UniMAP – UUM Sedia Bantu Pasukan Sepaktakraw Malaysia

PAUH, 8 Jan – Keinginan untuk merangkul kejuaraan di Sukan Sea 2019 dalam acara sukan sepak takraw telah menarik kunjungan delegasi Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang diketuai Presidennya Datuk Seri Ahmad Ismail ke negeri Perlis bagi mengadakan pertemuan bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus induknya di sini, semalam.

Turut bersama-sama mereka adalah delegasi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh pensyarah kanan dari Fakulti Pengajian Antarabangsa yang juga dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) PSM, Dr. Che Mohd Aziz Yaakob hadir bagi membincangkan pelan strategik Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) sukan sepak takraw di Malaysia secara amnya dan pasukan Sepak Takraw Malaysia khasnya.

Menurut Datuk Seri Ahmad, beliau inginkan satu kajian menyeluruh dilaksanakan bagi menambahbaik prestasi pemain melalui teknologi yang boleh ditawarkan oleh UniMAP dan UUM.

“Peruntukan R&D bagi sukan sepaktakraw sudah wujud sejak enam tahun lalu namun tidak dimanfaatkan berikutan kurangnya kepakaran sekaligus gagal meningkatkan prestasi pemain ke tahap yang kita harapkan.

“Antara teknologi yang boleh dibangunkan adalah mesin pelancar bola yang berperanan untuk menggantikan khidmat manusia semasa sesi latihan pemain,” katanya.

Beliau menambah, pembangunan teknologi harus disegerakan untuk membantu para pemain membuat persediaan awal bagi menghadapi Sukan Sea 2019 yang bakal berlangsung November ini.

“Oleh itu, peruntukan bagi R&D sukan sepaktakraw harus dikekalkan untuk dimanfaatkan para pemain kerana dari segi kemahiran, mereka (para pemain) masih lagi di tahap membanggakan tetapi kelemahan dari segi mental dan fizikal mereka yang perlu dititikberatkan,” katanya.

Dalam pada itu Pengarah Pusat Sukan UniMAP, Tuan Haji Suhizaz Sudin yang juga merupakan ahli jawatankuasa R&D PSM berkata, kolaborasi beberapa orang penyelidik dari UniMAP dan UUM adalah satu langkah yang bijak bagi merealisasikan hasrat PSM.

“Kita akan mengkaji secara terperinci dari segenap aspek seperti koordinasi pemain, postur tubuh, jangkaan (anticipation) pemain dan pelbagai lagi bagi mendapatkan hasil menyeluruh yang memenuhi kehendak PSM.

“Namun ia akan mengambil masa. Oleh itu, sebagai persediaan pemain bagi menghadapi musuh tradisi dari Thailand pada temasya Sukan Sea 2019, kita akan memberi fokus mengikut keutamaan dan akan ditambahbaik dari semasa ke semasa,” katanya.

Bagi jurulatih skuad kebangsaan, Mohd Helmi Ismail, beliau mengharapkan teknologi untuk memperbaiki teknik pemain secara konsisten sekaligus boleh digunapakai oleh semua pemain mengikut kesesuaian fizikal dan mental mereka.

“Faktor seperti ketinggian, kelenturan tubuh, kemahiran, emosi dan sebagainya adalah saling berhubungkait dan kita perlukan satu penyelidikan yang boleh disesuaikan dengan kondisi mereka.

“Kita mempunyai model pemain yang mempamerkan permainan yang terbaik tetapi cara untuk mengaplikasikan corak pemain ini kepada pemain lain itulah yang masih belum boleh dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya lagi, apa yang penting kelebihan tubuh pemain yang lebih fleksibel memudahkan jurulatih untuk membentuk corak permainan mereka di samping mengurangkan sebarang bentuk kecederaan.

Sementara itu, Ketua Prestasi Sukan Cawangan Prestasi Tinggi, Institut Sukan Negara (ISN), Muhammad Fawwas Jamal berkata pihaknya menyokong penuh pelan strategik sukan sepaktakraw dan mengalu-alukan penggunaan sebarang bentuk fasiliti di ISN untuk pembangunan sukan tersebut.

“Para penyelidk boleh menggunakan semua kemudahan yang ada di ISN seperti biomekanik dan kamera 3D bagi tujuan penyelidikan untuk meningkatkan prestasi pemain,” katanya.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PSM Yang Berhormat (YB) Senator Datuk Haji Abidullah Haji Salleh; Bendahari PSM Datuk Abdul Jalil Ariffin; Pengurus Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Kejuruteraan Sukan UniMAP, Prof Madya Mazelan Abd Hamid, dan pegawai-pegawai dari ISN.

UniMAP – UUM Sedia Bantu Pasukan Sepaktakraw Malaysia