KANGAR, 30 September 2016 - Wakil Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)  berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Pesta Pantun Terbuka Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan Syarahan Perpustakaan Awam Negeri Perlis, di sini.

Kumpulan UniMAP A yang diwakili empat peserta membawa pulang piala dan wang tunai RM 800 beserta sijil manakala Kumpulan UniMAP B pula menduduki tempat keempat dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM 500 serta sijil.

Pengurus pasukan pantun UniMAP, Suhaidah Said berkata, penampilan sulung pasukan pantun UniMAP pada pertandingan itu merupakan pendedahan awal kepada para pelajar yang majoritinya dari jurusan kejuruteraan.

“Jika dilihat pada pencapaian kita untuk penyertaan kali pertama ini, saya yakin pasukan pantun UniMAP mampu untuk pergi lebih jauh jika diasuh dengan baik.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa seni bahasa Melayu ini mampu dimartabatkan oleh golongan muda, namun perlu kita tanamkan minat dikalangan mereka, dan inilah sebenarnya peranan yang perlu dimainkan oleh Pensyarah dan Tenaga Akademik Bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Peserta pantun UniMAP A dan UniMAP B terdiri daripada tiga orang pelajar ijazah sarjana muda dan tiga orang pelajar diploma iaitu Muhamad Fadhil Azhari Abdul Wahab, Syarifah Noor Anisah Tuan Baru, Siti Nur Aishah Al-Hafizat Abdul Ghani, Muhammad Syahir Aimi Saiman, Muhammad Aiman Hassin dan Muhammad Ikhwan Shafiq Ramli.

Kesemua peserta adalah di bawah pimpinan guru Bahasa Melayu di Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) UniMAP iaitu Mohamad Zaki Abdul Halim serta Mohd Syamril Aklmar Chek Kassim.

Pesta Pantun Terbuka Negeri Perlis 2016 berkenaan adalah anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis dengan kerjasama Persatuan Penulis Perlis (3P).

 

Kangar, 27 September 2016 - Penerbit Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) buat julung kalinya bakal mengambil bahagian dalam Pesta Buku Indonesia yang merupakan antara inisiatif strategik untuk memasarkan buku-buku terbitan Penerbit UniMAP di luar negara melalui kerjasama bersama Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).

Selain itu, penyertaan yang turut mendapat kerjasama daripada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB) serta penerbit dari Indonesia juga turut diharap dapat memuktamadkan beberapa perjanjian termasuk perjanjian pemasaran pengedaran buku ilmiah e-book dengan syarikat BUQU Indonesia.

Pengarah Penerbit UniMAP, Prof. Dr. Asiah Sarji berkata, Penerbit UniMAP juga bercadang untuk mengadakan perbincangan peringkat akhir untuk membeli dan menjual hak cipta dengan Penerbit Rosda Karya juga dari Indonesia.

“Selain terlibat dalam mempamerkan serta membuat jualan buku di booth yang disediakan pihak MAPIM, beberapa siri pertemuan dan perbincangan telah diatur dengan penerbit-penerbit ilmiah dan komersil untuk mengadakan kerjasama dan penjualan hak cipta karya terbitan UniMAP.

“Pihak kami bercadang untuk mempamerkan 10 judul dan menjual sekurang-kurangnya dua naskhah untuk setiap judul. Di samping itu, terdapat juga jualan langsung buku berkaitan media dan komunikasi di Universitas Pancasila Jakarta dan Penerbit mengharapkan terdapat tempahan untuk buku-buku tersebut,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Asiah lagi, Penerbit UniMAP menjangkakan 20 buah buku terbitan UniMAP dapat disenaraikan dalam portal katalog e-book BUQU Indonesia dalam tempoh  enam bulan pertama manakala impak pembelian hak cipta pula dijangkakan dalam tempoh setahun.

Penyertaan kali pertama itu juga, ujar Dr. Asiah bakal mencatatkan sejarah baharu melalui pelancaran sebuah antologi puisi yang ditulis oleh beliau sendiri di Balai Sidang, Jakarta Convention Centre yang pada 30 September.

“Buku ini amat besar ertinya buat saya yang digarap hasil pengalaman dan pemerhatian dalam menjalani kehidupan dari zaman remaja sekitar tahun 1960-an sehinggalah sekarang.

