19 Julai 2018, KUALA LUMPUR Tuanku Syed Putra Foundation yang juga dikenali sebagai Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) berhasrat untuk mengumpul dana tambahan sebanyak RM5.5 juta lagi untuk membina sebuah pusat autism bagi komuniti di Perlis, kemudahan pertama seumpamanya di negeri tersebut. Pusat tersebut akan memberi manfaat kepada golongan yang mengalami autism di wilayah utara untuk membina masa depan lebih cerah.

Melalui kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sejak dua tahun lalu, inisiatif Hab Sumber Pendidikan dan Latihan Autism (A-HEART) telah dibentuk dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM500,000 untuk membina sebuah pusat autism kanak-kanak di kampus UniMAP.  Kini, Pusat Autism A-HEART UniMAP mahu membina sebuah pusat yang lebih lengkap untuk membantu golongan yang memerlukan. YTSP kini mensasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM6 juta dalam tempoh tiga tahun demi merealisasikan impian tersebut.

YTSP dipengerusikan oleh Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga Canselor UniMAP. Manakala

 Pusat Autism A-HEART UniMAP dinaungi oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Perlis, Tuanku  Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Pro-Canselor UniMAP.

Ahli Lembaga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan Pengerusi Ahli Lembaga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, “YTSP mahu membina sebuah pusat autism untuk menawarkan peluang pendidikan berkualiti, latihan kemahiran hidup dan sokongan kepada komuniti, ibu bapa yang mempunyai anak autistik, penjaga dan profesional.  Yayasan menerima sokongan yang memberangsangkan daripada badan-badan korporat dan telah menyumbang setengah juta ringgit sehingga kini. Hari ini, kami berbesar hati kerana Acts One Group Inc. ada menyokong kita untuk membantu menjadikan impian membina sebuah pusat autism yang lengkap satu realiti tidak lama lagi.”

Pengasas dan Pengerusi Acts One Group Inc., Serena Chiam berkata, “Saya percaya atas sumbangan demi kebaikan masyarakat. Ia merupakan budaya yang diamalkan dalam syarikat saya iaitu membantu mereka yang memerlukan.

“Kita memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang lebih baik untuk semua. Kami harap lebih banyak syarikat dan individu akan memberi sumbangan kepada YTSP untuk membiayai pembinaan Pusat Autism A-HEART UniMAP.”

Turut hadir ialah Naib-Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Dr. Zul Azhar Zahid Jamal yang menzahirkan ucapan terima kasih kepada badan-badan korporat yang sudi memberi sumbangan, bukan sahaja dengan wang ringgit, malah menganjurkan acara-acara kemasyarakatan. 

“Baru-baru ini, Bank Rakyat menganjurkan Karnival Bank Rakyat-A-Heart Autismlympic 2018, satu acara sukan yang unik untuk menggalakkan pelajar-pelajar autism bersukan. Pada Februari tahun ini, YTL telah menyumbang sebanyak RM100,000 kepada YTSP. Tahun lalu, Bank Rakyat sekali lagi menganjurkan ‘Bank Rakyat-A-HEART Rainbow Walk’ yang menyaksikan 1,398 peserta terdiri daripada kanak-kanak daripada rumah anak-anak yatim dan pelajar universiti meraikan Bulan Kesedaran Autism Kebangsaan.

“Justeru, saya percaya bahawa dengan meningkatkan kesedaran di setiap peringkat berbeza, orang ramai akan dapat menyumbang secara positif dalam membentuk satu ekosistem yang dinamik buat komuniti autism. Kami harap lebih banyak badan korporat, individu dan pihak akan tampil ke depan untuk menyokong inisiatif Tanggungjawab Korporat Sosial UniMAP ini. Saya juga sangat bangga dengan para pendidik dan pelajar UniMAP yang menguruskan pusat sedia ada. Melalui inisiatif ini, saya harap ia akan terus menaikkan semangat mereka untuk berbakti kepada masyarakat.” 

Sementara itu, Autism Buddies yang memainkan peranan penting dalam inisiatif A-HEART diwakili oleh Puan Sri Dato’ Akmal Abdul Salam, yang juga merupakan penaung Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA).

Beliau berkata, “Walaupun kesedaran orang ramai terhadap autism adalah tinggi, namun pemahaman mengenainya masih rendah. Selama beberapa tahun, pihak berwajib yang menawarkan perkhidmatan pendidikan berdepan cabaran untuk memenuhi keperluan kelompok rakyat Malaysia yang mengalami autism. Jadi, kami perlu meningkatkan sumber dalam negara untuk membangunkan kemudahan dan program-program buat komuniti yang memerlukan perkhidmatan seperti ini.’’

Buat masa sekarang, Pusat Autism A-HEART UniMAP dioperasikan sepenuhnya oleh universiti. Pusat itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan bantuan pembelajaran yang interaktif. Selain kemudahan-kemudahan tersebut, Pusat Autism A-HEART UniMAP komited untuk menawarkan perkhidmatan seperti pengesanan awal dan intervensi menerusi rawatan, terapi serta pendekatan pendidikan terbaik kepada anak-anak autism. Di samping memberi sokongan kepada ibu bapa, penjaga dan golongan profesional.

