ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa memberikan perhatian dalam usaha melahirkan mahasiswa yang bersifat holistik tidak hanya mengejar kejayaan dunia malah menumpukan kepada keperluan akhirat.

Menyedari tanggungjawab mendidik mahasiswa tentang nilai-nilai Islam tersebut, Pusat Islam UniMAP dengan kerjasama Jawatankuasa Surau Pauh Putra menganjurkan Islamic Festival 2018 ( iFEST 1.0).

Pengarah Pusat Islam UniMAP, Prof. Madya Dr. Shuhairimi Abdullah berkata, penganjuran iFEST 1.0 turut memberi peluang kepada Sahabat Pusat Islam dan MPKK TAR membantu menyemarakkan budaya  intelegensia dalam kalangan warga kampus di UniMAP.

“Sebagai sebuah gedung ilmu, kita terpanggil untuk sebaik mungkin bagi menerapkan nilai-nilai Islam kepada pelajar di sini dan buat pertama kalinya, kami ingin menjadikan iFEST sebagai acara tahunan Pusat Islam UniMAP.

“InsyaAllah di masa hadapan kita akan menambahbaik festival ini dengan lebih banyak program pengisian yang dapat menarik perhatian golongan remaja untuk turut serta dengan aktiviti keagamaan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

iFEST 1.0 merupakan karnival selama sehari semalam anjuran Pusat Islam UniMAP bertempat di Surau UniMAP, Kampus Pauh, Putra. Antara pengisian Qiyamullail Perdana, Kuliah Dhuha Perdana yang disampaikan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, Forum Perdana dan Kuliah Maghrib Perdana bertajuk ‘End of The World True or Not’ oleh Dr. Danial Zainal Abidin.

Sementara itu bagi sahabat Pusat Islam saudara Muhammad Hanafi Yaacob berkata program yang pertama kali dianjurkan Sahabat Pusat Islam dan MPKK TAR UniMAP itu diharap dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan mahasiswa melalui pendekatan mahabbah itu sendiri.

“Semoga penganjuran iFEST 2.0 nanti akan menjadi pencetus kepada mahabbah iaitu kasih sayang kerana melalui aktiviti sebegini saya yakin mampu menyatukan seluruh warga UniMAP.”katanya.

Kangar, 25 April – Prihatin dengan murid-murid program pendidikan khas integrasi masalah pembelajaran (PPKIBP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, Pusat Pengajian Siswazah (CGS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan program tanggungjawab sosial universiti (USR) di sekolah itu, hari ini.

Program USR ‘Menambahbaik Lanskap dan Kelas PPKIBP’ itu membabitkan hampir 100 pelajar doktor falsafah (PhD) UniMAP,staf CGS, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) serta murid program berkenaan.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata beliau amat menyokong program USR seperti itu memandangkan UniMAP juga merupakan sebuah institusi pendidikan.

Katanya, adalah lebih baik UniMAP memberi fokus terhadap bidang yang sama dalam menjalankan USR sepertimana program yang dianjurkan hari ini.

“Malah, saya juga berharap pendedahan mengenai kemahiran kepada murid-murid sekolah harus dititikberatkan sejak mereka di sekolah rendah yang kemudiannya akan dibawa ke peringkat seterusnya bagi menggerakkan kemajuan negara di masa akan datang,” kata beliau ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Turut hadir Ketua Unit Pendidikan Swasta Jabatan Pendidikan Negeri, Sa’ezan Md Saad, Guru Besar SK Putra Ibtisam Othman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Ir Dr Rezuwan Kamaruddin, Dekan CGS Prof Madya Ir Dr Mohd Khairuddin Md Arshad, dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UniMAP Dr Salsuwanda Selamat.

