Kangar, 14 Oktober: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dinobatkan johan Pertandingan Projek Penyelidikan Inovasi Nanoteknologi (PIN)  Peringkat Kebangsaan 2016, di Technology Park Malaysia di ibu negara, baru-baru ini.

Tesis bertajuk Pembangunan Biopenderia Wayar-Nano Silikon Novel untuk Pengesanan DNA Virus Denggi yang dihasilkan Dr. Mohammad Nuzaihan Md Nor dari  Institut Kejuruteraan Nano Elektronik (INEE) berjaya menambat hati para juri sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500, trofi dan sijil .

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri, Kementerian Sains ,Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

PIN dianjurkan bersempena Program Nano Kebangsaan 2016 (NanoKEB 2016) telah berlangsung pada 10 Oktober 2016  bertujuan bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar daripada peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah yang mempunyai idea kreatif dan inovatif dalam menghasilkan penyelidikan bagi mencari penyelesaian masalah-masalah seperti Tenaga dan Alam Sekitar, Penjagaan Kesihatan dan Perubatan, Pertanian dan Makanan serta Elektronik dan Sistem.

Pertandingan itu hanya terbuka kepada pelajar-pelajar peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah yang berdaftar di institusi pengajian tinggi awam serta swasta di Malaysia.

Seramai 16 peserta kategori Doktor Falsafah dan 12 peserta kategori Sarjana telah dinilai dan terpilih untuk menyertai pertandingan tersebut.

Pauh Putra, 10 Oktober 2016 – Mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diseru agar bergiat aktif dan melibatkan diri dalam program-program yang melibatkan  kesukarelawan bagi membantu masyarakat sekeliling.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, beliau melihat budaya atau semangat kesukarelawan dikalangan mahasiswa tidak lagi tinggi seperti dulu.

“Saya berharap barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP akan dapat menerapkan budaya atau sifat kesukarelawan dikalangan golongan muda.

“Jangalah kita melakukan sesuatu perkara itu semata-mata untuk melengkapkan syarat bagi bergraduat semata-mata, kerana mahasiswa mampu untuk membantu memastikan agenda atau isu-isu semasa boleh ditangani bersama,”katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penyerahan Watikah MPP UniMAP 2016/2017 di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Dekan Pengurusan Akademik, menjalankan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rezuwan Kamaruddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Razli Ahmad.

Ujar Beliau lagi, sebagai mahasiswa, mereka boleh melakukan pelbagai perkara untuk memastikan semangat kesukarelawan dapat ditingkatkan.

“Budaya yang mahasiswa  bangunkan ini akan dapat menjadi nilai tambah dan amat membantu semasa bekerja nanti ke satu tahap yang lebih tinggi,”katanya lagi.  

Pada majlis tersebut, seramai 33 calon barisan kepimpinan Majlis Sesi 2016/2017,menerima watikah pelantikan yang terdiri daripada tujuh calon umum dan 26 calon Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK).

Sesi 2016/2017 menyaksikan pelajar PPK Pembuatan, Nurhazwani Zabidin telah dilantik sebagai Yang DiPertua MPP yang baharu manakala Muhammad Amir Hakim Razali dari PPK yang sama dilantik sebagai Timbalan Yang DiPertua MPP UniMAP

Datuk Zul Azhar juga turut menasihati semua MPP yang baharu dilantik untuk menjadi contoh positif bukan saja kepada pelajar UniMAP tetapi juga  masyarakat luar.

“MPP selaku barisan utama suara mahasiswa diseru agar mempersiapkan mental dan fizikal terutama dalam mengharungi Tahun 2017 yang agak mencabar dari segi ekonomi dan pengaruh-pengaruh luar.

“Anda hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komited dan ikhlas demi kelangsungan kepimpinan yang dinamik di peringkat UniMAP”, katanya.

KANGAR, 10 Oktober 2016 – Pasukan Automotive Racing Team Universiti Malaysia Perlis – UniART cemerlang selepas dinobatkan sebagai Johan bagi kategori Persembahan Rancangan Perniagaan di Formula SAE-ASEAN di Speedway Plus Circut, Subang Jaya,Selangor baru-baru ini.

Lebih membanggakan, pasukan UniART turut meraih Naib Johan kategori Analisis Kos serta tempat ketiga bagi kategori Rekaan Kejuruteraan sekaligus meletakkan ciptaan pasukan universiti kejuruteraan di utara itu di tempat ketiga terbaik keseluruhan dengan enam anugerah diraih.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik UniMAP, Dr Md Tasyrif Abdul Rahman yang mengetuai pasukan itu berkata, UniART turut dianugerahkan Anugerah Khas kategori Pasukan Berimpak Terbaik oleh syarikat ACCMS Warranty & Services di atas usaha dan dedikasi yang ditunjukkan oleh setiap ahli pasukan.

Katanya, ahli pasukan UniART terdiri daripada 17 pelajar yang dibahagikan kepada dua kru utama iaitu kru teknikal dan kru pengurusan yang mewakili tiga pusat pengajian di UniMAP iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan.

Antara peranan dan tugas kru ini, ujar beliau ialah membuat analisis kekuatan dan kelemahan bahagian masing-masing bagi persiapan membangunkan jentera UniART.

“Banyak cabaran perlu dilalui, justeru kami berbangga dapat meraih banyak kategori anugerah di FSAE termasuk anugerah khas yang diberikan salah satu penganjur setelah melihat semangat juang, kesungguhan dan kepantasan pasukan kami menyelesaikan masalah serta cabaran sepanjang FSAE ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, cabaran yang paling besar adalah masa kerana setiap ahli pasukan adalah pelajar yang perlu membahagikan masa mereka dengan rutin mengikuti kuliah dan pada masa yang sama perlu menyiapkan jentera sebelum ke FSAE.

