Gerbang Info Pengguna

  • Salam Aidilfitri
  • SUTERA 2019
  • UniMAP-AMCT2019
  • 2019 Kempen Bebas Rokok
  • silk2019
  • Urock 2019
  • Pembelian Buku-Buku UniMAP di Market Place
Previous Next

Berita Terkini

Khidmat Masyarakat Ramadan UniMAP Santuni Warga HTF

Khidmat Masyarakat Ramadan UniMAP Santuni Warga HTF

KANGAR – Muram dengan riak sedih yang terpamer di wajah sebahagian penghuni wad pembedahan di…

Baca..

Pensyarah UniMAP Dilantik Penyelidik Kunjungan Di Universiti Sweden

Pensyarah UniMAP Dilantik Penyelidik Kunjungan Di Universiti Sweden

ARAU – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Wooi Chin…

Baca..

Khidmat Masyarakat : UniMAP – PSU Santuni Masyarakat Songkla – Hatyai

Khidmat Masyarakat : UniMAP – PSU Santuni Masyarakat Songkla – Hatyai

ARAU – Atas rasa keprihatinan yang tinggi untuk membantu masyarakat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui…

Baca..

Program Diploma Kejuruteraan UniMAP Mendapat Pensijilan Penuh MQA

Program Diploma Kejuruteraan UniMAP Mendapat Pensijilan Penuh MQA

ARAU – Semua enam program pengajian diploma kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah lulus dan…

Baca..

UniMAP Pilihan Utama

UniMAP Pilihan Utama

ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) nyata menjadi pilihan utama apabila dipilih sebagai lokasi Seminar…

Baca..

UniMAP Prihatin Anak-Anak Staf Meninggal Sempena Festival Nasyid 2019

UniMAP Prihatin Anak-Anak Staf Meninggal Sempena Festival Nasyid 2019

Pauh Putra, 28 Mei- Dalam kegembiraan umat Islam membuat persiapan menyambut lebaran yang akan tiba…

Baca..

UniMAP Beri Kebebasan Bersuara Kepada Pelajar

UniMAP Beri Kebebasan Bersuara Kepada Pelajar

PAUH PUTRA, 26 Mei- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberikan kebebasan kepada semua pelajar dalam memberikan…

Baca..

Produk Eco Geopipe Raih Emas di EUROINVENT di Romania

Produk Eco Geopipe Raih Emas di EUROINVENT di Romania

Kangar, 19 Mei - Penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis…

Baca..

Prof. Dr. R. Badlishah Dilantik Naib Canselor UniMAP

Prof. Dr. R. Badlishah Dilantik Naib Canselor UniMAP

Kangar - Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Ir. Ts. Dr.…

Baca..


ARAU, 6 Mei – Tiga pelajar dari sekolah menengah di negeri ini bakal tersenarai dalam 10 terbaik dunia bagi ranking hafalan Square-Root 2 ( ) setelah berjaya melakukan hafalan terbanyak pada Pi Memorization Competition Perlis 2019 atau Pertandingan Menghafal Pi Perlis 2019 di sini, baru-baru ini. 

Pelajar tersebut Ija Husna Ruslan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin dinobatkan sebagai pemenang terbaik keseluruhan kategori Square-Root 2 ( ) sekaligus menduduki tempat kelima dunia selepas berjaya menghafal 2,502 digit.

Tempat kedua pula dimiliki oleh Nurzal Effiyana Mohd Rahidi dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP) dengan hafalan 1,040 digit.
Manakala pelajar dari SMK Perlis, Vincent Chong Qi Zhi pula menduduki tempat ketiga selepas berjaya menghafal 898 digit.

Mereka masing-masing membawa pulang RM 300.00, RM 200.00, RM 100.00 beserta trofi, hamper dan sijil penyertaan.
Menurut Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dr. Rezuwan Kamaruddin, bagi penganjuran kali kedua ini seramai 743 peserta dari 38 buah sekolah di Perlis telah menyertai pertandingan ini yang terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri Perlis.

“Ini menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan kerana pada penganjuran pertama tahun lepas hanya seramai 361 peserta dari 19 buah sekolah menengah di negeri Perlis yang menyertai program ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Penyampaian Hadiah pertandingan tersebut.

Tambahnya, menghafal digit Pi mungkin sesuatu yang asing di Perlis dan Malaysia amnya kerana masyarakat telah memberikan pelbagai persepsi mengenai menghafal digit Pi ini.
“Namun hasilnya, kini seramai 328 rakyat Malaysia telah tersenarai dalam Pi World Ranking List dengan dengan 323 darinya adalah pelajar sekolah Perlis.
“Malah, program tahun 2018 juga mencatatkan hafalan tertinggi oleh pelajar dari SMK Tuanku Lailatul Shahreen (Seha Jin Hong) dengan hafalan sebanyak 753 digit Pi dalam tempoh 10 minit,” katanya.
Selain kategori Square-Root 2 ( ), terdapat lagi tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Pi Memorization Competition; Exponent-e Memorization Competition; dan 100 digits Pi Challenge.

Bagi kategori Pi Memorization Competition dimenangi oleh Auni Humayraa Aswazir dari Sekolah Kebangsaan (SK) Oran dengan digit hafazal sebanyak 543 sekaligus melayakkan beliau dinobatkan dalam Pi Rekod Malaysia bawah 12 tahun.

Manakala Exponent-e Memorization Competition dimenangi pelajar tingkat empat dari SMK Tuanku Lailatul Shahreen iaitu Teoh Kar Keat dengan hafalan 1002 digit seterusnya menduduki tempat ke 13 tertinggi dunia dalam Exponent-World Ranking List.

Kategori 100 digits Pi Challenge pula dimenangi oleh Chuah Bee Tian dari SMK Derma yang berjaya menjawab soalan sehingga Tahap 6 dari Tahap 7.
Berkenan berangkat hadir pada majlis tersebut adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP.
Turut berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pro Canselor UniMAP.

Kangar, 6 Mei - Pegawai Kebudayaan Kanan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Mohd. Zul Fauzi Mohamed Sawal, mencuri tumpuan dengan muncul juara kategori “Mens Graded” pada Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-40 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes.

Mohd. Zul Fauzi yang merupakan atlit boling UniMAP menumpaskan lebih 500 peserta dari seluruh dunia dengan 1679 jatuhan pin sekaligus mengatasi Muhammad Azri Azni di tempat kedua dengan 1611 jatuhan pin dan Mat Salleh Jalani di tempat ketiga dengan 1606 jatuhan pin.

“Ini merupakan kejayaan yang cukup bermakna buat saya selepas beberapa siri kejohanan yang tidak memberansangkan. Semoga dengan kejayaan ini akan membuka lebih banyak peluang dan kejayaan buat saya.

“Dalam permainan yang sepenuhnya bergantung kepada kemampuan mengurangkan kesalahan memang agak membebankan apatah lagi ia turut disertai oleh pemain-pemain dari luar negara, namun konsistensi yang dicapai akhirnya membuahkan hasil,” ujarnya.

Hasil kemenangan, Mohd. Zul Fauzi menerima hadiah wang tunai RM15,000 dan trofi. Selain Mohd. Zul Fauzi, seorang lagi staf UniMAP, Nurakmal Ramli yang turut menyertai kategori sama dan berjaya menduduki tempat ke-33.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kejohanan tersebut secara tidak langsung merupakan platform pemanas badan buat kedua-dua pemain tersebut yang bakal mewakilil UniMAP ke Kejohanan Sukan Badan Berkanun yang dijadualkan berlangsung di Shah Alam Julai ini.

“Mohd. Zul Fauzi dan Nurakmal kedua-duanya merupakan antara pemain harapan UniMAP untuk mengekalkan pingat emas yang telah diraih dalam kejohanan edisi sebelum ini,”ujar beliau.

 

KANGAR 7 Mei - Seramai 500 pengunjung surau Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang sebahagian besarnya dari kalangan pelajar universiti ini bertuah kerana menerima pek tajaan moreh daripada Mc Donald's Malaysia selepas seleai menunaikan solat terawih di sini, semalam.

Ketua McDonald’s Kangar, Mohd. Khairul Azwan Mastudi berkata, sumbangan 500 pek moreh berupa burger McChicken, Pai Epal dan minuman kordial oren itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Mc Donald’s dalam mewujudkan hubungan erat dengan penuntut universiti khasnya.

Selain itu, ujarnya, program tersebut juga membolehkan ahli jemaah surau terutamanya dalam kalangan yang kurang berkemampuan untuk menikmati hidangan istimewa yang disediakan restoran makanan segera itu dan akan diteruskan di UniMAP pada 14 dan 21 Mei ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, McDonald’s Malaysia merupakan antara syarikat yang sentiasa memberikan penajaan dalam menyokong aktiviti-aktiviti di UniMAP termasuk aktiviti inovasi dan robotik.

Ujar beliau, selain penajaan moreh di bulan Ramadan, UniMAP juga telah menerima persetujuan penajaan dari pengendali restoran makanan segera itu dalam penganjuran University Robot Competition (URoCK) yang dijadualkan berlangsung pada bulan September ini.

“Dalam pertandingan itu kelak yang melibatkan peserta dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara, terdapat satu kategori yang dipertandingkan memerlukan peserta menghasilkan robot berbentuk drone yang dapat mengendalikan proses penghantaran sajian McDonald’s.

“Pastinya sesuatu yang menarik apabila revolusi teknologi penghantaran makanan ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada pengendali restoran makanan segera itu dan kita berharap ianya mampu direalisasikan dalam era revolusi industri 4.0 ini,” ujarnya lagi.

KANGAR, 6 Mei- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangkul kejayaan 100 peratus dengan jumlah kutipan 10 emas dan 10 perak pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX), baru-baru ini.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kejayaan yang diraih UniMAP pada awal tahun bakal menjadi pembakar semangat untuk penyelidik menghasilkan produk yang lebih berimpak.

“Pada tahun ini, kita telah mengenalpasti lebih banyak produk yang berpotensi untuk dipertandingkan, berbanding tahun lalu kita hanya menghantar 16 produk,”katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Antara produk penyelidikan UniMAP yang meraih pingat emas adalah Portable Biomass Gasification For Electricity Generation produk Ir. Dr. Mohamad Shaiful Ashrul Ishak, Smart Online Partial Discharge Monitoring System For High Voltage Distribution Line (Dr Mohamad Nur Khairul Hafizi Rohani), Amicatile (Dr. Liew Yun Ming); UDEM:Ultimate Dengue Fever Eradication Membrane Using Herbal Technology (Dr. Ragunathan Santiagoo); Motorsikal Seri Perlis (Prof. Madya Dr. Shahriman Abu Bakar); High Strength PB-Free Composite Interconnects For Next Generation Electric Vehicle Power Modules (Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh).

Empat lagi produk yang meraih emas adalah ESL Food Poisoning Rapid Detector (Prof. Dr. Uda Hashim), Magnetite- Hydroxyapatite Nanoparticles Functionalized With Catechin For Cancer Treatment (Prof. Madya Dr. Midhat Nabil Ahmad Salimi); In-House Fabricated Non-Invasive Cervical Cancer Detection Nano Lab- On-Chip (Dr. Nor Azizah Parmin) dan Smart Pharmaceutical Temperature Monitoring System VDSM 1.2 (Siti Khodijah Mazalan).

Lebih manis lagi, empat produk turut mendapat anugerah khas dari dalam dan luar negara iaitu Smart Online Partial Discharge Monitoring System For High Voltage Distribution Line meraih anugerah Highly Innovative Unique Foundation dari Arab Saudi, High Strength PB-Free Composite Interconnects For Next Generation Electric Vehicle Power Modules dan Visible Light Communication Based On Dual Diffuser Modulation (DDM) For Intelligent Transportation Application (Indonesian Invention And Innovation Promotion Assosiation (INNOPA) serta In-House Fabricated Non-Invasive Cervical Cancer Detection Nano Lab- On-Chip (Best Invention For Woman).

ITEX 2019 anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) mengumpulkan lebih 1,000 rekacipta dari 20 buah negara yang dipertandingkan untuk 15 kategori.

 

Pauh Putra, 13 Mei -  Saban tahun Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Program Iftar Kubra bagi berkongsi juadah berbuka puasa dan sumbangan dengan masyarakat sekitar negeri. 
 
Namun, dalam kesibukan mahasiswa UniMAP bertungkus lumus menghidangkan juadah iftar, kelihatan beberapa mahasiswa bukan Islam turut serta membantu menghamparkan tikar dan menghidangkan makanan sempena Program Iftar Kubra UniMAP 2019 di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP, di sini, hari ini.
 
Mahasiswa berkenaan Koay Shuni, 22, berkata dia teruja membantu rakan-rakan Islam membuat persiapan bagi berbuka puasa beramai-ramai.
 
Katanya, ini adalah pengalaman pertama kalinya bersama-sama menyediakan juadah berbuka memandangkan komuniti tempat tinggalnya tidak ramai komuniti Melayu.
 
"Ia sesuatu pengalaman baharu buat saya dan rakan, Rachel Ooi Qian Yi walaupun kami berbeza agama dan bangsa,"katanya yang juga Bendahari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP
 
Program Iftar Kubra anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UniMAP itu turut dihadiri Naib Canselor UniMAP, Dato Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal, Timbalan Yang Dipertua Kompleks Penyayang Siti Hasmah, Dato Abdul Azib Saad serta pengurusan tertinggi UniMAP.
 
Terdahulu, Zul Azhar dalam ucapannya berkata sempena program itu UniMAP turut menyampaikan sumbangan kepada 30 pelajar tahfiz dari Pusat Tahfiz Darul Hikmah, anak-anak yatim Kompleks Penyayang Dr Siti Hasmah dan penghuni Rumah Baitu Hanan.
 
Katanya, dua mahasiswa UniMAP iaitu  Muhammad Iqbal Shah bin Zakaria (dari PPK Pembuatan) yang kuat dan tabah dalam menjaga adiknya pesakit kanser serta Nur Hidayah binti Kamal (dari PPK Mekatronik) yang berjiwa besar dalam menjaga 3 orang adik beradiknya setelah pemergian kedua orang tuanya turut menerima sumbangan.
 
"Seperti kelaziman tahun lepas pada tahun ini pihak universiti juga menyalurkan sejumlah RM55,000.00 kepada pelajar-pelajar asnaf dari setiap Pusat Pengajian UniMAP yang terdiri daripada  550 orang penerima," katanya.
 
Sementara itu, salah seorang mahasiswa itu Muhamad Iqbal Shah berkata sumbangan yang diterima akan dimanfaatkan sebaiknya bagi menampung keperluan dan adiknya yang menghidap kanser.
 
"Saya tidak akan jemu memberi sokongan kepada adik melawan kanser agar dia tetap gembira seperti orang lain bagi menyambut lebaran yang akan tiba tidak lama lagi.
 
" Terima kasih kepada UniMAP yang tidak putus menghulurkan bantuan kepada kami berdua di samping memastikan pengajian saya tidak terjejas kerana bebanan kewangan," katanya yang juga anak yatim piatu.

Kangar,19 Mei – Penyelidik wanita Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus cemerlang apabila mendominasi pingat emas di pameran inovasi antarabangsa ‘Europian Fair of Creativity and Innovation (EUROINVENT 2018)  di Iasi , Romania.

Mereka adalah Prof Madya Dr Noorhafiza Muhammad menerusi penyelidikannya ‘Potato Starch Nano-Composites As An Alternative Materials for Coronary Stent Applications yang turut meraih Anugerah Penyelidik Wanita Terbaik EUROINVENT dan Anugerah Khas Korea,dan  Dr Zarina Yahya dengan tajuk Geopolymer Underwater Concrete in Marine Construction.

Seorang lagi penyelidik wanita UniMAP yang berjaya meraih pingat emas ialah Liyana Jamaludin menerusi penyelidikan ‘Novel Multipurpose Geopolymer Coating for High Temperature Applications.

Ketua delegasi UniMAP, Pengurus Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Prof Madya Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata selain tiga penyelidik wanita itu, seorang lagi penyelidik UniMAP Dr Mohd Fathullah Ghazli berjaya meraih pingat emas dan Anugerah Khas Thailand dengan penyelidikan beliau, New Discovery of Sm3+ in Reducing Cost for Red Phosphor in White LED Applications.

Menurutnya, kejayaan itu begitu bermakna kepada mereka memandangkan penyertaan di EUROINVENT 2018 membabitkan lebih 500 penyelidik dari lebih 20 negara sekaligus memberi saingan hebat di pameran berkenaan.

“Lebih manis, penyelidik wanita UniMAP dapat meneruskan kecemerlangan di EUROINVENT 2018 sepertimana tahun tahun terdahulu di pameran sama,” kata beliau yang turut meraih Excellence Innovation Award (the Prestigious Activity in The Field of Innovation & Invention) dari University Politechnica of Bucharest Romania.

