Tanjung Malim, 31 Mac – Pasukan Futsal pelajar wanita Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul antara lapan pasukan terbaik Kejohanan Futsal Liga IPT 2016 apabila berjaya beraksi sehingga ke peringkat separuh akhir pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini baru-baru ini.

Kejayaan tersebut membolehkan pasukan futsal wanita beraksi dalam pusingan liga divisyen wanita yang akan berlangsung pada bulan Mei ini di Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi memilih enam pasukan terbaik yang akan beraksi di pusingan akhir pada bulan September.

Selain UniMAP, pasukan yang layak beraksi pada pusingan liga bagi divisyen wanita ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) serta tuan rumah iaitu UPSI.

Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Suhizaz Sudin berkata, lebih membanggakan, pemain UniMAP, Siti Nasyitah Abdul Samat dinobatkan sebagai penjaring gol terbanyak pusingan kelayakan dengan enam gol keseluruhannya.

“Aksi Siti Nasyitah yang merupakan pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Mikroelektronik sememangnya menjadi tumpuan ramai sepanjang kejohanan berlangsung dan ternyata imej bertudung tidak menghalang beliau muncul penjaring terbanyak pusingan kelayakan,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebanyak 17 pasukan wanita mengambil bahagian dalam pusingan kelayakan yang berlangsung di Arena UPSI yang menyaksikan pasukan UiTM muncul juara kategori wanita selepas menumpaskan tuan rumah UPSI dengan 2 gol berbalas 1.

Sementara itu, Suhizaz berkata, bagi pasukan lelaki pula, UniMAP terpaksa menamatkan saingan di pusingan kedua selepas tumpas kepada pasukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 3 – 7.

Ujar beliau, kekalahan tersebut terubat apabila seorang pemain lelaki UniMAP yang merupakan pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan, Helmi Mohammad Kasim terpilih untuk menjalani latihan pusat bagi Sukan Tumpuan Futsal.

“Adalah diharapkan, momentum kejayaan pelajar ini akan berterusan dalam usaha UniMAP memperkasakan agenda sukan pelajar di persada negara dan antarabangsa,” ujar beliau lagi.

Siti Nasyitah penjaring gol terbanyak

Pasukan Wanita Futsal 2016

Pasukan Lelaki Futsal 2016

 

Pauh Putra, 27 Mac – Bersempena Festival Hab Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-Heart) 2016, mantan Naib Canselor UniMAP Brig Jen Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin menyampaikan ceramah mengenai sukarelawan di Dewan Ilmu, di sini hari ini.

Beliau yang juga Penasihat Menteri Pendidikan Tinggi turut berkongsi pengalaman beliau ketika masih belajar di sekolah menengah sehingga sekarang kepada kira-kira 200 pelajar dan kakitangan UniMAP.

Beliau berkata aktiviti sukarelawan tidak semestinya dengan menyumbang wang semata-mata tetapi juga boleh menyumbangkan masa dan tenaga bagi membantu golongan yang memerlukan seperti golongan kanak-kanak autistik.

Katanya, aktiviti sukarelawan bukan sahaja dapat membantu golongan yang memerlukan malah mampu mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat kerana dapat disertai oleh semua lapisan walaupun berbeza bangsa dan agama.

“Pendek kata, banyak kelebihan yang bakal diperolehi melalui aktiviti sukarelawan yang turut menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negara,” kata beliau.

Selain ceramah oleh Dr Kamarudin, turut diadakan ceramah yang disampaikan pemenang Women In Science L’oreal yang disampaikan penyelidik wanita UniMAP Dr Hakimah Osman dengan tajuk ‘How to Dream Big’.

Festival yang berlangsung selama tiga hari mulai 25 Mac itu turut mengadakan program-program menarik seperti Ask Hatta Dolmat, Charity Walk, Vendors Fair, dan jualan pakaian serta makanan dengan objektif utama bagi mengumpulkan dana untuk membina sebuah Pusat A-Heart di negeri ini khusus buat kanak-kanak istimewa terutama autisme di wilayah utara.

Arau, 26 Mac – Program jalan kaki amal, Royal A-Heart Charity Night Walk mendapat sambutan menggalakkan dari lebih 5,000 peserta sekaligus berjaya memungut dana berjumlah RM33,000 untuk Tabung Hub Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-HEART) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Program yang dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) dan UniMAP itu turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom berkata, program jalan kaki amal yang dianjurkan bersempena Festival A-HEART UniMAP itu disertai oleh pelajar dan warga UniMAP selain mendapat sokongan dari penjawat awam dan swasta serta pelajar Institusi Pendidikan dan sekolah di seluruh negeri Perlis.

Menurut beliau, Festival A-HEART yang akan berlangsung di Kampus UniMAP Pauh Putra sehingga 27 Mac 2016 ini dianjurkan khusus untuk memperkenalkan A-HEART UniMAP sebagai sebuah organisasi yang menawarkan kemudahan, perkhidmatan dan latihan kepada komuniti yang memerlukan di Perlis dan Wilayah Utara.

Jelas beliau, ianya dianjurkan sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan anak-anak autistik dan pada masa sama adalah untuk meningkatkan keterlibatan masyarakat dalam pembangunan dan perkembangan anak-anak autistik ke arah kesejahteraan masyarakat.

``Meskipun berlangsung pada waktu malam, program ini nyata memberikan satu pengalaman baharu buat para peserta dan ia juga merupakan simbolik sokongan warga Perlis amnya dan UniMAP khasnya dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan.