Bukan itu sahaja, pusat tersebut akan menyediakan pendidikan dan latihan kepada golongan muda penghidap autism berdasarkan kepada kemahiran serta minat mereka yang berbeza. Ini bermakna, pendekatan yang diambil oleh Pusat Autism A-HEART UniMAP akan dapat membantu golongan austistik membina masa depan mereka. Seterusnya, ia menjadi titik rujukan kepada pihak-pihak lain yang ingin memberi khidmat kepada komuniti autism di Perlis.

Acts One Group Inc. juga merupakan penaja korporat YTSP untuk majlis makan malam penghargaan GOLD A-HEART Fundraising bagi Pusat Autism A-HEART UniMAP yang akan diadakan pada 19 Oktober 2018 di Shangri-La Hotel Kuala Lumpur.

Acts One Group Inc. ialah sebuah syarikat multi-disiplin dan anak syarikatnya, Aureo Gallery Ltd merupakan Pengedar Tunggal Seni Kreatif di Asia Tenggara terutama seni emas oleh Kim Il Tae. Acts One Group Inc. dan Aureo Gallery akan menyumbang dua karya seni emas yang hanya ada dua di dunia untuk dilelong pada majlis makan malam tersebut. Selain dua karya seni emas, barang-barang koleksi juga akan dilelong. 

Maklumat lanjut mengenai majlis makan malam amal untuk GOLD A-HEART Fundraising, sila hubungi Edna Lee di talian 016-246 3186.

Kangar, 20 Julai – Seramai dua puluh pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ditawarkan pekerjaan di syarikat Tessolve Semiconductor Sdn. Bhd. di Pulau Pinang sebelum bergraduasi pada Oktober 2018 nanti.

“Mereka ini akan memulakan tugas mereka pada Ogos nanti,” kata Penolong Pendaftar Kanan, Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC) UniMAP, Dr. Ruswahida Ibnu Ruslan ketika dihubungi pemberita baru-baru ini.

“Ini merupakan kumpulan pertama dan kedua yang melibatkan 58 pelajar dari tiga pusat pengajian yang dipanggil untuk sesi temuduga pada Mei di UniMAP dan 24 Jun lalu di salah sebuah hotel di Pulau Pinang.

“Dari jumlah tersebut, kumpulah pertama yang diambil bekerja adalah 11 orang manakala kumpulan kedua yang ditawarkan pekerjaan adalah sembilan pelajar dan mereka ini akan melaporkan diri pada Ogos iaitu dua bulan awal dari tarikh mereka bergraduat,” katanya.

Mereka adalah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mikroelektronik (lima orang), PPK Komputer dan Perhubungan (11 orang) dan empat daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Elektronik.

Menurut Ruswahida, mereka ini terpaksa melalui beberapa proses seperti penilaian mengenai pengetahuan teknikal, sesi taklimat dan juga temuduga oleh mereka yang berpengalaman dari syarikat tersebut.

“Kebanyakkan penemuduga didatangkan khas dari Bangalore, India dan hanya dua orang sahaja penemuduga dari Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, pelajar ini beruntung kerana berpeluang untuk mengembangkan kerjaya mereka di syarikat Tessolve kerana ia merupakan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan solusi bagi Chip Solutions, Hardware Solutions, Software Solutions dan Embedded Solutions.

“Syarikat ini menyediakan perkhidmatan kepada syarikat seperti Intel, Broadcom, Qualcomm, Texas Instruments, NXP, National Instruments, Cadence, Jetter, Coyote.

“Peluang diterima bekerja walaupun sebelum bergraduat menunjukkan bahawa graduan UniMAP laris dipasaran pekerjaan dan ini sekaligus membuktikan bahawa kurikulum UniMAP menepati kehendak industri,” katanya.

Pauh Putra, 18 Julai  – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus meningkatkan keterlihatan universiti itu di rantau ASEAN menerusi Program Communicative English Course dengan kerjasama Nakhon Pathom Rajabhat University (NPRU) Thailand.

Program di bawah kendalian Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) UniMAP  itu menerima 20 pelajar Pusat Pengajian Kemanusiaan NPRU dan berlangsung selama 21 hari bermula 28 Jun lalu sehingga hari ini.

Pengarah CIL, Prof Dr Harshita Aini Haroon berkata program ini bertujuan untuk menyerlahkan UniMAP di rantau ASEAN melalui kerjasama kepakaran akademik dalam bidang bahasa Inggeris di samping mendedahkan para pelajar kepada kemahiran komunikasi dan budaya Melayu.

“ Di samping itu, ia juga sebagai mengukuhkan hubungan kerjasama kedua-dua universiti selain bertindak sebagai saluran untuk pengembangan dan pengukuhan ASEAN dalam meningkatkan nilai perkongsian ilmu di rantau ini.

