KANGAR, 28 April – Selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang, Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) didedahkan dengan pengalaman perniagaan menerusi penganjuran Karnival Keusahawanan PPIPT 2016.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni PPIPT UniMAP, Muhamad Azan Yaakob berkata, penganjuran karnival tersebut juga antara lainnya akan membolehkan para pelajar memperolehi ilmu secara praktikal dengan merasai sendiri pengalaman menguruskan perniagaan.

Beliau menjelaskan, penganjuran karnival yang berlangsung selama dua hari itu turut membuka peluang kepada pelajar merasai sendiri pengalaman berniaga di dunia sebenar dan pada masa sama menentukan hala tuju perniagaan dalam mencapai keuntungan yang ditetapkan.

“Selain itu, penganjuran karnival ini juga disasarkan untuk mengubah minda dan pemikiran pelajar yang sebahagian besarnya menyimpan impian untuk bekerja sama ada di sektor kerajaan atau swasta.

“Sekiranya mereka berniaga selepas bergaduat kelak, ia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai kelak,” ujar beliau ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan PPIPT 2016 di sini hari ini.

Majlis Perasmian PPIPT Entrepreneurship Carnival 2016 disempurnakan Speaker Kerajaan Negeri Perlis, Hamdan Bahari.

Sementara itu, Pengarah Program, Muhamad Aniq Bakhtiar Mustafa Alba berkata, karnival itu merupakan sebahagian daripada kerja kursus bagi mata pelajaran  Gelagat Organisasi (Organization Behavior) yang diwajibkan untuk semua pelajar tahun satu jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa.

“Karnival ini merupakan kali pertama dianjurkan pelajar  Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dan sambutannya amat memberangsangkan.

“Sebelum ini kami hanya mengadakan program tanggungjawab sosial universiti (USR) seperti membantu masyarakat kampung dan sebagainya, dan penganjuran karnival ini merupakan sesuatu yang baharu bagi kami,” katanya.

Muhamad Aniq juga berharap agar karnival tersebut dapat diluaskan lagi dengan membuka penyertaan kepada masyarakat Perlis bagi memberikan lebih banyak pengalaman keusahawanan kepada pelajar UniMAP.

Karnival tersebut melibatkan 531 pelajar dari lapan buah kelas membabitkan 27 gerai makanan dan enam gerai permainan yang diuruskan sendiri oleh para pelajar.

Antara gerai aktiviti  yang menarik perhatian adalah pertandingan Marathon, PPITP Got Talent, Rumah Hantu, Photo Booth, Memanah dan Dart.

Kangar, 26 April – Sebagai hub pendidikan kawasan utara, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited untuk menghasilkan sumber manusia yang berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada bidang industri perkhidmatan dan pembuatan Negara.

Pengarah Pusat Kerjasama Industri dan Agensi Kerajaan (CIGC), Dr. Mukhzeer Mohamad Shahimin berkata UniMAP sedia untuk berkolaborasi dengan mana-mana organisasi sebagai usaha untuk meningkatkan daya saing pelajar.

UniMAP akan terus menyokong dan menjadi rakan strategik dengan mana-mana organisasi untuk meningkatkan daya saing, skil dan pembentukan sahsiah diri pelajar sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran global.

“Ini sekaligus akan memastikan Malaysia mempunyai graduan yang diperlukan untuk mencapai sasaran sebagai Negara berpendapatan tinggi, dan ekonomi berasaskan pengetahuan menjelang 2020,” katanya ketika merasmikan Pameran Kerjaya Sector Focused Career Fair UniMAP (SFCF) 2016 yang berlangsung di Dewan Ilmu Kampus Induk UniMAP, Pauh Putra semalam.

Program selama dua hari itu adalah anjuran bersama UniMAP dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) disertai lebih 30 industri yang berfokus kepada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Hadir bersama Ketua Pembangunan Bakat Malaysia (Kebolehpasaran Graduan) TalentCorp, Siti Norliza Mohd Sahar; dan Pengarah Program SFCF UniMAP, Eric Aw Zhern Li.

Menurut Dr. Mukhzeer, pameran kerjaya tersebut merupakan program tahunan CIGC dan UniMAP tetapi SFCF adalah julung kali diadakan dan mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja dari pelajar UniMAP malah dari institusi lain Negara ini.

“Kami percaya, program sebegini akan menonjolkan bakat terbaik pelajar kita yang sekaligus menarik minat syarikat antarabangsa dan pembuatan bernilai tinggi untuk mengupah mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, ini secara tidak langsung akan membolehkan syarikat-syarikat tersebut mengembangkan operasi mereka hingga ke peringkat global. 

Selain UniMAP, terdapat tiga lagi universiti yang bakal menganjurkan SFCF iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 11 dan 12 Mei 2016, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 27 dan 28 September 2016 dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada 18 Oktober 2016.

SFCF turut menerima kunjungan daripada pelajar institusi luar antaranya UPSI, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIP), Institut  Latihan Perindustrian (ILP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Arau, dan Politeknik kawasan utara.

Pauh Putra, 25 April – Program Jom Baca 10 Minit peringkat negeri Perlis bersama anak-anak istimewa sempena Program Kesedaran Autisme 2016 diharapkan menjadi inspirasi memperkasa tabiat membaca dalam kalangan masyarakat.
Program anjuran Hab Pendidikan dan Latihan Autisme (A-HEART) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Perbadanan Perpustakaan Negara Malaysia Perlis itu diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), di sini.
Penyelaras A-HEART yang juga Ketua Pustakawan UniMAP, Mazmin Mat Akhir berkata serentak bulan April adalah Bulan Kesedaran Autisme dan juga Bulan Membaca membuka peluang kepada dua agensi itu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pendidikan anak-anak autisme.
“Perbadanan Perpustakaan Negara Malaysia Negeri Perlis dan A-HEART akan terus komited untuk memberi fokus kepada perkembangan bakat anak-anak autisme dengan sokongan pelbagai agensi di Perlis khususnya dan Malaysia amnya.
“Fokus A-HEART sememangnya jelas untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman ahli masyarakat tentang autisme, justeru melalui program ini sebagai salah satu inisiatif daripadanya,” kata beliau ketika berucap di Program Kesedaran Autisme berkenaan.
Turut berkenan berangkat hadir ke program itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor UniMAP dan penaung A-HEART.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Tuan Ahmad Zamri Khairuddin , Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negara Malaysia Perlis, Machita Osman.
Program Jom Baca 10 Minit mula diadakan sejak 2014 merupakan langkah memupuk minat membaca di kalangan masyarakat diadakan serentak seluruh negeri Perlis pada hari ini.
Sebuah buku bertajuk “Chicken Soup for The Soul” sumbangan Perbadanan Perpustakaan Negara Malaysia Perlis digunakan bagi menjayakan program itu dengan penglibatan hampir 15 anak-anak autisme dengan bimbingan sukarelawan A-HEART dan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas Perlis.
Terdahulu, turut diadakan slot Bicara Buku bertajuk “Aku Bersyukur Anakku Autisme” oleh Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Wan Nasyrudin Wan Abdullah serta ceramah yang disampaikan pengasas bersama penubuhan sekolah autisme pertama pada tahun 2004 di London, Paul Conrathe.
Paul juga adalah pemilik dan Pengarah Urusan SEN Ltd dan Eagle House Group United Kingdom.

