Pengerusi LPU

 

PENGERUSI

Dato’ Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainai Mohamed
J.S.M., D.P.S.K.
Profesor Emeritus, Kampus Antarabangsa UTM, Kuala Lumpur.

 

Prof. Dato’ Dr. Zainai dilahirkan di Kelantan pada tahun 1951. Beliau mendapat pendidikan awal di Kelantan dan juga Petaling Jaya, Kuala Lumpur. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Kolej Teknikal (yang kemudiannya ditukar nama kepada Institut Teknologi Kebangsaan dan kemudiannya menjadi Universiti Teknologi Malaysia) dan menamatkan pengajiannya dengan Diploma kelas pertama dalam bidang Kejuruteraan Awam. Beliau turut mendapat Ijazah dan Sarjana Sains daripada Universiti Strathclyde, Scotland (1975-1979). Pada tahun 1987, beliau menamatkan pengajian PhD dalam bidang Kejuruteraan Awam/ Struktur di Universiti Cambridge, England. Beliau juga merupakan penerima Biasiswa Commonwelth (1978/79), Geran Oversea Research Students (ORS) (1985-1987) dan Biasiswa Cambridge Commonwelth (1984-1987).

Prof. Dato’ Dr. Zainai merupakan pakar dalam bidang Mekanikal/Kejuruteraan Struktur dan pengurusan pengajian tinggi. Beliau mempunyai pengalaman luas bukan sahaja dalam bidang pengajaran tetapi juga pakar dalam bidang perancangan pengajian teknikal dan pembangunan kokurikulum terutamanya dalam bidang pengajian kejuruteraan. Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam pengajaran diploma, ijazah dan sarjana. Beliau turut menyelia 42 projek ijazah, 25 projek/ tesis master dan 3 tesis PhD. Beliau turut menerbitkan lebih daripada 45 kertas kerja teknikal dan 80 kertas kerja berkaitan pengurusan akademik dan pembangunan kokurikulum serta pelbagai lagi dalam bidang pembangunan organisasi dan kepimpinan.

Pengalaman beliau dalam pengurusan pengajian tinggi melibatkan Ketua Makmal Struktur Berat, Koordinator Kursus Kejuruteraan Struktur, Ketua Jabatan (1980-1983); Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam (1988-1990). Beliau merupakan koordinator pada tahun 1992-2001 dan seterusnya memegang jawatan sebagai Dekan Pusat Pengajian Siswazah yang juga merupakan dekan pertama yang membangungkan sistem pembelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Tanggungjawab beliau semasa memegang jawatan ini termasuklah membangunkan sistem pengurusan, membina program akademik baru dan mengawal selia pembangunan pengajian siswazah di Universiti. Kesan daripada pengurusan yang baik, berlaku peningkatan bilangan pelajar yang mendaftar bagi program pascasiswazah dan permohonan penyeliaan penyelidikan dan pertambahan kursus yang ditawarkan. Beliau telah berjaya membangunkan Pusat Pengajian ini sebagai antara pusat terpenting di universiti melalui kaedah pemasaran yang baik serta mampu meyakinkan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di UTM. Beliau merangka, membangun dan mengurus program Sarjana Pengurusan Kejuruteraan dan beliau juga merupakan pengasas kepada Pusat Pengajian/ Program Peniagaan Antarabangsa (1988) yang turut menawarkan program MBA (Teknokeusahawanan) di UTM dengan kerjasama Universiti Cranfield, United Kingdom. Pada Januari 2002, Prof. Dato’ Dr. Zainai telah dilantik sebagai dekan pertama Hubungan Antarabangsa. Pada Januari 2004, beliau kemudiannya telah ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan untuk berkhidmat di Kolej Universiti Tun Hussein Onn (KUiTTHO) sebagai Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik. Beliau bertanggungjawab untuk menghasilkan semula sistem pengurusan akademik, mengukuhkan program akademik yang ditawarkan, dan meningkatkan keupayaan staf melalui bimbingan dan latihan. Pada Oktober 2006, beliau telah dilantik menjadi Naib Canselor pertama Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Di peringkat negara, Prof. Dato’ Dr. Zainai terlibat secara aktif dalam Kementerian Pendidikan (pada ketika itu) dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam merangka dan meningkatkan kualiti pengajian tinggi di Malaysia. Beliau terlibat dalam pelbagai pembangunan polisi bagi Kementerian. Antara sumbangan terbesarnya ialah dalam “Hala Tuju Pengajian Tinggi Kebangsaan” (1995); “New Approach to Higher Education in the Field of Technology and Applied Science” (1995); “Polisi Program Kerjasama Antara Kolej Swasta dan Universiti Awam”; “Establishment of Technical University System (College University System)”; “Formulation of MQF Credit System”; “Hala Tuju Pengajian Kejuruteraan” (2005); dan “Transformasi Pengajian Tinggi” (2006) .Sebagai Naib Canselor pertama UMK, beliau bertanggungjawab dalam merealisasikan pembangunan dan operasi UMK seperti yang dirancang pada Julai 2006. Tugas utama beliau termasuklah membangunkan program akademik, menyediakan tempat kerja (fizikal), membangunkan modal insan dan merangka sistem organisasi serta menjamin perkembangan UMK seperti yang telah dirancang.

Prof. Dato’ Dr. Zainai merupakan jurutera (Awam) profesional berdaftar oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) dan terlibat dalam projek rekabentuk dan perundingan kejuruteraan awam / struktural. Hasil sumbangan dan perkhidmatannya, beliau telah dianugerahkan Profesor pada tahun 1994 (Gred C pada 1994, Gred B pada tahun 2000 dan Gred A pada tahun 2007). Beliau turut dianugerahkan Pingat Johan Setia Mahkota (J.S.M.) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong pada tahun 2000. Pada tahun 2009 pula, beliau telah dianugerahkan gelaran Dato’ Paduka Setia Mahkota Kelantan (D.P.S.K.) yang membawa gelaran Dato’ oleh DYMM Sultan Kelantan bersempena Hari Keputeraannya yang ke-59.