengambil bahagian apabila UniMAP terpilih menjadi tuan rumah pada tahun lalu.

“Selain itu, saya sememangnya amat kagum dengan adat budaya masyarakat di Jepun, dan ASP merupakan platform terbaik untuk saya melihat sendiri dengan lebih dekat keunikan budaya mereka selain mempelajari budaya dan adat resam masyarakat dari negara-negara lain.

“Melihat kepada jadual yang telah disusun, ia pasti menjanjikan satu pengalaman yang menarik untuk semua peserta,” ujar beliau.

ASP 2015 menghimpunkan seramai 150 pelajar antarabangsa membabitkan 14 universiti dari sembilan buah negara dan akan berlangsung sehingga 28 Julai ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, ASP yang mula dianjurkan pada tahun 2011 yang lalu hasil cetusan bersama pemimpin dari lima buah universiti pengasas iaitu Bangkok University, Thailand; Dongseo University, Korea; Josai University, Jepun; Petra Christian University, Indonesia dan UniMAP.

Ujar beliau, menerusi program ini, kesemua universiti pengasas bersetuju untuk mewujudkan satu platform khusus khususnya bagi membantu melahirkan pemimpin masa hadapan sejajar dengan peredaran masa dan kepesatan pembangunan dunia yang semakin meningkat di Asia.

“Pelajar yang mengikuti ASP ini bukan sahaja perlu mengambil  kursus berteraskan akademik, sebaliknya kesemua pelajar turut didedahkan dengan aspek seni budaya, seni mempertahankan diri serta lawatan ke tempat-tempat bersejarah,” ujar beliau.

ARAU, 10 Julai—  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menganjurkan  kelas pengajian Al-Quran bertujuan untuk memantapkan bacaan semua warganya yang beragama Islam.

Naib Canselor UniMAP Briged. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, penganjuran kelas bacaan Al-Quran itu bakal dikendalikan Pusat Islam UniMAP.

“Sebagai umat Islam, kita seharusnya mampu untuk membaca Al-Quran dengan lancar, dan ini merupakan salah satu inisiatif pihak UniMAP untuk membantu semua warganya untuk melancarkan bacaan kitab suci ini.

“Saya tidak mahu menjadikan bacaan Al-Quran ini sebagai program  bermusim sahaja, tetapi ia perlu diadakan berterusan sepanjang masa,”katanya ketika berucap pada Majlis Khatam Al-Quran UniMAP, di Kampus Pauh Putra, di sini, baru-baru ini.

Turut Hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Majlis yang diadakan selepas Solat Jumaat itu disertai kira-kira 100 peserta yang mewakili 11 pusat pangajian yang terdapat di UniMAP

KANGAR:  9 Julai – Kumpulan Al-Andalus dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan (FTK) dinobatkan sebagai  johan Pertandingan Nasyid Antara Jabatan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2015 sekaligus mempertahankan kejuaraan yang diraihnya tahun lalu.

Kumpulan tersebut yang membawakan  lagu Al-Insan meraih wang tunai berjumlah RM1,000 hamper dan piala pusingan.  

Naib  johan diraih kumpulan An-Nisa’29 dari UniMAP Holdings yang membuat penampilan sulung tahun ini melalui lagu Khabaran Rasulullah manakala tempat ketiga dimenangi kumpulan Kilauan Dinar dari Jabatan Bendahari yang membawakan lagu Citra Ramadhan.

Tempat kedua membawa pulang wang tunai RM 700 dan hamper manakala pemenang tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM500 dan hamper.

Hadiah disampaikan Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin. Turut hadir, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, Dr. Khairel Rafizi Ahmad dan Pengarah Pusat Islam UniMAP, Hassan Arshad yang merupakan penganjur bersama Pertandingan Nasyid Antara Jabatan Universiti Malaysia Perlis 2015.

Dalam ucapannya, Datuk Kamarudin berkata, umat Islam sewajarnya merebut ganjaran keistimewaan bulan Ramadhan yang tidak termaktub kepada amalan solat sunat terawih, bertadarus, bertasbih, bertahmid sebaliknya perkara-perkara sunat lain yang apabila dilakukan turut menjanjikan pahala yang berganda.

“Mengesakan Allah bukan sahaja tercakup kepada amalan spiritual, namun melaung-laungkan dan memuji nama serta kebesaran Allah seperti bernasyid dan berselawat juga amat digalakkan.

“Selain dari itu, pertandingan yang diadakan di bulan ini juga memberi seribu satu manfaat secara tersirat kepada kita semua dan saya percaya setiap antara anda di setiap jabatan yang memasuki pertandingan ini pasti akan berbincang, bermesyuwarah dan seterusnya mencapai kata sepakat untuk memilih lagu yang sesuai untuk dipertandingkan,” katanya.

Sementara itu, bagi kategori Persembahan terbaik dimenangi kumpulan Innovoice dari Pusat Pengajian Inovatif Perniagaan dan Teknousahawan dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 300, manakala persembahan vokal terbaik dimenangi Zambri Ibrahim dari kumpulan Baitul Talamiz (Kolej Kediaman)serta meraih wang tunai RM200.

Di penghujung majlis yang sama turut diadakan majlis penyampaian sumbangan kepada staf Jabatan Keselamatan yang terpaksa bertugas di pagi 1 Syawal.  Sumbangan tersebut bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang mereka lakukan dalam memastikan premis UniMAP sentiasa dalam keadaan selamat dan terkawal. 

Kangar, 06 Julai – Warga Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberi tanggungjawab sebagai fasa terakhir melalui Pusat Islam UniMAP bagi mengedarkan bubur lambuk di bulan Ramadan ini, hari ini.

