PAUH, 30 JUN – Sebanyak 17 kumpulan menyertai pertandingan Festival Nasyid Antara Jabatan sempena Ihya’ Ramadhan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2016.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal, berkata pertandingan nasyid telah termasuk dalam perancangan awal yang perlu ditambah baik dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Jika nasyid ini menjadi amalan, program seperti ini bukan sahaja mampu menarik lebih ramai penyertaan malah kita juga mampu menarik lebih ramai penonton yang hadir,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Festival Nasyid Antara Jabatan, di sini.

Dalam program nasyid anjuran PPK Pembuatan dan Pusat Teknologi Maklumat (ICT) UniMAP itu, kumpulan Al-Andalus yang mewakili Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) telah dinobatkan sebagai Juara Festival Nasyid Antara Jabatan UniMAP.

Kumpulan tersebut telah berjaya mempertahankan kejuaraan mereka buat kali ketiga berturut-turut dan selaku juara, kumpulan Al-Andalus membawa pulang hadiah Piala Naib Canselor, wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan. Hadiah disampaikan oleh Naib Canselor, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Hadir sama adalah Pengerusi Bersama Festival Nasyid Antara Jabatan UniMAP, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan, Prof. Madya Dr. Khairul Azwan Ismail; dan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (ICT), Nasrudin Abd. Shukor.

Naib Juara pula disandang oleh Kumpulan Ar-Raeez mewakili Jabatan Canselori yang membawa pulang hadiah wang tunai RM700 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kumpulan An Nisa’ 29 dari UniMAP Holdings dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.

Turut dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori persembahan terbaik ialah kumpulan Al-Munawar dari Pusat Bahasa Antarabangsa manakala kumpulan Adiratna dari Jabatan Pendaftar meraih hadiah bagi kategori pakaian terbaik.

Dalam pada itu, Ketua Juri, Mohd. Fitri Alawee Mohamad dalam ulasannya berkata, secara keseluruhannya kualiti persembahan peserta pada tahun ini meningkat berbanding persembahan pada tahun lalu.

Bagaimanapun, ujar beliau, majoriti kumpulan melakukan kesilapan besar apabila memilih lagu yang tidak bersesuaian dengan nada penyanyi solo kumpulan dan pada masa sama kurang formasi harmoni dalam persembahan.

“Sebanyak lima kategori dinilai pada pertandingan kali ini dengan kategori suara mewakili peratusan terbesar. Justeru apabila para peserta gagal memilih lagu yang bersesuaian dengan nada, ia memberi kesan kepada persembahan secara keseluruhannya,” ujar beliau.

KANGAR, 28 Jun : Kehadiran Ramadhan membawa banyak ganjaran kepada umat Islam. Segala amalan kebajikan yang dilakukan akan dibalas dengan pahala yang berlipat kali ganda dari bulan-bulan yang lain.

Kesempatan itu juga tidak dilepaskan Persatuan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)  yang turut bekerjasama dengan Unit Pembangunan Alumni, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta Kelab UNESCO UniMAP dengan menganjurkan program Jelajah Ramadhan Alumni UniMAP : Misi Cuci-Cuci Masjid Dari Perlis Hingga Ke Johor.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, program yang mengambil masa selama empat hari tiga malam itu melibatkan lapan buah masjid di lapan buah negeri dari Perlis hingga ke Johor.

“Saya bersama-sama 31 pelajar dan Alumni UniMAP memulakan perjalanan dari Kampus Pauh Putra UniMAP Jumaat lalu menuju ke Masjid Kok Mak Perlis dan diikuti Masjid Kampung Laka, Changlun, Kedah.

“Selain membersihkan kawasan masjid, jelajah Ramadhan itu juga bertujuan untuk mendekati Alumni UniMAP di setiap negeri yang terlibat dan pada masa sama mempromosikan UniMAP kepada masyarakat setempat,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Majlis pelepasan Jelajah Ramadhan Alumni UniMAP disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal di Dewan Kecemerlangan UniMAP, di Kampus Pauh Putra di sini.

Enam lagi masjid yang dibersihkan sepanjang program tersebut adalah, Surau Taman Penaga, Pulau Pinang, Masjid Kampung Tekah, Taiping, Perak Masjid Ahmadi Rantau Panjang, Klang, Selangor; Masjid Kariah Taman Tengku Jaafar, Negeri Sembilan; Masjid Al Aziz Pernu, Melaka dan Masjid Jamek Al Firdaus Tanjung Gading, Muar Johor.

Delegasi Jelajah Ramadhan UniMAP turut mengambil peluang menziarahi keluarga Alumni UniMAP, Allahyarham Nurul Syazeila Iryani Suhaimi yang terkorban bersama anaknya yang berusia 17 bulan setelah terlibat dengan kemalangan melibatkan 16 kenderaan di Kilometer 405.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berdekatan Kuala Kubu Baru.

Menurut Mohd. Foad lagi, Jelajah Ramadhan yang dianjurkan itu diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk bersama-sama ‘menjaga’ kebersihan dan kesucian masjid.

Secara tidak langsung, ujar beliau, Alumni UniMAP juga membawa mesej kepada seluruh masyarakat terutama generasi muda untuk meringankan tulang membantu pengurusan masjid di kawasan masing-masing.

