Firdaus ‘Hulk’ Malaysia Johan Brunei Strongest Man and Women 2019

ARAU, 28 Mac – Biarpun baharu pulih dari kecederaan lutut, Mohammad Firdaus Jamen atau Hulk Malaysia membuktikan kekuatannya sukar digugat apabila muncul johan Brunei StrongestMan And Women 2019 yang berlangsung di Harun's Gym, Stadium Hassanal Bolkiah baru-baru ini. Beliau berjaya membawa pulang pingat, wang tunai RM 3000 dan sijil penyertaan menewaskan empat peserta lain bagi kategori Terbuka Lelaki.

Mohammad Firdaus, 25, yang baharu 10 bulan menjalani pembedahan lutut setelah putus patellar tendon tampil bergaya memenangi enam dari tujuh rutin yang ditetapkan oleh penganjur.

Beliau yang juga kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, kesemua peserta perlu melalui tujuh rutin dan satu rutin khas bagi melengkapkan pertandingan ini.

“Saya berjaya memenangi rutin menterbalikkan tayar seberat 450 kilogram sebanyak lima kali dengan catatan masa terpantas; membawa lari beban di bahu seberat 280 kilogram juga dengan catatan masa terpantas; mengangkat beban melepasi kepala seberat 90 kilogram dengan ulangan terbanyak dalam masa 60 saat (menang dengan tujuh ulangan).

“Malah, saya juga berjaya mengangkat batu seberat 100 kilogram ke bahu dengan ulangan terbanyak dalam masa 90 saat (mendapat tempat 3 dengan 1 ulangan) dan satu rutin khas iaitu mengangkat batu sungai seberat 110 kilogram ke bahu di mana hanya saya seorang sahaja yang mampu mengangkat batu tersebut,” katanya.

Katanya lagi, beliau turut memenangi rutin mengangkat beban seberat 180 kilogram dengan ulangan terbanyak dalam masa 60 saat (menang dengan 15 ulangan); menarik lori 2 tan sejauh 15 meter dengan menggunakan tangan sahaja (menang dengan jarak terjauh); mengangkat kereta Ford Ranger dengan ulangan terbanyak dalam masa 60 saat (menang dengan 10 ulangan).“Sememangnya Brunei StrongestMan And Women 2019 mencabar mental fizikal kami kerana terdapat tiga rutin terbaharu dan majoriti atlet masih belum pernah mencubanya.

“Sekiranya kurang persediaan, atlet tersebut berkemungkinan akan gagal melepasi rutin yang ditetapkan,” katanya.

Selain kategori Terbuka Lelaki, terdapat dua (2) kategori lain yang dipertandingkan iaitu Remaja Lelaki bawah 21 (Men's Youth Under 21); dan Terbuka Wanita (Women's Open) dengan 16 penyertaan keseluruhan.

Muhammad Firdaus juga dijangka akan menyertai Kejohanan World Natural Strongestman 2019 di Budapest, Hungary pada Mei 2019 yang bakal disertai oleh 26 buah Negara.

Firdaus ‘Hulk’ Malaysia Johan Brunei Strongest Man and Women 2019

Firdaus ‘Hulk’ Malaysia Johan Brunei Strongest Man and Women 2019

Firdaus ‘Hulk’ Malaysia Johan Brunei Strongest Man and Women 2019

Firdaus ‘Hulk’ Malaysia Johan Brunei Strongest Man and Women 2019