Khidmat Masyarakat : UniMAP – PSU Santuni Masyarakat Songkla – Hatyai

ARAU – Atas rasa keprihatinan yang tinggi untuk membantu masyarakat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Kelab Gyrosociety (GYROS) dan Kelab Staf Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan bekerjasama dengan Prince of Songkhla University (PSU) menyantuni masyarakat di Songkla dan Hatyai baru-baru ini.

Program selama empat hari ini disertai seramai 14 orang pelajar dan empat orang staf PPK Pembuatan, dua pelajar dari Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) dan seorang pelajar PPK Alam Sekitar.
Menurut Ketua Program Khidmat Masyarakat dan Pendidikan UniMAP dan PSU, Nur Mohd Aliff Nasiruddin yang merupakan mantan Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP 2016/2017, program ini merangkumi aktiviti di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Gelandangan Chanwirote di Hatyai dan aktiviti gotong-royong di Kampung Tha Kham Songkhla.

“Di samping mengeratkan hubungan dua hala antara universiti, kami juga berpeluang beramah mesra dengan masyarakat setempat melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

“Kami sempat membuat aktiviti sukaneka di pusat aktiviti kanak-kanak tersebut dan mereka kelihatan sangat gembira menerima kunjungan kami.

“Malah kami juga kesempatan memberi sumbangan wang bagi pembelian buku-buku untuk diletakkan di sudut bacaan pusat perlindungan kanak-kanak tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, mereka juga sangat berbesar hati apabila berpeluang membantu penduduk kampung membaikpulih sistem pengairan sawah padi dan membersihkan kawasan persekitaran kampung.
“Lebih bermakna apabila penduduk kampung tersebut menyediakan masakan mereka bagi meraikan usaha kami membantu mereka,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kekangan dalam melaksanakan program ini, beliau lantas menjawab kesukaran mendapatkan dana menjadi cabaran terbesar mereka tetapi dengan adanya penajaan, sumbangan peribadi dan yuran ahli, program ini berjaya direalisasikan.

Ujar beliau lagi, selepas beberapa program khidmat masyarakat yang diadakan seperti di Kemboja (2018), Program Bakti 2.0 di Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka, Perlis (April 2019), beliau berharap program seperti ini dapat diteruskan bagi membuka minda pelajar untuk lebih bermasyarakat dan tidak tertumpu dalam dunia universiti semata-mata.