“Sajak-sajak di dalam buku ini dibahagikan kepada lima bahagian yang menceritakan mengenai hubungan kekeluargaan, cinta, lelaki, kehidupan dan negara bangsa yang mana ia merupakan hadiah istimewa saya buat UniMAP atas peluang yang diberikan untuk berkhidmat di universiti tersebut sejak enam tahun yang lalu,” ujarnya lagi.

Menurut Dr. Asiah juga, beliau secara terang dan yakin cuba untuk menyampaikan kepada para pembaca apa yang beliau rasa dan lalui melalui penulisan sajak-sajak dengan menggunakan bahasa separa-prosaik dan mudah untuk difahami pembaca.

Buku ini boleh didapati dengan harga RM42.00 di Penerbit UniMAP di No. 98, Aras 1, Blok A, Taman Pertiwi Indah, Jalan Kangar – Alor Setar, Kangar Perlis atau menghubungi talian 04-9775159.

Kangar, 27 September 2016 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya memperolehi tiga bintang dalam penilaian Pengurusan Rekod Terbaik Kategori Universiti Awam (UA) 2016 seperti yang diumumkan hari ini.

Anugerah itu diterima pada Majlis Anugerah Pengurusan Rekod Terbaik UA yang diadakan di Auditorium Pusat Pendokumentasi & Pemuliharaan Audiovisual (PPPAV), Arkib Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

UniMAP yang diwakili Pendaftar UniMAP, Zuber Mohamed menerima anugerah itu yang disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia, Dr Junaida Lee Abdullah.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal melahirkan rasa bangga di atas pencapaian itu dan berharap ia menjadi suntikan semangat bagi seluruh warga UniMAP khususnya dalam aspek pengurusan.

Katanya, anugerah berkenaan menjadi pengukur kepada prestasi pengurusan rekod dalam memastikan pelaksanaan program pengurusan rekod di UniMAP sentiasa berada di tahap cemerlang.

“Selain itu, ia satu pengiktirafan kepada kita terutama semua warga kerja UniMAP yang sentiasa melaksanakan tadbir urus pengurusan rekod dengan baik sebelum ini,” kata beliau.

 

UniMAP memperolehi anugerah berkenaan selepas auditan pengurusan rekod dilaksanakan juruaudit dari Arkib Negara pada 16 hingga 17 Ogos lalu.

Selain sebagai salah satu pengiktirafan, penilaian berkenaan diwujudkan oleh Arkib Negara sebagai menggalakkan persaingan yang sihat dalam pembudayaan program pengurusan rekod yang kondusif di kalangan UA.

Pauh Putra, 27 September 2016 – Pasukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) beraksi cemerlang di Kejohanan Woodball Terbuka UniMAP 2016 apabila menjuarai kategori individu wanita, berpasukan wanita dan juga berpasukan lelaki antara jabatan negeri Perlis.

Bagi kategori individu wanita, UniMAP yang diwakili Rosmawati Abidin mencatat 63 pukulan manakala bagi kategori berpasukan wanita, UniMAP mencatat 294 pukulan menewaskan pasukan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) serta Pejabat Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis (PERALIS) .

Dalam pada itu, bagi kategori berpasukan lelaki pula, pasukan UniMAP A mencatatkan 266 pukulan sekaligus menewaskan pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata sebanyak 20 pasukan menyertai kejohanan yang julung kalinya dianjurkan oleh UniMAP itu terutama di kalangan peserta sekolah dan IPT sekaligus membuktikan sukan tersebut mampu menariuk minat golongan muda.

“Saya percaya perkembangan positif ini bakal menyaksikan lebih banyak bakat dapat dicungkil dikalangan generasi muda sekaligus meningkatkan penganjuran  pertandingan baik di UniMAP mahupun di negara ini.

“Sebagai sebuah universiti yang pernah menganjurkan kejohanan woodball di peringkat Asian dan Dunia, saya amat berharap akan ada lebih banyak penyertaan  bukan sahaja dari jabatan kerajaan malahan dari sektor swasta samada di negeri ini mahupun luar,” katanya ketika berucap ketika Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutup kejohanan itu di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), di sini, hari ini.

Berkenan  berangkat hadir merasmikan upacara penutup kejohanan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penaung Diraja Persatuan Woodball Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Kejohanan ini turut disertai pasukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Lipis, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis serta lain-lain pasukan dalam dan luar negeri ini.

