Arau, 28 November – Atlit dari Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM), Mohd. Fauzi Md. Amin muncul raja pecut Kejohanan Olahraga Tertutup Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kali Ke-12 apabila meraih pingat emas bagi acara 100 dan 200 meter.

Mohd. Fauzi, pelajar tahun tiga Komunikasi Media Baharu itu turut mencatatkan rekod baharu bagi kedua-dua acara tersebut sekaligus membolehkan beliau dinobatkan sebagai Olahragawan Kejohanan.

Olahragawati kejohanan pula menjadi milik Nurathirah Abd. Fathah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Sistem Elektrik selepas meraih tiga pingat emas menerusi acara 100 dan 200 meter serta lompat jauh selain turut mencatatkan rekod kejohanan bagi acara 200 meter.

Mohd. Fauzi berkata, kejayaan tersebut merupakan sesuatu yang cukup bermakna memandangkan beliau kini berada di tahun akhir pengajian.

“Sepanjang tiga tahun di UniMAP, saya tidak pernah berpeluan meraih pingat emas kedua-dua acara ini dan terpaksa akur dengan kehebatan rakan sepasukan dalam kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang mewakili Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK).

“Namun Alhamdulillah, tahun ini rezeki berpihak kepada saya apabila berjaya meraih dua pingat emas sekaligus mencatatkan rekod baharu kejohanan. Lebih manis lagi, apabila dinobatkan selaku olahragawan kejohanan.

“Insya Allah, saya akan menggunakan tempoh masa terakhir pengajian untuk menyumbangkan sesuatu buat kontinjen UniMAP pada Kejohanan Olahraga MASUM yang akan berlangsung di UniMAP April, depan,” ujarnya.

Kejohanan Olahraga Tertutup UniMAP Kali Ke-12 disertai oleh 12 pasukan dari pusat pengajian di UniMAP membabitkan lebih 6,000 atlit keseluruhannya. Bagi edisi kali ini, PPK Sistem Elektrik terus mengekalkan kejuaraan untuk kali keempat berturut-turut selepas meraih 8 pingat emas, 6 pingat perak dan 2 pingat gangsa.

Tempat kedua menjadi milik PPK Komputer dan Perhubungan dengan 3 pingat emas, 5 pingat perak dan 5 pingat gangsa manakala tempat ketiga dimenangi oleh FTK dengan 3 pingat emas, 3 pingat perak dan 3 pingat gangsa.

Majlis penutup disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengurusan Akademik yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamaruddin.

Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Hj. Suhizaz Sudin berkata, kejohanan dianjurkan khusus untuk memilih atlit-atlit yang bakal mewakili UniMAP pada kejohanan olahraga MASUM tahun hadapan.

“Sebagai sebuah universiti yang berfokuskan kejuruteraan, persiapan rapi dan latihan berterusan amat diperlukan bagi membolehkan atlit UniMAP mampu memberikan saingan pada kejohanan MASUM yang sebahagian besarnya disertai oleh atlit-atlit kebangsaan.

“Justeru kejohanan peringkat dalaman ini amat penting bagi kami memilih atlit-atlit yang berbakat untuk membawa cabaran UniMAP di MASUM kelak,” ujarnya.

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Sektor pendidikan tinggi perlu meningkatkan daya saing global dalam menghadapi perubahan teknologi baharu dalam pelbagai bidang pekerjaan, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.


Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bertitah orientasi perkhidmatan baharu, teknologi dan inovasi semakin didorong oleh peningkatan dalam permintaan terhadap bakat global.


Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Pameran dan Persidangan Pemimpin Profesional Dalam Pendidikan Asia Pasifik (QS-APPLE) ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.

Seramai 664 peserta terdiri daripada Naib Canselor, presiden universiti, pembuat dasar, ahli akademik, penyelidik dan pentadbir yang mewakili 140 institusi dari 31 negara menyertai persidangan itu.