KUALA LUMPUR, 18 April – Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Biosistem, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Chua Seng Wei, meraih pingat ganga bagi  Anugerah Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR).

Anugerah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam majlis yang diadakan di Memorial Tunku Abdul Rahman, di sini, semalam.

Menurut Chua Seng Wei, anugerah yang diterima itu merupakan penghargaan bukan saja bagi dirinya, malahan bagi UniMAP.

“Saya berasa amat berbangga kerana terpilih untuk memperolehi anugerah antara yang berprestij di negara kita ini.Walaupun telah bekerja saya bersyukur kerana masih dapat mengharumkan nama UniMAP.

“Harapan saya agar lebih ramai graduan akan meraih anugerah yang lebih tinggi, sama ada emas atau perak di masa hadapan,”katanya ketika dihubungi, semalam.

Chua Seng Wei yang kini bekerja sebagai jurutera kadet di IOI Group, membawa pulang wang tunai RM1,000 dan pingat gangsa tulen seberat 32 gram.

Antara kriteria yang ditetapkan untuk terpilih menerima Anugerah YTAR ialah seseorang graduan mestilah mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) minimum 3.80, dan sangat aktif serta mencapai kecemerlangan dalam bidang kokurikulum sepanjang pengajiannya.

Untuk rekod, pada tahun 2014 lalu, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mikroelektronik UniMAP, Umahwathy Sundararaju turut menerima anugerah yang sama.

  

Pauh Putra, 14 April: Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) muncul juara keseluruhan Kejohanan Sukan Antara Pusat-Pusat Pengajian Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2016 yang berlangsung pada 1 hingga  3 April baru-baru ini.

FTK meraih enam emas, empat perak dan dua gangsa dengan pingat emas diperolehi melalui acara Tenis Campuran, Petanque (Wanita), Bola Jaring (Lelaki), Bola Jaring (Wanita), Bola Tampar (Lelaki) dan Bola Tampar               (wanita).

Tempat kedua pula dimenangi Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mikroelektronik dengan kutipan empat emas yang diraih melalui acara Petanque (Lelaki), Woodball (Lelaki), Woodball (Wanita) dan  Bola Sepak 9’S selain tiga perak dan empat gangsa.

Manakala tempat ketiga diraih PPK Pembuatan dengan kutipan dua emas, empat perak dan satu gangsa.

Sebanyak 19 acara dipertandingkan pada Kejohanan Sukan Antara Pusat-Pusat Pengajian Universiti Perlis (UniMAP) 2016 yang disertai 11 pusat pengajian.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, UniMAP itu dianjurkan bertujuan bagi membudayakan sukan di kalangan pelajar UniMAP di samping mengeratkan hubungan dikalangan pelajar.

Arau, 14 April – Program Pengecualian Visa bagi membolehkan rakyat Malaysia mengunjungi Amerika Syarikat (AS) tanpa visa dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat, kata Duta AS ke Malaysia, Joseph Y. Yun.

Menurut beliau, menerusi program tersebut yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu, Malaysia perlu mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh kerajaan AS antaranya mengekalkan kadar penolakan visa di bawah tiga peratus selama setahun.

Ujar beliau, pada dasarnya, Malaysia telah menunjukkan prestasi yang memberansangkan berhubung kadar penolakan visa apabila berjaya mencapai kadar 3.4 peratus kini berbanding 11 peratus dalam tempoh lima tahun yang lalu.

“Kita hampir pasti menyelesaikannya (pengecualian visa) jika dilihat kepada prestasi memberansangkan ini,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Antarabangsa bertajuk “Hubungan Strategik Malaysia-Amerika Syarikat” di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di Kampus Induk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini petang semalam.

Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah lailatul Shahreen Akshah Khalil turut berkenan berangkat hadir ke Syarahan Antarabangsa yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Kepimpinan Pendidikan Lestari (LEAD) UniMAP itu.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan pengurusan tertinggi UniMAP.

Yun seterusnya menjelaskan, apabila program tersebut dilaksanakan kelak,  Malaysia bakal menjadi negara majoriti Islam pertama yang diberikan pengecualian visa.

Jelas beliau, selain kadar penolakan visa, Malaysia dan AS juga telah menandatangani perjanjian dokumen keselamatan bagi membolehkan kedua-dua negara bertukar data jenayah dan pengganas.

“Ramai yang melihat perjanjian ini sebagai sesuatu yang negatif, tetapi sebenarnya dengan adanya pertukaran data ini, pihak AS akan dapat menyekat individu yang perlu dihalang dari memasuki AS.

“Agak sukar sebenarnya untuk menakrifkan penjenayah dan pengganas mengikut terma sesebuah negara, dan ia sebenarnya yang melengahkan proses pengecualian visa ini. Namun, berdasarkan perjanjian yang dimeterai, ia dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” ujarnya lagi.

Yun sebelum itu turut menghadiri majlis santapan tengah hari bersama Tuanku Raja Muda dan Raja Puan Muda serta Mufti negeri Perlis, Prof. Madya Datuk Dr.  Mohd. Asri Zainul Abidin.

Pauh Putra,12 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus komited dalam memantapkan integriti dan pencegahan rasuah menerusi Seminar Integriti dan Pencegahan Rasuah Dalam Pengurusan Kewangan Sektor Awam/Badan Berkanun yang berlangsung di sini, hari ini.

Seminar anjuran Jabatan Bendahari UniMAP itu berlangsung di Dewan Kecemerlangan UniMAP membabitkan hampir 300 kakitangan universiti pelbagai peringkat jawatan.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata sepertimana hasrat kerajaan, UniMAP turut mengambil serius usaha meningkatkan integriti dan menangani gejala rasuah di kalangan kakitangannya.