EUROINVENT 2018 berlangsung mulai 17 Mei lalu dan dirasmikan oleh Menteri Penyelidikan dan Inovasi Romania, Nicolae Burnette.

Terdahulu, Dr Mohd Mustafa dan seorang pensyarah CEGeoGTech, Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh turut dijemput sebagai pensyarah kunjungan di Georghe Asachi Technical University of Iasi, Romania.

Beberapa topik turut dikongsi kepada pelajar pascasiswazah universiti itu seperti “Current Geopolymer Research” oleh Dr Mohd Mustafa dan “Leadfree Solder Materials” oleh Dr Mohd Arif yang merupakan sebahagian aktiviti ERASMUS.

ERASMUS merupakan program di bawah Kesatuan Eropah untuk pendidikan, latihan , belia dan sukan. Ia berlangsung selama tujuh tahun bermula 2014 hingga 2020 manakala UniMAP memperolehi program berkenaan selama empat tahun.

Prof Madya Dr Noorhafiza bersama pingat dan anugerah khas yang diperolehinya di EUROINVENT 2018.

Delegasi UniMAP diketuai Prof Madya Dr Mohd Mustafa (tiga dari kanan) meraikan kejayaan membawa pulang empat pingat emas sempena EUROINVENT 2018 di Iasi, Romania.

Pauh Putra, 17 Mei- Sempena satu Ramadhan hari ini, hampir 1,000 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dari enam kolej kediaman universiti itu mengikuti Majlis Iftar Kubra 2018 di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP ,di sini.

Majlis anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK), dan Pusat Islam UniMAP dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa ), Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin.

Dr Rezuwan berkata, sempena bulan mulia ini beliau berharap warga UniMAP khususnya pelajar dapat meringankan tangan menghulurkan sedekah mahupun berkongsi rezeki yang ada bersama golongan kurang bernasib baik.

Katanya, ia tidak semestinya dilakukan secara rasmi, tetapi boleh dilakukan secara santai oleh sekumpulan kecil pelajar walaupun bantuan yang dihulurkan tidak seberapa.

“Percayalah bahawa walaupun sumbangan itu tidak seberapa,tetapi akan meninggalkan kesan yang amat bermakna kepada mereka,” katanya ketika berucap mewakili Naib Canselor di majlis itu.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan.

Sempena majlis berkenaan turut diadakan penyerahan zakat dari Tabung Zakat Korporat UniMAP kepada 20 pelajar yang terpilih sebelum solat Tarawih sekaligus membuktikan UniMAP sentiasa peka dengan masalah pelajar terutama dalam aspek kewangan.

Lebih bermakna apabila majlis itu mendapat sumbangan makanan serta 240 kotak kurma daripada individu yang bermurah hati untuk diagihkan ke setiap kolej kediaman.

Selain berbuka puasa, turut diadakan slot ceramah kerohanian dan persembahan nasyid dari kumpulan nasyid Ar-Zhafran Kolej Kediaman Pauh Putra yang menjuarai kategori nasyid pada Festival Kebudayaan Antara Kolej Kediaman (FESTKOL) 2018 baru-baru ini.

 

 

 

 

Pauh Putra, 16 Mei- Kekerapan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan kempen derma darah dua kali sebulan berjaya menyumbang lebih tujuh ribu beg darah kepada pusat-pusat pendermaan darah.

Jumlah itu yang terhasil sejak 2010 sehingga April tahun ini menjadikan UniMAP menerima beberapa anugerah penghargaan seperti Penganjur Kempen Derma Darah Paling Aktif Peringkat Wilayah Utara pada 2013 dan 2014.

Perkara itu dikongsi oleh Timbalan Naib Canselor UniMAP (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan ketika berucap merasmikan Kempen Derma Darah sempena Minggu Derma Darah Mahasiswa Prihatin Universiti Awam (UA) peringkat UniMAP di Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Kesihatan Universiti, Dr Muhamad Iqbal Omar dan wakil Ketua Jabatan Patologi Hospital Tuanku Fauziah  (HTF) Kangar Dr Muhamad Faiz Fuad,

Mohd Foad berkata, selain penghargaan dari Pusat Derma Darah Wilayah Utara, UniMAP turut menerima penghargaan daripada HTF di atas sumbangan universiti itu sebelum ini sempena Hari Derma Darah Sedunia pada 2016.

Katanya, seramai 2,052 warga UniMAP turut mendaftar untuk menderma darah namun selepas disaring, mereka tidak berjaya menderma kerana tidak memenuhi kriteria menderma darah yang ditetapkan.

“Namun, seramai 10 mahasiswa merupakan penderma darah paling aktif melebihi 10 kali dengan kekerapan tertinggi dicatatkan ialah 28 kali sebagai tanda prihatin terhadap keperluan masyarakat khususnya di negeri ini yang memerlukan 160 beg darah seminggu dan 8,000 darah setahun,” katanya.

Tambahnya, selain daripada melaksanakan tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat, kempen-kempen itu dijalankan bagi memupuk semangat kesukarelawan di kalangan warga UniMAP khususnya mahasiswa.

“Sesungguhnya sumbangan warga UniMAP ini amat bernilai dan saya berharap menerusi kempen ini, lebih ramai warga UniMAP mendaftar untuk menderma darah,” katanya.

UniMAP menganjurkan kempen berkenaan dengan kerjasama Jabatan Patologi HTF pada 14 dan 16 Mei sempena Minggu Derma Darah itu yang membabitkan 20 UA di seluruh negara.

Langkawi, 14 Mei- Pasukan Bola Tampar Pantai Wanita Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjuarai kategori itu di Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun 2018 yang berlangsung mulai 10 hingga 13 Mei di Pantai Chenang, Langkawi.

Pasukan UniMAP yang diwakili Nurul Ashikin Mohd Josrie dan Siti Aminah Romly berjaya mengalahkan pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) A dengan kutipan mata 21-12 dan 21-14 di pusingan akhir, semalam.

Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Suhizaz Sudin berkata sebelum menempah tiket ke peringkat akhir, UniMAP berjaya menewaskan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan keputusan 21-14 dan 21-7 di peringkat separuh akhir.

Katanya, agensi-agensi yang menyertai karnival itu juga bukan calang-calang pasukan malah memberi cabaran kepada pasukan UniMAP walaupun sebelum ini UniMAP cemerlang di Sukan Badan Berkanun (SUKANUN).

“Kejayaan pasukan UniMAP ini sudah tentu membanggakan memandangkan ini adalah penyertaan julung kalinya kami di karnival ini.

“Justeru, kejayaan ini akan menjadi pendorong kepada kejayaan lain di karnival akan datang, dan UniMAP akan berusaha lebih gigih mulai sekarang,” kata beliau ketika dihubungi, baru-baru ini.

Di karnival berkenaan, UniMAP turut menghantar dua lagi penyertaan iaitu bola sepak pantai lelaki dan bola tampar pantai lelaki namun masing-masing hanya berjaya ke peringkat suku akhir serta kumpulan. Karnival Sukan Pantai Badan Berkanun itu merupakan sukan dwi-tahunan Persatuan Badan Berkanun Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi karnival kali ini. Sebanyak lapan kategori sukan dipertandingkan di karnival itu antaranya ialah petanque pantai, sepak takraw pantai, bola jaring pantai, bola sepak pantai serta bola tampar pantai.

KANGAR, 12 Mei- Produk penyelidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila berjaya membawa pulang 10 pingat emas pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX), baru-baru ini.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, berkata, UniMAP menghantar 16 produk untuk dipertandingkan pada ITEX 2018 dan 10 daripadanya berjaya meraih pingat emas manakala enam lagi meraih perak.

Katanya, ia sekaligus menjadikan UniMAP berjaya meraih 100 peratus pingat yang dipertandingkan.

UniMAP menumpukan untuk mengenengahkan produk-produk yang dihasilkan penyelidik muda.

“Percaturan yang kita buat ini membuahkan hasil apabila berjaya mengekalkan jumlah pungutan pingat emas sama seperti tahun lalu dan saya percaya pencapaian ini akan dapat ditingkatkan di masa akan datang,”katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Antara produk penyelidikan UniMAP yang meraih pingat emas adalah Freezer And Chiller Delivery Box produk Dr. Mohd Zakimi Zakaria,  Hybrid Graphene-Copper Antenna For Brain Tumor Detection (Dr. Mohd Aminuddin Jamlos, LORAFI (Dr. Ammar Zakaria), Harumanis Healthy Harmony (Prof. Madya Dr. Mahmad Nor Jaafar);   Broadband Rf Energy Harvester (Ismahayati Adam); Nanometrological Aptasensor To Diagnose Blood Clotting Defect (Prof. Madya. Dr. Subash C.B. Gopinath);  Geoairsense: Cloud Based Air Quality Monitoring System (Prof. Madya Dr. Latifah Munirah Kamarudin).

Tiga lagi produk adalah Integrated Dc Power Supply For Low Voltage Renewable Dc Microgrid (Ir Tunku Muhammad Nizar Tunku Mansur), Hp-Oyspore: High Potential Spore Induction Grey Oyster Mushroom Liquid Spawn (Prof. Madya Dr. Zarina Zakaria) dan Dr. Md Tasyrif Abdul Rahman – dengan produk penyelidikan, Connected Car: Engines Monitoring Via Internet Of Things (Iot).

ITEX 2018 mengumpulkan lebih 1,000 reka cipta yang membabitkan penyertaan dari 20 negara seperti China, Jerman, Korea dan Turki

Antara tarikan utama bagi ITEX 2018 adalah penganjuran Pameran Pereka Cipta Muda Dunia (WYIE), Pameran Reka Cipta Muda Asia (AYIE), Pameran Reka Cipta Muda Malaysia (MYIE) dan aktiviti seperti sesi PITCH4FUND, seminar usahawan pemula dan perbincangan modal teroka ke usahawan (VC2E).

Ia merupakan anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS), sebagai platform  bagi mempamerkan reka cipta dan teknologi serta  produk baru.

ARAU, 3 Mei (Bernama) -- Seramai 100 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)  menerima zakat korporat sumbangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada satu majlis di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.

Mereka  menerima RM300 seorang yang disampaikan  oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) merangkap pengerusi SSM Datuk Seri Jamil Salleh sempena program Keusahawanan dan Agihan Zakat Korporat SSM.

Menurut Jamil, SSM mempelbagaikan kaedah pemberian zakat korporat agensi tersebut supaya pelaksanaan lebih menyeluruh sejak 2016.

Cara ini juga untuk mempastikan semua golongan asnaf yang layak mendapat hak mereka, kata Jamil kepada media selepas menyampaikan sumbangan tersebut.

Katanya SSM telah mengagihkan lebih RM3.38 juta  zakat korporat pada tahun lepas manakala dari Januari hingga April tahun ini pula melebihi RM1.38 juta telah diagihkan,

Dalam majlis lain pagi ini, SSM menyerahkan zakat korporat sebanyak RM500,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menerima zakat tersebut dalam satu majlis di Istana Arau.

Jamil juga menyampaikan hadiah pertandingan ?Business Pitching' yang dianjurkan oleh SSM dengan kerjasama UniMAP yang disertai lapan kumpulan dari kalangan pelajar UniMAP berupa wang tunai wang tunai RM1,000 untuk juara dan masing-masingRM800 dan RM500 bagi tempat kedua dan ketiga.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naiib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner.

-- BERNAMA

Kangar, 2 Mei – Dua persidangan antarabangsa anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menghimpunkan 250 kertas dari lebih 10 buah negara yang diadakan di Hotel Edenstar, Ho Chi Minh City Vietnam.

Kedua-dua persidangan berkenaan ialah 6th International Conference on Advanced Material Engineering & Technology  (ICAMER 2018) dan 4th International Conference on Green Design & Manufacture.

Pengurus Pusat Kecemerlangan Geopolimer & Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Mustaffa Al-Bakri Abdullah berkata persidangan-persidangan itu merupakan anjuran pusat kecemerlangan berkenaan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan PPK Pembuatan UniMAP.

Katanya ia berlangsung selama dua hari mulai 29 April dan berakhir kelmarin mendapat sambutan menggalakkan penyelidik-penyelidik dari negara Jepun, United Kingdom, Turki, Thailand, Kuwait, Taiwan, India, Indonesia, Indonesia dan lain-lain lagi.

“Persidangan antarabangsa ini bertujuan memartabatkan lagi bidang bahan termaju, geopolimer, rekabentuk hijau dan pembuatan dengan  menghimpunkan pakar-pakar dari negara lain bagi berkongsi kepakaran serta penyelidikan yang dihasilkan,” kata beliau ketika dihubungi, semalam.

Tambahnya, selain persidangan-persidangan itu satu bengkel geopolimer antarabangsa (1st International Geopolymer Workshop -IGeoW 2018) juga diadakan khas bagi penyelidik dalam bidang geopolimer duduk bersama membincangkan halatuju penyelidikan.

“Selain itu, sempena bengkel khas itu turut mendapat persetujuan pakar-pakar geopolimer dari negara China, Taiwan, Australia dan beberapa negara lagi bagi mendapatkan geran secara bersama, mobiliti pelajar dan staf serta penyertaan pelajar,” katanya.

 

Profesor Long-yuan Li, Profesor Kejuruteraan Struktur, Universiti Plymouth membentangkan kertas persidangan.

Peserta persidangan geopolimer anjuran UniMAP di Vietnam baru-baru ini.

Arau, 24 Mei – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal menggesa mahasiswa untuk berjinak-jinak dalam bidang keusahawanan walaupun ketika masih menuntut di menara gading.

“Mahasiswa adalah tunjang untuk menggerakkan bidang keusahawanan yang  merupakan satu sektor yang membantu memajukan Negara suatu hari nanti.

“Malah, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga telah menetapkan sekurang-kurangnya lima peratus mahasiswa yang masih dalam sistem pengajian perlu bergiat dalam bidang keusahawanan.

“Ini adalah kearah bagi melahirkan usahawan dan teknousahawan apabila mereka bergraduat nanti,” katanya ketika merasmikan Women Entrepreneurship Forum and Exhibitions 2017 di Dewan Kecemerlangan UniMAP baharu-baharu ini.

Beliau berharap agar minat sebagai usahawan dalam diri mahasiswa akan berterusan dan bakal memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan Negara kelak.

Hadir sebagai panel jemputan bagi forum selama satu hari itu adalah  Pengasas De Riche Lurve Sdn Bhd, Syarifah Ngadiron; Ketua Pegawai Eksekutif Modvier, Siti Sarah Shah Nor; Pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd., Dato’ Seri Dr. Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dato’ Seri Vida; dan Ikon Usahawan Muslimah, Ketua Pegawai Eksekutif Sam Beautilogy Lab Sdn. Bhd. dan Profit Magnet Sdn. Bhd., Dato’ Sharifah Shareen Al-Mashoor.

Arau, 24 Mei – Seramai hampir 25 ribu pengunjung membanjiri Istana Arau bagi memeriahkan Malam Kilauan Cahaya yang berlangsung selama dua hari bermula 19 hingga 20 Mei 2017 di sini.

Menurut Pengarah Unit Komunikasi Korporat (UKK), Mustaffa Ismail, jumlah pengunjung yang hadir telah mencapai malah melebihi jumlah sasaran yang telah ditetapkan.

“Ini merupakan tahun kelima UniMAP menganjurkan Malam Kilauan Cahaya dan kita mensasarkan 10 ribu pengunjung pada setiap malam bagi kedua-dua malam tersebut.

“Dapat dilihat peningkatan jumlah pengunjung saban tahun yang meluangkan masa hadir pada program tersebut,” katanya.

Tambahnya, malam pertama menyaksikan seramai 14,950 orang dan malam kedua pula seramai 9,985 pengunjung yang hadir bagi melihat keadaan perkarangan istana yang dipenuhi dengan kilauan lampu.

“Tidak ketinggalan seramai 5,251 orang pula meluang masa untuk melihat galeri istana yang menempatkan barang-barang kebesaran istana.

“Mereka berkumpul seawal jam 8.00 malam sambil menunggu pintu pagar Istana Arau dibuka pada jam 9.30 malam selepas selesai solat Isyak dan gimik pembukaan program tersebut,” katanya.

Antara aktiviti menarik pada malam tersebut adalah persembahan kebudayaan, pertunjukan magik, soalan kuiz, cabutan bertuah, dan diakhiri dengan tembakan bunga api.

Program ini dianjurkan bersempena dengan sambutan ulangtahun keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis ke – 74. 