Bubur lambuk yang diedarkan itu dimasak sendiri oleh 50 warga kerja PTSFP diketuai Ketua Pustakawan, Puan Mazmin Mat Akhir mengikut penggiliran yang ditetapkan termasuk proses penyediaan bahan mentah, pembungkusan dan pengedarannya.

Bagi fasa kali ini, empat buah sekolah agama berasrama sekitar negeri ini menerima 10,000 bungkusan bubur lambuk yang dimasak menggunakan 10 buah periuk.

Terdahulu, Program Bubur Lambuk UniMAP melalui Pusat Islam UniMAP ini diberi tanggungjawab kepada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) diikuti iKOM pada minggu lalu dan  PTSFP pada hari ini yang membabitkan tiga fasa.

 

Program memasak dan mengedar bubur lambuk ini di bulan Ramadhan ini diadakan sejak awal penubuhan UniMAP iaitu Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) sebagai salah satu tanggungjawab sosial universiti (USR).

Pauh Putra, 6 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini menandatangani surat hasrat dengan Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd. bagi membawa teknologi rawatan jantung khusus untuk memenuhi kehendak penduduk di kawasan Kedah dan Perlis.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kelengkapan peralatan rawatan jantung itu kini sedang dalam proses persiapan terakhir yang mana ia akan ditempatkan di Poliklinik UniMAP yang dijadualkan beroperasi Ogos ini.

Ujar beliau, perbincangan mengenai teknologi jantung berkenaan telah dimulakan semenjak beberapa bulan lalu dan disusuli dengan lawatan ke Klinik Ebrahim pada Mei lalu.

UniMAP amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh klinik tersebut yang merupakan pakar dalam rawatan External Counter Pulsation Treatment(ECP) dan Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT).

“Memandangkan penyakit jantung tersenarai antara sebagai pembunuh senyap nombor satu di dunia dan menyedari kekurangan kemudahan yang bersesuaian di Perlis khasnya, maka UniMAP mengambil inisiatif untuk menawarkan kemudahan ini melalui Poliklinik UniMAP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Ihtifal Ihya’ Ramadhan @ UniMAP dan Menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan Klinik Ebrahim di Dewan Ilmu, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, UniMAP diwakili Datuk Kamarudin manakala Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd. Diwakili Pengarah Urusannya, Prof. Dr. Mohd Ebrahim Sulaiman.

Berkenan berangkat menyaksikan majlis LOI tersebut ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Yang turut berangkat hadir, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sementara itu, Dr. Mohd Ebrahim berkata, ECP merupakan satu teknik Non-Invasif yang membaiki fungsi jantung dengan menurunkan kadar tekanan pada jantung dan boleh dimanfaatkan pesakit yang menghadapi masalah kegagalan fungsi jantung, penyakit arteri koronari, penyakit arteri periferal, arteri darah di kaki.

“Manakala HBOT merupakan Terapi Hiperbaik Oksigen dengan kaedah rawatan penyembuhan pesakit bernafas menggunakan 100% oksigen di bawah tekanan tinggi,’’ katanya.

Dalam pada itu, UniMAP turut mengambil keberkatan Ramadhan dengan meraikan 200 anak-anak yatim sekitar negeri ini dan anak-anak dari sekolah angkat UniMAP dalam majlis berbuka puasa di samping menyampaikan bantuan Aidilfitri.

Turut berlangsung, pelancaran Program Edu Citi-Tel anjuran Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang membabitkan 120 murid tahun lima dan enam yang terpilih sekitar negeri-negeri utara. Melalui program tersebut, UniMAP telah berperanan menyediakan kemudahan penginapan dan kemudahan fasiliti yang lain bagi memudahkan urusan harian dan pembelajaran murid-murid berkenaan di Kolej Kediaman Taman Bahagia, Kangar semenjak April lalu.

Kangar,  3 Julai - Umat Islam seharusnya tidak menyebarkan kesemua maklumat yang diterima menerusi laman-laman sosial meskipun mengetahui perkara itu benar jika ia lebih banyak memberi keburukan.

Kaunselor Majlis Agama Islam Arab Saudi, Dr. Abdulrahman M. Albelaihi berkata, apatah lagi jika sesuatu berita itu tidak benar kerana mendatangkan fitnah.

Kata beliau, menyebarkan keburukan orang lain dan fitnah merupakan dosa besar dan antara dua daripada tiga penyakit lidah yang berleluasa ketika ini.

"Penyakit lidah yang ketiga adalah mengumpat. Justeru umat Islam digalakkan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan apa sahaja maklumat yang diterima menerusi laman sosial," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan zakat daripada kerajaan Arab Saudi kepada 150 penerima yang terdiri daripada anak yatim, fakir miskin dan saudara muslim baharu di Dewan Kapitol, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.

Kesemua penerima memperoleh sumbangan pakaian, makanan dan wang tunai RM100 seorang dari Pejabat Kedutaan Arab Saudi, UniMAP dan Persatuan Dakwah Islamiah Malaysia (PEDIM).

Hadir sama Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof Dr. Kamarudin Hussin,Ketua Pegawai Eksekutif PEDIM, Mubarak Ali Mohd Ibrahim dan Pengerusi PEDIM,  Dato' Alim Panglima Mat Jahaya Hussin.

Dr, Abdulrahman berkata, media arus perdana boleh menjadi medium terbaik untuk mendidik masyarakat supaya memastikan kesemua berita disiarkan dapat memberi kebaikan kepada negara.