``Semoga sumbangan yang disalurkan ini dapat membantu merealisasikan hasrat UniMAP untuk membina sebuah pusat bimbingan dan pendidikan khas untuk anak-anak Autism di negeri Perlis,” ujar beliau.

Program jalan kaki amal melibatkan jarak sekitar 3 kilometer yang bermula dari Dataran Dewan Ilmu dan melalui Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Selain itu, program tersebut turut diserikan dengan pelbagai pertunjukan sampingan yang bertemakan ”Glow In The Dark” antaranya pertunjukan roller blade, pameran kereta audio, perarakan motosikal berkuasa besar serta pertunjukan bunga api.

Program yang turut disertai oleh anak-anak Autistik dari Pusat Kesatuan Kebangsaan Autism Malaysia (NASOM) itu diserikan juga dengan hadiah cabutan bertuah serta pakaian terbaik mengikut tema “Glow In The Dark” yang menawarkan hadiah berupa barangan elektrik dan hamper.

 

ARAU, 26 Mac (Bernama) -- Program jalan kaki amal, Royal A-Heart Charity Night Walk di kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini Jumaat malam berjaya mengumpul dana sebanyak RM30,000 sumbangan lebih 5,000 peserta yang menyertainya.  Pengerusi jawatankuasa penganjur, Prof Dr Abdul Hamid Adom berkata kutipan untuk mengisi Tabung Hab Sumber Pendidikan dan Latihan Autisme (A-HEART) UniMAP itu adalah bagi membina sebuah pusat bimbingan autisme di kampus tetap UniMAP di sini.  Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan UniMAP itu turut disertai Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.  Prof Dr Abdul Hamid berkata program amal jalan kaki itu dianjurkan bersempena Festival A-HEART UniMAP di kampus UniMAP di sini selama tiga hari yang bermula semalam.  Katanya selain pelajar dan warga UniMAP, orang ramai, pelajar sekolah seluruh Perlis serta anak-anak autistik dari Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) turut menyertai jalan amal itu.  Festival itu bertujuan memperkenalkan A-HEART UniMAP sebagai satu organisasi yang menawarkan perkhidmatan dan latihan kepada komuniti yang memerlukan di Perlis dan Wilayah Utara, katanya.  Beliau berkata program itu adalah antara inisiatif untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan anak-anak autistik serta penglibatan mereka dalam pembangunan dan perkembangan mereka.  Program jalan kaki amal sejauh tiga kilometer itu bermula dari Dataran Dewan Ilmu UniMAP melalui Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra dan berakhir di tempat permulaan.  Ia turut diserikan dengan pelbagai pertunjukan bertemakan 'Glow In Thre Dak' antaranya pertunjukan roller blade, pameran kereta audio, perarakan motosikal berkuasa besar dan pertunjukan bunga api.-- BERNAMA

 

Kangar, 25 Mac – Penyelidik Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengorak langkah dalam arena penyelidikan apabila berjaya memperoleh geran penyelidikan di bawah Kesatuan Eropah bernilai lebih RM2.5 juta.

Geran tersebut yang bakal mengkhusus kepada penyelidikan geopolimer konkrit di bawah tema “Horizon 2020” Program Inovasi dan Penyelidikan bakal menyaksikan kerjasama strategik antara CEGeoGTech UniMAP dengan beberapa buah universiti lainnya dari United Kingdom, Thailand, China dan Greece.

Pengurus CEGeoGTech UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, berdasarkan perjanjian kerjasama yang dimeterai, penyelidikan kerjasama tersebut yang di ketuai oleh University of Plymouth (UoP), United Kingdom akan berlangsung untuk tempoh empat tahun dengan tajuk penyelidikan Partnership for Research in Geopolymer Concrete (PRIGeoC).

Ujar beliau, kerjasama tersebut turut membuka peluang kepada semua universiti yang terlibat iaitu  Liverpool John Moores Unuversity (LJMU) Uited Kingdom, National Technolgy University of Athens (NTUA) Greece, University of Phayao, Thailand dan Tsinghua University China untuk menjayakan program pertukaran pelajar.

“Selain itu, para pelajar dari kesemua universiti terlibat juga boleh menjayakan program sangkutan (attachment) atau pasca kedoktoran sepanjang tempoh empat tahun perjanjian berlangsung.

CEGeoGTech UniMAP amat beruntung terpilih menjadi ahli dalam kerjasama penyelidikan ini yang mana pemilihan UniMAP dibuat berdasarkan jumlah penerbitan dan pengiktirafan yang diterima oleh penyelidik CEGeoGTech semenjak beberapa tahun lepas,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan laporan Elsevier Research Inttelligence, CEGeoGTech UniMAP muncul sebagai institusi penyelidikan terbaik di dunia dalam bidang Geopolimer dengan 59 jumlah penerbitan keseluruhannya dengan impak faktor sebanyak 222 meninggalkan Curtin University of Technology di tempat kedua dengan 35 penerbitan.

Lebih membanggakan, Penyelidik Geopolimer UniMAP juga mencatatkan indeks wajaran bidang terfokus (Field Weight Citation Index) tertinggi iaitu 3.71 yang bererti penerbitan UniMAP dalam bidang Geopolimer menjadi rujukan penyelidik dari seluruh dunia.

Menurut Dr. Mohd. Mustafa, PRIGeoC merupakan konsortium penyelidikan yg menumpukan kepada bidang bahan geopolymer dengan pelbagai aktiviti antaranya pasca Phd, penerbitan, bengkel dan persidangan.

