PAUH PUTRA, 31 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menjadi tuan rumah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Universiti Awam (UA)  yang akan berlansung selama tiga hari di Dewan Ilmu, Kampus UniMAP Pauh Putra, di sini.

Pengerusi Bersama KIK UA Ke-13, Prof. Madya Dr. Idris Md Noor berkata, konvenseyen yang bermula 1 hingga 3 Ogos itu itu disertai 39 pasukan pasukan dari 20 buah UA.

“Semua 39 pasukan akan mempertandingkan projek KIK mereka pada konvensyen kali ini antaranya Universiti Teknologi MARA (UiTM) , Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia terengganu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin, dan dan tuan rumah UniMAP.

“Penyertaan terbesar adalah dari UiTM yang menghantar lima pasukan dari lima cawangan iaitu  Kelantan, Kedah, Perlis, Perak dan Selangor,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ujar beliau lagi,  Johan, naib johan dan tempat ketiga akan membawa pulang hadiah masing-masing berupa wang tunai RM6,000, RM4,000, RM2,000 bersama trofi dan sijil penghargaan.

Majlis Perasmian Penutup KIK UA Ke-13 akan disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus.

Konvensyen KIK merupakan program tahunan utama UA dan ia mula dianjurkan pada 2004.

Tanjung Malim, 30 Julai -  Pasukan olahraga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memulakan aksi cemerlang pada Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti-universiti Malaysia (SUKUM) Ke-42 apabila muncul juara keseluruhan acara olahraga melalui pungutan 15 pingat emas daripada 44 pingat emas yang dipertandingkan.

Kejayaan tersebut membolehkan UniMAP mengekalkan kuasa olahraga universiti-universiti Malaysia apabila mengekalkan kejuaraan untuk kali ke-10 berturut-turut semenjak tahun 2008.

Ketua Kontinjen UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan berkata,  kejayaan pasukan olahraga UniMAP diharap mampu mencetuskan semangat untuk pasukan-pasukan lain meneruskan aksi gemilang dalam acara permainan yang sebahagian besarnya akan bermula esok.

“Alhamdulillah, pasukan olahraga UniMAP masih meneruskan pencapaian cemerlang tahun ini dan saya berharap pencapaian ini akan menjadi titik permulaan untuk atlit UniMAP meneruskan pencapaian cemerlang ini.

“Dengan sistem pungutan pingat secara terbuka yang dilaksanakan oleh tuan rumah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun ini, UniMAP optimis dalam mencapai misi juara keseluruhan SUKUM untuk kali ke-10 tahun ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pasukan olahraga UniMAP turut meraih enam pingat perak dan empat pingat gangsa mengenepikan saingan pencabar terdekat Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat kedua dengan tujuh pingat emas, lapan pingat perak dan enam pingat gangsa.

Universiti Malaya (UM) pula menduduki tempat ketiga dengan lima pingat emas, empat pingat perak dan tiga pingat gangsa.

Mohd. Fo’ad berkata, seperti diramalkan, UniMAP menggungguli acara 100 dan 200 meter apabila meraih empat pingat emas bagi kategori lelaki dan wanita senior menerusi atlitnya Mohd. Helmi Awang dan Nurhaslinda Md. Hussin selain turut meraih emas bagi acara 100 meter wanita veteran menerusi Dr. Shuhaida Yahud.

Mohd. Helmi ujar beliau turut membantu pasukan kuartet 4x100 meter dan 4x400 meter lelaki senior menyumbangkan dua lagi pingat emas buat kontinjen UniMAP yang turut dibarisi tiga bekas atlit elit negara, Mohd. Robani Hassan, Muhammad Idris Zakaria dan Mohamad Baihaqi Razlan.

“Turut menyumbang pingat emas buat kontinjen UniMAP ialah kuartet 4x100 meter wanita senior, atlit 800 dan 1,500 meter wanita senior, 400 meter lelaki dan wanita senior, lontar peluru lelaki senior, lempar cakera lelaki senior dan lompat jauh lelaki senior,” katanya.

Kejohanan SUKUM Kali Ke-42 disertai oleh lebih 2,500 peserta dari 20 Universiti Awam (UA) seluruh negara serta kontinjen dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

PAUH PUTRA, 28 Julai  - Hasrat mulia tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma untuk berkongsi keindahan lautan bersama insan yang kurang bernasib baik membolehkan mereka muncul juara keseluruhan  (Best Of The Best) pada Perlis Makers Day 2017.

