Kangar, 28 Disember – Mantan Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Ustaz Hassan Arshad mewakafkan sebidang tanah miliknya berhampiran kawasan Mata Ayer di sini untuk pembangunan yang memberikan manfaat kepada warga kerja dan pelajar universiti keseluruhannya.

Beliau yang bersara dari perkhidmatan secara lantikan kontrak penghujung tahun 2016 yang lalu berkata, niat (wakaf) tersebut sebenarnya berpunca dari nazar yang telah dibuat semenjak pertengahan tahun 2000 yang lalu.

“Antara lainnya, saya bernazar, sekiranya ada sebuah Universiti Awam (UA) yang diwujudkan di negeri Perlis ini, saya akan mewakafkan sebahagian tanah pusaka yang saya miliki untuk pembangunan universiti tersebut.

“Pada asalnya, tanah ini adalah atas nama arwah ayah sebelum dipindahkan kepada tiga orang ibu saya yang kemudiannya menguruskan hal pertukaran nama tanah kepada nama saya tanpa pengetahuan saya yang ketika itu sedang menuntut di universiti.

“Atas kasih sayang mereka kepada saya, kini saya panjangkan kembali kasih sayang itu atas nama wakaf ini agar pahala dan kebaikan ini disalurkan kembali kepada ibu-ibu dan ayah saya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis Menandatangani Surat Ikatan Amanah Tanah Wakaf bersama UniMAP dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal manakala MAIPs diwakli oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

MAIPs akan bertindak sebagai Mutawali atau pemegang amanah manakala UniMAP bertindak sebagai pentadbir kepada tanah yang diwakafkan itu.

Sementara itu, Dr. Zul Azhar berkata, proses wakaf tanah itu merupakan satu pengalaman baharu kepada UniMAP terutama dalam memastikan pemberi dan penerima manfaat mengikut panduan dan syarat wakaf yang ditetapkan.

“Wakaf ini juga secara tidak langsung selaras dengan harsat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperluaskan wakaf pendidikan tinggi yang berpotensi besar menjadi sumber ekonomi dalam menjana pendapatan universiti yang mana ia juga mestilah dilaksanakan dengan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri terlibat.

UniMAP komited untuk mengurus serta mentadbir tanah ini dengan sebaik mungkin untuk memberikan kebaikan dan manfaat secara bersama kepada semua pihak,” ujarnya.

 Dalam pada itu, Ustaz Mohd. Nazim berkata, wakaf merupakan antara intrumen pelaburan yang paling menguntungkan dan tidak akan mendatangkan kerugian jika ditadbir dengan baik.

Ujarnya, malah menerusi aktiviti wakaf itu juga akan semakin menyuburkan dan menambahkan hasil sama ada sebagai di dunia atau juga sebagai saham dan bekalan maka di akhirat nanti.

Pauh Putra, 22 Dis  – Majoriti darah yang didermakan kepada tabung darah Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar adalah terdiri daripada penderma di kalangan warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Kenyataan itu dikongsi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Guar Sanji, Jafperi Othman yang juga ahli lembaga pengarah UniMAP (LPU) ketika forum Ilmuwan dan Masyarakat – bagai Aur dengan Tebing yang bertajuk Pengaruh UniMAP Dalam Pembangunan Negeri Perlis yang diadakan di sini, hari ini.

Jelasnya,  ia membuktikan bahawa UniMAP memberi pengaruh serta sumbangan yang cukup besar kepada pembangunan negeri terkecil di Malaysia itu menerusi program-program derma darah yang sering diadakan.

“Pembangunan UniMAP sejak penubuhannya turut merancakkan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat negeri ini sekaligus membawa banyak perubahan terutama dari segi pertumbuhan ekonomi, perkembangan peridustrian, prasarana serta perumahan,” kata beliau di forum anjuran Pejabat Majlis Profesor UniMAP dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN) yang dikendalikan Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Chang Peng Kee sebagai moderator forum.

Selain Jafperi, Ketua Kluster Perpaduan Nasional, MPN Prof Dr Mansor Mohd Noor, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad dan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi (iKOM) UniMAP yang juga motivator, Prof Madya Huzili Hussin adalah antara panel forum berkenaan dengan tajuk yang berbeza.