“Justeru, UniMAP akan mengambil kira pendekatan strategik dalam aspek memperkasakan entiti kawalan dalaman agensi awam.

“Bagi memastikan perjalanan organisasi di universiti ini lancar, prosedur dan tatacara pengurusan terutama pengurusan kewangannya perlu telus serta teratur berdasarkan garis panduan kewangan yang diterimapakai,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan di seminar berkenaan.

Seminar itu dirasmikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis, Penolong Pesuruhjaya Yaacop Angah.

Sementara itu, ceramah mengenai kesedaran pencegahan rasuah disampaikan oleh Penceramah SPRM Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) Ibu Pejabat SPRM, Tuan Jamil Dahalan.

Selain itu, satu forum turut diadakan dengan ahli panelnya Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia UniMAP, Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam, Bendahari UniMAP Saodah Hassan dan Tuan Jamil sendiri dengan moderatornya YM Raja Shah Erman Raja Ariffin.

Kangar, 12 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menganjurkan satu program musim panas khusus untuk pelajar-pelajar dari Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai dan Ogos tahun ini.

Program yang diberi nama Korea Summer Program (KSP) itu bakal dikendalikan oleh UniMAP Holdings Sdn. Bhd. (UniMAP Holdings) khusus untuk mendedahkan pelajar-pelajar dari Korea Selatan dengan budaya dan adat resam masyarakat pelbagai kaum di negara ini khususnya di negeri Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif UniMAP Holdings, Baharudin Abdul Majid berkata, selain itu, matlamat penganjuran KSP adalah bagi mewujudkan semangat persaudaraan dalam era globalisasi di antara Malaysia dan Korea Selatan dan pada masa sama menggalakkan pemindahan pengetahuan antara kedua-dua buah negara.

 “Program KSP mengambil masa selama empat minggu untuk pelajar-pelajar IPT dari Korea Selatan mempelajari selok belok kebudayaan dan ciri-ciri negara tuan rumah menerusi beberapa program yang dirancang di beberapa lokasi terpilih,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

UniMAP Holdings baru-baru ini turut mengambil peluang menandatangani memorandum (MoA) dengan Hi-Tech Solutions Korea yang akan bertanggungjawab menguruskan penyertaan pelajar Korea dalam KSP.

Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat hadir menyaksikan majlis tersebut yang diadakan bersempena dengan Minggu Korea UniMAP (UniKOW).

Hi-Tech Solutions diwakili Pengurus Besar syarikat, Jong-Pil Kang dan Sin Hyun Kim manakala UniMAP Holdings diwakili oleh Baharudin dan Ketua Pegawai Operasi UniMAP Holdings, Dr Mohd Najmuddin Mohd Hassan.

Hadir sama ialah Penasihat Menteri Pengajian Tinggi, Brig Jen. Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin yang juga mantan Naib Canselor UniMAP dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

UniKoW dianjurkan selama tiga hari dengan tema “Researching Korea,  Designing Perlis” susulan program Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP ke Korea Selatan pada Disember tahun lalu.

Antara program sempena UniKOW ialah Kolokium Antarabangsa Aplikasi Teknologi Tinggi Korea (ICKHA 2016),  Pesta Makanan Korea , persembahan Taekwando, dan penganjuran kali ke -7 Pameran Reka Cipta dan Inovasi Kejuruteraan Antarabangsa (i-ENVEX 2016).

Baharudin seterusnya berkata, KSP dijangka menarik penyertaan yang ramai dengan pelbagai aktiviti dirangka merangkumi aktiviti ilmiah seperti kelas Bahasa Inggeris dan keusahawanan serta aktiviti riadah dan sukan seperti Festival Buah-buahan Tempatan, memanah, berkayak, persembahan kebudayaan dan pertandingan bola sepak.

UniMAP Holdings telah mempunyai modul penganjuran yang khusus untuk KSP dan kami percaya, para pelajar yang mengambil bahagian dalam program ini akan pulang dengan satu pengalaman yang baru dan mengujakan,” ujarnya lagi.

Kangar, 11 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraih 100 peratus pingat pada International Engineering Invention and Innovation Exhibition (i-ENVEX) 2015 baharu-baharu ini.

Pencapaian tersebut adalah melalui pecahan 27 pingat emas, 52 perak dan tiga gangsa dalam i – ENVEX 2015 yang diadakan di Dewan Ilmu, Kampus Induk UniMAP Pauh Putra.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, i – ENVEX 2016 menyaksikan peningkatan apabila kesemua produk yang dihantar oleh UniMAP meraih pingat.

“Ini membuktikan bahawa produk UniMAP sememangnya berkualiti tinggi dan akan diketengahkan ke pameran penyelidikan yang lebih berprestij selepas ini,” katanya.

i-ENVEX 2016 dianjurkan kali ke tujuh dengan 400 penyertaan daripada IPT dan sekolah menengah seluruh Negara serta penyertaan antarabangsa antaranya dari Korea Selatan, Kanada, Amerika Syarikat, Jepun, China, India, Turki, Romania, Moldova, Bulgaria, Mesir, Iraq, Indonesia, Thailand, Maghribi, Kemboja, Poland, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata, 16 peratus daripada produk berkenaan adalah daripada penyelidik muda dari luar negara manakala 36 peratus penyertaan adalah daripada pelajar sekolah.

“Pelajar IPT dan sekolah perlu sentiasa berfikiran kritis untuk menjadi generasi baharu yang mempunyai nilai kompetitif dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

“Melihat situasi semasa global, kita sedar bahawa kita perlu membuat keputusan dan mengambil langkah yang berani untuk melakukan transformasi kepada ekonomi Negara agar menjadi ekonomi berasaskan inovasi berpendapatan pengetahuan.

“Dalam langkah untuk mencapai apa yang sasarkan oleh kerajaan dalam Pelan Transformasi Ekonomi dan Model Ekonomi Baharu yang menetapkan cabaran istimewa kepada rakyat terutamanya remaja untuk berani melakukan perubahan telah menjadi satu matlamat kepada UniMAP untuk memastikan ianya tercapai,” katanya.

Beliau menambah, pihak industri juga perlu memainkan peranan membantu mengkomersialkan produk inovasi yang dihasilkan pelajar.

Berangkat merasmikan majlis adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang merupakan Pro Canselor UniMAP.

UniMAP buat pertama kalinya menganjurkan i-ENVEX bersama-sama dengan UniMAP Korean Week (UniKOW) yang menampilkan beberapa program menarik antaranya Kolokium Antarabangsa Aplikasi Teknologi Tinggi Korea (ICKHA 2016),  Pesta Makanan Korea, dan persembahan Taekwando.

