Kangar, 31 Ogos – Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjuarai kawad perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2016 ke-56 peringkat negeri kategori Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun dan Swasta, di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Kontinjen UniMAP di bawah pimpinan Pengarah Jabatan Keselamatan UniMAP Prof Madya Nor Azmi Johari itu menjuarai kategori itu buat kali ketiga dengan kejayaan pertama pada 2013.

Menurut Nor Azmi, kejayaan pada tahun ini adalah dua tahun berturut-turut sejak tahun lalu sekaligus membuktikan disiplin dan semangat yang tinggi 37 ahli kontinjen UniMAP.

Katanya, kontinjen UniMAP menjalani latihan sejak dua minggu lalu walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu melanda Perlis sejak beberapa hari kebelakangan ini.

“Selain itu, UniMAP juga sibuk dengan persiapan kemasukan pelajar baharu serta program-program universiti yang lain, namun tidak mematahkan semangat kontinjen untuk terus mengekalkan kejayaan pada hari ini,” kata beliau ketika dihubungi.

Sambutan Hari Kebangsaan ke 59 peringkat negeri itu turut disertai lebih daripada 70 kontinjen dari Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun serta Swasta.

Berkenan berangkat hadir ke sambutan berkenaan ialah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Turut berkenan berangkat hadir ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Canselor dan Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, barisan Exco Negeri dan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Sementara itu, Zul Azhar melahirkan rasa bangga dengan pencapaian UniMAP dan berharap warga UniMAP terus memberi komitmen yang tinggi di sebarang pernyertaan seperti itu samada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Kontinjen UniMAP membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 di atas kejuaraan itu.

 

Kontinjen UniMAP memberi tabik hormat ketika perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan 2016 peringkat negeri di Kangar.

 

Zul Azhar (tengah) dan Nor Azmi (tiga dari kanan) bergambar bersama kontinjen UniMAP.

Kangar, 30 Ogos - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dibawah Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) menerokai bidang penyelidikan bahan aeroangkasa melalui kerjasama dengan Nihon Superior Co. Ltd. Di yang berpengkalan di Osaka, Jepun.

Kerjasama tersebut merupakan susulan kerjasama yang telah terjalin sebelum ini dengan fokus kini ialah membangunkan bahan pateri bagi kegunaan aeroangkasa dengan peruntukan geran tambahan kepada penyelidikan sedia ada bernilai RM 500 ribu, ujar Ketua Penyelidiknya, Dr. Mohd. Arip Anuar Mohd. Salleh.

Menurut beliau, bahan pateri untuk kegunaan aeroangkasa memerlukan sifat bahan yang mampu bertahan pada keadaan sekeliling yang sangat ekstrim, justeru pihaknya yakin mampu membangunkan bahan pateri tersebut berdasarkan kepakaran dan fasiliti yang telah ada di UniMAP.

UniMAP sebelum ini sememangnya telah menjalinkan kerjasama dengan Nihon dengan fokus pada bahan pateri, cuma pada kali ini kita lebih berfokus untuk menghasilkan bahan pateri untuk kegunaan aeroangkasa,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Persetujuan tersebut dicapai susulan lawatan kerja CEGeoGTech ke Osaka Jepun yang turut disertai oleh Pengurus CEGeoGTech Prof Madya Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah serta pelajar PhD UniMAP, Mohd Natashah Norizan.

Dalam perbincangan tersebut, Nihon Superior diwakili oleh Presidennya sendiri, Tetsuro Nishimura dan beberapa penyelidik lain.

Kolaborasi penyelidikan didalam bidang pembangunan bahan pateri diantara UniMAP dan Nihon Superior Japan telah bermula sejak tahun 2012 dimana terdahulu geran penyelidikan sebanyak hampir setengah juta serta tajaan pengajian diperingkat sarjana kepada 5 orang pelajar UniMAP telah diperolehi.

Dalam pada itu, Mohd. Mustafa Al-Bakri berkata, selain kunjungan ke Nihon Superior, CEGeoGTech UniMAP turut menjalinkan hubungan dan kerjasama baharu dengan rakan institusi akademik di Jepun iaitu Jabatan Seramik Fakulti Sains Hidup dan Kimia Gunaan, Nagoya Institute of Technology (NIT).

Ujar beliau, berdasarkan perbincangan awal, kedua-dua pihak bersetuju untuk  meningkatkan impak dan hasilan penyelidikan dalam bidang geopolimer konkrit dengan kehadiran bakteria bagi aplikasi pembaikan bahan  yang dijalankan oleh CEGeoGTech.

“Bakteria yang digunakan nanti akan dihasilkan sendiri oleh penyelidik daripada kedua-dua pihak. Hasil penggunaan bakteria ini mampu membantu konkrit yang retak melakukan aktiviti pembaikan secara sendiri (self-healing).

“Selain itu, persetujuan juga telah dicapai untuk penempatan staf atau pelajar yang akan menjalankan kajian dalam bidang yang telah dipersetujui. Semoga dengan kerjasama ini akan mengukuhkan lagi hubungan dan keterlihatan UniMAP di kalangan institusi akademik di negara matahari terbit itu,” ujarnya lagi.

Dalam pertemuan tersebut, pihak NIT diwakili oleh Prof. Madya Dr. Shinobu Hashimoto dan Dr. Hayami Takeda.

Pauh Putra, 26 Ogos – Seiring dengan kemajuan teknologi masa kini yang semakin pesat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut tidak ketinggalan melancarkan Kad UniDebit pada hari pendaftaran kemasukan pelajar baharu, di Dewan Kecemerlangan UniMAP, di sini, semalam.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kad UniDebit itu turut menawarkan fungsi tambahan berbanding kad debit biasa dengan menyediakan akses mudah sebagai pengenalan diri pelajar UniMAP atau lebih dikenali sebagai kad matrik pelajar.

“Pelajar juga boleh melakukan urus niaga dalam talian melalui kad UniDebit ini untuk membeli bahan pembelajaran, akses di perpustakaan, bayaran yuran, serta lain-lain kepentingan yang boleh digunakan di seluruh kampus UniMAP termasuk kolej-kolej kediaman.

“Justeru, kemudahan transaksi tanpa tunai ini bukan sahaja lebih menjamin keselesaan dan keselamatan kerana tidak perlu membawa wang yang banyak secara fizikal tetapi pelajar dapat menguruskan perbelanjaan mereka dengan lebih baik,” kata beliau ketika berucap di Majlis Taklimat Waris dan Program Minggu Suaikenal Sidang Akademik 2016/2017 di sini .

Katanya, inisiatif yang diperkenalkan ini bakal dimanfaatkan oleh lebih 2,000 pelajar baharu yang mendaftar semester ini dan seterusnya akan dikembangkan meliputi hampir 14,000 mahasiswa UniMAP lain.

Kad UniDebit berkenaan dilancarkan hasil perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara UniMAP  diwakili Zul Azhar dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abd Wahid sempena majlis itu.

Berkenan menyaksikan upacara perjanjian itu ialah Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Raja Muda Perlis dan Pro Canselor UniMAP iaitu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi BMMB, Tuan Haji Peer Mohamed Ibramsha dan mantan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin.

MoU berkenaan adalah hasil lanjutan kerjasama di antara BMMB dengan UniMAP yang merupakan bank rasmi UniMAP sejak awal penubuhan universiti itu hampir 14 tahun lalu.

Kangar, 26 Ogos – Kesemua pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan kekal 100 peratus menginap dalam kampus dengan siapnya Kolej Kediaman Tun Abdul Razak (PFI 2).

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, dengan terbinanya PFI 2 ini mampu menampung sehingga 4,000 pelajar terutamanya pelajar pusat-pusat pengajian dalam kampus tetap.

“Ini sekaligus memastikan semua pelajar UniMAP akan terus menetap dalam kampus,” katanya ketika berucap dalam satu majlis kesyukuran sempena tertubuhnya Kolej Kediaman Tun Abdul Razak (PFI 2) bertempat di Kampus Induk universiti tersebut pagi tadi.

Tambahnya, dengan penempatan 100 peratus dalam kampus akan menjimatkan masa dan mengurangkan perjalanan pelajar yang sebelum ini perlu mengambil masa yang agak lama untuk tiba di pusat-pusat pengajian mahupun kemudahan lain di UniMAP.

PFI 2 atau juga dikenali sebagai kolej kediaman Inisiatif Pembiayaan Swasta ini mula dibina pada 6 Disember 2013 dan mempunyai 12 blok empat tingkat dengan 480 rumah pelajar termasuk 16 buah rumah Orang Kurang Upaya (OKU).

“Mengikut perancangan awal, kita akan menempatkan pelajar baharu sidang akademik 2016/2017 yang akan mendaftar pada 28 Ogos ini. Namun atas beberapa faktor, kita terpaksa mengubah rancangan tersebut dengan memindahkan mereka ke penempatan sementara di Bumita.

