Padang Besar, 30 Julai –Seramai 26 pelajar mengikuti lawatan akademik dan khidmat masyarakat ‘Kembara Di Bumi Asean’ selama tiga hari dua malam anjuran Kolej Kediaman Uniciti ALAM Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama komuniti di Thasala, Nakhon Si Tammarat Thailand.

Kembara  yang disertai pelajar dari pelbagai kolej kediaman UniMAP itu bermula di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Besar sebelum ke Bandar Hatyai dan seterusnya ke Nakhon Si Tammarat.

Pengetua Kolej Kediaman Uniciti Alam, Syed Akhmal Syed Jamalil berkata tujuan  program kembara ASEAN ini adalah sebagai salah satu menyerlahkan UniMAP di persada antarabangsa menerusi lawatan akademik dan khidmat masyarakat.

Katanya, Walailak University merupakan destinasi pertama deligasi yang turut disertai enam orang Penolong Pengetua, Pengurus Asrama dan kakitangan kolej kediaman itu bagi program lawatan akademik.

“Di Walailak University, pelajar diberi pendedahan tentang gaya hidup serta budaya pelajar di universiti yang mempunyai 700 pelajar itu sekaligus meningkatkan peluang memantapkan struktur kolej kediaman di universiti kita,” katanya.

Menurut Syed Akhmal, selain lawatan akademik berkenaan deligasi turut mengadakan program khidmat masyarakat di Prateepsat Ismail Memorial School dan Madrowsatul Ulumiddeen dengan memberi sumbangan berupa alat tulis dan wang tunai.

“Deligasi berpeluang mengadakan aktiviti kemasyarakatan iaitu mengajar pelajar di sekolah agama, memberi sumbangan kepada sekolah pondok swasta serta sukaneka bersama pelajar.

“Secara tidak langsung, program seperti ini bukan sahaja bermanfaat kepada pelajar tetapi mampu mempromosikan universiti, negeri Perlis dan Malaysia kepada masyarakat Asean khususnya Thailand,” katanya.

Deligasi UniMAP itu turut berpeluang melawat Wat Phra Mahathat di bandar Nakhon Si Tammarat yang merupakan antara kuil terpenting di negara Thailand selain tercatat antara Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Georgetown, 25 Julai – Biarpun sudah empat bulan bersara, ketokohan mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus diingati dan dihargai apabila dianugerahkan Anugerah Tokoh Kepimpinan UniMAP 2016.

Penganugerahan anugerah kepada Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin itu adalah sempena Majlis Anugerah Tokoh Alumni UniMAP (ALUMNIGHT) 2016 anjuran Persatuan Alumni dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UniMAP yang diadakan di Hotel Equatorial, di sini, semalam.

Pengerusi Persatuan Alumni UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil berkata anugerah berkenaan dianugerahkan kepada Dr Kamarudin di atas jasa dan pengorbanan beliau selama hampir 14 tahun membangunkan UniMAP sebelum ini.

“Beliau juga tokoh terawal menerima kemasukan pelajar-pelajar sulung sejak UniMAP masih lagi sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) daripada ‘zero’ hingga gah di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

“Justeru, Persatuan Alumni UniMAP menganugerahkan anugerah ini sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada beliau yang telah bersama-sama kami sejak kami masih pelajar sehingga kini,”kata beliau ketika ditemui di majlis berkenaan.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof  Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan.

Selain Dr Kamarudin, Pengurus Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech)  Prof  Madya Dr Mohd Mustafa Abdullah dianugerahkan Anugerah Tokoh Akademik,Pemilik syarikat PROKAS, REMO Sdn Bhd Mohd Reza Mohyin (alumni 2008) dianugerahkan Anugerah Tokoh Usahawan dan Ahmad Faeiz Zulkifli (alumni 2008)yang bertugas sebagai ‘Senior Engineer’ di Toyota Motor Asia Pacific di negara jiran, Thailand.

Sementara itu, Dr Zul Azhar berkata beliau berharap alumni UniMAP yang kini seramai 12,791 orang dapat mencari peluang  melawat UniMAP bagi menyuntik semangat dan pendedahan kepada pelajar-pelajar yang masih menuntut di UniMAP .

“Kita sedia maklum, persekitaran bidang pekerjaan amat mencabar kini, justeru alumni yang telah berjaya boleh menyumbang informasi terkini kepada alumni yang baru bergraduat mahupun masih menuntut di UniMAP.

“Selain itu, para alumni yang bekerja di sektor industri mahupun institusi luar UniMAP juga diharapkan dapat memberi sokongan dalam kajian reputasi majikan bagi membantu UniMAP dalam QS World University Ranking untuk  mencapai 500 universiti terbaik menjelang 2020,” kata beliau kita berucap di majlis itu.