Sementara itu, seorang pelajar antarabangsa yang kini mengikuti PhD di Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) UniMAP , Miftahu Idris berkata ini adalah pengalaman pertamanya menyertai program USR dan teruja dapat bergaul dengan murid-murid sekolah yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Katanya, beliau yang berasal dari Nigeria itu seronok dapat menyertai program seperti ini sekaligus dapat mengenali suasana pendidikan di sekolah yang berbeza dari negara asalnya.

“Saya dan rakan-rakan juga tertarik dengan persekitaran dan budaya masyarakat di negara ini menjadikan salah satu faktor kami memilih melanjutkan pengajian di UniMAP,” katanya ketika ditemui di sini.

Selain gotong-royong menceriakan halaman sekolah, turut diadakan lukisan mural bersama Kelab Pelukis Negeri Perlis bagi menceriakan murid-murid istimewa sekolah itu serta sukaneka bersama murid- murid PPKIBP.

Malah, beberapa individu perseorangan dan pusat tanggungjawab di UniMAP turut memberi sumbangan berupa alat tulis kepada mereka.

 

Kangar, 23 April- Seramai 32 staf akademik dari Bangladesh ke Perlis bagi menyertai Bengkel Pembelajaran Pengajaran dan Metodologi Penyelidikan selama tujuh hari enam malam anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini.

Delegasi ini telah diketuai oleh Ketua Institute of Quality Assurance Cell (IQAC) Chittagong University, Prof Jahangir Alam.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata UniMAP mempunyai hubungan yang akrab dengan Bangladesh sejak beberapa tahun yang lalu.

“Saya percaya UniMAP telah mengadakan hampir 20 lawatan ke Bangladesh dalam masa dua tahun lepas.

“Malah UniMAP juga mempunyai pelajar dan pensyarah dari Bangladesh serta turut menerima lawatan dari tetamu kehormat negara itu dari masa ke masa atas kapasiti yang berbeza,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian bengkel tersebut di Bilik Seminar PFI 2 di Kampus Induk UniMAP Pauh Putra di sini.

Tambah beliau, kerjasama terkini melibatkan UniMAP dan negara itu adalah dalam jaminan kualiti Bangladesh melalui inisiatif Universiti Grant Commission (UGC) dan Bank Dunia.

 “Selain dari mempelajari teknik terkini pembelajaran pengajaran serta penyelidikan, delegasi ini juga turut diperkenalkan dengan konsep asas kepimpinan akademik, termasuklah merancang dan mencarta kerjaya akademik seseorang berdasarkan minat dan kecenderungan akademik mereka.

“Beberapa orang tenaga pengajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) turut dijemput bagi berkongsi pengetahuan dalam teknik pengajaran dan pembelajaran mereka,” kata beliau.

Pada hari terakhir bengkel yang berlangsung di UniMAP Kuala Lumpur, Naib Canselor Chittagong University, Prof. Atiuddin Chowdry turut menyertai program itu.  

Dalam perbincangan antara Naib Canselor kedua-dua universiti ini, satu rancangan untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua buah universiti telah dicapai termasuk perbincangan lanjut mengenai kursus pendek, program mobiliti dan seminar.

Sebagai tambahan, CU berminat untuk menawarkan pengajian Bahasa Malaysia di kampus mereka dan UniMAP berinisiatif untuk bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi merealisasikan hasrat CU itu.

CU adalah antara empat universiti awam utama di Bangladesh. Tiga lagi universiti adalah Dhaka University, Jahangirnagar University and Rajshahi University.

Untuk rekod, hubungan baik UniMAP dengan CU terjalin sejak universiti itu menyertai usaha kerajaan Bangladesh untuk menaikkan standard kualiti institusi pendidikan tinggi negara mereka.

Pauh Putra, 23 April – Kolej Kediaman Tan Sri Aisyah Ghani (KKTAG) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dinobatkan Juara Perpaduan sempena Festival Kebudayaan Antara Kolej Kediaman (FESTKOL) 2018 yang berlangsung mulai 19, 20 dan 22 April.