Ini bagi memastikan fasiliti yang terbaik disediakan di PFI 2 sebelum menerima pelajar hujung tahun nanti,’ katanya.

Kolej kediaman ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti medan selera, gelanggang permainan, mesin automatik pengeluaran wang, bilik-bilik diskusi selain berfungsi sebagai pejabat pentadbiran.

“Justeru, saya berharap kolej kediaman ini dapat dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya sepertimana pertama kali kita jejaki selepas siap dibina,” tambahnya.

Bagi memastikan tiada isu seperti sampah, kesesakan dan sebagainya, beliau menyeru agar kolej kediaman baharu ini ditadbir dengan konsep kampus lestari melalui penyediaan persekitaran yang kondusif sekaligus merealisasikan impian menjadikan kampus induk UniMAP ini sebagai kampus hijau.

Pauh Putra, 26 Ogos – Seramai 21 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpilih bagi mengikuti program mobiliti pelajar ke Universitas Ubudiyyah Indonesia (UUI) selama dua minggu mulai hari ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan berkata program mobiliti pelajar ke UUI adalah program yang pasti memberi pengalaman yang berharga kepada peserta.

Katanya, beliau berharap pelajar-pelajar yang terpilih ke UUI dapat membawa imej yang baik sepanjang berada di UUI memandangkan UUI juga sangat rapat dengan UniMAP hasil pelbagai kerjasama sebelum ini.

“Saya juga berharap setiap pelajar dapat mengikuti program yang diaturkan oleh UUI dengan baik dan membawa pulang pengalaman serta  pengetahuan untuk dikongsi dengan pelajar-pelajar lain dalam diskusi ilmu nanti,” katanya ketika berucap menyampaikan amanat di Majlis Pelepasan Program Outbound Mobiliti di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), di sini.

Turut hadir Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa (CIA) UniMAP, Dr Nurhafiza Muhammad.

Sementara itu, seorang pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Alam Sekitar, Chen Wen Li berkata dia teruja mengikuti program berkenaan walaupun terpaksa berkorban cuti semester lebih awal.

Menurutnya yang berasal dari Sabah, dia menempah tiket penerbangan ke Pulau Pinang seminggu lalu untuk kembali ke UniMAP bagi mengikuti program itu.

“Saya tidak kisah walaupun terpaksa kembali ke UniMAP lebih awal sebelum ke Acheh kerana tidak sabar melihat sendiri wilayah itu buat pertama kalinya,” katanya.

Rakan sekuliahnya, Safya Abdul Malik berkata dia terkejut apabila dihubungi pihak PPK pada bulan Jun lalu memaklumkan dia terpilih ke UUI.

“Saya tidak menyangka akan terpilih ke UUI kerana dimaklumkan beberapa kriteria diperlukan untuk terpilih ke sana dan bersyukur diberi peluang ini,” katanya.

Seorang lagi pelajar Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM), Nurhafiz Abdul  Razak berkata dia mengisi borang bagi mengikuti program berkenaan sebelum cuti semester dan tidak menyangka antara yang terpilih.

Mulai tahun lalu, UniMAP memberi fokus terhadap program inbound dan outbound mobiliti pelajar dalam usaha meningkatkan reputasi akademik di peringkat nasional dan antarabangsa.

Baru-baru ini seramai lapan pelajar terpilih ke program sama di Universiti Nahda, Egypt di Mesir.

Pauh Putra, 25 Ogos – Seramai 80 pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima sijil graduasi Kursus Bahasa Inggeris Antarabangsa (IEC) di sini, baru-baru ini.

Mereka yang berasal dari 19 negara mengikuti kursus berkenaan sejak April lalu sebagai persediaan bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di universiti itu.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata beliau berharap semua pelajar antarabangsa yang menyambung pengajian ijazah selepas ini sentiasa bercampur dengan pelajar tempatan bagi mewujudkan suasana harmoni berbilang bangsa di UniMAP.

“Hargai pengalaman menimba ilmu di sini dengan sebaiknya dengan bercampur dan tidak berpuak-puak dengan rakan negara asal sahaja agar kehidupan anda lebih menyeronokkan sepanjang pengajian di sini.

“Saya percaya ramai di kalangan pelajar datang ke negara ini buat pertama kali malah tidak pernah ke luar negara sebelum ini, justeru pengalaman yang diperolehi di sini daapt dikongsi bersama keluarga di negara asal masing-masing,” kata beliau ketika Majlis Graduasi IEC di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP).

Dalam majlis tersebut pelajar antarabangsa turut mempersembahkan seni mempertahankan diri iaitu silat selain pertunjukan memakan kaca, berjalan tanpa kasut dan berbaring di atas kaca.

Hadir sama Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) UniMAP Prof Dr Harshita Aini Haroon.

IEC diwajibkan kepada pelajar antarabangsa bagi meningkatkan kefasihan bahasa Inggeris di kalangan mereka sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah di UniMAP.

Kangar – Pasukan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diiktiraf sebagai Skuad Kor SUKSIS keseluruhan terbaik Universiti Awam (UA) pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor SUKSIS UA Kali ke-12 yang diadakan di Universiti Putra Malaysia baru-baru ini.

Lebih membanggakan, pelatih Kor SUKSIS UniMAP, Mohamad Syafiq Zakaria memberikan kejayaan berganda buat pasukan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Kor SUKSIS Keseluruhan Terbaik UA.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, anugerah yang pertama kali diperkenalkan itu antara lainnya bertujuan mengiktirafkan dan menghargai sumbangan para pelatih SUKSIS melalui aktiviti latihan sepanjang tempoh tiga tahun (2013-2016) di universiti masing-masing.

Ujar beliau, menerusi anugerah yang diperkenalkan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKKK) Bukit Aman, pasukan Kor SUKSIS dan pelatih masing-masing dinilai berdasarkan sumbangan yang diberikan di peringkat universiti, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau yang juga merupakan Komandan Kor SUKSIS UniMAP berkata, pasukan Kor SUKSIS UniMAP sangat aktif menganjurkan pelbagai misi dan program kemasyarakatan dalam tempoh tiga tahun yang lalu termasuk dua program antarabangsa iaitu  SUKSIS Community Outreach Program & Engagement (SCOPE) di Cambodia pada 11 hingga 15 November 2015; Sustain The Nature for The Future di Pulau Langkawi pada 2 hingga 4 Oktober 2015.

“Di peringkat kebangsaan pula, Kos SUKSIS UniMAP turut menghulurkan bantuan menjayakan Ops Pasca Bencana Kelantan pada Januari 2015 selain turut  menjadi johan keseluruhan Kejohanan Sukan SUKSIS Zon Utara (SUTRA) Tahun 2014.

“Sebagai Komandan, saya amat berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh para pelajar ini tambahan pula apabila dua pelatih Kor SUKSIS UniMAP iaitu Nor Syafieqah Aiman Syahrul Effendy dan Mohamad Syafiq terpilih sebagai Pegawai dan Penolong Pegawai Baris sempena perbarisan tamat latihan,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 1,082 pelatih dari 19 Universiti Awam telah menerima Sijil Pelantikan Inspektor Polis Sukarela dari Timbalan Ketua Polis Negara, YDH Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, dimana seramai 58 orang pelatih mewakili Kor SUKSIS UniMAP.

Pada majlis itu juga, tiga pelatih Kor SUKSIS turut menerima anugerah berikut Pelatih Keseluruhan Terbaik (UniMAP) yang diberikan kepada Mohamad Syafiq; Pelatih Terbaik Latihan Luar (UniMAP), Nor Syafieqah Aiman dan Pelatih Terbaik Latihan Akademik (UniMAP), Mohamad Zulhairi Zuriman.

Yang Turut hadir,  Ketua Polis Perlis, SAC Dato Ab Rashid Ab Wahab; Timbalan Komandan UniMAP, SUPT/KS Prof. Madya Dr. Khairul Nizar Ismail; Pegawai Latihan Luar, ASP/KS Raja Shah Erman Raja Arifin; Pegawai Akademik UniMAP, ASP/KS Rohazita Bahari dan Pegawai Latihan UniMAP, Insp. Rohmah Li.

Menurut Dr. Zul Azhar, pembentukan mahasiswa yang berdaya saing perlu seiring dengan pencapaian prestasi akademik yang akan menjadikan Anggota Kor SUKSIS UniMAP itu sendiri mempunyai nilai tambah berbanding pelajar lain yang tidak berpeluang membina ilmu dan kemahiran secara komprehensif.