"Syukur kerana media di Malaysia berperanan baik kerana telah mendidik masyarakat dengan berita yang positif untuk kebaikan negara," katanya yang bertugas di Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Datuk Kamarudin berkata setiap tahun UniMAP menganjurkan majlis penyerahan bantuan kepada golongan yang memerlukan terutama anak-anak yatim dari UniMAP sendiri, sekolah-sekolah angkat UniMAP dan pertubuhan anak yatim sekitar negeri ini.

Katanya, ia adalah salah satu tanggungjawab sosial universiti (USR) bagi menceriakan anak-anak yatim, golongan fakir miskin dan saudara baharu untuk meraikan Aidilfitri tidak lama lagi.

POTENSI UniMAP Anjur Program Sahabat Sahur

Kangar, 7 Julai - Persatuan Pegawai Tadbir Dan Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan program Sahabat Sahur ke Pos-Pos kawalan keselamatan di negeri Perlis yang beroperasi 24 jam pada awal pagi 5 Julai lalu.

Kunjungan tersebut diketuai oleh presidennya Yang Mulia, Raja Shah Erman Raja Arifin yang melibatkan lebih dari 50 ahli POTENSI.

Bermula jam 11 malam, semua ahli akan berkumpul di kampus UniMAP Seriab sebelum bergerak ke tujuh lokasi pos kawalan keselamatan yang beroperasi 24 jam.

Raja Shah Erman berkata, antara tujuh pos kawalan tersebut adalah, Pos Kawalan Batu Putih, Kuala Perlis, Pangkalan Polis Marin, Kuala Perlis, Balai Polis Kuala Perlis, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Arau, Pos Kawalan UPP Sg ChuChuh , IPD Padang Besar dan Pos Keselamatan Padang Besar II.

“Kunjungan ini akan singgah bertemu, berbual dan bermesra dengan para petugas disamping diedarkan makanan serta minuman untuk bersahur dan dijangka selesai pada jam 5 pagi.

Ini juga bertujuan untuk merasai dan menghayati pengorbanan wira-wira negara ke arah menjaga keamanan dan kedaulatan negara diwaktu kita semua ketika itu dibuai mimpi yang indah,”katanya.

Beliau yakin program itu sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat kenegaraan dalam diri ahli POTENSI melihat pengorbanan yang dibuat oleh wira-wira negara ini.

Sub Inspektor Hairi b Din, Ketua Polis Balai Arau berkata program yang dianjurkan UniMAP ini merupakan satu program yang baik dan dilihat mampu memberi kesan yang mendalam kepada para pegawainya.

“Saya percaya program ini dapat mengeratkan silarurrahim antara anggota polis dan warga POTENSI UniMAP selain berkongsi pengalaman dan mengenali tugas polis dengan lebih dekat lagi,”kata Sub Inspektor Hairi.

Sementara itu, Koperal Dzulkifli Ibrahim dari Balai Polis Kuala Perlis pula berkata, sepanjang perkhidmatan beliau di Balai tersebut ini merupakan kunjungan pertama dari sebuah universiti.

Beliau amat gembira dengan langkah yang diambil oleh pihak UniMAP dan berharap program sahabat sahur ini akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Satu Malaysia 

“Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP


Alhamdulillah, bulan yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam telah tiba, bulan yang penuh barakah Ramadhan Al Mubarak 1435 H. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua staf dan pelajar yang beragama Islam. Kepada yang bukan Islam, mungkin ini satu kesempatan untuk mengenali Islam dengan lebih dekat lagi. Pada bulan ini, Allah S.W.T menawarkan pelbagai insentif untuk direbut oleh umat Islam menerusi amal ibadat yang mereka lakukan. Inilah masa yang tepat untuk kita memperbanyakkan ibadah bukan sahaja dalam aspek amalan sehari-hari tetapi juga pekerjaan kita sehari-hari. Semoga dengan cara ini, kita dapat menggandakan pahala dan meningkatkan keikhlasan untuk bekerja.


Ingin saya peringatkan - puasa bukanlah suatu alasan untuk kita bermalas-malasan atau menjadi tidak giat dalam urusan kerja harian. Bekerja juga adalah suatu jihad, dan ia adalah satu ibadah bagi umat Islam. Malah dengan kedatangan Ramadhan, kita harus lebih rajin lagi. 


Jika kita menelusuri sejarah tamaddun Islam, dalam bulan Ramadhanlah banyak peristiwa penting berlaku, dan kesemuanya menuntut kekuatan jasmani kaum muslimin terdahulu, walaupun pada ketika itu mereka sedang menjalani ibadat puasa. Akan tetapi suasana yang sebaliknya berlaku kepada umat Islam sekarang. Kita perlu ambil iktibar daripada umat Islam terdahulu dari sudut bagaimana mereka mengharungi Ramadhan tanpa perlu menggunakan alasan berpuasa untuk lari daripada melaksanakan tanggungjawab mempertahankan dan meninggikan syiar Islam.

Saya harap setiap staf dan pelajar UniMAP tidak menjadikan alasan tidak dapat makan dan minum di siang hari untuk kurang melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberikan. Dalam pada itu, jangan lupa bahawa Allah SWT lah yang memberi rezeki kepada kita semua, sebagaimana firman Nya: 

“Sesungguhnya Allah Dialah saja yang memberi rezeki kepada sekalian makhluk- Nya dan Dialah saja yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga lagi Yang Maha Kuat Kukuh Kekuasaan-Nya.” 


