Kangar, 30 Mac – Bagi memberi motivasi dan inspirasi kepada staf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) melakar sejarah melancarkan Papan Skor Penerbitan  (Scoreboard Publication) serta Papan Skor Digital (e-scoreboard) institut itu, di sini, hari ini.

Pelancaran Papan Skor Penerbitan itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof Dr Uda Hashim.

Pengarah INEE UniMAP, Prof Madya Dr Ruslinda A. Rahim berkata pelancaran papan skor berkenaan adalah yang pertama diwujudkan di UniMAP serta di kalangan Universiti Awam (UA) lain.

Katanya, ia dilancarkan sebagai gambaran dan satu strategi INEE agar mampu menghasilkan penerbitan tertinggi dan berkualiti di samping ke arah pengurangan penggunaan kertas bagi menjimatkan kos percetakan.

“Walaupun INEE sebuah unit yang kecil namun budaya kerja berkumpulan penyelidik INEE bersama pusat tanggungjawab (PTj) lain di UniMAP serta pelbagai institusi luar yang lain dapat dihasilkan menerusi penubuhan papan skor ini sekaligus mampu meningkatkan jumlah penerbitan,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena majlis pelancaran papan skor itu.

Ujarnya, papan skor digital akan dikemaskini setiap dua minggu sekali menerusi pautan laman web INEE iaitu https:// inee.UniMAP.edu.my.

“Dengan penubuhan papan skor ini juga diharapkan menjadi titik tolak dan menyuntik semangat penyelidik-penyelidik UniMAP meningkatkan jumlah penerbitan sekaligus menjadi rujukan penyelidik dari seluruh dunia,” katanya.

Dr. Ruslinda turut mengulas mengenai misi INEE  iaitu untuk menjadi satu penanda aras dan institusi rujukan dalam bidang niche kejuruteraan elektronik nano dengan kajian dan pembangunan peranti berdimensi nano yang menjurus kepada aplikasi nano biosensor.

“Keupayaan ini telah dipamerkan melalui pencapaian yang sangat memberangsangkan. Contohnya, bagi tempoh lima tahun terakhir iaitu antara 2013 hingga 2017, penyelidik INEE telah menghasilkan jumlah penerbitan sebanyak 661 artikel di mana lebih 50% menerusi jurnal bertaraf Q1 dan Q2 dengan kumulatif sitasi sebanyak 2149.

“Justeru ratio penerbitan per staf dan ratio sitasi per artikel masing-masingnya adalah 50.8 dan 3.25 untuk sela masa 5 tahun,” katanya.

Tambah beliau, perkara ini berjaya dicapai menerusi perolehan geran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa berjumlah RM 2,339,596 dari 34 geran penyelidikan yang berjaya diperolehi.

“Melalui geran penyelidikan ini juga, INEE berupaya menghasilan 18 dan 13 graduan diperingkat PhD dan MSc masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Dr Uda berkata penubuhan papan skor itu diharapkan menjadi contoh bukan sahaja kepada UniMAP tetapi kepada UA lain di Malaysia berikutan momentum penghasilan output penerbitan di dalam Scopus juga perlu ditingkatkan bagi memenuhi kehendak semasa Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan QS.

Kangar  , 29 Mac  – Seramai 164 staf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diraikan dalam majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) 2017 sebagai pengiktirafan dan penghargaan kecemerlangan mereka yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, di sini, hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 127 penerima menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 31 penerima menerima Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang (AKPC) yang terdiri daripada tujuh kategori dan enam penerima Anugerah Penghargaan Khas (APK).

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata dengan pengiktirafan seperti itu, beliau percaya staf menjadi lebih teruja membuktikan kecekapan dan kebolehan masing-masing.

Menurutnya, di usia UniMAP mencecah 17 tahun tanpa komitmen dan daya usaha warganya UniMAP tidak mungkin mampu mencapai kejayaan-kejayaan manis sepanjang tempoh itu.

“Antara kejayaan terkini ialah UniMAP kini berada pada tangga ke-450 terbaik dunia oleh Kedudukan Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) mengikut subjek dalam bidang kejuruteraan dan teknologi,” kata beliau ketika berucap di majlis itu.

Katanya, kedudukan itu sebagai satu pengukuhan yang membanggakan.

Turut berkenan berangkat hadir menyerikan majlis gilang gemilang universiti ialah Canselor UniMAP, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pro Canselor UniMAP, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Dato’ Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis wakil Menteri Besar Perlis dan Tuan Jafperi Othman Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU).

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin ketika bertitah sempena majlis itu menyuarakan hasrat untuk melihat seluruh warga UniMAP menjadi warga terbaik dengan menggariskan 10 ciri prinsip pekerja cemerlang.

Titahnya, antara ciri itu ialah sebagai kakitangan, seseorang itu harus proaktif dan berinisiatif untuk memulakan usaha sebelum ‘dipaksa’ oleh keadaan yang mendesak atau diarah untuk melakukannya.

“Selain itu, sifat amanah adalah perkara asas kepada keharmonian dan kejayaan dalam semua perkara. Jadilah orang yang boleh dipercayai, jujur, ikhlas, sentiasa bercakap benar, tidak menipu, mencuri dan menerima atau memberi rasuah,” titah baginda.