“Selain saya, penyelidik UniMAP lainnya yangterlibat ialah Prof. Madya Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali yang merupakan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan serta mantan Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen Datuk Prof Emeritus Dr. Kamarudin Hussin manakala Prof. Dr. Long Yuan Li daripada UoP pula akan bertindak sebagai ketua penyelidik.

“Semoga dengan adanya geran ini akan membuka peluang kepada para penyelidik UniMAP untuk terus mewujudkan rangkaian kerjasama dengan universiti-universiti di bawah kesatuan Eropah,” ujar beliau lagi.

Prof. Dr. Long Yuan Li  (kiri) daripada University of Plymouth (UoP) dan Prof. Madya Dr. Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah, bertukar dokumen perjanjian geran penyelidikan dalam bidang Geopolimer dan Konkrit Hijau bernilai RM2.5 Juta di United Kingdom semalam.

Pauh Putra, 25 Mac: Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengagihkan bantuan wang zakat berjumlah  RM123,570,316 kepada warga asnaf bermula dari bulan Januari hingga Disember bagi tahun 2015.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs bertitah, bagi tempoh yang sama, MAIPs telah mengagihkan sebanyak RM5,776,803 sebagai Bantuan Sara Hidup kepada 8,084 penerima, RM3,206,550 `Bantuan Zakat Fitrah’ kepada 8,016 penerima, RM2,944,750 Bantuan Serta Merta Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada 2,945 pelajar, RM471,865  `Bantuan Perubatan’, RM324,154  Bantuan Bencana, RM1,850,000 Bantuan Institusi Pendidikan Islam yang melibatkan 15 Institusi Pendidikan Islam di Perlis dan RM3,411,310 untuk Program dan Aktiviti Kemasyarakatan dan Dakwah.

"Bagi bantuan rumah pula, MAIPs telah menyumbangkan sebanyak 725 buah rumah bernilai RM10,797,311 pada tahun 2013, 588 buah bernilai RM10,440,662 (2014) dan 513 buah rumah bernilai RM10,346,693 (2015)," titah baginda Majlis Penyerahan Penyata Zakat Pendapatan 2015 sempena Program Pelancaran Dana A-Heart di Dewan Ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini, semalam.

Turut berangkat hadir pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shareen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Khairi Hassan dan Penasihat Khas Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Dr Kamarudin Hussin.

Bercakap mengenai bantuan rumah pula, untuk rekod dalam tahun 2013, MAIPs telah menyumbangkan sebanyak 725 buah rumah bernilai RM10,797,311. Pada tahun 2014 sebanyak 588 buah rumah bernilai RM10,440,662 serta pada tahun 2015 sebanyak 513 buah rumah bernilai RM10,346,693.

Pada majlis itu juga,seramai 47 pelajar yang sedang menyambung pelajaran di Timur Tengah turut menerima Agihan Bantuan Pelajaran dengan diwakili ibu bapa masing-masing.

Titah baginda lagi, MAIPs amat mengalukan program kolaborasi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama Jabatan, organisasi atau syarikat-syarikat swasta samada kewangan, perdagangan ataupun perkhidmatan.

“Ini kerana MAIPs benar-benar mahu dikenali sebagai ’rakan kongsi’ yang tepat selain menjadi medium pelaksanaan program berimpak oleh semua pihak di negeri Perlis.

“MAIPs juga memohon orang ramai berkongsi dengan MAIPs, sebarang kes ‘terlepas pandang’ atau ‘keciciran’ agihan sumbangan kepada mana-mana asnaf yang berkelayakan menerima bantuan zakat,”titah baginda lagi.

Titah baginda sepatutnya, tiada asnaf yang terpinggir atau terlepas pandang di negeri ini kerana pelbagai mekanisme yang dapat membantu golongan asnaf yang terdiri daripada para amil, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Wakil Rakyat, Ketua-Ketua Jabatan, guru sekolah dan sebagainya.

KANGAR, 23 Mac — Aktiviti seharian memerlukan kita untuk berhubung dan bergaul antara berlainan jantina, namun ia mempunyai batas-batas yang perlu diikuti bagi mengelakkan masalah sosial berlaku.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, konteks pergaulan adalah cukup luas dan mencakupi segenap aktiviti harian kita seperti dalam urusan kemasyarakatan, jual beli, kerja, belajar dan perubatan.

“Malaysia merupakan negara yang amat istimewa kerana mempunyai pelbagai etnik bangsa dan agama, ini merupakan salah satu bukti keagungan Allah yang maha kaya dan bijaksana menjadikan sesuatu.

“Tidak hairanlah Malaysia sentiasa di pandang tinggi dalam menjaga hubungan sosial sesama masyarakat dan di dalam istilah bahasa arabnya dipanggil Majmuk,”katanya ketika berucap merasmikan Forum Keharmonian Antara Agama Peringkat UniMAP 2016 di Dewan Kecemerlangan, Kompleks Dewan Kuliah, Kampus Induk UniMAP, di sini, baharu-baharu ini.

Forum Keharmonian Antara Agama yang bertajuk “Etika Sosial: Perspektif Agama” disertai empat ahli panel yang mewakili empat agama utama di Malaysia iaitu, Pegawai Institut Sunnah dan Irsyad, Jabatan Mufti Negeri Perlis, Mohd Azri Mohd Nasaruddin, Pengerusi Kuil Arulmigu Arumugaswamy Devasthanam,Perlis,   Dr. Hari Ram a/l Ramayya,Wakil dari Persatuan Agama Buddha Perlis, Chong Kian Yew dan wakil bagi agama Kristian, Dr. Ragunathan A/L Santiagoo.