“Sebahagian besar masjid diterajui pengurusannya golongan warga emas atau pesara yang mana kita sedia maklum kudrat yang dimiliki tidak setanding dengan generasi muda.

“Sama-samalah kita menghulurkan bantuan apatah lagi masjid merupakan milik masyarakat yang menjadi pusat untuk masyarakat terutama umat Islam berkumpul merapatkan silaturahim, justeru sentiasalah lapangkan masa untuk terlibat dengan pengurusan masjid,” pintanya.

Katanya lagi, program seperti itu wajar diteruskan kerana ia dapat memupuk nilai sukarelawan dan jati diri dalam diri Alumni UniMAP dan pada masa sama mendidik Alumni UniMAP tentang nilai pengorbanan terutama di bulan Ramadhan.

“Harapan saya  semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah dan menjadi satu kenangan yang indah buat Alumni UniMAP yang terlibat dan semoga ianya dapat mengeratkan hubungan antara kariah masjid dan juga UniMAP,” katanya lagi.

Kangar, 25 Jun : Seramai 31 orang ahli Pandu Puteri Siswi Semester 5 Diploma mengikuti program Pandu Puteri  Mesra Komuniti Semarak Ramadhan 2016  di sekitar bandar Kangar, di sini, hari ini.

Jurulatih Pandu Puteri Pusat Ko-Kurikulum UniMAP, Nor Azurawati Ahmad Zuhdi berkata, program ini menumpukan kepada Khidmat Komuniti Setempat iaitu sumbangan ikhlas 100 bungkusan berbuka puasa kepada badan-badan Perkhidmatan Awam hasil kutipan daripada para pelajar sendiri.

“Para peserta diberikan pendedahan bahawa khidmat komuniti tidak semestinya terhad kepada program rasmi yang memerlukan kertas kerja dan kos yang tinggi.

“Justeru, peserta dibawa mendekati pihak Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Kementerian Kesihatan iaitu Balai Polis Beseri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kangar, Balai Polis Trafik Kangar dan Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah(HTF),” katanya dalam sebuah kenyataan di sini.

Menurutnya, program ini mendapat reaksi positif daripada pihak perkhidmatan awam yang dilawati apabila mendapat sambutan mesra dari mereka sekaligus menyemarakkan semangat para peserta program.

“Secara tidak langsung keadaan ini dapat memantapkan salah satu elemen di dalam silibus ko-kurikulum Pandu Puteri iaitu mempraktikkan amalan undang-undang Pandu Puteri ketika berurusan dengan pihak yang berkenaan.

Selain itu, program ini berjaya mendedahkan para peserta tentang konsep khidmat komuniti yang sebenar dan diharapkan penganjuran program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan,” katanya.

Program Pandu Puteri Mesra Komuniti Semarak Ramadhan 2016 bermula jam 2.30 petang dari kampus UniCiti Alam Sungai Chuchuh itu memberi sumbangan makanan ringan sebagai juadah berbuka puasa kepada petugas perkhidmatan awam yang bertugas.

Pauh Putra, 24 Jun – Bersempena bulan Ramadhan pada tahun ini, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Majlis Ihtifal Ihya’ Ramadhan yang diadakan di Dewan Ilmu, Kampus Tetap UniMAP, baru-baru ini.

Dalam majlis berkenaan turut dilancarkan Skim Tabarruq Khairat Kematian yang merupakan skim yang melengkapkan Badan Pengurusan Khairat Kematian UniMAP sedia ada.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, UniMAP berhasrat berhasrat mewajibkan staf muslim tempatan membuat potongan gaji sebanyak lima ringgit sebulan dan amaun yang lebih tinggi amat dialu-alukan.

“InsyaAllah dengan adanya program ini, kebajikan staf serta keluarga akan terjaga dengan rapi, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

“Saya yakin ini dapat membantu meringankan beban kewangan staf dan keluarga setelah mengharungi dugaan kehilangan insan tersayang”, katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.

Turut berkenan berangkat hadir ke majlis itu ialah Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail , Raja Muda Perlis Duli Yang Teramat Mulia  Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP dan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Dato’ Hamdan Bahari yang mewakili Menteri Besar Perlis, Setiausaha Kerajaan Negeri Tuan Ahmad Zamri Khairuddin, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Dato’ Prof Emeritus Ir Dr Zainai Mohamed dan Mantan Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Emeritus Dr Kamarudin Hussin.

Dalam majlis berkenaan Tuanku Canselor UniMAP dan Tuanku Pro Canselor UniMAP telah berkenan menyampaikan sumbangan kepada lebih 30 orang anak yatim yang terdiri daripada anak bekas staf UniMAP serta 20 orang pelajar asnaf UniMAP.

Sumbangan bantuan berbentuk wang tunai serta barangan keperluan ini adalah bagi meringankan beban golongan itu dalam persediaan menyambut Aidilfitri.

Hampir 1000 tetamu terdiri daripada kakitangan UniMAP dan pelajar UniMAP turut hadir memeriahkan majlis berkenaan.

Pauh Putra 23 Jun: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraikan  penyelidik dan pasukan sukan yang meraih kejayaan dalam pameran penyelidikan dan kejohanan sukan tahun lalu.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, segala pencapaian yang diraih selama ini telah memberi impak yang besar kepada UniMAP.

