Kangar : 16 Oktober 2018 –Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)  Duli Yang Teramat Mulia, Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima mengadap Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU)baharunya, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin buat julung kalinya.

Baginda diberi penerangan mengenai hala tuju serta perancangan strategik universiti agar dapat bergerak bersama-sama meningkatkan kegemilangan UniMAP.

Hadir sama, Naib Canselor UniMAP, Dato' Prof. Dr. Zul Azhar Zahir Jamal serta pegawai-pegawai utama universiti.

Kamarudin dilantik menjadi Pengerusi UniMAP untuk tempoh tiga tahun  berkuat kuasa Oktober 2018 sehingga September 2021 bagi menggantikan Dato’ Mohd Sofi Osman.

Untuk rekod, Dr. Kamarudin bermula sebagai Rektor di Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) pada 2002 sebelum menjadi Naib Canselor selepas KUKUM dijenamakan menjadi UniMAP pada 2007.

Beliau bersara wajib sebagai Naib Canselor UniMAP pada 2016 selepas mengemudi universiti tersebut selama 14 tahun sekaligus menjadi antara Naib Canselor yang paling lama berkhidmat di Malaysia.

Arau, 4 Oktober – Seperti sireh pulang ke gagang, mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin kembali berkhidmat di universiti tersebut selepas dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP berkuatkuasa 1 Oktober 2018 lalu.

Lantikan beliau adalah bagi menggantikan Dato’ Mohd Sofi Osman untuk tempoh tiga tahun sehingga 30 September 2021.

Dr. Kamarudin ketika dihubungi melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang oleh Kementerian Pendidikan untuk menjawat jawatan sebagai pengerusi LPU UniMAP.

“Saya berikrar untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada UniMAP dan saya melihat beberapa penambahbaikan boleh dilakukan bagi memacu universiti tersebut untuk lebih cemerlang.

“Fokus saya adalah untuk memberi kefahaman kepada warga UniMAP mengenai hala tuju dan perancangan strategik universiti agar kita dapat bergerak bersama-sama meningkatkan kegemilangan UniMAP,” katanya.

Tambah beliau, tidak mungkin sesebuah universiti itu mampu mencapai kejayaan tanpa penyatuan warganya dan ini akan terjadi sekiranya warga UniMAP kurang jelas dengan matlamat yang ditetapkan oleh universiti.

“Oleh itu, bagi merealisasikan fokus tersebut saya akan berbincang secara mendalam bersama pengurusan tertinggi UniMAP untuk mencapai persepakatan dan permuafakatan mengenai hala tuju universiti.

“Tambahan pula, dalam keadaan kewangan terhad kita perlu memikirkan mekanisme yang tepat bagi membolehkan apa yang kita hasratkan itu tercapai sekaligus menyerlahkan keterlihatan UniMAP di mata dunia,” katanya.

Malah beliau juga akan memberikan fokus untuk meningkatkan reputasi universiti melalui data kemasukan pelajar dalam dan luar Negara.

“Saya ingin melihat peningkatan jumlah kemasukan pelajar dari dalam dan luar Negara. Untuk itu, kita akan mempergiatkan lagi usaha memasyarakatkan universiti agar lebih ramai anak muda yang akan mencintai bidang sains dan teknologi serta UniMAP itu sendiri,” katanya.

Untuk rekod, Dr. Kamarudin bermula sebagai Rektor di Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) pada 2002 sebelum menjadi Naib Canselor selepas KUKUM dijenamakan menjadi UniMAP pada 2007.

Beliau melepaskan jawatan sebagai Naib Canselor UniMAP pada 2016 selepas mengemudi universiti tersebut selama 14 tahun sekaligus menjadi antara Naib Canselor yang paling lama berkhidmat di Malaysia.

Arau, 11 Oktober – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menerima empat unit motosikal elektrik (E2W) dan stesyen penukaran bateri dari Roda Prestasi Sdn. Bhd. (RPSB) bagi menjalankan penyelidikan E2W untuk pasaran tempatan.

Penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan RPSB, Ahmad Sabandi Othman kepada Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal di perkarangan Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) UniMAP Pauh Putra di sini semalam.

Turut hadir adalah Ketua Pembangunan Industri Pembuatan, Asmazura Ismail mewakili Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang merupakan rakan strategik kajian ini.

Menurut Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Shafriza Nisha Basah, kenderaan ini digunakan untuk kajian terhadap pengguna bagi mengenalpasti beberapa faktor seperti tingkahlaku pengguna terhadap E2W, penerimaan pengguna, harga produk dan spesifikasi produk.

“Projek kerjasama dengan pihak NCIA ini akan dilengkapkan dalam tempoh enam minggu dari sekarang kerana kita akan menjalankan kajian komprehensif menggunakan kaedah kaji selidik dan ujian pemanduan E2W kepada kumpulan sasaran; dan perbincangan bersama kumpulan sasaran bagi mendapatkan persepsi mereka.

“Ini sekaligus dapat mengenalpasti strategi pemasaran yang bersesuaian bagi penggunaan produk E2W selari dengan saranan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke – 11 di bawah teras strategik keenam yang berfokuskan pertumbuhan hijau kearah pembangunan mampan,” katanya ketika dihubungi pemberita baru-baru ini.

