PAUH PUTRA 24 Feb - Kontinjen Kor SUKSIS Universiti Malaysia Perlis (UniMAP ) dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Sukan Kor SUKSIS Zon Utara (SUTRA 2019) yang berlangsung mulai 22 hingga 23 Februari (semalam).

UniMAP yang juga tuan rumah bagi SUTRA kali ini berjaya memperolehi tiga pingat emas, dua perak dan empat gangsa menerusi 11 acara yang disertai.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP selaku Komandan Kor SUKSIS UniMAP, ACP (KS) Prof  Dr Mohd Foad Sakdan berkata UniMAP berjaya meraih tiga pingat emas berkenaan menerusi acara futsal lelaki dan wanita serta bola baling wanita.

"Kita berjaya mengatasi pesaing terdekat iaitu Universiti Sains Malaysia (USM) yang meraih tiga pingat emas, satu perak dan enam gangsa.


"Bagi pingat perak UniMAP pula diperolehi menerusi acara bola tampar lelaki dan Iron Men," kata beliau selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah SUTRA 2019 di Kompleks Sukan Syed Sirajudin Areeb Putra, di sini.

Sementara itu, Ajutan Kor SUKSIS UniMAP,  Deputi Superitendan (KS) Mustaffa Ismail    berkata Kor SUKSIS UniMAP selaku penganjur dan tuan rumah kali ini membuat persiapan rapi bagi menerima delegasi kontinjen dari Universiti Awam zon utara.

Katanya, mereka membuat persiapan sejak lima bulan lalu bagi memastikan kelancaran SUTRA 2019.

"Lebih manis UniMAP juga berjaya mencapai kejayaan walaupun menerima saingan sengit daripada UA lain yang tidak kurang hebatnya," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

SUTRA 2019 yang dirasmikan oleh Naib Canselor UniMAP, Dato' Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal itu turut disertai hampir 700 atlet dan pegawai Kor SUKSIS dari UniMAP, USM,Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, UiTM Kedah, UiTM Perak dan UiTM Pulau Pinang.

Sempena SUTRA 2019 itu juga para pegawai dan jurulatih turut berpeluang bertanding dalam pertandingan Woodball yang semakin popular pada masa kini.

Kor SUKSIS UniMAP Juara SUTRA 2019

Kor SUKSIS UniMAP Juara SUTRA 2019

Kor SUKSIS UniMAP Juara SUTRA 2019

Kangar, 20 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani surat hasrat (Letter of Intent-LOI) dengan Macro Dimension Concrete (MDC) Sdn Bhd bagi memenuhi keperluan industri dalam penyediaan konkrit, semalam.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata UniMAP menerusi Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) dan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan menjalinkan kerjasama dengan MDC bagi membangunkan penyelidikan saintifik dalam bidang berkenaan.

Ujarnya, perbincangan berkenaan telah dimulakan sejak beberapa bulan lalu bersama pusat kecemerlangan itu sebelum LOI ditandatangani semalam.

“Selain itu, antara objektif LOI ini adalah bagi memantapkan kewangan luaran, institusi atau jabatan untuk menjalankan aktiviti penyelidikan antara kedua-dua pihak di samping mobiliti kakitangan dan pelajar UniMAP,”  kata beliau ketika majlis menandatangani LOI itu.

Majlis menandatangani LOI berkenaan berlangsung di Pejabat Naib Canselor dengan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin, Timbalan Naib Canselor  Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan, Pengarah Pusat Kerjasama Industri & Kerajaan Tempatan (CIGC) UniMAP Dr Shafriza Nisha Basah, Pengurus CEGeoGTech Prof Madya Dr Mohd Mustafa Albakri Abdullah, dan Dekan PPK Bahan Dr Mohd Firdaus Omar.

Pada majlis itu, UniMAP diwakili Dr Zul Azhar manakala MDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mr Leow Khang Heng.

Tambah Dr Zul Azhar, MDC juga bersetuju untuk memperuntukkan biasiswa kepada pelajar UniMAP di samping penempatan latihan industri serta memperkasa akademi MDC.

“Lebih menarik Akademi MDC turut menawarkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bertepatan dengan teras UniMAP dalam bidang kejuruteraan,” kata beliau.

MDC telah diperbadankan pada 10 Mac 1997 di Jitra, Kedah Darul Aman bermula dengan membekalkan konkrit siap pakai bagi projek pembinaan kerajaan dan swasta. Kini MDC melakar nama sebagai pengeluar dan pembekal konkrit siap pakai yang boleh dipercayai dalam sektor pembinaan serta meluaskan liputannya ke Lembah Klang dan kawasan timur (Kuantan).

