Gerbang Info Pengguna

  • SUTERA 2019
  • Salam Aidilfitri
  • UniMAP-AMCT2019
  • Pembelian Buku-Buku UniMAP di Market Place
  • 2019 Kempen Bebas Rokok
  • Urock 2019
  • silk2019
Previous Next

Berita Terkini

Khidmat Masyarakat Ramadan UniMAP Santuni Warga HTF

Khidmat Masyarakat Ramadan UniMAP Santuni Warga HTF

KANGAR – Muram dengan riak sedih yang terpamer di wajah sebahagian penghuni wad pembedahan di…

Baca..

Pensyarah UniMAP Dilantik Penyelidik Kunjungan Di Universiti Sweden

Pensyarah UniMAP Dilantik Penyelidik Kunjungan Di Universiti Sweden

ARAU – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Wooi Chin…

Baca..

Khidmat Masyarakat : UniMAP – PSU Santuni Masyarakat Songkla – Hatyai

Khidmat Masyarakat : UniMAP – PSU Santuni Masyarakat Songkla – Hatyai

ARAU – Atas rasa keprihatinan yang tinggi untuk membantu masyarakat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui…

Baca..

Program Diploma Kejuruteraan UniMAP Mendapat Pensijilan Penuh MQA

Program Diploma Kejuruteraan UniMAP Mendapat Pensijilan Penuh MQA

ARAU – Semua enam program pengajian diploma kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah lulus dan…

Baca..

UniMAP Pilihan Utama

UniMAP Pilihan Utama

ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) nyata menjadi pilihan utama apabila dipilih sebagai lokasi Seminar…

Baca..

UniMAP Prihatin Anak-Anak Staf Meninggal Sempena Festival Nasyid 2019

UniMAP Prihatin Anak-Anak Staf Meninggal Sempena Festival Nasyid 2019

Pauh Putra, 28 Mei- Dalam kegembiraan umat Islam membuat persiapan menyambut lebaran yang akan tiba…

Baca..

UniMAP Beri Kebebasan Bersuara Kepada Pelajar

UniMAP Beri Kebebasan Bersuara Kepada Pelajar

PAUH PUTRA, 26 Mei- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberikan kebebasan kepada semua pelajar dalam memberikan…

Baca..

Produk Eco Geopipe Raih Emas di EUROINVENT di Romania

Produk Eco Geopipe Raih Emas di EUROINVENT di Romania

Kangar, 19 Mei - Penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis…

Baca..

Prof. Dr. R. Badlishah Dilantik Naib Canselor UniMAP

Prof. Dr. R. Badlishah Dilantik Naib Canselor UniMAP

Kangar - Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Ir. Ts. Dr.…

Baca..


Kangar : 16 Oktober 2018 –Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)  Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima mengadap Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU)baharunya, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin buat julung kalinya.

Baginda diberi penerangan mengenai hala tuju serta perancangan strategik universiti agar dapat bergerak bersama-sama meningkatkan kegemilangan UniMAP.

Hadir sama, Naib Canselor UniMAP, Dato' Prof. Dr. Zul Azhar Zahir Jamal serta pegawai-pegawai utama universiti.

Kamarudin dilantik menjadi Pengerusi UniMAP untuk tempoh tiga tahun  berkuat kuasa Oktober 2018 sehingga September 2021 bagi menggantikan Dato’ Mohd Sofi Osman.

Untuk rekod, Dr. Kamarudin bermula sebagai Rektor di Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) pada 2002 sebelum menjadi Naib Canselor selepas KUKUM dijenamakan menjadi UniMAP pada 2007.

Beliau bersara wajib sebagai Naib Canselor UniMAP pada 2016 selepas mengemudi universiti tersebut selama 14 tahun sekaligus menjadi antara Naib Canselor yang paling lama berkhidmat di Malaysia.

Arau, 4 Oktober – Seperti sireh pulang ke gagang, mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin kembali berkhidmat di universiti tersebut selepas dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP berkuatkuasa 1 Oktober 2018 lalu.

Lantikan beliau adalah bagi menggantikan Dato’ Mohd Sofi Osman untuk tempoh tiga tahun sehingga 30 September 2021.

Dr. Kamarudin ketika dihubungi melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang oleh Kementerian Pendidikan untuk menjawat jawatan sebagai pengerusi LPU UniMAP.

“Saya berikrar untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada UniMAP dan saya melihat beberapa penambahbaikan boleh dilakukan bagi memacu universiti tersebut untuk lebih cemerlang.

“Fokus saya adalah untuk memberi kefahaman kepada warga UniMAP mengenai hala tuju dan perancangan strategik universiti agar kita dapat bergerak bersama-sama meningkatkan kegemilangan UniMAP,” katanya.

Tambah beliau, tidak mungkin sesebuah universiti itu mampu mencapai kejayaan tanpa penyatuan warganya dan ini akan terjadi sekiranya warga UniMAP kurang jelas dengan matlamat yang ditetapkan oleh universiti.

“Oleh itu, bagi merealisasikan fokus tersebut saya akan berbincang secara mendalam bersama pengurusan tertinggi UniMAP untuk mencapai persepakatan dan permuafakatan mengenai hala tuju universiti.

“Tambahan pula, dalam keadaan kewangan terhad kita perlu memikirkan mekanisme yang tepat bagi membolehkan apa yang kita hasratkan itu tercapai sekaligus menyerlahkan keterlihatan UniMAP di mata dunia,” katanya.

Malah beliau juga akan memberikan fokus untuk meningkatkan reputasi universiti melalui data kemasukan pelajar dalam dan luar Negara.

“Saya ingin melihat peningkatan jumlah kemasukan pelajar dari dalam dan luar Negara. Untuk itu, kita akan mempergiatkan lagi usaha memasyarakatkan universiti agar lebih ramai anak muda yang akan mencintai bidang sains dan teknologi serta UniMAP itu sendiri,” katanya.

Untuk rekod, Dr. Kamarudin bermula sebagai Rektor di Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) pada 2002 sebelum menjadi Naib Canselor selepas KUKUM dijenamakan menjadi UniMAP pada 2007.

Beliau melepaskan jawatan sebagai Naib Canselor UniMAP pada 2016 selepas mengemudi universiti tersebut selama 14 tahun sekaligus menjadi antara Naib Canselor yang paling lama berkhidmat di Malaysia.

Arau, 11 Oktober – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menerima empat unit motosikal elektrik (E2W) dan stesyen penukaran bateri dari Roda Prestasi Sdn. Bhd. (RPSB) bagi menjalankan penyelidikan E2W untuk pasaran tempatan.

Penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan RPSB, Ahmad Sabandi Othman kepada Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal di perkarangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) UniMAP Pauh Putra di sini semalam.

Turut hadir adalah Ketua Pembangunan Industri Pembuatan, Asmazura Ismail mewakili Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang merupakan rakan strategik kajian ini.

Menurut Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Shafriza Nisha Basah, kenderaan ini digunakan untuk kajian terhadap pengguna bagi mengenalpasti beberapa faktor seperti tingkahlaku pengguna terhadap E2W, penerimaan pengguna, harga produk dan spesifikasi produk.

“Projek kerjasama dengan pihak NCIA ini akan dilengkapkan dalam tempoh enam minggu dari sekarang kerana kita akan menjalankan kajian komprehensif menggunakan kaedah kaji selidik dan ujian pemanduan E2W kepada kumpulan sasaran; dan perbincangan bersama kumpulan sasaran bagi mendapatkan persepsi mereka.

“Ini sekaligus dapat mengenalpasti strategi pemasaran yang bersesuaian bagi penggunaan produk E2W selari dengan saranan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke – 11 di bawah teras strategik keenam yang berfokuskan pertumbuhan hijau kearah pembangunan mampan,” katanya ketika dihubungi pemberita baru-baru ini.

Tambah beliau, kumpulan sasaran adalah golongan pelajar, pekerja, pengguna korporat dan juga vendor motosikal.

“Kita akan bermula secepat mungkin dan insyaAllah pada Istiadat Konvokesyen ke – 13 UniMAP yang bakal berlangsung dari 27 Oktober hingga 29 Oktober 2018, kita juga akan jalankan kaji selidik dan uji pandu kenderaan kepada ibu bapa dan graduan itu sendiri,” katanya.

Malah beliau optimis dapatan dari kajian ini akan memberikan rumusan mengenai kumpulan pengguna yang berminat, penambahbaikan produk yang menarik perhatian pembeli; dan harga yang bersesuaian.

Selain Dr. Shafriza yang berkepakaran dalam kejuruteraan mekatronik, kajian ini turut disertai oleh Prof Madya Muzamir Isa dari bidang Kejuruteraan Elektrikal; Prof. Rosni Bakar dalam bidang ekonomi dan Dr. Hanum Hassan dari bidang pemasaran, komunikasi dan statistik.

Motor Elektrik

Motor Elektrik

PAUH PUTRA, 11 Oktober– Pelbagai program pembangunan sukan telah dianjurkan kerajaan dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

Sehubungan itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited dalam membantu negara untuk menjadikan usaha itu sebagai satu kenyataan.

Pengurus Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sukan (SERC) UniMAP, Prof. Madya Mazelan Abdul Hamid berkata, SERC berfungsi untuk melaksanakan program pembangunan dan penyelidikan yang berkaitan dengan kemajuan sukan dalam menyelesaikan isu serta masalah yang berkaitan  pembangunan sukan.

“Sebagai sebuah universiti yang berteraskan kejuruteraan, UniMAP menawarkan kepakaran bidang sains dan kejuruteraan dalam menyelesaikan masalah berkaitan kesukanan.

“Sukan adalah satu industri yang bernilai besar serta impaknya dan telah mula berkembang di negara kita dan UniMAP tidak mahu ketinggalan dalam hal ini,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mazelan berkata, penyelidikan dalam kejuruteraan sukan memerlukan kepakaran dalam pelbagai bidang yang berkaitan seperti biomekanik, teknologi sensor, komunikasi dan berbagai lagi.

UniMAP mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan ia boleh diaplikasikan dalam penyelidikan dan pembangunan seperti Sistem pengukuran prestasi atlet, rekabentuk bagi penghasilan peralatan sukan dan keselamatan dalam sukan juga analisis terhadap prestasi sukan tumpuan.

“Daripada itu kita mampu untuk membangunkan  program–program kejurulatihan sukan bagi peningkatan kemahiran atlet seperti yang digunakan di negara-negara maju,” katanya lagi.

Ujar beliau lagi, SERC telah mempunyai beberapa cadangan sepanjang 2018 dan berharap dapat bekerjasama dengan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Majlis Sukan Negeri (MSN).

SERC dilancarkan oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahir Jamal sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan dan Sukan UniMAP 2017 baru-baru ini. 

Maal Hijrah 2018

Maal Hijrah 2018

PAUH PUTRA, 5 Oktober– Pengerusi Majlis Profesor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof. Dr. Ali Yeon Md Shakaff dipilih dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2018/1440Hijrah peringkat UniMAP di sini.

Mantan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP itu memulakan tugas sebagai pendidik pada 1988 di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia sehingga menyambung khidmat di UniMAP pada 2002.

Prof. Dr. Ali Yeon menerima Sijil Penghargaan dan hadiah iringan. Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Selain Anugerah Tokoh Maal Hijrah, lima lagi anugerah turut dipertandingkan iaitu Anugerah Al-Falah yang dimenangi Majlis Pengurusan Kolej Kediaman, Anugerah Personaliti Maal Hijrah ( empat penerima), Anugerah Tokoh Siswa ( dua penerima), Anugerah Khas Pencetus Ummah (empat penerima) dan Anugerah Khas Agensi terbaik yang dimenangi MSB  Utara Perlis yang merupakan pengusaha Kafeteria Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik UniMAP.

Dalam ucapan perasmian, Prof. Dr. Zul Azhar berkata, bertepatan dengan tema “Menyantuni Umat Membawa Rahmat” UniMAP sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, mempunyai amanah dan tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat.

“Dalam menyantuni kepelbagaian masyarakat hari ini, kita perlu memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing dan menyantuni mereka dengan jiwa muafakat dan toleransi yang tinggi.

“Disebabkan inilah UniMAP terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR). Kita berkongsi segala kepakaran yang ada bukan saja untuk masyarakat Perlis, malahan seluruh Malaysia, “katanya.

Ujar beliau lagi, apa yang kita dilakukan itu adalah bagi mewujudkan perasaan saling membantu dan berkongsi kasih sayang, selain keperluan iman dan ilmu di kalangan masyarakat, yang juga hak kemanusiaan.

“Namun begitu, kita tidak harus berbangga dan selesa dengan apa yang kita lakukan ini, kita semua ada tanggungjawab untuk dilaksanakan, antara tanggungjawab tersebut ialah membangunkan umat Islam untuk maju dan berjaya,”katanya lagi.

Maal Hijrah 2018

Maal Hijrah 2018

Maal Hijrah 2018

Poland, 12 Oktober – Dua penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech)  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya memperolehi Anugerah Platinum iaitu anugerah tertinggi di International Warsaw Invention Show (IWIS 2017) yang diadakan di Universiti Teknologi Warsaw Poland.

Pada pertandingan yang belangsung mulai 9 Oktober itu, UniMAP turut mencipta kejayaan membanggakan apabila salah satu produk inovasi terbabit turut menerima pengiktirafan “The Best Foreign Invention IWIS 2017”.

Pengurus CEGeoGTech UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, produk “Geopolymer Concrete for Underwater Concreting” yang diketuai oleh beliau sendiri dengan kerjasama penyelidik dari University of Plymouth United Kingdom berjaya menerima pengiktirafan produk antarabangsa terbaik selain turut menerima anugerah platinum.