“Saya berharap semoga kedua-dua universiti dapat memanfaatkan program ini sebagai batu loncatan ke arah program kerjasama yang lain lagi di masa akan datang samada dalam bidang akademik mahupun bukan akademik, “ kata beliau ketika Majlis Penutupan program berkenaan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Institut Bahasa NPRU, Khanitta Thaichareon.

Di majlis penutup berkenaan,  pelajar NPRU mempersembahkan tarian ayam didik yang dipelajari di dalam kelas ketika mengikuti program selama tiga minggu itu.

Sementara itu, pengarah program itu Masturah Sabri berkata sepanjang mengikuti program berkenaan di UniMAP, para pelajar mendapat pengajaran penuh di dalam kelas melalui modul yang dibangunkan khas.

Katanya, modul berkenaan dihasilkan sendiri  oleh pensyarah dan guru bahasa CIL. 

“Selain sesi dalam kelas, pelbagai aktiviti lain direncana seperti lawatan akademik ke Pulau Langkawi, Pulau Pinang dan Alor Setar selain mereka berpeluang menimba  pengalaman mempelajari budaya Melayu melalui aktiviti masuk kampung yang diadakan di Kampung Pulau Pisang, Jitra,” katanya.

Tambahnya,selain kelas bahasa Inggeris, para pelajar NPRU juga perlu mengikuti sesi kelas bahasa Melayu yang diajar guru bahasa CIL Juliana Ahmad dan tarian Melayu bimbingan artis budaya Unit Kebudayaan & Rekreasi (UKR) UniMAP

Terdahulu, salah seorang pelajar NPRU, Yasmeena Yuerae berkata, pengalaman mempelajari bahasa dan tarian Melayu ini sangat menyeronokkan dan ini merupakan satu pengalaman baharu yang tidak akan diperolehi di Thailand. 

 “Kami berpeluang mempelajari adat dan kebudayaan masyarakat di Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa serta mempunyai keunikan tersendiri.

 “Malah, saya juga dapat meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris ketika mengikuti modul yang ditetapkan sekaligus membantu kami lebih yakin berkomunikasi dengan rakan-rakan di rantau ASEAN, ” katanya ketika ditemui di majlis itu.

Pauh Putra, 12 Julai – Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan Projek Antarabangsa : Kesukarelaan & Tanggungjawab Sosial Korporat (iVCORE) di Kampus UniMAP, di sini , semalam.

Projek julung kalinya diadakan ke peringkat antarabangsa berkenaan merupakan anjuran Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) melalui Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (POTENSI) UniMAP.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, hasrat MASTI melebarkan sayap bantuan kemanusiaan ke Thailand amat disokong malah Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut memperuntukkan bantuan RM10,000 bagi membantu asnaf di sana.

Titahnya, peruntukan itu adalah bagi menyokong hasrat iVCORE agar daapt disampaikan kepada penduduk asnaf dan anak-anak yatim di negara jiran berkenaan.

“Inisiatif merentasi sempadan seumpama ini harus diberi pujian kerana ia merupakan saluran bantuan kepada golongan yang amat memerlukan di luar sana berbanding kita di Malaysia.

Ini kerana di sini, pelbagai Agensi Kerajaan masih ‘mampu’ melaksanakan tanggungjawab membantu golongan asnaf namun di negara luar seperti Thailand tanggungjawab ini banyak digerakkan oleh individu yang prihatin semata-mata,” titah Baginda ketika melancarkan iVCORE di sini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan dan Presiden POTENSI, Raja Shah Erman Raja Ariffin.

Sementara itu, Presiden MASTI Azri Hohad berkata VCORE dilancarkan pada 2015 di Perlis sebelum terus dilaksanakan di beberapa negeri iaitu Sabah pada 2016 dan Terengganu (2017) serta merancang ke Sarawak bagi tahun ini.

Katanya, kali ini MASTI menerusi POTENSI berhasrat melebarkan lagi bantuan kemanusiaan bagi peringkat antarabangsa dengan memilih Kampung Khokkek di Chana, Thailand mulai esok (hari ini) hingga 15 Julai.

“Dua aktiviti utama telah dikenalpasti iaitu sumbangan dan pembinaan sekolah di masjid selain aktiviti sukan serta motivasi bersama anak-anak yatim Sekolah Santiwit di daerah berkenaan,” kata beliau ketika berucap sempena majlis pelancaran berkenaan.

Selain MAIPs, iVCORE turut mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak seperti Persatuan di Universiti Awam (UA) masing-masing yang disertai hampir 50 peserta bagi menjayakan bantuan kemanusiaan itu.

Di samping bantuan kemanusiaan itu, MASTI turut mengadakan lawatan dan perbincangan bersama pentadbir Prince Of Songkhla University (PSU)bagi bertukar-tukar idea berkaitan tugasan pentdabir universiti serta mengukuhkan hubungan sedia ada.