“Kita mengambil serius dalam penghasilan produk dan jurnal yang memberikan impak kepada Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia atau Malaysia Research Assessment (MyRA).

“Ini kerana penghasilan jurnal penyelidikan berimpak tinggi adalah amat penting dalam usaha meningkatkan pencapaian universiti dalam MyRA serta membolehkan para penyelidik untuk bersaing dalam mendapatkan geran penyelidikan,”katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan, Sukan 2015 dan Anugerah Kecemerlangan Jurnal Berimpak 2014, di Dewan Kecemerlangan UniMAP, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Pendaftar UniMAP, Zuber Mohamed.

Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan, Sukan 2015 dan Anugerah Kecemerlangan Jurnal Berimpak 2014 adalah kesinambungan Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) UniMAP yang berlangsung pada Mac lalu.

Seramai 176 penyelidik dan sembilan pasukan sukan menerima insentif kecemerlangan berupa wang tunai dan sijil kecemerlangan.

Ujar Dato’ Zul Azhar lagi, pada anugerah kali ini,Insentif kewangan hanya diberikan kepada produk-produk yang berjaya meraih ingat emas dan Anugerah Khas serta menyertai pameran penyelidikan yang memberikan impak kepada MyRA.

 

 

 

 

Kangar, 21 Jun – Seramai 20 pelajar asnaf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah terpilih untuk menerima sumbangan dan bantuan menerusi program Kasihnya Ramadhan yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP.

Program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UniMAP itu antara lainnya  bertujuan untuk membantu meringankan beban para pelajar UniMAP yang kurang berkemampuan.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, “sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik dalam kalangan pelajar UniMAP.

“Saya amat berbangga dengan inisiatif yang diambil oleh MPP UniMAP ini yang mana sumbangan yang disalurkan ini dikumpul melalui sumbangan daripada kalangan staf dan pengurusan di UniMAP.

“Adalah menjadi harapan saya agar pengagihan sumbangan menerusi program ini dapat diteruskan di tahun-tahun akan datang dengan peningkatan dalam jumlah penerima yang layak bagi meringankan beban yang dipikul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Program tersebut. Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Foad Sakdan dan Yang Dipertua MPP, Rio Iskandar Jazman.

Kesemua 20 pelajar yang terpilih itu menerima sumbangan berbentuk wang tunai, hamper dan kurma.

Sementara itu, Rio Iskandar berkata, selain kakitangan UniMAP, pihak MPP juga menjalankan kutipan dana daripada wakil raktar di beberapa kawasan di Perlis.

“Walaupun sumbangan ini bukan kepada keseluruhan pelajar, sekurang-kurangnya  ia dapat membantu meringankan sedikit bebanan pelajar yang kurang berkemampuan dalam persiapan Syawal nanti,” katanya.

Salah seorang penerima, Shahirah Amirah Shamshul Shariman, 22, pelajar Diploma tahun akhir Kejuruteraan Elektrik amat  bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan tersebut.

“Memandangkan saya pelajar tahun akhir, danperlu menyiapkan projek tahun akhir, saya gembira dan berharap sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga dan menampung kos perbelanjaan di sini,” katanya.

Padang Besar, 20 Jun - PENCIPTAAN kreativiti dan inovasi dalam pelaksanaan kurikulum amat penting bagi mencorakkan perubahan dan kemajuan pendidikan negara yang sedang berhadapan dengan pelbagai perubahan baru.

Inovasi kurikulum yang meliputi inovasi dan kreativiti dalam isi kandungan, pengetahuan dan jenis-jenis kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar boleh dinilai melalui cara ia dilaksanakan baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Kurikulum yang dianggap berkesan ialah kurikulum yang dapat memenuhi kehendak individu atau pelajar yang mana ianya dapat menyediakan pelajar dengan dunia pekerjaan dan juga mengembangkan bakat, potensi, pemikiran, budaya, daya cipta, pengetahuan, kemahiran serta kebolehan pelajar.

Atas dasar itu, adalah penting bagi guru mahupun pensyarah menggunakan pelbagai kaedah, strategi dan pendekatan yang sesuai dan berkesan dengan keperluan pelajar dan pada masa sama mengaplikasikan pengetahuan serta strategi yang kreatif dan inovatif.

Itulah antara elemen yang disuntik oleh tenaga pengajar program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Pembangunan Produk) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam menarik minat para pelajar untuk menterjemahkan ilmu teori yang diajar dengan menghasilkan produk berasaskan kreativiti.

Penyelaras program, Mohd. Haidiezul Jamal Abdul Hadi berkata, untuk semester kali ini, para pelajar diminta menghasilkan Street Furniture Bench yang unik dan kreatif dengan menggabungkan ilmu kejuruteraan dan rekaan produk.

Menurut beliau, projek ini bukan sahaja memberi kemahiran dan kebolehan kepada pelajar untuk menyelesaikan masalah,  tetapi juga untuk memahami keperluan dan permasalahan projek serta kebolehan menghasilkan keluaran produk dua dimensi iaitu lakaran bebas sebelum mula membina reka bentuk masing-masing.

