PADANG BESAR, 28 Feb (Bernama) -- Rakyat di negeri ini disaran agar merebut peluang menggunakan kemudahan yang ditawarkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), kata Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam Perlis, Jafperi Othman.

Beliau berkata UCTC bermatlamat untuk merakyatkan ilmu dan mengoptimumkan prasarana fizikal yang ada di pusat pengajian tinggi untuk dikongsikan bersama masyarakat setempat terutama di Padang Besar dan kawasan sekitar.

"Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, masyarakat khususnya golongan belia perlu bijak mengambil peluang ini bagi melengkapkan diri dalam menghadapi persaingan di sektor pekerjaan mahupun pendidikan.

"Dengan wujudnya pusat sehenti ini, sudah pasti ianya akan memberi kemudahan kepada mereka dan orang ramai untuk mengakses kemudahan yang ditawarkan di UniMAP seperti latihan perniagaan, sukan, kursus jangka pendek dan lain-lain untuk membangunkan komuniti yang lebih inovatif," katanya semasa merasmikan Karnival UCTC dan Pusat Transformasi Komuniti (CTC) Perlis di Kampus Uniciti Alam UniMAP di sini, Ahad.

Turut hadir Penasihat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin yang juga mantan Naib Canselor UniMAP, Timbalan Pengarah Kanan (Pemantauan) Unit Strategi Nasional (NSU) Kementerian Kewangan Syed Nasir Syed Ahmad dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Perlis Fadzir Kamarudin.

Jafperi berkata konsep UCTC juga membenarkan penggunaan prasarana universiti oleh komuniti dan penyelidikan pembelajaran sepanjang hayat.

Sementara itu, pemangku Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata UCTC UniMAP diluluskan penubuhannya pada Mac 2013 menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menyalurkan kepakaran dan khidmat sosial kepada komuniti sekitar.

"Dengan wujudnya pusat sehenti ini, UniMAP dapat mengadakan hubungan yang baik dengan komuniti setempat di samping program sukarelawan bagi membantu komuniti dalam pembangunan masyarakat.

"UCTC UniMAP turut menjalinkan hubungan dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mini di Kampung Bongor Kudong, Kok Klang dan Felcra Lubuk Sireh bagi memudahkan urusan orang ramai mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu turut mengadakan aktiviti seperti pasar melayu, kenduri rakyat, pertandingan karaoke, pertandingan mewarna, pameran usahawan, pameran kepakaran UniMAP serta perkhidmatan 'Mobile' CTC oleh Kementerian Kewangan.

-- BERNAMA