“Dengan kejayaan dan inisiatif khidmat komuniti yang telah dimulakan sebelum ini, saya berharap ianya tidak terhenti malah menjadi titik permulaan untuk kita terus menerajui inisiatif berimpak kepada universiti, komuniti, negara dan antarabangsa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad Syafiq berkata, kejayaan tersebut merupakan sesuatu yang cukup bermakna sepanjang penglibatan beliau dalam aktiviti kokurikulum di universiti.

“Menjadi pelatih terbaik keseluruhan UA merupakan impian setiap pelatih, dan ianya menjadi suntikan semangat untuk saya terus aktif menabur bakti kepada komuniti dan masyarakat selepas ini.

“Peranan yang dimainkan oleh gologan mahasiswa sangatlah besar memandangkan kami merupakan generasi yang berada di institusi pengajian tinggi dan golongan yang sangat aktif menuntut ilmu dan senantiasa dijadikan contoh oleh masyarakat umum,” ujarnya.

Tambah beliau,  mahasiswa juga  perlu bersedia untuk menjadi penggerak utama dalam menjayakan Wawasan 2020 selagi mana  kepakaran, kemahiran, pendapat dan pandangan mahasiswa diambil kira sebagai pembinaan asas menuju ke arah negara maju. 

Kangar - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dijangka berjimat sehingga RM10 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang menerusi kerjasama strategik dengan Strategic Alliance Sdn. Bhd (SASB) bagi meningkatkan kapasiti saiz jalur lebar melalui langganan “point to point wireless bridge”.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kerjasama itu membolehkan warga UniMAP menikmati capaian saiz jalur lebar yang lebih tinggi iaitu 200 Mbps berbanding hanya 8Mbps sebelum ini.

Menurut beliau, UniMAP yang beroperasi sebagai sebuah Universiti Awam (UA) bercirikan kampus teragih sebelum ini menggunakan capaian internet yang disambungkan melalui langganan litar suwa kepada pembekal perkhidmatan komunikasi negara.

Jelasnya, ia juga selaras dengan hasrat menyediakan UniMAP sebagai sebuah universiti yang unggul, penyediaan kemudahan jalur lebar dan rekabentuk rangkaian komputer untuk kemudahan warga UniMAP harus ditransformasikan.

“Namun, dengan kekangan peruntukan kewangan, UniMAP harus mengambil inisiatif terbaik bersifat serampang dua mata yakni meningkatkan saiz rangkaian jalur lebar dan pada masa sama menjimatkan kos.

“Setelah melihat hasil projek fasa pertama teknologi “point to point wireless bridge” yang menghubungkan Pusat ICT di Kubang Gajah dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sensor (CeasTech) di Taman Muhibbah serta Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Alam Sekitar dan PPK Bioproses, Jejawi, saiz rangkaian jalur lebar berjaya ditingkatkan sehingga 200Mbps dengan melibatkan kos yang sama,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Zul Azhar berkata demikian selepas meninjau peralatan “point to point wireless bridge” yang dipasang di Bangunan KWSP di sini bagi meningkatkan capaian saiz jalur lebar kepada warga UniMAP yang beroperasi di Kangar menerusi projek fasa kedua dengan antena berkeupayaan 800Mbps.

Yang turut hadir Pengarah Pusat ICT UniMAP, Nashrudin Mohd. Shukor; Pendaftar UniMAP, Zuber Haji Mohamad; Dekan PPK Komputer dan Perhubungan, Prof. Ir. Dr. R. Badlishah Ahmad; Dekan PPIPT, Prof Madya Dr. Mohd. Hazry Desa dan Pengarah Urusan SASB, Khairul Nizam Saud.

Menurut Dr. Zul Azhar, fasa kedua yang bermula Jun lalu juga telah selesai dilaksanakan membabitkan Pusat ICT di Kubang Gajah ke Bangunan KWSP, Kangar; Bangunan KWSP ke Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) Pengkalan Jaya; Bangunan PPIPT ke Institut Kejuruteraan Nano  Elektronik (INEE) Seriab dan Bangunan INEE ke Kolej Kediaman wang Ulu.

Tidak ketinggalan, ujar beliau, menerusi fasa kedua itu juga, satu antena berkeupayaan 450Mbps turut dipasang dari Bangunan KWSP ke Jabatan Bendahari, Kangar.

“Secara ringkasnya, projek ini membantu UniMAP melakukan transformasi rangkaian berasaskan litar suwa ke bangunan-bangunan UniMAP di sekitar Kangar dan Jejawi yang sebelum ini mempunyai saiz jalur lebar hanya 38Mbps kepada prasarana baharu dengan jumlah saiz jalur lebar keseluruhan yang ditingkatkan ialah 3,650 Mbps.

“Perkhidmatan ini akan diperluaskan ke kawasan lain termasuk kampus tetap UniMAP di masa akan datang,” ujar beliau lagi.

Kangar, 22 Ogos 2016 – Peluang penempatan pelajar Bumiputera dalam perniagaan atau perindustrian yang dipelopori oleh kaum bukan Bumiputera terbentang luas melalui Program Latihan Industri Perpaduan (PLIP) yang dijalankan bagi siri kedua, kata Pengarah Bahagian Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional (JPNIN) Jabatan perdana Menteri (JPM), Suraya Wen.

Di bawah program itu, beliau katanya yakin dan lebih percaya melalui kerjasama yang bakal termeterai akan memberi peluang kepada lebih ramai pelajar terutamanya Bumiputera untuk mengikuti program ini.

“Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia (MRCA) menyediakan penempatan latihan industri kepada pelajar Bumiputera dari Insititusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terlibat,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Perdana Menteri (JPM); Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM); dan Persatuan Peruncit – Rantaian Malaysia (MRCA) bertempat di Auditorium, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), Kampus Induk UniMAP Pauh Putra baharu-baharu ini.

Tambahnya lagi inisiatif sebegini dilihat akan mengukuhkan jalinan perpaduan antara pelajar bumiputera dengan majikan dan rakan sekerja yang bukan bumiputera bagi meningkatkan semangat perpaduan dan kerjasama erat antara kaum.

“Ini amat penting bagi mengukuhkan ikatan hubungan kaum di Negara ini untuk terus menikmati oleh generasi yang akan datang.

“Inisiatif penganjuran ini telahpun berjaya membuka ruang untuk diteruskan bagi tempoh lima tahun dengan sasaran 5000 mahasiswa bakal mengikuti program ini bermula 2016 hingga 2020 dibawah halatuju RMK-11 teras dua untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal;  Presiden ACCCIM, Datuk Ter Leong Yap; Timbalan Bendahari ACCCIM, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Negara, Dato’ Tan Tian Meng; dan Timbalan Setiausaha Agung MRCA, Dato’ Bruce Lim Aun Chong.

Untuk rekod, sejak PLIP dianjurkan akhir 2014 sebanyak lapan IPT telah menandatangani MoU bersama ACCCIM dan MRCA iaitu  pada 26 November 2014 melibatkan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Manakala pada 18 Mei 2016 pula melibatkan Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Sepang serta yang terkini adalah UniMAP pada 20 Ogos 2016.

ACCCIM mempunyai 28 ribu sektor syarikat perniagaan pelbagai bidang yang dinaunginya manakala MRCA juga mempunyai keahlian lebih 200 buah syarikat perniagaan besar yang mempunyai 10 ribu rangkaian perniagaan yang majoritinya adalah syarikat bukan Bumiputera yang beroperasi di seluruh Negara.

 

SUNGAI CHUCHUH, 16 Ogos – Global Entrepreneurship Summer Camp (GESC) 2016 anjuran Universiti Malaysia Perlis menjadi medan bagi menggilap bakat-bakat mahasiswa untuk menjadi seorang usahawan.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, objektif utama GESC itu adalah untuk mewujudkan semangat keusahawanan di kalangan peserta.

“Dengan cara ini kita dapat memberi pendedahan kepada mereka kepada pelbagai pilihan yang mungkin, supaya mereka boleh membuat keputusan masa depan mereka sendiri dan mencipta pekerjaan  bukan menjadi pencari kerja semata-mata.

“Pendedahan awal seperti ini adalah penting kerana dapat melatih mereka untuk melaksanakan projek-projek mereka sendiri pada masa akan datang,”katanya ketika berucap merasmikan Festival Makanan dan Gerai Jualan sempena GESC 2016 di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan,Dekan Pengurusan Akademik UniMAP yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamaruddin dan Penolong Naib Canselor  Komunikasi Korporat UniMAP, Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd Zain.

Ujar beliau lagi, ilmu keusahawanan boleh diberikan dalam pelbagai cara seperti contoh, melalui lawatan-lawatan sambil belajar ke syarikat-syarikat serta ceramah dari usahawan yang berjaya.

“Selain itu juga  penyertaan dalam program-program keusahawanan serta menjalinkan kerjasama dengan usahawan yang berpengalaman juga dapat memupuk minat kepada golong belia,”katanya.