Lebih manis apabila pasukan kolej berkenaan turut diumumkan meraih dua kejuaraan iaitu bagi kategori pertandingan Boria dan kategori Dikir Barat ketika Majlis Penutup FESTKOL 2018 di Dewan Kecemerlangan di sini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof Ir Dr Rezuwan Kamaruddin merasmikan upacara Majlis Penutup FESTKOL 2018 anjuran Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) dengan kerjasama MPKK Kolej Kediaman Tun Abdul Razak (PFi2) itu.

Beliau berkata walaupun UniMAP merupakan universiti berteraskan kejuruteraan, namun tidak menghalang mahasiswa universiti itu untuk bergiat aktif dalam aktiviti kesenian dan kebudayaan.

“Saya berharap di masa akan datang lebih banyak kategori dipertandingkan dengan memberi peluang kebudayaan kaum lain yang berada di UniMAP dapat diketengahkan bersama-sama kebudayaan sedia ada di pertandingan ini.

Ia bertujuan agar semua lapisan pelajar diberi pendedahan mengenai budaya kaum-kaum lain di negara ini termasuk pelajar antarabangsa,” kata beliau ketika berucap merasmikan penutupan FESTKOL 2018.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof Dr Uda Hashim , Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan, Pengarah UKR Mohd Izwan Izhar Haris serta pengetua-pengetua kolej kediaman.

Sementara itu, Pengetua KKTAG Ismail Ibrahim berkata beliau melahirkan penghargaan terhadap komitmen penghuni KKTAG yang sama-sama bersepakat bagi menghasilkan kejayaan berkenaan.

Katanya, lebih menarik penyertaan Boria dari KKTAG mendapat perhatian juri apabila kebudayaan berasal dari Pulau Pinang itu dikendali tekong yang berasal dari Sarawak.

“Selain itu,lebih istimewa penyertaan pasukan KKTAG ke FESTKOL 2018 mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi dari Persatuan Anak-anak Negeri Kelantan (HIMSAK), Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Persatuan Siswa Darul Aman (ANSAR), Gerakan Mahasiswa Johor (GEMA’J) serta Persatuan Anak Sarawak Semenanjung (PASS),” kata beliau ketika ditemui selepas majlis itu.

Tambahnya, hasil kerjasama mereka bersama Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) kolej kediaman itu tanpa mengira perbezaan bangsa dan kaum menjadi penyuntik semangat pasukan menjalani latihan seterusnya menjuarai FESTKOL 2018.

FESTKOL 2018 merupakan festival julung kali diadakan bagi menggilap bakat mahasiswa UniMAP seterusnya bersaing di Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (FestKUM) anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dan One World Culture di masa akan datang.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Boria, Nasyid dan Dikir Barat membabitkan penyertaan enam kolej kediaman di UniMAP.

Bagi pertandingan nasyid, pasukan Kolej Kediaman Pauh Putra menjuarai kategori berkenan.

Kuala Lumpur, 17 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) adalah antara institusi pendidikan yang terlibat secara langsung sempena Persidangan Pertahanan Asia (DSA) 2018 ke-16 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2018 yang diadakan di Pusat Pameran & Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata UniMAP mengambil peluang menjalinkan kerjasama dalam bidang kejuruteraan berkaitan ketenteraan dengan syarikat Empayar Paradiqma Sdn Bhd menerusi upacara menandatangani surat hasrat (LOI) sempena persidangan itu.

Katanya, kerjasama itu jelas membuktikan impak pembangunan dan penyelidikan (R&D) bukan hanya di peringkat akademik sahaja malah merentasi pelbagai fungsi dan bidang.

“Kerjasama strategik ini bakal memberi kesan secara langsung kepada mahasiswa UniMAP khususnya dalam konteks kebolehpasaran graduan dapat ditingkatkan,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini.

Tambahnya, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan UniMAP diberi tanggungjawab bagi menyemarakkan kerjasama itu dalam usaha keterlihatan UniMAP di peringkat antarabangsa.

