Staf UniMAP Juara “Mens Graded” Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia

Kangar, 6 Mei - Pegawai Kebudayaan Kanan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) Mohd. Zul Fauzi Mohamed Sawal, mencuri tumpuan dengan muncul juara kategori “Mens Graded” pada Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia Ke-40 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes.

Mohd. Zul Fauzi yang merupakan atlit boling UniMAP menumpaskan lebih 500 peserta dari seluruh dunia dengan 1679 jatuhan pin sekaligus mengatasi Muhammad Azri Azni di tempat kedua dengan 1611 jatuhan pin dan Mat Salleh Jalani di tempat ketiga dengan 1606 jatuhan pin.

“Ini merupakan kejayaan yang cukup bermakna buat saya selepas beberapa siri kejohanan yang tidak memberansangkan. Semoga dengan kejayaan ini akan membuka lebih banyak peluang dan kejayaan buat saya.

“Dalam permainan yang sepenuhnya bergantung kepada kemampuan mengurangkan kesalahan memang agak membebankan apatah lagi ia turut disertai oleh pemain-pemain dari luar negara, namun konsistensi yang dicapai akhirnya membuahkan hasil,” ujarnya.

Hasil kemenangan, Mohd. Zul Fauzi menerima hadiah wang tunai RM15,000 dan trofi. Selain Mohd. Zul Fauzi, seorang lagi staf UniMAP, Nurakmal Ramli yang turut menyertai kategori sama dan berjaya menduduki tempat ke-33.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kejohanan tersebut secara tidak langsung merupakan platform pemanas badan buat kedua-dua pemain tersebut yang bakal mewakilil UniMAP ke Kejohanan Sukan Badan Berkanun yang dijadualkan berlangsung di Shah Alam Julai ini.

“Mohd. Zul Fauzi dan Nurakmal kedua-duanya merupakan antara pemain harapan UniMAP untuk mengekalkan pingat emas yang telah diraih dalam kejohanan edisi sebelum ini,”ujar beliau.