Kangar, 28 Feb – Kakitangan di Pusat Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Firdaus Bin Jamen, 23, mengharumkan nama UniMAP apabila berjaya merangkul gelaran Juara Cabaran Orang Kuat Sabah Edisi Kelima 2017 (Sabah Strongest Man).

Dalam pertandingan yang disertai oleh wakil peserta dari seluruh negara itu, Mohammad Firdaus, berjaya mencatatkan catatan terbaik bagi kesemua lima acarayang disertainya sekaligus menumpaskan Zarol Alfiyan (Selangor) di tempat kedua dan Andy Gerald dari Penampang, Sabah ditempat ketiga.

“Saya tidak menyangka akan bergelar juara menerusi acara tersebut kerana persaingan yang sengit. Pada mulanya, saya hanya ingin mencabar ‘personal best’ yang dicatatkan dalam edisi tahun lalu.

“Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya, dan ini merupakan kejuaraan kedua saya menerusi acara ini selepas turut bergelar juara Cabaran Orang Kuat Tenom pada April tahun lalu,” katanya ketika ditemui.

Pertandingan Orang Kuat Sabah yang dianjurkan oleh Casero Sabah itu, merupakan satu pertandingan dimana setiap peserta dikehendaki melengkapkan satu siri cabaran yang terdiri dari lima acara sebelum layak digelar Orang Kuat Sabah.

Mohammad Firdaus telah berjaya mencapai ‘personal best’ dalam kelima- lima acara iaitu ‘Tyre Flip’, ‘Circus Dumbell’, ‘Last Man Standing Dead Lift’, menarik trak dan bas, serta ‘Loading Race’.

Hadiah berupa wang tunai dan piala disampaikan oleh Yang di- Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

 

PULAU PINANG, 27 Februari 2016 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengorak langkah memperkasakan bidang pendidikan tinggi Malaysia di persada antarabangsa melalui kerjasama strategik bidang akademik University of Sindh (SU), Pakistan.

Kerjasama tersebut merangkumi pertukaran ahli akademik serta kerjasama dalam bidang penyelidikan dan penerbitan jurnal terutama bagi bidang sains sosial dan kemanusiaan yang merupakan bidang tujahan utama SU, ujar Naib Canselornya, Prof. Dr. Fateh Muhammad Burfat.

Menurut beliau, bidang penyelidikan merupakan antara elemen penting yang akan menaikkan imej universiti terutama dalam menangani dan memahami cabaran global masa kini.

UniMAP mempunyai kekuatan dalam bidang kejuruteraan manakala SU mempunyai kepakaran dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial, justeru apabila kedua-dua bidang ini digabungjalinkan ia pasti akan dapat menyelesaikan banyak permasalahan global dan ekonomi.

“Berdasarkan perspektif  kerja, jurutera adalah berkaitan dengan menghasilkan aplikasi komersil dan menyediakan keperluan teknologi yang diterima masyarakat manakala bidang kemanusiaan dan sains sosial itu adalah bidang teras dan insaniah yang perlu ada dalam diri seseorang jurutera.

“Selain itu hasil ciptaan jurutera juga adalah untuk manfaat dan kegunaan manusia secara keseluruhannya,” ujar beliau ketika berucap di Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa ke-4 Peranan Kemanusiaan dan Sains Sosial dalam Kejuruteraan 2017 (ICoHSE4) yang diadakan di Hotel Park Royal, di sini semalam.

Persidangan yang disertai oleh lebih 150 peserta dari dalam dan luar negara itu dianjurkan secara bersama oleh Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) UniMAP, SU dan ENSICAEN School of Engineering Caen, Perancis.

Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamarudin hadir merasmikan persidangan tersebut. Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Seri Mohd. Salleh Yaapar.

Dr. Burfat berkata beliau gembira apabila dijemput sebagai penganjur bersama persidangan bertaraf antarabangsa di Malaysia dan melihat pemilihan tersebut sebagai peluang untuk menggalakkan program pertukaran pelajar dan pengajar antara kedua-dua universiti.

SU sebelum ini telah menjemput dan melantik dua profesor dari UniMAP sebagai Profesor Kunjungan bagi membantu pembangunan akademik, penyelidikan dan kualiti pensyarah di universiti berkenaan untuk tempoh dua minggu pada awal Februari lalu.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, pelantikan tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa kepakaran ahli akademia UniMAP semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila mampu menjadi pakar rujuk bagi universiti luar negara.