“Pada dasarnya projek ini berkisar daripada kekurangan kerusi awam di kawasan kampus Uniciti Alam di sini dan saya serta tenaga pengajar lainnya mengambil inisiatif untuk menjadikan ianya sebagai satu projek kepada pelajar.

“Hasilnya amat mengujakan dan diluar jangkaan kami (tenaga pengajar) apabila 22 reka bentuk kerusi dengan pelbagai konsep dan elemen kreatif berjaya dihasilkan oleh para pelajar,” ujar beliau ketika ditemui di sini hari ini.

Sebagai menghargai para pelajar, kesemua 22 rekaan tersebut kini dipamerkan di Ruang Pameran Studio Bangunan S4, Makmal FTK di Kampus Uniciti Alam.

Bagi Norhaiza Natasya Mokhtar, 21, projek yang diberikan oleh pensyarah bagi kursus Pembangunan Produk bukan sahaja melatih beliau menjadi kreatif sebaliknya turut memahirkan beliau dengan peralatan dan aktiviti pertukangan.

Lazimnya, ujar beliau, aktiviti sebegini seringkali dilakukan oleh golongan lelaki, namun melalui kursus ini semua pelajar baik lelaki mahupun perempuan perlu melakukan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

“Selain asas rekaan produk dan peralatan, kami juga perlu memastikan setiap rekaan yang dibuat ini adalah ergonomik untuk kegunaan masyarakat keseluruhannya,” jelasnya.

Sementara itu, Nazmeemran Musa, 21, pelajar tahun 2 berkata, beliau dan rakan mengambil masa selama dua bulan untuk menghasilkan produk mereka, Aluminio Bench.

Menurut beliau, produk tersebut mengetengahkan rekan moden kontemporari dan dibuat menggunakan gabungan kayu pine untuk bahagian tempat duduk dan logam sebagai alat sokongan tempat duduk.

“Bentuk kerusi ini diambil daripada bentuk boomerang iaitu sejenis senjata lempar berbentuk melengkung manakala besi yang menyokong tempat duduk pula mengambil inspirasi dari abjad Y.

“Kerusi ini sesuai digunakan di kawasan yang tertutup atau berbumbung bagi memastikan ia tahan lebih lama. Saya amat berpuas hati dengan rekaan ini dan berharap ianya dapat direalisasikan di sekitar kawasan kampus Uniciti Alam,” ujarnya.

Kangar, 18 Jun – Sempena bulan Ramadhan ini, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan kunjungan mesra ke beberapa agensi keselamatan di seluruh negeri Perlis dan jejak ukhwah keluarga kakitangan UniMAP yang telah meninggal dunia.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal melahirkan ucapan tahniah dan syabas di atas usaha POTENSI yang prihatin bagi menghargai anggota  agensi keselamatan di negeri ini yang bertugas 24 jam bagi memastikan keselamatan negara.

“Antara agensi keselamatan yang dikunjungi ialah Jabatan Pertahanan Awam Kangar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kangar,pos-pos keselamatan UniMAP, pos-pos sempadan serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

“Selain itu, jejak ukhwah ke rumah keluarga kakitangan UniMAP yang meninggal dunia juga menunjukkan objektif yang jelas POTENSI dalam program Sahabat Sahur ini sebagai tanda keprihatinan kepada keluarga berkenaan,” katanya ketika melancarkan Program Singgah Sahur dan Jejak Ukhwah, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan dan Pendaftar UniMAP Encik Zuber Hj Mohamad.

Program Singgah Sahur POTENSI ini merupakan anjuran kali ketiga turut mengedar juadah bersahur kepada anggota agensi keselamatan dengan disertai hampir 20 orang ahli jawatankuasa POTENSI diketuai Encik Rusdi Puteh selaku Presiden POTENSI dan kakitangan teknikal serta keselamatan UniMAP.

Sementara itu, ketika program Jejak Ukhwah di rumah keluarga kakitangan kolej kediaman UniMAP Allahyarham Haslina Ismail, Zul Azhar dan POTENSI meluangkan masa beramah mesra dengan anak-anak Allahyarham yang berusia dari 11 tahun hingga 1 tahun.

Suami Allahyarham, Muswadi Musa berkata semenjak kematian isterinya anak-anak yang masih kecil dijaga oleh ibu dan kakaknya apabila beliau pergi bekerja sebagai penghantar kurier di sebuah syarikat kurier di bandar ini.

“Sekiranya mahu dihantar pengasuh, mungkin membabitkan kos justeru saya terpaksa mengharap ihsan ibu dan kakak saya bagi menjaga anak-anak yang masih kecil sementara yang masih bersekolah saya terpaksa berulang alik dari tempat kerja bagi menghantar serta menjemput mereka.

“Kehadiran pengurusan tertinggi UniMAP serta POTENSI pada malam ini meninggalkan kesan yang mendalam di hati kami sekeluarga kerana UniMAP  masih prihatin dengan keluarga kami walaupun isteri saya sudah tiada,” katanya.

Program Singgah Sahur yang bermula jam 11 malam semalam berakhir jam 5 pagi hari ini dengan destinasi terakhir di pos keselamatan UniMAP Kampus Tetap Pauh Putra.

