Rezeki Berganda Buat Nur Dinie

KANGAR, 13 Mac – Ibarat tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu buat Nur Dinie Zubir, graduan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) apabila ditawarkan pekerjaan sejurus dinobatkan penerima anugerah bagi Program C – Drive anjuran Syarikat Continental Automotive Compenants Malaysia Sdn. Bhd., baru-baru ini.

Beliau yang dinobatkan penerima Anugerah Projek Terbaik (Pingat Emas) dan Anugerah Kecemerlangan (Pingat Emas) merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Rekabentuk Rangkaian Elektronik), Fakulti Teknologi Kejuruteran (FTK) UniMAP ditawarkan jawatan Junior Software Engineer di syarikat tersebut yang beroperasi di Pulau Pinang.

Nur Dinie ketika dihubungi menyifatkan ia adalah rezeki berganda buatnya yang sama sekali tidak menyangka akan ditawarkan pekerjaan dan memenangi anugerah pada masa sama.

“Seakan mimpi menjadi nyata dan mungkin ini adalah ‘rezeki terpijak’ buat saya apabila ditawarkan pekerjaan di syarikat multinasional selepas bergraduat Oktober 2018 lalu.

“Saya beruntung kerana di UniMAP sendiri telah menekankan konsep hands-on atau praktikal sebelum berpeluang menjalani latihan industri (LI) di syarikat berkenaan dan kini diambil bekerja di situ.

“Pengalaman berada di sini sejak Januari hingga Jun 2018 (untuk LI) dan Julai hingga Disember 2018 untuk Program C – Drive benar-benar mengajar saya selok-belok bidang automotif ini,” katanya.

Selain pekerjaan dan anugerah yang diraih, beliau turut membawa pulang RM2000 bagi setiap kategori yang dimenanginya.

Selain Nur Dinie, terdapat 14 graduan lain dari pelbagai universiti antaranya Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah disenaraipendek selepas melalui beberapa tapisan.

Sementara itu, Jawatankuasa Jaringan Industri dan Kebolehpasaran Graduan FTK UniMAP, Ts. Mohamad Rizal Abdul Rejab memaklumkan bahawa UniMAP telah menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) selama lima tahun bersama syarikat berkenaan sejak Mac 2018.

“Jaringan hubungan yang baik antara UniMAP dan Continental telah memudahkan pertukaran kepakaran dari segi sumber manusia, penyelidikan dan sebagainya.

“Malah data kebolehpasaran pekerjaan graduan UniMAP 2018 juga menunjukkan seramai enam graduan kita telah diterima bekerja di syarikat tersebut.

“Saya yakin teknik pengajaran dan pembelajaran secara praktikal membantu pelajar UniMAP dalam pelbagai kemahiran seperti pengaturcaraan, perisian, rangkaian komputer, system integrasi dan lain-lain lagi yang memudahkan mereka diterima masuk ke industri selepas bergraduat,” katanya.

 

Pesara 2019

Pesara 2019