UniMAP Sumbang Panel Solar

Segamat, 25 Mac - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melaksanakan misi tanggungjawab sosiaal universiti (USR) dengan menyumbangkan panel solar bagi menerangi kawasan gelanggang futsal di Kampung Kudung, Bekok dekat sini.

Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, antara lainnya sumbangan tersebut turut bertujuan mendidik masyarakat tentang teknologi tenaga boleh diperbaharui melalui sumber matahari.

Ujar beliau, menerusi program yang dianjurkan itu penduduk turut di beri penerangan tentang proses simpanan tenaga dan pengecasan bateri melalui teknologi solar.

Jelasnya, teknologi merupakan sesuatu yang bersifat teknikal, namun apabila melibatkan komuniti kita seharusnya menggunakan pendekatan yang lebih mudah difahami dan ini sangat penting dalam mewujudkan masyarakat yang celik teknologi.

“Atas dasar itu, kesemua 40 pelajar kejuruteraan UniMAP yang terlibat dengan misi ini telah diminta untuk menerapkan perkongsian ilmu teknologi kepada masyarakat orang asli dari suku kaum Jakun yang merupakan majoriti penduduk di kampung berkenaan.

“Hasilnya, kita dapat melihat keterujaan penduduk yang mana mereka turut mengharapkan agar teknologi tersebut dapat diaplikasikan ke seluruh kampung,” ujar beliau. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Papan Solar kepada Ketua Penduduk, Tok Batin Kassim di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor HEPA UniMAP; Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan, Pengarah Pusat Sukan UniMAP; Suhizaz Sudin dan Pengetua Kolej Kediaman Bumita; Dr. Hirwan Jasbir Jaafar.

Program yang berlangsung selama empat hari itu dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) Majlis Penghuni Kolej Kediaman Bumita serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Sepanjang program, para peserta yang dibahagikan kepada keluarga angkat masing-masing turut menjayakan aktiviti USR lainnya seperti gotong-royong memasak, motivasi pelajar, mempelajari teknik survival di hutan dan sungai selain mengenali adat resam serta budaya tempatan.

Zul Azhar berkata, UniMAP turur mengambil peluang menyampaikan sumbangan pribadi kepada empat buah keluarga yang terdiri daripada warga emas, saudara baharu dan orang kelainan upaya.

Jelas beliau, meskipun ia merupakan kunjungan kali pertama UniMAP ke kampung berkenaan, namun penduduk setempat telah memberikan sambutan yang luar biasa termasuk menyediakan menu makanan tradisi masyarakat orang asli.

“Saya percaya para peserta telah melalui satu proses yang menyeronokkan apabila turut berpeluang merasai pelbagai menu masakan hanya berasaskan satu sumber makanan iaitu ubi kayu.

 “Insya Allah program sebegini akan diteruskan lagi di masa akan datang dan UniMAP pasti akan membawa teknologi baharu pula untuk diperkenalkan kepada penduduk,” ujarnya lagi.

UniMAP Sumbang Panel Solar

UniMAP Sumbang Panel Solar

UniMAP Sumbang Panel Solar