Produk yang dinamakan Bild Ozean atau imej lautan, ciptaan Shautul Wafie Arizal, 13, Nur Wafaa Aqilah Mohd Ridzuan, 14 dan Nur Hidayatul Akma Badri 14 antara lainnya membolehkan imej di lautan direkodkan dengan menggunakan kamera yang diletakkan pada alat tersebut.

Ketua kumpulan, Shautul Wafie Arizal berkata, idea untuk mencipta produk tersebut muncul melalui minat beliau sendiri yang sukakan pemandangan laut.

“Idea ini, seterusnya disuarakan kepada mentor dari Universiti Malysia Perlis (UniMAP) dan mereka bersetuju untuk membantu dalam penciptaan produk ini sebagaisatu medium untuk berkongsi keindahan imej hidupan laut bersama insan yang kurang bernasib baik.

“Kami amat berterima kasih kepada guru dan mentor yang banyak membantu sehingga produk kami berjaya meraih kemenangan pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Perlis Makers Day 2017, di sini baru-baru ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi  dan  Kepenggunaan Perlis, Asmaiza Ahmad.

Yang turut hadir, Dekan Pusat Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Syed Alwee Aljunid Syed Junid dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Komputer dan Perhubungan UniMAP, Prof. Madya Dr. Azremi Abdullah Al-Hadi.

Perlis Makers Day 2017 dianjurkan secara bersama oleh PPK Komputer dan Perhubungan UniMAP, 1M4U, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Institut Kejuruteraan Nano Elektronik UniMAP dan Chumbaka Sdn. Bhd.  

Pertandingan ini dianjurkan khusus untuk para pelajar tingkatan satu  hingga empat mengetengahkan idea masing-masing sebagai satu inisiatif  menggalakkan pendidikan dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan generasi muda.

Perlis Makers Day disertai oleh 8 buah sekolah di negeri Perlis membabitkan penyertaan sekitar 128 orang yang mewakili 32 kumpulan. Pertandingan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu makanan dan pertanian, automotif/mobility, kesihatan, rumah dan perlindungan, peralatan berat dan mesin serta peruncitan.

Pemenang pertandingan ini akan mewakili negeri ke National Makers Day yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada awal Ogos nanti.

Kangar, 26 Julai – Pasukan Tenpin Boling Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta kejutan apabila meraih pingat emas bagi acara tenpin bolingberpasukan lelaki pada kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) yang berlangsung di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), baharu-baharu ini. 

Lebih membanggakan apabila pasukan UniMAP yang dibarisi pemain amatur itu berjaya menumpaskan nama-nama besar dalam acara tersebut apabila berjaya menewaskan Bank Simpanan Nasional (BSN) ditempat kedua selepas melakukan 9,201 jatuhan pin.

Pasukan pilihan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang turut dibarisi beberapa atlit Malaysia terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Ketua Kontinjen yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, kejayaan tersebut adalah sesuatu yang sangat mengujakan apabila melihat kesungguhan dan semangat berpasukan yang dipamerkan oleh para pemain UniMAP

“Ianya lebih bermakna apabila kedua-dua pemain kita iaitu Nurakmal Ramli dan Mohd Zul Fauzi Mohamed Sawal  telah menduduki tempat pertama dan kedua bagi acara all event perseorangan lelaki sekaligus menewaskan pemain Malaysia di tempat ketiga dengan perbezaan 76 jatuhan pin,” katanya ketika dihubungi.

Kejohanan SUKANUN yang dihoskan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Melaka disertai oleh lebih 2,000 atlit yang mewakili Agensi Badan Berkanun di seluruh negara.

Sebanyak 21 acara dipertandingkan pada kejohanan tersebut antaranya badminton, bola sepak, bola jaring, boling padang, catur, dart, futsal, golf dan ping pong.

Menurut Mohd. Fo’ad, UniMAP hanya menghantar kontinjen kecil ke kejohanan tersebut bagi menyertai dua acara iaitu tenpin boling dan golf.

Beliau optimis, dengan kejayaan yang diraih oleh pasukan tenpin boling UniMAP di kejohanan SUKANUN ini akan membakar semangat atlit UniMAP untuk terus melakar kejayaan cemerlang pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti (SUKUM) 2017 yang akan berlangsung beberapa hari lagi.