GESC 2016 disertai seramai 122 peserta dari tiga negara, Bangladesh, Thailand dan Malaysia sebagai tuan rumah. Program selama dua minggu itu berlangsung pada 7 hingga 21 ogos

Kem tersebut memberi pendedahan kepada peserta untuk merasai sendiri pengalaman mengenai ilmu perniagaan seperti contoh lawatan-lawatan ke kilang-kilang, pasar, dan pusat-pusat keusahawanan.

Ia adalah satu peluang yang terbaik untuk berhubung dengan rakan-rakan peserta dari sudut yang berlainan benua dan antara pendekatan yang digunakan dalam GESC 2016 adalah berkonsepkan mentor-mentee.

 

Pauh Putra,21 Ogos – Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ke Karnival Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) diharapkan dapat mencontohi kecemerlangan kakitangan UniMAP di Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) seminggu lalu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan berkata kejayaan kontinjen di SUKUM yang berjaya mempertahankan kejuaraan sembilan tahun berturut-turut dapat dijadikan suntikan semangat kepada kontinjen pelajar ke MASUM.

Katanya, sebelum itu juga kontinjen UniMAP berjaya meningkatkan pencapaian di Karnival Varsiti IMT-GT kali ke-18 di Thailand dengan meraih dua pingat perak dan satu gangsa berbanding karnival terdahulu tanpa meraih sebarang pingat.

“Bidang sukan ini sudah menjadi budaya di kalangan kakitangan UniMAP sejak awal penubuhannya, justeru adalah diharapkan pelajar turut menjadikan sukan sebagai budaya yang dapat mengharumkan nama universiti,” katanya ketika menyampaikan amanat kepada kontinjen UniMAP di Kolej Kediaman Pauh Putra,di sini, semalam.

Karnival MASUM Fasa 1 yang dijadualkan berlangsung mulai 21 hingga 26 Ogos ini diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

UniMAP menyertai lima acara iaitu bola tampar pantai lelaki, squasy lelaki, taekwando lelaki dan wanita serta ping pong lelaki.

Seramai 60 atlet dan pegawai UniMAP menyertai karnival berkenaan.

 

 

 

 

 

KANGAR, 19 Ogos – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar sejarah tersendiri apabila muncul universiti pertama di negara ini menerima pensijilan MS ISO 9001:2015 dari SIRIM QAS Sdn. Bhd baharu-baharu ini.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, UniMAP telah berjaya mencapai sasaran seperti yang ditetapkan Mantan Naib Canselor sebelum ini, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin untuk muncul sebagai  Universiti Awam pertama yang memperolehi pensijilan itu.

“Kejayaan ini diperolehi selepas UniMAP berjaya melepasi audit pensijilan semula dan naik taraf oleh SIRIM QAS pada awal Jun lalu dan pengiktirafan ini sah digunakan sehingga Julai 2019.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini dan ia merupakan hasil kerja keras Pusat Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti yang bertanggungjawab sebagai penyelaras Sistem Pengurusan Kualiti UniMAP,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dato’ Zul Azhar berharap agar pengiktirafan tersebut akan dapat dikekalkan dan semua jabatan di UniMAP harus bersama-sama melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti berdasarkan piawaian baru MS ISO 9001:2015 itu.

Untuk rekod, UniMAP pernah menerima pengiktirafan MS ISO 9001:2008 dari SIRIM pada Julai 2013 bagi Sistem Pengurusan Kualiti, pengiktirafan tersebut sah digunakan selama tiga tahun sehingga Julai 2016.

PAUH PUTRA, 18 Ogos – Seramai lapan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpilih untuk menyertai Program Mobiliti Pelajar 2016, Nahda University, Mesir.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, program mobiliti itu merupakan lawatan balas deligasi Nahda University pada program yang sama Ogos tahun lalu.

“Saya berharap melalui program ini para pelajar dapat menimba ilmu dan pengalaman baharu untuk memajukan diri mereka.

“Sebagai duta kecil UniMAP, gunakanlah peluang yang diberikan ini untuk mempromosikan universiti kita dan juga Malaysia,” katanya selepas menghadiri Majlis Pelepasan Program Mobiliti Pelajar 2016, Nahda University, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, UniMAP, Dato' Prof. Emeritus Ir. Dr. Zainai Mohamed dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Antarabangsa UniMAP, Dr. Noorhafiza Muhammad.

Ujar Dato’ Zul Azhar lagi, semua peserta program itu akan berada di Mesir selama tiga minggu bermula 19 ogos 2016 hingga 9 september  2016.

“Semua peserta ini  dipilih dari dua pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Alam Sekitar dan PPK Komputer dan Perhubungan.

“Program Mobiliti Pelajar 2016, Nahda University merupakan program bukan akademik “non- Academic” berkredit, ia bertujuan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari bidang kejuruteraan awam dan komputer dan komunikasi di universiti itu,”katanya lagi.

Pelajar tahun dua, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer, Erick Hermanto Lasimin, berkata beliau akan menggunakan peluang yang diberikan untuk menimba pengalaman sepanjang berada di Mesir nanti.

“Ini merupakan kali pertama saya mengikuti program seperti ini dan akan menggunakan sebaiknya kepercayaan yang diberikan pihak PPK dan UniMAP untuk mencari pengalaman dan ilmu baharu di sana nanti,”katanya.

Sementara itu bagi Pelajar tahun dua Ijazah sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Syaza Nur Iylia Zulkifli berkata, beliau amat teruja kerana terpilih untuk mengikuti program terbabit.

“Saya tidak menyangka terpilih untuk mengikuti program ini dan berharap agar dapat membawa pulang ilmu yang diperolehi sepanjang di sana nanti untuk berkongsi bersama rakan-rakan di sini,”katanya.

Semua pelajar-pelajar ini ditaja dengan menggunakan dana mobiliti yang diperuntukkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selain sumbangan daripada pusat pengajian serta pelajar sendiri.

Sungai Chuchuh ,17 Ogos – Peserta Global Entrepreneurship Summer Camp (GESC) mengeksresikan penghargaan mereka terhadap tumbuhan menghijau menerusi program Greening The Earth yang diadakan pada hari kesebelas GESC 2016, di sini, hari ini.

Ketua fasilitator, Jasin Abdul Halim yang juga guru bahasa di Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata program ini bertujuan bagi memberi pendedahan kepada peserta GESC 2016 bagi menghargai alam semulajadi khususnya tumbuhan hijau.

Katanya, peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan perlu membawa perkakasan menanam pokok yang disediakan bagi penanaman pokok di kawasan taman permainan dan perhentian bas di Kampus Uniciti Alam, di sini.

“Kumpulan itu juga dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang terdiri daripada empat peserta untuk bekerjasama menanam pokok seterusnya merakamkan video pendek bertemakan Greening The Earth, “katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, video yang dirakamkan menerusi telefon mudah alih peserta itu kemudiannya perlu dimuatnaik ke laman sosial rasmi Facebook GESC 2016 untuk dipilih.

“Video yang dimuatnaik itu perlu dipromosikan kepada  awam atau rakan  di laman sosial berkenaan dengan menandai (tag) rakan-rakan sekumpulan.

“Sehingga jam 5 petang ini, video yang menerima ‘like’ terbanyak dan menepati tema program hari ini akan dipilih sebagai pemenang sekaligus dijadikan video rasmi GESC 2016,” katanya.

Jasin berkata, menerusi program ini peserta GESC yang terdiri daripada pelajar tempatan, Thailand dan Bangladesh itu dapat menyampaikan mesej kepada seluruh dunia mengenai rasa cinta mereka terhadap tumbuhan hijau selepas dimuatnaik di dalam laman sosial.

“Ini menunjukkan penghargaan kepada tumbuhan hijau ini tidak terhad, malah dapat dilakukan oleh sekumpulan kecil seperti peserta-peserta GESC 2016 ini.

“Secara tidak langsung aktiviti ini dapat mendidik peserta dan masyarakat menjaga kehijauan alam tidak kira di mana mereka berada, ” katanya.

Program Greening The Earth yang dikendalikan CIL ini turut mendapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kampus Lestari UniMAP, UniMAP Holdings dan Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) .

GESC 2016 berlangsung sejak 7 Ogos lalu akan berakhir pada Sabtu ini menghimpunkan 103 peserta dari tiga buah negara.

 

Sungai Chuchuh ,17 Ogos – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), berhasrat menjadikan Kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Uniciti Alam sebagai model pembangunan universitinya.

Hasrat Prof  Dr Syeikh Mohammad Khalifa Al-Tamimi itu disuarakan kepada mantan Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin ketika mengadakan lawatan ke kampus itu bersama pegawai khas beliau Ahmad Muhammad Khalifa Al- Tamimi, di sini, hari ini.