 
Kesimpulannya, pada bulan Ramadhan kita perlu meningkatkan kerja serta amalan kerohanian demi mengejar pahala yang berlipatganda yang dijanjikan Allah S.W.T.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada UniMAP Holding dan semua jawatankuasa dalam memastikan kejayaan dan kelancaran The 4th International Malaysia-Ireland Joint Symposium on Engineering, Science and Business (IMiEJS) 2014 yang berlangsung pada 25 dan 26 Jun 2014 di Hydro Hotel, Pulau Pinang.  Semoga Allah membalas jasa baik anda semua.

Saya difahamkan, IMiEJS 2014 disertai lebih 20 buah negara antaranya tuan rumah, Malaysia, Ireland, Indonesia, England, Thailand, Filipina, Mexico dan lain-lain lagi, serta sebanyak 100 kertas kerja akan dibentangkan dan 23 poster dipertandingkan pada IMiEJS 2014 kali ini. Majlis perasmianya disempurnakan Duta besar Ireland ke Malaysia iaitu H.E Declan Keelly.

 

Sebelum mengakhiri coretan pada kali ini, ingin saya kongsikan mengenai kejayaan yang berjaya kita raih  di Mumbai,  India baru-baru ini.  UniMAP telah meraih anugerah “Award for Outstanding Contribution to Education”.  Anugerah tersebut dianugerahkan oleh  World Chancellors and Vice Chancellors Congress and Award. Ini menunjukkan, sumbangan kita dalam bidang akademik diiktiraf dunia. Syabas dan Tahniah kepada semua warga UniMAP. Rasanya cukuplah coretan saya untuk bulan ini, InsyaAllah, bertemu lagi di bulan hadapan, Salam Ramadhan, sekian.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh

Busan, 26 Julai 2013 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menjadi tuan rumah Asia Summer Program (ASP) 2014 selepas majlis penyerahan bendera ASP pada majlis Penutup ASP 2013 yang diadakan di Dongseo University (DSU), di sini, baru-baru ini.

Penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Presiden DSU, Prof. Dr. Jekuk Chang kepada Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin.

 Datuk Kamarudin dalam ucapannya berjanji bahawa UniMAP akan melaksanakan ASP2014 dengan sebaik mungkin.

 “Tahun hadapan UniMAP akan menjadi hos kepada ASP dan kami akan menganjurkan ASP setanding dengan penganjurannya sebelum ini bagi meneruskan tradisi yang sedia ada.

Malah ianya menjadi satu cabaran yang besar buat UniMAP kerana kedua-dua universiti yang pernah melaksanakan ASP iaitu Universitas Petra Kristen (PCU­) Indonesia dan DSU telah meletakkan satu penanda aras yang tinggi bagi kualiti penganjurannya,” katanya.

Beliau juga berharap agar semua peserta dapat menjadi duta kecil yang meuar-uarkan kepada universiti masing-masing mengenai kelebihan menyertai dan maklumat penganjuran ASP seterusnya yang akan dilaksanakan di UniMAP pertengahan tahun hadapan.

Selain itu, beliau juga inginkan kerjasama yang terhasil melalui ASP tidak terhenti setakat ini tetapi diteruskan melalui kolaborasi dalam bidang lain.

 

“Saya berharap agar kerjasama ini boleh dilaksanakan dalam bidang lain terutamanya akademik, penyelidikan, pembangunan pelajar dan staf.

ASP telah membuktikan bahawa bahawa kita boleh bekerjasama demi mencapai manfaat bagi institusi yang kita naungi,” katanya.

Menurut Datuk Kamarudin lagi, ASP juga membantu peserta untuk lebih memahami diri sendiri selain membentuk mereka sebagai pemimpin dan juga cara melaksanakan tugasan secara kumpulan.

“ASP sebenarnya memberi pendedahan kepada pelajar cara berkomunikasi dan bekerjasama, berfikir secara kreatif dan kritis dan seterusnya membentuk pelajar yang berminda global,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Presiden Petra Christian University, Dr. Hanny Hosiana Tumbelaka; dan Timbalan Presiden Naresuan University, Dr. Sukkid Yasothornsrikul.

Sementara itu, bagi Pengarah Program ASP UniMAP, Shafiq Hizwari Md. Hashim berkata program ini sangat bermanfaat dan memberi impak yang besar kepada pelajar kerana ASP mempunyai keunikannya tersendiri berbanding program musim panas yang lain.

“ASP adalah sebuah program yang memberi pendedahan di mana pelajar perlu melaksanakan pelbagai tugasan yang mencabar mental dan fizikal mereka, malah penyertaan tersebut telah melayakkan pemindahan kredit bagi subjek komunikasi teknikal.

Peserta yang terpilih juga terpaksa melalui beberapa tapisan yang ketat bagi menjaga kualiti program tersebut sebelum melayakkan mereka untuk menyertainya,” katanya.

Shafiq juga mensasarkan bahawa akan ada lebih banyak penyertaan yang bakal diterima pada ASP2014 di UniMAP sekaligus memecahkan rekod 27 universiti yang menyertai ASP di DSU kali ini.

ASP pertama kali dianjurkan pada tahun 2012 di PCU dengan hanya lima universiti yang terlibat dan angka tersebut meningkat kepada 27 universiti pada tahun ini dengan penyertaan seramai 340 peserta dan 30 tenaga pengajar.

Turut mengadakan persembahan adalah peserta ASP UniMAP yang mempersembahkan tarian Canggung, Joget Malaysia dan Malaysia Truly Asia.


Busan, 25 Julai 2013 – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin melapangkan masa bagi beramah mesra dengan 21 pelajar yang menyertai Asia Summer Program (ASP) pada satu majlis makan malam tidak formal yang berlangsung di restoran makanan Korea, di sini, malam tadi.