Ketua Pegawai Maklumat MPN, Prof Dr Ahmad Zaki Abu Bakar turut menyampaikan ucaptama bagi forum itu bertajuk Peranan Profesor dalam Pembangunan Masyarakat.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Datin Hazizah Wahab , Naib Canselor UniMAP Dato Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Pengerusi Majlis Profesor UniMAP Dato’ Prof Dr Ali Yeon Md Shakaff.

Terdahulu, Zul Azhar ketika menyampaikan ucapan aluan berkata ahli akademik yang diamanahkan membimbing pelajar merupakan para ilmuwan yang tanggungjawabnya lebih besar daripada sempadan kawasan kampus.

“Ilmu yang ada dalam diri mereka itu bukan milik mereka sahaja tetapi milik masyarakat setempat di mana mereka boleh menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk meningkatkan kualiti hidup anggota masyarakat.

“Ini mungkin dilakukan melalui projek-projek penyelidikan, khususnya apa yang disebut ‘translational research’, atau aktiviti-aktiviti langsung bersama masyarakat, “ kata beliau merujuk kepada antara sumbangan UniMAP kepada komuniti setempat.

Pauh Putra: Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) berjaya mengekalkan kejuaraan dua kali berturut-turut  pada Kejohanan Sukan Antara Pusat-Pusat Pengajian Universiti Perlis (UniMAP) 2017 yang berlangsung pada 1 hingga  3 Disember lalu

FTK meraih tiga emas, tiga perak dan satu gangsa, pingat emas diperolehi melalui acara Bola Jaring Wanita, Bola Tampar Lelaki  dan Ragbi 7’s.

Tempat kedua pula dimenangi Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik (PPKSE) dengan kutipan tiga emas yang diraih melalui acara Petanque (Lelaki),  Bola Sepak 9’S  dan Bola Tampar Wanita selain tiga gangsa.

Manakala tempat ketiga diraih Naib Johan tahun lalu, PPK Mikroelektronik  dengan dua emas,dua  perak dan  dua gangsa.

Sebanyak sembilan acara dipertandingkan iaitu bola jaring wanita, bola tampar lelaki dan wanita, sepak takraw antara regu lelaki, bola keranjang lelaki, bola baling lelaki, woodball lelaki dan wanita, ragbi 7's lelaki, petanque lelaki dan wanita serta bola sepak.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan dan Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Suhizaz Sudin.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, UniMAP itu dianjurkan bertujuan bagi membudayakan sukan di kalangan pelajar UniMAP di samping mengeratkan hubungan dikalangan pelajar.

Pauh Putra, 4 Disember – Seramai enam pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menyertai persidangan serta pensyarah kunjungan di Universiti Nahda, Mesir.

Mereka ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar(PPKAS), Prof Madya Dr Nasrul Hamidin dan Dekan Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan & Teknousahawan (PPIPT), Dr Tunku Salha Tunku Ahmad yang dijemput sebagai pembentang kertas kerja di persidangan The 1st International Conference on Science, Technology & Entrepreneurship.

Manakala, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Komputer & Perhubungan (PPKKP) Dr Muzammil Jusoh, Pensyarah Kanan PPKKP Dr Rozmie Razif Othman dan Dr Mohd Zukimie Mat Junoh serta Pensyarah Kanan PPKAS Dr Nik Zainab Nik Azizan pula bagi program mobiliti staf iaitu pensyarah kunjungan ke universiti itu.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata pelaksanaan program itu adalah rentetan beberapa program yang dilaksanakan susulan memorandum persefahaman di antara UniMAP dengan Universiti Nahda sebelum ini.

Ujarnya, pada Ogos lalu seramai lapan pelajar Universiti Nahda menyertai program ‘inbound mobiliti’ di UniMAP selama dua minggu.

“Program-program ini juga adalah salah satu pendekatan UniMAP bagi menyerlahkan keterlihatan universiti ini ke peringkat antarabangsa.

“Saya berharap peluang ini dapat digunakan bagi mewujudkan lebih banyak kerjasama yang boleh diwujudkan dalam apa jua cara terutama berkaitan bidang pusat pengajian masing-masing,” kata beliau ketika menyampaikan amanat kepada delegasi itu, di sini, hari ini.