Menurut Syeikh Mohammad, beliau tertarik dengan pembangunan Uniciti Alam yang langsung tidak menggunakan bajet kerajaan malah dapat dibangunkan dengan cepat dan cantik menerusi kerjasama dengan syarikat swasta.

Katanya, kampus Uniciti Alam ini akan dijadikan sebagai contoh dan model terbaik dalam membangunkan MEDIU yang ditubuhkan pada penghujung 2006 itu dengan kampus utamanya di Shah Alam, Selangor.

“Saya amat berbesar hati dengan perkongsian Dr Kamarudin mengenai pembangunan UniMAP khususnya kampus Uniciti Alam ini yang difahamkan turut menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Terdahulu Syeikh Mohammad dibawa melawat Kampus Pauh Putra iaitu lawatan ke Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) sebelum melawat hub-digital UniMAP , Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) serta menyampaikan syarahan akademik di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), di sini.

Hadir sama mengiringi beliau ke lawatan itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Abdul Hamid Adom, Mufti Perlis Dato’ Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Rektor KUIPs Dr Mohd Mizan Mohamad Aslam.

KUALA PERLIS, 16 Ogos – Seramai 103 peserta Global Entrepreneurship Summer Program (GESC) dibawa melawat Kompleks Kraftangan Perlis bagi mempromosikan budaya Malaysia disamping mempelajari cara syarikat tersebut diuruskan.

Pelajar Perniagaan Antarabangsa, Mahasarakham Univesity Thailand, Tanaporn Chusakul, 21, berkata,  lawatan memberikan banyak pendedahan kepada beliau berkaitan pengurusan syarikat dan pemasaran.

“Lawatan ke Kompleks Kraftangan ini adalah mampu memberi  pendedahan kepada saya tentang pengurusan dan pemasaran produk syarikat yang boleh dihubungkaitkan dengan program yang saya belajar di universiti.

“Di samping melihat hasil-hasil kraftangan yang dipamerkan, kami juga diberi peluang mencuba sendiri membanting batik dan membuat ukiran pada kayu,”katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu bagi pelajar program Keusahawanan, Daffodil International University Bangladesh, Md. Atikur Rahman, 22, berkata, lawatan tersebut juga memberi  pendedahan dan peluang kepada pelajar untuk mencuba menghasilkan sendiri kraftangan.

“Jika sebelum ini saya hanya melihat di dalam televisyen, tetapi hari ini saya berasa sangat teruja kerana diberi peluang melawat dan mencuba sendiri mencanting batik dan membuat ukiran di kayu,” katanya.

Sepanjang lawatan itu peserta turut dibawa melawat pusat pelbagai bidang kraf seperti barangan kraf hasil logam seperti keris, parang dan pisau, kraf tekstil batik, aneka Kraf seperti rantai, gelang perhiasan diri dan capal, serta kraf hasil rimba seperti rantai kunci daripada kayu dan pelbagai lagi.

Bagi pelajar Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Ainaa Mardhiya Md Zain, 23,  berkata lawatan itu  merupakan pengalaman baharu buatnya.

“Hasil kraftangan bukanlah sesuatu yang mudah seperti yang kita tengok di dalam kaca televisyen kerana memerlukan kemahiran. Mencuba sendiri menghasilkan kraftangan adalah pengalaman baru saya bersama pelajar-pelajar yang lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Seramai 103 terdiri daripada tujuh orang pelajar Daffodil International University Bangladesh, 20 pelajar Mahasarakham Univesity Thailand dan 76 UniMAP, terlibat dalam lawatan tersebut.

PAUH PUTRA, 15 Ogos – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima 46 buah bas dalam persediaan menerima pelajar-pelajar baharu Sidang Akademik 2016/2017 yang dijangka mendaftar penghujung bulan ini.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, UniMAP telah menjalinkan kontrak bersama IR-SAF Holidays dan Ekspress Sdn. Bhd. selama tiga tahun untuk membekalkan 46 buah bas untuk kegunaan pelajar UniMAP.

“Bas-bas ini telah dipecahkan kepada empat kampus UniMAP iaitu kampus UniCiti (10 bas), Kolej Kediaman Wang Ulu (20 bas), Kolej Simpang Empat  (10 bas) dan  Pauh Putra (6 bas).

“Pecahan ini adalah mengikut nisbah jumlah pelajar yang ditempatkan di kolej kediaman serta kampus-kampus UniMAP,”katanya ketika ditemui pada sesi pemeriksaan bas-bas kontrak dan dokumen-dokumen yang berkaitan di Dataran Kejat, Dewan Ilmu UniMAP.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, Pengarah Jabatan Pembangunan UniMAP, Prof. Madya Mazelan Abdul Hamid dan Pengarah Urusan IR-SAF Holidays dan Ekspres Sdn Bhd. Khairul-Syakirin Harith Fadzilah.

Sementara itu, Prof. Madya Mazelan berkata, sebanyak 10 buah bas telah beroperasi di kampus UniCiti untuk digunakan pelajar-pelajar Diploma.

“Sebagai permulaan, kita telah menempatkan sebanyak 10 buah bas untuk memudahkan pelajar diploma yang tinggal di Kampus UniCiti bergerak ke kelas dan bandar Kangar,”katanya.

 

 

 

Sungai Chuchuh, 13 Ogos – Peserta Global Entrepneurship Summer Camp (GESC) 2016 didedahkan dengan perancangan memulakan perniagaan di hari ketujuh kem itu berlangsung.

Bengkel ‘Business Start-up Simulation’ yang membabitkan kesemua peserta dikendalikan oleh Pusat Pengajian Perniagaan Inovasi dan Teknousahawan (PPIPT) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diketuai pensyarah kanan pusat pengajian itu, Dr Tunku Salha Tunku Ahmad.

Menurut Tunku Salha, bengkel yang diadakan sempena program GESC 2016 itu adalah langkah pertama peserta bagi merancang perniagaan yang bakal dijalankan sempena Festival Makanan pada Selasa depan.

Katanya, kesemua peserta dibahagikan kepada 10 kumpulan yang akan diberi sebuah gerai setiap kumpulam bagi jualan Festival Makanan GESC itu.

“Mereka perlu berbincang  mengenai produk makanan yang akan dipasarkan di festival berkenaan sekaligus merancang strategi bagi mendapat hasil jualan yang menguntungkan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Salah seorang fasilitator bengkel berkenaan, Razif Jamaludin berkata setiap kumpulan peserta itu dilantik seorang pengasas yang perlu mengemudi perancangan perniagaan yang dipilih mereka.

Katanya ,mereka terdiri daripada 12 hingga 13 orang peserta pelbagai negara bagi membolehkan mereka berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris ketika berbincang dengan dibantu enam fasilitator.

“Seperti perniagaan sebenar, mereka juga diberi kemudahan pinjaman sebanyak RM500.00 setiap kumpulan dan jumlah itu perlu dibayar selepas perniagaan mereka selesai dengan kadar bayaran 100 peratus jumlah pinjaman itu.

“Mereka perlu menjalankan perniagaan itu dalam tempoh dua jam sahaja manakala keuntungan yang diperolehi akan diberikan kepada mereka untuk dimanfaatkan oleh mereka sendiri,”katanya.

Sementara itu, salah seorang ketua kumpulan Amar Aslam Zakaria yang juga pelajar Kejuruteraan Keusahawanan berkata bengkel ini secara tidak langsung memberi ilmu yang sangat bermanfaat kepada setiap peserta sekaligus dapat merancang mengadakan perniagaan sebenar pada masa hadapan dengan mudah.

“Kumpulan kami yang terdiri daripada sembilan pelajar UniMAP dan tiga dari Thailand merancang perniagaan menjual snek dan minuman untuk Festival Makanan minggu hadapan.

“Kami merancang menjual snek seperti ‘chicken pop’ yang sedap dan mudah disediakan di samping minuman coconut shake yang pasti menarik pelanggan untuk menikmatinya,” katanya.

GESC 2016 yang bermula pada 7 Ogos lalu menghimpunkan 103 peserta dari tiga buah negara iaitu Bangladesh, Thailand dan Malaysia dengan UniMAP sebagai tuan rumah pada penganjuran kali pertama itu.

Nilai, 12 Ogos – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus melakar kecemerlangan di Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) 2016 apabila muncul juara keseluruhan bagi acara olahraga dan tenpin boling.

Pada kejohanan yang menghimpunkan warga Universiti Awam (UA) seluruh negara yang dihoskan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, UniMAP berjaya membolot enam pingat emas daripada 10 pingat emas yang dipertandingkan dalam acara tenpin boling.