"Mewujudkan pendidikan tinggi yang berkualiti bagi memenuhi keperluan masa kini dan masa hadapan khusus untuk meningkatkan daya saing global adalah cabaran besar kepada sektor pendidikan tinggi," titah baginda.


Teks ucapan baginda diedarkan UniMAP hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin yakin sektor pekerjaan di masa hadapan mendambakan penguasaan tinggi dalam bidang teknologi baharu sejajar dengan keperluan semasa.


"Jeff Weiner, Ketua Pegawai Eksekutif LinkedIn mengutarakan fakta menarik bahawa lebih daripada lima juta pekerjaan akan digantikan oleh teknologi baharu pada tahun 2020," titahnya.


Baginda menjangkakan pekerjaan baharu akan diwujudkan pada masa akan datang termasuk dalam bidang pengurusan data arus, data aktuari dan sistem antropologi akan berkembang dengan keperluan teknologi baharu.

Raja Muda Perlis berharap QS APPLE akan mampu menyediakan landasan yang tepat dalam sistem pendidikan tinggi untuk bertukar-tukar idea, mencipta rangkaian dan meneroka peluang-peluang baharu.

Sistem pendidikan tinggi di seluruh dunia juga dijangka akan memanfaatkan dan melahirkan bakat-bakat seiring dengan perkembangan teknologi.

Pameran dan persidangan anjuran bersama UniMAP dan QS Education Trust itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Berangkat sama ke majlis perasmian itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur serta Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

-- BERNAMA

 

PUTRAJAYA, 22 Nov (Bernama) -- Malaysia semakin mencapai kemajuan ke arah mewujudkan universiti penyelidikan bertaraf dunia untuk negara, kata Ketua Setiausahan Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur.


Beliau berkata inisiatif itu, yang bermula pada 2001 seperti digariskan dalam Rangka Rancangan Jangka panjang (OPP) Ketiga dan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025), akan mewujudkan enjin pertumbuhan di negara ini.


"Universiti Penyelidikan sentiasa dianggap sebagai peneraju dan pemangkin bagi menimba ilmu, menjana kekayaan dan kesejahteraan masyarakat.


"Usaha Malaysia ke arah mencapai kecemerlangan bertaraf dunia tidak bermula dari peringkat awal. Kementerian Pendidikan Tinggi menggunapakai pendekatan paling praktikal untuk mewujudkan universiti bertaraf dunia melalui peningkatan beberapa universiti terpilih yang sedia ada," katanya.


Noorul Ainur berkata demikian dalam ucaptamanya pada Persidangan Pemimpin Profesional Dalam Pendidikan Asia Pasifik (QS-Apple) ke-12 di sini hari ini.


Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan marasmikan acara itu. Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Noorul Ainur berkata Malaysia telah mengorak langkah besar untuk meningkatkan pencapaian universiti awam tempatan dengan memperkenalkan status Universiti Penyelidikan kepada lima universiti awam.

Kelima-lima universiti tersebut ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


"Universiti tersebut bukan hanya akan membangunkan tenaga kerja masa depan tetapi juga menjadi pusat untuk mewujudkan modal intelektual dan pengetahuan baharu," katanya.

Beliau berkata kesemua kelima-lima universiti penyelidikan telah berjaya memperoleh rating enam bintang dalam audit Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) bagi tahun 2014-2015.


"Universiti Malaya, universiti tertua dan berprestij melonjak daripada universiti 300 teratas pada 2010 kepada ranking universiti 200 teratas pada 2016.

"Malah, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysiaberada dalam kelompok universiti 300 teratas dalam laporan ranking terkini berbanding 400 teratas pada 2010," kata beliau.

Persidangan dan pameran selama tiga hari itu dianjurkan bersama oleh QS-APPLE dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).


-- BERNAMA

 

 

Arau, 20 November – Lebih 600 pelajar mengambil bahagian dalam acara “IEEE UniMAP SB Colour Run” yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Institut Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik (IEEE) Cawangan Pelajar Universiti Malaysia Perlis (IEEE SB UniMAP) di Kampus UniMAP Pauh Putra di sini.

