Makassar, Indonesia - 28 September 2018. Untuk memastikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus kekal sebagai sebuah universiti pilihan di rantau ini, UniMAP yang diketuai oleh Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal telah mengadakan lawatan selama dua hari di Makassar, Indonesia untuk memberi pendedahan kepada pensyarah dan mahasiswa tentang peluang-peluang pendidikan pascasiswazah yang ditawarkan di UniMAP. Sesi taklimat telah diadakan di Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), dan Fakultas Teknik, Universitas Negeri Makassar.

Lebih daripada 170 peserta yang terdiri daripada pensyarah dan mahasiswa dari universiti-universiti di sekitar Makassar hadir semasa sesi taklimat tersebut. Peluang untuk melanjutkan pengajian pascasiswazah telah dibentangkan dengan kelebihan fasiliti, kelebihan peralatan, staf akademik yang berwibawa sebagai penyelia, penerbitan terindek dan pencapaian lain yang memberangsangkan bagi UniMAP, sebuah universiti yang berusia 17 tahun.

Hasil daripada taklimat tersebut, beberapa pensyarah dan mahasiswa menunjukkan minat yang sangat tinggi untuk mengikuti pengajian tinggi di UniMAP. Peluang ini digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan keterlihatan UniMAP di persada antarabangsa. Perkara-perkara yang turut dibincangkan termasuklah program-program kerjasama yang boleh diwujudkan melalui pertukaran staf dan pelajar, penawaran program dual, perkongsian penyelidikan serta penerbitan. 

Di samping mempromosikan pengajian pascasiswazah Y.Bhg Dato’ Naib Canselor turut menyampaikan ucaptama di persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh Universitas Negeri Makassar. Dua perjanjian persefahaman di antara Universitas Negeri Makassar dengan UniMAP telah ditandatangani di akhir majlis pembukaan persidangan tersebut.

UniMAP Tarikan Makassar 2018

UniMAP Tarikan Makassar 2018

UniMAP Tarikan Makassar 2018

UniMAP Tarikan Makassar 2018

Arau – Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan kegemilangannya apabila tiga penyelidiknya terpilih menerima pembiayaan penyelidikan antarabangsa selepas satu Memorandum Persetujuan (MoA) ditandatangani dengan sebuah institusi pendidikan di Makassar Indonesia. 

UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal manakala Universitas Negeri Makassar (UNM) pula oleh Timbalan Rektornya iaitu Prof Dr. Gufran Darma Dirawan yang berlangsung pada The Third International Conference on Mathematics, Sciences, Technology, Education and Their Applications sempena The First International Symposium on Green Materials and Technology di universiti tersebut baru-baru ini.

Turut hadir adalah Pengurus CEGeoGTech UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Mustafa Al Bakri berkata, UniMAP akan menggunakan kepakaran penyelidikannya manakala UNM akan bertindak sebagai pembiaya penyelidikan itu nanti.

UniMAP juga telah menandatangani perjanjian seumpama ini dengan beberapa Negara lain antaranya India, Vietnam, Australia, Romania,” katanya.

Sehubungan itu bagi penyelidikan bersama UNM ini, tiga penyelidik wanita telah dipilih oleh UNM.

“Mereka yang terpilih adalah dari Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) iaitu Dr. Rafiza Abdul Razak; Dr. Farah Farhana Zainal dan Dr. Norazian Mohamed Noor.

“Malah mereka ini juga masing-masing merupakan pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan dan PPK Alam Sekitar,” katanya. 

Tambahnya lagi, perbincangan kerjasama turut diberi perhatian terutamanya dalam pertukaran staf dan pelajar; penawaran program dual; perkongsian penyelidikan; dan penerbitan jurnal.  

Sementara itu, pada konferen yang sama, lebih 170 pensyarah dan mahasiswa dari universiti sekitar Makassar menunjukkan minat untuk melanjutkan pengajian peringkat pascasiswazah di UniMAP selepas menghadiri sesi taklimat berkenaan universiti tersebut.

Rata-rata mereka melahirkan rasa kagum dengan kelebihan fasiliti, staf akademik yang berpengalaman luas, penerbitan berimpak dan pencapaian serta kejayaan yang diraih UniMAP walaupun hanya berusia 17 tahun.

UniMAP Makassar 1

UniMAP Makassar 2

UniMAP Makassar 3

Kangar, 24 September– Seramai 80 pelajar sulung yang mengikuti program Pengajian Secara Separuh Masa  mendaftar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini.