Lebih membanggakan, atlit tenpin boling UniMAP, Mohd. Zulfauzi Mohd. Sawal menyapu bersih kesemua lima pingat emas bagi kategori lelaki iaitu menerusi acara perseorang lelaki, berpasangan lelaki yang menggandingkan beliau dengan Nurakmal Ramli, berkumpulan lelaki, all event lelaki dan masters lelaki. 

Satu lagi pingat emas menerusi tenpin boling disumbangkan oleh Prof Dr. Rosni Bakar dan Mahzura Mahmood menerusi acara berpasangan wanita.   

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan selaku Ketua Kontinjen UniMAP berkata selain enam pingat emas itu, acara boling turut menyumbang tiga perak dan satu gangsa.

“Pingat perak disumbangkan menerusi acara all event lelaki (Nurakmal), all event  wanita (Mahzura) dan acara berpasukan wanita manakala satu pingat gangsa disumbangkan Nurakmal dalam kategori single tenpin boling lelaki,” katanya.

Menurut Mohd Foad, selain acara boling, UniMAP juga mengungguli acara trek dan balapan yang berlangsung di Kompleks Sukan Tunku Najihah, USIM menerusi 14 pingat emas, lapan pingat perak dan lima pingat gangsa.

Bagaimanapun, ujar beliau, berdasarkan jawatankuasa teknikal olahraga, pingat individu mengikut acara dikelompokkan kepada empat kategori sahaja iaitu lelaki senior, lelaki veteran, wanita senior dan wanita veteran sekaligus menjadikan hanya empat pingat yang ditawarkan menerusi acara olahraga.

Sungguhpun begitu, ujar beliau, barisan atlit UniMAP berjaya memenangai dua pingat emas iaitu menerusi kategori lelaki dan wanita senior dan lebih membanggakan, UniMAP mengungguli kategori lelaki senior apabila berjaya memperolehi lapan pingat emas, satu pingat perak dan tiga pingat gangsa daripada 10 acara yang dipertandingkan.

“Bagi kategori wanita senior pula, UniMAP memperoleh lima pingat emas, enam pingat perak dan satu pingat gangsa manakala satu pingat emas diperolehi menerusi kategori lelaki veteran serta masing-masing satu pingat emas dan gangsa menerusi kategori wanita veteran.

“Kejayaan ini sememangnya sesuatu yang telah kita jangkakan, memandangkan UniMAP sebagai sebuah UA yangbaharu berusia 14 tahun sememangnya mempunya kakitangan yang berusia di bawah 40 tahun yang menjadi sandaran bagi kategori lelaki senior.

“Selepas ini, UniMAP akan menumpukan usaha untuk memperkasakan atlit bagi kategori lelaki dan wanita veteran dan pastinya akan memberikan saingan sengit pada edisi SUKUM akan datang,” ujarnya lagi.

Pingat emas UniMAP bagi kategori lelaki senior ialah menerusi acara 100 dan 200 meter menerusi Mohd. Helmi Ahmad, 400 meter (Idris Zakaria), merejam lembing (Mohd Akmal Mad Zain), melontar peluru (Adi Alifuddin Hussin), melempar cakera (Firdaus Jamen) serta acara 4x100 (Mohd. Helmi, Idris, Mohd. Robani Hassan dan Nazmizan Muhammad) dan 4x400 meter yang dibarisi oleh (Mohd. Baihaqi Razlan, Nazmizan, Mohd. Robani dan Idris).

Bagi kategori wanita senior pula, UniMAP meraih pingat menerusi ratu pecutnya Norhaslinda Md Hussein bagi acara 100 dan 200 meter, Nur Atikah Awang (400 meter), Farah Ainumi Hanum Anuar (1,500 meter) serta 4x400 meter (Nurhaslinda, Afifah Saad, Farah Aninumi Hanum dan Nur Atikah).

Sebanyak 21 pasukan mengambil bahagian dalam SUKUM 2016 dengan pembabitan lebih 3,600 atlet dan pegawai. Selain tenpin boling dan olahraga, terdapat 14 acara sukan dipertandingkan antaranya, bola sepak, bola jaring, bola tampar, catur, futsal, berbasikal, karom, dart, ping pong, badminton, tarik tali, sepak takraw dan tenis.

 

 

 

 

 

 

SUNGAI CHUCHUH, 11 Ogos – “Sebagai seorang usahawan akan ada banyak peluang di mana integriti anda boleh digugat untuk memperolehi keuntungan dalam jangka masa yang pendek.

“Jangan pernah berkompromi dengan integriti anda dan jangan menjual jiwa sehingga terdorong untuk melakukan perkara yang akan menghantui anda, ianya tidak berbaloi,” demikian pesanan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dato’ Dr. Mohd Sofi Osman kepada peserta Global Entrepreneurship Summer Camp (GESC) 2016 , di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan mantan Pengarah Urusan dan Timbalan Presiden Alterra Corporation (M) Sdn. Bhd berkata demikian pada slot Inspiring CEO Talk One yang berlangsung di Dewan Kuliah Dua,Kampus UniCiti di sini.

Turut hadir, Penolong Naib Canselor  Komunikasi Korporat UniMAP, Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd Zain dan Penolong Naib Canselor Keusahawanan dan Kelestarian Kewangan UniMAP, Prof. Dato' Wira Dr. Mohd Salleh Din.

GESC 2016 berlangsung mulai  7 hingga 21 Ogos ini disertai seramai 103 peserta dari tiga negara iaitu Bangladesh, Thailand dan Malaysia sebagai tuan rumah dengan penganjuran buat julung kali diadakan.

Kem tersebut memberi pendedahan kepada peserta untuk merasai sendiri pengalaman mengenai ilmu perniagaan seperti lawatan-lawatan ke kilang-kilang, pasar, dan pusat-pusat keusahawanan sekitar negeri Perlis.

Ia adalah satu peluang yang terbaik untuk berhubung dengan rakan-rakan peserta dari sudut yang berlainan benua dan antara pendekatan yang digunakan dalam GESC 2016 adalah berkonsepkan mentor-mentee

 

 

 

 

Nilai, 11 Ogos – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus melakar kecemerlangan di Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) 2016 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan menambah koleksi pingat emas menerusi acara boling, di sini, semalam.

Tiga pingat emas disumbangkan oleh Zulfauzi Mohamad Sawal dalam kategori single tenpin boling, double bersama Nurakmal Ramli dan all event tenpin boling individu.

Manakala dua lagi emas diraih double tenpin boling wanita iaitu Prof Dr Rosni Bakar dan Mahzura Mahmood serta tenpin berpasukan lelaki.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan selaku Ketua Kontinjen UniMAP berkata selain lima pingat emas itu, acara boling turut menyumbang tiga perak dan satu gangsa.

“Pingat perak disumbangkan menerusi kategori all event tenpin individu lelaki (Nurakmal), all event tenpin individu wanita (Mahzura) dan event tenpin wanita berpasukan.

“Satu gangsa disumbangkan Nurakmal dalam kategori single tenpin boling lelaki menjadikan keseluruhan kutipan pingat bagi acara boling adalah lima emas, tiga perak dan satu gangsa pada hari ketiga SUKUM 2016,” katanya.

Menurut Mohd Foad, selain acara boling satu lagi pingat perak UniMAP disumbangkan oleh acara bola padang veteran selepas ditewaskan pasukan Universiti Sains Malaysia (USM) dengan satu jaringan tanpa balas pada aksi perlawanan akhir di

Katanya, dua lagi gangsa UniMAP diperolehi pasukan sepak takraw dan pasukan bola jaring.

UniMAP akan terus memburu koleksi pingat bagi acara boling kategori masters selain bola tampar wanita yang bakal beraksi di separuh akhir menentang Universiti Malaya (UM) serta perlawanan akhir futsal wanita menentang Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini,” katanya.

ATLET lontar peluru negara, Adi Aliffudin Hussin melancarkan misi mencipta sejarah untuk meraih pi­ngat emas pertama Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun hadapan.

Jaguh berusia 28 tahun itu mengakui sudah tiba masa untuk memberi fokus terhadap misi me­raih kalungan pingat emas sahaja selepas sekadar mengutip tiga perak serta satu gangsa sepanjang lima kali penglibatan dalam temasya sukan dwitahunan Asia Tenggara tersebut.

Meskipun sentiasa berwaspada terhadap ancaman jagoan Thailand, Adi kekal optimis untuk mampu mengatasi cabaran daripada atlet negara jiran tersebut kerana pernah menewaskan Thawat Khachin semasa meraih pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2016 di Singapura baru-baru ini.

“Bukan cuma berharap atau setakat yakin, tapi saya memang betul-betul mahu menang emas Sukan SEA nanti.