 

Program selama sehari itu berjaya menarik minat lebih 400 peserta yang terdiri dari kalangan staf dan pelajar UniMAP.

Ujar beliau lagi, secara umumnya pergaulan yang perlu diberikan perhatian oleh setiap ahli masyarakat ialah memandang saudara-saudaranya dengan pandangan sangka baik.

 

“Ia bermaksud pandangan yang penuh dengan harapan agar saudaranya sentiasa mendapat taufiq dan hidayah Ilahi kontek pergaulan di antara Muslim dan bukan Muslim.

 

“Kita sedia maklum, secara fitrahnya, manusia tidak boleh hidup keseorangan, seperti mana Nabi Adam a.s yang minta dijadikan teman iaitu Hawa meskipun telah dilimpahi dengan pelbagai kenikmatan dan kesenangan di syurga,”katanya lagi.

Kata Dr. Mohd Fo’ad lagi, pergaulan merupakan suatu keperluan dan tuntutan dalam kehidupan dan Allah telah merakamkan perkara itu di dalam hadis Qudsi sebagai suntikan bahawa setiap pergaulan yang berteraskan untuk mengagungkan dan menqasadkan Allah akan dianugerahkan ganjaran yang terlalu istimewa di akhirat kelak.

Ustaz Mohd Azri Mohd Nasaruddin dari Jabatan Mufti Negeri Perlis sedang memberi penerangan mengenai agama Islam kepada peserta Forum Keharmonian Antara Agama Edisi Ke 4 yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kampus Pauh Putra.

 

Dr. Hari Ram a/l Ramayya mewakili agama Hindu menerima cenderahati dari Y Bhg Prof. Madya Mohd Foad Sakdan.
 
Salah seorang peserta yang merupakan pelajar antarabangsa yang mengajukan soalan kepada ahli penal selepas forum tersebut.
 
Ahli Jawatankuasa MPP UniMAP mengambil kesempatan bergambar bersama ahli panel Forum Keharmonian Antara Agama Edisi Ke 4 selepas selesai forum tersebut.
 

Kangar, 15 Mac – Mahasiswa tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perhubungan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi calon tunggal dari Malaysia yang terpilih menerima bantuan biasiswa “Institute of Electrical and Electronics Engineers Microwave Theory and Techniques Society (IEEE MTT-S) khusus untuk pelajar ijazah pertama bagi tahun 2016.

Lebih membanggakan, Muhammad Adam Hamidon, 24, yang berasal daripada Selangor juga merupakan pelajar Malaysia pertama yang terpilih sebagai penerima biasiswa tersebut yang mula ditawarkan sejak tahun 2001 lalu, ujar Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Menurut beliau, kejayaan Muhammad Adam yang diperoleh menerusi laman web rasmi IEEE MTT-S, bakal menjadi suntikan semangat untuk mahasiswa UniMAP terus komited menghasilkan penyelidikan berimpak yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

“Kemenangan ini satu petanda bahawa Projek Tahun Akhir yang dilaksanakan UniMAP bukan sahaja menepati criteria di peringkat antarabangsa, malah mampu menyumbang kepada masyarakat.

“Penerima-penerima biasiswa ini dipilih oleh pakar-pakar dalam bidang berkaitan dari seluruh dunia menerusi penilaian kertas cadangan projek masing-masing. Antara kriteria yang dinilai adalah dari aspek  keaslian kajian serta prospek mahasiswa tersebut menjayakan projek dalam masa yang ditetapkan,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

IEEE MTT –S merupakan satu jawatankuasa yang menghimpunkan pakar-pakar kejuruteraan dan teknikal dalam bidang teori dan aplikasi RF, mikkrogelombang, gelombang milimeter dengan keahlian melebihi 13,000 orang dari seluruh dunia.

Biasiswa tersebut dianugerahkan dalam dua fasa setiap tahun bertujuan untuk menarik minat pelajar-pelajar sarjana muda untuk meneruskan kerjaya atau menyambung pengajian keperingkat pasca-siswazah dalam bidang “radio frequency (RF)” serta mikrogelombang (microwave).

Muhammad Adam, terpilih sebagai penerima biasiswa melalui projek tahun akhirnya iaitu vest pemantauan tahap kesihatan untuk warga emas yang mana ia merupakan satu system pengesan parameter kesihatan bersepadu dalam format pakaian yang menggabungkan empat jenis pengesan.

Alat ini mampu mendapatkan bacaan data kesihatan daripada badan pemakainya dan menyimpannya di dalam pengkalan data dengan selamat yang man aia kemudiannya boleh dipantau oleh doktor, pakar kesihatan serta keluarga pesakit itu sendiri secara atas talian.

Projek tersebut yang diselia oleh Dr. Soh Ping jack dijangka siap pada bulan Mei 2016. Para pemenang biasiswa ini akan menerima sijil dan hadiah wang tunaisebanyak USD$1500 bagi menyempurnakan projek tersebut, selain turut secara automatik menerima keahlian pelajar IEEE dan MTT-S untuk tempoh setahun secara percuma.

Muhammad Adam turut menerima bantuan perjalanan bagi menghadiri the International Microwave Symposium (IMS) yang bakal diadakan di San Francisco, Amerika Syarikat yang akan diadakan secara serentak dengan penganugerahan biasiswa pada bulan Mei ini.