Dalam pada itu, ujar beliau, produk inovasi hasil penyelidikan Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh iaitu “A Robust Green Nano Geopolymer Ceramic Reinforced Lead Free Solder for High Strength Electric/Electronic Interconnect Applications” menerima anugerah platinum selain turut menerima Anugerah Khas daripada National Institute for Research and Development in Environmental Protevtion Romania.

Dr. Mohd. Mustafa berkata, projek inovasi tersebut  merupakan output geran penyelidikan yang diterimanya melalui Kesatuan Eropah yang mana pasukan penyelidikan cuba menghasilkan bahan konkrit yang boleh diaplikasi didalam air tanpa memerlukan peralatan khas.

“Hasil kajian yang telah berjalan selama hampir dua tahun ini berjaya melepasi fasa pertama sasaran  awal penyelidikan iaitu penggunaan bahan konkrit tanpa simen. Produk ini masih dalam proses ujian berterusan dan penambahbaikan.

“Kejayaan ini secara tidak langsung membuktikan pentingnya jaringan kerjasama antara universiti tempatan dan antarabangsa dan pada masa sama ia berjaya meningkatkan keterlihatan dan reputasi UniMAP di persada antarabangsa,” ujar beliau ketika dihubungi hari ini.

IWIS 2017 merupakan pameran dan pertandingan anjuran tahunan  Association of Polish Inventors and Rationalizers (SPWIR) dengan kerjasama Kementerian Sains dan Pengajian Tinggi dan Pedidikan Tinggi Poland serta Inventors’ Associations (IFIA).

Selain Malaysia dan tuan rumah Poland, pertandingan penciptaan yang berprestij ini juga dihadiri oleh peserta dari Republik Czech, Bahrain, Maldova, Romania, Kanada, Iran, Taiwan, Thailand, China, Korea, Bulgaria, Bosnia, Croatia, Arab Saudi, Morocco dan sebagainya. Ia turut disertai oleh wakil kedutaan Malaysia di Poland, Norafizawati Sheik Ahmad Soekarno.

Dalam pada itu, Dr. Mohd. Mustafa berkata, selain menyertai pameran IWIS 2017, beliau turut mengambil peluang untuk membina jaringan baru CEGeoGTech yang boleh dimanfaat oleh penyelidik-penyelidik CEGeoGTech yang lain.

Ujar beliau, sehingga kini, pihak CEGeoGTech telah berjaya menghantar lebih daripada tujuh orang penyelidik untuk mengikuti program mobiliti bagi tujuan penyelidikan di beberapa universiti  di United Kingdom dan Greece bagi tempoh dua hingga enam bulan semenjak tahun 2016.

“Terkini, pihak CEGeoGTech telah berjaya memperolehi geran mobiliti dengan negara Romania dan Bulgaria untuk tempoh empat tahun dengan nilai geran sekitar RM50,000 setahun. Selain itu, CEGeoGTech juga menerima beberapa orang pelajar mobiliti daripada luar bagi tujuan penyelidikan antaranya daripada Romania, Arab Saudi, United Kingdom dan Algeria.

Selain program mobility, jelasnya, CEGeoGTech dengan kerjasama Lodz University of Technology Poland, turut bersetuju untuk menganjurkan persidangan antarabangsa bersama yang dijangka didakan pada Oktober 2018 dalam bidang bahan hijau termaju.

Kangar, 14 Oktober: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dinobatkan johan Pertandingan Projek Penyelidikan Inovasi Nanoteknologi (PIN)  Peringkat Kebangsaan 2016, di Technology Park Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

Tesis bertajuk Pembangunan Biopenderia Wayar-Nano Silikon Novel untuk Pengesanan DNA Virus Denggi yang dihasilkan Dr. Mohammad Nuzaihan Md Nor dari  Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) berjaya menambat hati para juri sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500, trofi dan sijil .

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri, Kementerian Sains ,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

PIN dianjurkan bersempena Program Nano Kebangsaan 2016 (NanoKEB 2016) telah berlangsung pada 10 Oktober 2016  bertujuan bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar daripada peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah yang mempunyai idea kreatif dan inovatif dalam menghasilkan penyelidikan bagi mencari penyelesaian masalah-masalah seperti Tenaga dan Alam Sekitar, Penjagaan Kesihatan dan Perubatan, Pertanian dan Makanan serta Elektronik dan Sistem.

Pertandingan itu hanya terbuka kepada pelajar-pelajar peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah yang berdaftar di institusi pengajian tinggi awam serta swasta di Malaysia.

Seramai 16 peserta kategori Doktor Falsafah dan 12 peserta kategori Sarjana telah dinilai dan terpilih untuk menyertai pertandingan tersebut.

Pauh Putra, 10 Oktober 2016 – Mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diseru agar bergiat aktif dan melibatkan diri dalam program-program yang melibatkan  kesukarelawan bagi membantu masyarakat sekeliling.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, beliau melihat budaya atau semangat kesukarelawan dikalangan mahasiswa tidak lagi tinggi seperti dulu.

“Saya berharap barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP akan dapat menerapkan budaya atau sifat kesukarelawan dikalangan golongan muda.

“Jangalah kita melakukan sesuatu perkara itu semata-mata untuk melengkapkan syarat bagi bergraduat semata-mata, kerana mahasiswa mampu untuk membantu memastikan agenda atau isu-isu semasa boleh ditangani bersama,”katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penyerahan Watikah MPP UniMAP 2016/2017 di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Dekan Pengurusan Akademik, menjalankan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamaruddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Razli Ahmad.

Ujar Beliau lagi, sebagai mahasiswa, mereka boleh melakukan pelbagai perkara untuk memastikan semangat kesukarelawan dapat ditingkatkan.

“Budaya yang mahasiswa  bangunkan ini akan dapat menjadi nilai tambah dan amat membantu semasa bekerja nanti ke satu tahap yang lebih tinggi,”katanya lagi.  

Pada majlis tersebut, seramai 33 calon barisan kepimpinan Majlis Sesi 2016/2017,menerima watikah pelantikan yang terdiri daripada tujuh calon umum dan 26 calon Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK).

Sesi 2016/2017 menyaksikan pelajar PPK Pembuatan, Nurhazwani Zabidin telah dilantik sebagai Yang DiPertua MPP yang baharu manakala Muhammad Amir Hakim Razali dari PPK yang sama dilantik sebagai Timbalan Yang DiPertua MPP UniMAP

Datuk Zul Azhar juga turut menasihati semua MPP yang baharu dilantik untuk menjadi contoh positif bukan saja kepada pelajar UniMAP tetapi juga  masyarakat luar.

“MPP selaku barisan utama suara mahasiswa diseru agar mempersiapkan mental dan fizikal terutama dalam mengharungi Tahun 2017 yang agak mencabar dari segi ekonomi dan pengaruh-pengaruh luar.

“Anda hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komited dan ikhlas demi kelangsungan kepimpinan yang dinamik di peringkat UniMAP”, katanya.

KANGAR, 10 Oktober 2016 – Pasukan Automotive Racing Team Universiti Malaysia Perlis – UniART cemerlang selepas dinobatkan sebagai Johan bagi kategori Persembahan Rancangan Perniagaan di Formula SAE-ASEAN di Speedway Plus Circut, Subang Jaya,Selangor baru-baru ini.

Lebih membanggakan, pasukan UniART turut meraih Naib Johan kategori Analisis Kos serta tempat ketiga bagi kategori Rekaan Kejuruteraan sekaligus meletakkan ciptaan pasukan universiti kejuruteraan di utara itu di tempat ketiga terbaik keseluruhan dengan enam anugerah diraih.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik UniMAP, Dr Md Tasyrif Abdul Rahman yang mengetuai pasukan itu berkata, UniART turut dianugerahkan Anugerah Khas kategori Pasukan Berimpak Terbaik oleh syarikat ACCMS Warranty & Services di atas usaha dan dedikasi yang ditunjukkan oleh setiap ahli pasukan.

Katanya, ahli pasukan UniART terdiri daripada 17 pelajar yang dibahagikan kepada dua kru utama iaitu kru teknikal dan kru pengurusan yang mewakili tiga pusat pengajian di UniMAP iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

Antara peranan dan tugas kru ini, ujar beliau ialah membuat analisis kekuatan dan kelemahan bahagian masing-masing bagi persiapan membangunkan jentera UniART.

“Banyak cabaran perlu dilalui, justeru kami berbangga dapat meraih banyak kategori anugerah di FSAE termasuk anugerah khas yang diberikan salah satu penganjur setelah melihat semangat juang, kesungguhan dan kepantasan pasukan kami menyelesaikan masalah serta cabaran sepanjang FSAE ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, cabaran yang paling besar adalah masa kerana setiap ahli pasukan adalah pelajar yang perlu membahagikan masa mereka dengan rutin mengikuti kuliah dan pada masa yang sama perlu menyiapkan jentera sebelum ke FSAE.

“Pelbagai jenis ujian, analisis dan modifikasi bagi menyiapkan jentera ini dengan sesi latihan di Litar Go-Kart UniMAP kerana ini adalah penyertaan kali pertama UniART di FSAE.

“Walaupun kami tidak dapat menyertai salah satu acara iaitu acara dinamik semasa FSAE kerana kegagalan mekanikal, namun menjadi salah satu pasukan yang melepasi tiga kategori pemeriksaan mengikut ‘standard’ FSAE yang ketat memberi pengalaman yang sangat penuh bererti kepada kami semua,” katanya.

FSAE merupakan pertandingan rekaan yang merangkumi perniagaan dan industri automotif anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI) dengan kerjasama beberapa syarikat lain.

Pauh Putra, 8 Oktober 2016 – Masyarakat disaran menjalani ujian dan rawatan bagi mengesan jangkitan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) akibat virus HIV.

Mereka yang berisiko terutamanya, perlu mengikis perasaan malu malah boleh menjalani ujian di klinik-klinik kerajaan termasuk klinik 1 Malaysia secara percuma.

Ketua Penolong Pengarah AIDS/STI Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Rohemi  Abu Bakar berkata epidemik HIV/AIDS di negara ini telah mencatatkan tren penurunan sebanyak 50 peratus berbanding tahun 2002, namun kekal mendatar sejak 2010 hingga 204.

“Kita berjaya mencapai sasaran Millennium Development Goals (MDGs) kerajaan pada tahun 2002 iaitu untuk menurunkan sebanyak separuh kes pada 15 tahun akan datang.

"Namun masalah seks bebas menyumbang kepada penyakit HIV/AIDS menyebabkan jangkitan terus berlaku apabila penghidap malu untuk tampil menjalani ujian dan rawatan”, katanya ketika menyampaikan ceramah yang bertajuk Remaja & HIV Cabaran dan Peranan sempena Program HIV/AIDS di Dewan Keikhlasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini.

Program berkenaan dihadiri hampir 400 pelajar tahun satu UniMAP dan dirasmikan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal. Yang turut hadir Pengarah Pusat Kesihatan UniMAP, Prof. Dr Mohamad Iqbal Omar.

Sementara itu, Dr. Zul Azhar berkata, penganjuran program tersebut diharap dapat memberi maklumat yang lebih jelas kepada pelajar dan kakitangan UniMAP mengenai AIDS dan HIV agar jumlah pengidap virus ini dapat diturunkan.

“UniMAP sentiasa menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai HIV/AIDS ini terutama kepada pelajar baharu bagi mengelakkan mereka terjebak dengan salah laku yang berisiko ke arah penyakit itu.

“Taklimat dan kempen kesedaran akan diadakan dari masa ke semasa agar UniMAP sentiasa bebas HIV/AIDS sekaligus menyahut sasaran kerajaan bagi mengakhiri HIV/AIDS di negara ini pada tahun 2030,” kata beliau.

Ceramah oleh Pegawai Psikologi UniMAP Nur Aimi Muslim turut disampaikan di program anjuran Pusat Kesihatan UniMAP dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri itu.

 

Pauh Putra, 6 Oktober 2016 – Seramai tujuh daripada 16 calon umum diisytiharkan menang dalam Pengumuman Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2016/2017 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini.

Nurhazwani Zabidin pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan, mencatat undian tertinggi iaitu 7,924 diikuti Muhammad Amir Hakim Razali dari PPK yang sama  dengan 6,395 undi.

Empat lagi calon yang memenangi konstitusi umum sesi 2016/2017 adalah Muhammad Zulfahmi Abd Halim dari PPK Bioproses (6,346 undi), Mohd Hafiz Robert dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) (5,971), Siti Nur Afiqah Abdul Azis juga dari FTK (5,825), Aida Zulaikha Akmar Harfidzi dari Pusat Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) (5,514) dan Mohamad Amir Arsyad Zainun dari FTK (5,337).

Naib Canselor UniMAP, DatoProf. Dr. ZulAzharZahid Jamal berkata, jumlah pelajar yang mengundi pada tahun ini meningkat sebanyak 8.1 peratus menjadikan jumlah 81.5 peratus berbanding 73.4 pada 2014.

“Sebanyak 11,076 pelajar atau 81.5 peratus daripada 13,590 pengundi yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing yang dijalankan secara e-voting.”

“Proses pemilihan ini dijalankan melalui proses-proses yang tertib dan mengikut lunas-lunas peraturan yang ditetapkan (TatacaraPemilihan MPP UniMAP, 2012),” katanya ketika berucap dalam Sesi Pengumuman Pemilihan MPP Sesi 2016/2017 UniMAP di sini.

Turut hadir, Timbalan NaibCanselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof. Madya Dr. MohdFo’ad Sakdan dan Dekan HEPA UniMAP, Prof. Madya Razli Ahmad.

Katanya, pembubaran MPP sesi 2015/2016 dilakukanpada 25 September 2016, diikuti dengan proses penamaan calon pada 30 September, manakala pemilihan diadakan dalamtempoh seminggu selepas itu bagi memberi peluang calon untuk berkempen.