Pauh Putra, 23 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa berusaha untuk memastikan kesinambungan kejayaan dalam bidang sukan sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, pihak universiti akan sentiasa memberikan sokongan padu kepada Pusat Sukan dalam usaha mencari bakat-bakat baharu di kalangan staf untuk mewakili UniMAP pada kejohanan sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Atas usaha itu juga, Pusat Sukan UniMAP telah mengadakan satu mini kejohanan sukan di kalangan staf UniMAP yang dikenali sebagai Kejohanan Sukan Antara Staf UniMAP (SUKAS)  sebagai salah satu cara bagi mencari bakat-bakat baharu yang dapat mewakili UniMAP

“Sepanjang SUKAS ini berlangsung,  dapat kita melihat komitmen staf dan kesungguhan setiap pasukan yang bertanding telah mewujudkan  satu landskap yang berbeza dan menjadi satu fenomena sukan yang sebelum ini kita tidak nampak,”katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan SUKAS 2017, di sini, baharu-baharu ini.

Turut hadir, Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Encik Suhizaz Sudin. 

Pada majlis itu, Pasukan D muncul juara keseluruhan SUKAS 2017  yang berlangsung bermula Mac dan berakhir awal Mei lalu.

Kejayaan itu diperolehi apabila Pasukan D berjaya menjuarai empat dari sembilan acara yang dipertandingkan pada pertandingan iaitu sepaktakraw senior dan veteran, woodball dan badminton.

Kejayaan itu membolehkan Pasukan D membawa pulang piala pusingan dan hamper.

Sebanyak lima pasukan bertanding dalam sembilan acara yang dipertandingkan iaitu sepaktakraw senior dan veteran, bola jaring, badminton, bola tampar lelaki dan wanita, woodball, tenis dan bola sepak.

 

 

 

Kuala Lumpur, 16 Mei – Delegasi penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus melakar kecemerlangan apabila meraih seratus peratus pingat pada 27th International Innovation Exhibition 2017 (ITEX’16) yang berlangsung mulai  11 hingga 13 Mei 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal jumlah peratusan pingat emas yang dicapai pada tahun ini juga menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu 10 pingat emas daripada 15 produk yang mengambil bahagian atau 67 peratus.

Ujar beliau, kejayaan itu nyata sesuatu yang cukup bermakna selepas prestasi yang agak sederhana pada dua siri ITEX terdahulu iaitu 46 peratus kejayaan pingat emas pada tahun 2016 dan 30 peratus kejayaan pingat emas pada tahun 2015.

“Kejayaan ini membuktikan, kualiti penyelidikan yang ditonjolkan pleh penyelidik UniMAP semakin menunjukkan peningkatan dan ia pastinya merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi kami di UniMAP,” katanya ketika dihubungi selepas pengumuman keputusan pingat ITEX’17.

Selain itu, delegasi penyelidik UniMAP turut berjaya meraih lima pingat perak dan tiga Anugerah Khas.

Dua produk emas UniMAP iaitu FCC Code OCDMA System for Internet of Things (IOT) Communication oleh Dr. Mohd Rashidi Che Beson dan A Method of Controlling SN – Whiskers Formation For Aerospace Electronic Interconnect Application oleh Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh terpilih menerima anugerah khas World Invention Intellectual Property Associations (WIIPA) dari Taiwan.

Manakala satu produk pingat perak UniMAP iaitu Novel Multiplex Diagnostic Kit For E.Coli, Salmonella And Listeria hasil penyelidikan Prof. Dr. Uda Hashim menerima Anugerah Khas dari  Tisias and iCAN-Toronto Kanada.

ITEX’17 mempamerkan lebih 1000 penyelidikan oleh penyelidik universiti, pusat penyelidikan dalam dan luar Negara, sekolah rendah dan menengah, termasuklah sektor swasta dari lebih 20 negara antaranya Indonesia, Taiwan, Korea Selatan, Arab Saudi, Iran, Thailand, Mesir, Kuwait, Bahrain, Poland dan Malaysia.

Kangar, 15 Mei – Muhd Ekmal Hakim Abdullah dari Bernama muncul johan lelaki dengan 438 jatuhan pin bagi kategori media dalam Pertandingan Boling Antara Jabatan UniMAP dan Media Piala Naib Canselor 2017 yang diadakan di Perlis Bowl, di sini malam tadi. Manakala Nurhartini Mohd Nasir dari Harian Metro pula menjadi johan wanita dengan 295 jatuhan pin dan mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM 150.00 dan hamper.

Tempat kedua pula masing-masing dimenangi oleh wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM), Muhamad Sofi Shamsudin dengan jatuhan pin 434 dan Gee Hui Lan dari Kwong Wah Yit Poh dengan 229 jatuhan pin seterusnya berjaya membawa pulang wang tunai RM 100.00 dan hamper.

Tempat ketiga kejohanan menjadi milik Ibrahim Hamzah dari RTM dengan jatuhan pin 432 sekaligus membawa pulang wang tunai RM50.00 dan hamper.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata Kejohanan Boling Piala Naib Canselor merupakan kejohanan tahunan yang dianjurkan sebelum ini, namun pada tahun ini, UniMAP membuka penyertaan bagi kategori media. Ujar beliau, ia antara lainnya bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara pengamal media di negeri Perlis dengan warga UniMAP terutama pengurusan universiti.

“Ini merupakan kali pertama pertandingan boling antara Jabatan UniMAP diadakan dengan memperkenalkan kategori media sekaligus melibatkan penyertaan agensi media Perlis yang bertujuan untuk menjalinkan hubungan antara warga UniMAP dan wakil media. “Saya mahu warga UniMAP mengenali wakil media yang banyak memberikan publisiti kepada UniMAP sejak dari awal penubuhan universiti sehinggalah sekarang ini,” katanya.

Tambahnya, keakraban UniMAP dan media harus terus berkekalan agar perkongsian maklumat yang disalurkan oleh UniMAP melalui media akan dapat diterima dan memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya. “Alhamdulillah penyertaan kali pertama media ini berjaya disertai oleh 20 orang pengamal media dan kami yakin jumlah penyertaan media akan meningkat apabila aktiviti seumpama ini diadakan lagi pada masa hadapan,” katanya. Kejohanan tersebut turut mendapat penajaan dari Syarikat Minda Teguh Trading, UniMAP Holding dan Zeel Production.

 

Pauh Putra, 3 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa menerokai peluang baharu untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembelajaran dengan pelbagai institusi akademik di peringkat  antarabangsa.

Terbaharu, satu memorandum persefahaman (MoU) telah dijalankan antara University of Chemical Technology and Metallurgy (UCTM), Bulgaria bersama Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP bagi meneroka kerjasama dengan negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Pengurus CEGeoGTech UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, CEGeoGTech dan UCTM sebelum ini telah mempunyai hubungan dua hala yang memberi fokus kepada pengajuran seminar dan penerbitan secara bersama bagi meningkatkan sitasi kedua-dua universiti.

“Selain daripada itu, kita juga pernah menerima dua pelajar pra siswazah yang datang ke UniMAP untuk membuat latihan industri dalam bidang geopolimer.

“Saya yakin, dengan kerjasama yang baharu dijalinkan ini akan membuka lebih banyak  peluang penyelidikan serta kolaborasi antara kedua-dua institusi  di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Menandatangani MoU antara UniMAP dan UCTM serta Surat Hasrat (LOI) bersama  Universitas Negeri Makassar (UNM).

PAda majlis tersebut, UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr Zul Azhar Zahid Jamal,  dan UCTM diwakili Dekan Fakulti Teknologi Kimia, Prof. Madya Dr Andriana Surlev manakala UNM diwakili Dekan Fakulti Matematik dan Sains Alam, Drs. Subaer M. Phill. Turut hadir Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UniMAP, Dr. Noorhafiza Muhammad.

Ujar Dr. Mohd. Mustafa lagi, CEGeoGTech juga  telah  merancang dalam mendapatkan geran  mobiliti daripada  EU dan antarbangsa yang lain bagi menyerlahkan lagi keterlihatan UniMAP di persada antarabangsa terutama dalam bidang penerbitan jurnal, penyelidikan dan program sangkutan pelajar atau staf.

“Terdapat banyak ruang dan peluang yang ditawarkan oleh institusi akademik di Eropah dalam aspek geran mobiliti ini dan CEGeoGTech akan mengambil langkap proaktif untuk mengenalpasti rakan strategik yang boleh membantu memacu kegemilangan kami.

“Buat masa ini, CEGeoGTech mendahului penerbitan scopus bagi bidang Geopolimer, dan saya percaya status ini akan memudahkan kami meneroka peluang kolaborasi dengan institusi pendidikan lainnya di Eropah,” ujar beliau lagi.

 

Kangar, 30 Mei – Seramai 430 pelajar baharu diploma Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengangkat sumpah sebagai pelajar universiti tersebut dalam satu Majlis Sambutan Siswa Siswi (Akujanji Pelajar) yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kompleks Dewan Kuliah Kampus Induk UniMAP, Pauh Putra pagi tadi.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dalam ucaptamanya berkata, semua pelajar perlu bersyukur diterima masuk belajar di universiti terutama perlu bersaing dengan ramai pelajar.

“Di usia 14 tahun UniMAP adalah sebuah universiti yang hampir matang, namun dari segi program kurikulum pengajaran dan pembelajaran, UniMAP telah berada di tahap yang amat membanggakan.

“Para pelajar patut bangga dan bersyukur kerana dapat belajar di sebuah universiti yang dinamik antara 20 universiti awam (UA) di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan 276 pelajar lelaki dan 154 pelajar perempuan pengajian Diploma bagi sidang akademik 2016/2017 yang mendaftar pada 29 Mei lalu.

Tambahnya lagi, kalau dilihat dari segi pencapaiannya, UniMAP telah dikategorikan sebagai sebuah universiti yang baik dan cemerlang di belakang universiti-universiti penyelidikan dan universiti komprehensif yang telah lama bertapak di Malaysia melalui pengiktirafan ranking dan rating universiti di Malaysia.

“Kecemerlangan ini bukanlah tertakluk kepada prasarana yang ada semata-mata tetapi turut bergantung kepada mahasiswanya sendiri yang merupakan aset penting buat UniMAP bagi meneruskan kecemerlangannya.

Beliau berharap agar semua pelajar ini akan bersama-sama universiti bukan sahaja untuk mengekalkan kecemerlangannya tetapi turut sama membawa UniMAP ke satu tahap yang amat membanggakan iaitu menjadi antara 500 universiti terbaik dunia pada tahun 2020 nanti.

Turut diadakan pada majlis tersebut adalah sesi memperkenalkan Ketua Jabatan UniMAP.

Manakala pimpinan akujanji pelajar diketuai oleh pelajar Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Abdul Khalim Al Azizi Syahril dari Johor.

Kangar, 30 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat untuk menawarkan silibus atau kurikulum pengajian Bahasa Melayu di luar negara.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, UniMAP dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tersohor di seluruh dunia bagi menubuhkan lebih banyak kurikulum Pengajian Bahasa Melayu.

“Membudayakan sesuatu bererti mengamalkan atau menjadikan sesuatu itu sebagai tabii hidup mengikut kaedah dan rukunnya. Malah membudayakan sesuatu juga boleh dimengertikan sebagai mempraktikkan sesuatu amalan sehingga menjadi sebahagian cara hidup.

“Justeru, membudayakan Bahasa Melayu membawa erti menggunakan bahasa melayu dalam perhubungan liguistik secara betul dan mengisi tuntutan hidup seharian dan seterusnya menunjangi zaman membentuk tamadun masyarakat dan bangsa itu sendiri,” katanya ketika memberikan ucapan aluan pada Majlis Graduasi In – Country Bahasa Melayu UniMAP – Walailak University yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kompleks Dewan Kuliah Kampus Induk UniMAP, Pauh Putra, baharu-baharu ini.

Tambahnya lagi, sekiranya Bahasa Melayu dipelajari di seberang laut dan digunapakai di Nusantara, ianya secara tidak langsung menyumbang kepada perjuangan tokoh-tokoh bahasa yang terdahulu.

Pada majlis tersebut, seramai 22 pelajar dari Walailak University diraikan selepas tamat kursus Program In – Counry Bahasa Melayu yang dijalankan di UniMAP dan dianjurkan oleh Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP selama satu semester bermula 14 Disember 2015 dan berakhir pada 17 Jun 2016.

Kata Prof. Dr. Zul Azhar lagi, beliau berbangga kerana kesemua pelajar tersebut berjaya menamatkan sesi pembelajaran untuk tempoh enam bulan itu dengan cemerlang.

“Malah saya juga berbangga kerana kejayaan menggembangkan bahasa Melayu ke satu tahap yang lebih tinggi dalam konteks UniMAP sebagai sebuah gedung ilmu,” katanya.

Ujar beliau lagi, antara maklumbalas yang diterima menyatakan program ini sangat bermanfaat sebagai pendedahan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu di samping dapat mempelajari budaya masyarakat Malaysia dengan lebih mendalam.

“Saya berharap usaha memartabatkan Bahasa Melayu ini tidak akan terhenti dengan Walailak University sahaja sebaliknya dipanjangkan kepada institusi pendidikan lain di masa akan datang.

Beliau juga berhasrat untuk menghantar pelajar UniMAP yang mengambil bahasa Thai sebagai bahasa ketiga ke universiti Walailak bagi mengikuti lawatan dan juga program di sana.

“Program ini telah bermula sebelum ini tetapi lebih santai kerana melibatkan sebuah perkampungan di Thailand dan tidak berorientasikan struktur akademik.

“Oleh itu, diharapkan program bersama pelajar Universiti Walailak nanti akan memantapkan penggunaan bahasa Thai pelajar UniMAP di samping dapat mempelajari budaya masyarakat Thai,” katanya.

Jitra, 29 Mei – Program Homestay dan Budaya Melayu yang melibatkan seramai 22 pelajar mobiliti Universiti Malaysia Perlis, (UniMAP) dari Walailak Universiti, Thailand serta tiga orang pelajar antarabangsa UniMAP dari Yemen, Mesir dan Jordan telah dijalankan bersama komuniti di Kampung Pulau Pisang di sini, baru-baru ini.

Program anjuran CIL UniMAP itu adalah salah satu program kebudayaan Melayu yang menggabungkan pelajar-pelajar antarabangsa UniMAP dan masyarakat kampung Pulau Pisang.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini bertujuan memperkenalkan budaya Melayu kepada para pelajar antarabangsa di samping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara UniMAP dengan masyarakat di kampung tersebut.

Seramai 25 pelajar yang terlibat telah diagihkan kepada enam buah keluarga angkat di sekitar Kampung Pulau Pisang bagi memberi peluang mereka menikmati serta mencuba makanan dan permainan tradisional masyarakat Melayu.

Menurut Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) UniMAP Prof Dr. Harshita Aini Haroon, makanan dan permainan tradisional yang menjadi amalan masyarakat kampung di Malaysia ini mampu mempromosikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa melalui perkongsian gambar dan video yang dimuat turun oleh pelajar di media sosial mereka.

“Terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh para pelajar antarabangsa UniMAP bersama keluarga angkat masing-masing sepanjang berada di sini, seperti demonstrasi membuat kuih tradisional Melayu, menganyam daun palas untuk dijadikan ketupat dan berpeluang merasai keenakan ketupat yang dimasak sendiri oleh mereka bersama keluarga angkat.

“Di samping berpeluang merasai makanan ubi kayu bersama dengan sambal ikan bilis, pelajar-pelajar antarabangsa UniMAP juga turut terlibat dengan permainan menangkap itik di dalam sawah dan bermain bola baling di dalam sawah, sebagai acara kemuncak pertandingan selain pertandingan memancing ikan serta melastik tin,” katanya dalam sebuah kenyataanya di sini, baru-baru ini.

Katanya, selain itu program seumpama ini bukan sahaja bermanfaat kepada pelajar tetapi mampu mempromosikan budaya masyarakat Malaysia kepada pelajar antarabangsa sekaligus membantu mereka menyesuaikan diri dengan suasana di Malaysia.

“Semua keluarga angkat turut diberi sumbangan barangan dapur sempena Ramadan yang bakal menjelang tiba,” katanya.

 

KANGAR, 29 May (Bernama) – The marketability of Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Diploma graduates recorded a high percentage of 87.3 percent last year.

UniMAP Vice Chancellor Prof Datuk Zul Azhar Zahid Jamal said that as high as 94.92 percent of Diploma of Microelectronic Engineering graduates found employment by July 2015, six month after receiving their diplomas.

“Many UniMAP Diploma graduates had also qualified to pursue their Bachelor Degrees at UniMAP or another university.

“There are even those who have continued on their studies to Masters Degree and Doctorate (PhD) levels,” he said during the family briefing at the Diploma student registration and the Orientation Week Programme for the Academic Session 2016/2017 at UniMAP UniCITI Alam Sungai Chuchuh Campus, Padang Besar today.

He said that UniMAP's Bachelor Degree graduates who became employed in 2015 was 89.6 percent, which was third place among 20 public universities.