Kangar, 11 Mac: Klinik UniMAPCare (UniMAPCare) telah memperolehi kelulusan dari Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), untuk beroperasi selama 16 jam bermula 7 Mac 2016 lalu.

Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAPCare, Brig. Jen. Datuk Prof. Emeritus Kamarudin Hussin, berkata, UniMAPCare yang dibuka kepada orang awam memulakan operasi pada 1 Disember tahun lalu dari jam 8 hingga 5 petang.

“Kita amat besyukur dengan kelulusan ini, dan berharap akan dapat memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada warga Perlis.

“UniMAPCare mempunyai satu-satunya doktor kesihatan pekerjaan (Occupational Health) di negeri ini, dan dengan pertambahan seorang lagi doktor dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi atau sakit puan, saya yakin akan memberikan nilai tambah kepada kami,” katanya ketika berucap pada Majlis Doa Selamat UniMAPCare, di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan dan Ketua Pegawai Eksekutif UniMAP Holdings Sdn. Bhd. Baharudin Majid.

Menurutnya, antara perkhidmatan yang ditawarkan UniMAPCare adalah perkhidmatan pesakit luar, pembedahan kecil, pemeriksaan kesihatan, fisioterapi, kaunseling, Hyperbaric Oxygen Therapy dan External Counter Pulsation Therapy.

“UniMAPCare kini sedang merancang untuk menambah perkhidmatan ibu mengandung dan bayi, perkhidmatan ultrasound 3D dan 4D, klinik wanita, vaksinasi dan lain-lain lagi.

“Kita merancang untuk mengadakan majlis pelancaran Klinik UniMAPCare ini pada pertengahan April yang akan disempurnakan Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail,”katanya.

 

Langkawi, 10 Mac – Dalam usaha menyemai nilai tanggungjawab sosial di kalangan pelajar, Pusat Bahasa dan Antarabangsa (CIL) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengadakan program komuniti di Kampung Selat Bagan Nyior, Dayang Bunting, di sini.

Program ‘Homestay’ dan Khidmat Masyarakat yang berlangsung mulai 6 hingga 9 Mac itu membabitkan 22 pelajar mobiliti UniMAP dari Universiti Walailak, Thailand dan empat pelajar antarabangsa UniMAP dari Yemen, Kenya dan Palestin diketuai pensyarah pusat berkenaan, Syamril Aklmar Chek Kassim.

Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa, Prof Dr Harshita Aini Haroon berkata antara aktiviti yang dijalankan ialah pelajar-pelajar itu diagihkan kepada 11 keluarga angkat di kampung berkenaan bagi menjalinkan ukhuwah pelajar bersama masyarakat desa.

Katanya, antara aktiviti yang dijalankan ialah membersihkan persekitaran masjid, menanam pokok bunga di halaman masjid serta membersihkan pantai yang turut disertai penduduk kampung dan rukun tetangga.

“Selain program gotong royong, murid-murid Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior turut didedahkan dengan aktiviti bahasa dan budaya Melayu dengan bantuan serta tunjuk ajar dalam bidang akademik sekaligus menjadikan sekolah ini sebagai sekolah angkat Pusat Bahasa Antarabangsa,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini, baru-baru ini.

Menurut Harshita, semua pelajar antarabangsa juga berpeluang menikmati makanan laut yang cukup sinonim dengan masyarakat kampung itu selain melakukan aktiviti memancing dan bermain permainan getah bersama anak-anak kampung itu.

“Aktiviti seumpama ini sangat bermanfaat kepada pelajar khususnya pelajar antarabangsa UniMAP kerana dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya masyarakat di negara kita.

“Selain itu, secara tidak langsung kita dapat membantu mempromosikan budaya masyarakat negara ini kepada pelajar antarabangsa sekaligus merancakkan industri pelancongan negara secara tidak langsung,” katanya.

Sepanjang aktiviti yang diadakan, UniMAP turut memberi sumbangan berupa wang tunai dan barangan dapur serta alat tulis kepada penduduk kampung.

Program komuniti ini dijangka diadakan setiap tahun bagi memberi pendedahan kepada pelaajr-pelajar antarabangsa terhadap aktiviti kemasyarakatan di negara ini.

Rabu, 9 Mac – Seramai 46 pelajar antarabangsa berjaya menamatkan Kursus Bahasa Inggeris Antarabangsa (IEC) yang ditawarkan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), baharu-baharu ini.

Menurut Pemangku Naib Canselor, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, Kursus Bahasa Inggeris Antarabangsa direka untuk meningkatkan kefasihan pelajar dalam berbahasa Inggeris di samping sebagai persediaan untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah.

“Kursus selama enam bulan ini turut membantu pelajar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat sini di samping meningkatkan kefasihan mereka dalam berbahasa Inggeris,” kata Dato’ Zul Azhar ketika berucap di Majlis Makan Malam Tamat Kursus IEC di Hotel Putra Regency Kangar, di sini.

Beliau juga yakin pengalaman belajar di UniMAP akan menjadi pengalaman yang berharga sekiranya pelajar mempamerkan sifat yang baik dan keazaman yang tinggi dalam pembelajaran mereka.

“Saya memahami perasaan mereka yang berada jauh daripada keluarga dan rakan-rakan tetapi dengan niat yang betul pasti semuanya akan membuahkan hasil yang membanggakan,” katanya.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah 22 pelajar dari Walailak University yang berada di UniMAP selama lima bulan sejak Disember 2015 lepas hingga Jun 2016 bagi mengikuti Program dalam Negara untuk Bahasa Melayu.