 

Kangar, 11 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraih 100 peratus pingat pada International Engineering Invention and Innovation Exhibition (i-ENVEX) 2015 baharu-baharu ini.

Pencapaian tersebut adalah melalui pecahan 27 pingat emas, 52 perak dan tiga gangsa dalam i – ENVEX 2015 yang diadakan di Dewan Ilmu, Kampus Induk UniMAP Pauh Putra.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, i – ENVEX 2016 menyaksikan peningkatan apabila kesemua produk yang dihantar oleh UniMAP meraih pingat.

“Ini membuktikan bahawa produk UniMAP sememangnya berkualiti tinggi dan akan diketengahkan ke pameran penyelidikan yang lebih berprestij selepas ini,” katanya.

i-ENVEX 2016 dianjurkan kali ke tujuh dengan 400 penyertaan daripada IPT dan sekolah menengah seluruh Negara serta penyertaan antarabangsa antaranya dari Korea Selatan, Kanada, Amerika Syarikat, Jepun, China, India, Turki, Romania, Moldova, Bulgaria, Mesir, Iraq, Indonesia, Thailand, Maghribi, Kemboja, Poland, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata, 16 peratus daripada produk berkenaan adalah daripada penyelidik muda dari luar negara manakala 36 peratus penyertaan adalah daripada pelajar sekolah.

“Pelajar IPT dan sekolah perlu sentiasa berfikiran kritis untuk menjadi generasi baharu yang mempunyai nilai kompetitif dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

“Melihat situasi semasa global, kita sedar bahawa kita perlu membuat keputusan dan mengambil langkah yang berani untuk melakukan transformasi kepada ekonomi Negara agar menjadi ekonomi berasaskan inovasi berpendapatan pengetahuan.

“Dalam langkah untuk mencapai apa yang sasarkan oleh kerajaan dalam Pelan Transformasi Ekonomi dan Model Ekonomi Baharu yang menetapkan cabaran istimewa kepada rakyat terutamanya remaja untuk berani melakukan perubahan telah menjadi satu matlamat kepada UniMAP untuk memastikan ianya tercapai,” katanya.

Beliau menambah, pihak industri juga perlu memainkan peranan membantu mengkomersialkan produk inovasi yang dihasilkan pelajar.

Berangkat merasmikan majlis adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang merupakan Pro Canselor UniMAP.

UniMAP buat pertama kalinya menganjurkan i-ENVEX bersama-sama dengan UniMAP Korean Week (UniKOW) yang menampilkan beberapa program menarik antaranya Kolokium Antarabangsa Aplikasi Teknologi Tinggi Korea (ICKHA 2016),  Pesta Makanan Korea, dan persembahan Taekwando.

 

Alor Setar, 11 April: Kerjasama dari pihak industri diperlukan dalam usaha membantu kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, kerjasama dengan industri luar bukan saja dapat memantapkan penyelidikan, malah turut menaikkan kualiti akademik.

“Saya percaya melalui kolaborasi  dengan pihak industri, sesuatu program pengajian dan penyelidikan akan dapat memenuhi kehendak yang diinginkan industri.

“Dengan ini, graduan yang dilahirkan universiti juga akan lebih mesra industri serta mudah dipasarkan apabila bergraduat kelak,” katanya

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOSTI, Dato’ Dr. Mohd Azhar Yahaya  pada Perasmian Majlis Makan Malam Gemilang Dasawarsa Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar (PPKAS), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di TH Hotel, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Penasihat Khas Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Briged. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dan Dekan PPKAS UniMAP, Dr. Nasrul Hamidin.

Majlis Makan Malam Gemilang Dasawarsa PPKAS, UniMAP buat pertama kalinya diadakan bertujuan bagi menghargai jasa warganya dalam membantu menaikkan nama PPKAS selama 10 tahun penubuhannya.

Sementara itu, Dekan PPKAS Dr. Nasrul Hamidin dalam ucapannya berkata, majlis itu akan menjadi platform alumni untuk berhubung sesama alumni bersama pusat pengajian.

“PPKAS akan menggunakan medium persatuan Alumni ini untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini dari pihak industri mengenai permintaan mereka terhadap graduan kita yang sekaligus dapat membantu untuk mengukuhkan lagi kurikulum yang sedia ada supaya graduan yang dilahirkan lebih unggul dan diterima oleh industri,” katanya lagi.

PAUH PUTRA (ARAU), 10 April (Bernama) -- Pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan sekolah harus digalakkan bebas berkreativiti untuk mencipta inovasi dalam bidang yang mereka minati, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.


Pupuk minat mereka untuk berinovasi melalui penyertaan dalam pertandingan dan pameran umpamanya yang berkaitan pemindahan teknologi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Unsur kreativiti dan inovasi yang diajar di IPT dan sekolah bukan sahaja membantu melahirkan generasi baharu yang dinamik dan berdaya saing yang akan mampu berfikir 'di luar kotak'?, tetapi pada masa yang sama membuka jalan bagi hubungan kerjasama rentas sempadan antara penyelidik, titah baginda semasa menutup Pameran Reka Cipta dan Inovasi Kejuruteraan Antarabangsa (i-ENVEX) 2016 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini

"Pelajar perlu diberi kebebasan untuk berfikir secara analitikal dan kritis, dan ini perlu disokong oleh persekitaran interaktif dan terkawal yang bergantung kepada keprihatinan, etika dan nilai moral," tegas baginda.

Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro Canselor UniMAP.

Baginda yang juga Canselor UniMAP menasihatkan IPT dan sekolah supaya mengambil peluang untuk berunding dengan pihak industri bagi membolehkan penyelidikan menjurus kepada permintaan pasaran.

Raja Muda turut bertitah mengingatkan warga universiti yang terlibat dalam penyelidikan dan inovasi bahawa peranan mereka bukan sekadar melangkaui makmal dan institusi, tetapi juga penting dalam kemajuan global.

"Tahniah diucapkan kepada pencipta-pencipta muda yang amat komited dalam merealisasikan agenda nasional, dan lebih penting, dapat mewujudkan generasi muda kelas pertama yang berilmu, inovatif dan kreatif dalam memastikan ketahanan, kemakmuran dan kesejahteraan negara," titah baginda.

