Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Azza Wajalla kerana dengan limpah dan kurniaNya yang telah memberikan kelancaran kepada kita untuk mengharungi  kehidupan di tahun 2016.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada semua warga UniMAP, harapan saya semoga dengan kehadiran 2017 ini akan memberikan kita sesuatu yang lebih baik berbanding tahun lalu.

Dalam setiap hari yang kita lalui sepanjang 2016 lalu,  pelbagai suka duka yang telah kita lalui, jadikanlah semua pengalaman itu sebagai pengajaran untuk kita dalam memperbaiki diri untuk terus maju ke hadapan.

Kehadiran tahun baharu membawa pelbagai cabaran baharu, impian baharu, misi baharu dan masa depan baharu. Sebagai warga UniMAP kita seharusnya mempunyai azam yang lebih kuat dalam memajukan universiti yang kita cintai ini.

Ini kerana, 2017 menjanjikan cabaran yang lebih hebat dalam usaha mendidik anak bangsa. Oleh itu saya berharap agar semua warga UniMAP akan sentiasa positif dan tidak mudah mengalah dengan kegagalan yang lalu.

Kita merupakan sebuah keluarga besar yang mempunyai impian yang sama. Di sini saya sebagai ketua kepada keluarga besar ini, ingin menyeru agar semua warga UniMAP akan dapat bersama-sama saya untuk terus memastikan UniMAP berada di puncak dan mencapai impian dalam usaha menjadikannya sebagai 500 universiti terbaik dunia menjelang 2020.

Saya berharap agar apa yang kita rancangkan tidak hanya cantik di atas kertas semata-mata, marilah bersama kita realisasikan impian itu menjadi kenyataan.

Sekian, Wabillahittaufiq Walhidayah,Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.