“Saya dan pengurusan tertinggi UniMAP mengucapkan tahniah kepada yang terpilih dan berharap MPP dapat bersama pihak universiti dalam memantapkan agenda universiti, “ katanya.

Tronoh, 28 Oktober – Seorang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpilih sebagai salah seorang penerima Anugerah Inovasi ‘Circuits and Systems Society’ (CAS) oleh Institut Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (IEEE) Circuit and Systems Malaysia di Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini hari ini.

Pelajar jurusan Elektronik Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mikroelektronik berkenaan, Muhammad Rizwan Che Noh di bawah seliaan pensyarah UniMAP, Mohd Natashah Norizan dan Ili Salwani Mohamad menerima anugerah berkenaan di majlis  “2015 IEEE CAS Malaysia Chapter Hi-Tea”.

Dalam majlis yang bertemakan “Internet of Things (IoT) for Sustainable Living” ini, Rizwan telah menerima wang tunai sebanyak RM 100 beserta sijil Anugerah Inovasi daripada IEEE CAS menerusi projeknya “Development of Samrt Cleaning System for Photovoltaic Module”.

Dua lagi pemenang yang juga telah menerima anugerah berkenaan ialah Suraya Nafila Binti Ruzaidi (UTP) dan Lee Xin Yi dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Untuk rekod, sejak dua tahun lalu, pelajar UniMAP Leong Ming Pei dari jurusan dan PPK yang sama turut meraih anugerah itu di bawah seliaan pensyarah Siti Zarina Md Naziri dengan tajuk “Image Encyption using FPGA” pada 2013 manakala Lim Yen Nee meraih anugerah berkenaan dengan tajuk “FPGA Based Fisheries Monitoring System for Tilapia” pada 2014.

Anugerah Inovasi CAS oleh IEEE Circuit and Systems Malaysia itu adalah satu anugerah yang mengiktiraf tiga projek tahun akhir cemerlang dari institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh Negara yang menerapkan unsur-unsur inovasi dalam teori dan aplikasi litar serta rekabentuk.

Selain daripada slot anugerah ini, majlis ini telah dimeriahkan lagi dengan sesi syarahan IoT daripada Professor Dr Hiroo Sekiya dari Universiti Chiba, Jepun, Ketua Pengarah Eksekutif REDtone IoT Dr Mazlan Abbas dan Professor Madya Dr. Ku Zilati Binti Ku Shaari dari UTP.

Kangar, 28 Oktober – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin menyeru masyarakat untuk kembali kepada fitrah asal.

“Masyarakat terutamanya golongan muda perlu belajar mendalami sejarah dan perit jerih perjuangan tokoh-tokoh terdahulu untuk memupuk rasa cinta kepada Negara dalam hati dan sanubari masing-masing.

“Sejarah adalah bukti kepada setiap peristiwa dan kejadian,” kata Datuk Kamarudin dalam teks ucapan aluan yang dibacakan oleh Felo Penyelidik Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) UniMAP, Mohd Kasturi Nor Abd. Aziz pada Majlis Peramian Polimek Sejarah Malaysia sesi ke – 37 dengan tajuk “Sejarah Awal Perlis”, pagi tadi.

Ujarnya lagi, sejarah bukan sahaja sebagai bukti keunggulan sesuatu tamadun, bangsa dan pencapaian bangsa tersebut bahkan sejarah amat penting menentukan jati diri dan kelangsungan kuasa politik sesuatu bangsa.

Selain itu, sejarah juga boleh menjadi pemangkin kepada lonjakan sesuatu bangsa.

UniMAP menjadi penganjur ke – 37 siri jelajah Majlis Polimek Sejarah Malaysia anjuran Arkib Negara Malaysia yang berlangsung Dewan Kecemerlangan, Kompleks Dewan Kuliah di Kampus Induk UniMAP Pauh Putra.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pengembangan) Arkib Negara Malaysia, Savumthararaj A/L Gopal.

Turut hadir adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Penyelidikan dan Dokumentasi Arkib Negara Malaysia, Samariah Md Ali; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan yang juga bertindak sebagai pengerusi sesi.

Antara pembentang kertas kerja adalah Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Dr Mohd Supian Sabtu dari Universiti Malaya (UM); dan Dr Hazman Hassan dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Untuk rekod, setakat Ogos 2015, program ini telah dijalankan sebanyak 36 sesi yang melibatkan pembentangan 101 kertas kerja dan dimulakan pada tahun 1994.

Sebanyak 19 sesi awal menyentuh tentang zaman Pra-Sejarah; Pra-Melaka; Kesultanan Melayu Melaka; Pra-Kesultanan Johor – Riau dan Kesultanan Johor – Riau yang berfokus kepada pengasasan, politik, pemerintahan, perdagangan, sosio budaya, agama, bahasa, penempatan, sistem penggantian, sumber-sumber asing dan tempatan, perundangan, adat istiadat.

Sesi ke – 20 hingga 22 yang berlangsung pada 21 Mac 2002, 9 Mei 2006 dan 3 November 2008 berkisarkan tema Malaysia Sehingga Abad ke – 20 yang memberi fokus perbincangan kepada Kerajaan Kedah dari sudut politik, pentadbiran, perundangan, dan hubungan luar, ekonomi dan perdagangan, serta bahasa, kebudayaan, adat, budaya.

Program ini diteruskan dengan mengangkat tema Penempatan dan Kerajaan Awal Malaysia sebelum 1400 masihi berfokus dengan Petempatan Awal Sarawak, Sejarah Awal Kelantan, Sejarah Awal Pahang, Sejarah Awal Perak.

Terkini, dengan tema yang sama, Majlis Polimek Sejarah Malaysia diteruskan bagi negeri Selangor, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka.

Surabaya, Indonesia, 26 Oktober – Penyelidik Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui kerjasama dengan King Abdul Aziz City For Science And Technology (KACST) berjaya menghasilkan paip daripada bahan geopolimer untuk kegunaan sektor minyak dan carigali yang tahan pada tekanan dan suhu tinggi.

Pengurusnya, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, paip tersebut yang dihasilkan sepenuhnya menggunakan bahan teknologi hijau dan mesra alam itu turut mempunyai kekuatan mampatan yang tinggi.

“Paip geopolimer ini turut mempunyai daya lenturan yang tinggi, struktur keliangan dan kebolehtelapan yang rendah serta tahan haba yang tinggi menjadikannya alternatif terbaik untuk digunakan dalam sektor minyak dan carigali bagi menggantikan paip biasa,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas perbincangan hasil penyelidikan dengan KACST yang dihadiri oleh Pengarah Pusat Nasional Sistem Bangunan KACST, Arab Saudi, Prof. Mohamed Bin Hussin sempena Simposium Geoppolimer Malaysia-Indonesia (MIGS) 2015 di Swiss Belinn Hotel, Surabaya.

MIGS 2015 dianjurkan oleh Konsortium Riset Geopolimer Indonesia (KORIGI) Institut Teknologi Sepuluh Nopember, Surabaya, Universiti Negeri Makassar, Universiti Kristian Petra dengan kerjasama Persatuan Geopolimer Malaysia (MyGeopolimer) dan UniMAP.

Penyelidikan CEGeoGTech UniMAP yang diterajui oleh Naib Canselor UniMAP, Brig Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin, sebelum ini menerima dana penyelidikan berjumlah lebih RM2.2 juta dari pihak KACST khusus untuk menjalankan penyelidikan teknologi hijau dan geopolimer terutama untuk kegunaan industri minyak dan carigali serta pembinaan.

Menurut Dr. Mohd. Mustafa, CEGeoGTech UniMAP kini telah melangkah ke fasa baru penyelidikan iaitu dalam bidang pengkomersilan yang mana ia memerlukan sokongan dan kerjasama dari pihak industri.

Ujar beliau, pelbagai penyelidikan yang memberi manfaat kepada sektor pembinaan misalnya telah dihasilkan oleh para penyelidik CEGeoGTech sebagai contoh konkrit geopolimer sedia bancuh (E-Crete) telah berjaya dikomersialkan di Australia melalui kerjasama dengan The University of Melbourne.

“Produk tersebut telah dikomersialkan oleh Zeoband Ptty. Ltd. yang mana ia secara tidak langsung membuktikan produk tersebut memenuhi kehendak pasaran. Justeru, saya menyeru sektor industri di Malaysia untuk memberi sokongan kepada hasil penyelidikan CEGeoGTech yang pastinya memberi manfaat besar untuk sektor pembinaan,” ujar beliau.

Terdahulu, Mohd. Mustafa turut menyampaikan ucaptama kepada peserta MIGS 2015 menerusi pembentangan penyelidikan terkini CEGeoGTech dalam bidang geopolimer dan teknologi hijau.

Menerusi penganjuran MIGS 2015 itu juga, para penyelidik dari kedua-dua negara telah mencapai persetujuan untuk membangunkan standard yang boleh digunapakai dalam sistem geopolimer.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu berjaya menghimpunkan 100 penyelidik dalam bidang geopolimer dan teknologi hijau yang terdiri daripada pensyarah, pelajar pascasiswazah dan industri sekitar Indonesia.

 

Kangar, 26 Oktober – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal berkongsi kepakaranya dalam teknologi solar dengan tiga buah sekolah berasrama penuh di kawasan utara.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, perkongsian kepakaran itu bertujuan bagi memupuk minat pelajar-pelajar sekolah dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Langkah ini juga bertujuan bagi memastikan minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dipertingkat bagi mencapai sasaran Dasar Sains Teknikal dan Sastera pada nisbah 60:40.

“Ia selaras dengan saranan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh yang mahukan peningkatan bilangan pelajar aliran Sains kerana pendidikan STEM merupakan tunggak bagi negara yang ekonominya berasaskan pengetahuan dan inovasi,”katanya ketka ditemui pada Majlis Graduasi Ke-30 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Beseri, di sini baru-baru ini.

Katanya lagi, antara sekolah yang bakal ditawarkan kepakaran teknologi solar ini adalah MRSM Kubang Pasu, MRSM Beseri dan Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP).

“Perkongsian ini adalah dibawah kelolaan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik dan buat buat permulaan, kita memilih tiga sekolah ini bagi menjalankan projek tersebut dan ia akan dikembangkan ke sekolah-sekolah lain mengikut kesesuaian”katanya lagi.

Ujar Datuk Dr. Kamarudin lagi, tiga projek yang bakal ditawarkan itu adalah, “Green Gazebo” untuk MRSM Kubang Pasu, “Water Fountain” MRSM Beseri dan Taman Teknologi Hijau untuk SMSTSP menggunakan tenaga solar untuk menghidupkan lampu, kipas, pam air dan lain-lain peralatan elektronik termasuk usb.

“Pihak UniMAP akan membekalkan dan membuat pemasangan untuk semua peralatan iaitu panel solar, bateri, pam air dan lampu solar dengan kos berjumlah RM5,000,”katanya lagi.

 

ARAU, 25 Okt (Bernama) -- Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Siti Suhailah Shaharuddin menjuarai Pertandingan Pidato Dakwah Belia Islam Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.


Pelajar tahun dua Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Pengajian Fiqh dan Taqwa menewaskan enam peserta lain pada peringkat akhir di Dewan Kecemerlangan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.

Siti Suhailah, 22, yang berpidato 'Belia Islam Agen Transformasi Ummah' berkata beliau tidak menjangka menang memandangkan persaingan hebat oleh para peserta.

"Alhamdulillah... ini rezeki saya," kata pelajar itu semasa ditemui selepas menerima hadiah wang tunai, piala pusingan, piala iringan dan sijil daripada Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha.

Siti Suhailah berkata beliau juga berhasrat menyertai progam realiti Islamik Da'i-Pendakwah Milenia.

Tempat kedua disandang oleh mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Nurul Afifah Mohd Salleh dan ketiga, mahasiswa USIM, Irfan Mohd Fairus.

Othman yang ditemui pemberita selepas pertandingan itu berkata pertandingan pidato itu bertemakan 'Belia Islam Agen Transformasi Ummah' adalah julung kali diadakan untuk melahirkan pendakwah-pendakwah muda dalam kalangan belia.

"Program ini yang berteraskan pembinaan kepimpinan bertaqwa, berkredibiliti dan berkarisma akan diteruskan," katanya.

Beliau berkata lebih banyak program untuk menyemarakkan dakwah Islamiah di kampus akan dilaksanakan bagi menangani gejala sosial di kampus selain mendapatkan pandangan generasi muda mengenai hal-hal masyarakat.

Othman berkata golongan belia merupakan aset terpenting negara kerana mereka bakal memikul tanggungjawab dan meneruskan proses pengembangan dakwah, pembangunan ummah dan modal insan.

Pertandingan dianjurkan oleh JAKIM bersama UniMAP, Yayasan Taqwa, Institut Wasatiyyah, iM4U dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM).

-- BERNAMA

iti Suhailah Shahruddin (tengah), Nurul Afifah Mohd. Salleh (kanan) dan Irfan Mohd. Firdaus bersam piala masing-masing dalam Pertandingan Pidato Dakwah Belia Islam Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri 2015 di Kampus Pauh Putra

Barisan VVIP yang menyaksikan Pidato Dakwah Belia Islam Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri 2015 di Kampus Pauh Putra

Para penonton yang terdiri dari siswa-siswi UA yang hadir pada Pidato Dakwah Belia Islam Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri 2015

Para peserta akhir bergambar bersama VVIP setelah Majlis Akhir dan Penyampaian Hadiah Pidato Dakwah Belia Islam Piala Menteri di Jabatan Perdana Menteri 2015 di Kampus Pauh Putra

 

Arau, 24 Oktober – Lebih 500 pelajar dan staf  Universiti  Malaysia Perlis (UniMAP) menghadiri tayangan khusus filem komedi romantik “Love,Supermoon” bertempat di Dewan Kuliah 1, Kampus Pauh Putra.

Tayangan itu merupakan anjuran bersama, Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) UniMAP dan Kelab Seni Lakon dan Kreatif (UPACC) UniMAP dengan kerjasama Syarikat produksi Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB).

