Menghafal Pi - Tiga Pelajar Sekolah Perlis, 10 Terbaik Dunia

ARAU, 6 Mei – Tiga pelajar dari sekolah menengah di negeri ini bakal tersenarai dalam 10 terbaik dunia bagi ranking hafalan Square-Root 2 ( ) setelah berjaya melakukan hafalan terbanyak pada Pi Memorization Competition Perlis 2019 atau Pertandingan Menghafal Pi Perlis 2019 di sini, baru-baru ini. 

Pelajar tersebut Ija Husna Ruslan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin dinobatkan sebagai pemenang terbaik keseluruhan kategori Square-Root 2 ( ) sekaligus menduduki tempat kelima dunia selepas berjaya menghafal 2,502 digit.

Tempat kedua pula dimiliki oleh Nurzal Effiyana Mohd Rahidi dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra (SMSTSP) dengan hafalan 1,040 digit.
Manakala pelajar dari SMK Perlis, Vincent Chong Qi Zhi pula menduduki tempat ketiga selepas berjaya menghafal 898 digit.

Mereka masing-masing membawa pulang RM 300.00, RM 200.00, RM 100.00 beserta trofi, hamper dan sijil penyertaan.
Menurut Timbalan Naib CanselorTemp files Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dr. Rezuwan Kamaruddin, bagi penganjuran kali kedua ini seramai 743 peserta dari 38 buah sekolah di Perlis telah menyertai pertandingan ini yang terbuka kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri Perlis.

“Ini menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan kerana pada penganjuran pertama tahun lepas hanya seramai 361 peserta dari 19 buah sekolah menengah di negeri Perlis yang menyertai program ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Penyampaian Hadiah pertandingan tersebut.

Tambahnya, menghafal digit Pi mungkin sesuatu yang asing di Perlis dan Malaysia amnya kerana masyarakat telah memberikan pelbagai persepsi mengenai menghafal digit Pi ini.
“Namun hasilnya, kini seramai 328 rakyat Malaysia telah tersenarai dalam Pi World Ranking List dengan dengan 323 darinya adalah pelajar sekolah Perlis.
“Malah, program tahun 2018 juga mencatatkan hafalan tertinggi oleh pelajar dari SMK Tuanku Lailatul Shahreen (Seha Jin Hong) dengan hafalan sebanyak 753 digit Pi dalam tempoh 10 minit,” katanya.
Selain kategori Square-Root 2 ( ), terdapat lagi tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Pi Memorization Competition; Exponent-e Memorization Competition; dan 100 digits Pi Challenge.

Bagi kategori Pi Memorization Competition dimenangi oleh Auni Humayraa Aswazir dari Sekolah Kebangsaan (SK) Oran dengan digit hafazal sebanyak 543 sekaligus melayakkan beliau dinobatkan dalam Pi Rekod Malaysia bawah 12 tahun.

Manakala Exponent-e Memorization Competition dimenangi pelajar tingkat empat dari SMK Tuanku Lailatul Shahreen iaitu Teoh Kar Keat dengan hafalan 1002 digit seterusnya menduduki tempat ke 13 tertinggi dunia dalam Exponent-World Ranking List.

Kategori 100 digits Pi Challenge pula dimenangi oleh Chuah Bee Tian dari SMK Derma yang berjaya menjawab soalan sehingga Tahap 6 dari Tahap 7.
Berkenan berangkat hadir pada majlis tersebut adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP.
Turut berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Pro Canselor UniMAP.