ARAU, 6 Mei – Tiga pelajar dari sekolah menengah di negeri ini bakal tersenarai dalam 10 terbaik dunia bagi ranking hafalan Square-Root 2 ( ) setelah berjaya melakukan hafalan terbanyak pada Pi Memorization Competition Perlis 2019 atau Pertandingan Menghafal Pi Perlis 2019 di sini, baru-baru ini. 

Pelajar tersebut Ija Husna Ruslan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin dinobatkan sebagai pemenang terbaik keseluruhan kategori Square-Root 2 ( ) sekaligus menduduki tempat kelima dunia selepas berjaya menghafal 2,502 digit.

Tempat kedua pula dimiliki oleh Nurzal Effiyana Mohd Rahidi dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP) dengan hafalan 1,040 digit.
Manakala pelajar dari SMK Perlis, Vincent Chong Qi Zhi pula menduduki tempat ketiga selepas berjaya menghafal 898 digit.

Mereka masing-masing membawa pulang RM 300.00, RM 200.00, RM 100.00 beserta trofi, hamper dan sijil penyertaan.
Menurut Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dr. Rezuwan Kamaruddin, bagi penganjuran kali kedua ini seramai 743 peserta dari 38 buah sekolah di Perlis telah menyertai pertandingan ini yang terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri Perlis.

“Ini menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan kerana pada penganjuran pertama tahun lepas hanya seramai 361 peserta dari 19 buah sekolah menengah di negeri Perlis yang menyertai program ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Penyampaian Hadiah pertandingan tersebut.

Tambahnya, menghafal digit Pi mungkin sesuatu yang asing di Perlis dan Malaysia amnya kerana masyarakat telah memberikan pelbagai persepsi mengenai menghafal digit Pi ini.
“Namun hasilnya, kini seramai 328 rakyat Malaysia telah tersenarai dalam Pi World Ranking List dengan dengan 323 darinya adalah pelajar sekolah Perlis.
“Malah, program tahun 2018 juga mencatatkan hafalan tertinggi oleh pelajar dari SMK Tuanku Lailatul Shahreen (Seha Jin Hong) dengan hafalan sebanyak 753 digit Pi dalam tempoh 10 minit,” katanya.
Selain kategori Square-Root 2 ( ), terdapat lagi tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Pi Memorization Competition; Exponent-e Memorization Competition; dan 100 digits Pi Challenge.

Bagi kategori Pi Memorization Competition dimenangi oleh Auni Humayraa Aswazir dari Sekolah Kebangsaan (SK) Oran dengan digit hafazal sebanyak 543 sekaligus melayakkan beliau dinobatkan dalam Pi Rekod Malaysia bawah 12 tahun.

Manakala Exponent-e Memorization Competition dimenangi pelajar tingkat empat dari SMK Tuanku Lailatul Shahreen iaitu Teoh Kar Keat dengan hafalan 1002 digit seterusnya menduduki tempat ke 13 tertinggi dunia dalam Exponent-World Ranking List.

Kategori 100 digits Pi Challenge pula dimenangi oleh Chuah Bee Tian dari SMK Derma yang berjaya menjawab soalan sehingga Tahap 6 dari Tahap 7.
Berkenan berangkat hadir pada majlis tersebut adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP.
Turut berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pro Canselor UniMAP.

Kangar, 6 Mei - Pegawai Kebudayaan Kanan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Mohd. Zul Fauzi Mohamed Sawal, mencuri tumpuan dengan muncul juara kategori “Mens Graded” pada Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-40 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes.

Mohd. Zul Fauzi yang merupakan atlit boling UniMAP menumpaskan lebih 500 peserta dari seluruh dunia dengan 1679 jatuhan pin sekaligus mengatasi Muhammad Azri Azni di tempat kedua dengan 1611 jatuhan pin dan Mat Salleh Jalani di tempat ketiga dengan 1606 jatuhan pin.

“Ini merupakan kejayaan yang cukup bermakna buat saya selepas beberapa siri kejohanan yang tidak memberansangkan. Semoga dengan kejayaan ini akan membuka lebih banyak peluang dan kejayaan buat saya.