Pengarah Unit Kebudayaan dan Rekreasi UniMAP, Mohd Izwan Izhar Haris, berkata, beliau tidak menyangka dengan sambutan yang memberangsangkan dari pelajar dan staf UniMAP.

“Saya berasa amat teruja dengan sambutan yang diberikan, bahkan pihak GBSB juga tidak menyangka dewan kuliah yang kita sediakan penuh dengan penonton.

“Jika diberikan peluang lagi oleh pihak GBSB, Insyaallah kita akan cuba untuk menganjurkan tayangan seperti ini lagi di masa hadapan,” katanya ketika ditemui selepas tayangan tersebut, di sini.

Turut hadir, Pengarah Unit Penerbitan UniMAP, Prof. Dr. Asiah Sarji.

Ujar Mohd Izwan lagi, beliau turut berterima kasih kepada pihak GBSB kerana telah memilih UniMAP sebagai lokasi pertama bagi Tayangan Perdana filem tersebut.

“Kita juga berasa amat bertuah kerana pelakon utama filem ini iaitu Farid Kamil dan Nadiya Nisaa  serta penyanyi  runut lagu filem Love, Supermoon Yuka Kharisma turut hadir untuk berjumpa dan bermesra dengan peminat,”katanya lagi.

Selepas tayangan di UniMAP, pihak GBSB meneruskan jelajah tanyangan filem tersebut ke Aman Sentral, Alor Setar dan Amanjaya Mall Sungai Petani.

Nadiya Nisaa dan Farid Kamil menandatangan Autograf pada peminat sewaktu selesai tayangan filem tersebut.

Prof. Dr. Asiah Sarji dengan ditemani En. Mohd Izwan Izhar Haris sedang berramah mesra bersama Nadiya Nisaa dan Farid Kamil.

Nadiya Nisaa dan Farid Kamil bergambar beramai-ramai bersama peminat sewaktu selesai tayangan filem tersebut.

 

Alor Setar, 24 Okt (Bernama) -- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah setiap anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) yang berjaya menamatkan latihan wajar menyertai Askar Wataniah.

"Adalah menjadi kewajipan anggota Palapes berkhidmat dengan Tentera Darat atau menyertai Askar Wataniah bagi membalas jasa kerajaan membiayai latihan mereka.

"Majikan juga harus memahami komitmen bekas anggota Palapes dengan memberi pelepasan kepada pekerja mereka untuk menyumbang khidmat bakti tidak ternilai kepada negara," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah pada majlis Santapan Malam Rejimental Sempena Pertauliahan DiRaja Pegawai Kadet Palapes Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pengambilan Ke-8 Tahun 2015, di sini, malam tadi.

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin, Panglima briged Ke Enam Infantri, Brig. Jen. Marzuki Muhammad dan Ketua Polis Perlis, SAC Shafie Ismail.

Menurut baginda, majikan pada awalnya mungkin berasa timbul sedikit masalah melepaskan pekerja mereka menjalani latihan namun akan menyedari sumbangan tersebut adalah antara faktor negara terus aman dan selamat.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah anggota-anggota Palapes perlu sentiasa memberi tumpuan terhadap profesion ketenteraan serta mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan agar tahap profesionalisme mereka terus meningkat.

Baginda selaku Canselor UniMAP dan juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpengkalan di Kem Bukit Ketri, Padang besar bertitah anggota-anggota Palapes juga harus memainkan peranan sebagai mata dan telinga kerajaan.

"Saya berharap tuan-tuan melaporkan maklumat anasir-anasir yang berupaya mengancam keselamatan negara.


"Pekerjaan sebagai pegawai tentera merupakan satu komitmen selain tugas mulia yang berhubung kait dengan amalan 'Defender of The Faith, King and Country' di samping memupuk semangat kesetiaan kepada negara," tambah baginda.

Menurut baginda kerjaya dalam bidang ketenteraan walaupun tidak istimewa namun ia diiktiraf sebagai 'A noble and reputable profession.'

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan hadiah kepada penerima Anugerah Pegawai Kadet Terbaik UniMAP 2015 iaitu Ezza Rina Mohd Isa (keseluruhan), Phuah Yong Zen (akademik) dan Mohamad fadhil Azizi (ketenteraan).


-- BERNAMA

Arau, 21 Oktober – Seramai 20 orang staf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima watikah pelantikan Ketua Juru Audit MS ISO 9001:2008 yang mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui Badan Persijilan United Kindom (IRCA) .

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin kesemua staf terbabit merupakan penyelaras Jaringan Industri dan Kualiti (JIPK) di Pusat Pengajian serta juruaudit dalaman Sistem Pengurusan Strategi dan Kualiti (SPSK) UniMAP.

Menurut beliau, kejayaan kesemua staf terbabit adalah sesuatu yang membanggakan dalam usaha memperkukuhkan intergriti dan kualiti pentadbiran di peringkat pusat pengajian dan universiti.

“Kesemua staf ini telah mengikuti kursus Ketua Juruaudit yang telah berlangsung pada 10 hingga 14 Ogos lalu dan kesemuanya telah berjaya mencatatkan keputusan lulus dengan cemerlang.

“Saya percaya, ia sedikit sebanyak disumbangkan oleh pendedahan awal yang diterima menerusi kursus persedian ketua juruaudit yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti (PUSPEK) dan fasilitator jemputan En. Abdul Ghani Fathil yang juga Pengurus Kualiti UniMAP,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Majlis pemakaian Jaket Ketua Juruaudit dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Naib Canselor sendiri dengan diiringi oleh Penolong Naib Canselor PUSPEK, Prof. Madya Abdul Aziz Mahmuddin. Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Dalam pada itu, pada majlis yang sama, UniMAP melalui Yayasan UniMAP turut memeterai perjanjian kerjasama dengan Total Organization Management Consulting (M) Sdn. Bhd. (TOM C) yang antara lainnya bertujuan melahirkan lebih ramai pelatih pengurusan strategic di UniMAP.

UniMAP diwakili oleh Datuk Naib Canselor yang merupakan Pengerusi Yayasan UniMAP, manakala TOM C diwakili oleh Pengarahnya, En. Azizul  Azmi Abdul Rani dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Operasi Yayasan UniMAP, Dr. Syed Zulkarnain Syed Idrus, dan wakil TOM C, Norhayati Omar.

Menerusi perjanjian tersebut, Yayasan UniMAP akan menjadi jurulatih kepada Strategic Management Decision Tools Workshop yang akan dipasarkan oleh TOM C (M) Sdn. Bhd.

PADANG BESAR, 19 Okt (Bernama) -- Perkembangan teknologi hari ini semakin penting dan institusi pendidikan perlu memberi lebih tumpuan bagi mendalami bidang sains dan inovasi, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.


Selain daripada itu, era pengajaran dan pendidikan berasaskan teori bukan lagi menjadi medium utama untuk mendalami bidang sains dan inovasi, titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah demikian semasa menutup Kem Robotik & Inovasi Perlis 2015 di Kampus UniMAP Uniciti Alam, Sungai Chuchuh di sini, hari ini.

Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan TNC (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Abdul Hamid Adom turut hadir.

Tuanku Syed Faizuddin juga bertitah teknologi robotik misalnya merupakan bidang teknologi moden baharu merentasi beberapa bidang kejuruteraan tradisional yang tidak boleh dipisahkan daripada pelajar.

Baginda berharap lebih tumpuan diberi untuk mendalami teknologi robot yang memerlukan pengetahuan mendalam mengenai kejuruteraan elektrik, elektronik, mekanikal, sains komputer, pembuatan, kejuruteraan aplikasi dan kejuruteraan pengetahuan yang bermula dengan asas matematik dan sains.

"Bidang robotik juga menjanjikan peluang pekerjaan lebih tinggi dalam sektor perindustrian. Dengan peningkatan kos buruh dan saingan yang kompetitif, sektor industri tiada pilihan dan terpaksa menggunakan teknologi robotik untuk mengeluarkan produk mereka," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin berharap Malaysia dapat mengeluarkan tenaga kerja mahir dalam bidang berteknologi tinggi seperti kejuruteraan robotik supaya selari dengan kepesatan pembangunan bagi menjadi negara perindustrian yang maju.

Program julung kali itu dianjurkan oleh Institut Kepimpinan Strategik dan Komuniti (IKSK) UniMAP, Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS), Jabatan Pendidikan Perlis dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis.

Kem tiga hari iu bermula 17 Oktober lepas disertai 72 pelajar tingkatan tiga dan empat mewakili 23 sekolah terpilih dari seluruh Perlis.

Kangar, 19 Oktober – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu menubuhkan kelab pesara bagi menjaga kebajikan selain dari menghargai jasa pesara universiti tersebut.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin menyarankan agar satu kelab ditubuhkan bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang pernah diberikan oleh pesara UniMAP kepada universiti tersebut.

“Jika kita tidak ambil peduli keadaan para pesara, seolah kita telah membuang sebutir permata yang pernah menyinari UniMAP”, katanya dalam Majlis Penghargaan Pesara 2015 UniMAP – Jasamu dikenang yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, baru-baru ini.

Kata Datuk Kamarudin, mereka ini satu ketika pernah memberikan perkhidmatan kepada UniMAP dan apabila mereka sudah bersara, hubungan kekeluargaan antara staf tidak seharusnya putus begitu sahaja.

“Walaupun mereka telah bersara, saya tidak ingin hubungan silaturrahim sesama warga UniMAP terputus dan seharusnya kita mengambil tahu keadaan mereka sekeluarga dalam melayari kehidupan seharian.

 “Hal ini kerana, pesara-pesara ini telah hilang punca pendapatan dan dengan cara mengambil tahu, mungkin akan ada bantuan yang boleh kita berikan kepada mereka,” katanya.

Datuk Kamarudin yakin melalui penubuhan kelab yang akan diterajui oleh Jabatan Pendaftar UniMAP akan melancarkan lagi perjalanan kelab tersebut.

“Jabatan Pendaftarlah yang akan bertanggungjawab bagi menyelaras bentuk bantuan yang boleh kita salurkan kepada pesara UniMAP melalui kelab pesara itu nanti,” katanya.

Dalam majlis tersebut, seramai lima pesara UniMAP yang bersara secara pilihan atau bersara wajib diraikan.

Mereka adalah Prof. Dr. Ismail Daut, (mantan Timbalan Naib Canselor, (Penyelidikan dan Inovasi) bersara pilihan selepas menjadi Ahli Parlimen Merbok; Prof. Dr. Sazali Yaacob (mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

Tidak ketinggalan, Azmi Ahamad (mantan Ketua Penolong Pendaftar, Jabatan Pendaftar) bersara wajib sebelum dilantik semula secara kontrak; Sahadah Ahmad (akan bersara wajib sebagai Pensyarah Universiti di Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan mulai November 2015); dan Datuk Kamarudin sendiri (bersara wajib pada 10 Februari lalu, sebelum dilantik semula secara kontrak untuk terus menerajui UniMAP).

Kuching, 18 Oktober – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berhasrat menawarkan kepakaran teknologi solar yang dimiliki kedua-dua universiti awam (UA) tersebut di Sarawak.

Perkara itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor (JKNCR) Universiti Awam, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin.

 “Ini merupakan program tanggungjawab sosial universiti (USR) pertama Naib Canselor semua UA kepada masyarakat terutama pelajar sekolah  yang dijalankan bersempena berlangsungnya Mesyuarat JKNCR yang dihoskan oleh UNIMAS kali ini.

“Buat permulaan, kita memilih Sekolah Menengah Kebangsaan Petra Jaya (SMKPJ) di sini bagi menjalankan projek tersebut dan ia akan dikembangkan ke sekolah-sekolah lain mengikut kesesuaian,”katanya ketika ditemui ketika melawat SMKPJ, di sini semalam.

Turut serta dalam lawatan itu Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib,Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Datuk Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr. Zakaria Kasa dan Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi, Mazula Sabudin.

Dari pihak SMKPJ disertai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Awang Zaidil Awang Jamil dan Pengetuanya, Abdul Radzak Ismail.

Dr. Kamarudin yang juga Naib Canselor UniMAP berkata,  pihaknya termasuk para penyelidik teknologi solar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik mengadakan lawatan ke SMKPJ khusus untuk memberi penerangan tentang kepakaran yang bakal ditawarkan.

“Ia masih di peringkat permulaan, dan sebarang keputusan tertakluk kepada kelulusan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. Lawatan pada hari ini hanya sekadar lawatan pengenalan bagi menjelaskan mengenai kepakaran yang kami miliki,” ujar beliau.

Dr. Kamarudin seterusnya menjelaskan, tiga projek telah dikenalpasti sesuai dijalankan di SMKPJ iaitu “Green Gazebo” yang menggunakan tenaga solar untuk menghidupkan lampu, kipas dan lain-lain peralatan elektronik termasuk usb.

Bagi menjayakan projek ini, pihak UNIMAS akan menyediakan gazebo manakala UniMAP akan bertanggungjawab menyediakan sistem solar termasuk pemasangan lengkap sistem.

Projek kedua yang dicadangkan, ujar beliau ialah “Solar Greenhouse” yang mana teknologi solar digunakan untuk mengawal aktiviti pengairan, suhu dan lain-lain teknologi pertanian dalam rumah hijau.

“Manakala projek terakhir yang dicadangkan ialah “Green Bus Stop” yang mana hentian bas akan dipasang dengan lampu dan kipas yang dibekalkan oleh tenaga solar.

“Apabila siang, kipas akan berfungsi secara langsung menggunakan tenaga solar matahari manakala pada waktu malam, lampu dan kipas akan dipasang menggunakan tenaga solar yang disimpan dalam bateri,” ujar beliau lagi.