For the Academic Session 2016/2017, UniMAP offered 480 places to new students who will attend six Diploma programmes namely Computer Engineering, Electrical Engineering, Mechatronic Engineering, Microelectronic Engineering, Manufacturing Engineering and Metallurgical Engineering.

From that number, UniMAP expects 380 students to accept the offer.

UniMAP's priority is to ensure the number of students attending each programme is not excessive, which is about 60 students per programme.

“This is to ensure lecturers are able to give better attention to the quality of the learning programme being offered,” explained Zul Azhar.

KANGAR, 29 Mei ( Bernama) -- Kadar kebolehpasaran pelajar lulusan Diploma Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatat peratusan tinggi iaitu 87.3 peratus pada tahun lepas.


Naib Canselor UniMAP Prof Datuk ZulAzhar Zahid Jamal berkata sebanyak 94.92 peratus siswazah lepasan Diploma Kejuruteraan Mikroelektronik mendapat pekerjaan pada Julai 2015 iaitu dalam tempoh enam bulan selepas menerima diploma mereka.

"Ramai pelajar lepasan Diploma UniMAP juga layak melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah samaada di UniMAP atau di universiti lain.

"Malah, ada yang meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD)," katanya sempena majlis taklimat waris pada pendaftaran pelajar Diploma dan Program Minggu SuaiKenal Sidang Akademik 2016/2017 di Kampus Uniciti Alam UniMAP Sungai Chuchuh, Padang Besar hari ini.

Beliau berkata graduan peringkat Ijazah UniMAP yang mendapat pekerjaan pada 2015 ialah 89.5 peratus, yang menduduki tempat ketiga dalam senarai 20 universiti awam.

Bagi Sidang Akademik 2016/2017, UniMAP menawarkan 480 tempat kepada pelajar baharu yang akan mengikuti enam pengajian Diploma iaitu Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Mikroelektrik, Kejuruteraan Pembuatan dan Kejuruteraan Metalurgi.

Daripada jumlah itu, UniMAP menjangkakan 380 pelajar akan menerima tawaran itu.

"Keutamaan UniMAP adalah memastikan jumlah pelajar yang mengikuti program ditawarkan tidak begitu tinggi iaitu sekitar 60 orang dalam setiap program.

"Ini bagi memastikan pensyarah dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada kualiti sesebuah program pengajian yang ditawarkan," kata ZulAzhar.

-- BERNAMA

 

KANGAR 26 Mei: Anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disaran untuk terus meningkatkan daya saing dengan tidak hanya terikat dengan modul-modul kepolisan.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, beliau mahu SUKSIS UniMAP menjadi pencetus kepada perkara baharu melalui aktiviti yang boleh disumbangkan kepada komuniti, Negara dan antarabangsa

“Tahun lalu kita telah berjaya menganjurkan dua program iaitu SUKSIS Community Outreach Program &  Engagement (Scope) ke Cambodia dan program Sustain The Nature For The Future di Pulau Langkawi.

“Dengan inisiatif yang telah dimulakan ini, saya berharap ianya tidak terhenti malah menjadi titik permulaan untuk kita terus menerajui inisiatif berimpak kepada universiti, komuniti, negara dan antarabangsa,”katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Kawad Komandan Kor Suksis UniMAP 2016, di Kampus UniMAP Kubang Gajah, di sini Baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Komandan Kor SUKSIS UniMAP, Supritendan Kor SUKSIS UniMAP,  Prof. Madya Dr. Khairul Nizar Ismail,  Pegawai Latihan Luar Kor SUKSIS,Asisten Superintendent  Kor SUKSIS, Raja Shah Erman Raja Arifin dan Pegawai Penyelaras Kor SUKSIS UniMAP, Asisten Superintendent  Che Yob Pin.

Ujar Zul Azhar lagi, pembentukan mahasiswa yang berdaya saing perlu seiring dengan pencapaian prestasi akademik yang akan menjadikan Anggota Kor SUKSIS UniMAP itu sendiri mempunyai nilai tambah berbanding pelajar lain yang tidak berpeluang membina ilmu dan kemahiran secara komprehensif.

Terdahulu Zul Azhar yang juga Komandan Kor SUKSIS UniMAP memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan. Pada majlis itu juga, seramai enam anggota menerima Sijil Penghargaan Pencapaian Terbaik.

Salah seorang penerima Sijil Penghargaan Pencapaian Terbaik, Mohamad Suhaimi R Ajami,pelajar tahun tiga, Ijazah Sarjana Muda Elektrik Sistem Tenaga berkata, SUKSIS mengajar beliau untuk mempunyai disiplin yang tinggi.

“Saya bersyukur kerana terpilih untuk menyertai SUKSIS, ia banyak mengajar saya untuk menjadi lebih berdisplin disamping belajar untuk membahagikan masa dengan baik.

“Di samping itu juga, melalui SUKSIS saya dapat berbakti kepada orang ramai kerana banyak aktiviti yang dijalankan lebih menjurus kepada kemasyarakatan,”katanya.

Beliau berharap agar anggota SUKSIS lain menggunakan sebaiknya peluang yang ada untuk mengambil ilmu yang diperolehi sepanjang menyertai SUKSIS kerana ia tidak boleh diperolehi di dalam kelas.

“Gunakan sepenuhnya l peluang yang diberikan ini untuk mengambil ilmu dalam mendisiplinkan diri dan setiap pelajar perlu seimbangkan antara akademik dan ko kurikulum,”katanya lagi.

Majlis Kawad Komandan Kor SUKSIS dihadiri kira-kira 190 orang anggota Kor SUKSIS yang terdiri daripada Skuad 2013, Skuad 2014 dan Skuad 2015.

Ia merupakan acara tahunan bagi memberi peluang kepada Skuad Senior menyiapkan diri sebelum menghadiri Hari Pentauliahan disamping Penyampaian Amanat Komandan kepada semua Anggota Kor SUKSIS.

Dengan hormatnya saya diarah merujuk kepada perkara diatas.

2. Sebagai makluman berikutan dengan kejadian ribut pada 24 Mei 2016 Pengurusan Universiti telah mengarahkan agar Bilik Gerakan Bencana diaktifkan semula. Sehubungan dengan itu, Bilik Gerakan kini dalam proses mengumpulkan semua maklumat mengenai kerosakan pada bangunan, kemudahan dan harta benda universiti yang rosak akibat dari kejadian ribut tersebut.

3. Bersama ini disertakan borang maklumat kerosakan untuk diisi oleh PTj YBhg Prof/Prof Madya/Dr/Tuan/Puan jika ada sebarang kerosakan pada bangunan, kemudahan dan harta benda universiti yang dibawah pemantauan ptj YBhg Prof/Prof Madya/Dr/Tuan/Puan dan borang ini perlu dikembalikan dengan SEGERA ke mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.. Borang ini juga boleh dimuatturun menerusi laman web rasmi http://bencana.unimap.edu.my

4. Jika terdapat staf dibawah YBhg Prof/Prof Madya/Dr/Tuan/Puan yang juga menjadi mangsa mohon dimaklumkan kepada staf tersebut untuk mengisi borang elektronik di laman rasmi http://bencana.unimap.edu.my

KANGAR, 23 Mei – Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama SME Corporation Malaysia (SME Corp) menganjurkan Program Breakfast Bersama CEO@University bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dari individu yang berjaya dalam bidang perniagaan.

Dekan PPIPT, Prof. Madya Dr. Hazry Desa berkata,  menerusi kajian sudah terbukti bahawa pendidikan keusahawanan mampu menjadikan pelajar lebih berdaya saing dari segi pemikiran dan tingkah laku.

“Pada program kali ini, kita telah membawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mega Padu Sdn. Bhd. dan Pengusaha Produk terkenal SimplySiti, Dato’ Normaziah Sheikh Mohamed bagi berkongsi ilmu dan pengalaman.

“Saya melihat program seperti ini akan dapat menaikkan semangat para pelajar untuk menceburi bidang perniagaan kerana mereka dapat mendengar dan bertanya sendiri pengalaman susah payah seseorang CEO itu sebelum menempuh kejayaan,“katanya ketika ditemui selepas Program Breakfast Bersama CEO@University.

Turut hadir, SMECorp Kedah/Perlis, Syed Nahar Syed Harun.

Pada program itu, Dato’ Normaziah berkongsi pengalaman mengenai perjalanan hidup beliau dalam membangunkan perniagaan bermula dari butik kecantikan sehinggalah tertubuhnya Mega Padu Sdn. Bhd. yang mempunyai lebih empat anak syarikat dibawahnya.

“Untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan, seseorang usahawan itu  perlulah mempunyai minat dan sentiasa fokus dalam sesuatu perkara yang dilakukan.

“Sesorang usahawan itu perlu mengenalpasti kehendak semasa orang ramai sebelum membuat keputusan bagi penghasilan produknya,”katanya.

Ujar beliau lagi, seseorang usahawan tidak boleh mempunyai sifat malu sebaliknya perlu menebalkan muka untuk mempromosikan produknya.

Untuk rekod, Program Breakfast Bersama CEO@University merupakan anjuran kali kedua PPIPT UniMAP yang menampilkan Presiden B.Braun Kawasan Asia Pasifik, Anna Maria Braun Januari lalu.

ALOR SETAR, 22 Mei  – Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan(PPIPT) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menganjurkan Majlis Makan Malam, Business School Association 2016 (AGDBESCA16) bagi menghargai pencapaian pelajar-pelajarnya.

Majlis yang berlangsung di Hotel Star City, di sini, disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Turut hadir, Penolong Naib Canselor (Komunikasi Korporat) Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd. Zain, Dekan PPIPT Prof. Madya Dr. Hazry Desa, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Akademik) Dr. Tunku Salha Tunku Ahmad, Timbalan  Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Muhamad Azan Yaakob.

Antara anugerah yang disampaikan kepada para pelajar adalah Anugerah Kecemerlangan Akademik Perniagaan Antarabangsa bagi kategori pelajar tempatan dan antarabangsa, Anugerah Kecemerlangan Akademik Keusahawanan Kejuruteraan, Anugerah Ikon Keusahawanan, Anugerah Kesukaan, Anugerah Kebudayaan, dan Anugerah Kepimpinan.

AGDBESCA16 juga turut mencatat sejarah apabila kira-kira lebih 400 tetamu hadir pada majlis tersebut.

Penganjurannya juga turut mendapat tajaan  sepenuhnya daripada One Nation Technical Education, GISB Enterprise, Madani Offshore Sdn. Bhd., Ada Hotel & Apartment, Medic Link Marketing, Pinnikle SdnBhd, dan Hannah Cookies Coffee House.

Iasi, 21 Mei – Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus diiktiraf dan dihargai sumbangannya apabila dianugerahkan ‘Outstanding Scientist’ sempena 8th European Exhibition of Creativity and Innovation( EUROINVENT 2016) di Palas Mall, di sini, semalam.

Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin yang juga Presiden Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dianugerahkan anugerah berkenaan di atas sumbangan beliau dalam perkembangan bidang bahan termaju di antara kedua-dua negara Malaysia dan Romania.

Ini berikutan sejak 2010, lebih 100 penerbitan akademik termasuk jurnal berimpak, buku, prosiding dan banyak lagi berjaya dihasilkan hasil hubungan erat dua hala itu.

Selain itu, pasukan Malaysia turut mencatat kejayaan membanggakan di EUROINVENT 2016 apabila hasil penyelidikan mereka mendapat pengiktirafan daripada pelbagai agensi serta meraih sembilan pingat emas dan empat perak.

Menurut Dr Kamarudin, salah satunya ialah hasil penyelidikan UniMAP GeoPipe oleh pelajar doktor falsafah (PhD) Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Mohamad Firdaus Abu Hashim yang meraih anugerah khas daripada Croation Inventors Association dan Best Invention Association of Thai Innovation and Invenyion Promotion (ATIP) Thailand bersama pingat emas.

“Satu lagi pingat emas UniMAP juga disumbangkan oleh Prof. Madya Dr Zainab Hamzah melalui penyelidikanya A Portable and Handy Edible Bird Nest Instant Drink yang turut mendapat penghargaan khas daripada University of Sibiu Romania.

“Tujuh pingat emas Malaysia yang lain disumbangkan oleh Prof. Dr. Hanafi Ismail (Universiti Sains Malaysia), Prof. Ir. Dr. Muhd Fadhil Nuruddin (Universiti Teknologi Petronas), Dr. Ervina Efzan Mohd Nor (Multimedia University), Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, MRSM Betong Sarawak dan Sekolah Tinggi Kluang Johor dengan dua daripada pingat emas itu disumbangkan oleh syarikat persendirian iaitu FX Group Sdn. Bhd  yang turut sama menyertai pameran EUROINVENT kali ini,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini.

Terdahulu, MyRIS turut menjalinkan kerjasama dua hala dengan Eurobusiness Haller dari Poland dan Association of Thai Innovation and Invenyion Promotion (ATIP) Thailand dengan dihadiri sendiri oleh Presidennya iaitu Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin manakala Haller diwakili oleh Agnieszka Jastrzabska dan ATIP dihadiri oleh Pengerusinya iaitu Prof. Madya Dr. Unchalee Sa.

Turut diadakan International Conference on Innovative Materials (ICIR 2016) yang diadakan di Hotel Ramada Iasi Romania yang melibatkan hampir 100 kertas kerja daripada 17 buah negara dimana hasil kerja yang berkualiti akan diterbitkan dalam jurnal berimpak Scopus dengan dua pembentang utama Malaysia yang dijemput iaitu Dr. Norsuria Mahmed ( UniMAP) dan Prof. Ir. Dr. Muhd Fadhil Nuruddin (UTP) anjuran UniMAP bersama Georghe Asachi Technical Univeraity of Iasi Romania.

Lebih 500 inovasi dipertandingkan melibatkan hampir 40 buah negara telah menyertai pertandingan EUROINVENT 2016 kali ini antaranya ialah Bulgaria, Canada, Croatia, Egypt, Indonesia, Iran, Iraq, Korea, Taiwan, Moldova, Arab Saudi, Thailand, Russia, Poland, Vietnam, United Kingdom dan United States of America serta banyak lagi.

Perasmian EUROINVENT 2016 berkenaan disempurnakan oleh Datuk Bandar Iasi iaitu Mihai Chirica.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Dato' Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata pencapaian membanggakan ini menunjukkan UniMAP mempunyai hasil jaringan antarabangsa yang baik dan aktif.

“Saya rasa amat bersyukur atas pencapaian sangat memberangsangkan yang memberikan impak kepada UniMAP dan berharap UniMAP mengekalkan kecemerlangan ini di masa hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Ini merupakan pencapaian pertama UniMAP di persada antarabangsa semenjak beliau menjadi Naib Canselor pada 1 Mei yang lalu.

Arau, 21 Mei- Lebih 10,000 pengunjungmembanjiriperkarangan Istana Arau bagi memeriahkan Malam Kilauan Cahaya 2016 yang berlangsung mulai semalam, di sini.

Keadaan hujan renyai-renyai tidak menghalang pengunjung untuk hadir seawal jam 8 malam pada hari pertama bagi menyaksikan persembahan kebudayaan dekorasi lampu pelbagai warna, lawatan ke Galeri DiRaja serta pertunjukan bunga api.

Seorang pengunjung Syafawani Shaffi, 25 berkata, program yang diadakan sekali setahun ini memberi peluang kepada rakyat negeri Perlis yang tidak pernah memasuki perkarangan istana untuk berkunjung ke sini.

“Program seperti ini perlu terus diadakan pada masa akan datang untuk memberi peluang kepada masyarakat, remaja serta kanak-kanak untuk melihat sendiri istana dari dekat serta mengetahui sejarah institusi diraja negeri ini.

“Selain itu, program ini yang berlangsung pada hujung minggu turut memberi peluang warga negeri ini dan negeri jiran dapat beriadah di hujung minggu sambil berhibur”, katanya ketika ditemuramah di sini.

Seorang lagi pengunjung Tan Hooi Lang, 52 berkata, ini adalah kali keempat beliau berkunjung ke sini dan tidak kisah walaupun datang dari Jitra yang mengambil masa kira-kira 45 minit perjalanan.

“Jarak yang jauh bukan penghalang untuk saya ke sini bagi mengambil peluang beriadah bersama rakan-rakan serta merakamkan gambar sebagai kenang-kenangan.

“Walaupun cuaca tidak menentu dan hujan pada malam ini, saya dapati ramai pengunjung mengambil peluang ini untuk bersama-sama keluarga dan rakan taulan sekaligus menunjukkan program ini bermanfaat kepada warga negeri Perlis serta kawasan berhampiran,” katanya.

Malam Kilauan Cahaya 2016 itu adalah program tahunan anjuran Universiti Malaysia Perlis dengan kerjasama Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis yang diadakan ini bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke 73.

Program itu turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, persembahan silapmata, pertunjukan yo-yo serta kasut roda oleh persatuan The Knight Bladerz.