Surat hasrat itu ditandatangani oleh Zul Azhar sendiri bagi mewakili UniMAP manakala Empayar Paradiqma diwakili Pengarahnya, Dato’ Hazizan Ahmad dengan disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP.

Empayar Paradiqma merupakan sebuah syarikat yang terlibat dengan industri ketenteraan berpengkalan di Perak.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menyampaikan titah ucaptama persidangan meja bulat ‘Chief Army Round Talk (ChART) 2018 di persidangan berkenaan.

 

CAPTION GAMBAR: Zul Azhar dan Hazizan menandatangani LOI di antara UniMAP dan Empayar Paradiqma Sdn Bhd disaksikan Tuanku Canselor UniMAP sempena DSA 2018.

Pauh Putra, 15 April – Sebanyak 408 penyertaan pada International Engineering Invention and Innovation Exhibition (i-ENVEX) 2018 yang berlangsung mulai 13 hingga 15 April di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata daripada jumlah itu, 163 penyertaan dari sekolah menengah, 92 dari UniMAP sendiri, dan 72 penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT) manakala penyertaan antarabangsa pula adalah 81 penyertaan dari 16 buah negara.

“Antara negara yang menyertai ialah India, Taiwan, Hong Kong, China, Macau, Thailand, Indonesia, Kanada , Romania, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Vietnam, Laos, Bangladesh dan Filipina.

“Penganjuran pameran bertaraf antarabangsa ini adalah bagi memberi pendedahan awal dan menggalakkan pelajar sekolah serta mahasiswa untuk terlibat dalam bidang penyelidikan dan inovasi seterusnya memperkasakan kebolehan serta penciptaan pelajar ke platform lebih tinggi,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian Penutup i-ENVEX 2018, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Program Prof Madya Dr Mustafa Al-Bakri Abdullah.

Terdahulu, produk  Sistem Ternakan Ayam Organik E-Lips hasil inovasi Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan dan Green-based Antibacterial Hand Sanitizer Serum (GreeSS) ciptaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang mengungguli i-ENVEX Best of The Best Award.

Sementara itu, produk ciptaan penyelidik UniMAP iaitu Human Representative Humanoid Robot daripada penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) memperolehi UniMAP Vice Chancellor Award,selain produk XDM :Ultimate Elimination of Dengue Fever Using Herbal Larvicide Membrane Technology hasil ciptaan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Alam Sekitar meraih i-ENVEX Special Award manakala Wireless Network Scalling for Chicken Farm  meraih i-ENVEX Best Award Classed A (Agriculture, Environmental & Renewable Energy).

Selain itu, bagi anugerah khas antarabangsa produk Self Cleaning Geopolymer Paste daripada PPK Alam Sekitar serta produk An Environmental Friendly Synthetic WOOD PANEL  daripada FTK masing-masing meraih National Institute for Research and Development in Environmental Protection (INCDPM) Romania Award on Environmental  Protection.

 

Ayer Hitam, 11 April – Bagi memberi pendedahan dalam bidang kejuruteraan nanoteknologi , Institut Kejuruteraan Nano Elekronik (INEE) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyertai pameran Sains , Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), di sini, hari ini.

Pameran berkenaan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam, sempena Minggu STEM dan Kerjaya 2018 anjuran sekolah berkenaan.

Pengarah INEE, Prof Madya Dr Ruslinda A.Rahim berkata selain pameran, pasukan INEE turut mengadakan aktiviti kuiz dan taklimat kerjaya bersama kira-kira 300 pelajar tingkatan tiga hingga lima sekolah itu.

Ujarnya,beliau bersama pasukannya iaitu Dr Mohammad Nuzaihan Md Nor selaku penyelaras program, Dr Nur Hamidah Abdul Halim dan Ts En Jasni Mohamed Ismail mengambil inisiatif menyertai pameran itu agar generasi muda diberi pendedahan lebih awal mengenai  kejuruteraan nanoteknologi.

