Produk Eco Geopipe Raih Emas di EUROINVENT di Romania

Kangar, 19 Mei - Penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya membawa pulang satu pingat emas, satu pingat perak dan anugerah Khas sempena Europian Exhibition of Creativity &  Innovation EUROINVENT 2018 di Iasi Romania.

Produk Eco-Geopipe iaitu Novel Kaca Bertetulang Epoksi (GRE) diisi pengisi-geo yang menawarkan bahan-bahan geopolimer yang boleh diperbaharui adalah hasil kajian Dr Muhammad Firdaus Abu Hashim meraih pingat emas serta Anugerah Khas NIRD URBAN-INCERC Romania.

Dr Muhammad Firdaus berkata pendorong kepada hasil ciptaan itu adalah kerana paip - paip GRE sedia ada pada masa kini mempunyai beberapa masalah seperti isu kepada beban mekanikal yang tinggi selain kestabilan paip GRE yang mungkin sensitif terhadap kerosakan terutama ketika dikendalikan.

Katanya, bentuk bahan paip yang baru diisi dengan bahan geopolimer mempunyai ciri-ciri seperti simen yang mencadangkan beberapa faedah ekonomi, ketahanan, sifat mekanik yang baik, penyerapan air kurang dan rintangan api serta haba yang tinggi.

"Pendek kata novel GRE ini memenuhi bahan-bahan geopolimer sebagai pengisi disediakan untuk memenuhi kehendak yang diinginkan dan mengurangkan masalah sedia ada," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain novel GRE, satu lagi produk iaitu GeoGrout ciptaan Prof Madya Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berjaya meraih pingat perak.

Produk itu merupakan bahan pembaikan konkrit berasaskan geopolimer dengan menggunakan konsep Do It Yourself (DIY) serta menggunakan teknologi maju geopolimer dengan bahan yang lebih hijau bagi mengatasi pelbagai masalah dan kerosakan konkrit itu sendiri.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP Prof Ir Dr R. Badlishah Ahmad melahirkan rasa bangga di atas kejayaan penyelidik-penyelidik UniMAP yang tidak pernah pulang tanpa tangan kosong di pameran bertaraf antarabangsa seperti EUROINVENT.

Katanya, ini jelas membuktikan produk dan kajian penyelidik UniMAP  berimpak tinggi sehingga mampu menarik perhatian juri sekaligus meraih kejayaan.

"Kejayaan ini bukan sahaja menyumbang kepada imej yang positif kepada UniMAP tetapi membawa inspirasi untuk setiap penyelidikan dapat dimanfaatkan kepada masyarakat pada masa akan datang," kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

EUROINVENT 2018 yang berlangsung sejak 16 Mei itu melibatkan 639 penyertaan dengan 281 produk antarabangsa dan 358 produk daripada Romania.

Antara 35 negara yang turut bersaing di pameran itu ialah Amerika Syarikat, Kanada, Bosnia, Hong Kong, Iraq, China, Taiwan, Russia dan banyak lagi.