Ujar beliau, kedua-dua Profesor yang dilantik iaitu, Timbalan Pengerusi Majlis Prof UniMAP, Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd Zain, dan Dekan IKOM, Prof. Madya  Dr. Huzili bertanggungjawab memberikan khidmat nasihat untuk program-program akademik di universiti terbabit selain berkongsi kepakaran dalam bidang pengurusan akademik, sistem pendidikan tinggi, penyelidikan dan penulisan tesis.

UniMAP akan terus menggalakkan staf dan pelajar untuk mengembangkan portfolio akademia masing-masing melalui program mobiliti antarabangsa meskipun berdepan dengan kekangan kewangan.

“Pendekatan dan kaedah baharu akan dirangka bagi memastikan kelangsungan program mobiliti yang merupakan platform terbaik untuk mengembangkan rangkaian perhubungan dengan universiti lain di luar negara,” ujarnya lagi.

ARAU, 26 Feb (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan menyertai program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) - Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Berbakti di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini.

Program julung kali itu diadakan bersempena seminar Memperkasakan Amalan Terbaik SUKSIS Universiti Awam (UA) 2017 disertai 600 peserta mewakili 20 UA, bermula dan berakhir di Dewan Ilmu UniMAP.

Melalui USR, peserta berpeluang berkongsi amalan terbaik projek-projek kesukarelaan yang pernah dianjurkan oleh UA bersama pihak korporat, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi kerajaan bagi mewujudkan kerjasama pintar melaksanakan program-program tanggungjawab sosial.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Tuanku Canselor UniMAP turut menyertai senamrobik bersama para peserta dan kemudian baginda serta 80 anggota SUKSIS menyertai program berbasikal 'Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf' kali ke-14 bagi tahun 2017 sejauh 25 kilometer.

Selain singgah menyantuni tiga buah rumah asnaf terpilih, baginda selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyampaikan zakat MAIPs kepada 30 asnaf terpilih di surau Kampung Rambai, Padang Siding, dekat Arau.

Program lain yang diadakan ialah membuat lukisan mural di sebuah jambatan, memberi motivasi kepada 150 pelajar Sekolah Menengah Tunku Budriah serta mengecat dan membersihkan sebuah rumah asnaf terpilih, semuanya di Arau.

 

 

 

 

 

Gurun, 23 Februari 2016 - Pendekatan pembelajaran dan latihan amali menggunakan sistem berteknologi terkini seiiring dengan industri telah menjadikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) antara universiti awam yang berjaya melahirkan jurutera yang berkualiti kepada industri luar.

Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, salah satunya ialah kerjasama antara UniMAP- Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) yang berjaya menyemarakkan penyelidikan kejuteraan bidang automotif dan motorsport di kalangan pensyarah dan pelajar UniMAP.

“Pihak Modenas telah memberikan peralatan seperti sistem enjin dan motorsikal untuk digunakan oleh Unit Penyelidik dan Sukan Permotoran (MoTECH) UniMAP yang mana melalui kolabrasi ini, ianya telah memberi peluang kepada UniMAP untuk menganjurkan pelbagai aktiviti untuk masyarakat luar.

“Antara aktiviti yang telah dijalankan ialah Program Modenas-UniMAP Racing School dan Grandpix Pilot Selection di litar UniMAP. Malah, pihak Modenas juga telah menggunakan litar UniMAP untuk menguji kualiti motorsikal terbaharunya,” ujarnya selepas mengadakan sesi pertemuan dan kunjungan hormat ke Modenas di sini semalam.

Selain Dr. Zul Azhar, lawatan kerja tersebut turut disertai oleh Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, Prof. Madya Dr. Khairel Rafizi, Pengarah Technopreneur Sdn Bhd (TUSB), Dr Zunaidi Ibrahim, Pengarah MoTECH UniMAP, Dr Shariman Abu Bakar, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik, Prof. Madya Dr. Abu Hassan Abdullah dan  dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan, Prof. Madya Dr. Khairul Azwan Ismail.

Selain mengeratkan hubungan antara universiti dan industri, lawatan tersebut juga bertujuan untuk memberi pendedahan dan melihat fasiliti serta keupayaan Modenas dalam menghasilkan sendiri enjin motosikal nasional buatan anak-anak Malaysia.