UniMAP sememangnya memberi fokus utama kepada kejohanan SUKUM 2017 yang akan berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mulai 28 Julai ini, dan atas dasar itulah, hanya dua pasukan yang dihantar mengambil bahagian pada kejohanan SUKANUN.

“Misi kami adalah untuk memburu kejuaraan kali ke-10 di kejohanan SUKUM akan datang,” ujar beliau.

Kuala Lumpur, 24 Julai – Ahli Lembaga Pengarah MIMOS Semiconductor (M) Sdn. Bhd., Dato’ Dr. Mohd. Sofi Osman dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa pada 1 Julai 2017 hingga 30 Jun 2020.

Lantikan dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu adalah bagi menggantikan Dato’ Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainai Bin Mohamed yang memegang jawatan tersebut mulai 1 Julai 2012 – 30 Jun 2017.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, warga UniMAP keseluruhannya mengalu-alukan pelantikan tersebut memandangkan Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman bukanlah satu nama asing bagi UniMAP.

“Beliau merupakan Ahli LPU Universiti dan saya percaya, beliau akan terus bersama-sama pentadbiran Universiti dalam memacu kegemilangan UniMAP kearah antara 500 universiti terbaik di dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Tugas Pengerusi LPU Di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir, mantan LPU UniMAP, Dato’ Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainai Mohamed; ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti; dan pengurusan tertinggi universiti.

Tambah Dato’ Zul Azhar lagi, beliau yakin dengan barisan LPU yang baharu ini, UniMAP akan terus mencatatkan pelbagai kejayaan membanggakan di masa akan datang. Semoga UniMAP juga mampu menjadi universiti terbaik tanpa mengenepikan nilai intergriti.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk bekerja bersama-sama Pengerusi dan Ahli-Ahli LPU yang lama dan baharu demi kegemilangan UniMAP.

PAUH PUTRA, 23 Julai –Kelab Diploma Pelajar Universiti Malaysia Perlis (DiReC UniMAP) dengan kerjasama Pusat Pengajian Diploma (PPD), Majlis Penghuni Kolej Kediaman UniCiti Alam dan Majlis Perwakilan Pelajar 2016/2017 UniMAP telah menganjurkan 'UniCiti Game On 2017.

Program selama sehari itu melibatkan 132 orang pelajar dari tahun satu  hingga tahun tiga PPD dan antara aktiviti sepanjang program tersebut adalah permainan atas talian DOTA, Pro Evolution Soccer 2017, Counter Strike.

Selain itu, permainan yang melibatkan aktiviti fizikal turut diadakan seperti street soccer, gusti lengan dan melukis henna.

Majlis Perasmian Penutup 'UniCiti Game On 2017’ disempurnakan Penasihat DiReC UniMAP,  Pubalan Nadaraja yang  mewakili Dekan Pusat Pengajian Diploma (PPD) Prof. Madya Dr Hakimah Osman.

“Ini merupakan program ke – 14 anjuran DiReC UniMAP yang bertujuan bagi mengeratkan hubungan sesama pelajar Diploma,” kata Pubalan ketika menyampaikan ucapan penutup program tersebut.

Turut hadir, Pengetua Kolej Kediaman UniCiti Alam Tuan Syed Akhmal Syed Jamalil.

Kangar, 21 Julai – Dua buah sekolah, Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Putra dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah (Al-Maad) bakal membawa cabaran Perlis ke World Invention Creativity Contest (WICC) edisi keenam yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Julai ini di Seoul Korea.

SRK Putra menerima penajaan penuh berjumlah RM10,000 daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) susulan kejayaan penyelidik cilik dari sekolah berkenaan menjuarai pertandingan Perlis Engineering Research & Learning Innovation Symposium (PERLIS) 3.0 menerusi produk ``Solar Cat Feeder” yang berlangsung Mei lalu dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra.

Manakala SMA Al-Maad pula menerima penajaan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah serta Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) UniMAP serta Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dan bakal diwakili oleh enam pelajar dan empat guru pengiring.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, UniMAP sentiasa menganjurkan pelbagai program serta aktiviti penyelidikan dan inovasi khusus bagi meningkatkan minat pelajar untuk menyertai aliran berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan pelajar sekolah.

Ujar beliau, ia juga secara tidak langsung merupakan khidmat sosial universiti khususnya bagi membolehkan sasaran Dasar 60:40 yang dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah pelajar aliran sains sebanyak 60 berbanding 40 peratus pelajar bukan sains.