“Pelbagai jenis ujian, analisis dan modifikasi bagi menyiapkan jentera ini dengan sesi latihan di Litar Go-Kart UniMAP kerana ini adalah penyertaan kali pertama UniART di FSAE.

“Walaupun kami tidak dapat menyertai salah satu acara iaitu acara dinamik semasa FSAE kerana kegagalan mekanikal, namun menjadi salah satu pasukan yang melepasi tiga kategori pemeriksaan mengikut ‘standard’ FSAE yang ketat memberi pengalaman yang sangat penuh bererti kepada kami semua,” katanya.

FSAE merupakan pertandingan rekaan yang merangkumi perniagaan dan industri automotif anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI) dengan kerjasama beberapa syarikat lain.

Pauh Putra, 8 Oktober 2016 – Masyarakat disaran menjalani ujian dan rawatan bagi mengesan jangkitan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) akibat virus HIV.

Mereka yang berisiko terutamanya, perlu mengikis perasaan malu malah boleh menjalani ujian di klinik-klinik kerajaan termasuk klinik 1 Malaysia secara percuma.

Ketua Penolong Pengarah AIDS/STI Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Rohemi  Abu Bakar berkata epidemik HIV/AIDS di negara ini telah mencatatkan tren penurunan sebanyak 50 peratus berbanding tahun 2002, namun kekal mendatar sejak 2010 hingga 204.

“Kita berjaya mencapai sasaran Millennium Development Goals (MDGs) kerajaan pada tahun 2002 iaitu untuk menurunkan sebanyak separuh kes pada 15 tahun akan datang.

"Namun masalah seks bebas menyumbang kepada penyakit HIV/AIDS menyebabkan jangkitan terus berlaku apabila penghidap malu untuk tampil menjalani ujian dan rawatan”, katanya ketika menyampaikan ceramah yang bertajuk Remaja & HIV Cabaran dan Peranan sempena Program HIV/AIDS di Dewan Keikhlasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini.

Program berkenaan dihadiri hampir 400 pelajar tahun satu UniMAP dan dirasmikan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal. Yang turut hadir Pengarah Pusat Kesihatan UniMAP, Prof. Dr Mohamad Iqbal Omar.

Sementara itu, Dr. Zul Azhar berkata, penganjuran program tersebut diharap dapat memberi maklumat yang lebih jelas kepada pelajar dan kakitangan UniMAP mengenai AIDS dan HIV agar jumlah pengidap virus ini dapat diturunkan.

“UniMAP sentiasa menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai HIV/AIDS ini terutama kepada pelajar baharu bagi mengelakkan mereka terjebak dengan salah laku yang berisiko ke arah penyakit itu.

“Taklimat dan kempen kesedaran akan diadakan dari masa ke semasa agar UniMAP sentiasa bebas HIV/AIDS sekaligus menyahut sasaran kerajaan bagi mengakhiri HIV/AIDS di negara ini pada tahun 2030,” kata beliau.

Ceramah oleh Pegawai Psikologi UniMAP Nur Aimi Muslim turut disampaikan di program anjuran Pusat Kesihatan UniMAP dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri itu.

 

Pauh Putra, 6 Oktober 2016 – Seramai tujuh daripada 16 calon umum diisytiharkan menang dalam Pengumuman Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2016/2017 Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini.

Nurhazwani Zabidin pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan, mencatat undian tertinggi iaitu 7,924 diikuti Muhammad Amir Hakim Razali dari PPK yang sama  dengan 6,395 undi.

Empat lagi calon yang memenangi konstitusi umum sesi 2016/2017 adalah Muhammad Zulfahmi Abd Halim dari PPK Bioproses (6,346 undi), Mohd Hafiz Robert dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) (5,971), Siti Nur Afiqah Abdul Azis juga dari FTK (5,825), Aida Zulaikha Akmar Harfidzi dari Pusat Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) (5,514) dan Mohamad Amir Arsyad Zainun dari FTK (5,337).

Naib Canselor UniMAP, DatoProf. Dr. ZulAzharZahid Jamal berkata, jumlah pelajar yang mengundi pada tahun ini meningkat sebanyak 8.1 peratus menjadikan jumlah 81.5 peratus berbanding 73.4 pada 2014.

“Sebanyak 11,076 pelajar atau 81.5 peratus daripada 13,590 pengundi yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing yang dijalankan secara e-voting.”

“Proses pemilihan ini dijalankan melalui proses-proses yang tertib dan mengikut lunas-lunas peraturan yang ditetapkan (TatacaraPemilihan MPP UniMAP, 2012),” katanya ketika berucap dalam Sesi Pengumuman Pemilihan MPP Sesi 2016/2017 UniMAP di sini.

Turut hadir, Timbalan NaibCanselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof. Madya Dr. MohdFo’ad Sakdan dan Dekan HEPA UniMAP, Prof. Madya Razli Ahmad.

Katanya, pembubaran MPP sesi 2015/2016 dilakukanpada 25 September 2016, diikuti dengan proses penamaan calon pada 30 September, manakala pemilihan diadakan dalamtempoh seminggu selepas itu bagi memberi peluang calon untuk berkempen.

“Saya dan pengurusan tertinggi UniMAP mengucapkan tahniah kepada yang terpilih dan berharap MPP dapat bersama pihak universiti dalam memantapkan agenda universiti, “ katanya.