Subang, 18 September – Dua pasukan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengungguli Kejohanan Tenpin Boling Terbuka UniMAP/CEN-D 2017 apabila mencatatkan jatuhan pin tertinggi keseluruhan mengatasi 55 pasukan lain yang mengambil bahagian pada kejohanan selama tiga hari yang berakhir semalam.

Dalam kejohanan tersebut, pasukan UniMAP CEN-D yang diwakili oleh Nurakmal Ramli, Mohd. Zul Fauzi Mohd. Sawal dan dan Mahadzir Ali membuat 6,321 jatuhan pin untuk muncul juara keseluruhan sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM8,000.

Pasukan UniMAP Utagha pula yang turut dibarisi oleh Nurakmal, Mohd. Zulfauzi dan Mohd. Bakri Hussin menduduki tempat kedua dengan 6,316 jatuhan pin manakala pasukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang diwakili oleh Kang Bo Long, Wan Syahmi Razin dan Dzikri Adam di tempat ketiga dengan 6,245 jatuhan pin.

Kedua-dua pasukan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM4,000 dan RM2,000 yang disampaikan oleh Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal pada majlis penutup di Ampang Superbowl, The Summit USJ di Subang Jaya di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Minda Teguh Trading yang mengeluarkan produk kesihatan CEN-D dan merupakan penaja kejohanan, Azizi Ali serta Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Suhizaz Sudin.

Kejohanan disertai oleh lebih 200 pemain dari 55 pasukan mengambil bahagian termasuk pasukan-pasukan ternama antaranya pasukan dari SUKMA negeri-negeri, Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Bandaraya serta pasukan dari Universiti.

Permainan adalah berkonsepkan trio di mana setiap pasukan terdiri dari tiga pemain akan mengambil bahagian dalam acara individu, berpasangan serta tiga sepasukan yang dijalankan mengikut blok-blok yang telah ditetapkan.

Pemenang keseluruhan akan dikira berdasarkan jatuhan pin tertinggi bagi kesemua acara, manakala pemenang bagi setiap kategori acara yang dipertandingkan turut menerima hadiah berasingan.

Kejohanan turut disertai oleh 30 pemain dari pasukan media yang mengambil bahagian dalam kategori jemputan khas yang berlangsung sebelum majlis penyampaian hadiah.

Mohd. Jamilul Anbia Md. Denim, dari Harian Metro mengungguli kategori media dengan jatuhan 393 jatuhan pin; Boyd Madsam dari RTM di tempat kedua dengan  360 jatuhan pin manakala Rikiman Yusof dari KOSMO di tempat ketiga dengan 349 jatuhan pin.

 

PAUH PUTRA, 18 September – Seramai lapan pelajar dari pelbagai program pengajian di Nahda University Mesir dipilih menyertai program Inbound Mobiliti di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini yang berlangsung selama dua minggu mulai 17 Ogos lalu.

Kesemua pelajar terbabit merupakan pelajar tahun tiga dan empat program pengajian Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Senibina dan Kejuruteraan Komunikasi Komputer di universiti terbabit.

Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UniMAP, Dr. Noorhafiza Mohamad, berkata, pelaksanaan program itu adalah susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang telah dimerterai antara UniMAP dengan Nahda University.

Ujar beliau, selian memberikan pendedahan kepada pelajar tentang kualiti pengajaran dan pembelajaran di UniMAP, program tersebut juga merupakan sebahagian dari inisiatif keterlihatan UniMAP di peringkat antarabangsa.

UniMAP amat proaktif dalam menyerlahkan keterlihatannya di mata dunia, justeru program ini adalah usaha yang dilakukan dengan membabitkan penglibatan pelajar antarabangsa.

“Antara PPK yang terlibat adalah Komputer dan  Perhubungan, Mekatronik, Alam Sekitar serta Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan  Teknousahawan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu Pembantu Pengajar di Jabatan Kejuruteraan Awam, Nahda University, Mostafa Mahmoud Yasen Radwan, berkata, kursus yang ditawarkan adalah releven dengan keperluan pelajar yang sedang mengikuti program pengajian di Nahda University.

“Pelajar juga tidak sabar untuk melawat beberapa tempat di Malaysia. Walaupun, negara ini agak panas seperti di negara mereka, ianya tidak menjadi halangan untuk menikmati keseronokan berada di sini,” katanya.

Antara pengisian program ialah pelajar diwajibkan mengikuti kursus-kursus ilmiah selain diberi peluang untuk melawat sekitar Negeri Perlis, Kedah dan Kuala Lumpur untuk memberikan pendedahan terhadap budaya dan kehidupan rakyat Malaysia.

Ujar Mostafa lagi, program tersebut diharapkan akan dapat meningkatkan hubungan yang erat di antara UniMAP dan Nahda University, dalam pertukaran ilmu serta pengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran di kalangan pelajar dan juga staf kedua-dua universiti.

PAUH PUTRA, 18 September– Peluang untuk menyertai Asia Summer Program (ASP) memberikan pengalaman yang amat berharga buat 14 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang berkampung selama tiga minggu di Guangdong University Of Foreign Studies, Guangzhou, China baru-baru ini.

Sepanjang program tersebut, peserta berpeluang menjalani pengalaman persekitaran antarabangsa yang membolehkan mereka mempelajari secara langsung kepelbagaian budaya di Asia.

Bagi Ellina Yasmin Yusri, pelajar tahun tiga Kejuruteraan Fotonik, berkata, sepanjang mengikuti program tersebut, beliau dapat memahami dan mengenali dengan lebih dalam mengenai budaya negara-negara Asia melalui pelajar-pelajar negara lain.

“Peluang menyertai ASP 2017 dimanfaatkan sebaiknya oleh saya dan rakan-rakan kerana dapat merentasi dan memahami budaya rakan-rakan dari negara yang berbeza.

“Bagi saya program ini telah memberi impak positif terhadap diri saya dan berharap agar UniMAP akan terus mengambil bahagian dalam program ini di masa akan datang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu bagi Ng Wei Bin, pelajar tahun tiga Kejuruteraan Bioperubatan Elektronik melahirkan penghargaan terhadap UniMAP kerana memberikan peluang kepadanya bagi menyertai ASP 2017.

“Saya berasa bangga kerana dapat mewakili UniMAP dan negara untuk berkongsi dan menyampaikan unsur kebudayaan serta  keunikan Malaysia di peringkat antarabangsa seperti ini.

“Saya amat yakin bahawa pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya peroleh daripada program ini terutama daripada tenaga pengajar yang berbeza latar belakang negara telah memberi manfaat dan pengajaran yang berfaedah untuk dikongsi bersama rakan-rakan di Malaysia pula,” katanya.

ASP yang merupakan program berkonsepkan mobiliti berkredit berlangsung selama tiga minggu membabitkan pelajar –pelajar universiti merangkumi kursus-kursus yang relevan yang diajar oleh tenaga pengajar terkemuka dari setiap universiti.

Untuk rekod, ASP menjadi ahli gabungan Asian University Presidents Forum (AUPF) pada tahun 2013, apabila AUPF tahunan ke- 12 telah diadakan di UniMAP.

Perwakilan dari 68 institusi di 17 buah negara, dan secara umumnya dipersetujui bahawa pemimpin pendidikan tinggi di Asia harus berusaha untuk mempromosikan program yang bertujuan untuk membangunkan kompetensi berbilang bahasa, meningkatkan pemahaman kepelbagaian budaya, dan memupuk kebolehan kreatif.