Kangar, 16 Oktober – Dalam usaha mendokong hasrat negara bagi merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Sektor Pendidikan Tinggi (PPPM-PT) 2015-2025 yang merangkumi 10 lonjakan bagi memantapkan sistem pendidikan tinggi negara,  UniMAP telah melantik Presiden B. Braun Kawasan Asia Pasifik, Anna Maria Braun sebagai Profesor Adjung UniMAP bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 14 Oktober 2015 lalu.

Anugerah tersebut disampaikan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dalam satu majlis yang diadakan di B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd., Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menurut Datuk Kamarudin, antara 10 lonjakan bagi memantapkan sistem pendidikan tinggi negara adalah termasuk penghasilan graduan yang seimbang, holistik dan mempunyai sifat serta minda keusahawanan.

“Melalui lantikan ini, beliau bertanggungjawab sebagai Penasihat Industri – Universiti bagi membantu mengukuhkan program teras yang ada di UniMAP.

“Malah beliau juga akan berkongsi kepakarannya dengan pelajar universiti dalam memastikan aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan yang dijalankan oleh universiti adalah menepati kehendak industri,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Terdahulu, Anna Braun telah dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia sebagai Profesor Adjung Negara yang terlibat dalam CEO Faculty Program (CFP) yang membariskan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia.

“Hasil lantikan tersebut, CEO ini dibahagikan kepada 22 universiti awam (UA) dan Anna Braun telah ditempatkan di UniMAP bagi berkongsi kepakarannya.

“Kita akan memikirkan mod yang sesuai dengan kepakaran beliau sama ada akan bekerjasama dengan profesor universiti bagi mengajar subjek kepada pelajar; atau menyampaikan ucaptama; ceramah motivasi; bertindak sebagai panel penasihat; atau yang setara dengannya,” kata Datuk Kamarudin.

Tambah Datuk Kamarudin lagi, mereka yang dilantik ini adalah tokoh terkenal dalam industri dan mempunyai pengetahuan yang sangat meluas dalam bidang berkaitan dengan universiti-universiti yang terlibat.

“Saya yakin lantikan ini akan membantu melonjakkan kepakaran UniMAP yang berteraskan kejuruteraan bagi menyokong 10 teras lonjakan tersebut secara menyeluruh dengan fokus dan tumpuan pastinya untuk mewujudkan kecemerlangan bakat serta ekosistem inovasi dalam usaha menghasilkan graduan kejuruteraan dan TVET yang berkualiti.

Sehingga kini, terdapat 22 CEO dari pelbagai syarikat multinasional yang terpilih untuk menyertai program ini dan akan bekerjasama dengan universiti-universiti yang terpilih dalam masa yang terdekat.

“Antaranya ialah Air Asia Berhad dengan Universiti Putra Malaysia (UPM); Media Prima Berhad dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI); Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); Huawei Malaysia dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM); B. Braun Medical Industries (M) Sdn Bhd dengan UniMAP; dan banyak lagi,” katanya.

Kangar, 16 Oktober – Penyelidik wanita Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Dr. Noorhafiza Muhammad mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila meraih anugerah tertinggi International Gold Winner dalam Europian Union of Woman Inventors & Innovators Network (EUWIIN) yang berlangsung di British Library, London.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, Dr. Noorhafiza berjaya menarik minat Sembilan juri yang mengadili EUWIIN pada pertandingan kali ini yang diketuai oleh Diane Morris dari EUWIIN International.

Ujar beliau, kejayaan pensyarah kanan UniMAP yang juga penyelidik Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) itu membuktikan, penyelidikan sememangnya menjadi agenda penting UniMAP dan tidak terhad kepada penyelidik lelaki semata-mata.

Menurut beliau, Noorhafiza merupakan antara penyelidik wanita UniMAP yang begitu aktif dalam bidang penyelidikan dan diharap kejayaan yang diraih itu diharap mampu memberi inspirasi kepada penyelidik wanita muda yang lainnya di UniMAP.

“Syabas dan tahniah kepada Dr. Noorhafiza dan saya mengharapkan kejayaan ini akan berterusan di masa-masa akan datang terutama dalam memartabatkan bidang penyelidikan dan pembangunan dan pada masa sama meraih ilmu pengetahuan baru,” ujar beliau.

EUWIIN dianjurkan oleh Global Women Inventors and Innovators Network (GWIIN) yang mengumpulkan saintis-saintis wanita dalam pelbagai bidang penyelidikan dengan disertai lebih 20 buah negara antaranya United Kingdom, Ireland, Finland, Sweeden, Jerman, Iceland, Switzerland, Latvia, China, Taiwan dan Bahrain.

Turut menyertai Dr. Noorhafiza dalam pertandingan tersebut ialahpenyelidik muda dari dua buah sekolah angkat UniMAP iaitu Sek. Men. Sains (SMS) Hulu Selangor dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Rawang yang menyaksikan penyelidik SMS Hulu Selangor dinobatkan sebagai Youth Overall Platinum Winner.

Turut menerima pengiktirafan ialah Pengurus CEGeoGTech, Prof. madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah yang dianugerahkjan Ambassador Award sebagai penghargaan atas sumbangan beliau mempromosikan agenda penyelidikan terutama di kalangan penyelidik wanita.

Dalam pada itu, Dr. Noorhafiza yang juga penerima anugerah Nasional Fellowship Untuk Wanita dalam Sains oleh L'oreal Malaysia pada tahun lalu berkata, kejayaan tersebut bukanlah kekuatan peribadi beliau, sebaliknya ia merupakan pengiktirafan terhadap hasil penyelidikan yang dijalankannya.

“Penyelidikan yang dihasilkan saya iaitu Laser Surface Modification Of Biomaterials For Coronary Stent Applications itu bukan kejayaan peribadi dan UniMAP semata-mata tetapi kejayaan kepada dunia perubatan sekaligus dapat membantu golongan yang menghidapi penyakit koronari.

Jelasnya, penyelidikan tersebut yang dijalankan bertujuan untuk  menyelamatkan lebih ramai nyawa yang menghidap penyakit jantung yang semakin meningkat di negara ini yang mana ia melibatkan penstrukturan permukaan jaringan logam menggunakan laser.

“Tujuan utama penstrukturan adalah untuk memudahkan proses endotiliasisasi pada jaringan logam yang akan menghasilkan tindakbalas bersesuaian pada tisu biologikal dengan peningkatan prestasi jantung yang lebih baik," katanya.

Terdahulu, Dr. Noorhafiza turut diundang sebagai pembentang utama dalam forum wanita yang disertai oleh lebih 300 peserta dari seluruh dunia melalui topik “From Research To Award Winning Discoveries And Innovation”.

Selain beliau, turut diundang sebagai pembentang ialah Presiden Riffa Cultural Society Bahrain, Dr. Jamal Hala; Pengasas dan Ketua Pegawai eksekutif Haute Arabia, Ms. Romana Abu Baker; Pengasas dan Pengerusi Arab International Woman’s Forum, Haifa Fahoul Al Kaylabi dan Arkitek Marks Barfield Architects yang merupakan arkitek London Eye, Julai Barfield.

 

Kangar, 15 Oktober – Kajian inovasi berasaskan sisa pepejal insinerator sebagai bahan baharu industri pembinaan berjaya meraih pingat emas dalam pameran dan pertandingan rekacipta “The 9th International Warsaw Invention Show” (IWIS 2015) berlangsung di University Warsaw, Poland selama tiga hari berakhir semalam.

Kajian tersebut merupakan hasil penyelidikan bersama antara penyelidik Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan University Technology of Chemical and Metallurgy Bulgaria (UTCM).

Pengurus CEGeoGTech UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, kajian inovasi tersebut dicetuskan susulan masalah yang dihadapi oleh sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti insinerator di Sofia yang merupakan ibu negara Bulgaria.

Menurut beliau, penyelidik UTCM, Prof. Madya Dr. Andriana Surleva Iliana Batcheva dan Gabriela Atanassova telah diberi mandat untuk mengkaji inovasi yang boleh dihasilkan melalui sisa pepejal insinerator tersebut khususnya yang boleh menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

“Memandangkan saya pernah menjalankan kajian yang hampir sama menggunakan abu terbang untuk menghasilkan simen bahan baharu untuk sektor pembinaan, pihak UTCM menjemput saya untuk sama-sama terlibat dalam penyelidikan ini.

“Penyelidikan ini membuktikan, meskipun pelupusan sisa pepejal dibuat menggunakan insinerator, namun hasil pembakaran insinerator itu boleh digunakan untuk menghasilkan sesuatu yang memberi pulangan kepada negara,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

UniMAP turut meraih lapan lagi pingat emas, satu pingat platinum dan lima perak serta lima Anugerah Khas dalam pertandingan yang disertai oleh 20 buah negara antaranya Jepun, Greece, Korea Selatan Maldova, Lebanon, Taiwan, Iraq, Thailand, Iran dan Indonesia.

Selain inovasi dari CEGeoGTech, UniMAP turut menghantar inovasi ciptaan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Teknologi Termaju (ACE), Pusat Kecemerlangan Teknologi Sensor Termaju (CEASTech), Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bioproses, PPK Mikroelektronik, Pusat Bahasa Antarabangsa dan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM).

Pingat platinum disumbangkan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Anuar Mat Safar yang turut meraih anugerah khas Chinese Innovation and Invention Society manakala pingat emas disumbangkan oleh Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin, Dr. Rashidi Che Beson, Dr. Syed Zulkarnain Syed Idrus dan Sharmini Abdullah.

Empat lagi inovasi yang menyumbangkan pingat emas dan anugerah khas merupakan hasil penyelidikan Dr. Mukhzeer Mohamad Shahimin yang meraih anugerah khas Association of Thai Innovation and Invention Promotion; Noor Shazliana Aizee Abidin meraih anugerah khas Maldova; Fathinul Shahir Ahmad Shahir (Romanian Inventor Forum Price) dan Mohd Fathullah Ghazali (IWIS Poland Special Award).

Dr. Kamarudin Hussin berbangga dengan pencapaian para penyelidik UniMAP dalam pertandingan tersebut yang dicapai melalui kerjasama berpasukan yang dipupuk menerusi penubuhan pusat kecemerlangan dan komitmen berterusan Pusat Pengajian.

“Kejayaan meraih pingat platinum serta lima anugerah khas menerusi pertandingan ini merupakan kejayaan besar buat UniMAP. Tahniah kepada semua penyelidik yang berjaya dan semoga kejayaan ini akan terus memacu kegemilangan UniMAP di pentas dunia,” ujarnya.

Kangar, 14 Oktober – Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengorak langkah dalam bidang akademik dan penyelidikan melalui jaringan kerjasama dengan rakan institusi akademik di Poland.

Kerjasama CEGeoGTech dan Institute of Electronic Materials Technology (ITME) Warsaw Poland yang dimeterai menerusi perjanjian surat hasrat itu dibuat bagi meningkatkan impak dan hasilan penyelidikan dalam bidang seramik berasaskan teknologi hijau dan geopolimer yang dijalankan oleh CEGeoGTech.

UniMAP diwakili oleh Pengurus CEGeoGTech, Prof Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah sebagai mewakili Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin manakala ITME diwakili oleh Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan, Prof. Zenon Godziejewski .

Yang turut hadir menyaksikan ialah Saintis dari Jabatan Seramik ITME, Dr. Anna Wajler, Prof. Lech Dobrazanski, Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC) UniMAP, Dr. Mukhzeer Mohamad Shahimin serta Pengarah Unit Kelayakan dan Akreditasi Akademik UniMAP, Prof. Madya Dr. Ir. Anuar Mat Safar.

Menurut Dr. Mohd. Mustafa,  pemilihan ITME dibuat berdasarkan pencapaian dan reputasi intitut berkenaan dalam bidang penyelidikan seramik dengan gabungan elemen elektronik.

“Dalam usaha memenuhi sasaran menghasilkan penyelidikan berimpak, CEGeoGTech sebagai sebuah pusat kecemerlangan yang masih muda perlu mengembangkan jaringan kerjasama dengan institusi penyelidikan ternama di dunia yang dapat membantu kami meneroka penyelidikan teknologi terkini selain membantu dalam aspek penjanaan kewangan.

“ITME misalnya, merupakah sebuah pusat penyelidikan unggul di Poland yang memiliki kepakaran 150 saintis bertaraf dunia dan satu yang menarik minat kami di CEGeoGTech ialah, penyelidikan yang dijalankan oleh institute ini adalah berfokus menerusi 16 jabatan terfokus yang telah ditubuhkan,” ujar beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut Dr. Mustafa, ITME yang ditubuhkan pada tahun 1979 juga hanya menerima kira-kira 20 peratus peruntukan daripada kerajaan manakala baki peruntukan diperolehi menerusi geran penyelidikan dalam dan luar negara terutama dari negara di Kesatuan Eropah (EU).

Ujar beliau, UniMAP kini sememangnya berazam untuk meningkatkan jaringan kerjasama dan perolehan geran dari negara-negara di Kesatuan Eropah selepas menerima validasi yang menjadikan UniMAP antara tiga Universiti Awam (UA) di Malaysia yang boleh memohon geran dari EU.

“Hasil kerjasama yang termeterai hari ini, ITME bersetuju membantu CEGeoGTech dalam apa sahaja bidang kajian dan penyelidikan berasaskan bahan termaju dan memberi ruang untuk penggunaan alatan secara bersama.

“Selain itu, sesuatu yang menarik minat kami bagi merealisasikan kerjasama ini ialah apabila melihat sistem penyelidikan yang dijalankan oleh ITME iaitu transformasi dari penyelidikan asas kepada penghasilan produk dalam skala kecil dan sederhana,” ujarnya lagi.

Terdahulu Dr. Mohd. Mustafa yang mewakili Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) turut memeterai kerjasama persefahaman dengan Persatuan Penyelidik dan Pencipta Poland (SPWIR) bagi membuka lebih banyak ruang penyertaan dalam pameran dan pertandingan rekacipta di negara-negara di EU.