Selain Gelanggang Woodball UniMAP sebagai lokasi utama, dua gelanggang di Institut Perguruan Malaysia (IPGM) dan di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad turut menjadi lokasi kejohanan itu yang berlangsung sejak Khamis lalu.

 

Kangar, 27 September 2016 - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Publisher for the first time will participate in the Indonesia Book Fair, which is among the strategic initiatives to market the books that published by the UniMAP Publisher in abroad through the collaboration with the Malaysian Scholarly Publishing Council.

Moreover, the participation also received support from the Malaysia Institute of Translation and Books, Institute of Language and Literature and the publishers from Indonesia, also hoped to conclude a number of agreements including an agreement for the distribution of the scientific e-book with the Indonesia BUQU Company.

Director of UniMAP Publisher, Prof. Dr. Asiah Sarji said, UniMAP Publisher also intends to have a final level discussion of buying and selling the copyright with the Rosda Karya Publisher which is also from Indonesia.

"Besides being involved in exhibiting and selling books at the booth provided by the Malaysian Scholarly Publishing Council, a series of meetings and discussions have been organized with the scientific and commercial publishers for collaboration and sales of the copyright work that published by the UniMAP.

"We plan to showcase 10 titles and sold at least two copies of each title. In addition, there are also direct books selling on the subject of media and communications at the University of Pancasila Jakarta and Publishers expect there will be bookings for those books," he says in a statement today.

According to Dr. Asiya again, UniMAP Publisher expects 20 books published by the UniMAP can be listed in the Indonesia BUQU e-book catalog portal in the first six months, whereas the impact of the copyright purchase also expected within a year.

Dr. Asiya added participation for the first time will also witness a new history at the Conference Hall, Jakarta Convention Centre on September 30th with the launch of an anthology of poetry which was written by her.

"It is a very meaningful book to me that it was the result of experience and observation on life as of a teenager in the 1960s until now.

"Poems in the book are divided into five sections that portray about family relationships, love, man, life and the nation of which it is a special gift from me to the UniMAP for the opportunity that was given to serve in the university for the past six years," she said.

According to Dr. Asiya also, she openly and confidently tries to convey to the reader of her feelings and experiences through the writing of poems by using semi-prosaic and it is easy for readers to understand the poems.

The book is available at a price of RM42.00 at the UniMAP Publisher at No. 98, First Floor, Block A, Taman Pertiwi Indah, Jalan Kangar - Alor Setar, Kangar Perlis or call 04-9775159.

Pauh Putra, 22 Sept – Kejohanan Woodball Terbuka Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dijadualkan bermula hari ini hingga 25 September ini dengan kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT)/ Sekolah di Gelanggang Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, di sini hari ini.

Sebanyak 20 pasukan yang terdiri daripada tiga kategori iaitu kategori IPT/Sekolah, Jabatan Negeri Perlis dan Terbuka menyertai kejohanan kali ini.

Antara pasukan yang bertanding ialah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs),

Selain Gelanggang Woodball UniMAP, dua gelanggang di Institut Perguruan Malaysia (IPGM) dan di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad turut berlangsung serentak pada Sabtu ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan bagi merasmikan upacara Penutupan kejohanan itu yang dijadualkan pada Ahad ini di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP).

Pauh Putra, 18 Sept – Peserta dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) berjaya menjadi juara selepas menewaskan enam peserta di Pertandingan Akhir Nyanyian Intervarsiti Uthayam 3.0 yang diadakan di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini.

Arulventhan Manokaran membawa pulang wang tunai RM2,000 beserta trofi manakala pemenang tempat kedua berjaya diraih peserta dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Johor, Mithelle a/p Francis dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi.

Manakala di tempat ketiga berjaya dirangkul Sanjeev Naidu a/l Somasundran dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) serta saguhati diraih peserta dari UTP, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata beliau amat berbangga kerana UniMAP menjadi tuan rumah buat kali kedua bagi salah satu program masyarakat India terbesar setakat ini.

Katanya, ini membuktikan UniMAP sentiasa menyambut baik dan menggalakkan program kebudayaan tidak mengira kaum dan percaya menerusi program seperti itu dapat menonjolkan bakat pelajar khususnya.

“Saya percaya hasil komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh, peserta akan berjaya meraih kejayaan sekaligus memperolehi pengalaman yang berguna untuk masa hadapan,” katanya ketika berucap di pertandingan itu.