Pelajar-pelajar tersebut mendaftar bagi dua program iaitu Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sistem Elektrik danIjazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik.

Dekan Pengurusan Akademik UniMAP, Profesor Madya Ir. Dr. Anuar Mat Safar berkata,penawaran program mod separuh masa merupakan salah satu inisiatif UniMAP untuk mempelbagaikan program pengajian dan membuka peluang kepada calon-calon yang bekerja untuk menyambung pengajian.

“Ini adalah selari dengan hasrat kerajaan yang menggalakkan budaya pembelajaran sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat.

UniMAP mula menawarkan Kursus  Pengajian Secara Separuh Masa  setelah mendapat kelulusan senat pada Mei lalu dan sebagai permulaan kelulusan ini diberikan kepada dua buah pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik dan  PPK Mikroelektronik,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Kemasukan Pelajar Program Ijazah Secara Separuh Masa di Dewan Keikhlasan UniMAP, baru-baru ini.

Turut hadir, Dekan PPK Sistem Elektrik Dr.Haziah Abdul Hamid dan Dekan PPK Mikroelektronik Prof. Madya Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail.

Ujar beliau lagi, pelajar program pengajian secara separuh masa akan mengikuti kelas di dalam Kampus Pauh Putra dan di luar kampus Anjung Kulim.

 “Saya berharap dua buah PPK ini akan menjadi perintis dalam membangunkan struktur kurikulum yang direkabentuk khas dengan mengambil kira kelayakan akademik dan juga pengalaman kerja calon-calon yang terpilih,”katanya lagi.

Sementara itu bagi Pembantu Jurutera di Hoya Electronic Sdn. Bhd. Abdullah Fikri Paharodzi, 33, berkata, pernah mempunyai cita-cita untuk melanjutkan pelajaran namun disebabkan kekangan masa dan kewangan niat tersebut terpaksa dipendam.

“Saya bersyukur kerana pihak majikan memberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran dan UniMAP menawarkan kursus yang saya perlukan disamping jarak yang dekat,”kata pelajar Kejuruteraan Elektronik itu.

Bagi Ketua Teknikal Tenaga Nasional Berhad, Guar Cempedak, Boriyatol Afizah Tajudin, 41, yang mengambil jurusan Sistem Elektrik, berkata peluang melanjutkan pelajaran merupakan sesuatu yang ditunggu.

“Saya rasa sudah sampai masa untuk melanjutkan pelajaran kerana kursus yang ditawarkan UniMAP sesuai dengan apa yang saya inginkan disamping jarak yang dekat serta kos yang berpatutan.

“ Di samping itu, hasil dari pemerhatian yang saya lakukan mendapati silibus yang ditawarkan di UniMAP amat menarik dan meyakinkan,”katanya lagi.

UniMAP Pelajar Separuh Masa Pertama 2018

UniMAP Pelajar Separuh Masa Pertama 2018

UniMAP Pelajar Separuh Masa Pertama 2018

UniMAP Pelajar Separuh Masa Pertama 2018

Pauh Putra, 20 Sept – Sepasang kembar akhirnya dapat menarik lafaz lega kerana mereka dapat mengikuti pengajian yang sama iaitu bidang Pembuatan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) .

Ini berikutan sebelum ini kakak kembar itu, Noratiqah Mohd Izer berjaya mendapat tempat di universiti kejuruteraan berkenaan pada ambilan pertama 28 Ogos lalu manakala adik kembarnya, Norafiqah baharu mendaftar di UniMAP,  kelmarin.

Noratiqah berkata sejak kecil mereka tidak pernah berenggang malah mengikuti pengajian yang sama iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Tekstil) di Politeknik  Seberang Perai sebelum ini.

Katanya, situasi berkenaan pada  awalnya membuatkan mereka berasa sedih kerana terpaksa berenggang tetapi akhirnya berasa amat gembira apabila Norafiqah berjaya mendapat tempat di UniMAP dalam bidang yang sama bagi ambilan kedua.

“Ibu dan ayah menggalakkan adik membuat rayuan untuk mendapatkan tempat di UniMAP, Alhamdulillah adik berjaya juga mendapat tawaran dalam bidang yang sama,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Anak kepada pesara tentera dan guru itu memberitahu bahawa keadaan itu membuatkan mereka bersemangat mengikuti kuliah di UniMAP dan berharap dapat segera menyesuaikan diri berjauhan dari keluarga.