 “Berdasarkan statistik tahun 2014, terdapat sekitar 46 peratus pelajar yang memilih aliran STEM di seluruh negara dan jika dilihat di peringkat negeri Perlis, jumlah yang mengambil aliran STEM masih jauh ketinggalan iaitu sekitar 25 peratus.

“Justeru, melalui aktiviti sebegini, adalah menjadi harapan UniMAP agar ianya dapat menyuburkan minat pelajar untuk mendalami ilmu STEM ini. Pelajar-pelajar diberi bimbingan untuk menterjemahkan idea penyelidikan masing-masing oleh tenaga pengajar dari semua Pusat Pengajian Kejuruteraan yang ada di UniMAP,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Jamuan Aidilfitri Pejabat Naib Canselor (PNC) UniMAP di Bangunan KWSP di sini hari ini. Pada majlis tersebut, kesemua pelajar dan guru menerima sumbangan cenderahati dan saguhati untuk perbelanjaan di Korea.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan dan Pendaftar UniMAP, Zuber Haji Mohamad.

WICC yang dianjurkan oleh Korea University Invention Association (KUIA) merupakan platform penyelidikan khusus yang menghimpunkan inovasi para pelajar dari sekolah-sekolah di seluruh dunia.

Pertandingan tersebut akan berfungsi sebagai medium pendidikan interaktif dalam mewujudkan peluang untuk pelajar memperoleh inspirasi inventif dan inovatif melalui interaksi di kalangan peserta.

PAUH PUTRA, 20 Julai – Prestasi penjawat awam sering dinilai oleh masyarakat dan di zaman moden ini, ia begitu mudah disebarkan terutamanya menerusi media sosial.

Bagi memperkukuhkan kepercayaan dan menambahbaik Perkhidmatan Awam Jabatan (JPA) telah memperkenalkan  Dasar Pemisah atau Exit Policy demi penambahbaikan perkhidmatan awam pada masa depan.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kejayaan sesebuah organisasi dalam perkhidmatan awam adalah usaha bersama dan bergantung kepada setiap individu yang ada dalam perkhidmatan awam.

“Kita telah melihat beberapa contoh bagaimana nama perkhidmatan awam sedikit sebanyak telah tercemar akibat dari salah laku yang telah dilakukan oleh segelintir penjawat awam, walaupun mereka yang melakukannya bukan di dalam organisasi kita.

“Amalan rasuah, salah guna kuasa, cuai dan tidak beradab ketika menjalankan tugas adalah beberapa isu yang sering dan pernah dihebahkan di media massa,”katanya ketika berucap pada Taklimat Pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) UniMAP, di  Dewan Kecemerlangan, Kampus Induk, Pauh Putra, di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Cawangan Dasar dan Perundingan Bahagian Perkhidmatan JPA, Hasmarulaini Omar dan Penolong Pengarah  Bahagian Pengurusan Psikologi JPA, Mohd Noor Ikhram Husin.

Ujar beliau lagi, penjawat awam juga, hendaklah sentiasa peka dengan segala pekeliling dan arahan yang dikeluarkan JPA.

“Pelaksanaan Dasar Pemisah ini adalah merujuk kepada pegawai yang penilaian prestasi terkini berada pada tahap kurang daripada 60 peratus walaupun prestasi tahun-tahun sebelumnya melebihi 60 peratus.

“Dasar ini akan dilaksanakan melalui penamatan perkhidmatan demi kepentingan awam di bawah peraturan 49 P.U. (A) 395/1993 dan kemudian dibersarakan. Saya yakin tiada warga UniMAP yang akan terjatuh dalam kategori ini dan mengekalkan kecemerlangan dalam setiap kerja yang dilakukan,”katanya.

Pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) bagi pegawai yang berprestasi rendah dalam Perkhidmatan Awam dan pelaksanaan pekeliling ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti Kali Ke-56 Bil.2/2017 yang lalu.

Melalui pekeliling itu, pihak kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan untuk mengeluarkan pegawai berprestasi rendah daripada Perkhidmatan Awam.

“Sebagai warga UniMAP yang senantiasa berdedikasi dan komited, anda tidak perlu bimbang terhadap pelaksanaan Dasar Pemisah kerana dasar ini telah dirancang dengan teliti menerusi penilaian yang adil dan telus bagi memastikan tidak ada pegawai kerajaan yang teraniaya,”ujarnya lagi.