Tambah beliau, kumpulan sasaran adalah golongan pelajar, pekerja, pengguna korporat dan juga vendor motosikal.

“Kita akan bermula secepat mungkin dan insyaAllah pada Istiadat Konvokesyen ke – 13 UniMAP yang bakal berlangsung dari 27 Oktober hingga 29 Oktober 2018, kita juga akan jalankan kaji selidik dan uji pandu kenderaan kepada ibu bapa dan graduan itu sendiri,” katanya.

Malah beliau optimis dapatan dari kajian ini akan memberikan rumusan mengenai kumpulan pengguna yang berminat, penambahbaikan produk yang menarik perhatian pembeli; dan harga yang bersesuaian.

Selain Dr. Shafriza yang berkepakaran dalam kejuruteraan mekatronik, kajian ini turut disertai oleh Prof Madya Muzamir Isa dari bidang Kejuruteraan Elektrikal; Prof. Rosni Bakar dalam bidang ekonomi dan Dr. Hanum Hassan dari bidang pemasaran, komunikasi dan statistik.

Motor Elektrik

Motor Elektrik

PAUH PUTRA, 11 Oktober– Pelbagai program pembangunan sukan telah dianjurkan kerajaan dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.

Sehubungan itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited dalam membantu negara untuk menjadikan usaha itu sebagai satu kenyataan.

Pengurus Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sukan (SERC) UniMAP, Prof. Madya Mazelan Abdul Hamid berkata, SERC berfungsi untuk melaksanakan program pembangunan dan penyelidikan yang berkaitan dengan kemajuan sukan dalam menyelesaikan isu serta masalah yang berkaitan  pembangunan sukan.

“Sebagai sebuah universiti yang berteraskan kejuruteraan, UniMAP menawarkan kepakaran bidang sains dan kejuruteraan dalam menyelesaikan masalah berkaitan kesukanan.

“Sukan adalah satu industri yang bernilai besar serta impaknya dan telah mula berkembang di negara kita dan UniMAP tidak mahu ketinggalan dalam hal ini,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mazelan berkata, penyelidikan dalam kejuruteraan sukan memerlukan kepakaran dalam pelbagai bidang yang berkaitan seperti biomekanik, teknologi sensor, komunikasi dan berbagai lagi.

UniMAP mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan ia boleh diaplikasikan dalam penyelidikan dan pembangunan seperti Sistem pengukuran prestasi atlet, rekabentuk bagi penghasilan peralatan sukan dan keselamatan dalam sukan juga analisis terhadap prestasi sukan tumpuan.

“Daripada itu kita mampu untuk membangunkan  program–program kejurulatihan sukan bagi peningkatan kemahiran atlet seperti yang digunakan di negara-negara maju,” katanya lagi.

Ujar beliau lagi, SERC telah mempunyai beberapa cadangan sepanjang 2018 dan berharap dapat bekerjasama dengan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga Majlis Sukan Negeri (MSN).

SERC dilancarkan oleh Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahir Jamal sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan dan Sukan UniMAP 2017 baru-baru ini. 

Maal Hijrah 2018

Maal Hijrah 2018

PAUH PUTRA, 5 Oktober– Pengerusi Majlis Profesor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof. Dr. Ali Yeon Md Shakaff dipilih dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2018/1440Hijrah peringkat UniMAP di sini.

Mantan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP itu memulakan tugas sebagai pendidik pada 1988 di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia sehingga menyambung khidmat di UniMAP pada 2002.

Prof. Dr. Ali Yeon menerima Sijil Penghargaan dan hadiah iringan. Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Selain Anugerah Tokoh Maal Hijrah, lima lagi anugerah turut dipertandingkan iaitu Anugerah Al-Falah yang dimenangi Majlis Pengurusan Kolej Kediaman, Anugerah Personaliti Maal Hijrah ( empat penerima), Anugerah Tokoh Siswa ( dua penerima), Anugerah Khas Pencetus Ummah (empat penerima) dan Anugerah Khas Agensi terbaik yang dimenangi MSB  Utara Perlis yang merupakan pengusaha Kafeteria Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik UniMAP.

Dalam ucapan perasmian, Prof. Dr. Zul Azhar berkata, bertepatan dengan tema “Menyantuni Umat Membawa Rahmat” UniMAP sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, mempunyai amanah dan tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat.

“Dalam menyantuni kepelbagaian masyarakat hari ini, kita perlu memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing dan menyantuni mereka dengan jiwa muafakat dan toleransi yang tinggi.

“Disebabkan inilah UniMAP terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR). Kita berkongsi segala kepakaran yang ada bukan saja untuk masyarakat Perlis, malahan seluruh Malaysia, “katanya.

Ujar beliau lagi, apa yang kita dilakukan itu adalah bagi mewujudkan perasaan saling membantu dan berkongsi kasih sayang, selain keperluan iman dan ilmu di kalangan masyarakat, yang juga hak kemanusiaan.

“Namun begitu, kita tidak harus berbangga dan selesa dengan apa yang kita lakukan ini, kita semua ada tanggungjawab untuk dilaksanakan, antara tanggungjawab tersebut ialah membangunkan umat Islam untuk maju dan berjaya,”katanya lagi.

Maal Hijrah 2018

Maal Hijrah 2018

Maal Hijrah 2018