“Kami berasal dari Pulau Pinang, jadi tidak menjadi masalah ketika masih belajar di Politeknik Seberang Perai kerana tidak jauh dari rumah, justeru apabila berjauhan di Perlis ini kami lebih selesa jika dapat bersama-sama lagi mengikuti kuliah di sini,” katanya.

Terdahulu Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata bagi ambilan kedua, UniMAP menerima 393 pelajar baharu yang mendaftar program Ijazah Sarjana Muda sidang akademik 2018/2019 manakala ambilan pertama yang lalu universiti itu menerima 2,198 pelajar baharu.

Menurutnya, UniMAP mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu dan berharap pelajar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus serta mengikuti kuliah dengan selesa.

“Di UniMAP, pelbagai kemudahan kita sediakan malah 100 peratus pelajar menginap di kolej kediaman tanpa perlu ibu bapa risau mengenai rumah sewa dan pengangkutan,” kata beliau.

UniMAP MSK Ijazah 2018

UniMAP MSK Ijazah 2018

UniMAP MSK Ijazah 2018

UniMAP MSK Ijazah 2018

Padang Besar, 18 Sept – Berikutan kejadian ribut yang melanda hampir seluruh negeri Perlis semalam, banyak kawasan terjejas akibat kerosakan pada kediaman serta prasarana awam.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Jabatan Keselamatan, Unit Komunikasi Korporat , Jabatan Pembangunan dan Kelab Sukarelawan menggerakkan bantuan kepada salah seorang mangsa ribut iaitu kakitangan Jabatan Keselamatan UniMAP, Azleen Wahab di Kampung Bawah Bukit, Chuping, di sini.

Salah seorang sukarelawan, Yap Chee Hian berkata dia dan 14 rakan-rakan yang berkelapangan daripada sebarang jadual kuliah segera menyertai gerakan bantuan berkenaan selepas dimaklumkan pihak pengurusan.

“Ahli kelab sukarelawan ini terdiri daripada 93 orang, dan kami sentiasa bersiap sedia sekiranya dimaklumkan mengenai gerakan bantuan.

“Ada di antara kami sibuk dengan urusan Minggu Suaikenal bagi rakan-rakan baharu ambilan kedua yang mendaftar di universiti hari ini, namun kami tetap bersemangat untuk datang membantu,” katanya.

Kejadian kira-kira jam 10 malam itu menyebabkan bumbung rumah keluarga Azleen diterbangkan angin selain siling ruang tengah rumah juga pecah dan jatuh.

Ibu Azleen, Latifah Kassim,63, berkata dia dan keluarga sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan bunyi angin yang kuat.

Katanya, mereka sekeluarga tertanya-tanya apabila terdengar bunyi bising yang sangat kuat sebelum memeriksa bahagian luar rumah dan mendapati bumbung jatuh di hadapan rumah itu.

“Rupa-rupanya bumbung bahagian belakang rumah tercabut dan diterbangkan angin sehingga ke bahagian hadapan rumah. Mujur tiada kemalangan jiwa berlaku kerana bumbung itu berat dan mempunyai kayu,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal meluangkan masa ke rumah mangsa bagi meninjau kerosakan yang dialami oleh keluarga mangsa.

Menurut Dr Zul Azhar , UniMAP segera menghulurkan bantuan bagi membersih dan membaiki kerosakan menerusi Jabatan Pembangunan serta sukarelawan UniMAP.

“Kira-kira 40 staf dan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar UniMAP turun padang bagi membantu meringankan beban yang dialami keluarga Azleen.

“Selain itu, pihak UniMAP turut menyalurkan sumbangan menerusi Tabung Bencana UniMAP agar dapat dimanfaatkan keluarga Azleen untuk membaiki kerosakan lain yang diperlukan,” kata beliau.

Terdahulu, dilaporkan sebanyak 56 rumah di beberapa kampung dan kawasan perumahan mengalami kerosakan selepas dilanda ribut berkenaan iaitu Mata Ayer, Bintong, Kayang, Beseri, Sena, Chuping, Kuala Perlis dan Pauh.

Selain itu, 156 pokok juga dilaporkan tumbang sehingga menghalang laluan di jalan-jalan utama serta 55 kes gangguan elektrik juga diterima akibat ribut itu.

UniMAP Bencana Ribut 2018

UniMAP Bencana Ribut 2018

UniMAP Bencana Ribut 2018

UniMAP Bencana Ribut 2018