Rabu, 9 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan penganjuran program siri Syarahan Profesor Antarabangsanya apabila menjemput seorang professor dari National Laboratory of Atomic, Molecular and Optical Physics, Torun, Poland, Dr. Piotr Kolenderski bagi menyampaikan syarahan bertajuk Quantum Communication with Single Photons.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr Abdul Hamid Adom, Dr. Piotr Kolenderski menerima Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Fizik masing-masing pada tahun 2006 dan 2010 daripada Nicolaus Copernicus University, Torun, Poland.

“Beliau kemudiannya menyertai Quantum Photonics Laboratory at Institute for Quantum Computing, Waterloo di Kanada sebagai felo doktor dan sekarang berkhidmat sebagai pembantu professor di National Laboratory of Atomic, Molecular and Optical Physics, Torun, Poland.

“Bidang utama penyelidikan beliau adalah berfokuskan kuantum komunikasi jarak jauh dan lelaran multiphoton terikat,” katanya ketika membacakan teks ucapan Pemangku Naib Canselor UniMAP pada Majlis Syarahan Profesor Antarabangsa yang diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP).

Prof. Hamid juga yakin hubungan baik UniMAP bersama Kedutaan Poland di Malaysia akan memberikan kelebihan kepada UniMAP untuk menerima lebih ramai pakar-pakar daripada Poland untuk datang ke UniMAP.

Kangar,7 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknikal Mara Sdn Bhd (UniKL) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 26 Februari, baru-baru ini.

Majlis berkenaan diadakan di Bangunan Canselori, UniKL di Kuala Lumpur bagi merealisasikan perbincangan awal sejak tahun lalu menerusi penyeliaan bersama dan bidang penyelidikan serta menunjukkan komitmen antara UniMAP dan UniKL sekaligus merapatkan hubungan kerjasama yang sedia terjalin di antara universiti awam dengan universiti swasta.

Dokumen MoU itu ditandatangani oleh Pemangku Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Presiden UniKL, Dato’ Prof Dr Mazliham Mohd Su’ud dengan disaksikan oleh, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP Dr. Khairel Rafezi Ahmad, Professor di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP Prof. Dr. Mohd Noor Ahmad, Timbalan Presiden Akademik dan Teknologi, UniKL, Prof. Dato' Dr. Azanam Shah Hashim, Dekan British Malaysia Institute (BMI), UniKL Prof.Madya Dr. Mohd Izhar Abu Bakar, dan Pensyarah Kanan, BMI, UniKL Dr. Mohd Azraie Mohd Azmi.

Dato’ Zul Azhar berkata, memorandum persefahaman itu dicapai bagi memantapkan agenda Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki UniMAP serta UniKL.

“Kerjasama dalam bidang penyelidikan juga dapat dilaksanakan melalui kajian dalam bidang ‘nanobiosensor’ berasaskan Graphene Oksida untuk mengesan penyakit kanser di peringkat awal.

“Selain itu, kerjasama juga melibatkan permohonan geran bersama daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia seperti ‘Long-term Research Grant Scheme (LRGS)’, ‘Fundamental Research Grant Scheme’ (FRGS), ‘Transdisciplinary Research Grant Scheme (TRGS), dan ‘Collaborative Research in Engineering Science and Technology (CREST)’ yang melibatkan kerjasama antara universiti dan syarikat.,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini.

Terdahulu melalui Centre of Excellence for Advanced Sensor technology (CEASTech), UniMAP bersama Spanish Malaysian Institute, Kulim, Kedah telah melaksanakan kerjasama penyelidikan dan pembangunan bahan nano bagi fabrikasi penderia seperti ‘Graphen’ dan bahan filem nipis ‘Thin Film Material’ yang baru.

Kolaborasi itu juga bagi mendapatkan geran atas kerjasama dengan institusi luar negara, seperti geran Newton-Ungku Omar dan British Council. Melalui penyelidikan ini juga, kedua-dua pihak akan memulakan ‘start-up company’.

 

Pauh Putra, 7 Mac: Sebanyak empat  kertas kerja dibentangkan pada Kolokium Media Baharu dan Masyarakat anjuran bersama Majlis Profesor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pembentangan pertama dimulakan Ketua Bahagian Pengawasan Digital SKMM, Harme Mohamed yang bertajuk “New Media: Issues, Challenges and Impact to Society”.

Manakala bagi pembentangan kedua pula adalah daripada Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dr. R. Badlishah Ahmad yang bertajuk “Advancement of Information Technologies Through New Media”.

Dua lagi perbentangan adalah dari Ketua Bahagian Komunikasi Digital dan Koordinasi Program SKMM, Nor Akmar Shah Minan dengan tajuk “Smart Sustainable Community Towards a Smart Digital Nation” dan Ketua Jabatan Perancangan Spektrum-Perkhidmatan Bergerak SKMM, Syed Khairulazrin Syed Khairuldin bertajuk “The Future Of Mobile Broadband Enabling A Smart Digital Nation”

Terdahulu, turut diadakan sesi perbincangan yang bertajuk “Academic and Regulatory Aspiration on the New Media and Society in Malaysia” yang disertai tiga ahli panel iaitu Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Penguatkuasaan dan Advokasi, SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin, Penolong Naib Canselor Komunikasi Korporat UniMAP, Datin Prof. Dr. Zuraidah Mohd Zin dan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan TeknoKomunikasi (IKOM) UniMAP, Prof. Madya Dr. Huzili Husin.