KANGAR, 15 Jun – Mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), melakar sejarah setelah terpilih untuk mewakili negara menyertai Program Latihan Pelajar Musim Panas di Pusat Penyelidikan Majlis Kesatuan Eropah untuk Penyelidikan Nuklear (CERN), di Geneva, Switzerland.

Chin Yuk Ming, 25, mahasiswa Sarjana Kejuruteraan Bahan,yang terpilih bersama dua lagi peserta  akan menyertai program selama lapan minggu itu bermula 20 Jun ini.

“Saya tidak menyangka akan terpilih untuk menyertai program ini kerana satu-satunya pelajar sarjana kejuruteraan yang dipilih dalam kalangan calon-calon Sains Fizik.

“Selama lapan minggu di sana nanti saya dan penyelidik lain akan terlibat dengan penyelidikan perincian bahan (Materials Characterisation) untuk bahan terbaharu dengan menggunakan peralatan Large Hadron Collider (LHC) pemecut zarah terbesar di dunia yang terdapat di CERN,”katanya

Ujarnya lagi, beliau amat teruja untuk mencuba pelajaran baharu di CERN nanti dan pengalaman yang diperolehi nanti akan dikongsikan bersama rakannya di Malaysia.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, pemilihan Chin Yuk Ming oleh pihak CERN adalah satu pengiktirafan kepada kecemerlangan program-program pendidikan dan penyelidikan yang ditawarkan UniMAP.

“Lebih membanggakan lagi, beliau adalah satu-satunya calon daripada latar belakang kejuruteraan yang dipilih untuk menyertai program tersebut untuk menjalankan kajian berbentuk fundamental di CERN,”katanya.

Kata Dato’ Zul lagi, penglibatan Chin Yuk Ming dalam Program Musim Panas di CERN diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyiapkan tesis kajian penyelidikan beliau dalam penghasilan bahan katod termaju untuk bateri Lithium-ion boleh cas semula.

“Kita sedang memfokuskan kajian berimpak tinggi untuk melestarikan kecemerlangan pendidikan di UniMAP dan kajian-kajian berimpak tinggi yang berbentuk fundamental amat penting untuk penerokaan ilmu-ilmu baharu oleh para penyelidik UniMAP.

“Saya berharap agar penemuan-penemuan saintifik yang diperoleh menerusi kajian seumpama ini akan dapat dikongsi dengan para pelajar UniMAP secara langsung menerusi kuliah dan syarahan dalam kelas atau bimbingan pensyarah berkenaan dengan pelajar pascasiswazah,”katanya lagi.

KANGAR, 15 Jun – Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal menyertai delegasi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail  dan kerajaan negeri Perlis dalam sesi lawatan kerja jalinan kasih Kerajaan Negeri Perlis ke beberapa lokasi di Sabah.

Antara lainnya, lawatan jalinan kasih yang merupakan inisiatif tahunan Regimen 504 Askar Wataniah dianjurkan khusus untuk mengukuhkan rantaian jaringan antara kerajaan negeri dan pasukan keselamatan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di negeri tersebut.

Selain beliau, program yang kini masuk tahun ke-12 penganjurannya itu turut disertai oleh ketua jabatan negeri Perlis serta ahli korporat dalam usaha menyuntik moral dan semangat kepada anggota keselamatan yang bertugas sepanjang bulan Ramadhan dan Syawal yang bakal menjelang.

“Lawatan yang turut dinaungi oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) itu  memberi manfaat yang cukup besar kepada anggota delegasi terutama berkaitan tugas dan tanggungjawab serta pengorbanan pasukan keselamatan kepada umum.

“Saya percaya langkah ini  mampu memperbetulkan persepsi umum berkaitan sumbangan pasukan keselamatan terhadap negara dan umum khasnya. Ia juga secara tidak langsung mampu menggerakkan sokongan masyarakat terhadap segala usaha kerajaan untuk mempertingkat ganjaran kepada pasukan keselamatan (ATM dan PDRM).

“Selain itu, ia juga berfungsi sebagai medium terbaik untuk mengumpulkan maklumat berhubung amalan terbaik organisasi di Sabah bagi dijadikan idea baharu untuk diperkenal atau dilaksanakan oleh jabatan-jabatan berkaitan  termasuk UniMAP sekembalinya ke Perlis,” ujar beliau.

Menurut Zul Azhar, program tersebut yang berlangsung selama empat hari itu dibahagikan kepada dua segmen utama iaitu menyantuni anggota keselamatan di pulau-pulau sekitar Sandakan dan program titian kasih di sekolah-sekolah Menengah seluruh Sandakan.

“Saya sendiri berpeluang berkongsi informasi dan menyampaikan suntikan motivasi kepada 100 pelajar di Kolej Vokasional Sandakan yang mengikuti pelajaran dalam aliran teknikal dan vokasional yang mana ia selaras dengan kurikulum yang ditawarkan di UniMAP.

“Selain itu, saya turut meluangkan masa berbuka puasa dan berterawikh bersama pelajar-pelajar tersebut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah agar ATM tidak berkompromi dalam perkara berkaitan keselamatan dan keamanan yang menjadi asas kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Titah beliau, peranan pasukan keselamatan lebih mencabar dengan perkembangan bentuk dan corak ancaman terhadap negara dari semasa ke semasa.