Pertemuan tersebut adalah bagi memberikan sokongan moral kepada semua pelajar UniMAP yang akan membuat persembahan penutup pada majlis perasmian penutup ASP di Dongseo University (DSU) tengah hari nanti.

Menurut Datuk Kamarudin, mereka akan membuat persembahan penutup selepas penyerahan bendera ASP oleh DSU kepada UniMAP yang bakal menjadi tuan rumah ASP 2014 pada pertengahan tahun hadapan.

“Selain itu, pertemuan ini juga adalah bagi mendapatkan maklum balas dan pendapat pelajar mengenai ASP kedua yang sedang berlangsung selama tiga minggu dan bakal berakhir hari ini.

Ini juga adalah untuk memastikan bahawa ASP ketiga anjuran UniMAP nanti adalah yang terbaik dan mempunyai kesenambungan dengan aktiviti ASP anjuran DSU,” katanya.

ASP2013 yang bermula 8 hingga 27 Julai 2013 lalu telah disertai seramai 340 peserta dan 30 tenaga pengajar dari 27 buah universiti adalah program kali kedua selepas pertama kali dianjurkan pada tahun lepas di Universitas Petra Kristen (PCU­) Indonesia.

Program ini hasil kerjasama pengasas lima buah universiti dari lima buah negara Asia iaitu UniMAP, Malaysia; Dongseo University, Korea;  Petra Christian University, Indonesia; Bangkok University, Thailand dan Josai International University, Jepun.

Bagi Sekretariat ASP, Shafiq Hizwari Md Hashim menyifatkan ASP adalah satu program bagi membina seorang insan yang lebih baik.

“ASP sebenarnya membina identiti seorang insan dan komen positif yang diterima daripada para pelajar ini perlu diambil perhatian agar standard penganjuran UniMAP adalah lebih meningkat dan menjadi penganjuran yang berprestij.

Menurut pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PKK) Komputer dan Perhubungan, Dhurga Vilashiny D/O Nalina Segrem, program ini telahpun memberi peluang kepadanya untuk lebih mengenali budaya dan cara hidup masyarakat luar.

“Program ini adalah program yang sangat bagus dan saya telahpun memahami budaya masyarakat lain, malah layanan yang diterima telah membuatkan kami terasa seperti di tanah air sendiri,” katanya.

Bagi pelajar tahun dua Kejuruteraan Elektronik Industri, Nur Atika Abu Bakar, ASP telah memberikan pengalaman yang terbaik buat dirinya dan melalui program ini beliau telah mendapat ramai kawan dari pelbagai negara.

“Selain itu, program ASP ini juga telah memberi kelebihan bilamana saya telahpun berupaya bertutur dalam bahasa Korea dengan betul,” katanya.

Pada majlis yang sama turut diadakan persembahan ‘Gwiyomi’ dan persembahan menggunakan cawan oleh peserta ASP2013.

Pusat Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti (PUSPEK) telah berjaya mengadakan Bengkel Malim Skorkad Berimbang 2013 pada 1 hingga 6 Julai 2013 bertempat di Kem Bina Negara Langkawi. Kursus ini dihadiri oleh pensyarah dan pentadbir UniMAP serta pensyarah/pentadbir yang menyandang jawatan sebagai Penyelaras Jaringan Industri dan Pengurusan Strategi dan Kualiti (JIPK), Pengerusi Sistem Pengurusan Strategi dan Kualiti (SPSK) dan Setiausaha CAPs. Bengkel Malim Skorkad Berimbang 2013 ini merupakan program professional kali kedua yang dianjurkan oleh PUSPEK untuk warga UniMAP. Bengkel yang sama pernah diadakan pada tahun 2008 bertempat di Pulau Pangkor, Perak. Penceramah bengkel terdiri daripada Prof. Madya Abdul Aziz Mahmuddin dan En Maskor Bajuri dari PUSPEK, serta Prof. Dr. Harshita Aini Haroon dari Pusat Bahasa Antarabangsa.

Kandungan bengkel meliputi Basic Performance Management Tools, Introduction to Strategy and Strategic Management Process, Environmental Scanning and Determining Stakeholders, Strategic Themes and Results, Strategic Objectives, Strategy Map, Strategic Measures and Targets, Strategic Initiatives dan Strategic Implementation and Implementation Review.

Bengkel ini bertujuan:

a)      untuk membantu peserta memahami dengan lebih jelas, asas, falsafah dan pelaksanaan perancangan strategi.

b)      untuk membangunkan dan mengukuhkan kemahiran dalam teknik/kaedah pembentukan pengukuran kerangka Skorkad Berimbang.

c)       untuk mengembangkan kemahiran berkaitan teori dan aplikasi Kerangka Skorkad Berimbang.

d)      untuk mengembangkan kemahiran menjalankan dan melaksanakan Kerangka Skorkad Berimbang.

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Zul Azhar Bin Zahid Jamal, Timbalan Naib Canselor UniMAP (Akademik dan Antarabangsa) telah sudi menghadirkan diri mewakili YBhg. Brigedier Jeneral Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin, Naib Canselor UniMAP untuk menyampaikan amanat kepada peserta bengkel dan seterusnya merasmikan Bengkel Malim Skorkad Berimbang 2013. Kehadiran beliau menyuntik semangat peserta sekali gus sebagai tanda komitmen yang tinggi daripada pengurusan tertinggi UniMAP terhadap pengurusan strategi, khususnya di UniMAP.