“Sukan SEA tahun depan akan diadakan di Malaysia. Inilah peluang terbaik untuk mencipta sejarah dan mengharumkan nama negara sepanjang 13 tahun saya bergelar atlet kebangsaan.

“Pencabar terkuat saya selama ini dari Thailand. Tapi keyakinan saya meningkat selepas mengalahkan Thailand di AUG Singapura,” ujarnya selepas memenangi pingat emas pada temasya Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) di Nilai, Negeri Sembilan semalam.

Atlet yang mewakili Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu me­lakukan lontaran 15.56 meter (m) ketika menewaskan peserta Universiti Teknologi Malaysia, Muhd. Khairul Hafidzin Abdul Wahad yang dikalungkan pingat perak dengan catatan 12.33m.

Saingan akhir acara lontar peluru di Kompleks Sukan Tunku Najihah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut menyaksikan bekas atlet kebangsaan, Muhammad Malik Ahmad Tobias yang mewakili Universiti Putra Malaysia meraih pingat gangsa selepas mencatat lontaran 14.87m.

Mengulas lanjut, Adi yang kini berada di bawah program Kita Juara kendalian Majlis Sukan Negara akan berlepas ke Jerman sejurus selepas menyertai kejohanan olahraga Terbuka Malaysia pada September ini.

“Saya tak letak apa-apa sasaran untuk Terbuka Malaysia kerana fokus saya memang untuk Sukan SEA 2017,” katanya.-KOSMO!

Kangar : Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini menerima kunjungan rasmi dari Northern Technicshe Consulting Sdn. Bhd. (NTC) dan University of Applied Science Regensburg, Jerman (OTH Regensburg) yang antara lainnya bertujuan berkongsi pengalaman dan maklumat terkini antara ketiga-tiga pihak. Delegasi tertinggi dari OTH Regensburg diketuai oleh Presidennya iaitu Prof. Dr Wolfgang Baier dan pengurusan tertinggi universiti Jerman tersebut.

Selain itu, ia juga merupakan platform terbaik dalam mengukuhkan lagi rangkaian kerjasama antarabangsa dan industri UniMAP yang dapat memberikan manfaat besar buat UniMAP sebagai sebuah Universiti Awam kerana NTC sebagai pemain industri serta OTH Regensburg sebagai universiti antarabangsa tersohor, akan melonjakkan lagi kejayaan universiti, ujar Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Menurut beliau, kerjasama yang merangkumi bidang penyelidikan, akademik dan jalinan antarabangsa dan industri itu juga turut disasarkan mampu mengukuhkan kedudukan UniMAP umumnya dan Pusat Pengajian Mikroelektronik serta Pusat Latihan Penyelidikan dan Pengajian Berterusan (RETRACE) yang berpusat di Anjung UniMAP, Kulim khususnya sebagai sebuah institusi yang membudayakan pendidikan dan penyelidikan sepanjang hayat.

Ujar beliau, kerjasama ini pastinya sesuatu yang menguntungkan memandangkan NTC bakal memulakan operasinya di Kulim Hi Tech Park tidak lama lagi manakala OTH Regensburg merupakan sebuah universiti yang sangat terkemuka beroperasi di Jerman.

“Antara potensi yang dilihat mampu dikembangkan ialah dalam bidang mikroelektronik yang merupakan teras utama UniMAP semenjak awal penubuhan universiti ini lagi. Delegasi NTC dan OTH Regensburg juga dibawa melawat beberapa buah makmal di PPK Mikroelektronik dan Pusat Kejuruteraan seperti Microelectronic Cleanroom, Photonics/LED/SSl Lab, Micro/Nanosystem Labs dan 1.0MW Solar Project.

Selari dengan lawatan tersebut juga, turut diadakan ialah satu majlis ringkas menandatangani Surat Niat (LOI). Pada majlis tersebut, UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya sendiri, NTC diwakili oleh Pengarah Urusannya, Daniel GohEng Ann (Managing Director) manakala Presiden OTH Regensburg, Prof. Dr. Wolfgang Baier menandatangani bagi pihak OTH Regensburg.

 

 

 

 

Nilai, 9 Ogos – Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti Malaysia (SUKUM 2016) berjaya meraih pingat emas pertama menerusi Mohd. Zulfauzi Mohd. Sawal dalam acara tenpin boling  (single lelaki).

Mohd. Zulfauzi yang mencatatkan 1,258 jatuhan pin berjaya mengenepikan saingan pemain Universiti Utara Malaysia (UUM), Iskandar Adon yang hanya mampu mencatatkan 1,238 jatuhan pin.

UniMAP turut meraih pingat gangsa dalam acara yang sama menerusi Nurakmal Ramli yang melakukan 1213 jatuhan pin.

Sementara itu bagi kategori perseorangan wanita pula, para pemain UniMAP gagal menyumbangkan sebarang pingat apabila hanya mampu menempatkan diri pada kedudukan keenam terbaik. Tiga lagi wakil UniMAP sekadar menduduki tangga ke-12, 27 dan 50 daripada keseluruhan 64 peserta yang mengambil bahagian.

Pingat emas bagi kategori single wanita dimenangai oleh Universiti Sains Malaysia (USM), Perak menjadi milik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan gangsa milik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Dalam perkembangan lain, pasukan dart UniMAP gagal mencuri tempat untuk mara ke pusingan separuh akhir selepas tumpas kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kiraan mata 1-3.

Bagi acara bola tampar pula, UniMAP berjaya meraih mata bagi perlawanan pertama apabila pasukan bola tampar lelaki menundukkan pasukan tuan rumah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) 2-1 manakala pasukan bola tampar wanita pula menewaskan UIAM 2-0.

Pasukan bola sepak veteran turut memulakan aksi memberansangkan apabila menumpaskan pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan 3 jaringan berbalas 2.

Bagaimanapun, pasukan tenis campuran UniMAP gagal mengekang kehebatan pasukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang juga merupakan juara bertahan selepas hanya mampu memenangi tiga daripada tujuh perlawanan.

Tiga mata tersebut disumbangkan oleh pemain single lelaki; Ahmad Hazeeq Hisham, beregu wanita; Nur Farhana Yusoff dan Zuhannis Zahari serta kategori beregu lelaki terbuka menerusi Ahmad Faizal Mansor dan Nurul Amri Ahmad.

Kangar – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan meneruskan Program “Jom Masuk UniMAP” khusus untuk membantu pelajar yang datang dari keluarga berpendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan, anak yatim atau dijaga oleh ibu/bapa tunggal meneruskan pengajian ke program-program pengajian peringkat ijazah sarjana muda yang ditawarkan di universiti tersebut .

Walaubagaimanapun, calon pelajar perlu memenuhi syarat-syarat am dan khas kemasukan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti dengan keutamaan diberikan kepada calon daripada Aliran Sains.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Promosi Universiti, Prof. Madya Dr Rizalafendi Ismail, program ini adalah khusus bagi pengambilan kemasukan bagi Sidang Akademik 2016/2017 yang akan berdaftar September ini.

“Calon pelajar yang berminat bolehlah mengunjungi sesi jerayawara yang dikendalikan oleh Sekretariat Promosi dan Bahagian Pengurusan Akademik UniMAP di lima lokasi terpilih di negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Kuala Lumpur,” ujar beliau yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jom Masuk UniMAP akan berlangsung serentak mulai 6 hingga 12 Ogos di tiga lokasi iaitu One Stop Centre UniMAP di Bangunan KWSP Kangar, Anjung UniMAP Kulim di Kulim Hi Tech Park dan Anjung UniMAP Kuala Lumpur di Tingkat 26, Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sekretariat Jom Masuk UniMAP juga akan berada di Pejabat Yayasan Terengganu, Kuala Terengganu pada 6 Ogos dan Bilik Seminar Sutera Inn Prima, Kota Bharu, Kelantan pada 7 Ogos mulai jam 9 pagi hingga 1 petang.

Menurut Dr Rizalafendi, program tersebut adalah selaras dengan aspirasi kerajaan yang menggalakkan Universiti Awam (UA) menjelajah ke setiap pelusuk termasuk di luar bandar bagi membantu pelajar-pelajar yang berkelayakan tetapi kurang berkemampuan supaya tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan.

“Kerajaan sedar peluang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi semakin sengit dan atas beberapa faktor menyebabkan pelajar yang tinggal di luar bandar tercicir,” katanya.

 “Pelajar yang berminat perlu membawa salinan dokumen yang diperlukan iaitu kad pengenalan, slip gaji, salinan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Matrikulasi/ Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia/ Diploma, Sijil MUET, salinan slip gaji atau akuan pendapatan yang disahkan serta Kad OKU atau Kad JKM (jika berkenaan),” jelas beliau.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi, Unit Kemasukan dan Rekod Pelajar, Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar dii talian 04-979 8706 atau 04-979 7941.