Kolokium selama sehari itu diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UniMAP.Ia bertujuan untuk berkongsi ilmu dan melahirkan golongan pemikir dari kalangan profesor di bahagian utara Malaysia.

Majlis Perasmian disempurnakan  Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom. Turut hadir, Pengerusi Majlis Profesor UniMAP, Prof. Dato’ Ali Yeon Md. Shakaff.

7 Mac  – Pensyarah wanita dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan (PPKKP)  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melakar kejayaan membanggakan apabila dinobatkan juara keseluruhan di Istanbul International Inventions Fair (ISIF) 2016 yang berakhir semalam.

Latifah Munirah Kamarudin Munirah dipilih pemenang Grand Prix Award iaitu anugerah tertinggi ISIF 2016 melalui inovasinya Unisense: Internet of Thing for Multi Sensing yang merupakan sistem pemantauan alam sekitar berasaskan awan.

Ujar beliau yang turut meraih pingat emas pada Malaysia Technology Expo (MTE) di Kuala Lumpur bulan lalu, menerusi hasil inovasi tersebut, keadaan alam sekitar seperti kualiti udara dan air di ambil menggunakan penderia setiap 15 minit dan di hantar ke pangkalan data untuk pemantauan dan analisis.

Jelasnya, inovasi tersebut boleh digunakan untuk mengukur indeks pencemaran udara, taburan hujan serta paras air di sungai-sungai utama dan sangat berguna bagi memantau keadaan cuaca termasuk memperoleh maklumat awal sekiranya berlaku bencana.

“Kejayaan ini sememangnya amat bermakna buat saya dan pasukan penyelidik lainnya memandangkan proses perjurian yang agak ketat dengan hanya 32 pingat emas ditawarkan menerusi 500 penyertaan yang diterima, justeru dipilih sebagai yang terbaik dalam ISIF 2016 ini merupakan pencapaian terbaik saya,” ujar beliau.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Menteri Sains, Industri danTeknologi Turki, Fikri Isik. ISIF 2016 merupakan pameran inovasi dan rekacipta yang pertama kali diadakan di Turki anjuran Kementerian Sains, Industri danTeknologi bersama Institut Paten Turki, Anatolia Inventions Inventors Association (ABDER) dan International Federation Inventors’ Associations (IFIA).

Pameran yang berlangsung mulai 3 Mac di Pusat Kongress Istanbul, Turki itu disertai oleh 25 buah negara antaranya, Turki, Bosnia, Korea, China, Jerman, Poland, Romania, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Iraq, Iran, Portugal, Iceland, India, Brazil dan Malaysia.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kejayaan Dr. Latifah Munirah membuktikan penyelidik wanita juga mampu menghasilkan inovasi yang bukan sahaja berupaya memenangi pingat tetapi memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kemenangan ini satu isyarat bahawa UniMAP tidak ketandusan penyelidik-penyelidik wanita berwibawa yang boleh mengharumankan nama negara dan UniMAP khasnya sekaligus menjadi penyuntik semangat untuk penyelidik wanita lainnya untuk terus berusaha menghasilkan inovasi yang berkualiti,” ujar beliau.

Selain Dr. Latifah Munirah, UniMAP turut meraih satu lagi pingat emas melalui felo di Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech), Shamala Ramasamy melalui penyelidikannya Pro Eco-Paint yang merupakan hasil penyeliaan mantan Naib Canselor UniMAP Datuk Prof. Emeritus Dr.KamarudinHussin.

Penyelidik UniMAP juga menyumbang satu pingat perak melalui Dr.Rozyanty Rahman (CEGeoGTech) dan empat pingat gangsa menerusi Dr.Muzamir Isa (PPK Sistem Elektrik), Dr. Sharifah Shahnaz Syed Bakar (PPK Bahan), Baharuddin Ismail (PPK Sistem Elektrik) dan Nurul Razliana Abdul Razak (Fakulti Teknologi Kejuruteran).

Selain UniMAP deligasi penyelidik Malaysia di bawah Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) turut disertai oleh beberapa buah sekolah seperti Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, SMS Hulu Selangor, SMS Muar, Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI) Rawang, Kolej Tunku Kurshiah, Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Menengah St. Michael Penampang Sabah. Malaysia menduduki tangga kedua keseluruhan dengan pungutan tiga pingat emas, satu pingat perak dan 13 gangsa di belakang Turki.

 

Pauh Putra, 3 Mac – Pasukan penyelidik Bioelektromagnetik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Komputer dan Perhubungan dan PPK Sistem Elektrik menganjurkan seminar bagi mendapatkan penilaian di atas kejayaan projek kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Seminar bertajuk Overview of The Impact of Electromagnetic Fields on Human Health- An Update About The Effects of Extremely Low Frequency Magnetic Fields (ELF-MFs) On Nervous System diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP)di sini, hari ini.

Pakar antarabangsa, Dr Claudia Consales iaitu saintis kanan di Agensi Kebangsaan Itali telah dijemput bagi menyampaikan ceramah beliau terhadap dua projek kerjasama di antara UniMAP dan SKMM berkenaan iaitu Effects of Short Term LTE (850, 1800,2600 Mhz) Base Station Signal Exposure On Cognitive Performance, Well Being, Physiological Parameters and Electroencephalography (EEG) of The Malaysian Children dan A Study On The Biological Effects of LTE (850,1800,3600 Mhz) EMF Exposures.

Pemangku Naib Canselor Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, penyelidikan berkenaan adalah bagi mengatasi kebimbangan masyarakat tentang kesan pendedahan kepada sinaran elektromagnet yang dikatakan boleh menjejaskan kesihatan kesejahteraan masyarakat.