                       

KANGAR 23 Julai - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau perkembangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di kampus induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra dekat sini, kelmarin.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP, disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan pegawai kanan UniMAP.

Dalam lawatan itu, baginda mendengar taklimat mengenai perkembangan dan kejayaan terkini UniMAP daripada Kamarudin disusuli taklimat oleh Pemangku Ketua Pustakawan UniMAP, Mazmin Mat Akhir mengenai perpustakaan berkonsepkan 'hybrid' tersebut.

Baginda kemudiannya di bawa melawat ke keseluruhan bangunan perpustakaan dambil diberikan penerangan ringkas oleh setiap unit sebelum menyempurnakan pelancaran Koleksi Seminar Institusi Raja (SIRaj) yang dianjurkan oleh UniMAP di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam lawatan tersebut juga, baginda turut bercemar duli melawat konti stesen radio UniMAP.fm yang ditempatkan di bangunan perpustakaan itu.

Mengakhiri lawatan, baginda turut melawat galeri UniMAP sebelum meninjau litar Go-Kart UniMAP yang baharu siap dibina dan mendapat pengiktirafan.

21 Julai 2013

HATYAI: Kampung Ban Nua, yang terletak di wilayah selatan Thailand, di sini telah dilantik sebagai kampung angkat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sempena Program Liqa’ Mawaddah anjuran Pusat Bahasa Antarabangsa  (CIL) UniMAP, semalam.

Naib Canselor UniMAP, Briged. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, tujuan UniMAP mengambil Kampung Ban Nua sebagai kampung angkat adalah bagi membantu masyarakat Islam di situ dalam meningkatkan taraf pendidikan di kawasan terbabit.

“Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) UniMAP kepada masyarakat bukan sahaja dalam bidang pendidikan, malahan dalam bidang kerohanian,kebajikan dan lain-lain lagi.

“Kampung ini diletakkan di bawah lima jabatan iaitu, Pejabat Naib Canselor, Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Pusat Islam, CIL dan Majlis Perwakilan Pelajar bagi membantu masyarakat di sini mengikut keperluan yang akan dilihat nanti,”katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di Masjid Ban Nua, di sini.

Turut bercemar duli berangkat hadir, Canselor UniMAP, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan  Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Jeneral Konsulat Malaysia di Songkhla, Mohd Faizal Razali, Ketua Polis Perlis, Dato’ Zull Aznam Haron dan Imam Masjid Ban Nua, Wisoot Lateh.

Terdahulu, seramai 30 mahasiswa dari UniMAP dan Raja Manggala Universiti of Technology Srivijaya melakukan kerja-kerja amal seperti gotong royong dan mengajar kanak-kanak di kampung terbabit.

Pada majlis itu juga, Majlis Agama Islamdan Adat Istiadat MelayuPerlis dan UniMAP turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada Imam Masjid Ban Nua.

Pengarah Program, Shafiq Hizwari Md Hashim berkata, program tersebut bakal menjadi aktiviti tahunan CIL pada masa akan datang.

“Saya berasa amat kagum dengan semangat bermuafakat yang ditunjukkan masyarakat di sini walaupun hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan kita akan sedaya upaya berusaha bagi membantu masyarakat di sini dalam perkara-perkara yang difikirkan perlu nanti,”katanya ketika ditemui semalam.

 

 

 

Kangar, 19 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersedia menawarkan tempat kepada pelajar yang gagal melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dipilih, melalui satu program khas 'UniMAP DiHatiku” yang akan diadakan di seluruh negara mulai minggu hadapan dengan Terengganu sebagai destinasi pertama program.

Naib Canselornya, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, menerusi program itu yang akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bukit Puteri, Besut, universiti berkenaan akan menawarkan hampir 100 tempat kepada pelajar yang memenuhi syarat minimum kemasukan.

UniMAP memperuntukkan sekitar 40% kemasukan dari keseluruhan kemasukan bagi sesi 2013/2014 ini menerusi program UniMAP Di Hatiku ini yang disasarkan kepada pelajar yang gagal mendapat tempat ke IPTA untuk kemasukan September ini.

“Selain itu kita juga akan turut memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang telah memohon ke IPTA tetapi gagal mendapat tempat di mana-mana universiti untuk proses rayuan kemasukan ke UniMAP,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini..

Kamarudin berkata program itu juga selaras dengan hasrat kerajaan yang menggalakkan  IPTA menjelajah ke setiap pelusuk termasuk di luar bandar bagi membantu anak-anak bangsa supaya tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata program itu juga adalah untuk menyampaikan aspirasi kerajaan bagi memberi peluang kedua kepada pelajar dan membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian.

“Kerajaan sedar peluang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi semakin sengit dan atas beberapa faktor menyebabkan pelajar yang tinggal di luar bandar tercicir.

"Dengan adanya program ini, mereka berpeluang meneruskan pengajian di UniMAP dan memilih bidang pengajian yang sesuai di peringkat diploma dan seterusnya ke peringkat ijazah," katanya.

Ujar beliau lagi, pelajar yang berminat boleh hadir ke SMK Seri Bukit Keteri dengan membawa semua sijil-sijil berkaitan.

“Surat tawaran kemasukan akan terus diberikan pada 22 Julai ini oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, bersempena dengan program UniMAP Di Hatiku itu juga, UniMAP akan menganjurkan Bengkel Robotik yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah sekitar Besut untuk mempelajari teknik dan kaedah penghasilan robot dengan bantuan kepakaran yang dimiliki oleh pensyarah UniMAP.