 

Kangar, 19 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyasarkan juara keseluruhan Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) 2017 buat kali ke sepuluh berturut-turut yang bakal berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 28 Julai hingga 5 Ogos 2017.

Perkara tersebut disuarakan oleh Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal ketika menyampaikan amanat kepada kontinjen UniMAP yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan di sini, pagi tadi.

Menurut Prof. Dr. Zul Azhar, beliau percaya kejuaraan Kejohanan Sukan Antara Staf 2017 akan menjadi milik UniMAP buat kali ke 10 berturut-turut.

“Dengan kekuatan kontinjen seramai 151 orang,  kita menyasarkan 30 pingat emas, 15 perak dan 10 gangsa pelbagai acara seperti futsal, tenpin boling, olahraga, basikal, tenis, bola jaring, golf, petanque, memanah, catur dan bola tampar.

“Walaupun tahun 2017 adalah tahun yang agak sukar dengan kekangan kewangan dan kekurangan atlet tetapi saya tetap berbangga kerana kita cuba mengatasinya dan percaya kejuaraan Kejohanan SUKUM 2017 akan menjadi milik kita buat kali ke 10 berturut-turut,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu adalah pengurusan tertinggi UniMAP terdiri daripada Timbalan Naib Canselor, Pendaftar dan juga Bendahari UniMAP.

Selain itu, beliau turut berpesan kepada para atlet untuk menjaga nama baik UniMAP di samping menitikberatkan permainan yang adil (fair play).

“Saya berharap agar kontinjen UniMAP akan menjaga tingkah laku semasa kejohanan berlangsung dan membina jalinan hubungan dan persahabatan bersama atlet universiti awam lain.

“Atlet UniMAP juga seharusnya menjadi role model kepada univerisiti awam yang lain dan tidak sama sekali menggunakan barang terlarang seperti dadah semasa kejohanan ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, selain SUKUM 2017 turut bakal berlangsung adalah Kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) pada 21 hingga 26 Julai 2017 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan UniMAP menghantar atlet bagi dua acara iaitu Golf dan Boling dan kedua-dua acara ini dijangka akan meraih pingat emas.

Kangar, 14 Julai - Seramai 53 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Kanak-Kanak (RKK) Arau telah diraikan dalam satu majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini semalam.

Dekan IMK UniMAP, Dr. Muhammad Zaini Ahmad berkata program tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti universiti yang dikendalikan oleh Kelab Kebajikan IMK yang dianjurkan buat julung kalinya.

Ujar beliau, antara objektif utama penganjuran majlis yang berlangsung di RKK Arau itu ialah untuk mengeratkan silaturrahim dalam kalangan staf IMK dan juga anak-anak yang kurang bernasib baik di samping berkongsi kegembiraan menyambut Aidilfitri.

“Selain itu, program ini juga merupakan platform terbaik untuk staf menonjolkan kebolehan kerja berpasukan, kemahiran pengurusan dan keusahawanan serta kebolehan berfikir secara kreatif dan inovatif.

“Semoga jalinan kerjasama seperti ini menjadi titik permulaan kepada pelbagai lagi program kerjasama antara IMK UniMAP dan RKK,” ujarnya ketika berucap di majlis perasmian Majlis Sambutan Aidilfitri IMK UniMAP – RKK di sini.

Yang turut hadir adalah Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Mohd.Hazam Ismail; Pengetua Rumah Kanak-Kanak (RKK), Anies Suzana Azhan Ahamad.

Selain disajikan dengan pelbagai juadah hari raya, penghuni RKK juga turut  menerima sumbangan duit raya serta menjayakan pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang program berlangsung.

Pauh Putra, 19 Jun- Mungkin ramai yang tidak sedar dalam ketenangan rakyat Malaysia tidur lena sepanjang malam, ada insan yang bersengkang mata, meninggalkan anak isteri bagi memastikan kita hidup dalam keadaan aman damai.

Sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya mengingati serta menghargai jasa angkatan tentera yang berkorban apa sahaja demi memastikan negara kekal aman dan selamat.

Atas dasar itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), melalui Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) menganjurkan Kursus Bahasa Inggeris dan Pengenalan Bahasa Tagalog sebagai simbolik penghargaan atas segala jasa pasukan keselamatan Malaysia.

Pengarah CIL UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon berkata, program tersebut yang julung kali dianjurkan membabitkan kerjasama Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4RRD).

