R2433 - Diploma Kejuruteraan (Kejuruteraan Metalurgi) 

Program ini bertujuan untuk melahirkan tenaga teknikal separa mahir di dalam bidang metalurgi bagi memenuhi permintaan yang tinggi di dalam industri pemprosesan dan pembuatan berasaskan logam seperti sektor besi dan keluli, perkapalan, automotif, elektronik, pengekstrakan logam serta industri minyak dan gas. Melalui program ini, para pelajar akan didedahkan kepada pelbagai pengetahuan dan kemahiran di dalam bidang metalurgi seperti pemprosesan dan pembuatan logam, pemesinan logam serta penyambungan logam melalui teknik-teknik kimpalan arka, gas, TIG dan MIG. Pelajar juga akan mempelajari kaedah-kaedah pengujian produk logam dengan menggunakan peralatan-peralatan yang spesifik seperti Universal Testing Machine (UTM), alat ujian kekerasan (Vicker’s, Brinell dan Rockwell), alat ujian hentaman (Izod dan Charpy). Keupayaan untuk mengaitkan keputusan ujian  dengan sifat serta kelakuan logam melalui penggunaan peralatan terkini seperti Mikroskop Imbasan Elektron (SEM), Pembelauan Sinar-X (XRD) dan peralatan Ujian Tanpa Musnah (NDT) bakal memberikan kelebihan kepada bakal graduan diploma metalurgi kelak.

Graduan Diploma Kejuruteraan Metalurgi mempunyai prospek pekerjaan yang luas sama ada di sektor swasta atau awam. Graduan program ini berkelayakan sebagai pembantu jurutera atau tenaga teknikal dalam dalam bidang-bidang industri seperti pemprosesan dan pembuatan logam, automotif, minyak dan gas, elektronik, pengujian bahan, perkhidmatan dan penyelenggaraan, kawalan dan mutu produk, reka bentuk produk, analisa kegagalan dan kimpalan logam. Antara pemain-pemain utama industri yang yang berkaitan dengan program ini ialah Ann Joo Steel, Antara Steel, Intel, KOMAG, Proton, Perwaja Steel, Produa dan Malaysian Smelting Corporation. Manakala dalam sektor awam, para graduan boleh memilih untuk berkhidmat di jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan berkanun dan  institusi-institusi penyelidikan. Selain menceburi bidang pekerjaan, graduan turut berpeluang untuk menyambung pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan metalurgi atau kejuruteraan bahan yang ditawarkan oleh universiti-universiti di dalam mahu pun di luar negara.

Antara peluang kerjaya yang berkaitan :

  • Juruteknik/ Pembantu Jurutera Proses
  • Juruteknik/ Pembantu Jurutera Pengeluaran
  • Juruteknik/ Pembantu Jurutera Pembuatan Kawalan Kualiti
  • Juruteknik/ Pembantu Jurutera Jaminan Kualiti
  • Juruteknik/ Pembantu Jurutera Analisa Kegagalan
  • Juruteknik/ Pembantu Jurutera Pembangunan Produk
  • Juruteknik/ Pembantu Jurutera Pembangunan Proses
  • Juruteknik/ Pembantu Jurutera Pembangunan Bahan
  • Pembantu Metalurgist
  • Pembantu Penyelidik