Program Diploma Kejuruteraan UniMAP Mendapat Pensijilan Penuh MQA

ARAU – Semua enam program pengajian diploma kejuruteraan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah lulus dan mendapat pensijilan penuh enam (6) tahun Akreditasi dari Kelayakan Malaysia (MQA) baru-baru ini.

Program pengajian tersebut adalah Diploma Kejuruteraan Mekatronik; Diploma Kejuruteraan Elektrik; Diploma Kejuruteraan Metalurgi; Diploma Kejuruteraan Komputer; Diploma Kejuruteraan Pembuatan; dan Diploma Kejuruteraan Mikroelektronik.

Dekan Pusat Pengajian Diploma (PPD) UniMAP, Prof. Madya Dr. Hakimah Osman berkata, pengiktirafan ini membuktikan bahawa silibus program pengajian diploma UniMAP menepati kriteria yang ditetapkan oleh MQA.

“Pensijilan penuh akreditasi yang dikeluarkan melalui Laporan Panel Penilai MQA menunjukkan kandungan program adalah ditahap yang cemerlang.
“Mungkin terdapat sedikit kekurangan yang memerlukan penambahbaikan tetapi ia (kekurangan) adalah sangat minima dan tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran pelajar,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya, antara kriteria yang dinilai adalah Matlamat dan Objektif Program; Hasil Pembelajaran; Rekabentuk dan Penyampaian Kurikulum; Penilaian Pelajar; Staf Akademik; Sumber pendidikan; Pemantauan dan Semakan Program; Kepemimpinan, Governan dan Pentadbiran; dan Penambahbaikan Kualiti Berkesan.

“Ia adalah keputusan yang dijangkakan kerana kami telah melakukan persediaan rapi mengikut keperluan yang ditetapkan MQA.
“Kami berharap PPD akan lebih berdaya saing hingga ke peringkat antarabangsa di mana peluang kemasukan dibuka kepada pelajar luar Negara,” katanya.