"Justeru, setiap anggota keselamatan mestilah berkewajipan memelihara disiplin selain peranan mereka sentiasa signifikan dalam setiap aspek," titah baginda yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah.

Dalam program berasingan, baginda turut menitahkan agar jaringan kerjasama  antara polis dan masyarakat perlu dieratkan memandangkan ia mampu mencegah dan meminimumkan kegiatan jenayah.

Bagi tujuan itu, baginda menitahkan agar PDRM perlu sentiasa mencari jalan mewujudkan jalinan kerjasama erat dengan masyarakat setempat dalam membantu mencegah dan mengurangkan jenayah.

Titah baginda lagi, masyarakat juga seharusnya sentiasa menyahut seruan pihak berkuasa dalam aktiviti celik jenayah demi kepentingan bersama.

Kangar, 15 Jun – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperbaiki kedudukan dalam kajian QS University Rankings: Asia 2016 apabila disenaraikan dalam kelompok 230 universiti terbaik di Asia berbanding kelompok 250 terbaik pada tahun-tahun sebelumnya.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, peningkatan tersebut secara tidak langsung memberi suntikan motivasi buat UniMAP yang baru mencecah usia sembilan tahun selepas penjenamaan semula daripada Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) untuk terus mendaki carta pemeringkatan QS.

Jelas beliau, dengan usia yang masih muda itu juga, UniMAP berjaya menempatkan diri dalam kelompok terbaik seiring dengan universiti terkemuka di Malaysia yang mencapai usia 20 tahun ke atas. Strategi UniMAP semenjak tahun 2008 yang menetapkan sasaran 500 universiti terkemuka dunia menjelang 2020 semakin menampakkan impak.

“Berdasarkan laporan itu, UniMAP berada pada kedudukan ke-13 terbaik di Malaysia serta kesembilan terbaik dalam kalangan universiti awam (UA).

“Saya percaya, dengan kerjasama jitu yang diberikan oleh semua pemegang taruh serta warga UniMAP, secara tidak langsung akan membantu UniMAP untuk mencapai sasaran menjadi antara 500 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020.

QS University Ranking Asia ialah agensi yang berpangkalan di United Kingdom membuat penarafan peringkat serantau dan dunia.

Penilaian kali ini membabitkan 350 universiti utama Asia dan dibuat sejak tahun 2009 berdasarkan sembilan indikator antaranya reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, penerbitan hasil kajian setiap fakulti, nisbah fakulti antarabangsa, nisbah pelajar antarabangsa serta indikator terbaharu, bilangan staf yang berkelayakan ijazah doktor falsafah (Phd).

Dalam pada itu, Zul Azhar berkata, bagi mengukuhkan lagi reputasi universiti di persada antarabangsa, UniMAP juga bakal menganjurkan Persidangan 12th QS APPLE di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 22-24 November tahun ini.

Ujar beliau, penganjuran persidangan pendidikan terkemuka di Asia Pasifik itu dijangka menarik 600 peserta dari seluruh dunia dan ianya merupakan sebahagian daripada agenda negara dalam memacu kegemilangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini.

“Seperti yang disarankan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, persidangan ini merupakan platform terbaik untuk UniMAP dan lain-lain IPT melebarkan jaringan dengan IPT bertaraf global lainnya,” ujar beliau.

 

Pulau Pinang, 7 Jun - Kemajuan teknologi kejuruteraan berkembang dengan amat pantas di masa ini. Kewujudan pelbagai bahan-bahan baharu dan terkini telah membawa perubahan  besar kepada dunia.

Dalam usaha untuk bergerak seiring dengan kepantasan teknologi masa kini, Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menganjurkan International Conference on Functional Materials and Metallurgy (ICoFM 2016), bertempat di ParkRoyal Hotel & Resort, baru-baru ini.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, penganjuran IcoFM 2016 dilihat menjadi platform yang memberi impak positif kepada penyelidik termasuk agenda pembangunan negara dengan berkongsi pengetahuan serta idea di antara ahli akademik, penyelidik dan wakil industri.

“Mahasiswa-mahasiswa perlulah sentiasa mengambil tahu mengenai penemuan terkini supaya tidak ketinggalan dalam bidang ini.

“Sejajar dengan aspirasi kerajaan ke arah menjadi negara maju dan menghasilkan tenaga kerja yang  mempunyai nilai tambah, UniMAP telah mengambil langkah proaktif dalam bidang penyelidikan dan teknologi dengan pelbagai pendekatan,”katanya ketika ucapan perasmian ICoFM 2016.

Turut hadir, Presiden Malaysia Chamber of Mines, Dato’ Seri Mohd Ajib Anuar dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom.

Seramai tiga pembentang jemputan telah membentangkan kertas kerja iaitu Dato’ Seri Mohd Ajib Anuar, dengan kertas kerja bertajuk "Dynamic Business Models for the Mining and Metallurgical Industry".

Prof. Dato’ Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi
Dekan Pengurusan Akademik dan Antarabangsa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dengan pembentangan bertajuk "Modelling and simulation in engineering problems: A case study on development of Semi Empirical model for hardness AZ91 nano-composite prediction" dan Pensyarah Kanan PPK Bahan UniMAP, Prof. Dr. Azmi Rahmat pembentangan bertajuk“Corrosion Protection at Potential of Zero Charge”.