SPWIR diwakili oleh Presidennya, Prof. Michael Szota.

Arau, 12 Oktober – Kejohanan Olahraga Tertutup Universiti malaysia Perlis (UniMAP) Kali Ke-11 yang melabuhkan tirainya pada malam tadi menyaksikan lima rekod kejohanan berjaya dipecahkan oleh atlit-atlit dari 10 Pusat Pengajian yang mengambil bahagian.

Daripada kelima-lima rekod kejohanan tersebut, empat darinya merupakan rekod bagi acara pelajar lelaki manakala Fabiatuladawiyah Mohd. Zaimi dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik muncul satu-satunya pelajar wanita yang memecahkan rekod kejohanan bagi acara lontar peluru sekaligus meraih emas acara tersebut dengan lontaran sejauh 7.98 meter.

Kejayaan tersebut sekaligus membolehkan, Fabiatuladawiyah dinobatkan sebagai olahragawati kejohanan apabila turut meraih emas menerusi acara melempar cakera, manakala Raja Pecut UniMAP, Muhammad Zulhilmi Johari dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) pula dinobatkan sebagai olahragawan kejohanan.

Muhammad Zulhilmi menyumbangkan dua emas peribadi menerusi acara 100 dan 200 meter selain turut memperbaharui rekod kejohanan bagi acara 200 meter. Beliau turut membantu pasukan FTK untuk meraih emas acara 4x100 meter yang turut mencatatkan rekod baru kejohanan iaitu 46.57s.

Satu lagi rekod kejohanan dicatatkan menerusi acara lompat kijang pelajar lelaki apabila pelajar PPKSE, Mad Yusof Madusah melakukan lompatan sejauh 12.79 meter untuk memadamkan rekod sebelum ini iaitu 11.46 meter.

Kejayaan cemerlang yang diraih atlit PPKSE seterusnya membolehkan kontinjen yang diketuai oleh Dekannya, Dr. Haziah Abdul Hamid muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP Kali Ke-11 menerusi pungutan 11 emas, lapan perak dan tiga gangsa.

Tempat kedua menjadi milik Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan Dan Teknousahawan yang meraih lima pingat emas, empat pingat perak dan lima pingat gangsa, manakala FTK ditempat ketiga dengan empat emas, tiga perak dan empat gangsa.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejohanan kali ini menyaksikan UniMAP berjaya mencungkil bakat-bakat baharu terutama di kalangan pelajar tahun satu untuk membawa cabaran UniMAP di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2016 nanti.

“Olahragawati pelajar misalnya, merupakan antara bakat baru yang dikenalpasti menerusi kejohanan kali ini. UniMAP melalui Pusat Sukan akan terus memantau prestasi atlit-atlit ini untuk meningkatkan lagi pencapaian mereka dalam kejohanan yang melibatkan pelajar.

“Jumlah penyertaan pelajar juga meningkat pada tahun ini iaitu seramai 5771 pelajar yang mengambil bahagian berbanding hanya seramai 4309 pelajar mengambil bahagian dalam kejohanan  yang sama pada tahun lepas,” ujarnya.

Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari mulai 9 Oktober itu disertai oleh 11 Pusat Pengajian di UniMAP. Selain PPKSE, PPIPT dan FTK, kontinjen lain yang mengambil bahagian ialah PPK Bahan, PPK Bioproses, PPK Pembuatan, PPK Mekatronik, PPK Mikroelektronik, PPK Komputer dan Perhubungan, PPK Alam Sekitar dan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM).

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Berkenan berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Hazaly Jali.

 

Kangar, 12 Oktober  - Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin menyeru agar pemimpin mahasiswa jangan menjadi seorang pemimpin yang ’syok sendiri’.

“Jangan biarkan diri pelajar leka dengan kejayaan atau keseronokan hari ini sehingga menjadi pemimpin yang syok sendiri.

”Sebaliknya, peluang harus diambil untuk menjadi lebih  bertanggungjawab dan  pada masa yang  sama  mempelajari secara tidak langsung selok­belok  kepimpinan  dalam erti kata yang  sebenarnya,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2015/2016 yang diadakan di salah sebuah hotel di Alor Setar, baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, seramai 33 mahasiswa UniMAP menerima watikah pelantikan sebagai ahli MPP bagi sesi 2015/2016 dan pelajar Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM), Rio Iskandar Jasman telah dilantik sebagai Yang DiPertua MPP bagi lantikan MPP baharu ini.

Menurut Datuk Kamarudin lagi, sebagai pemimpin perlu mempunyai ciri-ciri tertentu yang membolehkan orang lain menghormati pemimpin.

“Seorang pemimpin harus mempunyai wawasan dan meletakkan ‘goal’; mengambil risiko; mengguna dan melatih pemimpin yang lain; menurunkan kuasa; mempercayai dan setia kepada pengikut, berkongsi kejayaan; menerima tanggungjawab, seorang yang kongruen; mempunyai standard etika tersendiri; dan seorang yang tegas,” katanya.

Majlis penyerahan watikah pelantikan ini merupakan simbolik  kepercayaan pihak  Pengurusan Universiti serta mandat  daripada semua pelajar terhadap 33 orang MPP Sesi 2015/2016.

“Kepercayaan dan mandat diberikan ini  amatlah besar ertinya dan perlu  digalas  dengan  penuh keikhlasan dan kejujuran. Saya juga berharap MPP yang baharu ini menyedari bahawa peluang untuk menempatkan diri dalam Majlis  Perwakilan  Pelajar ini adalah satu cabaran yang sangat besar dan berat untuk digalas.

“Walaupun kelihatan seperti satu jawatan yang popular tetapi ia sebenarnya bukanlah satu keistimewaan atau privilege”, katanya. 

Dr. Kamarudin turut menyeru sebagai pemimpin pelajar perlu menjadi ‘role model’ dalam semua aspek sama ada dari aspek kepemimpinan, pengurusan, tingkah laku berkomunikasi, pergaulan dan tidak kurang juga dalam mengekalkan pencapaian akademik yang cemerlang.

“Seorang pemimpin harus juga menyedari bahawa dirinya akan sentiasa diperhatikan dan diadili.   Justeru, berusahalah agar kepercayaan dan keyakinan rakan-rakan tidak dirosakkan oleh anasir-anasir negatif yang sentiasa memandang serong dengan pelbagai persepsi,” katanya.

Beliau nyata berbangga dengan pelajarnya yang berani tampil menawarkan diri untuk menjadi calon dan beliau percaya keyakinan yang ada pada diri pelajar ini sedikit sebanyak disemai melalui pelbagai aktiviti kepimpinan yang dianjurkan oleh HEPA selama ini. 

Bagi YDP MPP 2015/2016 UniMAP, Rio Iskandar berjanji akan melakukan penambahbaikan terhadap perkhidmatan universiti agar dapat memberikan kepuasan kepada pelajar.

“Kami telah mengaturkan pertemuan bersama pengurusan universiti bagi membincangkan penambahbaikan kepada sistem pengangkutan universiti dan juga perkhidmatan di kolej-kolej kediaman.

UniMAP telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas yang terbaik kepada pelajar tetapi masalah timbul apabila ada pelajar yang terlepas bas dan terpaksa menunggu lebih lama untuk menghadiri kuliah ataupun pulang ke kolej kediaman,” katanya.

Oleh itu, perbincangan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Darat ( SPAD) bagi membuka laluan dalam kampus kepada MyBAS akan diperhalusi bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelajar.

Malah penambaikan kepada perkhidmatan di kolej-kolej kediaman seperti perkhidmatan dobi, internet wifi juga akan dilaksanakan secara berperingkat.

LANGKAWI, 12 Oktober – Seramai 61 anggota Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menyertai program Sustain The Nature For The Future anjuran pada 3 dan 4 Oktober, baru-baru ini.

Program selama dua hari satu malam itu merupakan anjuran bersama UniMAP, The Rotary Club of Langkawi (RCL), Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) Universiti Kebangsaan Malaysia , Biro Tatanegara Negeri Perlis dan Polis Marin.

Komandan Kor SUKSIS UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal  merangkap Timbalan Naib Akademik dan Antarabangsa UniMAP, berkata, program yang berobjektifkan membina kesedaran mencintai alam dan sumber semulajadi serta mengukuhkan semangat berpasukan.

“Pada hari pertama program, semua peserta telah dibawa untuk Program Pembersihan Sungai Kilim anjuran (RCL) dan Perbadanan Pembangunan Langkawi (LADA) di mana kita dibawa  ke Pulau-Pulau Kecil serta perairan laut Langkawi untuk mengutip dan membersihkan sampah sarap di kawasan yang ditetapkan.

“Selain Kor SUKSIS UniMAP, program ini turut disertai seramai 900 peserta dari Pusat Latihan Polis, Tentera Laut, Sekolah, Industri Hotel, Pelancong dan penduduk tempatan,”katanya ketika ditemui baharu-baharu ini.

Ujar Dato’ Dr. Zul lagi,  di penghujung program, semua peserta turut menerima Sijil Penghargaan dari pihak penganjur yang diiktiraf oleh pihak Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).  

“Semua anggota  SUKSIS UniMAP akan terus memberikan  yang tinggi untuk bersama-sama membantu Kerajaan Malaysia dalam memastikan kebersihan dan keindahan Kilim Geopark Forest di Pulau Langkawi ini agar terus mendapat pengiktirafan UNESCO.

“Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat UniMAP dalam memastikan kelestarian alam sekitar,”katanya lagi.

 Turut serta dalam program selama dua hari tersebut  Wakil Ketua Polis Perlis, Supritenden V.Raja A/L Vadievelu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Perlis.

Hadir sama Timbalan Komandan Kor SUKSIS UniMAP, Supritenden Kor SUKSIS, Prof. Madya Dr. Khairul Nizar Ismail,Pegawai Penyelaras Kor SUKSIS UniMAP, Asisten Superintendent  Kor SUKSIS Che Yob Pin dan Pegawai Latihan Luar Kor SUKSIS,Asisten Superintendent  Kor SUKSIS Raja Shah Erman Raja Arifin.

Selain Program Pembersihan Sungai Kilim, para anggota SUKSIS juga turut terlibat dengan program Kelestarian di Air Terjun Telaga Tujuh dan Program High Profile Policing (HPP).

Kata Dato’ Dr. Zul lagi, Kor SUKSIS UniMAP beriltizam akan menjadikan aktiviti ini sebagai program tahunan bagi menyokong kelestarian alam sekitar dan sumber semulajadi yang menjadi pemangkin kepada ekosistem kehidupan yang damai dan harmoni selari dengan tanggungjawab sebagai mahasiswa yang dididik dan dilatih sebagai anggota sukarelawan Polis Diraja Malaysia .

anggota SUKSIS bersama Ketua JPJKK PDRM Perlis

Anggota SUKSIS bersama Komandan dan Presiden RCL

Cenderahati kepada pihak RCL

Kempen bersama Komandan

Pembersihan Laut

Pembersihan Laut

Pembersihan Pulau

Pembersihan Pulau

Pembersihan Pulau

Pembersihan Pulau

Pembersihan Pulau

Pembersihan Telaga Tujuh

Pembersihan Telaga Tujuh

Pembersihan Telaga Tujuh

Persiapan bot untuk bergerak

Sesi HPP bersama PDRM Perlis

 

Kangar, 12 Oktober – Pelajar tahun kedua Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mikroelektronik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menumpaskan 12 calon lain untuk muncul juara Pertandingan Penyampai Radio Wilayah Utara yang dianjurkan bersempenan Karnival Bahasa Jiwa Bangsa di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar.

Dengan kemenangan tersebut, Muhammad Izwan Miswan, yang juga merupakan penyampai radio UniMAPfm membawa pulang hadiah wang tunai RM300 beserta sijil penyertaan. Naib juara disandang oleh pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Nor Farhatul Eizah Bt Khairunnaim yang membawa pulang wang tunai RM200 beserta sijil.

Seorang lagi pelajar UniMAP, Alli Malar A/P Harikrishnan menduduki tempat ketiga dengan hadiah kemenangan berupa wang tunai RM100 beserta sijil.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) UniMAP, Prof. Madya Dr. Hj. Huzili Hussin, UniMAP menghantar lima orang calon dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Kedah itu.

Ujar beliau, kesemua pelajar terbabit merupakan ahli Kelab Penyiaran, pelajar kursus kokurikulum Radio Kampus dan penyampai radio UniMAPfm yang sebahagian besarnya tidak mempunyai asas dalam bidang penyiaran radio.

Antara lainnya, ujar beliau, program tersebut bertujuan untuk merakyatkan bahasa dan sastera dan menggalakkan menggalakkan penggunaan bahasa Melayu tinggi melalui program kebahasaan dan kesusasteraan.

“Selain itu, ia juga merupakan antara inisiatif terbaik DBP dalam menjadikan kegiatan bahasa dan sastera sebagai wadah menimba ilmu pengetahuan menerusi sumber bahasa dan sastera yang betul dan pada masa sama mencungkil bakat sastera dalam kalangan pelajar serta masyarakat setempat.

UniMAP amat berbangga dengan kejayaan Alli Malar, pelajar berketurunan India yang berjaya menduduki tempat ketiga dalam pertandingan ini dan ia membuktikan UniMAP senantiasa menyemarakkan dan memartabatkan bahasa Melayu di kalangan mahasiswa pelbagai bangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pertandingan tersebut diadili oleh juri Pn. Suryani Mohamad dan En. Jamil bin Isa yang juga merupakan penyampai radio Kedahfm.

Selain Mohd. Izwan dan Mallar Ali, UniMAP turut meraih hadiah saguhati menerusi Mohd Hafizul Fadzli Mohd Ariffin dari PPK Mikroelektronik, Muhamad Fadhil Azhari Abdul Wahab dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Nurul Afiqah Nor Ismail PPK Mikroelektronik.