Menurut beliau melalui pendedahan sebegini ia merupakan salah satu platform bagi anak-anak pelajar mengasah bakat dan kreativiti dalam teknologi selain memahami sistem elektrik, elektronik dan mekanikal terutamanya melibatkan mekatronik serta robotik.

“Saya percaya Kem ini mampu memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada para pelajar mengenai ilmu pengetahuan dalam bidang robotik secara ‘hands-on’ di samping memupuk minat mereka ke arah bidang tersebut.

“Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Md. Diah turut dijangka hadir bagi menyempurnakan perasmian bengkel tersebut pada 21 Julai ini,” ujarnya lagi.

 

Beberapa projek pelajar-pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Mikroelektronik telah mencatat kejayaan membanggakan di peringkat kebangsaan baru-baru ini, sekaligus menaikkan nama UniMAP

Pelajar tahun akhir program Elektronik, Leong Ming Pei (gambar) telah dipilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Inovasi (Innovation Award) oleh IEEE Circuits and Systems (CAS) pada tahun ini. Projek pelajar yang bertajuk “Image Encryption using FPGA” yang diselia oleh pensyarah PPK Mikroelektronik, Puan Siti Zarina binti Md Naziri, telah dipilih berdasarkan laporan projek yang menzahirkan inovasi dalam bentuk teori serta aplikasi bagi litar dan sistem. Pelajar tersebut telah menerima sijil dan honorarium bernilai RM200 dan disampaikan dalam satu majlis IEEE CAS Hi-Tea pada 29 Jun 2013 bertempat di Residence Hotel, UNITEN.

Leong Ming Pei (kanan) menerima anugerah daripada pihak IEEE CAS Malaysia

Sementara itu, dua pasukan PPK Mikroelektronik telah memenangi anugerah dalam acara pertandingan ‘Innovate Malaysia Design Competition 2013 Grand Finale’,  yang telah diadakan di Hotel Equatorial, Pulau Pinang pada 4 Julai 2013. Pertandingan ini telah dianjurkan oleh gabungan beberapa syarikat industri multinasional terkemuka seperti Agillent, Altera, Intel, National Instruments, dan Silterra. Pertandingan ini dibahagikan kepada lima laluan utama berdasarkan teknologi syarikat-syarikat tersebut.

Pertandingan berprestij ini telah bermula sejak daripada bulan November 2012 dengan jumlah 365 pasukan peserta yang berjaya melalui peringkat saringan. Para peserta telah diberi dua sesi latihan teknikal dan satu sesi latihan “softskill” untuk menjayakan projek masing-masing. Kumpulan-kumpulan ini telah disenarai-pendekkan lagi kepada 25 pasukan bagi pertandingan akhir, di mana terdapat 5 pasukan peserta pada setiap laluan.

Tan Chiang Li, pelajar program kejuruteraan Mikroelektronik, telah merangkul tempat ketiga bagi laluan Altera dengan projek bertajuk “FPGA Based GSM Anti Cable Theft Alarm System For Copper Cable Using 555 Timer”, yang diselia bersama oleh En. Mohd Natashah bin Norizan dan Cik Ili Salwani bt  Mohamad.

Tan Chiang Li (3 dari kanan) bersama penyelia merakamkan saat kemenangan

Sementara itu, satu pasukan lagi telah mendapat hadiah saguhati bagi laluan Silterra, dengan projek bertajuk “An Analysis of Fast CMOS Design Methods”. Pasukan ini terdiri dari Mohd Ridzuan bin Muda serta Mohamad Faris bin Mohamad Fathil, kedua-duanya dari program kejuruteraan Elektronik, dan diselia oleh Puan Norina bt Idris.

Mohd Ridzuan (4 dari kanan) dan Mohamad Faris (3 dari kanan) bersama cek  kemenangan

 

 

KANGAR 18 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan Projek U-SIKAL menggunakan teknologi 'Radio Frequency Identification' (RFID) dalam usaha merealisasikan hasrat UniMAP untuk menjadikan kampus tetapnya sebagai kampus hijau.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, projek tersebut dihasilkan selepas beberapa siri perbincangan yang diadakan untuk menyediakan satu sistem pengangkutan yang efektif tetapi mesra alam bagi kegunaan warga UniMAP.

Menurut beliau, lebih menarik lagi, Projek U–SIKAL akan menggunakan konsep teknologi dimana basikal yang berkunci dan diletakkan di parking bay yang ditetapkan hanya boleh dibuka dengan menggunakan kad RFID.

Jelas beliau, ianya boleh digunakan serta merta selepas kad RFID menyentuh tempat sesentuh yang disediakan dan kadar sewaan yang kita kenakan adalah sangat minimum iaitu 20 sen bagi 10 minit selepas 20 minit pertama.

"Ini bermakna bagi penggunaan 20 minit pertama, ianya adalah percuma dan selepas itu barulah dikenakan caj yang telah ditetapkan yang saya kira adalah sangat berpatutan.

"Saya merasakan ini adalah satu insiatif yang sangat bagus dan akan mula dilaksanakan secara serentak dengan hari kemasukan pelajar baru Ijazah UniMAP yang dijangkakan pada awal September 2013 nanti," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ihtifal Ihya' Ramadhan dan pelancaran Projek U-SIKAL di Dewan 2020 di sini.

Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Binti Tengku Abdul Rashid, berkenan berangkat hadir ke majlis tersebut sekaligus berkenan menyempurnakan pelancaran projek.

Turut berkenan berangkat hadir, DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah.