“Kita harus memberi pendedahan kepada mereka sejak mereka sekolah lagi agar apabila mereka ke universiti, mereka sudah mengetahui dengan lebih meluas mengenai kejuruteraan, khususnya kejuruteraan biosensor dan nanoelektronik,” kata beliau.

Tambah beliau, ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang mahu melahirkan  generasi muda berteknologi sekaligus menjadi pemangkin pembangunan negara.

“Selain itu, pameran ini berperanan memberi maklumat mengenai kepentingan teknologi dalam kehidupan seharian dan pembangunan masyarakat untuk dimanfaatkan mereka pada masa hadapan, “ katanya.

Selain SMK Ayer Hitam dan UniMAP, SMK Tanjung Pauh dan SMK Mahawangsa turut menjayakan pameran berkenaan.

Menurut Dr Ruslinda, INEE berhasrat meneruskan program tanggungjawab sosial (CSR) seperti itu di masa hadapan dengan membawa pelajar sekolah sekitar Perlis dan Kedah ke INEE.

“Secara tidak langsung pelajar sekolah dapat melihat sendiri teknologi yang ada di INEE bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dan minat mereka terhadap kejuruteraan nanoteknologi,” katanya.

Arau, 4 April – Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr. Huzili Hussin telah dilantik menjadi pakar rujuk Bahagian Kaunseling dan Psikologi, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Perlis berkuatkuasa serta merta. 

Ini adalah selaras dengan perancagan strategik JKM 2017 yang menggariskan beberapa perancangan bagi menyebarluaskan perkhidmatan kaunseling dan psikologi kepada komuniti.

Menurut Huzili, lantikan beliau adalah seiring dengan prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diperkenalkan oleh kerajaan tidak lama dulu.

“Saya bersyukur kerana dilantik menjadi pakar rujuk JKMN sekaligus menyokong NBOS yang menggalakkan kerjasama dan perkongsian antara agensi.

“Inilah masa untuk saya berbakti kepada masyarakat melalui perkongsian kepakaran dan ilmu dari sudut ahli akademik,” katanya.

Huzili yang dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Sains Malaysia mempunyai kepakaran dalam psikologi kaunseling dan sub bidangnya adalah Cognitive Behavioral Therapy Intervention.

Beliau merupakan kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia dan telah menjalankan banyak kajian berkaitan isu-isu psikologi penagihan dadah.

Atas kepakarannya, beliau juga turut dilantik sebagai salah seorang panel penggubal garis panduan pencegahan penyalahgunaan dadah, substans dan alkohol peringkat Kementerian Pendidikian Tinggi.

Kuala Lumpur, 3 April – Universiti Malaysia Perlis menandatangani perjanjian memorandum (MoA) bersama Regent College yang diadakan di AUKL, semalam.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata perjanjian itu adalah mengenai penawaran program Sarjana Muda Perniagaan UniMAP oleh Regent College.

“Perjanjian ini adalah antara intipati bagi memenuhi aspirasi kerajaan yang inginkan Universiti Awam agar lebih fleksibel dalam menyediakan peluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Justeru, menerusi perjanjian ini akan memudahkan bakal pelajar di sekitar ibu negara atau negeri-negeri selatan mengikuti program berkenaan di Regent College di Puchong, Selangor,” kata beliau.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Dr Zul Azhar mewakili UniMAP manakala Regent College diwakili Pengarah Urusannya, Dato’ Dr Nelson Renganathan disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UniMAP, Dato Dr Mohd Sofi Osman, ahli-ahli LPU dan Ketua Pegawai Eksekutif Regent College, Muhiniswari Govindasamy.

Dalam majlis sama turut berlangsung penyerahan cek bernilai RM175,000 sebagai bayaran pendahuluan iaitu 50 peratus daripada yuran perlesenan, dan RM50,000 jaminan bank yang diserahkan Regent College kepada UniMAP.