KANGAR, 12 Mei- Produk penyelidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila berjaya membawa pulang 10 pingat emas pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX), baru-baru ini.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, berkata, UniMAP menghantar 16 produk untuk dipertandingkan pada ITEX 2018 dan 10 daripadanya berjaya meraih pingat emas manakala enam lagi meraih perak.

Katanya, ia sekaligus menjadikan UniMAP berjaya meraih 100 peratus pingat yang dipertandingkan.

UniMAP menumpukan untuk mengenengahkan produk-produk yang dihasilkan penyelidik muda.

“Percaturan yang kita buat ini membuahkan hasil apabila berjaya mengekalkan jumlah pungutan pingat emas sama seperti tahun lalu dan saya percaya pencapaian ini akan dapat ditingkatkan di masa akan datang,”katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Antara produk penyelidikan UniMAP yang meraih pingat emas adalah Freezer And Chiller Delivery Box produk Dr. Mohd Zakimi Zakaria,  Hybrid Graphene-Copper Antenna For Brain Tumor Detection (Dr. Mohd Aminuddin Jamlos, LORAFI (Dr. Ammar Zakaria), Harumanis Healthy Harmony (Prof. Madya Dr. Mahmad Nor Jaafar);   Broadband Rf Energy Harvester (Ismahayati Adam); Nanometrological Aptasensor To Diagnose Blood Clotting Defect (Prof. Madya. Dr. Subash C.B. Gopinath);  Geoairsense: Cloud Based Air Quality Monitoring System (Prof. Madya Dr. Latifah Munirah Kamarudin).

Tiga lagi produk adalah Integrated Dc Power Supply For Low Voltage Renewable Dc Microgrid (Ir Tunku Muhammad Nizar Tunku Mansur), Hp-Oyspore: High Potential Spore Induction Grey Oyster Mushroom Liquid Spawn (Prof. Madya Dr. Zarina Zakaria) dan Dr. Md Tasyrif Abdul Rahman – dengan produk penyelidikan, Connected Car: Engines Monitoring Via Internet Of Things (Iot).

ITEX 2018 mengumpulkan lebih 1,000 reka cipta yang membabitkan penyertaan dari 20 negara seperti China, Jerman, Korea dan Turki

Antara tarikan utama bagi ITEX 2018 adalah penganjuran Pameran Pereka Cipta Muda Dunia (WYIE), Pameran Reka Cipta Muda Asia (AYIE), Pameran Reka Cipta Muda Malaysia (MYIE) dan aktiviti seperti sesi PITCH4FUND, seminar usahawan pemula dan perbincangan modal teroka ke usahawan (VC2E).

Ia merupakan anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS), sebagai platform  bagi mempamerkan reka cipta dan teknologi serta  produk baru.

ARAU, 3 Mei (Bernama) -- Seramai 100 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)  menerima zakat korporat sumbangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada satu majlis di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, hari ini.

Mereka  menerima RM300 seorang yang disampaikan  oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) merangkap pengerusi SSM Datuk Seri Jamil Salleh sempena program Keusahawanan dan Agihan Zakat Korporat SSM.

Menurut Jamil, SSM mempelbagaikan kaedah pemberian zakat korporat agensi tersebut supaya pelaksanaan lebih menyeluruh sejak 2016.

Cara ini juga untuk mempastikan semua golongan asnaf yang layak mendapat hak mereka, kata Jamil kepada media selepas menyampaikan sumbangan tersebut.

Katanya SSM telah mengagihkan lebih RM3.38 juta  zakat korporat pada tahun lepas manakala dari Januari hingga April tahun ini pula melebihi RM1.38 juta telah diagihkan,

Dalam majlis lain pagi ini, SSM menyerahkan zakat korporat sebanyak RM500,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menerima zakat tersebut dalam satu majlis di Istana Arau.

Jamil juga menyampaikan hadiah pertandingan ?Business Pitching' yang dianjurkan oleh SSM dengan kerjasama UniMAP yang disertai lapan kumpulan dari kalangan pelajar UniMAP berupa wang tunai wang tunai RM1,000 untuk juara dan masing-masingRM800 dan RM500 bagi tempat kedua dan ketiga.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naiib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner.

-- BERNAMA

Kangar, 2 Mei – Dua persidangan antarabangsa anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menghimpunkan 250 kertas dari lebih 10 buah negara yang diadakan di Hotel Edenstar, Ho Chi Minh City Vietnam.

Kedua-dua persidangan berkenaan ialah 6th International Conference on Advanced Material Engineering & Technology  (ICAMER 2018) dan 4th International Conference on Green Design & Manufacture.

Pengurus Pusat Kecemerlangan Geopolimer & Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Mustaffa Al-Bakri Abdullah berkata persidangan-persidangan itu merupakan anjuran pusat kecemerlangan berkenaan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan PPK Pembuatan UniMAP.

Katanya ia berlangsung selama dua hari mulai 29 April dan berakhir kelmarin mendapat sambutan menggalakkan penyelidik-penyelidik dari negara Jepun, United Kingdom, Turki, Thailand, Kuwait, Taiwan, India, Indonesia, Indonesia dan lain-lain lagi.

“Persidangan antarabangsa ini bertujuan memartabatkan lagi bidang bahan termaju, geopolimer, rekabentuk hijau dan pembuatan dengan  menghimpunkan pakar-pakar dari negara lain bagi berkongsi kepakaran serta penyelidikan yang dihasilkan,” kata beliau ketika dihubungi, semalam.

Tambahnya, selain persidangan-persidangan itu satu bengkel geopolimer antarabangsa (1st International Geopolymer Workshop -IGeoW 2018) juga diadakan khas bagi penyelidik dalam bidang geopolimer duduk bersama membincangkan halatuju penyelidikan.

“Selain itu, sempena bengkel khas itu turut mendapat persetujuan pakar-pakar geopolimer dari negara China, Taiwan, Australia dan beberapa negara lagi bagi mendapatkan geran secara bersama, mobiliti pelajar dan staf serta penyertaan pelajar,” katanya.

 

Profesor Long-yuan Li, Profesor Kejuruteraan Struktur, Universiti Plymouth membentangkan kertas persidangan.

Peserta persidangan geopolimer anjuran UniMAP di Vietnam baru-baru ini.