Terdahulu, Pemangku Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal dalam ucapan aluannya berkata pelajar IPT dan sekolah perlu sentiasa berfikiran kritis untuk menjadi generasi baharu yang mempunyai nilai kompetitif dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Beliau berkata pihak industri juga perlu memainkan peranan membantu mengkomersialkan produk inovasi yang dihasilkan pelajar.

i-ENVEX 2016 mendapat 400 penyertaan daripada IPT dan sekolah menengah seluruh negara di samping dari Korea Selatan, Kanada, Amerika Syarikat, Jepun, China, India, Turki, Romania, Moldova, Bulgaria, Mesir, Iraq, Indonesia, Thailand, Maghribi, Kemboja, Poland, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Enam belas peratus daripada produk berkenaan adalah daripada penyelidik muda dari luar negara dan 36 peratus penyertaan adalah daripada pelajar sekolah," katanya.

-- BERNAMA

Arau, 9 April – Kolokium Antarabangsa Aplikasi Teknologi Tinggi Korea (ICKHA 2016) merupakan platform terbaik dalam usaha meningkatkan kepakaran dan pengetahuan dalam bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, ini kerana, ICKHA 2016 menjadi wahana strategik yang menghimpunkan pakar-pakar industri dan akademik dari Korea Selatan sekaligus mewujudkan satu rangkaian industri yang berimpak tinggi.

Jelas beliau, kolokium tersebut  turut menjadi platform untuk UniMAP dan lain-lain Universiti Awam (UA) di Malaysia untuk sama-sama meneroka pelbagai kemungkinan dalam merealisasikan kejuruteraan dan teknologi reka bentuk dan aplikasi ke arah penggunaan praktikal serta komersial.

“Menerusi ICKHA 2016 ini, bidang penyelidikan yang dibincangkan tidak hanya tertumpu kepada satu atau dua bidang sahaja tetapi ia merangkumi semua bidang penyelidikan di UniMAP dengan misinya ia boleh membawa kerjasama di masa depan untuk semua kelompok penyelidikan.

“Hasil daripada persidangan ini juga secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada penyelidik dan ahli akademik UniMAP melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) di universiti-universiti di Korea Selatan atau melakukan latihan industri di sektor perindustrian di negara itu,” ujar beliau ketika berucap di Majlis Perasmian ICKHA 2016 di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di Pauh Putra di sini hari ini.

Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat hadir bagi menyempurnakan upacara perasmian.

Yang turut hadir, Penasihat Khas kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin serta pengurusan tertinggi UniMAP.

Menurut Dr. Zul Azhar lagi, kolokium tersebut juga diharap mampu menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di negeri Perlis sejajar dengan tema yang dipilih iaitu “Researching Korea, Designing Perlis”.

Menurut beliau, berdasarkan pembentangan yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Aerospace Composite Malaysia (ACM) Sdn. Bhd., Daniel Park, syarikat dari Korea sentiasa mencari peluang untuk mengembangkan teknologi di negara-negara lain untuk terus kekal relevan di dalam industri.

Selain itu, beliau turut menjelaskan, dengan adanya industri berteknologi tinggi di negara-negara luar, ia secara tidak langsung data membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat serta graduan dari UA tempatan yang berdekatan.

“Setakat ini hubungan UniMAP dengan Korea sangat baik dan ia terbukti melalui pembentangan Daniel Park sebentar tadi yang menyatakan 40 peratus jurutera mereka adalah graduan dari UniMAP.

“Manakala dalam bidang kepakaran teknikal pula, 30 peratus darinya merupakan graduan UniMAP dan saya amat berharap kolokium ini dapat membantu UniMAP menggubal kurikulum mengikut kehendak industri dan pada masa sama meningkatkan reputasi UniMAP sehingga ke tahap global,” ujar beliau lagi.

Selain ACM, turut berkongsi kepakaran dalam ICKHA 2016 ialah Prof. Dr. Eom Joon Chul, Presiden Global Institute For Transferring Skills; Prof. Dr. Lee Byung Gook, Profesor dari Dongseo University dam Prof. Kwang Wookjung, KEtua Pegawai Eksekutif Man. & Tel. Co. Ltd.

ICKHA 2016 merupakan salah satu aktiviti yang terkandung dalam Minggu Korea UniMAP (UniKOW) sebagai susulan program Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP ke Korea Selatan, Disember tahun lalu.

Daripada Effendi Harun


TOKYO, 7 April (Bernama) -- Jepun kekal sebgai negara asing terbesar yang melabur dalam sektor pembuatan di Malaysia, selain rakan dagang keempat terbesar, sehingga tahun lepas.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris, Malaysia pula merupakan rakan dagang kelapan terbesar Jepun dengan nilai perdagangan berjumlah US$33.59 bilion.

Beliau berkata dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas, sebanyak 52 projek membabitkan pelaburan berjumlah US$607.9 juta, diluluskan kepada syarikat Jepun.

Setakat ini, sebanyak 1,345 syarikat dari negara matahari terbit itu terlibat dalam sektor pembuatan dan bukan pembuatan di Malaysia, kata Ahmad Izlan.

Menurutnya antara pelaburan utama Jepun ialah dalam pembuatan produk mineral bukan metalik, eletronik dan elektrikal, kimia, peralatan pengangkutan dan mesin.

Beliau ditemui Bernama selepas menyambut keberangkatan tiba Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang mengetuai delegasi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ke Tokyo, baru-baru ini.

Baginda serta Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku pengerusi YTF, diundang oleh Josai International University (JIU) bersempena penerimaan masuk lima pelajar tajaan YTF untuk mengikuti program Kepimpinan Wanita selama setahun di universiti berprestij itu.

Program tersebut membabitkan kerjasama YTF-JIU dan UniMAP.

Ahmad Izlan berkata Nippon Electric Glass, Fuji Electric, SDP Global, Tosoh Corporation dan Kaneka Corporation, merupakan antara lima pelabur terbesar Jepun di Malaysia pada masa ini.

"Syarikat-syarikat Malaysia pula mempunyai peluang luas untuk melabur dalam bidang industri halal, pensijilan halal, kewangan Islam serta produk pertanian di Jepun," katanya.

Mengenai pelancongan, beliau berkata seramai 439,775 rakyat Jepun mengunjungi Malaysia tahun lepas, manakala rakyat Malaysia yang melawat Jepun dari Januari hingga November 2015 seramai 255,214 orang.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun terjalin sejak kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Jepun menubuhkan Kedutaan Besarnya di Kuala Lumpur pada September 1957 manakala Malaysia membuka pejabat Kedutaan Besarnya di Tokyo pada Januari 1958.