LoI UniMAP - MDC

LoI UniMAP - MDC

LoI UniMAP - MDC

LoI UniMAP - MDC

Kangar, 12 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menawarkan lapan program akademik di TIBA University , sebuah universiti baharu di bawah naungan Thebes Integrated Institute, Egypt.

Penawaran berkenaan diputuskan hasil daripada perbincangan delegasi UniMAP diketuai Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dengan Presiden universiti berkenaan, Prof Seddik Afifi sempena lawatan akademik UniMAP ke TIBA University bermula 10 hingga 14 Februari ini.

Dr Zul Azhar berkata sempena lawatan itu juga satu perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak turut ditandatangani di samping melawat tapak kampus TIBA University.

Katanya, program kerjasama ini adalah sangat penting dan memberi impak yang tinggi kepada UniMAP, sejajar dengan saranan Menteri Pendidikan dalam mengantarabangsakan program-program universiti di Malaysia.

“Kerjasama ini adalah bertepatan sekali dan dapat mengembangkan nama UniMAP di persada antarabangsa. Pihak UniMAP akan memberi sepenuh komitmen untuk memastikan usaha ini menempa kejayaan besar di kedua-dua belah pihak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin, Timbalan Presiden TIBA University Prof Ahmed Siddik, Dekan Pengurusan Akademik UniMAP, Prof Madya Ir Dr Anuar Mat Safar, dan Dekan Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) UniMAP Dr Tunku Salha Tunku Ahmad.

Ujar Dr Zul Azhar, hubungan kerjasama UniMAP dan Thebes Integrated Institute, Egypt yang mempelopori bidang pendidikan tinggi swasta di Egypt telah bermula sejak tahun 2015 malah pada 2017, salah sebuah universiti milik Thebes Intergrated Institute iaitu Nahda University di Beni Suef, Egypt telah menghantar 12 orang pelajar ke UniMAP bagi mengikuti program mobiliti selama dua minggu. 

“Seterusnya, pada Disember 2017, lima orang pensyarah kanan UniMAP telah dilantik oleh Nahda Universiti sebagai pensyarah pelawat dan berjaya melaksanakan tugas pengajaran di universiti itu selama tiga minggu.

Susulan itu, kesinambungan kerjasama antara UniMAP dan Thebes Intergrated Institute diteruskan dengan beberapa siri perbincangan untuk melaksanakan kerjasama akademik melalui penawaran program akademik UniMAP di TIBA University pula,” katanya.

Sementara itu, Prof Seddik berkata pihaknya berbesar hati dengan kerjasama yang terjalin di antara UniMAP dan menyatakan rasa kagum dengan sistem pendidikan tinggi di Malaysia sekaligus berharap kemajuan dan penambahbaikan dalam pendidikan di Mesir menerusi kerjasama itu.

“Kerjasama ini dapat memberi banyak peluang kepada rakyat Malaysia dan Mesir sendiri dalam pelbagai aspek khususnya aspek pendidikan tinggi dan kami ingin belajar daripada pengalaman Malaysia.

“Kami turut menaruh harapan yang tinggi agar dapat mencapai kejayaan yang lebih besar di masa akan datang tambahan, dapat mengukuhkan hubungan yang terjalin menerusi perjanjian yang ditandatangani, hari ini,” katanya.

Dalam persetujuan tersebut, pihak TIBA University bakal menyediakan kemudahan infrastruktur, fasiliti dan tenaga pengajar manakala pihak UniMAP menyediakan semua perkara berkaitan dengan akademik, kurikulum, jaminan kualiti dan sijil pengijazahan.

Lapan program yang bakal ditawarkan ialah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik, Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer, Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan Kejuruteraan), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Kejuruteraan), Sarjana Sains (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (Penyelidikan)

Dalam persetujuan tersebut, pihak TIBA University menyediakan kemudahan infrastruktur, fasiliti dan tenaga pengajar manakala pihak UniMAP menyediakan semua perkara berkaitan dengan akademik, kurikulum, jaminan kualiti dan sijil pengijazahan.

lapan program akademik di TIBA University

lapan program akademik di TIBA University

KUALA LUMPUR, 8 Februari – Pasukan silat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) beraksi cemerlang apabila menjadi johan keseluruhan  kategori terbuka di Kejohanan Silat Terbuka Institut Pendidikan Tinggi (IPT) dan Jemputan Antarabangsa Taming Sari IV, baru-baru ini

Mereka turut membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa di kejohanan yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abd Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai 26 hingga 29 Januari.

Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Tuan Suhizaz Sudin berkata UniMAP menghantar lima atlet silat dan menyaksikan Muhammad Ziyad Irham Mohd Rafi meraih pingat emas bagi kategori G Putra manakala Mohammad Syamrin Shah Ramli meraih emas bagi kategori I Putra.

 “Nazirul Mubin Abd Aziz pula meraih pingat perak bagi kategori J Putra manakala Nurshafawati Muhammad Rashidi membawa pulang pingat perak bagi kategori E Puteri serta Norsyamimi Mohd Noor membawa pulang pingat gangsa kategori bebas Puteri,” kata beliau.

Sementara itu, Muhammad Ziyad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik ketika dihubungi berkata kerana minat yang mendalam mereka mengambil inisiatif pergi ke pertandingan itu sendiri walaupun sedang bercuti semester ketika itu.

“Rata-rata kami berada di kampung menyebabkan kami berusaha untuk menyertai juga pertandingan ini dan ternyata ia berbaloi dengan kejayaan yang berjaya dicapai.

Penyertaan ini juga sebagai persediaan ke pertandingan silat peringkat kebangsaan akhir di Pahang pada Mac ini bagi melayakkan kami menyertai pasukan elit Malaysia. InsyaAllah kami bukan sahaja membawa nama UniMAP tetapi juga membawa nama negeri Perlis ke pertandingan itu,” katanya.

Kejohanan selama empat hari itu turut disertai 35 pasukan dari IPT seluruh negara termasuk pasukan jemputan dari Yala Sport School Thailand.

UniMAP Johan Silat IPT

UniMAP Johan Silat IPT

Kangar, 8 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus melakar kejayaan dalam penyelidikan peringkat antarabangsa apabila meraih 100 peratus pingat di Bangkok International Intellectual Property Invention, Innovatioan and Technology Exposition (IPITEX 2019).

Pencapaian itu adalah melalui pecahan enam  pingat emas, enam perak dan tiga gangsa yang dicapai oleh 15 penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) yang menyertai pameran yang berlangsung di Bangkok International Trade & Exhibition Centre, Thailand.

Ketua Delegasi UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah yang juga pensyarah serta Exco Persatuan Penyelidikan Inovasi Malaysia (MyRIS) berkata lebih membanggakan UniMAP turut meraih anugerah khas daripada beberapa buah negara antaranya Anugerah Khas Poland dan Anugerah Khas University of Sibiu Romania.

Katanya, antara penyelidikan yang menerima pingat emas ialah UHT Boiler : Design And Development Of Automated Machine For Dadih And Milk, Geo-Sleepers, Geopolymer Ceramics for Electrical Applications, Phase Stabilized Lead-Free Solder For Aerospace Electronic Interconnect Application, A Novel Geopolymer Reinforced Lead Free Solder For High Power Module Applications, dan New Innovative Palm Trunk Plywood.

“Kita perlu bersaing dengan lebih 1000 inovasi penyelidikan yang dipertandingkan membabitkan 25 buah negara justeru kejayaan ini sekaligus menyuntik semangat kita untuk mencapai lebih banyak kejayaan sepanjang tahun ini walaupun perlu bersaing dengan negara-negara lain yang lebih hebat,” kata beliau ketika dihubungi.

Selain daripada CEGeoGTech UniMAP, sebanyak 27 sekolah Malaysia dibawah penasihatan UniMAP MyRIS juga turut serta kerana ia terbuka kepada penyelidik sekolah, universiti dan industri.

Antara sekolah Malaysia lain yang menyertai IPITEX kali ini ialah SMS Hulu Selangor, SMS Kuala Selangor, SMS Selangor, Kolej TunkuKursiah, Kolej Vokasional Keningau, SM St. Michael Penampang, SMAP Kajang, SMK Ibrahim Kedah, SK Sena Perlis, SMK UluTiram Johor, SK Kayang Perlis, SMK Lake Sarawak, SJKT RRI Sg. Buloh, SJKT Permas Jaya dan banyak lagi.

IPITEX 2019 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Thailand, ACM Prajin Juntong telah berlangsung selama empat hari mulai 2 hingga 6 Februari dengan disertai Kanada, India, China, Iran, Indonesia, Romania, Poland, Vietnam, Philippine, Jepun, Korea Selatan, Croatia, Taiwan dan beberapa yang lain selain tuan rumah Thailand.

ipitex 2019