Delegasi pertama bagi program mobiliti staf akan ke sana mulai 7 hingga 25 Disember manakala pembentang kertas kerja pula mulai 13 hingga 23 Disember.

Tambah Zul Azhar, mereka yang terpilih dan dijemput itu juga diharapkan dapat melaksanakan tugas masing-masing dengan baik dan memperolehi pengalaman yang dapat dimanfaatkan di UniMAP kelak.

Kangar, 3 Disember –Produk penyelidikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya memperolehi pencapaian cemerlang seratus peratus pingat dalam Seoul International Invention Fair (SIIF) 2017 yang diadakan di COEX Convention Centre, Seoul, Korea Selatan bermula 30 November hingga 3 December 2017.

Delegasi penyelidik UniMAP yang diketuai oleh Timbalan Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Dr Mohd Rashidi Che Beson telah mempertandingkan 12 produk penyelidikan dan telah memenangi lapan emas dan empat gangsa.

Lebih bermakna, salah satu produk penyelidikan tersebut dibawah penyelidik Dr Midhat Nabil Ahmad Salimi dengan tajuk Carbon Dioxide (CO2) Capture Using the Downflow Gas Contactor (DGC) Reactor telah dinobatkan produk penyelidikan terbaik pertandingan ini dengan memenangi anugerah tertinggi GRAND PRIZE SIIF 2017.

Dr Midhat berkata produk penyelidikannya adalah untuk memerangkap gas karbon dioksida (CO2) dengan begitu efisien, yang mana ianya dapat menyumbang kepada penurunan kesan pemanasan global dunia.

Katanya, produk itu dibangunkan sejak 2012 selepas dunia kini sedang menghadapi kesan pemanasan global yang dijangkakan akan menjadi semakin kritikal tahun demi tahun.

“ Jika pembebasan gas CO2 dibiarkan berlarutan, kesan pemanasan global akan meningkatkan suhu purata dunia yang mana kesannya akan mencairkan ais di kutub utara dan selatan yang akhirnya akan menyaksikan banyak kawasan-kawasan rendah di dunia ini akan ditenggelami air,” katanya ketika dihubungi,hari ini.

Selain itu, Dr Midhat turut membawa produk Artificial Bone Produced by Supercritical Carbon Dioxide Processing.

Selain beliau, penyelidik UniMAP yang memenangi pingat emas antaranya Prof. Madya Dr Muzamir Isa dengan produk penyelidikan New Wireless Inductive Coil Sensor for Smart Online Partial Discharge Monitoring System in High Voltage Power Cable serta Dr Mohd Rashidi Che Beson dengan produk penyelidikan VLC-OCDMA Based on Dual Diffuser Modulation for Underwater Wireless Communication, Dr Liew Yun Ming dengan produk penyelidikan Groutmedic: A Novel Grout Material, Dr Allan Melvin Andrew dengan produk Anti-ThPRO: A Novel Electromagnetic and Thermal Graded-Z Shielding For Large Scale Glovebox in Nuclear Industry, Dr Mohammad Faridun Naim Tajuddin dengan produk penyelidikan Differential Evolution Based Maximum Power Point Algorithm For Optical Extraction of Photovoltaic Energy dan Dr Mohd Zakimi Zakaria dengan produk penyelidikan Wheelcare Dentistry: Innovation of Supporter Chair for Disable Patients.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Dato Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata tiga daripada penyelidik UniMAP itu juga telah memperoleh anugerah khas di pertandingan ini iaitu Dr Mohd Rashidi Che Beson mendapat anugerah khas Indonesian Innovation and Invention Promotion Association INNOPA Indonesia, Dr Midhat mendapat anugerah khas National University of Science and Technology Russia serta Dr Liew Yun Ming mendapat anugerah khas Indonesian Innovation and Invention Promotion Association INNOPA Indonesia dan National Research Council of Thailand.

Ujarnya, ini merupakan pencapaian cemerlang penyelidik UniMAP di SIIF yang amat membanggakan.

SIIF 2017 merupakan anjuran tahunan oleh Korea Invention Promotion Association (KIPA).

Selain Malaysia dan tuan rumah Korea Selatan, pertandingan penciptaan yang berprestij ini juga dihadiri oleh peserta dari lebih dari 20 buah negara.