Terdahulu, Raja Muda Perlis, Duli Yang TeramatMuliaTuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullaildan Raja Pua nMuda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut mencemar duli beramah mesra dengan pengunjung yang hadir.

Baginda berdua turut berkenan menyaksikan penyerahan dua cek sumbangan kepada Hab Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-HEART)diwakili Timbalan Ketua Pustakawan Nizam Azid yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia, Dato’ Zulkiply Ramli bernilai RM4380 dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi JabatanPerpaduan Negara dan Integrasi Nasional Malaysia, Abdul Halim Omar bernilai RM2400 di program berkenaan.

Langkawi 18 Mei: Seramai 40 ahli Kumpulan Latihan Kelana Mahasiswa Laut (KLKM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengikuti program Eksplorasi Maritim III bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) 2016 di Langkawi baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Pusat Ko-Kurikulum UniMAP Ahmad Nasir Che Rosli   berkata program selama dua hari itu menumpukan latihan aktiviti air dan ilmu berkaitan pelayaran merangkumi seamanship, navigasi, teknikal dan penguatkuasaan.

“Para peserta diberikan pendedahan ilmu di air oleh jurulatih KLKM Laut UniMAP manakala program pelayaran dibuat oleh pihak APMM melibatkan dua buah kapal iaitu KM Tenggol dan KM Sikuati. 

“Ia bertujuan untuk memantapkan silibus ko-kurikulum KLKM Laut UniMAP selain peserta banyak didedahkan dengan ilmu teori didalam kelas sekaligus dapat menambah ilmu sedia ada,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Daerah Maritim 1 Langkawi, di sini.

Ujar beliau lagi, semua modul itu amat berguna kepada semua peserta  terutamanya kepada yang meminati aktiviti air terutamanya bagi tujuan keselamatan.

“Ilmu yang didedahkan semasa aktiviti air dapat membantu peserta bagi menangani perkara buruk yang boleh berlaku semasa melakukan aktiviti air seperti memberi bantuan awal sekiranya berlakunya kejadian tidak diingini seperti kejadian lemas.

“Justeru, saya berharap program seperti ini bersama APMM ini dapat dianjurkan lagi pada masa hadapan kerana pengisiannya adalah amat bermanfaat kepada ahli KLKM Laut UniMAP,” kata beliau.

 

Sementara itu, pihak APMM turut melakukan demonstrasi penguatkuasaan dimana demo penahanan bot yang disyaki melanggar undang-undang maritim dibuat sebagai pendedahan kepada para peserta.

Turut hadir pada program ini ialah Leftenen Komander Maritim Mohd Aizad Zainudin yang mewakili Laksamana Pertama Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee.

Kuala Lumpur, 14 Mei – Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin diangkat sebagai penerima pertama anugerah MINDS Visionary kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada Malam Budaya Cipta sempena 27th International Innovation Exhibition 2016 (ITEX’16) yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental malam tadi.

Beliau terpilih selepas menunjukkan komitmen yang tinggi, dan kerjasama yang jitu, serta sokongan dan usaha yang tidak berbelah bahagi dalam memartabatkan penyelidikan di Malaysia melalui kepimpinannya semasa menjadi Naib Canselor UniMAP.

Pengasas dan Presiden MINDS, Tan Sri Emeritus Prof. Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock berkata, anugerah itu diberikan kepada individu yang banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat melalui kepimpinannya.

“Anugerah ini baharu pertama kali diperkenalkan pada ITEX 2016 dan diberikan khusus buat insan yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap bidang sains dan teknologi demi kemajuan masyarakat,” katanya

Sementara itu, Datuk Kamarudin yang kini berkhidmat sebagai Penasihat Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia (KPTM) ketika ditemui menyifatkan anugerah yang diterima beliau adalah sesuatu yang sangat mengharukan dan berjanji akan lebih giat dalam memajukan bidang penyelidikan di Malaysia.

“Walaupun kini saya tidak lagi berkhidmat sebagai Naib Canselor, saya berjanji akan meneruskan usaha memartabatkan bidang penyelidikan di Malaysia bukan sahaja diperingkat pendidikan tinggi tetapi bermula dari akar umbi,” katanya.

Ujar beliau lagi, di peringkat kementerian pelbagai perancangan untuk sektor pendidikan tinggi sedang direncanakan bagi membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara maju akan tercapai tidak lama lagi.

“Sebuah Negara maju mempunyai beberapa ciri penting antaranya penguasaan ilmu pengetahuan dan juga teknologi. Oleh itu, penguasaan pendidikan dan kemajuan penyelidikan harus bergerak seiring dan tidak wajar dipandang enteng lagi jika kemajuan Negara ingin dicapai,” katanya.

Terdahulu, sebagai menghargai jasa dan sumbangan Datuk Kamarudin, penganjur ITEX 2016 iaitu MINDS menawarkan tapak pameran kepada beliau bagi mempamerkan semua kejayaan yang dilakar beliau bersama ITEX sepanjang bergelar Naib Canselor UniMAP untuk dikongsikan bersama pengunjung ITEX 2016.

ITEX’16 mempamerkan lebih 1000 penyelidikan oleh penyelidik universiti, pusat penyelidikan dalam dan luar Negara, sekolah rendah dan menengah, termasuklah sektor swasta dari 22 negara antaranya China, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Iraq, Korea, Oman, Filipina, Poland, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat, Vietnam, Malaysia dan banyak lagi.

Turut diadakan adalah Malaysian Young Inventors Exhibition (MYIE) yang menjadi platform kepada 152 penyelidik muda Negara untuk mempamerkan hasil penyelidikan mereka. Malah penyelidik muda ini juga turut berpeluang untuk bersaing dengan penyelidik muda antarabangsa melalui Asian Young Inventors Exhibition (AYIE). 

ITEX’16 dibuka untuk dilawati orang ramai bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang (12 dan 13 Mei 2016) dan 9 pagi hingga 2 petang (14 Mei 2016).

 

 

 

Kuala Lumpur, 14 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangkul seratus peratus pingat pada 27th International Innovation Exhibition 2016 (ITEX’16) yang berlangsung bermula 12 hingga 14 Mei 2016 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal jumlah peratusan pingat emas yang dicapai pada tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun lepas iaitu 46 peratus bagi tahun 2016 berbanding 30 peratus pada tahun 2015.

“Berlaku peningkatan sebanyak 16 peratus bagi pingat emas yang diraih oleh penyelidik UniMAP dan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi kami di UniMAP,” katanya ketika dihubungi selepas pengumuman keputusan pingat ITEX’16.

UniMAP telah menghantar 15 produk dan berjaya meraih tujuh pingat emas, enam perak dan dua gangsa.

Ujarnya lagi, kemenangan ini bertambah manis apabila empat produk UniMAP  yang meraih pingat emas dan dua produk pingat perak turut terpilih untuk tujuh anugerah khas yang disampaikan pada Malam Budaya Cipta yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental malam tadi.

Selain meraih pingat emas, produk Hybrid Fiber – Wireless (FI-WI) System Using Flexible Cross Correlation (FCC) Code For Future Access Networks oleh Dr. Mohd Rashidi Che Beson turut terpilih untuk menerima dua anugerah khas masing-masing dari Asia Invention Association dan Korea Invention Academy.

Produk MEMS Structure Realization Using KRF Excimer Laser Micromaching oleh Prof Madya Dr. Yufridin Wahab juga meraih anugerah khas dari Asia Invention Association.

Manakala produk penyelidikan  Dr. Mohd Zakimi Zakaria bertajuk Stance Wheel Innovation of Supporter Chair for Disable Patient pula meraih anugerah khas dari Korea Invention Academy.

Produk hasil penyelidikan Dr. Muzamir Isa bertajuk Wireless Inductive Coil Sensor Based On Abs Material For Smart On-Line Partial Discharge Detection In High Voltage Power Cable menerima anugerah khas dari Taipie International Invention Show and Technomart (INST).

Walaupun meraih pingat perak, produk penyelidikan Dr Sam Sung Ting yang bertajuk EcoMulch Film turut juga menerima anugerah khas dari pihak Korea Invention Academy. Manakala produk penyelidikan bertajuk ZNODE: Novel Natural Dye DSSC From Fruit Mixtures For Nature’s Energy Conversion oleh Ili Salwani Mohamad pula berjaya meraih anugerah khas dari Association of Polish Inventions and Rationalizers.

ITEX’16 mempamerkan lebih 1000 penyelidikan oleh penyelidik universiti, pusat penyelidikan dalam dan luar Negara, sekolah rendah dan menengah, termasuklah sektor swasta dari 22 negara antaranya China, Jerman, Hong Kong, Indonesia, Iraq, Korea, Oman, Filipina, Poland, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat, Vietnam, Malaysia dan banyak lagi.

Turut diadakan adalah Malaysian Young Inventors Exhibition (MYIE) yang menjadi platform kepada 152 penyelidik muda Negara untuk mempamerkan hasil penyelidikan mereka. Malah penyelidik muda ini juga turut berpeluang untuk bersaing dengan penyelidik muda antarabangsa melalui Asian Young Inventors Exhibition (AYIE). 

ITEX’16 dibuka untuk dilawati orang ramai bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang (12 dan 13 Mei 2016) dan 9 pagi hingga 2 petang (14 Mei 2016).

Pauh Putra, 11 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mendapat perhatian institusi pengajian tinggi dari luar negara apabila Universiti Zarqa (ZU), Jordan berhasrat bagi menjalinkan kerjasama.

Justeru, satu majlis menandatangani surat hasrat (LOI) diadakan di Library Lounge, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di antara ZU dan UniMAP, di sini, hari ini.

UniMAP diwakili Naib Canselornya, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal manakala ZU diwakili rektornya, Prof Dr Mahmoud Al-Wadiy.

Kunjungan pertama ZU ke UniMAP itu turut disertai Pengerusi Lembaga Pengarah ZU Dr Mahmoud Abu Syaerah, Pengarah Akademik Al-Bayan Corporation Dato’ Mahmoud Abdul dan Pengarah Komunikasi Korporat dan Kebudayaan ZU, Safwan Omari.

ZU mengadakan lawatan ke Malaysia dalam usaha bagi meningkatkan hubungan dengan Universiti Awam (UA) dan tertarik bagi mengadakan kerjasama dalam bidang kejuruteraan selepas dibawa melawat Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mikroelektronik, AMBIENCE, dan PTSFP.

Universiti swasta pertama di Zarqa itu ditubuhkan pada 1994 terdiri daripada enam kolej dengan 150 pelajar pada awal penubuhannya dan kini sudah mempunyai 9000 pelajar di 13 kolej dengan tujuh fakulti kemanusiaan serta enam lagi adalah fakulti saintifik.

KANGAR, 11 Mei: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan Dato’ Profesor Dr. Zul Azhar Zahid Jamal sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), bagi menggantikan Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin yang telah tamat kontrak pada 10 Februari 2016 lalu.

Perlantikan Profesor Dr. Zul Azhar itu adalah bagi tempoh tiga tahun  dan  berkuatkuasa mulai 1 Mei 2016 sehingga 30 April 2019.

Profesor Dr. Zul Azhar yang dilahirkan di Taiping, Perak dan mendapat pendidikan menengah di Malay College, Kuala Kangsar (MCKK). Beliau mempunyai kelayakan sarjana muda dan sarjana dalam bidang Fizik daripada Western Michigan University, masing-masing dalam tahun 1985 dan 1987.

Beliau kemudiannya berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) di University of Liverpool dalam bidang Kejuruteraan Bahan dengan pengkhususan  Fabrikasi dan Pencirian Bahan Elektronik.

Kemudian beliau menyambung perkhidmatan di USM sehingga UniMAP (pada waktu itu KUKUM) ditubuhkan pada tahun 2002.

Di UniMAP, Dato’ Prof. Dr Zul Azhar telah dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik sehingga tahun 2006. Seterusnya beliau diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) selama 3 tahun.

Pada tahun 2011, beliau telah dilantik pula sebagai  Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa). Setelah mantan Naib Canselor UniMAP tamat tempoh pelantikan pada bulan Februari 2016, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar telah diamanahkan untuk menjalankan tugas-tugas Naib Canselor sehingga kini.


Pengalaman YBhg. Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar dalam bidang pentadbiran menjadikan beliau calon yang sesuai untuk memimpin UniMAP ke tahap yang lebih tinggi.

Kementerian Pendidikan Tinggi turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Profesor Emeritus Dr. Kamarudin Hussin atas khidmat bakti serta sumbangan beliau sepanjang menjawat jawatan Naib Canselor UniMAP selama 14 tahun mulai 16 Februari 2002 sehingga 10 Februari 2016.

Justeru, adalah menjadi harapan KPT agar budaya kecemerlangan beliau diteruskan oleh Naib Canselor baharu UniMAP.

Sementara itu, Zul Azhar berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah yang besar dan berat, beliau berharap agar semua warga UniMAP memberikan sokongan agar dapat bersama-sama membangunkan sebuah universiti.

“Ini merupakan satu amanah yang besar dan berat, marilah kita bersama-sama membangunkan sebuah universiti,” katanya.

Pauh Putra, 10 Mei- Kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disaran bagi mendapatkan khidmat kaunseling agar dapat membantu menguruskan kewangan kehidupan seharian dengan baik.

Ini berikutan lebih 150 kakitangan universiti ini mempunyai kadar keberhutangan yang serius iaitu 60 peratus hutang daripada gaji hakiki mereka menyebabkan golongan ini menghadapi masalah kewangan yang membebankan.

Saranan ini disuarakan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal ketika menyampaikan ucapan bagi merasmikan Seminar Pengurusan Kewangan (Potongan Gaji – Pinjaman Perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB)) di Dewan Kecemerlangan UniMAP, di sini, hari ini.

Menurut Zul Azhar, adalah penting bagi kakitangan awam memahami dan mengetahui pengurusan kewangan bagi mengelakkan tekanan akibat hutang yang tinggi sehingga menjejaskan kehidupan harian.

“Adalah penting golongan ini mendapat khidmat kaunseling serta mengikuti seminar seperti hari ini bagi membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi.

“Justeru, saya berharap menerusi seminar ini, kakitangan UniMAP mendapat penerangan yang lebih jelas mengenai pengurusan kewangan terutama membabitkan pinjaman, pelaburan dan simpanan, “ kata beliau.

Seminar Pengurusan Kewangan anjuran Jabatan Bendahari dan Unit Latihan UniMAP itu turut dihadiri Pengurus Cawangan BMMB Kangar, Rosli Mahamud, serta tiga penceramah bagi tiga slot iaitu Pengurus Kanan Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LPSSA Mohd Rashidi Baba, Pengurus Cawangan ASNB Kangar Abdul Rahman Amir dan Naib Presiden merangkap Head Consumer Banking,BMMB Awang @ Musran Tawil.

Seminar berkenaan dihadiri hampir 200 kakitangan UniMAP dari pelbagai peringkat jawatan dan Pusat Tanggungjawab (PTj) dalam usaha Jabatan Bendahari meningkatkan kefahaman warga UniMAP mengenai pinjaman perumahan, pelaburan ASNB dan simpanan.

Kangar, 8 Mei 2016 – Suasana meriah memenuhi Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Sin Min, Pauh apabila seramai 300 pelajar dan orang ramai membanjiri dewan tersebut bagi sambutan Pesta Tahun Baharu Cina 2016, malam tadi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata perayaan Tahun Baharu Cina di Malaysia adalah amat unik.

“Keunikkannya adalah dari segi persembahan dan cara sambutannya melalui kepelbagaian aktiviti yang kreatif berpandukan unsur tempatan masyarakat Malaysia.

“Malah setiap tahun, penganjuran Pesta Tahun Baharu Cina dilaksanakan oleh pelajar berbeza yang dilantik  menjadi Sekretariat Program Pesta Tahun Baharu Cina,” katanya.

Lantikan berbeza ini adalah bagi memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman dalam merencana sesebuah program.

Ujar beliau lagi, dalam merencana sesebuah program, ianya tidak diadakan semata-matanya untuk mengumpul warga UniMAP, tetapi lebih kepada untuk mengekspresikan dan mengeksplorasi perspektif warga Malaysia keunikkan budaya kaum Cina dan juga budaya kaum lain.

Beliau yakin, selain mengeratkan hubungan sesama pelajar dan staf, sambutan ini juga membantu meningkatkan penghasilan graduan yang holistik, yang mempunyai kemahiran keusahawanan dan kemahiran lain yang seimbang seperti yang digariskan dalam Pelan Lonjakan Pertama.