Beliau turut melancarkan  Tabung ‘I Care, You Care & We Care’ bagi mengumpul dana membantu alumni atau individu lain yang kurang bernasib baik serta kad keahlian Persatuan Alumni UniMAP yang mempunyai fungsi ‘TouchNGo’ di majlis yang dihadiri hampir 200 alumni UniMAP itu.

ARAU, 21 Julai (Bernama) -- Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) menyifatkan kerjasama strategik mengenai penyelidikan dan pembangunan (R&D) enjin dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menguntungkan industri automotif negara.

Ketua Bahagian R&D Modenas Wan Shahar Wan Teh berkata, Modenas menyasarkan melalui kerjasama ini, ia mampu menggalakkan perkembangan industri permotoran yang aktif dan terkenal di kawasan utara Malaysia.

Beliau berkata Modenas berkemungkinan menyediakan geran R&D pada masa hadapan dan masa ini, syarikat hanya bersedia menyumbang enjin untuk tujuan pembelajaran serta bertukar kepakaran.

“Kerjasama ini yang terjalin sejak 2012 membolehkan pelajar UniMAP mendalami secara mahir bidang automotif di samping mencetuskan teknologi lebih maju selain meningkatkan kebolehpasaran mereka," katanya.
Wan Shahar ditemui pada majlis 'Riang Ria Aidilfitri UniMAP' di kampus induk universiti di Pauh Putra, dekat sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, beliau menyerahkan 10 unit enjin motosikal Modenas kepada Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal untuk digunakan Unit Penyelidikan dan Sukan Permotoran (MoTECH) UniMAP.

“R&D UniMAP dalam bidang ini berasaskan teori dan kami di Modenas akan mencari titik persamaan. Hasilnya, kami dapat mengoptimumkan aplikasi.

“Contohnya kami telah dapat meningkatkan mutu petri, lebih menjimatkan kos malah kecekapan turut meningkat," kata Wan Shahar.

Sementara itu, Zul Azhar Zahid berkata tajaan 10 unit enjin berkenaan merupakan simbolik kerjasama kedua-dua pihak untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Automotif dan Permotoran UniMAP-Modenas.

Katanya UniMAP juga akan memastikan kerjasama atau penyelidikan yang dijalankan menambah kualiti pelajar dan relevan dengan keperluan semasa serta membantu perkembangan MoTECH.

- BERNAMA -







Kangar, 20 Julai – Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menawarkan biasiswa kepada seorang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi membantu meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti berkenaan.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, pemberian biasiswa bernilai RM25,000 itu dimaklumkan oleh Pengerusi ACCCIM Chapter Perlis, Ch’ng Ban Pai dalam kunjungan rasminya ke pejabat beliau semalam.

“Kriteria pemilihan bagaimanapun belum diputuskan lagi dan ianya akan dimuktamadkan dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang dijadualkan Ogos ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Zul Azhar, kunjungan tersebut antara lainnya bertujuan untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan penempatan graduan universiti di sektor pekerjaan.

Antara lainnya, ujar beliau, ACCCIM dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara sebelum ini telah berurusan dengan beberapa universiti lain untuk menangani isu-isu pekerjaan di kalangan graduan.

“Beliau (Ban Pai) turut menyarankan graduan Bumiputera untuk mendapatkan peluang pekerjaan dengan PKS milik Cina dan ACCCIM akan memainkan peranan dalam membantu memudahkan proses tersebut.

“Secara keseluruhannya, perbincangan awal ini sangat positif dan kita turut membincangkan mengenai aspek latihan, biasiswa pelajar dan penyelidikan.

“Semoga inisiatif ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang buat UniMAP selepas ini dan pada masa sama memupuk hubungan dan perpaduan yang lebih baik dalam semangat 1 Malaysia,” ujarnya lagi.

Padang Besar, 10 Julai – Seramai 15 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berlepas ke Bangkok dari Stesen KTM Padang Besar bagi mengikuti program Musim Panas Asia (ASP 2016) yang dihoskan oleh Universiti Bangkok.

Program yang akan berlangsung selama 3 minggu sehingga 30 Julai itu merupakan program tahunan yang memasuki tahun kelima penganjurannya, ujar Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Menurut beliau, penglibatan pelajar UniMAP dalam program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif pengantarabangsaan yang bertujuan meningkatkan aspek kepimpinan, komunikasi serta memupuk kerjasama berpasukan antara pelajar UniMAP dan para peserta dari universiti lainnya di Asia.

UniMAP merupakan satu-satunya universiti dari Malaysia yang menyertai program ASP2016 ini dan para pelajar ini akan diiring oleh lima orang staf dengan diketuai oleh Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

ASP 2016 merupakan program akademik yang melibatkan jumlah jam pengajian dan pada tahun ini ia disertai oleh 121 pelajar dari 16 buah universiti, 15 pemerhati.

Sebanyak 26 kursus pengajian ditawarkan dengan keseluruhan program bakal belangsung sekitar kampus Bandar dan kampus Rangsit di Universiti Bangkok.

