Prof. Dr. R. Badlishah Dilantik Naib Canselor UniMAP

Kangar - Mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia (UniMAP) yang baharu  menggantikan Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal yang tamat tempoh pelantikan pada 14 Mei 2019.

Pelantikan R. Badlisah, 49, adalah ibarat sireh pulang ke gagang memandangkan beliau merupakan antara tenaga kerja pertama yang menyertai UniMAP di awal penubuhannya iaitu sebagai Dekan Pusat  Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan.

R. Badlishah yang juga merupakan Naib Canselor ketiga UniMAP semenjak penubuhan universiti itu dilantik untuk tempoh tiga tahun mulai 15 Mei 2019 sehingga 14 Mei 2022.

Pelantikan beliau adalah menerusi surat daripada Menteri Pendidikan, Dr. Maslee Malik, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 12 (1) Perlembagaan Universiti Malaysia Perlis.

Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin berkata, beliau percaya dengan kelayakan cemerlang dan pengalaman luas R.Badlishah dalam bidang kejuruteraan dan pentadbiran universiti sebelum ini akan dapat memacu kegemilangan UniMAP ke tahap yang lebih tinggi.

"UniMAP berbangga kerana dapat terus melahirkan generasi pemimpin yang berwibawa seperti beliau dan adalah menjadi harapan universiti agar beliau dapat menggunakan semua kepakaran yang dimiliki untuk mentadbir UniMAP.

‘Pada masa sama, pihak kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepadaZul Azhar yang banyak menyumbang kepada kejayaan UniMAP terutama apabila UniMAP memperolehi penarafan Quacquarelli Symonds (QS) - Lima Bintang bagi Audit QS Stars untuk tempoh 2019-2021.

“Selain itu, UniMAP juga disenaraikan dalam 500 universiti terbaik menerusi QS World University Ranking by Subject bagi bidang Kejuruteraan dan Teknologi 2017,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Zul Azhar turut mengucapkan tahniah kepada R. Badlishah dan menyeru semua warga kerja UniMAP untuk terus memberi sokongan serta kerjasama terbaik kepada Naib Canselor yang baharu bagi memastikan kecemerlangan yang berterusan buat universiti.

“Sebagai individu yang menjadi kelompok pentadbiran awal di UniMAP, saya merasakan adalah tidak sukar bagi beliau untuk meneruskan legasi pentadbiran di universiti ini dan pastinya akan menerima kerjasama yang baik dari seluruh warga universiti.

“Saya juga yakin, dengan latar belakang beliau dalam bidang Kejuruteraan Komputer akan memberi manfaat besar terhadap Pelan Strategik UniMAP 2025 yang sebahagian besarnya adalah berteraskan teknologi dan rangkaian komputer,” katanya.

INFO:

- Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad

- Asal Kajang, Selangor

- Pengalaman:

  • Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sultan Zainal Abidin
  • Professor dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Komputer dan Perhubungan UniMAP
  • Pensyarah di Universiti Sains Malaysia

- Akademik:

  • PhD dan M.Sc in Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik di University of Strathclyde
  • Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik di University of Glasgow
  • Diploma Kejuruteraan Elektrik (Perhubungan) di Universiti Teknologi Malaysia