“Ini kerana melalui penganjuran program sebegini, daya tahan dan semangat berdaya usaha untuk merealisasikan sesuatu perkara itu akan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

“Oleh itu, para pelajar ini secara tidak langsung akan mempunyai disiplin yg berkaitan pengetahuan dan kemahiran (Ilmu), Etika dan moral (akhlak) serta tingkah laku yang sesuai, pemikiran, budaya dan celik ketamadunan (Beradab) yang akan memajukan mereka ke tahap yang lebih tinggi untuk kesejahteraan hidup mereka kelak,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu adalah Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Razli Ahmad.

Hadir memeriahkan program ini adalah pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Kangar – Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan individu penting yang boleh mencorakkan masa depan negara terutama dalam aspek perpaduan dan kesetiaan kepada negara.

Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Perlis, Jazli Fadzli berkata, dalam situasi yang serba mencabar dan dengan pelbagai krisis yang melanda negara, semangat kesetiaan rakyat seringkali diuji yang mana ia membawa kepada perpecahan kaum dan agama.

Justeru, ujar beliau, mahasiswa IPT yang sememangnya terdiri dari kepelbagaiam kaum, bangsa dan agama merupakan model terbaik untuk memastikan perpaduan rakyat Malaysia terus kukuh dan utuh dalam menghadapi sebarang ancaman baik dari dalam atau luar negara.

Menurut beliau, atas dasar itu juga, BTN dengan kerjasama Sahabat Mahasiswa dan NADI Perlis menganjurkan Karnival Mahasiswa Perlis Patriotik (IMPATRIOT) khusus untuk menyuburkan semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan mahasiswa.

“Melalui penganjuran ini juga, semangat kesetiaan, bersatu padu dan harmoni dapat diterapkan dalam sanubari mahasiswa dengan cara mengukuhkan persamaan dan meraikan perbezaan antara kepelbagai masyarakat melalui penganjuran pelbagai aktiviti.

“Saya berharap, penganjuran program ini secara tidak langsung menggalakkan mahasiswa untuk meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah diciptakan berasaskan semangat cintakan Malaysia,” ujar beliau ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival IMPATRIOT di Dataran Dato’ Sheik Ahmad di sini hari ini.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan hadir menyempurnakan upacara perasmian. Yang turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, YB Jamil Saad dan Ketua Pengarah Karnival IMPATRIOT, Mohd. Suhaimi R. Ajami.

Karnival tersebut yang julung kali dianjurkan mencipta sejarah tersendiri apabila membabitkan lebih 300 mahasiswa dari 10 buah IPT di Perlis yang akan berlangsung sehingga 6 Mei ini.

Karnival IMPATRIOT 2016 bakal mempertandingkan 12 acara antaranya Street Soccer, Mencari Harta Karun, Fear Factor, pertandingan papan luncur (skateboard), Nyanyian Lagu Patriotik dan Nasyid, senamrobik, Kawad Formasi Berirama, pertandingan produk inovasi dan kreativiti serta pertunjukan seni bela diri.

Selain itu, gerai siswa niaga juga disediakan khusus untuk membudayakan aktiviti keusahawanan dikalangan mahasiswa, dengan jangkaan lebih 50 gerai niaga diperuntukkan kepada mahasiswa di semua IPT.

Turut mengisi agenda penganjuran ialah acara Night Run dan program khidmat komuniti membabitkan lebih 100 sukarelawan yang akan diadakan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Dalam pada itu, Mohd. Suhaimi yang merupakan pelajar tahun tiga di Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, selain UniMAP, IPT lain yang terlibat dalam program tersebut ialah,  Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri, Kolej Komuniti Arau, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Kolej Antarabangsa Teknologi Profesional Malaysia (KATPM).

“Jika sebelum ini saya hanya mengetuai penganjuran aktiviti di peringkat universiti sahaja, namun program kali ini memberikan cabaran yang cukup berbeza apabila saya perlu mengendalikan lebih 300 ahli sekretariat sahabat mahasiswa dalam memastikan kelancaran karnival ini.

“Saya melihat penganjuran karnival ini sebagai platform terbaik untuk saya dan sahabat mahasiswa lainnya berinteraksi, merancang dan menjayakan sesuatu acara yang besar di peringkat negeri,” ujar beliau.

Langkawi, 1 Mei – Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menganjurkan Program ‘Team Building, Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) Pemuliharaan Alam dan Busking Street Charity’ di sini, mulai 27 April sehingga 1 Mei baru-baru ini.

Program selama lima hari empat malam berkenaan diadakan di Kem Biro Tatanegara Langkawi dan sekitar Langkawi dengan disertai 31 kakitangan UKR bersama 10 pelajar UniMAP diketuai Pengarahnya UKR, Encik Mohd Izwan Izhar Haris.

Aktiviti pertama telah dijalankan dengan kerjasama Biro Tatanegara (BTN) Negeri Perlis iaitu Kursus Pemantapan dan Sahsiah Diri dengan pengisian kursus seperti Wacana Minda, Peningkatan Keilmuan Penjanaan Kesedaran (PKPK) dan riadah.

Bagi aktiviti USR, gotong royong pembersihan pantai serta aktiviti membina monumen IM4U dengan kerjasama agensi IM4U itu telah diadakan di pantai Cenang.

Pada sebelah malam pula aktiviti USR diteruskan dengan ‘Busking Street Charity’ bersama serta pelajar UniMAP selama dua malam berturut-turut yang diadakan di Cenang Mall. Di sebelah siang pada 30hb April diadakan juga ‘Busking Street Charity’ bersama Kumpulan Seni Budaya Harapan Pulau Tuba di kawasan Jetty Point.

‘Busking Street Charity’ diadakan dengan matlamat bagi mengumpul dana untuk membantu merealisasikan penubuhan Pusat Hab Sumber Pendidikan Latihan Anak Autisme (A-HEART) UniMAP serta sebagai promosi perkhidmatan UKR kepada orang ramai di sekitar Pulau Lagenda itu.

Lagu-lagu bertemakan patriotik, lagu asli serta lagu terkini yang dipersembahkan menarik  perhatian pengunjung Cenang Mall dan pelancong luar negara yang turut sama menari sekaligus memeriahkan suasana persembahan pada malam berkenaan.

Kutipan mencecah RM2,000 berjaya dikumpulkan seterusnya sebahagiannya disampaikan kepada kepada wakil A-HEART yang turut sama menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan di sini.

Secara keseluruhannya, semua aktiviti dalam program ini telah dilaksanakan dengan jayanya dengan hasil kerjasama diantara semua kakitangan UKR dan juga pelajar UniMAP yang terlibat.

Dengan pengisian yang dilakukan dalam setiap aktiviti telah mengeratkan lagi ikatan silaturrahim sesama kakitangan UKR dan mewujudkan suasana persekitaran yang baru serta memberi satu pengalaman yang baru kepada kakitangan UKR.

Selain BTN dan IM4U, agensi lain yang terlibat dalam memberi kerjasama dengan pihak UKR ialah Pejabat Daerah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat swasta, Jetty Point Reality Sdn Bhd.

 

 

 

 

 

Pauh Putra, 27 Mei – Bertemakan gabungan pelbagai budaya di Malaysia khususnya Perlis, Malam Citra Budaya UniMAP 2015 dianjurkan bersempena dengan Hari Keputeraan Ke-72 Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, di sini hari ini.

Malam Citra Budaya UniMAP 2015 diadakan bagi memartabatkan tarian dan muzik tradisional Perlis dengan melibatkan hampir 200 pelajar tempatan dan antarabangsa UniMAP serta penggiat seni tempatan.

Turut dimeriahkan juga persembahan-persembahan kebudayaan antarabangsa seperti kebudayaan dan kesenian dari Thailand, Myanmar, Indonesia, Yemen dan Uzbekistan seperti tarian Aekgalak dari Universiti Wallailak, Thailand, tarian Ratouh Jarouh dan Tarek Pukat dari Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI), tarian Jotal serta Barbie Doll dari Uzbekistan.

DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah, baginda melahirkan rasa teruja dengan persembahan berkenaan yang disifatkan Baginda setaraf dengan persembahan Istana Budaya Kuala Lumpur.

“Beta tidak akan dapat melupakan persembahan yang begitu istimewa malam ini yang mendapat sambutan begitu meriah daripada penonton yang terdiri pelbagai bangsa terutama dari negara Yemen dan Uzbekistan.

“Beta juga ingin melahirkan ucapan tahniah di atas penganjuran hebat ini termasuk persembahan ketika Malam Kilauan Cahaya di Istana Arau baru-baru ini yang menarik begitu ramai pengunjung hadir,” titah Baginda di penutup Malam Citra Budaya 2015 berkenaan.

Turut berkenan berangkat hadir ialah DYMM Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Perlis , Datuk Seri Azlan Man dan isteri, Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin serta isteri ,Datin Noridah Yangman serta Rektor UUI Ibu Marniati M. Kes.

Di malam penuh gemilang itu juga turut diadakan Anugerah Tokoh Masyhur Budi UniMAP yang dianugerahkan Allahyarham Dato’ Mustapha Maarof yang sebelum ini banyak berbakti kepada pembangunan seni dan budaya negara termasuk sumbangan kepada UniMAP dalam kerja-kerja amal serta kebajikan.

Selain itu, UniMAP turut menganugerahkan Anugerah Tokoh Cendana Budi kepada Encik Romli Mahmud yang merupakan satu-satunya penggiat Awang Batil di negara ini.

Pauh Putra, 27 Mei – Jasa dan sumbangan penggiat seni tidak dilupakan apabila Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganugerahkan Anugerah Tokoh Masyhur Budi dan Anugerah Tokoh Cendana Budi kepada karyawan terkenal Allahyarham Dato’ Mustapha Maarof dan penggiat tunggal Awang Batil negara , Romli Mahmud.

Mustapha Maarof dianugerahkan Anugerah Tokoh Masyhur Budi kerana beliau tidak pernah lokek dengan ilmu lakonan yang ada padanya sehinggakan beliau seringkali menjadi sumber rujukan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang membuat kajian dalam industri perfileman.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata dengan pengalaman luas tokoh itu, UniMAP menaruh kepercayaan kepada Allahyarham bagi menghasilkan video korporat universiti bertemakan ‘Mercu Kecemerlangan Akademik dan Penyelidikan’.

“Allahyarham juga banyak berbakti kepada pembangunan seni dan budaya negara di samping menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan untuk masyarakat sekaligus mengharumkan nama negara, negeri Perlis dan UniMAP khususnya.

“Justeru, Allahyarham dipilih bagi menerima anugerah ini dengan jasa dan sumbangan yang begitu besar serta bermakna kepada industri seni tanah air selain pengalaman lebih 50 tahun dalam seni lakonan,” kata beliau di sini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Duli Yang Amat Mulia (DYMM) Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail kepada anak Allahyarham, Ezlyana Mustapha sempena Malam Citra Budaya UniMAP 2015 itu.

Turut berkenan berangkat hadir ke majlis berkenaan ialah DYMM Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Di samping itu, bagi Anugerah Tokoh Cendana Budi UniMAP dianugerahkan kepada Romli Mahmud yang mewarisi ilmu kesenian Awang Batil daripada ayahnya Allahyarham Mahmud Wahid yang juga penutur Awang Batil pada tahun 1966.

Sehingga kini, Romli adalah satu-satunya penglipur lara yang masih aktif di Perlis dengan mempertahankan kesenian penglipurlara Awang Batil dan pernah dinobatkan Tokoh Seni Budaya Perlis 2012.

Malam Citra Budaya UniMAP 2015 diadakan sempena Hari Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis ke-72 dalam usaha bagi memartabatkan tarian dan muzik tradisional Perlis dengan melibatkan hampir 200 pelajar tempatan dan antarabangsa UniMAP serta penggiat seni tempatan.

Turut dimeriahkan juga persembahan-persembahan kebudayaan antarabangsa seperti kebudayaan dan kesenian dari Thailand, Myanmar, Indonesia, Yemen dan Uzbekistan.

Kangar, 23 Mei – Dengan matlamat bagi meredakan tekanan pelajar sebelum menghadapi peperiksaan akhir dan membantu golongan yang memerlukan, Charity Rainbow Run 2015 berlangsung dengan jayanya di Kolej Kediaman Tan Sri Aisyah Ghani (KKG), di sini, hari ini.

Program anjuran Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MPKK) KKG berkenaan berjaya melibatkan penyertaan hampir 700 peserta termasuk pelajar UniMAP dan masyarakat luar.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan yang mewakili Naib Canselor berkata terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu lelaki terbuka, wanita terbuka dan kanak-kanak.

Katanya, melalui kutipan yuran penyertaan sebanyak RM15 , sebahagiannya akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan termasuk anak-anak Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autism (A-HEART) yang ditubuhkan UniMAP tahun lalu.

UniMAP sentiasa proaktif dalam menjalankan misi tanggungjawab sosial universiti (USR), justeru melalui program seperti golongan autism dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang lain dapat dibantu,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup Charity Rainbow Run 2015.

Hadir sama ialah Encik Muhamad Azuan Nasir, Penolong Pengetua KKG mewakili Pengetua KKG, Dr Ragunathan a/l Santiagoo.

Turut berkenan berangkat hadir menyertai dan melancarkan peserta Charity Rainbow Run 2015 ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP.

Menurutnya Prof Madya Dr Mohd Foad, program larian ini turut berperanan bagi meredakan tekanan kepada pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan akhir tidak lama lagi.

“Pihak pengurusan UniMAP berharap semua pelajar dapat melalui peperiksaan akhir dengan baik serta memperolehi kecemerlangan bagi meneruskan pengajian mahupun menceburi bidang pekerjaan kelak,” katanya.

Dalam majlis tertutup Charity Rainbow Run 2015 turut diadakan cabutan bertuah dan penghargaan kepada kanak-kanak OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Kuala Lumpur, 23 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui ENVEX Young Researcher Club (EYREC) telah meraih enam pingat emas, tujuh perak dan dua gangsa pada Asian Young Inventors Exhibition 2015 (AYIE) yang diadakan sempena 26th International Invention Innovation Exhibition (ITEX) 2015 di sini.

Pingat ini disumbangkan oleh penyelidik muda UniMAP yang berusia 20 tahun dan ke bawah terdiri daripada pelajar UniMAP sendiri dan pelajar sekolah angkat UniMAP.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata EYREC telah menghantar 13 produk penyelidikan pelajar UniMAP dan tiga produk dari sekolah angkat UniMAP.

“Kita menerima dua produk dari Sekolah Kebangsaan Sena (SK Sena) dan satu produk dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP).

“Kesemua 13 produk pelajar UniMAP telah berjaya membawa pulang pingat. Manakala bagi SK Sena dan SMSTSP masing-masing menyumbangkan satu pingat gangsa dan satu pingat perak,” katanya.

Bagi beliau, penyertaan ini adalah untuk meningkatkan motivasi diri dan kecintaan pelajar terhadap sains dan teknologi.

“Di samping itu, penyertaan ini adalah mendokong hasrat negara bagi menghasilkan lebih ramai penyelidik muda di peringkat global.

“Malah ianya juga adalah selaras dengan visi Perdana Menteri yang ingin melahirkan jurutera glokal iaitu berfikir secara global dan bertindak secara lokal,” katanya.

Untuk rekod, pada ITEX 2015 UniMAP telah mencatat kejayaan manis apabila kesemua 60 produk penyelidikannya meraih pingat sekaligus mengekalkan pencapaian 100 peratus pingat seperti tahun lalu.

Pada pameran yang berlangsung bermula 21 hingga 23 Mei 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini itu, delegasi penyelidik UniMAP meraih 18 emas, 31 perak dan 11 gangsa dari 665 pingat yang ditawarkan.

ITEX 2015 anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) telah diadakan buat kali ke – 26 dengan mempertandingkan 23 kategori dan mendapat penyertaan lebih 1000 produk penyelidikan dari lebih 20 negara. 

Antara negara yang menyertai adalah Belgium, Mesir, German, Hong Kong, India, Indonesia, Iraq, Itali, Japan, Korea, Moldova, Philipina, Poland, Romania, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Thailand, Turki, Amerika Syarikat dan Malaysia.

Selain AYIE, turut diadakan adalah Malaysian Young Inventors Exhibition 2015 (MYIE) yang juga membariskan penyelidik muda berusia 20 tahun dan ke bawah.

Kuala Lumpur, 23 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mencipta sejarah tersendiri apabila salah satu produknya dipilih menerima Anugerah Best Invention bagi kategori universiti atau institusi pendidikan pada Malam Budaya Cipta (A Celebration of Creativity) yang diadakan bersempena 26th International Invention Innovation Exhibition (ITEX) 2015 di sini, semalam.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada wakil penyelidik Mohd Hafiz Arshad yang diraih melalui produknya “Portable Solar Generator: 2nd Generation (A Novel for relief during natural disaster).