 

Kangar 7 Jun:Fungsi sesebuah universiti bukan saja bertujuan melahirkan graduan semata-mata, tetapi segala kemahiran dan kepakaran yang dimiliki pelajar dan pensyarahnya boleh digunakan untuk kebaikan masyarakat setempat.

Atas dasar tersebut, Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknousahawan (iKOM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menggunakan kepakaran mereka dalam membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Perlis

Bagi Mohamad Haziq Mohd Hidzir, pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu berkata, peluang yang diberikan pensyarah untuk membantu usahawan kecil adalah pengalaman yang baik untuk mereka.

“Kami perlu mencari sendiri usahawan dan membantu menjenamakan kembali produk keluaran mereka.

“Kumpulan kami telah memilih untuk membantu pengusaha acar rebung dan buah-buahan, jadi kami perlu memikirkan cara pembungkusan yang lebih menarik dan memikirkan strategi promosi mengikut cara yang terkini dengan menggunakan segala ilmu yang dipelajari di kelas,”katanya.

Sementara itu bagi, Muhammad Ajmal Harun ketua kumpulan yang memilih untuk membantu pengusaha keropok lekor berkata, usahawan yang dibantunya sebelum ini mempunyai masalah dalam memasarkan produk keluarannya.

“Jadi kumpulan kami telah membuat kajian tentang pasaran dan promosi tentang masalah yang dihadapi oleh usahawan ini supaya kami mengetahui dengan lebih jelas kekangan yang perlu diatasi.

“Oleh itu, setelah kajian dilakukan kami terus membantu usahawan ini bermula dari aspek pembungkusan, menjenamakan kembali syarikat, mempelbagaikan produk serta membantu untuk mendapatkan pengesahan sijil halal bagi produk makanan ini,”katanya.

Ujar Muhammad Ajmal, kumpulannya berasa bangga apabila segala idea yang dicurahkan kepada usahawan itu digunapakai untuk mengembangkan perniagaannya.

“Kami amat berbesar hati kerana dapat membantu usahawan-usahawan ini mengembangkan perniagaan mereka, mungkin sebelum ini produk yang dihasilkan kurang mendapat sambutan kerana kurang pengetahuan mengenai pemasaran.

“Segala pengalaman yang kami perolehi sepanjang membantu usahawan ini tidak akan diperolehi melalui pengajaran secara teori di dalam kelas sahaja sebaliknya kita perlu melakukan kerja di lapangan untuk meraihnya,”katanya lagi.

Timbalan Dekan Akademik iKOM, Dr. Hanum Hassan berkata, Program Tanggungjawab Sosial Korporat Universiti (UCSR) itu diadakan untuk subjek Komunikasi Pemasaran Bersepadu.

“Para pelajar dibahagikan kepada 27 kumpulan untuk membantu para usawahan IKS di Perlis bagi mempromosikan produk-produk jualan mereka.

“Ini adalah cara terbaik untuk memberi kefahaman kepada pelajar tentang konsep dan kaedah mengenai komunikasi pemasaran bersepadu kerana mereka perlu menggunakan segala kemahiran yang dipelajari secara teori,”katanya.

Ujar Dr. Hanum lagi, penglibatan pelajar dengan IKS membantu mereka memahami situasi sebenar yang berlaku dalam dunia perniagaan.

“Pengalaman ini juga dapat memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kaedah yang betul untuk memulakan perniagaan dan sebaik sahaja kursus ini tamat, para pelajar akan menyerahkan plan yang dihasilkan kepada syarikat tersebut sebagai UCSR kepada masyarakat di Perlis,”katanya lagi.

ARAU, 6 Jun (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar warga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberi komitmen jitu dan kepercayaan kepada Naib Canselor baharu, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal untuk membawa universiti berkenaan ke mercu kegemilangan.

Baginda bertitah sebagai Universiti Awam (UA) yang berusaha mencapai sasaran 500 universiti terbaik dunia, faktor kualiti bidang pengajian, program berimpak tinggi, peningkatan pelajar antarabangsa dan inisiatif-inisiatif berkaitan hendaklah diberikan penekanan.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP bertitah pemotongan peruntukan kepada UA merupakan cabaran bagi pengurusan universiti untuk menjana pendapatan melalui pelbagai aktiviti, kreativiti dan inovasi baharu.

"Gunakanlah sumber kepakaran yang ada termasuk mengekploitasi ilmu dan pengalaman 14 tahun bekas Naib Canselor pertama UniMAP, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin untuk melonjakkan UniMAP," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah selepas menyaksikan majlis penyerahan nota tugas kepada Zul Azhar oleh Kamarudin di Dewan Kecemerlangan UniMAP di sini hari ini.

Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro Canselor UniMAP Hajah Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil juga berkenan hadir pada majlis itu.

Baginda berharap usaha Kamarudin memperhebatkan kualiti penyelidikan UniMAP diperhebatkan lagi oleh Zul Azhar, selain Petunjuk Utama Prestasi (KPI) dan penerapan nilai serta etika dalam kalangan warga universiti dioptimumkan.