Terdahulu,  satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di antara University of Medea, Algeria diwakili Prof Dr Abdallah El-Hadj (Director of Laboratory of Mechanic, Physic and Mathematical Modelling (Lmp2m), dengan UniMAP  yang diwakili Dr Zul Azhar sebelum majlis bermula bertujuan menjalinkan kerjasama pertukaran staf dan pelajar, bidang penyelidikan, penganjuran seminar serta program-program lain.

Turut diadakan majlis sambutan Hari Keputeraan Pro Canselor UniMAP ke 48 tahun.

SHAH ALAM 12 Mac - SELEPAS Yamaha, kini giliran Kawasaki Motors Malaysia (KMM) pula menyumbangkan satu unit motosikal naked,Kawasaki Z650 kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang bakal digunakan sebagai alat bantu mengajar, terutama untuk bahagian Unit Penyelidikan Teknologi Sukan Permotoran UniMAP (MoTECH).

Z650 itu juga akan digunakan sebagai jentera kursus memandu anjuran MoTECH dalam usaha menambah baik kemahiran memandu dan menunggang serta meningkatkan kesedaran keselamatan. Kursus tersebut turut mendapat sokongan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), termasuk KMM sendiri.

Majlis penyerahan dilaksanakan Pengurus Besar dan Pengarah KMM, Datuk Jeffrey Lim kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi UniMAP), Profesor Dr Uda Hashim.

KMM juga ada menganjurkan beberapa kempen keselamatanyang menjadi acara tahunan seperti kempen tunggangan selamat untuk pemilik Kawasaki dan kempen keselamatan jalan raya Tahun Baru Cina. pandulaju.com.my

 

 

SHAH ALAM 12 Mac - Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (Hong Leong Yamaha) menyumbang sebanyak empat buah motosikal kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya.

Empat model motosikal Yamaha yang ditaja itu terdiri daripada Lagenda 115, Nouvo LC, 135 LC dan FZ150i.

Kesemua motosikal itu akan digunakan oleh Unit Penyelidikan Teknologi Sukan Permotoran (Motech) UniMAP bagi kursus-kursus pemanduan berhemah untuk pelajar UniMAP, agensi-agensi kerajaan serta orang ramai.

Majlis serahan tajaan itu berlangsung di Ibu pejabat Hong Leong Yamaha di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, pada Jumaat lalu.

Dalam majlis berkenaan, Hong Leong Yamaha diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Jim Khor dan Pengurus Besar Jualan, Koh Eng Chan manakala UniMAP oleh Timbalan Naib Canselor, Profesor Tan Sri Dr. Uda Hashim serta Pengurus Motech, Profesor Madya Dr. Shariman Abu Bakar.

Yang turut hadir ialah Pengarah Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Profesor Datuk Ir. Mohamad Dalib.

Sementara itu, Khor berkata, kesedaran mengenai keselamatan jalan raya merupakan fokus utama program CSR pihaknya.

“Kami bangga menjadi sebahagian daripada kerjasama strategik ini."

 

KANGAR, 5 MAC – Usaha Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk diterima pihak industri semakin membuahkan hasil apabila salah satu Makmal Pengujian(UTL), diiktiraf menepati standard antarabangsa MS ISO/IEC 17025: 2005.

Anugerah sijil akreditasi bidang pengujian mekanikal dan kimia itu diumumkan Jabatan Standard Malaysia (DSM) dalam laman sesawang jabatan tersebut baru-baru ini.

Menurut Pensyarah Kanan,  Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan UniMAP, Prof. Madya Dr. Khairel Rafezi Ahmad berkata, pengiktirafan tersebut sah untuk tempoh tiga tahun bermula Februari 2018 hingga Februari 2021 melibatkan lima skop ujian.

 “Kelima-lima ujian tersebut adalah  tegangan (tensile test), kekuatan mampatan (compressive strength), pH serta suhu bagi air sisa, permukaan, minuman dan air bawah tanah, ujian penentuan kandungan Plumbum bagi air domestik, industri, osmosis berbalik (reserve osmosis), air mineral dan air ultrapure dan ujian FTIR bagi pelbagai pelarut.

“Ujian ini boleh melibatkan makmal di PPK Bahan, Alam Sekitar dan Bioproses, “katanya ketika dihubungi baru-baru ini.  

Ujar Khairel lagi, pengujian dibawah pengiktirafan Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) bukan sahaja memenuhi keperluan pengurusan dan teknikal untuk pengujian serta kecekapan pengukuran malah turut beroperasi di bawah Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001.

“Pengiktirafan itu merupakan jaminan kepada ketepatan standard pengukuran yang diterima pakai di peringkat antarabangsa seperti Australia, China, Jepun dan Amerika Syarikat.

 “Kita mengalu-alukan pihak industri, perusahaan kecil dan sederhana (SME), institusi- institusi kerajaan dan swasta, universiti, para penyelidik, pelajar dan induvidu yang berminat untuk melakukan ujian-ujian di sini,”katanya lagi.