Kangar , 24 Januari  – Seorang pelajar Teknologi Kejuruteraan Universiti Malaysia  Perlis (UniMAP) dianugerahkan Anugerah Projek Tahun Akhir Kejuruteraan Awam Presiden Pertubuhan Kejuruteraan Jalan Malaysia (REAM), Sabtu baru-baru ini.

Pelajar itu, Muhammad Faiz Zainal berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, piala dan sijil, satu tahun keahlian percuma REAM serta dapat mengikuti minimum enam bulan Latihan Kebolehpasaran Siswazah di syarikat  sektor korporat dalam bidang kejuruteraan awam.

Muhamad Faiz berkata dia tidak menyangka terpilih menerima anugerah itu sebelum ini kerana tidak mengetahui adanya anugerah seperti itu kerana hanya mahu melakukan yang terbaik dalam hasil kajiannya.

Katanya, dia terkejut apabila dihubungi pihak universiti memaklumkan  kejayaannya meraih anugerah itu sambil menyifatkan ia adalah hasil bimbingan penyelianya, Liyana Ahmad Sofri serta pensyarah-pensyarah Teknologi Kejuruteraan Awam selain keluarga dan rakan-rakan sekuliah.

“Saya cuma berharap kajian itu memberi impak kepada industri dan alam sekitar dengan tajuk kajian saya ialah“Use of Palm Kernel Shell from Agriculture Waste as Partial Replacement for Course Aggregate in Hot Mix Asphalt”,” katanya ketika dihubungi selepas Majlis Makan Malam Gala Dinner REAM.

Dalam majlis itu , Menteri Kerja Raya,Dato’ Sri Fadillah Yusof menyampaikan anugerah berkenaan kepada lima pelajar terbaik yang terpilih termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Malaysia Pahang dan UniMAP sendiri.

Menurut Muhamad Faiz,  tesis itu dihasilkan bertujuan bagi mengurangkan penggunaan batu baur kasar dalam pembinaan jalan raya dalam usaha memastikan sumber alam semulajadi tidak terancam.

“Selain itu tesis itu dihasilkan bagi mengurangkan bahan sisa seperti tempurung kelapa sawit agar tidak membawa pencemaran kepada alam sekitar.

“Hasilnya,bahan sisa itu dijadikan gantian separa untuk batu baur kasar dalam pembinaan jalan raya sekaligus dapat memelihara alam sekitar kita,” katanya.

Selain Muhammad Faiz, tujuh pelajar UniMAP  daripada 75 pelajar dari 10 Universiti Awam (UA) lain pula menerima sumbangan Dana Pendidikan REAM bernilai RM1,500 setiap orang.

REAM menyediakan insentif pendidikan dalam bentuk pemberian bantuan kewangan kepada pelajar cemerlang dari keluarga kurang berkemampuan dengan objektif dapat membantu melahirkan lebih ramai profesional yang berkebolehan khususnya dalam bidang kejuruteraan awam.

Kangar  , 22 Disember – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengintai ruang dan peluang kolaborasi dengan syarikat pengeluar sarung tangan industri merangkumi bidang penyelidikan, peluang pekerjaan serta latihan industri.

Bagi merealisasikan hasrat itu UniMAP diketuai Naib Canselornya, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal mengadakan lawatan dan perbincangan ke Shorubber (Malaysia) Sdn Bhd disertai Pengarah Urusannya, Keizo Sato.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP, Prof Madya Dr Khairel Rafezi Ahmad dan Pengarah Shorubber, Imran Ibrahim turut menyertai perbincangan itu.

Zul Azhar berkata, UniMAP menerusi Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan industri itu adalah bagi meneroka aktiviti penyelidikan bersama di samping menempatkan kepakaran UniMAP sekaligus mewujudkan jaringan strategik yang efektif.

Katanya, UniMAP mempunyai kira-kira 3,500 pelajar yang mengikuti latihan industri bagi tahun 2017 justeru kerjasama strategik dengan rakan industri bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi dapat membantu industri membangunkan teknologi bersama di masa hadapan.

“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan bersama pihak industri boleh membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan UniMAP dan menjadi platform terbaik bagi bakal graduan mengenal pasti peluang kerja yang bersesuaian serta mengikut kehendak industri masa kini,” kata beliau, di sini, semalam.

Delegasi UniMAP turut dibawa melawat bagi melihat sendiri pengendalian mesin-mesin bagi memproses pengeluaran sarung tangan syarikat itu yang juga anak syarikat Showa Glove Japan.

Sementara itu, Sato menyambut baik hasrat UniMAP dan teruja untuk berkolaborasi dengan universiti kejuruteraan itu dalam memperkasa manfaat bersama yang mampu memberi impak kepada bidang kepakaran yang dipelopori syarikatnya.

Menurutnya, sebelum ini ramai pelajar UniMAP yang mengikuti latihan industri di syarikat itu malah turut menceburi kerjaya mereka di situ.

Shorubber yang beroperasi di negeri Perlis sejak 1991 itu adalah sebuah syarikat pengeluar sarung tangan industri berasaskan getah asli, getah tiruan, PVC dan Polyurethane selain mempunyai hampir 1800 tenaga kerja tempatan manakala hampir 600 lagi merupakan tenaga kerja asing.   

Produk yang dihasilkan syarikat itu adalah 100 peratus bagi pasaran luar dan diuruskan oleh Showa Group Company.

Pauh Putra, 18 Januari  – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima kunjungan istimewa Duta Besar Republik Azerbaijan di Malaysia iaitu H.E Mr Qaley Allahverdiyez sempena lawatan beliau selama dua hari ke negeri ini, hari ini.

