Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik

RK85 – Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan dengan Kepujian

Program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan berperanan untuk menghasilkan jurutera bioperubatan yang mempunyai asas yang kukuh serta berkemampuan tinggi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, rekabentuk, pembuatan, penyelenggaraan, pemasaran dan pengurusan yang mengkhusus dalam bidang yang berkaitan. Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan merupakan satu bidang ilmu yang menggabungkan ilmu kejuruteraan elektrikal, elektronik, mekanikal bahan serta ilmu perubatan seperti anatomi, fisiologi, dan radiologi. Hasil dari kombinasi ilmu tersebut digunakan untuk membangunkan teknologi terkini dalam bidang perubatan.

Bakal graduan program ini akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi sebagai seorang jurutera bioperubatan yang boleh mengadunkan pengetahuan kejuruteraan elektronik, kejuruteraan mekanikal serta sistem biologi manusia bagi menghasilkan instrumen bioperubatan dan peralatan perubatan yang lain.  Selain daripada kursus teras kejuruteraan, pelajar juga diberikan kemahiran insaniah seperti etika, pengurusan, keusahawanan, komunikasi dan kemahiran berfikir. Graduan dari program Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan berpotensi untuk berkhidmat di hospital-hospital, syarikat-syarikat penyelenggaraan peralatan perubatan, institusi penyelidikan dan pembangunan produk perubatan serta industri peralatan elektronik.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Jurutera Bioperubatan
  • Jurutera Perkhidmatan
  • Pengurus Kejuruteraan
  • Perunding kejuruteraan bioperubatan
  • Jurutera jualan bioperubatan
  • Jurutera servis bioperubatan
  • Jurutera R&D
  • Pegawai penyelidikan
  • Ahli akademik