Dr. Kamarudin seterusnya menjelaskan, menerusi projek ini, basikal akan digunakan sebagai pengangkutan utama pelajar dan pensyarah di Kampus Tetap UniMAP, yang mana terdapat lima stesen basikal di lima lokasi tumpuan pelajar iaitu perpustakaan, boulevard, terminal bas, kompleks dewan kuliah dan hostel pelajar.

"Stesen basikal utama terletak di terminal bas dan menempatkan 40 unit basikal dan juga bengkel penyelenggaraan basikal. Manakala baki stesen basikal menempatkan 20 unit bagi setiap tempat. Ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan 120 unit basikal yang akan beroperasi bagi peringkat awal Projek U–SIKAL.

"Sebagai permulaan kita hanya berfokuskan kepada kampus induk kita di Pauh Putra dan akan diluaskan penggunaannya di lokasi kampus UniMAP lain yang bersesuaian," ujar beliau.

Pada majlis yang sama, UniMAP turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada pelajar-pelajar sekolah dan anak-anak yatim di Perlis.

17 Julai 2013

ARAU: Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT),  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah dilantik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membangunkan sistem maklumat sukannya.

Pengarah  Pusat ICT UniMAP, Nasrudin Abd Shukor berkata, pihaknya telah menerima peruntukan sebanyak setengah juta ringgit bagi tujuan pembangunan, konsultasi, kos perkakasan Komputer dan lain-lain lagi.

“Sistem Maklumat Sukan, KPM ini dijangka akan digunakan pada Februari 2014 dan ianya boleh diakses melalui pautan www.mohe.gov.my/sportjournal

 

17 Julai 2013

PUTRAJAYA: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan JBP Asia Pacific Sdn Bhd akan mengadakan kerjasama bagi menjalankan Projek Perintis Pengeluaran Mangga Harumanis Sepanjang Tahun secara Komersil di UniMAP.

Projek tersebut akan melibatkan kawasan berkeluasan 35 ekar di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT), Kampus Sungai Chuchuh,  UniMAP.

Naib Canselor UniMAP, Briged. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kerjasama itu akan membolehkan pengeluaran Harumanis dapat ditingkatkan secara besar-besaran sepanjang tahun.

“Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah memilih syarikat ini untuk bekerjasama dan  kita yakin, dengan kerjasama ini akan membolehkan Harumanis dipasarkan ke seluruh dunia suatu hari nanti,”katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara NCIA, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini baru-baru ini.

Majlis itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Besar Perlis, Azlan Man; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Perjanjian itu menyaksikan pelaburan berjumlah RM1.96 bilion hasil daripada kerjasamanya dengan sektor swasta dalam empat projek di setiap satu daripada empat negeri di bawah bidang NCIA.

Empat projek baharu tersebut melibatkan pembinaan pusat beli-belah dan hotel empat bintang di Taiping, Perak selain pembangunan resort mewah di Pulau Langkawi, Kedah, pembangunan rumah hijau untuk projek pertanian di Perlis selain pembinaan kilang pembuatan, UWC Industrial Sdn. Bhd. di Pulau Pinang.

KANGAR, 16 Julai (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menganjurkan Asian University Presidents Forum (AUPF) 2013 yang dijangka menghimpunkan pemimpin tertinggi lebih 100 universiti di Asia pada Oktober ini.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata forum bertemakan 'Leadership In The Transformation of Asia: Opportunities and Challenges' itu dijadualkan berlangsung selama empat hari di Perlis dan Pulau Langkawi bermula 6 Okt.

Bercakap kepada Bernama di sini Selasa, beliau berkata UniMAP yakin akan menjadi penganjur terbaik forum terbesar itu yang secara tidak langsung akan terus menyerlahkan nama UniMAP di mata dunia.

Ini adalah kali pertama forum itu diadakan di Malaysia sejak diperkenalkan 11 tahun lepas di Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS), China.

Kamarudin berkata pemilihan UniMAP sebagai tuan rumah itu bukan sekadar satu penghormatan tetapi turut menggambarkan keyakinan universiti-universiti di Asia terhadap UniMAP.

Berhubung lawatan kerjanya ke Qatar minggu lalu, beliau berkata UniMAP telah mengadakan perbincangan dengan beberapa institusi pengajian tinggi negara itu bagi mengukuhkan rangkaian antarabangsanya.

Katanya institusi pengajian tinggi di Qatar juga diundang menghadiri AUPF selain mengadakan perbincangan berkaitan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan termasuk pertukaran pelajar dan tenaga kerja.

RIYADH, 2 Julai (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Benevolent Fund for Outstanding Student (BFOS) menjalin kerjasama untuk penajaan 79 pelajar Yemen melanjutkan pengajian mereka dalam bidang kejuruteraan di universiti itu.

Dekan Pusat Kejuruteraan dan Inovasi UniMAP Prof Madya Che Mohd Ruzaidi Ghazali berkata para pelajar itu akan mengikuti kursus intensif bahasa Inggeris (IEF) selama enam bulan di UniMAP sebelum meneruskan pengajian mereka di peringkat ijazah.

BFOS, yang merupakan pembekal dana untuk pelajar cemerlang di Yemen, akan memantau perkembangan penuntut tajaan mereka bagi memastikan kesemuanya berjaya dalam pengajian, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili UniMAP menandatangani perjanjian kerjasama itu di sini, malam tadi, manakala

BFOS, badan yang diasaskan pada 1989 itu diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya Dr Omar Abdullah Bamahsoon.

Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Majlis sempena program lawatan kerja dua hari Raja Muda Perlis ke Riyadh itu diadakan di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Prof Datuk Syed Omar Al Sagaff.

 

Info Tab Bawah-BM