"Saya juga ingin mengingatkan kepentingan pengurusan masa dan kewangan yang baik dalam membangunkan piawaian, garis panduan, dan penanda aras UniMAP bagi usaha mencapai sasaran 500 universiti terbaik dunia," titah baginda.

 

ARAU, 6 Jun (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil langkah proaktif menjana ekonomi sendiri melalui aset minda dan intelektual.

Naib Canselornya yang baharu, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata kaedah itu bagi menjadikan universiti sebagai pusat keuntungan dan bukan 'pusat kos' seperti tanggapan pihak-pihak tertentu.

Katanya UniMAP dan universiti awam (UA) lain tidak lagi boleh bergantung kepada bantuan kerajaan sebaliknya perlu menggunakan aset yang dimiliki untuk menjana pendapatan bagi menampung kos operasi.

"Dalam hubungan ini UniMAP sedang menggandakan usaha dalam bidang keusahawanan dan konsultansi serta meningkatkan kerjasama dengan sektor swasta dalam bidang penyelidikan dan pengkomersialan produk," katanya selepas menerima Nota Tugas Naib Canselor daripada bekas Naib Canselor Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin di Dewan Kecemerlangan UniMAP di sini, hari ini.

Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Zul Azhar berkata UniMAP meneruskan usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian mereka bagi menjana hasil universiti selain dapat melebarkan sayapnya ke persada antarabangsa.

Katanya, pada 2014 dan 2015, kemasukan pelajar asing ke UniMAP sebanyak 136 dan 147 orang.

Kemasukan September dan Oktober ini menyaksikan lebih ramai pelajar luar negara mengikuti program pengajian di UniMAP, kata beliau.

Menurut Zul Azhar UniMAP juga bertindak meningkatkan kesedaran kakitangan dan mahasiswanya tentang perlunya berjimat mengguna elektrik bagi menjayakan program teknologi hijau di kawasan kampus.

Bil elektrik kampus Pauh Putra sahaja mencecah RM1 juta sebulan tidak termasuk kos penyelenggaraan.Penggunaan sumber secara berhemah ini mampu menjimatkan kos sehingga RM20,000 sehari, katanya.

Zul Azhar dilantik menjadi Naib Canselor UniMAP berkuatkuasa 1 Mei lepas hingga 20 April 2019.Dalam usia 14 tahun UniMAP kini menduduki tempat ketujuh terbaik dalam negara dan berada pada kedudukan 750 terbaik dalam kalangan lebih 40,000 universiti di dunia.

 

 

 

 

Kangar, 6 Jun – Seramai 104 sukarelawan Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-HEART) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diraikan dalam satu majlis khas Majlis Makan Malam Penghargaan Sukarelawan A-HEART yang berlangsung di Hotel Putra Regency Kangar, baharu-baharu ini.

Mereka terdiri daripada pelajar Ijazah dan juga Diploma UniMAP yang terlibat dalam pelbagai program A-HEART sejak tahun 2013 lagi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, menjadi sukarelawan A-HEART dan memberikan komitmen terhadap pembangunan komuniti anak-anak istimewa amnya dan autistik khasnya telah membuka lebaran baharu kepada program kesukarelawanan universiti melalui University Corporate Social Responsibility.

“Kesukarelawan A-HEART tidak berkait dengan mana-mana struktur program Ko-Kurikulum universiti seperti mana-mana program kesukarelawanan lain.

“Mereka menyertai A-HEART atas dasar keyakinan dan kesucian hati untuk menyumbang ke arah kesejahteraan hidup masyarakat,” katanya.

Tambahnya lagi, melalui penganjuran beberapa program A-HEART, ianya turut memberikan pengalaman baharu kepada sukarelawan A-HEART ini.

“Mereka belajar mengurus promosi program, menyusun atur perjalanan aktiviti, bekerja dalam pasukan, mengurus bajet, menarik penglibatan rakan dan ahli masyarakat dan memanfaatkan kapasiti serta segala kemahiran insaniah yang ada pada diri mereka.

“Inilah kemahiran dan pengalaman yang ingin dibekalkan oleh universiti kepada pelajarnya dalam usaha untuk melahirkan graduan seimbang,” katanya.

Antara program yang telah dianjurkan A-HEART adalah Autism Walk yang berlangsung pada 2014; Kelas Mengaji Al-Quran untuk anak-anak istimewa (KEMANIS) yang dijalankan setiap Sabtu; Projek Love OKU iaitu kunjungan sosial ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sekitar Perlis; dan Festival A-HEART.

Apa yang menarik, bermula dengan Program Autism Walk itu, A – HEART mula mengorak langkah mendekati masyarakat melalui pelbagai program sosial dan pendidikan.

“Sukarelawan A-HEART bertapak di pelbagai agensi kebajikan seperti PDK untuk lebih memahami keunikan anak-anak istimewa ini.

“Malah mereka juga turut berjaya menambat hati Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis sehingga berlangsungnya Festival A-HEART 2016 pada 25 hingga 27 Mac lalu dan berjaya menjana RM 500,000 melalui pelbagai program keusahawanan sempena festival tersebut,” katanya.

Melalui impak penganjuran tersebut, UniMAP bermatlamat untuk membina Pusat Autisme A-HEART UniMAP yang bernilai 5 juta tidak lama lagi bagi memberi perkhidmatan kepada golongan autistik di kawasan utara.