Turut hadir, Penasihat Menteri Pengangkutan Malaysia, Tan Sri Datuk Seri M Kayveas dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan.

Uthayam 3.0 adalah pentas bagi menonjolkan bakat muda dari universiti dan politeknik seluruh Malaysia dalam bidang nyanyian dengan tema  “Sanggama Tamil” bagi program kali ini di UniMAP.

Program anjuran Sekretariat Ponggal Gala Nite 2016/17 yang juga dikenali sebagai Chatrah Yugam di bawah kendalian Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, dan Minnal Fm itu turut menyalurkan sumbangan hasil dari keuntungan yang diperolehi kepada keluarga yang memerlukan terutamanya bagi yang kurang berkemampuan membiayai pendidikan anak-anak di wilayah utara.

Pauh Putra, 16 Sept – Koordinasi Perguruan Tinggi Swasta (Kopertis) Wilayah XIII Aceh berhasrat mengadakan kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengenai mobiliti pelajar dan staff di antara kedua-dua organisasi ini.

Hasrat itu disuarakan Kopertis ketika mengadakan perbincangan sempena lawatan ke UniMAP yang dengan dihadiri 30 ahli Kopertis diketuai  Prof Dr H Jamaludin Idris.

Delegasi berkenaan disambut Dekan Pengurusan Akademik  yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Ir Rezuwan Kamarudin bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan serta ketua-ketua jabatan UniMAP.

Selain itu, hasil perbincangan berkenaan turut membincangkan kerjasama pembangunan staf akademik di antara kedua-dua pihak.

Delegasi berkenaan turut dibawa melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) dan makmal-makmal di pusat pengajian.

Kopertis alam rangka lawatannya turut mengadakan lawatan ke beberapa universiti lain di negara ini mulai 14 September lalu sehingga 20 September ini dengan objektif bagi mengadakan kerjasama dalam bidang pendidikan dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan tinggi swasta di Aceh.

 

 

 

 

 

ARAU, 14 September: Sebanyak 11 ekor lembu dan empat dikorbankan sempena Majlis Ibadah Korban dan Akikah Pusat Islam, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, program yang menjadi tradisi warga UniMAP sejak 2005 itu turut disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi-agensi luar.

“Daripada 11 lembu yang dikorbankan pada harini tiga daripadanya adalah penyertaan staf UniMAP yang menyertai melalui skim potongan gaji yang dilakukan sejak Oktober lalu.

“Selain itu kita turut mendapat sumbangan seekor lembu dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim,”katanya ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban dan Akikah, UniMAP, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengurusan Akademik yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamaruddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Pendaftar UniMAP, Zuber Mohamad dan   Pengarah Pusat Islam UniMAP, Dr. Ku Mohd Nabil Ku Hamid serta Timbalan Pengarah Biro Tatanegara (BTN), Perlis, Jasmi Jasa.

Ujar Dato’ Zul Azhar lagi, daging korban yang disembelih di UniMAP akan disumbangkan kepada lima buah pusat jagaan anak yatim dan tahfiz di sekitar perlis.

“Antara pusat jagaan anak yatim dan tahfiz yang terpilih adalah Rumah Hembusan Kasih, Asrama Yayasan Saad, Pusat Jagaan Anak Yatim  dan Miskin Teratak Rahmat, Maahad Tahfiz Al Hikmah dan Maahad Tahfiz Al-Quran Ar Raudhah.

“Saya berharap di masa akan datang jumlah lembu atau kambing yang dikorbankan akan bertambah dan kita mengalu-alukan sumbangan  NGO atau individu yang berminat untuk turut melakukan amal kebajikan melalui UniMAP,”katanya.

Majlis Ibadah Korban dan Akikah UniMAP disertai lebih 300 pelajar dan staf, ia juga turut mendapat tajaan Kelab Warisan Malaysia (KERIS) NGO yang bernaung dibawah BTN.

PAUH PUTRA, 8 September: Pusat Islam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menganjurkan program Jom Baca Al Quran bersempena World #QuranHour pada 11 September ini.

Pegawai Hal Ehwal Islam UniMAP, Nasrul Che Ali berkata, pihaknya mensasarkan penyertaan seramai 600 peserta untuk dua surau di Musolla Saodah, Kampus Uniciti dan Surau PFI 2, Pauh  Putra.

“Tujuan program ini diadakan di dua tempat berasingan adalah kerana ingin memudahkan pelajar dan juga staf yang tinggal di kolej kediaman yang berdekatan dengan surau-surau ini.