Acara yang membabitkan jarak sejauh 5 kilometer itu dimeriahkan dengan pelbagai gelagat yang dibekalkan dengan pistol air diisi serbuk bewarna-warni sepanjang larian berlangsung.

Selain pelajar-pelajar tempatan dan antarabangsa UniMAP, acara tersebut turut disertai oleh kakitangan UniMAP beserta ahli keluarga masing-masing.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, penganjuran acara tersebut merupakan satu inisiatif  membudayakan gaya hidup sihat oleh IEEE SB UniMAP.

Ujar beliau, program tersebut diharap dapat melahirkan pelajar yang mempunyai pencapaian seimbang dari aspek akademik dan fizikal seterusnya mempunyai daya saing yang tinggi.

Namun, ujar beliau, apa yang lebih penting dan bermanfaat yang perlu diperhalusi oleh para pelajar dan peserta ialah pentingnya menyertai mana-mana badan profesional akademik untuk manfaat pelajar selepas bergraduasi kelak.

“Tidak salah untuk kita berseronok dan bergembira dalam acara seperti ini, namun apa yang lebih utama ialah melihat kepada struktur pertubuhan badan profesional seperti IEEE SB UniMAP yang akan bertindang sebagai rangkaian atau ‘networking’ pelajar dengan dunia luar.

“Seharusnya rangkaian yang seperti inilah yang akan membantu melancarkan urusan rasmi dan kerja harian selaras dengan matlamat penubuhan IEEE SB UniMAP untuk membantu memberi capaian elektronik kepada pelajar bagi pelbagai jenis sumber rujukan, kemudahan diskaun atau potongan terhadap yuran penyertaan persidangan yang dianjurkan di bawah naungan persatuan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah IEEE UniMAP SB Colour Run di Perkarangan Dewan Kecemerlangan UniMAP, Kampus Pauh Putra di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Foad Sakdan dan Kaunselor serta Penasihat IEEE SB UniMAP, Prof. Madya Dr. Azremi Abdullah Al-Hadi.

ALOR SETAR, 20 November – Penglibatan pelajar dalam bidang ko-kurikulum diharap mampu merealisasikan hasrat universiti untuk melahirkan lebih ramai sukarelawan yang mampu mendokong pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dalam ucapannya berkata, jika konsep ini mampu diterjemahkan dalam semua badan-badan beruniform maka sudah pasti segala sumber yang ada di universiti ini mampu untuk dimanfaatkan bersama secara optimum dan sinergi.

Ia seterusnya dapat digemblengkan untuk memperoleh hasil yang diharapkan dan lebih bermakna dan pada masa sama melahirkan insan yang prihatin dan berbakti kepada masyarakat.

“Justeru adalah menjadi harapan saya untuk melihat Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UniMAP sebagai model atau kerangka utama untuk merealisasikan kejayaan pelaksanaan USR ini sejajar dengan hasrat UniMAP kearah 500 Universiti Terbaik Dunia menjelang 2020,” ujarnya ketika berucap pada majlis Santapan Regimental Pegawai Kadet Palapes UniMAP Ke-9 di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 116 Pegawai Muda Palapes UniMAP ditauliahkan dalam Tentera Darat Malaysia.

Muhamad Rafini Kamaruzaman diumumkan sebagai penerima anugerah Pegawai Kadet terbaik keseluruhan manakala bagi anugerah ketenteraan terbaik disandang oleh Danial Adeeb Rozani manakala Tham Weng Hing menerima anugerah akademik terbaik (ijazah)  dan Tan Xin Cong akademik terbaik (diploma).

Anugerah disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Berkenan berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, bentuk ancaman global yang pantas berubah memerlukan setiap anggota tentera lebih peka dan sensitif terhadap perkembangan semasa.

Menurut baginda, ancaman terkini yang tradisional atau bukan tradisional termasuk dari luar negara adalah serius kerana terbukti ia merebak dengan pantas dan memberi kesan terhadap keselamatan negara.