“Ini telah terbukti apabila kajian ini telah mendapati bahawa gelombang elektromagnet tidak berupaya membawa risiko kesan kesihatan kepada masyarakat sekitar, termasuklah golongan warga tua dan kanak-kanak,” kata beliau.

Beliau turut melahirkan rasa bangga di atas kejayaan penyelidikan pasukan UniMAP itu kerana ia sekaligus memberi impak sosio-ekonomi yang besar dalam bidang penyelidikan.

Katanya, hasil kerjasama dengan kerajaan membuktikan universiti adalah hab sumber penting bagi mendapatkan pemikiran inovatif, pengetahuan baru serta pakar yang berupaya menarik pelabur antarabangsa.

“Justeru, UniMAP akan sedaya upaya untuk terus memanfaatkan kepercayaan kerajaan menerusi kontrak dan geran penyelidikan agar dapat meningkatkan reputasi negara samada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” kata beliau .

Hadir sama ke seminar berkenaan ialah Pengarah Kanan, Ketua BahagianTeknologi dan Masyarakat, SKMM Tuan Aisharuddin Nuruddin dan Dekan PPK Komputer dan Perhubungan UniMAP Prof Dr R. Badlishah Ahmad.

Terdahulu, kajian selama setahun yang dijalankan sekumpulan penyelidik UniMAP diketuai Dr Mohd Fareq Abdul Malek mendapati tiada hubung kait antara pendedahan jangka panjang kepada sinaran elektromagnet dengan kesihatan dan kesejahteraan manusia.

KANGAR, 2 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa universiti awam dan institusi pengajian tinggi menganjurkan aktiviti seni secara berkala dengan tumpuan kepada seni dan budaya pelbagai kaum.

Baginda bertitah agensi atau persatuan seni juga harus merancang aktiviti seni dan budaya di setiap kawasan melalui penganjuran seminar atau wacana.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah muzik, teater, seni lukis, tarian, koreografi, penulisan kreatif, dan kraf merupakan manifestasi tamadun kehidupan masyarakat sesebuah negara yang menjadi asas kepada pelengkap kehidupan berkualiti.

"Peranan seni budaya berkualiti telah diterima sebagai penyumbang kewujudan masyarakat dan bangsa berkualiti," titah baginda pada majlis penutupan Pertandingan Tarian Tradisional Di Bawah Pemerintahan Diraja di Dewan Kapitol Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, Rabu.

Baginda bertitah kegiatan seni budaya harus dipergiatkan dengan mewujudkan sistem pendidikan formal khusus untuk aktiviti seni budaya di peringkat sekolah lagi.

"Jika ia tidak dipelajari secara formal dan ilmiah, ia akan terus kekal sebagai satu aktiviti yang hanya diselitkan dalam majlis-majlis kebudayaan sahaja," titah baginda.

Baginda bertitah masyarakat juga mesti membuang stigma negatif terhadap pengamal dan kerjaya berkaitan kesenian dan kebudayaan.

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat ke majlis itu.

Turut hadir Pemangku Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Penasihat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Prof Emeritus Dr kamarudin Hussin.


-- BERNAMA

 

Kangar,1 Mac – Bertemakan Melestarikan Tarian Tradisional Perlis, Pusat Kajian Istitusi Raja Malaysia (PKIRM) bersama Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan Pertandingan Tarian Tradisional di Bawah Pemerintahan Diraja Perlis, di sini, hari ini.

Selain pertandingan tarian, turut diadakan bengkel tarian tradisional yang dihadiri lebih 200 murid-murid, pelajar sekolah serta mahasiswa UniMAP sebagai salah satu medium bagi mengekalkan kewujudan salah satu cabang budaya itu.

Pemangku Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata walaupun UniMAP merupakan sebuah universiti kejuruteraan namun tidak menghalang universiti itu menjalankan usaha bagi memelihara budaya warisan nenek moyang.

Katanya, menerusi pertandingan ini kita dapat memupuk rasa cinta dan minat yang berterusan kepada generasi muda kini terhadap warisan budaya seterusnya menjadi khazanah yang tidak akan lupus dek zaman.

“Malah, menerusi pertandingan ini sedikit sebanyak berupaya mendidik generasi muda daripada mudah terpengaruh dengan budaya Barat seperti tarian ravers yang kini menjadi isu hangat masyarakat kita hari ini, “ katanya ketika berucap merasmikan pertandingan tarian tradisional itu di Dewan Kapitol UniMAP, di sini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS), Tuan Rejab Ismail, Pengarah PKIRM, Datin Paduka Datuk Prof Dr Ramlah Adam dan Pengarah UKR, Izwan Izhar Haris.

Sementara itu, Rejab Ismail atau lebih dikenali dengan nama pena Rejab F.I turut menyampaikan ucaptama di majlis perasmian itu.

Katanya, beliau melahirkan ucapan tahniah di atas usaha UniMAP mengadakan pertandingan itu bagi memartabatkan kesenian dan budaya bangsa kita.

“Sebuah institusi kejuruteraan memberi perhatian serius terhadap kesenian bangsa sekaligus dapat membedung anak-anak bangsa kita mengenali dan menghayati kesenian bangsa ini, “ katanya.

Selain pertandingan dan bengkel tarian, turut diadakan Pertandingan Kebaya Tradisional iaitu pakaian tradisional Perlis yang merupakan pakaian harian nenek moyang di negeri ini pada masa dahulu.