 

Arau, 3 Ogos - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menetapkan misi untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ke sembilan berturut-turut pada Kejohanan  Sukan Universiti-universiti Malaysia (SUKUM) ke-41 yang akan berlangsung pada 6 hingga 13 Ogos 2016 di Universiti Sains Islam  Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, UniMAP mensasarkan untuk meraih lebih dari tujuh pingat emas mengatasi jumlah kutipan enam emas  pada tahun lalu.

“Misi kita ini adalah untuk terus mengekalkan gelaran juara seperti edisi tahun lalu dan pada tahun ini kita mensasarkan tujuh emas, lima perak dan sembilan gangsa.

“Antara acara yang disasarkan menjadi penyumbang emas, Bola Sepak Senior, Tenpin Boling Lelaki dan Wanita, Boling Padang Lelaki, Olahraga Lelaki dan Wanita serta acara Basikal,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Naib Canselor kepada Kontinjen SUKUM UniMAP di Dewan Serbaguna, Kampus UniMAP Kubang Gajah, di sini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP  Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan merangkap Ketua Kontinjen SUKUM UniMAP dan Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Suhizaz Sudin.

Katanya lagi, beliau yakin, atlet-atlet UniMAP mampu melakukan kejutan untuk meraih lebih banyak pingat pada kejohanan kali ini.

UniMAP menghantar seramai 374 atlet dan pegawai untuk menyertai 22 acara iaitu Badminton Campuran, Basikal (Lelaki), Bola Sepak (Senior dan Veteran), Bola Tampar (Lelaki), Bola Tampar (Wanita), Boling Padang (Lelaki dan Wanita), Bola Jaring (Senior), Dart (Campuran),Catur (Lelaki dan Wanita), Futsal (Lelaki dan Wanita), Olahraga (Lelaki dan Lelaki Veteran), Olahraga (Wanita dan Wanita Veteran),Sepak Takraw (Berpasukan), Tenis, Tenpin Boling (Lelaki dan Wanita) dan Ping Pong.

Untuk rekod, pada tahun lalu, UniMAP muncul juara keseluruhan pada SUKUM ke-40 yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM)  dengan kutipan pingat enam emas, empat perak dan dua gangsa.

  

 

 

Perkembangan teknologi dan penggunaan media sosial yang begitu optimum pada masa kini bukanlah alasan untuk mana-mana individu bersikap negatif, ganas ataupun menyemarakkan bibit permusuhan di kalangan masyarakat.

Sebaliknya, teknologi dan media sosial jika digunakan secara betul pasti dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat dan pada masa sama menyemarakkan lagi kasih sayang serta perpaduan.

Demikian antara intipati pembentangan berkumpulan yang disampaikan oleh Farrah Hanim Osman Jailani yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Karnival Varsiti IMT-GT yang berlangsung di Thailand baru-baru ini.

Kumpulan yang dianggotai Farrah Hanim, 21, berjaya menumpaskan empat lagi pasukan lain untuk muncul pemenang pembentangan terbaik Karnival Varsiti IMT-GT melalui hasil pembentangan yang menggunakan hashtag #Random ActOfKindness dan #SharingExperience.

Menurut beliau, antara lainnya, intipati pembentangan pasukannya berkonsepkan perkongsian pengalaman tentang perkara-perkara kebaikan yang boleh dilakukan secara spontan dan tanpa perlu dipaksa.

“Kami memilih beberapa contoh kebaikan untuk diketengahkan dalam slot pembentangan iaitu hadiahkan senyuman, pujian, membantu orang lain, nilai murni yang mana kesemua ini merupakan antara sikap terpuji yang perlu untuk disebarluaskan melalui media sosial.

“Pada masa sama, saya dan pasukan turut menekankan bahawa kesemua ini bukanlah bermaksud untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya ia mampu menjadi suntikan motivasi kepada individu lain untuk melakukan yang sama,” ujar beliau.

Selain Farrah Hanim, pasukan tersebut turut dianggotai oleh wakil dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sumatera Utara (USU), Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Universiti Medan (Unimed), Rajamanggala University Technology Srivijaya (RUTS), Prince Of Songkhla University (PSU) dan Wailalak University.

Bagi Farrah Hanim sendiri, idea untuk topik pembentangan itu juga timbul secara spontan ketika karnival berlangsung iaitu sewaktu beliau secara tidak sengaja menumpahkan kopi di bilik perbincangan.

“Saya agak panik ketika itu, namun apabila rakan-rakan menghulurkan bantuan tanpa perlu diminta ia amat menyentuh hati dan sanubari saya. Walau berlainan bangsa, negara dan budaya namun, kebaikan itu bukanlah sesuatu yang sukar,” ujarnya.

Kangar, 2 Ogos – Karnival Varsiti IMT-GT yang dihoskan oleh Rajamanggala University Technology Srivijaya (RMUTs), Thailand berakhir semalam berjaya menonjolkan potensi pelajar dalam tiga bidang utama iaitu akademik, sukan dan kebudayaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, karnival tahunan yang berlangsung selama tujuh hari itu menjadi bukti bahawa semangat perpaduan dapat ditonjolkan melalui pelbagai aktiviti walaupun terdapat perbezaan dari segi budaya, agama dan latar belakang.

Jelas beliau, penganjuran Karnival Varsiti IMT-GT yang masuk kali ke-18 penganjurannya itu turut membuka minda pelajar bahawa perbezaan latar belakang, sosio ekonomi mahupun budaya bukanlah alasan kepada pelajar untuk memilih kehidupan “seperti katak di bawah tempurung”.

“Melalui perbezaan itulah pelajar perlu menggunakan setiap ruang dan peluang untuk mencari titik persamaan, berkongsi  idea seterusnya mengeratkan hubungan sesama negara melalui kerjasama yang dijalankan.

“Selepas hampir 20 tahun penganjuran (mula diperkenalkan pada tahun 1995), saya melihat karnival ini sebagai medan terbaik untuk pelajar dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand menonjolkan potensi diri bukan sahaja dalam bidang akademik untuk manfaat bersama,” ujarnya.

Selain UniMAP, karnival tersebut turut disertai oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan empat buah universiti dari Indonesia iaitu Institut Teknologi Medan (ITM), Universiti Sumatera Utara (USU), Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) dan Universiti Medan (Unimed).

Sementara itu, RMTUs, Thailand turut diwakili oleh Prince Of Songkhla University (PSU), Thaksin University dan Wailalak University. Antara aktiviti akademik yang dijalankan ialah seminar, pembentangan kertas kerja dan pembentangan kumpulan.

Menurut Mohd. Foad, kumpulan yang dianggotai oleh seorang pelajar UniMAP, Farrah Hanim Osman Jailani, 21 berjaya menumpaskan empat lagi kumpulan lain untuk muncul pemenang pembentangan terbaik berkumpulan.

Selain itu, ujarnya, peserta dari UiTM, Hindun Sharmaine Zulkifli pula berjaya dinobatkan sebagai pemenang anugerah kertas kerja terbaik dalam slot pembentangan individu yang bertemakan Peranan Belia Dalam Komuniti ASEAN Masa Hadapan.

“Pembentangan ini dibahagikan kepada empat subtopik iaitu Pendidikan, Ekonommi, Sosial dan Alam Sekitar. Hindun Sharmaine berjaya menumpaskan kesemua peserta individu lainnya melalui pembentangan beliau bagi topik ekonomi.

“Secara keseluruhannya saya melihat penglibatan pelajar dari negara kita amat baik sekali dan mereka berjaya menonjolkan ciri-ciri kepimpinan dan semangat berpasukan yang tinggi,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Foad berkata, UniMAP turut berjaya memperbaiki pencapaian dalam bidang sukan di karnival tersebut tahun ini apabila meraih dua pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi enam acara yang dipertandingkan.

Jelas beliau, pingat perak disumbangkan oleh pasukan bola keranjang dan bola tampar pantai lelaki manakala pingat gangsa oleh pasukan tenis. Juara keseluruhan menjadi milik Thaksin University dengan tiga pingat emas.

“Ini merupakan pencapaian terbaik sukan semenjak kita menyertai karnival ini. Bagi tiga lagi acara iaitu bola sepak, badminton dan bola tampar pantai wanita, UniMAP terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lawan apabila tumpas di peringkat kumpulan,” katanya.

Bagi kategori kebudayaan pula, Mohd. Foad memberitahu, UniMAP yang diwakili oleh 17 orang pelajar berjaya menerima pengiktirafan kumpulan kebudayaan harapan terbaik.

“Bagi slot ini (kebudayaan) para pelajar didedahkan dengan persembahan kebudayaan mengikut negara, kombinasi persembahan kebudayaan antara budaya serta persembahan kebudayaan universiti,” jelasnya.