Qaley dilahirkan di Bashkiria, Persekutuan Rusia pada 29 April 1950 dan mengikuti pengajian di Baku State University sebelum memulakan kerjaya sebagai penterjemah di Iraq, Syria dan Libya mulai 1973 hingga 1981.

Selain itu, bapa kepada tiga anak itu juga pernah menjadi penyelidik saintifik, setiausaha utama, kaunselor di kementerian-kementerian dan pejabat kedutaan mulai 1982 serta mampu menguasai lima bahasa iaitu bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Indonesia, bahasa Rusia dan bahasa Turki.

Beliau menyampaikan siri syarahan antarabangsa bertajuk ‘Azerbaijan: Independence History, Latest Achievement adn Azerbaijan-Malaysia Realtions”’ manakala galeri pameran Discover Azerbaijan’ turut diadakan di tingkat bawah Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), di sini.

Berkenan berangkat hadir melancarkan pameran dan menyaksikan syarahan berkenaan ialah Canselor UniMAP , Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Pro Canselor UniMAP , Raja Puan Muda  Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan pengurusan tertinggi UniMAP.

Tragedi 20 Januari 1990 yang turut disebut ‘Black January’ meninggalkan kesan hitam di kalangan warga Azerbaijan apabila hampir 200 penduduk Baku, ibu kota Azerbaijan itu terkorban manakala 800 lagi cedera akibat serangan tentera Soviet pimpinan Mikhail Gorbachev.

Kangar, 15 Januari – Program  memperkasa bahasa Melayu anjuran Pusat Bahasa dan Antarabangsa (CIL) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di wilayah Phangnga selatan Thailand terus mendapat sambutan menggalakkan dari sekolah-sekolah di wilayah itu.

Ini jelas terbukti apabila salah sebuah sekolah di wilayah itu iaitu Sekolah Fahad Wittayathan serius memperluaskan bahasa Melayu dengan menjadikan subjek itu sebagai subjek teras kurikulum di sekolah mereka sekaligus mahu menjadikan sekolah itu sebagai pusat sehenti pendidikan bahasa di wilayah berkenaan.

Seramai empat guru bahasa iaitu Mohamad Zaki Abdul Halim, Wan Norhaizar Harun, Sareepa Jeware dan Nurul Syazwani Zulkifli terlibat bagi program yang memasuki fasa keenam itu bermula 10 hingga 14 Januari lalu.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata kerjasama antara UniMAP dan sekolah itu yang diperkukuhkan sebelum ini adalah dengan matlamat memperkasa bahasa Melayu di wilayah Phangnga yang dilaksanakan sejak 2015.

“Sekolah Fahad Witthayatan adalah sekolah angkat UniMAP kini telah melaksanakan sukatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah mereka yang melibatkan pelajar tahun 1 hingga tahun 6 sebagai subjek kokurikulum.

“Selain UniMAP, program kali ini turut mendapat perhatian dan penglibatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis dan Politeknik Syed Sirajuddin (PTSS),” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu, Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP berkenan bercemar dulu merasmikan majlis penutup program sempena Ziarah Mahabbah baginda berdua ke Wilayah Trang.

Kangar, 10 Januari – Tiga pensyarah Universiti Malaysia Perlis berjaya terpilih sebagai Jurulatih Utama (Master Trainer) bagi memberikan latihan kepada 100 guru-guru sekolah di seluruh negeri ini.

Mereka adalah Dr Syed Zulkarnain Syed Idrus dan Dr Wan Nor Ashiqin Wan Ali dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) serta Dr Hasnah Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan (PPKKP) UniMAP.

Program berkenaan adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR)  kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) ,Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan UniMAP bagi mengintegrasikan modul pemikiran komputasi dan sains pengkomputeran ke dalam kurikulum sekolah.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, program itu adalah antara program tanggung jawab sosial universiti (USR) ‘mega’ UniMAP kepada komuniti di negeri ini khasnya guru-guru.

“Program CSR ini sekaligus memberi peluang kepada UniMAP  berkongsi kepakaran yang dimiliki dalam bidang sains komputer untuk manfaat warga pendidik di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, menerusi program itu, UniMAP  turut dipilih sebagai pusat kursus pengembangan  Profesional (Continous Professional Development) berdasarkan saranan industri untuk meningkatkan kesediaan pendidik.

“Pusat itu berperanan bagi  program Sijil Pengajaran Sains & Komputer untuk guru di negeri Perlis serta meningkatkan kemahiran pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru dalam pengajaran sains komputer.

“Selain itu, pusat berkenaan turut merangkumi program jangkauan berdasarkan konsep pembuat digital, pengaturcaraan dan robotik kepada pelajar sekolah selain sebagai titik rujukan untuk ‘Digital Hub’ di zon utara khususnya negeri Perlis,” kata beliau dalam sebuah kenyataan di sini.

Terdahulu, Dekan PPKKP, Dr Azremi Abdullah Al-Hadi berkata sebelum itu,  setiap pensyarah UniMAP yang terpilih perlu melalui bengkel hands-on selama lima hari di Cyberjaya.

“Pensyarah yang terpilih ini perlu melengkapkan tugasan untuk kelayakan sebagai Jurulatih Utama pada 21 hingga 26 Januari ini bagi Pensijilan Kemahiran Komputasional dan Komputer Sains Dalam PdP ,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pada tahun lalu, seramai 35 pensyarah dari enam Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh negara telah diiktiraf sebagai Jurulatih Utama untuk melatih guru bagi kursus pensijilan yang sama sebelum menambah lapan lagi IPTA bagi tahun ini.