"Ancaman-ancaman yang menjadi konflik semasa ini seperti Daesh atau IS adalah benar dan bukan rekaan. Punca konflik lain seperti bencana alam atau malapetaka, ekonomi dan kemiskinan, amalan politik tidak sihat dan campur tangan pihak asing juga boleh menjejaskan ketenteraman negara," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Sehubungan itu, baginda bertitah setiap anggota tentera termasuk Askar Wataniah harus menanam perasaan bangga menjadi sebahagian pasukan profesion mulia yang mempertahankan agama, bangsa dan negara.

PADANG BESAR - 20 November 2016, Kenduri Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama rakyat di Kampung Kok Mak/Mawa di sini memberi peluang penduduk kampung mengenali dan memahami peranan Raja serta institusi Diraja dengan lebih jelas.

Pada program julung kali diadakan itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan meluangkan masa bermesra dengan lebih 500 orang penduduk kampung itu dan menikmati santapan tengah hari bersama-sama.

Dalam titahnya, baginda mengatakan adab Melayu harus dipraktikkan dan diwarisi oleh generasi akan datang supaya identiti orang Melayu tidak terhakis dalam peredaran masa.

Program anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kok Mak/Mawa itu diadakan bersempena penutupan projek Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) UniMAP - Kajian Sempadan: Memahami Sosiobudaya Masyarakat.

Berangkat sama pada program itu ialah Raja Puan Muda Perlis merangkap Tuanku Pro Canselor UniMAP Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP bertitah orang Melayu juga tersohor dengan adab dan adat seperti adat mengadap Raja atau Sultan yang wajar dipatuhi sebagai tanda menghormati dan taat setia kepada pemimpin.

"Adab-adab lain seperti berjiran, gotong-royong di masjid, ziarah orang meninggal dunia dan melayan tetamu yang dituntut oleh Islam menjadikan orang Melayu bangsa yang mulia dan berhemah," titah baginda.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata lebih 700 penduduk Kampung Kok Mak/Mawa bertutur dalam bahasa Siam dalam kehidupan seharian, menjadikannya unik untuk dipilih oleh PKIRM bagi menjalani kajian itu.

Beliau berkata kajian sempadan itu merintis hubungan antara UniMAP dan penduduk kampung untuk mendapat kemudahan dan kepakaran UniMAP dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Perlis negeri bandar raya pada tahun 2030.

“Telah banyak program kita laksanakan untuk merapatkan hubungan antara masyarakat Perlis dan UniMAP, seperti di program kenduri kali ini kita telah bersama-sama bergotong-royong menyediakan hidangan dan bermain permainan tradisonal masyarakat Perlis.

“Saya percaya program-program seperti ini akan dapat mengeratkan hubungan yang sedia terjalin,”katanya.

Antara hidangan yang disediakan secara gotong royong adalah gulai daging bersama rebung, sayur pucuk manis dan betik muda serta ulam-ulaman.

Manakala aktiviti tradisional dan permainan yang dijalankan adalah batu seremban, congkak, pertandingan mewarna dan lain-lain lagi.


(BERNAMA)

Pengacara Bernama WebTV Azlina Sani (tengah) bergambar bersama Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan UniMAP Prof Dr Khairul Azwan Ismail (dua dari kanan) dan Ketua Pustawakan UniMAP Pn Mazmin Mat Akhir selepas sesi temubual program Up Close Bernama Web TV, baru-baru ini. KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Sejajar dengan hasrat Malaysia untuk menyerlahkan reputasi institusi pengajian tingginya (IPT) di peringkat global, satu platform bagi meningkatkan ranking dan rating IPT dilihat sebagai elemen penting.


Menerusi seminar bertaraf antarabangsa 'Persidangan dan Pameran QS-APPLE 2016' yang bakal dianjurkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), platform ini diyakini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Malaysia bagi membolehkan IPT tempatan capai kedudukan setaraf dengan barisan universiti terkemuka dunia.