Kesemua pelajar terbabit diiringi oleh tenaga pengajar UniMAPfm Marzura Mat Arid, Pegawai Tadbir UniMAPfm dan Tengku Mohd Fadli Bin Tengku Hamzah, Penolong Pegawai Penerbitan. Selain UniMAP dan UUM, pertandingan tersebut turut disertai oleh calon penyampai radio dari Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Dr. Rosmadi Baharudin, Pegawai Kanan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Arau, 12 Oktober – Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Johor mengungguli Kejohanan Olahraga Terbuka Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) apabila meraih 9 pingat emas, empat perak dan tiga gangsa dengan turut memecahkan lapan rekod kejohanan.

Lebih manis lagi, dua atlit pasukan SSTMI, Badrul Hisyam Abdul Manap dan turut dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati kategori terbuka.

Badrul Hisyam muncul olahragawan selepas memenangi 4 pingat emas selain meleburkan rekod kejohanan dalam keempat-empat acara yang disertainya iaitu 100, 200, 4x100 dan 4x400 meter manakala Faradilah Raznie pula meraih dua pingat emas menerusi acara 800 dan 1500 meter selain turut memadamkan satu rekod kejohanan.

Ketua Jurulatih SSTMI, Mohd. Poad Kassim berkata, pencapaian hebat yang diraih atlit-atlit beliau merupakan satu bukti nyata Malaysia tidak ketandusan atlit muda untuk mewarnai olahraga negara.

“Dalam acara pecut misalnya, selain Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz Jantan, saya melihat potensi yang cukup besar pada Mohd. Haiqal Hanafi yang sudah mampu mencatatkan masa 21.57 saat untuk acara 200 meter walaupun baru berusia 16 tahun.

“Atas dasar itulah saya membawa kesemua atlit-atlit muda ini ke UniMAP untuk memberi pendedahan kepada mereka selain meningkatkan keyakinan apabila bertanding dalam situasi pertandingan sebenar,” ujarnya selepas Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Olahraga UniMAP di Stadium Syed Sirajuddin Areeb Putra di sini semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat hadir bagi menyempurnakan upacara tersebut. Yang turut hadir, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Naib Canselor UniMAP, Brig Jen Datuk Prof Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dan Setiausaha Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Hazzaly Jalil.

Selain Mohd. Poad yang memberi fokus kepada latihan atlit pecut, bekas pelari jarak jauh negara, Mohd. Jironi Ridzuan turut bertanggungjawab melatih atlit-atlit untuk acara jarak jauh.

Menurut Mohd. Poad, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sewajarnya memperbanyakkan kejohanan di peringkat tempatan terutama melalui persatuan olahraga negeri-negeri dengan mengguna pakai model penganjuran kejohanan seperti dianjurkan UniMAP.

Ujarnya, kalendar olahraga negara pada masa ini seperti tidak terurus apabila ada kejohanan yang dianjurkan persatuan negeri bertindan antara satu sama lain.

“Apabila ini berlaku, kami di peringkat jurulatih menghadapi kesukaran untuk memilih kejohanan tertentu untuk disertai dan ia secara tidak langsung mengurangkan jumlah penyertaan atlit di pentas kejohanan.

“Selain itu, insentif wang tunai yang diperkenalkan UniMAP juga merupakan satu suntikan motivasi kepada atlit lebih-lebih lagi selepas mereka mampu menumpaskan nama-nama besar olahraga negara,” ujarnya.

Beliau turut meminta Majlis Sukan Negara (MSN) atau Institut Sukan Negara (ISN) dapat membantu menyediakan kemudahan biomekanik dan fisioterapi di SSTMI untuk meningkatkan lagi prestasi semasa atlit-atlit pelapis negara.

 

Pencapaian keseluruhan SSTMI :

PINGAT EMAS

Badrul Hisham 100m and 200m (10.50s, 20.88s)

Muhammad Azam Masri 400m (47.93s)

Faradilah Raznie 800m dan 1500m (2:18.62s, 5:08.06s)

Nur Aliyah 100m dan 200m (12.91s, 26.55s)

SSTMI A Lelaki 4x100m (40.43s)

SSTMI A Lelaki 4x400m (3:17s)

 

PINGAT PERAK

Nurul Izzah Lompat Tinggi (1.48m)

Khairul Hafiz Jantan 100m dan 200m (10.53s, 20.93s)

SSTMI B Lelaki 4x100m

 

PINGAT GANGSA

Muhammad Haiqal Hanafi 200m (21.52s)

Muhammad Saiful Safwan 400m (50.03s)

SSTMI B Lelaki 4x400m

 

PAUH PUTRA, 12 Oktober – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyeru agar semua atlit berusaha dan meletakkan minat 100 peratus dalam bidang sukan.

“Seorang atlet, harus memiliki ‘pride’ atau ‘maruah’ yang perlu dipertahankan dalam sukan kerana anda menjadi harapan dan sandaran kepada negara, negeri, universiti atau pasukan yang diwakili.

“Tanggungjawab yang dipikul tersebut amat besar dan anda harus bermati-matian bagi merebut atau mempertahankan sesebuah kemenangan,” titah baginda ketika merasmikan Penutupan Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP Kali Ke-11, dan Terbuka UniMAP Kali Ke-4 Tahun 2015, di sini, semalam.

Turut berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Naib Canselor UniMAP, Brig Jen Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin dan Setiausaha Bahagian Sukan, kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Hazally Jalil.

Titah Baginda lagi, sukan secara umumnya menyumbang terhadap pelbagai manfaat antaranya membantu meningkatkan keyakinan diri seseorang apabila sentiasa diberikan pendedahan terhadap pertandingan dan pelbagai kejohanan.

“Sukan juga berupaya membina karakter positif seseorang atlit seperti berdisiplin, berani, kental, saling membantu, semangat berpasukan dan setiakawan.

“Melalui aktiviti bersukan juga dapat membantu mengurangkan tekanan dan kemurungan akibat bebanan hidup seseorang kerana ia meningkatkan aliran darah ke otak, mengeluarkan hormon, merangsang sistem saraf dan meningkatkan paras morfin yang memberi kesan positif terhadap perasaan individu,” titah baginda.

Baginda juga menegaskan agar sukan haruslah bersifat konsisten atau berterusan dan bukan secara ’adhoc’ sahaja apabila terdapatnya sesebuah pertandingan bagi memastikan ’output’ yang berimpak tinggi.

“Ini kerana, kemahiran perlulah sentiasa digilap dengan latihan yang berterusan bagi memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri dalam situasi pertandingan sebenar.

“Kejayaan tidak datang bergolek dengan usaha “sambil lewa” atau ibarat “melepaskan batuk di tangga”, sebaliknya, menuntut sebuah iltizam dan kerja keras oleh semua pihak

“Sentiasa bersedia menghadapi pelbagai kejohanan pada bila-bila masa selain dapat membentuk persefahaman di antara ahli pasukan, seterusnya meningkatkan mutu dan mengangkat martabat sukan negara di persada antarabangsa, “Titah Baginda lagi.

Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP Kali Ke-11, dan Terbuka UniMAP Kali Ke-4 Tahun 2015 yang berlangsung pada 9 hingga 11Oktober lalu disertai lebih 5000 pelajar bagi kategori tertutup.
Selain itu, ia turut menarik minat atlit-atlit peringkat kebangsaan untuk menyertai bagi kategori terbuka dengan 19 pasukan dalam negara dan dua dari luar negara.

Arau, 9 Oktober – Atlit Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI), Badrul Hisyam Abdul Manap terus mempamerkan aksi cemerlang pada hari ketiga Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP Kali Ke-4 untuk meraih pingat emas acara 200 meter di Stadium Syed Sirajuddin Areeb Putra di sini.

Badrul Hisyam yang memulakan larian di lorong keempat mencatatkan kepantasan 20.88 saatuntuk menumpaskan rakan sepasukan Khairul Hafiz Jantan, 17, yang mencatatkan 20.95 saat untuk meraih perak dan Muhammad Haiqal Hanafi di tempat ketiga dengan catatan masa 21.57 saat.

Namun, impian Badrul Hisyam untuk memadamkan rekod kebangsaan acara 200 meter yang dibuat oleh Dato’ Dr. M. Jegathesan di Sukan Olimpik Mexico pada tahun 1992 iaitu 20.92 saat pada kejohanan kali ini tidak kesampaian kerana bantuan angin.

“Saya bermula dengan baik dan berjaya menamatkan larian dengan masa terpantas, namun agak dukacita apabila dimaklumkan sewaktu larian, tiupan angin mencatatkan kelajuan 2.2m/s sedangkan rekod hanya diiktiraf jika kelajuan angin tidak melebihi 2.0m/s.

“Walaupun begitu, saya telah semakin yakin untuk terus mencatatkan masa terbaik sekaligus memadamkan rekod kebangsaan dalam tempoh terdekat,” ujarnya.

Sebagaiman aksi 100 meter, dua atlit elit negara, Mohd. Izzuddin Yahya (Cikgu Din) dan Harith Ammar Mohd. Sobri terpaksa akur dengan kepantasan anak-anak didik Mohd. Poad Kassim pada kejohanan kali ini.

Harith Ammar sekadar berpuas hati di tempat keempat dengan catatan masa 21.57 saat, manakala Cikgu Din menamatkan larian di tempat terakhir dengan catatan 24.18 saat.

Sementara itu, Mohd. Poad nyata gembira dengan prestasi kedua-dua atlitnya pada kali ini dan berhasrat agar kedua-duanya dapat mencipta kejutan pada Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) di Brunei Darussalam 21 November ini.

“Alhamdulillah, kedua-dua atlit saya berjaya mencatatkan masa terpantas kali ini dan harapan saya selepas ini agar kedua-duanya dapat memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter di Brunei kelak.

“Tentangan yang akan diterima pastinya dari atlit Thailand dan Indonesia, namun saya pasti tahap keyakinan atlit saya terutama Badrul Hisyam semakin meningkat selepas kejohanan di UniMAP ini sekaligus dapat mempertahankan kedua-dua pingat emas yang dimenanginya pada ASG di Manila Filipina tahun lalu,” ujarbeliau.

Arau, 9 Oktober – Atlit Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) mengenepikan saingan atlit elit negara untuk meraih kedudukan pertama dan kedua acara 100 meter di Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP Kali Ke-4 di Stadium Syed Sirajuddin Areeb Putra di sini.

Selain itu, Badrul Hisyam Abdul Manap, 18 dan Khairul Hafiz Jantan, 17  masing-masing mencatatkan 10.50s dan 10.53s untuk menumpaskan Harith Ammar Mohd. Sobri yang sekadar mencatatkan masa 10.67s.

Catatan masa tersebut juga merupakan rekod peribadi kedua-dua atlit tersebut yang dilatih sepenuhnya oleh guru SSTMI, Mohd. Foad Kassim selain turut memadamkan rekod kejohanan 10.55s yang dilakar oleh Harith Ammar tahun lalu.

Lebih membanggakan, kedua-dua atlit tersebut juga melepasi had kelayakan 10.55 yang ditetapkan untuk beraksi di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang akan berlangsung di Kazan, Russia, pada bulan Julai 2016.

Badrul Hisyam berkata, sasaran beliau pada kejohanan ini sebenarnya hanya untuk mencatatkan masa terbaik bagi mencerahkan peluang untuk beraksi di Kazan, tahun hadapan.

Tambahan pula ia disertai oleh nama-nama besar olahraga negara seperti Harith Ammar dan Mohd. Izuddin Yahya (Cikgu Din) yang masing-masing mempunyai catatan terbaik di bawah 10.50.

“Saya beraksi dengan baik pada saingan separuh akhir pagi tadi dan momentum tersebut berjaya dikekalkan pada saingan akhir.

“Kejayaan ini sangat bererti buat saya, kejayaan menumpaskan nama-nama besar merupakan satu bonus dan ia meningkatkan lagi semangat saya untuk memperbaiki catatan masa seterusnya memadamkan rekod kebangsaan milik Watson Nyambek,” ujarnya.

Sementara itu, jurulatihnya, Mohd. Poad berkata, tempoh kelayakan ke Kejohanan Olahraga Remaja Dunia baru dibuka awal Oktober lalu, dan meski pun telah melepasi had kelayakan, namun peluang masih terbuka luas buat atlit-atlit lain.

“Kejohanan Olahraga UniMAP membuktikan yang Malaysia tidak ketandusan atlit pecut yang mampu mencatatkan masa terbaik.

“Saya mengharapkan atlit saya akan diberi peluang beraksi di kejohanan besar selepas ini selain mengharapkan lebih banyak kejohanan seperti ini dianjurkan oleh Persatuan Olahraga Negeri dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM),” ujarnya.

Arau, 8 Oktober – Empat orang graduan Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang bergraduat 19 September lalu tersenarai dalam kedudukan 15 penyelidik terbaik di dunia dalam penerbitan Jurnal Geopolimer, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Elsevier Research Intelligence.

Berdasarkan laporan tersebut, Dr. Rafiza Abdul Razak yang menjalankan penyelidikan lumpur lasi di Indonesia menghuni kedudukan ke-9 terbaik dunia diikuti Dr.Zarina Yahya pada kedudukan ke-11, Dr. Heah Cheng Yong (kedudukan ke-12) dan Dr. Liew Yun Ming di kedudukan ke-13.

Selain keempat-empat graduan tersebut, lima lagi penyelidik UniMAP turut berada dalam carta 15 terbaik, termasuk Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin, Pengurus CEGeoGTech UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FeTECH), Prof. Madya Dr.Che Mohd. Ruzaidi Ghazali.

Menurut Dr.Kamarudin, pencapaian tersebut sekaligus membolehkan UniMAP muncul sebagai institusi penyelidikan terbaik di dunia dalam bidang Geopolimer dengan 59 jumlah penerbitan keseluruhannya dengan impak factor sebanyak 222 meninggalkan Curtin University of Technology di tempat kedua dengan 35 penerbitan.