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Menteri Pendidikan II, YB P. Kamalanathan P. Panchanathan; Pengasas dan Presiden Malaysian Invention and Design Society (MINDS), Tan Sri Emeritus Profesor Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock; Penasihat Sains Pertama Malaysia kepada Perdana Menteri, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr Omar Abdul Rahman; Presiden C.I.S Network Sdn Bhd yang juga pengurus program ITEX 2015, Dato’ Vincent Lim.

Mohd Hafiz berkata, usaha keras beliau dan rakan penyelidik lain dalam menghasilkan inovasi menghasilkan generator berasaskan tenaga solar mudah alih yang boleh digunakan untuk mengecas telefon bimbit terutama apabila berlaku bencana seperti banjir besar di Kelantan baru-baru ini.

Ujar beliau, inovasi berkenaan terhasil selepas melihat kesukaran mangsa bencana untuk terus berhubung dengan keluarga terdekat terutama apabila bekalan elektrik terputus.

“Atas dasar itu, saya dan rakan penyelidik lainnya mengambil inisiatif menghasilkan generator berasaskan tenaga solar yang boleh digunakan oleh mangsa banjir dan sukarelawan terutama di pusat bantuan bencana.

“Kami bekerja keras terhadap penyelidikan ini dan dengan terpilihnya produk kami ini telah memberikan satu momentum baharu untuk meningkatkan lagi kualiti penyelidikan kami di masa hadapan,” katanya.

Selain Mohd Hafiz, penyelidik lain bagi produk ini adalah Baharuddin Ismail, Azralmukmin Azmi, Mohd Zulhisham Mohd Radzi, Mohd Syahril Noor Shah dan Mohammad Faridun Naim Tajuddin.

Produk di bawah kategori Alam Sekitar dan Tenaga Boleh Diperbaharui itu juga terpilih menerima anugerah khas daripada World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) Taiwan.

Selain itu, dua lagi produk UniMAP yang turut menerima anugerah khas sama ialah produk SAC – OCDMA System Utilizing Flexible Cross Correlation (FCC) Code For Fiber – Wireless Network hasil penyelidikan Prof. Dr. Syed Alwee Aljunid Syed Junid; dan produk Fly Ash Bubble Aggregate oleh Norlia Mohamad Ibrahim.

Selain menerima anugerah khas tersebut, ketiga-tiga produk ini turut menjadi penyumbang kepada pingat emas UniMAP di ITEX 2015.

Untuk rekod, UniMAP telah mencatat kejayaan manis apabila kesemua 60 produk penyelidikannya meraih pingat pada ITEX 2015 sekaligus mengekalkan pencapaian 100 peratus pingat seperti tahun lalu.

Pada pameran yang berlangsung bermula 21 hingga 23 Mei 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini itu, delegasi penyelidik UniMAP meraih 18 emas, 31 perak dan 11 gangsa dari 665 pingat yang ditawarkan.

Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin dalam ucapannya, mengucapkan tahniah kepada penerima anugerah dan yakin mereka ini adalah sumber inspirasi kepada penyelidik lain.

Tan Sri Muhyiddin  menyifatkan tiada siapa yang mengetahui dengan lebih baik kepentingan inovasi melainkan penyelidik, akademia, para pencipta, usahawan dan pakar industri.

“Baharu semalam, inovasi telah dikenalpasti sebagai salah satu sumber cas dalam Pelan Malaysia ke – 11 untuk menguatkan peningkatan ekonomi dan menambahbaik kehidupan rakyat.

“Kita akan memberi fokus untuk mengukuhkan hubungan kapital demi menggalakkan hubungan yang lebih erat, kerjasama, dan kepercayaan di kalangan pemegang taruh. Usaha untuk mempromosikan inovasi akan dilaksanakan dari peringkat perusahaan dan masyarakat,” katanya.

ITEX 2015 anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) telah diadakan buat kali ke – 26 dengan mempertandingkan 23 kategori dan mendapat penyertaan lebih 1000 produk penyelidikan dari lebih 20 negara. 

Antara negara yang menyertai adalah Belgium, Mesir, German, Hong Kong, India, Indonesia, Iraq, Itali, Japan, Korea, Moldova, Philipina, Poland, Romania, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Thailand, Turki, Amerika Syarikat dan Malaysia.

Turut diadakan adalah Asian Young Inventors Exhibition 2015 (AYIE) dan Malaysian Young Inventors Exhibition 2015 (MYIE) yang membariskan penyelidik muda berusia 20 tahun dan ke bawah.

Kuala Lumpur, 22 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatat kejayaan manis apabila kesemua 60 produk penyelidikannya meraih pingat pada 26th International Invention Innovation Exhibition (ITEX) 2015 sekaligus mengekalkan pencapaian 100 peratus pingat seperti tahun lalu.

Pada pameran yang berlangsung bermula 21 hingga 23 Mei 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini itu, delegasi penyelidik UniMAP meraih 18 emas, 31 perak dan 11 gangsa dari 665 pingat yang ditawarkan.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berbangga dengan pencapaian yang diraih tersebut memandangkan kriteria perjurian yang ketat.

“Kita berjaya mengekalkan 100 peratus pingat sama seperti tahun lepas walaupun saya mengharapkan jumlah pingat emas yang lebih banyak pada penyertaan kali ini.

“Namun, ia tetap merupakan pencapaian yang terbaik apabila tiada penyelidik yang pulang dengan tangan kosong, namun analisis diperingkat dalaman akan tetap dilaksanakan bagi memastikan produk yang menyertai ITEX pada masa hadapan adalah terbaik, berkualiti dan menepati kriteria penjurian yang ditetapkan oleh penganjur,” katanya.

Untuk rekod, UniMAP turut meraih 100 peratus pada pameran ITEX 2014 dengan meraih 55 emas, 14 perak dan satu gangsa dari 70 produk yang dipertandingkan.

Menurut Datuk Kamarudin lagi, walaupun berlaku penurunan jumlah pingat emas, namun beliau positif bahawa semua penyelidik UniMAP yang menyertai ITEX 2015 telah melakukan yang terbaik pada sesi penjurian yang berlangsung semalam.

“Malam ini akan diadakan Malam Budaya Cipta (A Celebration of Creativity) bagi memberikan pengiktirafan melalui Anugerah Khas oleh agensi dalam dan luar negara bagi produk-produk penyelidikan yang terbaik. 

“Saya mengharapkan akan ada produk UniMAP yang tersenarai sebagai penerima Anugerah Khas tersebut,” katanya.

Tidak ketinggalan turut akan diumumkan adalah anugerah Patron bagi agensi yang mencatatkan keputusan yang terbaik dalam ITEX 2015 ini.

ITEX 2015 anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) telah diadakan buat kali ke – 26 dengan mempertandingkan 23 kategori dan mendapat penyertaan lebih 1000 produk penyelidikan dari lebih 20 negara. 

Antara negara yang menyertai adalah Belgium, Mesir, German, Hong Kong, India, Indonesia, Iraq, Itali, Japan, Korea, Moldova, Philipina, Poland, Romania, Rusia, Arab Saudi, Taiwan, Thailand, Turki, Amerika Syarikat dan Malaysia.

Turut diadakan adalah Asian Young Inventors Exhibition 2015 (AYIE) dan Malaysian Young Inventors Exhibition 2015 (MYIE) yang membariskan penyelidik muda berusia 20 tahun dan ke bawah.

Kangar, 19 Mei – Majlis Penghuni Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani [KKTAG] Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menganjurkan Program Charity Rainbow Run [CRR] 2015  buat julung kalinya akan diadakan pada 23 Mei 2015 ini dalam usaha untuk menarik para pelajar ke arah kepentingan bersukan selain kepentingan akademik.

Pengarah Program CRR  2015 merangkap YDP MPKKTAG, Sdr. Mohd Rafi’uddin bin Mohaygen ketika ditemui berkata program ini merupakan program julung kali diadakan yang dianjurkan sepenuhnya oleh Majlis Penghuni Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani [KKTAG] dengan kerjasama Pusat Sukan UniMAP dan A-HEART akan dilangsungkan di Padang Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani untuk acara pelepasan larian dan majlis penutup akan diadakan di Dewan Terbuka Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani, UniMAP.

“Penganjuran CRR 2015 terbuka kepada empat (4) kategori iaitu Kategori Kanak-kanak, Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Wanita Veteran dan Lelaki Veteran. Peserta akan dibekalkan dengan serbuk warna yang akan dibaling sepanjang berlangsungnya program tersebut. Selain itu juga t-shirt, sarapan pagi serta  cabutan bertuah turut disediakan.

Beliau juga yakin melalui  penganjuran program sebegini, ia akan menarik lebih ramai minat pelajar untuk menyertainya terutamanya bagi melegakan tekanan pembelajaran sebelum peperiksaan akhir semester berlangsung dua minggu lagi.

“Saya amat mengalu-alukan penyertaan dari sekitar zon utara dan tarikh akhir penyertaan adalah pada 20 Mei 2015. Kepada yang berminat boleh terus menghubungi  Saudara Rafi’uddin di talian 017-9934695 ATAU Saudari Ema Najwa di talian 019-2940528.

KANGAR, 18 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dinobat sebagai pemenang utama pameran inovasi antarabangsa 'European Exhibition of Creativity and Innovation' (EUROINVENT 2015) di Iasi, Romania.

Kejayaan tersebut membolehkan delegasi UniMAP membawa pulang sembilan pingat emas dan lima pingat perak pada pameran tiga hari itu bermula 14 Mei lepas di Pallas Mall.

Penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP, Dr Noorhafiza Muhammad menjadi tumpuan apabila meraih anugerah khas Penyelidik Wanita EUROINVENT 2015.

"Ini adalah kejayaan tahun kedua penyelidik wanita UniMAP meraih anugerah sama yang manis buat UniMAP," kata Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin dalam e-mel kepada media di sini, hari ini.

Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK Bahan) Dr Heah Cheng Yong; Dr Norazian Mohamed Noor (PPK Alam Sekitar); Prof Madya Dr Zainab Othman dan Nazmizan Muhammad (Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) turut menyumbang pingat emas.

Empat penyelidik (PPK Pembuatan) yang menyumbangkan pingat emas pula ialah Dr Mohd Sazli Saad, Irfan Abdul Rahim, Muhammad Faridzuan Rosli dan Norshah Afizi Shuaib, kata Kamarudin.

Menurutnya penyelidik Irfan Abdul Rahim meraih Anugerah Khas Gheorghe Asachi Technical University of Iasi (TUIASI) bagi produk 'A New Design Thermoacoustic Energy Converter' (WH2E).

Nazmizan Muhammad dengan inovasi 'Impregnated Wood For Sport Application' memenangi Anugerah Khas Croatia manakala Anugerah Khas Poland dimenangi Dr Heah Cheng Yong menerusi produk 'THERMOGUARD.'

'Prediction of Air Pollution from Rice Straw Open Burning Using AERMOD' hasil penyelidikan bersama Dr Norazian Mohamed Noor (UniMAP) dan penyelidik Universiti Wailalak, Thailand, Tong Chai Kanabkaew dan Teerasak Poon Khaolorn menerima anugerah khas.

Kamarudin berkata pencapaian luar biasa dalam penyelidikan di UniMAP mendorong universiti itu untuk terus memberi tumpuan kerjasama dengan universiti dan pusat penyelidikan di Romania bagi memperkasa penyelidikan yang berkualiti.

Sempena pameran itu, CEGeoGTech UniMAP menandatangani dua surat hasrat dengan National Institute of Materials Physic (NIMP) dan Scientific Research Platform di bawah TUIASI lanjutan perbincangan kedua-dua pihak semasa Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Teknologi Bahan Termaju (ICAMET) di Vietnam pada Disember tahun lepas.

KANGAR, 18 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mencipta sejarah apabila seorang lagi pensyarahnya dilantik sebagai Penyelidik Bersekutu Kehormat di Universiti Teknikal Iasi (TUIASI), Romania.

Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Prof Madya Dr Che Mohd Ruzaidi menjadi pensyarah UniMAP yang ketiga dilantik memegang jawatan itu dalam bidang plastik dan polimer bagi tempoh dua tahun.

Pelantikan itu dibuat bersempena Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Berinovasi (ICIR) anjuran Pusat Kecemerlangan Geopolimer & Teknologi Hijau (CEGeoGTech) bersama TUIASI di Dewan Seminar Pallas Mall di Iasi, Romania pada 14 dan 15 Mei lepas.

Menurut Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin, UniMAP turut mencipta sejarah tersendiri apabila dua ahli akademiknya dijemput sebagai pembentang utama pada seminar itu yang dihadiri lebih 15 negara antaranya Maldova, Rusia, Taiwan, Brazil, Ukraine, Israel dan Romania.

Che Mohd Ruzaidi membentangkan kertas kerja 'Geopolimer Sebagai Bahan Pembinaan' manakala Dr Noorhafiza Muhammad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan membentangkan hasil penyelidikan beliau dalam bidang Teknologi Laser bersama pembentang utama dari Maldova.

"Persidangan ini adalah hasil kerjasama rapat antara kedua-dua universiti yang menandatangani persefahaman kerjasama dalam penyelidikan geopolimer sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Menurut Kamaruddin, penganjur persidangan menerima lebih 100 kertas kerja dan 71 daripadanya diterbitkan dalam jurnal 'Key of Engineering Materials' berindeks Scopus, selepas dinilai oleh editor dan 25 lagi dibenarkan pembentangannya.

Pada seminar itu, UniMAP melalui CEGeoGTech menandatangani surat setuju hasrat sebagai rakan kolaborasi dengan TUIASI dan Scientific Research Platform (ENERED) dalam bidang 'Research Platform for Developing Efficient and Sustainable Energy' termasuk penerbitan, penyelidikan, pendapatan geran penyelidikan dan penyeliaan secara bersama.

UniMAP diwakili Prof Madya Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah manakala TUIASI oleh Timbalan Rektor Akademiknya, Prof Dr Ing. Ioan Cioara menandatangani surat setuju hasrat tersebut.

ENERED ialah pusat saintifik dasar yang ditubuhkan oleh TUIASI bertujuan memperhebatkan bidang penyelidikan serta mendapatkan geran penyelidikan di bawah Majlis Eropah.

Batam, Indonesia, 14 Mei – Pimpinan Pendidikan Tinggi Swasta (Kopertis) Wilayah Acheh perlu berani meluaskan kolaborasi dengan rakan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) luar Negara dalam usaha untuk menempatkan diri sebagai antara universiti terbaik di dunia.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, penghasilan universiti bertaraf dunia telah menjadi satu cabaran baru kepada sektor pengajian tinggi di seluruh dunia memandangkan ia menjadi sumber penting dalam membuat keputusan untuk penghasilan bakat.

“Justeru, saya ingin menggesa kesemua universitas swasta di Acheh untuk melebarkan kolaborasi dengan IPT di luar Negara merangkumi bidang akademik, penyelidikan dan perkongsian tenaga pakar yang akan menyumbang kepada keterlihatan universitas di persada antarabangsa,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketikan menyampaikan ucap tama bertajuk Oendekatan Inovatif Ke Arah Menjadi Universiti Bertaraf Dunia kepada lebih 150 peserta yang terdiri dari Rektor pada Rapat Kerja dan Koordinasi Dengan Pimpinan PTS Dalam Provinsi Aceh di Hotel Harmoni One di sini.

Turut hadir, Ketua Yayasan Ubudiah Indonesia, Zefrizal dan Rektor Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI), Marniati M. Kes.

Menurut Dr. Kamarudin, semua universitas swasta di wilayah ACheh harus mencontohi inisiatif yang diambil oleh UUI dalam usaha menempatkan dirinya menjadi antara universiti siber terkemuka di dunia.

“Kesungguhan dan iltizam tinggi dari UUI mendorong universitas berkenaan melantik saya sebagai penasihat dengan memberi fokus kepada indikator yang telah ditetapkan oleh QS world Rankings dan Ratings.

“Menerusi indikator yang dibangunkan bersama, UUI kini telah mempunyai lebih 50 penerbitan di scopus dan pada masa sama berjaya menganjurkan satu persidangan bertaraf antarabangsa membabitkan kolaborasi empat buah negara iaitu Indonesia, Malaysia Bangladesh dan Ireland,” ujar beliau.

Jelas Dr, Kamarudin, melalui usahasama dan kolaborasi ini juga seterusnya akan meningkatkan jumlah hasil penyelidikan dan produk yang telah dihasilkan oleh sesebuah universiti.

Ujar beliau lagi, tidak ada kejayaan mudah yang mampu diraih oleh mana-mana universiti di seluruh dunia jika tidak mampu untuk berdepan engan cabaran dan persaingan pendidikan tinggi yang lebih terbuka.

UniMAP juga bermula pada usia muda dan sebagai univeristi ke0-17 yang ditubuhkan, namun kita telah berjaya meningkatkan bilangan penerbitan yang diindeks Scopus daripada hanya dua kertas kerja pada tahun 2003 hingga 3,757 kertas pada tahun 2014.