Selaku rakan penganjur tunggal bagi penganjuran kali ke-12 tahun ini, UniMAP ternyata menggalas tanggungjawab yang besar bagi merealisasikan juga impiannya untuk menjadi antara 500 universiti terbaik di dunia menjelang tahun 2020.

QS-APPLE 2016 

Sungguhpun Malaysia pernah menjadi tuan rumah persidangan ini pada 2009 dengan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertindak selaku penganjur bersama, umum masih tidak mengetahui apakah sebenarnya QS-APPLE serta cerita di sebalik penganjurannya yang bermula pada 2005.


Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan UniMAP Prof Dr Khairul Azwan Ismail selepas ditemubual di dalam program Up Close Bernama Web TV, baru-baru ini.


QS-APPLE, singkatan bagi 'Asia-Pacific Professional Leaders in Education' adalah persidangan dan pameran perdana untuk golongan pendidik antarabangsa di Asia, Eropah, Amerika dan Australasia.

Setiap tahun, persidangan akan mengambil tempat di lokasi berbeza untuk memfokus kepada kekayaan dan kepelbagaian sektor pendidikan tinggi yang terdapat di rantau Asia Pasifik.

Persidangan ini bermula di Singapura, tuan rumah untuk dua tahun berturut-turut pada 2005 dan 2006, diikuti seterusnya oleh Hong Kong, Korea Selatan, Thailand, Filipina, Indonesia, Taiwan dan Australia.

Melihat kepada matlamat UniMAP untuk menjadi antara yang terbaik di dunia, Naib Canselor UniMAP Datuk Profesor Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, penyertaan Malaysia dalam persidangan ini ternyata signifikan untuk meningkatkan reputasi akademik di kalangan rakan strategik antarabangsa.

"Reputasi akademik merupakan satu daripada kriteria yang dinilai untuk penarafan QS Star mahupun QS World University Rankings.

"Justeru adalah penting juga bagi IPT di Malaysia (termasuk UniMAP) untuk terlibat dengan aktif dalam persidangan ini," katanya.

Zul Azhar menambah untuk mencapai hasrat itu, jaringan kerjasama yang jitu dengan rakan strategi universiti lain dari seluruh dunia juga penting.

"Kami (UniMAP) telah mengatur strategi yang jelas untuk bekerja sekaligus merealisasikannya.

"Dengan menjadi rakan strategik kepada sebuah badan profesional yang memfokus kepada aktiviti penarafan universiti (QS Quacquarelli Symonds), kita akan lebih mengetahui kriteria yang menjadi ukuran. Apabila dapat mendekati kumpulan universiti bertaraf antarabangsa, ini secara tidak langsung membolehkan kita mencapai hasrat itu," jelasnya.

Ia juga adalah suatu penghormatan kepada UniMAP kerana berjaya membawa persidangan antarabangsa ini ke Malaysia sekali lagi untuk membincangkan hal-hal penarafan universiti di dalam negara.

CABARAN DAN PELUANG 

Bertemakan "New Directions in Asia-Pacific Higher Education: Challenges and Opportunities", Ketua Pustakawan UniMAP merangkap Pengarah Program Jawatankuasa QS-APPLE 2016 Mazmin Mat Akhir berkata pemilihan tema kali ini menggambarkan secara keseluruhan tujuan utama penganjuran persidangan.

Menurutnya, mendepani era yang serba mencabar pada waktu ini, transformasi pendidikan menjadi antara elemen yang perlu diberikan perhatian serius.

Sebagai satu daripada universiti awam yang masih baharu, penting bagi UniMAP yang ditubuhkan pada 2001 ini serta IPT lain untuk mengetahui dan mendalami cabaran serta peluang yang boleh dimanfaatkan secara bersama.

Mengambil contoh hari ini di mana semua IPT menggalakkan kemasukan pelajar asing untuk menyambung pengajian di institusi dalam negara, penilaian dalam QS dilihat sebagai medium untuk mempromosi dan menonjolkan sesebuah IPT termasuklah dalam kalangan pelajar luar negara.