Lebih membanggakan, ujar beliau, Penyelidik Geopolimer UniMAP juga mencatatkan indeks wajaran bidang terfokus (Field Weight Citation Index) lebih tinggi dari indeks purata dunia.

“Secara puratanya, indeks sitasi di dunia dinilai pada kadar 1.0, tetapi penerbitan geopolimer UniMAP mencatatkan nilai indeks wajaran sebanyak 3.71 yang bererti penerbitan UniMAP dalam bidang Geopolimer menjadi rujukan penyelidik luar sebanyak 3.71 lebih berbanding penyelidik lainnya,” ujar beliau di Bengkel Penulisan Tesis danJurnal di Pauh Inn, di sini hari ini.

Bengkel anjuran CEGeoGTech itu dikendalikan oleh Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Madya Dr. Ahmad Azmin Mohamad dan disertai hampir 60 pelajar pascasiswazah CEGeoGTech.

Dr. Ahmad Azmin merupakan penyelidik yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahan tenaga dengan jumlah penerbitan dirujuk melebihi 522.

Menurut Dr. Kamarudin yang juga Pengarah CEGeogTech, UniMAP sentiasa memberikan tumpuan dalam aspek penerbitan jurnal yang berimpak tinggi yang mana ia merupakan misi jelas yang perlu difahami oleh semua penyelidik termasuk pelajar pascasiswazah.

Sebagai contoh, ujar beliau, pelajar Sarjana diwajibkan menghasilkan sekurang-kurangnya dua penerbitan berimpak sebelum bergraduat manakala pelajar PhD diwajibkan menghasilkan sekurang-kurangnya 4 penerbitan berimpak.

Selain dari semangat kerja berkumpulan serta penyelidikan berfokus, ujar beliau, kejayaan penyelidik UniMAP juga disumbangkan menerusi penganjuran bengkel dan seminar secara berkala setiap tahun.

“Sebagai contoh, penganjuran Bengkel Penulisan Tesis dan Jurnal yang dianjurkan hari ini banyak membantu pelajar menghasilkan penerbitan yang berimpak serta member manfaat besar kepada masyarakat.

“Melalui bengkel ini, para pelajar dan penyelidik akan didedahkan dengan kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh penyelidik dalam penulisan mereka, justeru ia secara tidak langsung akan mempercepatkan proses penulisan dan penghasilan jurnal berimpak,” jelasnya lagi.

Kangar, 7 Oktober  – Kejohanan olahraga terbuka Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kali Ke-4 yang bakal berlangsung selama tiga hari mulai 9 Oktober ini  bakal menyaksikan pertembungan sengit bagi merebut gelaran raja pecut.

Dalam kejohanan yang senantiasa di nanti oleh barisan atlit elit negara itu, acara 100 meter bakal  disertai oleh Mohd. Izuddin Yahya, Harith Ammar Mohd. Sobri, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manaf serta atlit-atlit pelapis negara lainnya.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, kejohanan tersebut yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 lalu juga merupakan medan terbaik mengukur prestasi terkini atlit kebangsaan selepas berakhirnya Sukan Sea di Singapura Jun lalu.

 “Saya dimaklumkan, selepas berakhirnya Sukan SEA Jun lalu, tiada kejohanan besar yang disertai oleh atlit negara selain Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) minggu lalu.

“Namun kejohanan tersebut hanya disertai oleh atlit university awam (UA) sahaja, dan kejohanan olahraga UniMAP merupakan yang pertama bakal menghimpunkan atlit dari pelbagai kategori dan ia juga merupakan medan terbaik untuk mengetahui siapa lelaki terpantas negara tahun ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk rekod, Mohd. Izuddin dan Jonathan merupakan wakil negara ke Sukan SEA di Singapura Jun lalu, namun kedua-duanya gagal menyumbangkan sebarang pingat selain turut gagal memperbaiki catatan peribadi terbaik masing-masing.

Selain atlit pecut, kejohanan yang bakal menawarkan hadiah wang tunai kepada para pemenang pingat emas, perak dan gangsa itu akan turut disertai oleh Muhammad Hakimi Ismail, Adi Alifuddin Hussin, Lee Hup Wei, Mohd. Ashraf Saipu, barisan atlit dari negara jiran Singapura dan atlit-atlit dari Sekolah-Sekolah Sukan di Malaysia.

Menurut Dr. Kamarudin, penganjuran tersebut juga merupakan sebahagian dari usaha kecil UniMAP untuk memajukan sukan olahraga negara yang mana hadiah wang tunai bernilai RM300 diperuntukkan untuk pemenang pingat emas, RM200 (pingat perak) dan RM100 bagi pingat gangsa.

Ujarnya, jika diperhatikan penganjuran olahraga di Malaysia, hanya ada sekitar dua atau tiga kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang.

“Ia merupakan komitmen jitu kami di UniMAP untuk melahirkan lebih ramai atlit yang berkualiti dan untuk itu, kejohanan ini juga bakal menggunakan catatan masa elektronik dengan bantuan teknikal dari Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs).

Kejohanan tersebut juga, Ujar Dr. Kamarudin akan berlangsung serentak dengan Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP Kali Ke-11 yang akan disertai oleh 11 pasukan dari kategori pelajar akan mengambil bahagian.

Sebanyak 14 acara dipertandingkan bagi kedua-dua kategori  iaitu 100 meter, 200 meter, 400 meter, 800 meter, 1,500 meter, 5,000 meter, lompat jauh, lompat kijang, lompat tinggi, melontar peluru, merejam lembing, melempar cakera, 4x100 meter dan 4x400 meter.

Kangar, 6 Oktober – Seramai 33 calon Konstituensi diumumkan menang dan terpilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sesi 2015/2016 dalam satu majlis khas di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di Kampus Induk UniMAP di Pauh Putra, semalam.

Jumlah tersebut termasuk tujuh calon konstituensi umum dan 24 calon konstituensi Pusat Pengajian yang diumumkan menang tanpa bertanding selepas sesi penamaan calon 1 Oktober lalu.

Manakala seramai lima calon pelajar antarabangsa yang bertanding bagi konstituensi antarabangsa yang menawarkan dua kerusi keseluruhannya.

Mohamed Mahmoud Abdallah Lotfy Wady dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik mendahului senarai calon konstituensi antarabangsa dengan meraih 113 undi diikuti Amina Mehic dari Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) dan Tawfik Saeed Ghaleb Alhusam dari PPK Komputer dan Perhubungan dengan masing-masing mendapat 99 dan 94 undi.

Keputusan rasmi tersebut diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr Zul Azhar Zahid Jamal selepas berakhirnya proses pilihanraya bagi calon pelajar antarabangsa yang ditutup pada jam 4 petang.

Dato’ Zul Azhar dalam ucapannya, melahirkan rasa kagum dengan keberanian yang ditunjukkan oleh calon-calon yang menawarkan diri bertanding pada sesi pemilihan MPP kali ini.

“Walaupun mereka menang tanpa bertanding, saya menghormati keberanian yang ada dalam diri mereka kerana tampil untuk bertanding sedangkan pelajar yang lain menolak peluang tersebut,” katanya.

Malah pelajar antarabangsa yang keluar mengundi juga menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik apabila proses pemilihan wakil MPP UniMAP berjalan dengan lancar tanpa sebarang kekecohan dengan peratusan pelajar yang keluar mengundi adalah seramai 42.43 peratus.

"Justeru, saya amat berharap, calon yang dipilih hari ini akan menjadi wakil pelajar yang sebenar-benarnya untuk menyalurkan sebarang permasalahan kepada pihak pengurusan," ujar beliau.

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPP akan diadakan pada 9 Oktober nanti.

Taiwan, 4 Oktober – Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan  Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST) berjaya menghasilkan produk Ezy-Inflatable Bedpan khusus untuk menggantikan bedpan konvonesional bagi pesakit yang tidak dapat bergerak.

Produk tersebut berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila meraih pingat emas dan anugerah khas World Invention Intellectual Property Association (WIIPA) di Taipei International Invention Show & Technomart (INST 2015) di Taipei di sini, semalam.

Produk penyelidikan Dr. Sharifah Shahnaz Syed Abu Bakar dan Siti Zaharah Ahmad itu dihasilkan menggunakan polimer PVC yang lembut bagi memberikan keselesaan kepada pesakit terutama pesakit yang lumpuh, warga emas dan lain-lain lagi memandangkan ia tidak memerlukan pergerakan yang banyak.

Menurut Dr. Sharifah Shahnaz, bedpan sedia ada biasanya diperbuat daripada logam dan plastic yang keras yang seringkali menimbulkan rasa kurang selesa terhadap pengguna dan penjaga pesakit yang juga boleh menyebabkan kulit melecet.

Selain itu, ujar beliau, cara pengendaliannya juga menyukarkan penjaga dan jururawat yang mana ia memerlukan pesakit diangkat untuk membolehkan bedpan di letakkan di bahagian bawah punggung pesakit.

Namun, dengan menggunakan Ezy-Inflatable Bedpan yang pada asalnya mempunyai ketebalan 15 milimeter, ia dapat digulung dan diletakkan di bawah punggung pesakit dengan pergerakan yang sangat minima.

“Seterusnya, angina akan dipam masuk ke dalam bedpan ini mengikut ketinggian selesa bergantung kepada keadaan dan keselesaan pesakit sebelum dilekatkan dengan lampin pakai buang bagi memudahkan proses pembuangan.

“Selepas selesai proses, penjaga pesakit hanya perlu membuang lampin pakai buang, mengeluarkan angin dari bedpan dan menyimpannya kembali di tempat yang mudah dicapai,” ujar beliau.

Selain produk Ezy-Inflatable Bedpan, satu lagi produk ciptaan Dr. Sharifah Shahnaz bersama rakan penyelidik Dr. Luqman Musa, Dr. Rozyanti Rahman dan Lokman Hakim Ibrahim, E-WFI Tank turut meraih pingat emas pada pertandingan tersebut yang disertai oleh lebih 25 buah negara.

Dalam pertandingan yang dianjurkan oleh Bereau of Foreign Trade dan Taiwan External Trade Development Council (TAITRA) itu, UniMAP turut meraih pingat gangsa menerusi produk Agro Plast : Biodegradable Plastic From Agro Fruit Seeds hasil penyelidikan Dr. Mohamad Kahar Abd. Wahab, Dr. Nik Noreman Zulkepli dan Dr. Luqman Musa.

Kangar, 3 Oktober – Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan terus memberi fokus dalam meningkatkan jumlah penerbitan jurnal dan penyelidikan geopolimer sebagai rujukan penyelidik dari seluruh dunia.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, berdasarkan laporan daripada Elsevier pada April 2015, UniMAP merupakan institusi penyelidikan yang tertinggi dari segi penerbitan jurnal dan penyelidikaan berkaitan geopolimer di dunia diikuti Universiti Curtin Australia dan Universiti Khon Kaen Thailand.

Beliau yang juga merupakan pengarah CEGeoGTech berkata, antara strategi CEGeoGTech sehingga mampu menghasilkan penerbitan yang tertinggi ialah melalui penubuhkan kumpulan-kumpulan penyelidik yang dianggotai oleh semua penyelidik geopolimer dari pelbagai institusi pendidikan di Malaysia yang dikenali sebagai Perrsatuan Geopolimer Malaysia (MyGeopolymer).

“Melalui kumpulan penyelidik ini, beberapa siri seminar dianjurkan bagi membolehkan pakar-pakar geopolimer berkongsi kepakaran masing-masing dengan pelajar pascasiswazah dan juga pensyarah muda yang mana ia turut membantu melahirkan lebih lima graduan doktor falsafah (PhD) dalam bidang geopolimer,” ujar beliau. 

Beliau berkata demikian selepas penganjuran Seminar Geopolimer (GeoSEM) yang menghimpunkan empat buah universiti awam (UA) iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan UniMAP yang berlangsung di Hotel Putra Palace Perlis di sini semalam.

Menurut Kamarudin,  penganjuran seminar tersebut memberi fokus kepada penambahan ilmu geopolimer secara asas yang dapat membantu para pelajar pascasiswazah di CEGeoGTech dan pelajar-pelajar daripada universiti lain.

Ujar beliau, yang paling mendapat tumpuan adalah perbentangan mengenai asas geopolimer oleh Dr. Idawati Ismail daripada UNIMAS yang merupakan graduan geopolimer daripada Universiti Melbourne, Australia.

Selain itu, jelasnya, pihak penganjur juga menjemput pembentang daripada UTP iaitu Prof. Ir. Dr. Muhd Fadhil Nuruddin yang merupakan pakar dalam bidang konkrit dan simen untuk berkongsi penyelidikan semasa beliau dalam bidang geopolimer.

“Dua orang graduan sulung PhD CEGeoGTech dalam bidang geopolimer juga turut diberi peluang berkongsi pengetahuan dalam bidang geopolimer iaitu Dr. Heah Cheng Yong dan Dr. Liew Yung Ming yang mana kedua-dua mereka merupakan pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan.

“Seminar seperti ini akan diperbanyakkan lagi untuk masa hadapan dengan memanggil pakar-pakar geopolimer daripada negara lain dalam memartabatkan geopolimer Malaysia di persada antarabangsa,” ujarnya lagi sambil menambah CEGeoGTech juga bersetuju melantik Dr. Idawati Ismail sebagai penyelidik bersekutu dalam bidang geopolimer.

Selepas ini, CEGeoGTech akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Bahan Elektronik (EPITS 2015) di Pulau Pinaang pada 21 November 2015 serta Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan dan Teknologi Bahan Termaju (ICAMET 2015) pada 4-5 Disember 2015 di Kaohsiung Taiwan.

Info Tab Bawah-BM