“Sebelum ini kita tidak mempunyai saluran untuk menganjurkan program seperti ini. Dengan kelebihan yang kami ada (guru bahasa) penganjuran kursus ini saya kira merupakan satu sumbangan kecil UniMAP kepada pasukan keselamatan kita.

“Prorgam komuniti seperti ini juga merupakan hasrat Naib Canselor  yang inginkan UniMAP  memperbanyakkan  aktiviti yang dapat membantu masyarakat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ujar beliau lagi, selian dari mengajar bahasa Inggeris dan Tagalog kepada anggota tentera, tenaga pengajar juga dapat mempelajari sesuatu dari pengalaman yang dikongsi anggota keselamatan itu.

“Ini merupakan salah satu program pembelajaran dua hala dimana kedua-dua pihak boleh berkongsi ilmu-ilmu baharu yang saya percaya bukan mudah untuk orang awam mengetahuinya dari pihak tentera,” katanya lagi.

Sementara itu bagi Pegawai Gerakan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja, Mejar Mohd Nazrin  Hamid, berkata, peluang itu merupakan satu pengalaman baharu tentera untuk belajar bersama pensyarah universiti.

“Sebelum ini kita tidak pernah terlibat dengan program atau kelas bersama orang awam kerana dalam angkatan tentera juga mempunyai Kor Pendidikan dimana tenaga pengajarnya juga dari kalangan tentera.

“Kelas ini merupakan persediaan untuk latihan bersama anggota tentera Filipina yang dijadualkan awal Oktober nanti untuk misi Eksesais Land Malphi Siri 18/2017,”katanya.

Ujar  Mohd Nazrin  lagi, latihan bersama anggota tentera dari negara luar menuntut anggota tentera kita  untuk berkomunikasi menggunakan bahasa selain dari bahasa Melayu, justeru kelas persediaan Bahasa Ingeris dan Tagalog seperti itu amat berguna kepada mereka.

 “Untuk kelas kali ini, kita menggabungkan pegawai-pegawai dari pelbagai peringkat, kerana kebanyakkan latihan  akan melibatkan tentera dari luar negara.

“Saya berharap pihak UniMAP sudi untuk mengadakan lagi kelas seperti ini, untuk memberikan suasana baharu kepada anggota-anggota belajar di luar suasana kem,”katanya lagi.

Kelas yang berlangsung selama lima hari itu disertai seramai 50 anggota 4RRD bermula 13 sehingga 17 Jun lalu di UniMAP Kampus Pauh Putra.  Kelas tersebut dikendalikan oleh lima staf CIL termasuk seorang staf antarabangsa dari Filipina.

Sesi pembelajaran akan memberi tumpuan kepada kemahiran pertuturan, pendengaran dan kerja berkumpulan, supaya dapat membantu pegawai tentera melaksanakan misi tersebut dengan lebih efisyen dan efektif.

PAUH PUTRA, 3 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mensasarkan empat pingat emas pada Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2017 yang akan berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 7 hingga 22 Julai nanti.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kontinjen UniMAP menghantar 10 penyertaan bagi acara Olahraga, Tenpin Boling, Sepak Takraw, Tenis, Ragbi 15 sebelah, Bola Tampar, Taekwondo, Karate Do, Bola Keranjang  dan Bola Baling .

“Tahun lalu, kita gagal memenangi sebarang pingat emas dan hanya berpuas hati dengan enam perak dan lima gangsa bagi acara woodball dan karate-do. Dengan persiapan rapi yang dibuat pada tahun ini, kita harapkan acara-acara yang kita sasarkan mampu menyumbang emas untuk kontinjen UniMAP.

“Antara acara yang kita sasarkan emas adalah tenis, olahraga, taekwando, dan bola keranjang, saya berharap dengan adanya sasaran ini, para atlet akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UniMAP di Bilik Seminar PFI 2, Kampus UniMAP, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP  Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Pengarah Pusat Sukan UniMAP,  Suhizaz Sudin.

Beliau berharap agar para atlet menunjukkan prestasi yang terbaik dan menjadikan MASUM 2017 sebagai platform dalam melahirkan atlet-atlet UniMAP yang berpotensi untuk ditonjolkan ke peringkat antarabangsa.

