Profail Pro Canselor UniMAP

the prochancellor of UniMAP

 

PRO CANSELOR

DYTM TUANKU HAJAH LAILATUL SHAHREEN AKASHAH KHALIL

P.M.P.

Honoris Causa in Health Sciences (Universidad Nacional Pedro Henriquez Ureña, DR)

Raja Puan Muda Perlis

 

DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah dilantik sebagai Pro Canselor UniMAPTemp files pada 13 Mac 2009. Penyerahan watikah pelantikan Pro Canselor ini telah disempurnakan oleh DYTM Tuanku Canselor di Istana Arau pada 28 Jun 2009.

Baginda diputerikan di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 28 Mac 1970 dan merupakan puteri kedua daripada empat orang anak perempuan Dato' Haji Khalil Akasah dan Datin Hajah Nik Rahimah Wan Ahmad. Baginda merupakan bekas pelajar Sekolah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur mulai tahun 1977 hingga 1984. Baginda seterusnya meneruskan pelajaran di Melbourne, Australia, selama lapan tahun. Ketika di Australia, Baginda mulanya menuntut di Merton Hall - Melbourne Girls Grammar School, dan kemudiannya di La Trobe University yang menganugerahi Baginda Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Kemanusiaan pada tahun 1992.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mempunyai pelbagai minat dan bakat. Selain membaca, melukis dan berseni. Baginda meminati sukan luncur ais, jet ski dan berenang. Baginda pernah juga mengikuti kursus asas bahasa termasuk bahasa Mandarin, Perancis, Sepanyol dan Jerman. Sehingga tahun 1995, Baginda memegang jawatan sebagai Pengurus Pentadbiran ASIE Sdn. Bhd. tetapi mengambil keputusan meletakkan jawatan apabila mula mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat menjalankan tugas Baginda di luar Negara. hampir tiga (3) tahun di Madrid, Sepanyol dan empat (4)  tahun di Zurich, Switzerland.

Pada 1 Ogos 2002, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dikurniai gelaran rasmi Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis apabila Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diistiharkan sebagai Raja Muda Perlis. Baginda dikurniakan anugerah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran 'Dato Seri' pada 17 Mei 2002.

Baginda merupakan Penaung bagi Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia Cawangan Perlis, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Wanita (DEWANITA) Cawangan Perlis, Smart Reader Worldwide di samping menjadi Pengerusi Persatuan Alumni La Trobe University Malaysia (PALTUM) serta dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan terkini Baginda ditauliahi sebagai Mejar Kehormat dalam Rejimen Askar Wataniah.

Sebagai Pro Canselor, Baginda amat perihatin dalam apa jua yang melibatkan Universiti ini baik dari segi akademik, penyelidikan mahu pun aktiviti pelajar. Baginda sering berangkat mengiringi DYTM Tuanku Canselor ke pelbagai program dan aktiviti rasmi UniMAP.