DMNC MEI 2017

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah kita kini telah melangkah ke bulan Mei yang bakal menyaksikan pelbagai lagi agenda dan aktiviti rasmi universiti dilaksanakan khusus untuk terus memacu kegemilangan UniMAP di persada antarabangsa. Selain itu, pelbagai sambutan dan perayaan juga akan disambut sepanjang bulan Mei ini dengan tumpuan pastinya menjayakan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-74 DYMM Tuanku Raja Perlis.

UniMAP telah diberikan beberapa tanggungjawab untuk dilaksanakan bagi memeriahkan sambutan tersebut, dan Insya Allah kita akan melaksanakannya dengan kaedah terbaik.

Pada 30 April lalu, UniMAP berasa amat berbangga apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi menjayakan sesi jerayawara agenda Transformasi Nasional atau TN 50. Sebagai mewakili seluruh warga UniMAP, saya amat mengalu-alukan agenda TN 50 ini yang merupakan inisiatif berpandangan jauh yang bijaksana lagi berwawasan bagi menyiapkan diri menangani cabaran dunia masa hadapan. Kita amat teruja diberi ruang dan kesempatan melahirkan idea dan pemikiran untuk bersama-sama mencorak halatuju Negara dalam perjalanannya menuju 2050.

Sejak ia ditubuhkan 15 tahun lalu, amanah yang dipikul Universiti ini ialah melahirkan generasi berilmu, berkemahiran tinggi, dan berminda keusahawanan yang mempunyai nilai dan identiti jatidiri yang kukuh lagi ampuh. Kerana itulah strategi pembangunan minda pelajar yang diamalkan UniMAP sentiasa didasari keperluan dan cabaran masa hadapan.

Tiga puluh tahun dari hari ini, para pelajar UniMAP yang ada kini akan berusia sekitar 50 tahun. Pada waktu itu, dunia sudah banyak berubah. Memetik kata-kata Bill Gates, puluhan pekerjaan seperti juruterbang, penulis teknikal, akauntan, malah peguam, akan diambil alih oleh robot dan sistem automasi. Lebih 2 bilion pekerjaan akan hilang. Namun, ini bukanlah azab atau kesuraman ramalan, tetapi ia amat mengujakan sekiranya rakyat sudah bersiap siaga menghadapinya.

Alhamdulillah, sebagai universiti yang berteraskan kejuruteraan, UniMAP berada pada landasan terbaik untuk menghasilkan generasi yang Insya Allah dilengkapi ilmu dalam bidang-bidang yang terkini seperti teknologi drone, robotik, sensor dan pertanian alaf baharu.

Dikesempatan ini juga, saya juga ingin mengajak semua warga UniMAP untuk sama-sama menyediakan diri bagi menyambut bulan Ramadhan – bulan paling mulia di sisi Islam yang bakal tiba tidak lama lagi. Marilah kita berdoa semoga Allah memanjangkan usia kita untuk merasai segala nikmat dan ganjaran yang dijanjikan Allah serta memperbanyakkan Taubat kepada Allah akan dosa-dosa kita. Tingkatkan ilmu dan pengetahuan tentang perkara-perkara yang makruh, haram, sunat dan wajib dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ini.

Semoga kita semua mendapat keredhaan Allah hendaknya.

Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Terima kasih.