“Dalam permainan yang sepenuhnya bergantung kepada kemampuan mengurangkan kesalahan memang agak membebankan apatah lagi ia turut disertai oleh pemain-pemain dari luar negara, namun konsistensi yang dicapai akhirnya membuahkan hasil,” ujarnya.

Hasil kemenangan, Mohd. Zul Fauzi menerima hadiah wang tunai RM15,000 dan trofi. Selain Mohd. Zul Fauzi, seorang lagi staf UniMAP, Nurakmal Ramli yang turut menyertai kategori sama dan berjaya menduduki tempat ke-33.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kejohanan tersebut secara tidak langsung merupakan platform pemanas badan buat kedua-dua pemain tersebut yang bakal mewakilil UniMAP ke Kejohanan Sukan Badan Berkanun yang dijadualkan berlangsung di Shah Alam Julai ini.

“Mohd. Zul Fauzi dan Nurakmal kedua-duanya merupakan antara pemain harapan UniMAP untuk mengekalkan pingat emas yang telah diraih dalam kejohanan edisi sebelum ini,”ujar beliau.

 

KANGAR 7 Mei - Seramai 500 pengunjung surau Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang sebahagian besarnya dari kalangan pelajar universiti ini bertuah kerana menerima pek tajaan moreh daripada Mc Donald's Malaysia selepas seleai menunaikan solat terawih di sini, semalam.

Ketua McDonald’s Kangar, Mohd. Khairul Azwan Mastudi berkata, sumbangan 500 pek moreh berupa burger McChicken, Pai Epal dan minuman kordial oren itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Mc Donald’s dalam mewujudkan hubungan erat dengan penuntut universiti khasnya.

Selain itu, ujarnya, program tersebut juga membolehkan ahli jemaah surau terutamanya dalam kalangan yang kurang berkemampuan untuk menikmati hidangan istimewa yang disediakan restoran makanan segera itu dan akan diteruskan di UniMAP pada 14 dan 21 Mei ini.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, McDonald’s Malaysia merupakan antara syarikat yang sentiasa memberikan penajaan dalam menyokong aktiviti-aktiviti di UniMAP termasuk aktiviti inovasi dan robotik.

Ujar beliau, selain penajaan moreh di bulan Ramadan, UniMAP juga telah menerima persetujuan penajaan dari pengendali restoran makanan segera itu dalam penganjuran University Robot Competition (URoCK) yang dijadualkan berlangsung pada bulan September ini.

“Dalam pertandingan itu kelak yang melibatkan peserta dari Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara, terdapat satu kategori yang dipertandingkan memerlukan peserta menghasilkan robot berbentuk drone yang dapat mengendalikan proses penghantaran sajian McDonald’s.

“Pastinya sesuatu yang menarik apabila revolusi teknologi penghantaran makanan ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada pengendali restoran makanan segera itu dan kita berharap ianya mampu direalisasikan dalam era revolusi industri 4.0 ini,” ujarnya lagi.

KANGAR, 6 Mei- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merangkul kejayaan 100 peratus dengan jumlah kutipan 10 emas dan 10 perak pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX), baru-baru ini.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kejayaan yang diraih UniMAP pada awal tahun bakal menjadi pembakar semangat untuk penyelidik menghasilkan produk yang lebih berimpak.

“Pada tahun ini, kita telah mengenalpasti lebih banyak produk yang berpotensi untuk dipertandingkan, berbanding tahun lalu kita hanya menghantar 16 produk,”katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Antara produk penyelidikan UniMAP yang meraih pingat emas adalah Portable Biomass Gasification For Electricity Generation produk Ir. Dr. Mohamad Shaiful Ashrul Ishak, Smart Online Partial Discharge Monitoring System For High Voltage Distribution Line (Dr Mohamad Nur Khairul Hafizi Rohani), Amicatile (Dr. Liew Yun Ming); UDEM:Ultimate Dengue Fever Eradication Membrane Using Herbal Technology (Dr. Ragunathan Santiagoo); Motorsikal Seri Perlis (Prof. Madya Dr. Shahriman Abu Bakar); High Strength PB-Free Composite Interconnects For Next Generation Electric Vehicle Power Modules (Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh).