-- BERNAMA

 



Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) melalui Jawatankuasa (JK) Seminar telah menganjurkan Siri Seminar IMK yang bermula pada April 2015. Siri seminar ini merupakan satu platform ‘Perkongsian Ilmu’ (berkenaan bidang Matematik dan bidang lain yang berkaitan dengan Matematik) antara staf akademik dan pelajar pascasiswazah IMK. Seminar ini juga melibatkan beberapa jemputan luar IMK (dari kalangan staf akademik PPK dan Pusat Pengajian lain di UniMAP) dan juga jemputan luar UniMAP (Universiti Awam, Universiti Luar Negara dan Industri). Ini adalah sasaran utama setiap Siri Seminar IMK sepanjang tahun.

Sebanyak 20 Siri Seminar IMK telah dijalankan pada tahun 2015. Seminar diadakan pada hari Rabu jam 2.30 petang bertempat di Bilik Seminar IMK. Melalui platform ini, adalah diharapkan, penyelidikan yang berteraskan Matematik dapat disenergikan dan digembleng antara pensyarah IMK dengan pensyarah bidang Kejuruteraan, terutamanya yang melibatkan konsep permodelan Matematik dalam Kejuruteraan. Melalui jaringan antarabangsa IMK, TIGA (3) Siri Seminar IMK adalah melibatkan pensyarah dari UK (Prof. Madya Dr. Hadi Susanto – University of Essex, UK, yang merupakan pakar di dalam Sistem Matematik Tak-Linear), pensyarah dari India (Prof. Dr. Mohamad Shoeb – Aligarh Muslim University, India, pakar dalam bidang Teori Fizik Nuklear) dan pensyarah dari Russia (Prof. M. Victor E – Tech. University Novosibirsk, Russia, pakar di dalam bidang Supercomputer dan Pendidikan Matematik). Satu seminar jemputan dari pihak Industri (PROTON) telah disampaikan oleh En. Anuar Alias (Staff Engineer) bertajuk “From Mathematical Physics towards Engineering Mathematics - PROTON experience” yang menekankan keperluan untuk menguasai asas teknologi kenderaan yang berteraskan Fizik dan Matematik.
Siri Seminar IMK ini adalah satu program berterusan sepanjang tahun dan sasaran siri seminar ini adalah sekitar 20 siri seminar setahun. Untuk tahun 2016, pada 25 Januari 2016, satu Seminar Khas telah diadakan diantara IMK dan Jabatan Matematik, Thaksin University, Thailand. Seminar ini melibatkan, masing-masing, dua pembentang dari IMK dan TSU. Program ini adalah sebagai lanjutan daripada kerjasama antara pihak IMK dan TSU untuk menganjurkan ICoMEIA 2016 di Songhkla, Thailand pada 10 – 12 Ogos 2016. Pada Siri Seminar IMK 2016 ini, slot khas “Open IMK Seminar” akan dianjurkan bersama dengan jabatan lain di UniMAP sebagai satu bentuk sumbangan IMK terhadap perkongsian ilmu yang memberi manfaat kepada sistem UniMAP. DUA (2) slot “Open IMK Seminar” yang dirancang pada 2016 adalah: “Prosedur Perlupusan Dokumen Rasmi” yang akan disampaikan oleh pihak Jabatan Arkib Negara cawangan Kedah/Perlis (yang dirangka untuk diadakan dengan kerjasama Unit Latihan Jabatan Pendaftar) dan “Pengurusan Perwarisan (Islam & Konvensional) yang akan disampaikan oleh Y.Bhg. Dato’ Ahmad Saruji Abdul Aziz, CEO My Angkasa Berhad (diadakan dengan kerjasama Pusat Islam UniMAP).

 


Koleksi Siri Seminar IMKTahun 2015 (Siri 1 – Siri 20) Yang Melibatkan Pembentang Dari Staf Akademik Dan Pelajar Pascasiswazah IMK, Serta Beberapa Jemputan Luar IMK, Luar UniMAP, Antarabangsa Dan Industri.

 



“IMK-Thaksin University (Tsu) Special Seminar” Yang Merupakan Sebahagian Dari Siri Seminar IMK2016. Seminar Ini Melibatkan Empat (4) Orang Pembentang, Masing-Masing Dua Dari IMK dan TSU. Seminar Khas Ini Adalah Bentuk Kerjasama Antara IMKDan TSU Dalam Menjayakan Icomeia 2016.

 


IMK SEMINAR SERIES-7: CONTOH JEMPUTAN DARI LUAR UniMAP, DARI USM KAMPUS TRANSKRIAN

 


IMK SEMINAR SIRI-6: CONTOH JEMPUTAN DARI LUAR UniMAP (ANTARABANGSA) – SHIZUOKA UNIVERSITY, JAPAN.

 


IMK SEMINAR SIRI-5: CONTOH JEMPUTAN DARI LUAR IMK (PPK MEKATRONIK)

 

JADUAL SIRI SEMINAR IMK UNTUK TAHUN 2016. TERKINI SEHINGGA BULAN OGOS 2016. UNTUK TAHUN 2016, SATU JEMPUTAN ANTARABANGSA DARI JAPAN (SIRI-6), SATU JEMPUTAN LUAR UniMAP (TEMPATAN) DARI USM (SIRI-7). BERMULA DARI TAHUN INI JUGA, SEMINAR IMK AKAN MENGADAKAN ‘OPEN IMK SEMINAR’ YANG MELIBATKAN SIRI-16 (MEMFOKUSKAN KEPADA BIDANG LUAR MATEMATIK DAN MEMBERI MANFAAT KEPADA UniMAP – BIDANG PENGURUSAN PERWARISAN DALAM ISLAM DAN KONVENSIONAL).

 

Daripada Effendy Harun

TOKYO, 5 April (Bernama) -- Penerimaan lima pelajar sulung tajaan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Perlis mengikuti kursus Kepimpinan Wanita oleh Josai International University (JIU) membuka ruang kerjasama lebih erat antara YTF, JIU dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Pemangku Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata ketiga-tiga pihak yang mengadakan perbincangan di ibu negara Jepun di sini semalam telah mencapai beberapa keputusan memberangsangkan.

Katanya UniMAP bersetuju menjadi tuan rumah satu forum bagi memantapkan hubungan termasuk berkongsi kekuatan atau kelebihan dalam aspek pengukuhan kepimpinan wanita, pengurusan alumni, keusahawanan dalam pendidikan dan konsep wakaf universiti.

Selain menjemput kepimpinan utama JIU, beberapa universiti di ASEAN dan luar ASEAN yang mempunyai hubungan rapat dengan UniMAP akan dijemput menyertai forum berkenaan pada tahun ini, kata Zul Azhar.

