DMNC APR 2017

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah, syukur saya panjatkan ke hadhrat Allah Azza Wajalla yang memberikan kesempatan untuk saya terus mencoretkan sesuatu untuk perkongsian kita bersama bulan ini. Dalam pertemuan saya bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Pengurusan Tertinggi Pusat Pengajian dan Pusat Tanggungjawab, saya ada menyentuh mengenai tiga perkara iaitu tenaga (energy), ilmu pengetahuan (intelligence) dan integriti.

Justeru, bersempena dengan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang akan dianjurkan di UniMAP, saya memilih untuk membicarakan mengenai integriti. Sejarah telah membuktikan bahawa gejala rasuah dan salah guna kuasa itu telah wujud sejak sekian lama dahulu. Jika diimbas, Nabi Muhammad S.A.W sendiri pernah ditawarkan ganjaran agar menghentikan dakwah baginda dalam menegakkan syiar Islam di Kota Makkah. Memetik jawapan Rasululullah sewaktu berdepan dengan situasi yang mencabar tersebut: “Sekalipun matahari diletakkan di atas tangan kanan, dan bulan di atas tangan kiri, namun menghentikan dakwah Islam itu tidak sama sekali”.

Begitu tegas dan penuh berintegriti jawapan yang diutarakan oleh baginda Rasulullah S.A.W ketika itu yang menunjukkan bahawa penerimaan atau penolakan ganjaran atau rasuah ini bergantung sepenuhnya dalam diri kita semua. Harus diingat, seseorang yang berintegriti adalah seorang yang jujur, ikhlas, dan mempunyai prinsip moral yang kukuh. Seseorang yang berintegriti tidak sedikitpun mendekati rasuah. Apapun cabaran tuntutan kerja dan kehidupan seharian, seseorang yang berintegriti tidak sekali-kali mengkompromi sifat ini.

Oprah Winfrey dalam salah satu rancangannya pernah berkata : A real integrity is doing the right thing, knowing that nobody’s going to know whether you did it or not.

Di UniMAP sendiri misalnya, terdapat banyak ruang dan peluang untuk mendorong individu melakukan salah laku integriti misalnya penyelewengan wang geran penyelidikan, pemberian tender, pemilihan kontraktor dan pelbagai lagi kes yang jika tidak ditangani dengan sebaiknya akan mencemarkan imej dan reputasi Universiti.

Selain dari salah laku yang berkaitan wang, izinkan saya menjelaskan bahawa memelihara rahsia serta dokumen universiti juga adalah tertakluk dalam takrifan integriti. Adalah sesuatu yang tidak amanah, sekiranya ada individu di dalam UniMAP yang bersikap seperti gunting dalam lipatan dengan menyebarkan rahsia serta dokumen penting universiti kepada pihak luar sehingga ianya menjadi topik perbincangan dalam platform yang tidak berkaitan dengan UniMAP.

Akhir kata, wajar diingat semula bahawa Rasulullah SAW melaknat kedua-dua pemberi dan penerima rasuah. Malah sebenarnya, apa jua agama yang dianut, tidak ada satu agama pun yang membenarkan rasuah, kerana kesannya amat buruk sekali. Sabda Rasulullah S.A.W : Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka nerakalah tempat yang sewajarnya (Hadith Riwayat At-Tirmizi).

Kerana itulah kita perlu bermati-matian membenterasnya. Daripada ketua jabatan sehinggalah ke semua peringkat warga kampus, setiap orang mesti memainkan peranan menghindarkan terjadinya perkara ini.

Sekian,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.