Dalam pada itu, ketua kumpulan pelajar UniMAP, Lum Jason,21, yang berasal dari Kuala Lumpur berasa sangat bertuah kerana diberi peluang menyertai ASP 2016 walaupun terpaksa mengorbankan cuti semester masing-masing.

"Pekuang menyertai ASP2016 merupakan peluang keemasan dan sangat berbaloi sekalipun saya tidak dapat memghabiskan cuti semester kali ini. Ia kerana bukan semua pelajar berpeluang menyertai program berprestij seperti ini.

Menurut beliau lagi, selepas dimaklumkan terpilih menyertai program ASP2016 pada April lalu, dia dan rakan- rakan perlu membuat persiapan termasuk latihan tarian untuk malam kebudayaan dan pada masa sama turut sibuk dengan peperiksaan akhir semester.

"Saya juga berbangga dapat mewakili UniMAP serta mendapat sokongan penuh keluarga walaupun sedikit kesuntukan masa bagi membuat persiapan untuk menyertai program ini," katanya yang juga pelajar tahun Satu Kejuruteraan Keusahawanan, Pusat Pengajian Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) UniMAP.

Bagi pelajar tahun dua Komunikasi Media Baharu UniMAP, Kamaliah Mohamad, 22, yang berasal dari Kelantan berkata beliau terpaksa mengrbankan kemeriahan sambutan Aidilfitri bersama keluarga pada tahun ini.

Ujarnya yang tiba di Perlis pada hari raya kedua, ia berikutan pelbagai persediaan perlu dilakukan termasuk penyediaan makanan tradisional dan kostum tarian bagi pesta makanan tradisi serta persembahan di ASP nanti.

“Atas dasar itu saya bersama rakan rakan perlu berada di Perlis lebih awal bagaimanapun, saya tidak menyesal dengan pengorbanan ini memandangkan penyertaan kami di bangkok ini adalah ibarat duta kecil UniMAP dan Malaysia,” ujarnya.

SUNGAI CHUCHUH, 1 Julai:Peluang untuk pulang berhari raya di kampung halaman sememangnya ditunggu-tunggu oleh pada pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Lebih manis lagi, rombongan pelajar-pelajar UniMAP pulang berhari raya dilepaskan sendiri Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Dalam ucapannya, Dato’ Prof. Dr. Zul berharap agar para pelajar selamat sampai ke destinasi kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

“Selamat pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri, kirim salam kepada mak dan ayah serta keluarga di kampung.

“Diharapkan semoga kepulangan ke kampus semula nanti dengan lebih semangat untuk terus berusaha bersungguh-sungguh dalam pengajian masing-masing,” katanya pada Majlis Pelepasan Pelajar Diploma Balik Kampung, di Perkarangan Kampus Uniciti UniMAP, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Presiden Persatuan Alumni UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil.

Menurut Syed Akhmal Syed Jamalil, tiga buah bas disewa bagi membawa pulang 102 pelajar UniMAP ke Pantai Timur sempena Aildilfitri yang bakal dijangka 6 Julai ini.

“Ini juga adalah salah satu inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP bagi memastikan perjalanan pelajar UniMAP pulang ke kampung masing-masing tanpa perlu berebut tiket di stesen bas,” katanya.

PAUH PUTRA, 1 Julai: Bahang Aidilfitri semakin terasa, ramai orang sibuk dalam melakukan persiapan di minggu terakhir Ramadhan, namun berlainan bagi pula situasi bagi insan yang kurang berkemampuan.

Keadaan itu menyebabkan Unit Pembangunan Alumni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan Yayasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpanggil untuk berkongsi keceriaan dengan membantu golongan asnaf dan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang terpilih.

Timbalan Naib Canselor HEPA UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, sumbangan yang diberikan adalah hasil kutipan derma dari warga UniMAP.

“Program ini melibatkan empat keluarga yang kurang berkemampuan dan dua keluarga OKU di sekitar Perlis.

“Saya berharap agar sumbangan yang tidak seberapa ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga-keluarga ini untuk membuat persiapan menjelang hari raya yang bakal tiba tidak berapa lama lagi,”katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Program Barakah Ya Ramadhan Bersama Alumni dan Yayasan UniMAP di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Dekan HEPA UniMAP, Dr. Ummi Naiemah Saraih dan Pengerusi Persatuan Alumni UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil.

Antara sumbangan yang diberikan kepada keluarga tersebut berupa barangan keperluan harian, kuih raya dan duit raya RM200.

Sementara itu bagi salah seorang penerima, Rosseli Mat, 78, amat berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan kepada anaknya yang kelainan upaya, Norfizah Rosseli, 52.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan belanja kami untuk membeli lampin pakai buang yang digunakan anak kami ini.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak UniMAP yang sudi membantu keluarga kami dalam menyediakan persiapan menyambut Aldilfitri,”katanya.