Beliau bercakap kepada Bernama di sini sebelum berlepas pulang ke Malaysia semalam. Zul Azhar menyertai delegasi YTF ke Tokyo bersempena penerimaam lima pelajar oleh JIU untuk mengikuti kursus kepimpinan wanita selama setahun.

Penasihat Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi Malaysia Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin memberitahu kerjasama YTF-JIU-UniMAP dalam Program Kepimpinan Wanita akan dikembangkan membabitkan peserta dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Kamarudin yang juga bekas Naib Canselor UniMAP katanya YTF akan menjemput pelajar Jepun ke Malaysia untuk mendalami aspek kewangan syariah manakala satu entiti bagi mengkoordinasikan segala urusan dengan Pusat ASEAN di JIU bakal diwujudkan oleh UniMAP.

Sementara itu lima pelajar terbabit, Lim Xin Shi, 25 (UniMAP), Khuzaimah Ramli, 25 (UniMAP), Nurul Afizan Yaakob, 24 (Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)), Nurul Najwa Halim, 24, (UniMAP) dan Nor Salihah Zaini, 24 (UTeM) yang teruja mengikuti kursus tersebut mengucapkan terima kasih kepada YTF kerana memberi peluang kepada mereka.

"Kami akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mempelajari budaya, sosial dan cara kepimpinan negara Jepun dan masyarakatnya yang dikaitkan dengan disiplin yang tinggi dan ketepatan masa," katanya.

Khuzaimah pula yakin program yang diikuti ini membantu mereka menjadi pemimpin dalam kalangan wanita yang berjaya pada masa hadapan manakala Nurul Afizan berkata YTF membuat pengorbanan besar membiayai kursus mereka di JIU.


-- BERNAMA

Daripada Effendy Harun


TOKYO, 3 April (Bernama) -- Malaysia dan Jepun harus memperkukuhkan hubungan dua hala dalam gelombang Dasar Pandang ke Timur atau LEP 2.0, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda, Malaysia dan Jepun ibarat 'dua sahabat lama' yang mempunyai satu persamaan iaitu 'semangat muda' apabila kedua-dua negara bersetuju mengkaji semula LEP sejak Malaysia melancarkannya pada 1982.

"Selepas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak ke Jepun pada Mei 2015, kedua-dua pihak mendapati banyak bidang boleh diperkasakan," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah ketika menyampaikan ucap tama di hadapan lebih 3,000 hadirin pada majlis 'Matriculation Ceremony For Academic Year 2016' Josai International University (JIU) di kampus keduanya di Togane, Chiba Prefecture, di sini, semalam.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Canselor JIU Dr Noriko Mizuta dan Presidennya Prof Hakuo Yanagisawa.

Kedua-dua tetamu Diraja itu diundang khas oleh JIU sempena penerimaan masuk lima pelajar tajaan YTF yang mengikuti program Kepimpinan Wanita di universiti itu, selama setahun.

Pelajar berkenaan ialah Khuzaimah Ramli@Lahman, 25, Nurul Najwa Halim, 23, Lim Xin shi, 25, Nor Salihah Zaini, 24, dan Nurul Afizan Yaakob, 24.

Turut mengiringi rombongan baginda itu ialah Ahli Pemegang Amanah YTF, Tan Sri Dr Ng Yen Yen dan Datuk M. Rajasekaran, Penasihat Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan pemangku Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin universiti di Jepun dan rakan mereka di Malaysia boleh memperkasakan program pertukaran pelajar dan pensyarah serta mengiktiraf pemindahan kredit antara institusi bagi menambah nilai program pertukaran.

"Saya ingin mencadangkan satu tabung biasiswa atau bantuan kewangan untuk pelajar Jepun yang melanjutkan pengajian di Malaysia. Mungkin dimulakan dengan pemberian perjalanan atau saintifik bagi pelajar subjek kritikal yang mampu menyumbang kepada masyarakat Malaysia.

"Tindakan ini bertujuan merangsang penerokaan akademik dan saintifik yang menyokong pembangunan kemahiran berasaskan pengetahuan," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Menurut baginda kerjasama berterusan antara kerajaan Jepun dan Tourism Malaysia, melalui program 'Edu-Tourism' yang mempromosikan pendidikan Malaysia kepada Jepun, menambah erat hubungan antara rakyat kedua-dua negara.


-- BERNAMA

 

Daripada Effendy Harun


TOKYO, 2 April (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan para pelajar Malaysia di Jepun agar memanfaatkan peluang belajar di negara matahari terbit itu termasuk mendalami dan memahami disiplin, nilai budaya dan peradaban masyarakatnya.

Menurut baginda, Jepun merupakan negara maju berpendapatan tinggi yang kadar jenayahnya rendah dan selamat dilawati selain etika masyarakatnya menepati masa, semangat inovasi, kesetiaan, dedikasi, berbudi bahasa dan menghormati tetamu.

"Resipi kejayaan Jepun inilah yang perlu dicontohi dan dipraktikan mengikut kesesuaian kita untuk memajukan Malaysia," titah baginda pada majlis resepsi pendaftaran lima pelajar tajaan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) di Josai International University (JIU) di sini, Sabtu.

Baginda bersama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap pengerusi YTF berada di Jepun atas undangan JIU sempena penerimaan masuk lima pelajar tajaan YTF untuk mengikuti program Kepimpinan Wanita di universiti itu selama setahun.

Pelajar terbabit ialah Khuzaimah Ramli@Lahman, 25, Nurul Najwa Halim, 23, Lim Xin Shi, 25, Nor Salihah Zaini, 24, dan Nurul Afizan Yaakob, 24.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris serta ahli Lembaga Pemegang Amanah YTF Tan Sri Dr Ng Yen Yen dan Datuk M. Rajasekaran mengiringi baginda berdua.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah para pelajar Malaysia yang mendapat biasiswa belajar di Jepun hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Baginda turut mengingatkan masyarakat dan para pelajar Malaysia di Jepun supaya menghormati undang-undang negara itu bagi menjaga nama baik dan imej Malaysia di persada antarabangsa.

Pada masa ini, pejabat Kedutaan Malaysia di Jepun mendaftarkan seramai 5,551 rakyat Malaysia di negara itu antaranya golongan profesional, ahli perniagaan dan pelajar.


-- BERNAMA

Pauh Putra,1 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraikan 122 pelajar yang banyak memberi sumbangan kepada universiti itu sepanjang tahun lalu di Majlis Anugerah Gemilang Siswa (AGS) 2015, di sini, hari ini.

Majlis yang diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Fo’ad Sakdan.