“Saya menyeru semua warga UniMAP yang beragama Islam untuk sama-sama memberi sokongan kepada aktiviti seperti ini bagi memartabatkan dan menggalakkan umat Islam kembali berinteraksi dengan Al-Quran,”katanya ketika ditemui di sini, semalam.

World #QuranHour buat pertama kalinya diadakan dimana bacaan Al-Quran akan diperdengarkan secara serentak di seluruh dunia selama satu jam bermula 9.00 pagi.

Tarikh dan waktu itu dipilih bersempena dengan ibadah wukuf jemaah haji di Padang Arafah, Makkah.

Program berskala besar tersebut menyasarkan untuk mengajak umat Islam di seluruh dunia kembali kepada Al-Quran, memahami dan menjadikan kitab suci itu sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Kangar, 6 Sept – Seorang pelajar tahun dua Diploma Kejuruteraan Mekatronik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) adalah antara 28 peserta dari seluruh negara terpilih menyertai Program Kapal Belia Asia Tenggara & Jepun (SSEAYP) kali ke-43 bagi tahun 2016.

Pelajar itu Peshminder Pall Singh,19, bakal mengikuti program anjuran Kabinet Kerajaan Jepun dengan kolaborasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mulai 25 Oktober hingga 15 Disember ini iaitu selama 53 hari.

Menurut Peshminder, dia memohon bagi menyertai program itu melalui KBS pada Februari lalu serta mengikuti ujian psikologi termasuk Kem Pemilihan yang diadakan selama tiga hari untuk menilai seramai 121 belia dari seluruh negara.

Katanya, dia tidak menyangka terpilih bagi menyertai program itu apabila keputusan dikeluarkan pada Jun baru-baru ini memandangkan ujian yang perlu dilalui agak sukar.

“Saya bersama 28 peserta lain dari seluruh negara bakal menyertai Program ‘Japan-ASEAN Youth Leader Summit’ di Jepun pada 1 November terlebih dahulu sebelum berlayar ke Vietnam pada 4 November menaiki kapal Nippon Maru.

“Kami akan tinggal di Vietnam selama empat hari, kemudian di Thailand juga empat hari, diikuti Singapura dan Indonesia dalam rangka pelayaran itu sebelum kembali ke Jepun semula,” katanya.

Peshminder yang berasal dari Selangor turut berkata keluarga tidak menghalang namun mereka ada menyatakan kerisauan sekiranya tempoh program yang lama menjejaskan pelajarannya yang masih mengikuti pengajian diploma di UniMAP.

“ Saya meyakinkan keluarga bahawa saya mampu mengikuti program itu tanpa mengabaikan pengajian saya memandangkan peluang seperti ini bukan mudah untuk diperolehi kerana perlu melalui ujian psikologi serta beberapa fasa yang agak sukar.

“Malah, saya berharap penyertaan ini dapat menyuntik semangat rakan-rakan lain untuk mengikuti program seperti ini kerana bukan sahaja dapat menimba pengalaman baru, tetapi turut membawa nama UniMAP ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi.

SSEAYP adalah sebuah program yang melibatkan golongan belia dari Asia Tenggara yang dilaksanakan sejak 1974 hasil perjanjian persefahaman antara Jepun dan lima negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Malaysia sendiri.

Seramai 330 belia dari negara Jepun dan 10 negara Asia Tenggara turut menyertai program itu.

Kangar, 3 Sept – Bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan sempena Hari Kebangsaan yang ke-59, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) menganjurkan Program Citra Budaya, Cergas Minda & Malam Puisi Kemerdekaan, di sini.

Antara pengisian program yang berlangsung mulai 1 September itu ialah perlawanan persahabatan, lawatan delegasi DBP ke kampus-kampus UniMAP, malam puisi dan pertandingan ‘woodball’.

Dekan Pengurusan Akademik, Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin berkata penganjuran program sempena hari kebangsaan itu adalah amat dialu-alukan memandangkan perubahan era globalisasi kini semakin menghakis semangat patriotik di kalangan generasi muda.

Katanya, walaupun UniMAP adalah universiti yang berteraskan kejuruteraan namun tidak menghalang universiti itu bagi mengadakan program-program kebudayaan dan kesenian melalui Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) serta Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) UniMAP.