“Akses kepada pangkalan data Scopus baru-baru ini juga menunjukkan bahawa jumlah sitasi turut meningkat daripada hanya 51 sitasi pada tahun 2003 kepada 6,796 sitasi pada tahun 2014 Ujarnya.

Beliau menambah, adalah jelas dan nyata kini apabila para penyelidik UniMAP sedang bergerak pantas ke arah penghasilan kerja-kerja penyelidikan yang bermutu tinggi dalam meneroka teknologi baru dari semasa ke semasa.

ARAU, 14  Mei - Kadar kemalangan maut yang melibatkan remaja terutama pelajar Universiti Awam ternyata berada di tahap yang amat membimbangkan.

Atas kesedaran itu, Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MPKK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Perlis (JKJR) dengan kerjasama UA Motor Kangar telah menganjurkan Program Keselamatan Jalan Raya dan Penyelenggaraan Motorsikal “Jom Balik Kampung”.

Naib Canselor UniMAP, Briged.Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, program itu bertujuan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar dalam mengendalikan penyelenggaraan motosikal secara sistematik dan efisien supaya selamat digunakan semasa berada di jalan raya.

“Seperti yang kita sedia maklum, penunggang motosikal merupakan antara yang paling berisiko terlibat dalam kemalangan maut.

“Oleh itu, mereka haruslah menitikberatkan ciri-ciri keselamatan seperti pemakaian topi keledar dan jaket keselamatan yang lengkap dengan pemantul cahaya bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan atau kecederaan,”katanya dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Turut hadir, Pengarah JKJR, Kalai Kumar Periyasamy,Penurus UA Motor Kangar, Lim Tiang Chuan dan Pengetua Kolej Kediaman UniMAP, Dr. Wong Yee Shian, Hirwan Jasbir Jaafar dan Syed Akhmal Syed Jamalil.

Ujar Datuk Kamarudin lagi,  program kesedaran tersebut adalah amat digalakkan d diadakan di peringkat universiti kerana menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), motosikal dan kereta masing-masing mencatatkan lebih 60 peratus dan 20 peratus kematian di jalan raya dengan kadar kemalangan maut paling tinggi melibatkan orang muda yang berumur di antara 16 hingga 25 tahun pada tahun lalu.

“Saya berharap dengan adanya program ini, anak-anak pelajar akan sentiasa berwaspada apabila berada di jalan raya waima ketika pulang ke kampung atau dalam melakukan aktiviti seharian,”katanya lagi.

Kangar, 9 Mei – Sumbangan media dalam membantu mempromosikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui penulisan dan hebahan, diiktiraf dengan penganjuran 'Malam Mesra Media-UniMAP 2015' di Hotel Seri Malaysia di sini, malam tadi.

Pelbagai anugerah diberikan khusus bagi menghargai sumbangan media di negeri itu.

Pada majlis tersebut, Pengarah Jabatan Penyiaran Perlis, Munah Badar dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh pada Malam Mesra Media Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2015 sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam membantu mempromosikan UniMAP melalui saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Stesen Radio Perlis fm.

Beliau menerima hadiah berupa wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan daripada Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin pada majlis bertemakan Bollywood yang dianjurkan khusus untuk menghargai lebih 100 pengamal media cetak dan elektronik di negeri Perlis.

Turut hadir, Setiausaha Sulit Menteri Pendidikan Malaysia, Haji Mohd. Nizar Haji Sudin dan isteri serta Pengerusi Kelab Media Perlis (KEPMs), Shahidi Shahidan.

Menurut Dr. Kamarudin, Munah merupakan antara individu yang berperanan sebagai pemudahcara dalam membantu universiti menyalurkan maklumat selain turut menyokong sebarang penganjuran aktiviti dan program yang memerlukan penglibatan RTM.

Ujar Dr. Kamarudin lagi, hasil sokongan beliau juga, RTM kekal menjadi rakan konti rasmi UniMAP pada setiap edisi Festival Konvokesyen yang beroperasi terus dari tapak festival selain turut menawarkan slot promosi di Perlis Fm.

“Ini merupakan bukti kerjasama pintar yang boleh diwujudkan oleh universiti dan media untuk terus menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan universiti terus kepada masyarakat melalui laporan berita dan hebahan di radio,” ujar beliau.

Anugerah Tokoh Malam Mesra Media UniMAP mula diperkenalkan pada edisi tahun 2014 khusus untuk menghargai individu atau tokoh yang banyak membantu UniMAP dalam aspek publisiti di media yang dianugerahkan kepada mantan Ketua Biro Bernama, Adnan Jahaya.

Selain Anugerah Tokoh, UniMAP turut mengiktiraf Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melalui anugerah liputan berita terbanyak sepanjang tahun 2014 yang lalu selain turut menyediakan pengiktirafan kepada pengamal media cetak dan elektronik yang banyak mempromosikan universiti ke tahap tertinggi melalui anugerah-anugerah liputan berita, rencana dan foto.

Wartawan Berita Harian, Nurul Diyanah Mohd. Anuar menerima pengiktirafan penulisan berita terbaik bagi kategori Bahasa Melayu manakala bagi kategori Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina dimenangi oleh wartawan New Straits Time, Ili Shazwani Ihsan dan wartawan Sin Chew Daily, Chong Keat Yin.

Bagi kategori penulisan berita TV terbaik pula dimenangi oleh krew penyiaran RTM menerusi liputan berita Asian Summer Program (ASP) yang dihoskan oleh UniMAP tahun lalu manakala penulisan rencana terbaik menjadi milik Megat Lutfi Rahim dari akhbar Kosmo.

Muhammad Iqbal Rosli dari Utusaan Malaysia pula meraih anugerah liputan gambar terbaik. Semua pemenang menerima hadiah berupa wang tunai RM500 dan sijil penghargaan.

PUTRAJAYA, 5  Mei - Seramai 650,000 kakitangan dan pelajar dari 20 Universiti Awam (UA) bakal menikmati manfaat memulakan perjalanan dengan lebih jimat dan mudah menggunakan 'Waran Perjalanan Udara Awam' (WPUA) AirAsia.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, kelebihan tersebut diperoleh selepas 20 IPTA menandatangani memorandum perjanjian persetujuan (MoA) dengan AirAsia Berhad.

“Usaha ini akan meningkatkan lagi kemudahan dan keselesaan perjalanan serta penjimatan yang khusus kepada mereka melalui tambang rendah Air Asia ini.

“Program WPUA ini akan dapat memberi kemudahan dan penjimatan kepada kakitangan  dan pelajar UA dalam menjalankan tugasan, selaras dengan seruan kerajaan untuk semua agensi kerajaan melaksanakan perbelanjaan berhemah,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoA Air Asia dengan 20 UA di Dewan Zaaba KPM di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin serta lain-lain Naib Canselor UA.

Sementara itu, Aireen Omar berkata, program khas tersebut, bagi agensi kerajaan dan badan berkanun termasuk universiti awam, akan membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih efisien dan tanpa kos berlebihan.  

“Kita mempunyai rangkaian domestik terbesar, menghubungkan bukan sahaja Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak, tetapi juga destinasi dalaman di Sabah dan Sarawak, memudahkan pelan perjalanan bagi para pelajar dan kakitangan universiti awam.  

“Program WPUA ini menawarkan tempahan penerbangan dan pertukaran penerbangan yang fleksibel, peruntukan 40 kilogram bagasi daftar masuk, termasuk hidangan dalam penerbangan dan pilihan tempat duduk, yuran kaunter percuma dan dilindungi Pelan Perlindungan AirAsia oleh Tune Insurance,”katanya.

Untuk rekod,  Universiti Malaysia Perlis pernah menandatangani  surat perjanjian kerjasama bersama Airasia  pada  Februari 2010. Jalinan kerjasama yang dilakukan dalam  usaha UniMAP menjayakan program “Belanja Berhemah 2010” UniMAP.

KUALA LUMPUR, 5  Mei — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sememangnya dikenali sebagai sebuah Universiti Awam (UA) yang sangat aktif dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Terbaharu, UniMAP telah bekerjasama dengan Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd bagi membawa teknologi rawatan jantung bagi memenuhi kehendak penduduk di kawasan Kedah dan Perlis.

Naib Canselor UniMAP,  Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kelengkapan peralatan rawatan jantung itu dijadualkan dibawa ke UniMAP penghujung Mei nanti.

“Kita telah mengadakan lawatan ke klinik yang merupakan pakar dalam rawatan jantung ini dan menandatangani Surat Hasrat (LOI) bagi menjalankan rawatan External Counter Pulsation Treatment (ECP) dan Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT). 

“Kemudahan rawatan ini akan ditempatkan di Poliklinik UniMAP yang dijangka mula beroperasi pada Ogos ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis menandatangini LOI UniMAP dan Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom, Bendahari UniMAP, Saodah Hassan, Pengarah Pusat Kesihatan UniMAP,  Prof. Madya Dr. Mohammad Iqbal Omar,  Ketua Pegawai Operasi UniMAP Holdings Sdn. Bhd, Dr. Mohd Najmuddin Mohd Hassan dan Pengarah Jabatan Pembangunan UniMAP, Prof. Madya Mazelan Abdul Hamid.

Di majlis itu, UniMAP diwakili Datuk Kamarudin sendiri manakala Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd. Diwakili Pengarah Urusannya, Prof. Dr. Mohd Ebrahim Sulaiman.

Sementara itu, Dr. Mohd Ebrahim berkata, ECP merupakan satu teknik Non-Invasif yang membaiki fungsi jantung dengan menurunkan kadar tekanan pada jantung.

 “ECP boleh dimanfaatkan oleh mereka yang menghadapi masalah kegagalan fungsi jantung yang kronik, penyakit arteri koronari, masalah penyakit arteri periferal, masalah arteri darah di kaki dan mengurangkan simptom angina.

“Manakala HBOT pula merupakan Terapi Hiperbaik Oksigen dimana kaedah rawatan penyembuhan dimana pesakit bernafas 100% oksigen di bawah  tekanan tinggi, “katanya.

Kota Kinabalu, 2 Mei – Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya meraih tiga pingat emas menerusi tiga acara yang disertai pada Kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) yang berlangsung di sini mulai 27 Mei lalu.

Pingat emas UniMAP disumbangkan menerusi pasukan Golf, Bola Sepak Lelaki Senior dan Olahraga.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, pada temasya kali ini, UniMAP hanya menghantar wakil menerusi tiga acara tersebut yang mempunyai prospek untuk menyumbangkan pingat.

“Pada asalnya, UniMAP tidak langsung bercadang untuk menyertai temasya pada tahun ini disebabkan pengurangan peruntukan dan kos, namun selepas perbincangan bersama pengurusan Pusat Sukan, kita memilih hanya yang terbaik untuk meminimumkan kos.

“Meskipun dengan langkah berjimat cermat, strategi UniMAP menampakkan hasil malah menyerlahkan kekuatan pasukan apabila ketiga-tiga acara yang disertai menyumbangkan pingat emas meskipun menerima tentangan sengit daripada pasukan-pasukan lain yang mengambil bahagian,” ujar beliau.

Temasya SUKANUN pada tahun ini dihoskan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah dengan membabitkan lebih 70 pasukan yang mengambil bahagian dalam 22 acara yang dipertandingkan.

Kontinjen UniMAP terdiri daripada 44 atlit dan pengurusan dengan diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Pengarah Pusat Sukan, Suhizaz Sudin.

Pasukan golf merupakan kontinjen pertama yang menyumbang pingat emas buat UniMAP selepas muncul johan keseluruhan menerusi dua kategori acara yang dipertandingkan iaitu gross dan nett dengan mengumpul 21 mata mengatasi Bank Simpanan Nasional (BSN) yang meraih 19 mata dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 16 mata.

Kegemilangan UniMAP diteruskan menerusi kejayaan pasukan bola sepak lelaki yang menundukkan pasukan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan jaringan 3 gol berbalas 1.

Terdahulu pada peringkat separuh akhir, pasukan bola sepak UniMAP menundukkan pasukan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dengan jaringan 3-0.

Sementara itu, dalam acara olahraga, kontinjen UniMAP yang disertai oleh 16 atlit dan dua pengurus pasukan berjaya meraih 14 pingat emas, enam pingat perak dan dua pingat gangsa.

UniMAP nyata tiada tentangan dalam acara pecut apabila menyapu bersih pingat emas bagi acara 100 dan 200 meter lelaki serta wanita yang disumbangkan oleh Mohd. Helmi Awang dan Nurhaslinda Md Hussain.

Pingat emas UniMAP turut diraih menerusi acara lompat jauh wanita, lompat tinggi wanita, merejam lembing lelaki dan wanita, 110 meter lari berpagar lelaki, melontar peluru lelaki dan melempar cakera lelaki.

UniMAP turut mencuri tiga pingat emas dari acara kuartet apabila pasukan lelaki menyapu bersih pingat emas bagi acara 4x100 meter dan 4x400 meter manakala pasukan wanita hanya sekadar meraih emas bagi acara 4x100 meter dan perak bagi acara 4x400 meter.

DMNC MEI 2014

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei setiap tahun. Sesungguhnya pekerja merupakan instrumen terpenting yang menjadi penggerak sesebuah organisasi. Apalah UniMAP tanpa pekerjanya. Marilah sama-sama kita memperbaharui tekad dan semangat kita untuk bekerja bersungguh-sungguh bukan sahaja untuk UniMAP, tetapi yang lebih penting, untuk negara, bangsa, dan agama.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana baru-baru ini UniMAP menjadi IPTA pertama diberi penarafan tiga bintang menerusi audit QS Stars yang dikendalikan oleh QS Intelligence Unit, United Kingdom. Pencapaian ini telah menarik perhatian Y.A.B Perdana Menteri Malaysia, yang kemudiannya menyampaikan mesej dalam twitter, yang antara lain merakamkan ucapan tahniah atas pencapaian cemerlang ini, dan pada masa yang sama berharap agar IPTA lain dapat menyusul selepas ini. Di samping itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan Malaysia, turut memuji keberanian UniMAP membenarkan pihak luar menjalankan audit untuk menilai pencapaian serta kedudukannya dalam sistem pendidikan dunia. Alhamdulillah, nampaknya usaha murni UniMAP sudah mendapat perhatian pengurusan tertinggi Negara. Semoga kita semua terus berusaha sedaya-upaya agar pengiktirafan dari QS Stars ini benar-benar membantu mencemerlangkan lagi UniMAP di masa akan datang. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor (JKNCR) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia saya amat berharap pencapaian dalam QS Stars ini turut menjadi ikutan IPTA lainnya. Bukan kerana UniMAP menjadi pelopornya, tetapi saya melihat QS Star mempunyai impak tersendiri kepada transformasi sektor pengajian tinggi di Malaysia.

Alhamdulillah, baru-baru ini UniMAP mendapat pengiktirafan dunia sekali lagi apabila menerima anugerah The Bizz 2014 di Hilton Molino Stucky, Venice, Itali pada 26 April lalu. Anugerah Inspirational Company yang kita terima ini merupakan yang kedua buat UniMAP dalam The Bizz selepas kali pertama menerimanya tahun lalu. Anugerah ini akan membantu UniMAP terus berkembang sebagai sebuah syarikat dalam usaha meningkatkan hubungan perdagangan, menjana lebih banyak perniagaan, dan menguatkan imej korporatnya di persada dunia. InsyaAllah satu lagi anugerah antarabangsa akan kita terima Jun ini di Rome, Itali.

Dalam pada itu, kita juga bersyukur kerana pada 24 April lalu, telah berlangsung Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan UniMAP kepada Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Indonesia, Yang Terhormat Dahlan Iskan. Penganugerahan itu diberikan sebagai menghargai sumbangan dan pencapaian Pak Dahlan dalam memartabatkan industri media di Indonesia dengan menerajui Jawa Post News Network yang memiliki lebih 207 akhbar, 65 majalah, 42 stesen TV tempatan, jaringan pemberitaan, kilang kertas, dan belasan pejabat pentadbiran. Ketokohan Pak Dahlan sebagai Menteri BUMN dalam memimpin sektor perusahaan dan industri di Indonesia merupakan antara kriteria utama penganugerahan tersebut. Penganugerahan Pak Dahlan adalah susulan kepada pelantikan beliau sebagai Professor Tamu di UniMAP yang dibuat September tahun lalu di Jakarta.

Majlis Penganugerahan Pak Dahlan Iskan dijalankan di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, dan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Pada sebelah malam, telah diadakan jamuan makan bersama staf dan pelajar UniMAP yang terdiri daripada warga Indonesia. Semoga penganugerahan tersebut dapat mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Indonesia, terutama dalam aspek pendidikan, memandangkan kedua-dua negara memiliki persamaan budaya dan bahasa.

Rasanya cukuplah coretan saya setakat ini saya sudahi dengan Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Info Tab Bawah-BM