"Pada saya, ranking dan rating ini bukanlah sesuatu yang penting tetapi elemen ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja.

Mazmin menjelaskan dalam usaha mencapai matlamat itu, UniMAP tidak bersendirian kerana pihak Kementerian Pengajian Tinggi turut berganding bahu menggariskan langkah-langkah yang perlu dalam aspek penarafan dan pemeringkatan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) atau PPPMPT.

KEKAL PRESTASI, MODEL CONTOH 

Menyentuh soal rating dengan lebih lanjut UniMAP percaya untuk mengekalkan reputasi dan momentum ke arah menjadi antara universiti terbaik dunia, cabaran yang mendatang pastinya lebih besar.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan Profesor Madya Dr Khairul Azwan Ismail berkata sungguhpun demikian keadaan itu tidak mematahkan semangat UniMAP untuk terus mara mengorak langkah mencipta nama di peringkat global.

"Daripada awal penubuhan sehingga ke hari ini, apa yang kami capai adalah disebabkan cabaran dalaman dan luaran untuk kami kekal berada di kedudukan sekarang.

"Kini, apabila kita mensasarkan untuk melonjak ke tahap yang lebih tinggi, strategi untuk menjadi lebih inovatif daripada aspek pentadbiran dan penyelidikan khususnya, peluang-peluang baru yang wujud pasti akan sentiasa kami cari untuk menjadi universiti yang lebih kreatif dan kekal berdaya saing," jelasnya.

Dr Khairul Azwan menambah kata, menerusi proses 'benchmarking' dengan universiti terbaik dunia yang lain di rantau Asia Pasifik juga UniMAP turut lebih bersedia untuk merangka strategi yang sesuai dengan matlamat yang ingin dicapai menjelang 2020.

Menyasarkan kehadiran peserta daripada lebih 39 buah negara dengan seramai 350 peserta, QS-APPLE 2016 bakal berlangsung dari 22 hingga 24 Nov ini, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

-- BERNAMA 

KANGAR, 9 November - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menjadi Tuan Rumah bagi mesyuarat Council of Presidents (COP) Global U8 Consortium (GU8) yang dijadualkan berlangsung mulai 13 hingga 16 November ini.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, mesyuarat yang bakal disertai lima presiden atau wakil dari lima buah universiti ahli GU8 bertujuan membincangkan hala tuju dan kerjasama yang boleh dijalinkan menerusi konsortium tersebut.

UniMAP amat berbesar hati dengan pemilihan ini dan berharap, penglibatan kami yang merupakan satu-satunya Universiti Awam di Malaysia dalam GU8 dapat meningkatkan lagi keterlihatan UniMAP di persada antarabangsa.

“Pelbagai pengisian telah kita aturkan sepanjang mesyuarat ini berlangsung antaranya program menanam pokok di Kampus UniMAP Pauh Putra dan perkongsian ilmu melalui “Wisdom Fair” bertajuk Challanges of Global Collaboration and Exellence in Research and Education,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain UniMAP, universiti lain yang menjadi ahli ialah Xiamen University, China; University of Le Havre, Perancis; Inha University, Korea; Otto Von Guericke University Magdeburg, Jerman dan UniMAP sendiri,”katanya ketika ditemui dipejabatnya baru-baru ini.

Menurut Dato’ Zul lagi, kemuncak program adalah aktiviti berbasikal bagi melihat pemandangan negeri Perlis bersama DYTM Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Pada hari terakhir, deligasi GU8 ini akan dibawa melawat sekitar Langkawi bagi melihat keindahan disamping mempromosikan tempat perlancongan tersebut,”katanya lagi.

GU8 ditubuhkan bertujuan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalm pendidikan silang budaya menerusi pertukaran pelajar dan penggubalan satu  kurikulum standard sebagai tindak balas kepada cabaran-cabaran baharu yang diperlukan industri.