“Justeru, penganjuran program bersama ini ibarat pucuk dicita ulam mendatang, dan UniMAP akan terus komited dalam program sebegini agar warisan negara dapat dipelihara,” katanya ketika berucap mewakili Naib Canselor UniMAP di Majlis Malam Puisi Kemerdekaan, di Kampus UniMAP Kubang Gajah, di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Rusli Abdul Ghani dan Pengarah Pusat Sukan, Suhizaz Sudin.

Pada majlis itu, wakil DBP Rasdi Daud turut mempersembahkan puisi bertajuk Menuntun Si Merdeka karya Awang Sariyan serta Aku Ingin Menciummu Setiap Hari karya beliau sendiri diikuti Nordin Zainal Abidin menerusi puisi berjudul Merdeka dan Kita hasil nukilannya sendiri.

Wakil UniMAP yang juga Pengarah Unit Penerbitan UniMAP Prof Asiah Sarji mendeklamasikan puisi karya beliau sendiri bertajuk Aduhai Si Tanggang yang bakal diterbitkan penghujung tahun ini.

Selain itu, wakil DBP Rosdi Mat Raqib mendendangkan lagu gubahannya berjudul Si Penghuni Sepi diiringi petikan gitar yang dimainkan sendiri.

Tidak ketinggalan, persembahan tarian dan nyanyian dari Kumpulan Inderasutra UKR UniMAP menjadi penyeri majlis itu.

Dalam majlis berkenaan turut disampaikan hadiah perlawanan badminton yang dijuarai UniMAP manakala bagi permainan damak, DBP menjadi johan.

Delegasi DBP yang terdiri daripada 50 peserta itu adalah Biro Kebudayaan Badan Keluarga, Biro Lawatan & Rekreasi, dan Biro Badan Sukan Keluarga DBP.

KANGAR, 2 September: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited dalam usaha membantu masyarakat di  Daerah Phang Nga, Thailand dalam memperkasakan Bahasa Melayu.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, berkata, Program Memperkasa Bahasa Melayu Wilayah Andaman Fasa 1-4, berkonsepkan perkongsian ilmu bahasa Melayu yang melibatkan perkongsian pengalaman pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dengan kaedah penyampaian ilmu yang komperehensif.

“Hasrat untuk mewujudkan program ini telah disuarakan Tuanku Canselor UniMAP sendiri setelah baginda menerima cadangan daripada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla berhubung inisiatif pemerkasaan Bahasa Melayu di enam  Wilayah Andaman, Thailand.

“Sehubungan itu Pusat Bahasa Antarabangsa (PBA), UniMAP telah diberi amanah untuk mengenalpasti inisiatif-inisiatif yang sesuai untuk dilaksanakan agar hal berkenaan dapat direalisasikan,”katanya ketika berucap merasmikan penutup Program Memperkasa Bahasa Melayu Wilayah Andaman Fasa 1-4, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Penasihat   Fahad Wittayathan School, Prasert Prasankarn dan Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon.

Pada majlis itu juga telah dilancarkan  buku pembelajaran bahasa Melayu berjudul ‘Asas Berbahasa Melayu (Terjemahan Bahasa Thai).Buku tersebut  akan dijadikan sebagai panduan sukatan pelajaran bagi sekolah yang terlibat dalam program itu.

Ujar Dr. Zul Azhar lagi, program yang dijalankan sebanyak empat fasa itu melibatkan lima buah sekolah di wilayah Phang Nga bermula Disember 2015 yang lalu.

“Untuk fasa satu hingga tiga, tenaga pengajar UniMAP berkunjung ke Thailand untuk mengajar di lima sekolah yang terpilih iaitu Fahad Wittayathan School, Tarbiah Islamiah School, Darissalam Wittaya School, Baan Bosaen School dan Sangkhom Wittaya School.

“Manakala bagi fasa keempat dan terakhir ini, UniMAP telah  menjadi tuan rumah untuk sesi perbincangan dan perkongsian silibus pengajaran bahasa Melayu,”katanya.

Seramai 24 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru dari wilayah Phangnga dan lima orang guru bahasa UniMAP telah menyertai program ini selama enam hari lima malam.

Dalam majlis penutup ini juga, UniMAP turut menyumbangkan buku dan wang tunai bagi tujuan pembangunan bahasa Melayu di wilayah Andaman Thailand selain sebagai memenuhi tanggungjawab khidmat masyarakat.