Empat lagi produk yang meraih emas adalah ESL Food Poisoning Rapid Detector (Prof. Dr. Uda Hashim), Magnetite- Hydroxyapatite Nanoparticles Functionalized With Catechin For Cancer Treatment (Prof. Madya Dr. Midhat Nabil Ahmad Salimi); In-House Fabricated Non-Invasive Cervical Cancer Detection Nano Lab- On-Chip (Dr. Nor Azizah Parmin) dan Smart Pharmaceutical Temperature Monitoring System VDSM 1.2 (Siti Khodijah Mazalan).

Lebih manis lagi, empat produk turut mendapat anugerah khas dari dalam dan luar negara iaitu Smart Online Partial Discharge Monitoring System For High Voltage Distribution Line meraih anugerah Highly Innovative Unique Foundation dari Arab Saudi, High Strength PB-Free Composite Interconnects For Next Generation Electric Vehicle Power Modules dan Visible Light Communication Based On Dual Diffuser Modulation (DDM) For Intelligent Transportation Application (Indonesian Invention And Innovation Promotion Assosiation (INNOPA) serta In-House Fabricated Non-Invasive Cervical Cancer Detection Nano Lab- On-Chip (Best Invention For Woman).

ITEX 2019 anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS) mengumpulkan lebih 1,000 rekacipta dari 20 buah negara yang dipertandingkan untuk 15 kategori.

 

Pauh Putra, 13 Mei -  Saban tahun Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Program Iftar Kubra bagi berkongsi juadah berbuka puasa dan sumbangan dengan masyarakat sekitar negeri. 
 
Namun, dalam kesibukan mahasiswa UniMAP bertungkus lumus menghidangkan juadah iftar, kelihatan beberapa mahasiswa bukan Islam turut serta membantu menghamparkan tikar dan menghidangkan makanan sempena Program Iftar Kubra UniMAP 2019 di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP, di sini, hari ini.
 
Mahasiswa berkenaan Koay Shuni, 22, berkata dia teruja membantu rakan-rakan Islam membuat persiapan bagi berbuka puasa beramai-ramai.
 
Katanya, ini adalah pengalaman pertama kalinya bersama-sama menyediakan juadah berbuka memandangkan komuniti tempat tinggalnya tidak ramai komuniti Melayu.
 
"Ia sesuatu pengalaman baharu buat saya dan rakan, Rachel Ooi Qian Yi walaupun kami berbeza agama dan bangsa,"katanya yang juga Bendahari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP
 
Program Iftar Kubra anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UniMAP itu turut dihadiri Naib Canselor UniMAP, Dato Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal, Timbalan Yang Dipertua Kompleks Penyayang Siti Hasmah, Dato Abdul Azib Saad serta pengurusan tertinggi UniMAP.
 
Terdahulu, Zul Azhar dalam ucapannya berkata sempena program itu UniMAP turut menyampaikan sumbangan kepada 30 pelajar tahfiz dari Pusat Tahfiz Darul Hikmah, anak-anak yatim Kompleks Penyayang Dr Siti Hasmah dan penghuni Rumah Baitu Hanan.
 
Katanya, dua mahasiswa UniMAP iaitu  Muhammad Iqbal Shah bin Zakaria (dari PPK Pembuatan) yang kuat dan tabah dalam menjaga adiknya pesakit kanser serta Nur Hidayah binti Kamal (dari PPK Mekatronik) yang berjiwa besar dalam menjaga 3 orang adik beradiknya setelah pemergian kedua orang tuanya turut menerima sumbangan.
 
"Seperti kelaziman tahun lepas pada tahun ini pihak universiti juga menyalurkan sejumlah RM55,000.00 kepada pelajar-pelajar asnaf dari setiap Pusat Pengajian UniMAP yang terdiri daripada  550 orang penerima," katanya.
 
Sementara itu, salah seorang mahasiswa itu Muhamad Iqbal Shah berkata sumbangan yang diterima akan dimanfaatkan sebaiknya bagi menampung keperluan dan adiknya yang menghidap kanser.
 
"Saya tidak akan jemu memberi sokongan kepada adik melawan kanser agar dia tetap gembira seperti orang lain bagi menyambut lebaran yang akan tiba tidak lama lagi.
 
" Terima kasih kepada UniMAP yang tidak putus menghulurkan bantuan kepada kami berdua di samping memastikan pengajian saya tidak terjejas kerana bebanan kewangan," katanya yang juga anak yatim piatu.