Kunjungan tersebut juga membolehkan pengurusan UniMAP bertemu dengan alumni UniMAP yang telah berkhidmat di Modenas.

Menurut Dr. Zul Azhar, satu Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangani dalam masa terdekat untuk menubuhkan UniMAP Automotive and Motorsport Center of Excellence dimana ianya menjadikan UniMAP sebagai pusat sehenti untuk Pusat Penyelidikan dan Jualan serta Pusat Technoprenaur kepada staf, pelajar dan graduan universiti.

UniMAP dan Modenas telah bekerjasama semenjak tahun 2012 yang mana ia memberi fokus kepada akademik bagi membolehkan pelajar UniMAP mendalami secara mahir bidang automotif di samping mencetuskan teknologi lebih maju selain meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Selepas lebih empat tahun bekerjasama, UniMAP dan Modenas melihat peluang yang lebih besar untuk mengukuhkan lagi kerjasama melalui kewujudan pusat kecemerlangan ini dan kita akan memastikan kerjasama atau penyelidikan yang dijalankan menambah kualiti pelajar dan relevan dengan keperluan semasa serta membantu perkembangan MoTECH.,” ujarnya lagi.

UniMAP Bakal Tuan Rumah SMART Kor Suksis Universiti Awam 2017

KANGAR, 23 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menjadi tuan rumah Seminar Memperkasakan Amalan Terbaik (SMART) Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Februari ini yang menghimpunkan lebih 500 peserta dari 19 Universiti Awam (UA) di seluruh negara.

Pegawai Latihan Luar Kor SUKSIS UniMAP, Asisten Superintenden Kor SUKSIS, Raja Shah Erman Raja Arifin berkata, bersempena persidangan tersebut juga, satu projek khidmat komuniti UA yang membabitkan lima aktiviti akan dijalankan secara serentak pada 26 Februari nanti.

“Program yang dinamakan “Projek Khidmat Komuniti – SUKSIS Berbakti” ini merupakan salah satu pengisian aktiviti yang telah disenaraikan dalam SMART edisi pertama yang dihoskan oleh UniMAP.

“Dalam projek ini kita telah menyenaraikan lima aktiviti utama yang dijalankan secara serentak iaitu menceriakan jejambat di Lebuhraya Changlun – Kuala Perlis, menaiktaraf dan memperbaiki rumah keluarga daif, program motivasi sekolah, bantuan ihsan ke hospital dan pemeriksaan kesihatan percuma di kampung-kampung terpilih,” katanya.

Ujar beliau lagi, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail merangkap Canselor UniMAP berkenan hadir merasmikan kelima-lima projek tersebut.

Ujar beliau, UniMAP amat berbangga apabila penganjuran edisi pertama ini berjaya menghimpunkan lebih 500 anggota Kor SUKSIS termasuk 200 pegawai-pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

 “Projek-projek seperti ini mungkin pertama kali diadakan dengan tujuan memberi peluang kepada sukarelawan SUKSIS Malaysia bukan saja untuk menggabungjalinkan idea dan kemahiran dan menterjemahkkanya kepada komuniti melalui kempen berbentuk mural ini tetapi juga dalam masa yang sama membantu masyarakat selaras dengan tanggungjawab anggota PDRM,” katanya lagi.

Projek keceriaan ini merupakan projek usahasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis dan juga IM4U Malaysia.

Bersempena program SMART itu juga akan diadakan Majlis Majlis Perasmian Karnival Sedekad SUKSIS UniMAP yang akan disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

 

 

Pauh Putra, 22 Februari 2017 – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menganjurkan Program Youngpreneurs Go! (YPGo) SSM 2017 di Dewan Kecemerlangan UniMAP, Kampus Pauh Putra pada 24 dan 25 Februari ini.

Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UniMAP, Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin berkata penganjuran program YPGo SSM 2017 diadakan di UniMAP selepas menerima kunjungan Pengerusi SSM, Dato’ Sri Jamil Salleh yang juga  Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Penganjuran ini adalah hasil lanjutan program wacana sosial Dato’ Sri Jamil yang pertama di UniMAP dan sebelum itu beliau dilantik sebagai CEO@Faculty bagi UniMAP pada Mei tahun lalu.