Menurut Dr Mohd Foad, AGS dianjurkan sebagai inisiatif UniMAP bagi menghargai usaha keras dan sokongan padu pelajar-pelajarnya yang turut sama mendukung misi dan visi universiti.

“Pihak pengurusan percaya, tanpa adanya sokongan dan kejayaan yang diraih pelajar samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, adalah mustahil UniMAP berada di kedudukan sekarang.

“Di samping itu, penghargaan yang diberikan ini adalah dengan hasrat menjadi pendorong dan pemangkin kepada individu-individu lain untuk sama-sama bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti,” kata beliau ketika berucap merasmikan AGS 2015 berkenaan.

Hadir sama ke majlis itu ialah Pendaftar UniMAP, Zuber Haji Mohamad dan Dekan HEPA UniMAP, Prof Madya Razli Ahmad.

Menurut Dr Mohd Foad, sebanyak 36 anugerah dengan lapan kategori disediakan pada AGS 2015 ini termasuk satu anugerah baru diperkenalkan iaitu Anugerah Keusahawanan Khas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“ Anugerah ini adalah salah satu usaha pihak kementerian dan U  niMAP sendiri bagi menggalakkan dan melahirkan pelajar yang berpotensi menjadi usahawan yang berjaya serta mampu meningkatkan ekonomi negara.

“Ia diberikan kepada pelajar terpilih dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang menjalankan perniagaan atau aktiviti keusahawanan semasa tempoh mengikuti pengajian di universiti,” kata beliau.

Sementara itu, bagi Anugerah Utama AGS 2015 iaitu Anugerah Tokoh Terbilang diraih oleh Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sidang Akademik 2014/2015, Farizah Abdul Rahman di atas sumbangan beliau ketika mengetuai kepemimpinan MPP UniMAP sebelum ini.

 

 

 

KANGAR, 1 April (Bernama) -- Peluang kerjasama strategik antara Malaysia dan Jepun dalam bidang pendidikan dan latihan pembangunan usahawan perlu dipelopori dan dimanfaatkan kedua-dua negara.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah selain menjalin keakraban antara dua negara, bidang berkenaan turut memanfaat pelbagai pihak termasuk pemilik teknologi, pembiaya kewangan, agensi kerajaan dan usahawan yang berjaya.

"Antara yang boleh dikongsi bersama adalah usaha yang sedang rancak dijalankan di Malaysia menerusi penubuhan agensi Malaysia Global Creativity and Innovation Centre (MaGIC)," titah baginda dalam kenyataan di sini Jumaat.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian sempena majlis santapan yang diraikan Canselor Josai International University (JIU) Dr Noiko Mizuta di Tokyo, Jepun hari ini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan ialah Puan Muda Perlis Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Menurut baginda, bidang pembangunan latihan sesuai dikongsi untuk kepentingan bersama kerana walaupun telah mempunyai sektor inovasi tinggi, difahamkan Jepun belum menjadi lokasi tumpuan bidang berkenaan disebabkan faktor penguasaan bahasa Inggeris yang tidak meluas dan kos permulaan yang tinggi, titah baginda.

Baginda bertitah, perkongsian itu turut meluaskan pelbagai bentuk program pertukaran pelajar dan pensyarah antara kedua-dua negara serta kerjasama berterusan antara kerajaan Jepun dengan Tourism Malaysia melalui program EduTourism dalam mempromosikan pendidikan Malaysia yang berpotensi dimajukan.

Walaupun belum tersenarai dalam 20 lokasi teratas bagi ekosistem pembangunan, laporan Global Startup Ecosystem Ranking 2015, mengiktiraf Kuala Lumpur sebagai bandar raya Asia yang giat mengadakan usaha menggalakkan kerjasama banyak pihak bagi membangunkan bidang berpotensi tinggi, titah baginda.

Baginda berdua diiringi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTF Tan Sri Dr Ng Yen Yen dan Datuk M Rajasekaran atas undangan pihak JIU bagi menghadiri majlis penyerahan lima pelajar tajaan YTF yang menyertai Program Kepimpinan Wanita di universiti berkenaan selama setahun.

-- BERNAMA

 

 KANGAR, 1 April (Bernama) -- Lima graduan Malaysia yang terpilih mengikuti Program Kepimpinan Wanita di Universiti Antarabangsa Josai (JIU), Jepun tajaan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) berperanan menimba sebanyak mungkin pengalaman berharga untuk manfaat pembangunan negara.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YTF, Tan Sri Dr Ng Yen Yen dalam kenyataan hari ini berkata program yang bermula pada 3 April selama setahun itu diharap dapat membantu Malaysia mencapai status negara maju khususnya dengan penglibatan kaum wanita.

"Kurikulum program itu merangkumi aspek wanita dalam pembangunan negara dan dunia, cabaran kepimpinan di era globalisasi, hubungan Jepun dan ASEAN serta penekanan budaya kerja beretika dan berkualiti.

"Ia selaras dengan matlamat YTF bertujuan untuk melahirkan generasi kepimpinan wanita muda yang cemerlang dengan visi global," katanya yang turut mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berangkat bertemu lima graduan terpilih itu dan melawat asrama tempat tinggal mereka yang kondusif di daerah Chiba, Tokyo, Jepun Jumaat.

Graduan terlibat ialah Lim Xin Shi, 25, dari Johor dan Khuzaimah Ramli@Lahman, 25, dari Kedah yang masing-masing merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis, (UniMAP) dan Nurul Najwa Halim, 23, dari Kedah, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sains Biosistem, UniMAP.

Dua lagi graduan dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) iaitu Nor Salihah Zaini, 24, dari Perak, graduan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal Termal Cecair dan Nurul Afizan Yaakob, 24, dari Selangor, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pembuatan.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merangkap Pengerusi YTF.

Baginda berdua berangkat tiba awal pagi ini di Lapangan Terbang Narita dan disambut oleh Timbalan Ketua Perwakilan Malaysia di Tokyo Hendy Assan.

Selain menimba ilmu dan budaya cemerlang dari negara matahari terbit itu, pelajar program tersebut juga berperanan berkongsi dengan rakan-rakan di JIU tentang pembangunan wanita di Malaysia termasuk dasar dan program sedia ada serta memberikan penekanan terhadap idea kepentingan wanita dan media.

Program dengan kerjasama JIU dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu merupakan projek pertama YTF di luar Malaysia dan akan dijalankan bagi tempoh lima tahun di mana permohonan penyertaan dibuka pada Julai setiap tahun.

Kerjasama strategik antara dua negara itu juga diharap dapat diperluaskan ke 10 negara ASEAN yang lain.


-- BERNAMA