“Inilah semangat yang perlu dipupuk, iaitu bukan sekadar bertanding atas prestasi selaku wakil universiti semata-mata, tetapi paling penting bersaing bagi melayakkan diri dalam pasukan kebangsaan dan akan membawa cabaran lebih besar di peringkat serantau dan antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik,” katanya lagi.

 

Pauh Putra, 21 Jun - Dalam kemeriahan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, faktor keselamatan perlulah dititikberatkan termasuklah dalam aspek pemanduan dan keselamatan rumah ketika di musim perayaan.

Dalam usaha menasihati warganya yang bakal pulang berhari raya, Jabatan Keselamatan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontijen Perlis, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Perlis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis menganjurkan Kempen Selamat : Harta Benda Selamat, Selamat Tiba Ke Destinasi.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamarudin berkata, kempen itu mempunyai dua objektif utama iaitu untuk memberi kesedaran dan panduan mengenai keselamatan harta benda baik di rumah mahupun di pejabat serta  keselamatan di jalanraya.

“Kempen ini dilihat perlu diadakan diperingkat UniMAP kerana  kapasiti kepadatan warganya sudah mencecah seramai 15,000 orang dengan jumlah 13,000 pelajar dan 2000 staf.

“Dan daripada jumlah itu, sebanyak 2,300 kenderaan yang berdaftar dengan UniMAP  dan kita menjangkakan sebanyak 40 peratus staf akan memandu meninggalkan pejabat serta kediaman pada musim perayaan ini,” katanya ketika berucap merasmikan kempen itu di Pintu Gerbang Utama, Kampus UniMAP, di sini baru-baru ini.

Turut Hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya. Dr. Mohd Foad Sakdan, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Kontinjen Perlis, Supritendan V.Raja A/L Vadivellu, Pengarah JKJR Negeri Perlis, Kalai Kumar A/L Periyasamy  dan Pengarah Jabatan Keselamatan UniMAP Datuk  Zull Aznam Haron.

Ujar beliau lagi, dalam suasana  musim perayaan dan cuti yang panjang, amatlah wajar pihak UniMAP mengadakan kempen secara bersama dengan PDRM, JPJ dan JKJR yang lebih arif dalam bidang masing-masing untuk disampaikan kepada seluruh warganya.

“Kami berharap agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan bukan saja warga UniMAP, malah masyarakat Perlis keseluruhannya,”katanya.

Pada kempen itu, semua staf dan pelajar UniMAP diberikan risalah mengenai aspek keselamatan serta makanan ringan untuk dibekalkan sepanjang perjalanan ke kampung nanti.

PAUH PUTRA, 23 Jun - Kemeriahan Aidilfitri semakin terasa, namun disebalik itu ada insan yang hanya menyambutnya ala kadar disebabkan kesempitan hidup yang dialami.

Terpanggil dengan  keadaan itu, Unit Pembangunan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan Persatuan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil inisiatif membantu golongan asnaf yang terpilih di negeri Perlis dan Kedah.

Timbalan Naib Canselor HEPA UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, semua sumbangan terbabit adalah hasil kutipan dari jabatan-jabatan dan warga UniMAP.

“Pada tahun ini kita dapat mengagihkan sumbangan kepada tujuh keluarga di sekitar Perlis dan Kedah yang berupa keperluan harian dan duit raya berjumlah RM300 sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

“Saya berharap agar sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga-keluarga ini untuk membuat persiapan menjelang hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Aidilfitri, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Dekan Pembangunan Alumni UniMAP, Dr. Ummi Naiemah Saraih dan Timbalan Presiden Persatuan Alumni UniMAP, Mohd Hafiz Arshad.

Sementara itu bagi salah seorang penerima, Ahmadi Hassan dari Kampung Lembah Keriang, Changloon, 37,  amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan kepada keluarganya.

“Saya amat berterima kasih kepada orang ramai yang sudi memberi sumbangan kepada keluarga kami selama ini.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban dalam menyambut hari raya yang bakal tiba nanti,” katanya.

Ahmadi yang tinggal bersama 14 orang saudara termasuk ibunya dalam sebuah rumah yang didirikan atas Tanah Rezab Kerajaan berkata, keluarganya amat berharap agar ada pihak yang bermurah hati untuk mendermakan sebuah rumah kepada mereka.

“Kakak saya yang lumpuh dan menghidap kanser payudara serta tiroid juga tinggal bersama kami,” katanya yang bekerja di sebuah kelab golf berdekatan dengan rumahnya.