“Program YPGo SSM 2017 ini bertujuan memberi pendedahan sekaligus menggalakkan mahasiswa menceburi bidang keusahawanan sekalipun mereka mengikuti pengajian dalam bidang lain,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Program dua hari berkenaan bakal dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor UniMAP.

Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong dan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dijadualkan turut hadir ke majlis perasmian yang diadakan pada 27 Februari ini.

Dr Rezuwan berkata, antara pengisian program YPGo SSM 2017 ini adalah dengan memberi peluang kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi sekitar Perlis menjalankan perniagaan sepanjang program itu berlangsung.

“Sebanyak 41 gerai jualan dibuka khas untuk pelajar berniaga serta lima buah ‘food truck’ turut mengambil bahagian sekaligus memberi pendedahan kepada pelajar dengan aktiviti perniagaan yang pelbagai.

“Selain itu, antara program menarik yang akan berlangsung adalah taklimat bersama Ikon Usahawan selebriti tanah air seperti Elfira Loy dan Fizo Omar, seminar keusahawan, taklimat daripada agensi-agensi berkaitan keusahawanan serta aktiviti riadah seperti Treasure Hunt,” kata beliau.

Selain memberi pendedahan mengenai keusahawanan, antara objektif program YPGo SSM 2017 itu adalah bagi mempromosikan pendaftaran perniagaan kepada pelajar IPT secara percuma.

Terdahulu, kerajaan telah memperuntukkan geran khas sebanyak RM10 juta yang disalurkan melalui SSM dalam tempoh 10 tahun untuk tujuan berkenaan.

Kuala Lumpur, 18 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya meraih kejayaan 100 peratus pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2017 yang berlangsung pada 16 hingga 18 Februari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) UniMAP, Prof. Dr. Syed Alwee Al Junid Syed Junid berkata, menerusi pertandingan tersebut, delegasi UniMAP berjaya memenangi tiga pingat emas, tujuh pingat perak dan sembilan pingat gangsa.

Selain itu, UniMAP turut berjaya meraih satu Anugerah Merit menerusi Prof. Madya. Dr. Zainab Hamzah.

“Adalah sesuatu yang membanggakan apabila ketiga-tiga produk yang meraih pingat emas turut mendapat Anugerah Penyelidik Terbaik dan Anugerah Khas Antarabangsa.

“Anugerah Penyelidik Terbaik dianugerahkan kepada penyelidikan Robust Green Composite Solder Paste hasil inovasi Dr. Norainiza Saud serta produk Energy Management System Controller hasil penyelidikan Ir. Dr. Rosnazri Ali, ” katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam dan Penyampaian Anugerah MTE 2017, di sini semalam.

Sementara itu satu lagi produk penyelidikan UniMAP iaitu Portable Room Temperature Gas Sensor Utilizing r-Go hasil inovasi Dr. Muhammad Mahyiddin Ramli memperoleh Anugerah Khas dari Croatia.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Presiden, Persatuan Saintis Penyelidikan Malaysia (MARS), Dr. Wan Manshol Wan Zin.

Dr. Syed Alwee berkata, penyertaan UniMAP pada MTE 2017 lebih menumpukan kepada produk-produk yang dihasilkan penyelidik-penyelidik muda.

“Saya percaya dengan pendedahan yang diberikan ini akan dapat memupuk minat yang lebih mendalam terhadap bidang penyelidikan sekaligus akan dapat menghasilkan lebih banyak teknologi baharu selaras dengan hasrat kerajaan yang ingin untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020,” katanya lagi. Sementara itu, pada majlis yang sama, Prof. Dr. Syed Alwee Al Junid Syed Junid, dianugerahkan Anugerah Penyelidik Paling Menonjol (Outstanding Inventor Award) pada Malaysia Technology Expo(MTE) 2017.

Anugerah itu diberikan atas pencapaian beliau yang telah meraih pelbagai anugerah terbaik sepanjang menyertai MTE serta bagi menghargai sumbangan beliau yang sentiasa aktif membantu penyelidik untuk menyertai pertandingan penyelidikan seperti MTE.

MTE 2017 merupakan ekspo penyelidikan tahunan anjuran MARS.

Ia mempertandingkan lebih 300 produk dari dari kolej, politeknik, universiti dan sekolah dari dalam dan luar negara.