Penyelidik UniMAP Terima Anugerah Fellowship Kepimpinan Penyelidikan Endeavour Australia 2019

KANGAR, 12 Mac – Penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files), Prof. Madya Dr. Ong Hui Lin terpilih sebagai penerima Anugerah Fellowship Kepimpinan Penyelidikan Endeavour Australia Cheung Kong Research 2019.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, penganugerahan tersebut membolehkan Dr. Ong menjalani program sangkutan jangka pendek di Deakin University, Geelong, Australia bagi membolehkan belliau menjalankan kerja-kerja penyelidikan.

Menurut beliau, anugerah yang diilhamkan oleh Jabatan Pendidikan dan Latihan Australia dengan kerjasama Cheung Kong Infrastructure (Holdings) Limited itu bertujuan untuk menggalakkan pertukaran ilmu antara penyelidik dan pelajar dari Australia dan negara Asia lainnya.

“Saya dimaklumkan, Dr. Ong merupakan seorang daripada enam penyelidik yang dipilih bagi mengikuti program unik sebegini tahun ini. Kejayaan ini secara tidak langsung membuktikan keterlihatan UniMAP dalam aspek penyelidikan di peringkat antarabangsa.

“Sesungguhnya, sebagai sebuah universiti yang mendokong aspirasi pendidikan negara, UniMAP cuba untuk berubah daripada sebuah pusat penyampaian ilmu semata-mata kepada sebuah institusi yang pelbagai termasuk perkongsian hasil penyelidikan bersama pihak ketiga, dan kejayaan ini membuktikan UniMAP kini berada di landasan yang tepat,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Zul Azhar, sepanjang tahun 2018 yang lalu, hampir 30 staf akademik UniMAP telah mengikuti program sangkutan di beberapa institusi luar negara antaranya di Prague, Taiwan, Jepun, United Kingdom, Greece, Poland, Hungary, Korea dan Perancis.

Dalam pada itu, Dr. Ong yang juga bekas penerima pertama dari UniMAP bagi Anugerah Fellowship Untuk Wanita dalam Sains dari L’Oreal Malaysia menyifatkan kejayaan itu bukanlah kejayaan individu sebaliknya kejayaan untuk organisasi secara keseluruhannya.

“Saya amat berterima kasih kepada Naib Canselor yang sentiasa memberi ruang dan peluang untuk kami warga UniMAP amnya dan penyelidik khasnya menjalankan penyelidikan tanpa sebarang sekatan dan pada masa sama mengembangkan rangkaian kerjasama kami dengan pihak luar.

“Hal ini penting kerana, dalam bidang penyelidikan, rangkaian hubungan dengan institusi terkenal di luar negara akan meningkatkan reputasi penyelidikan yang dijalankan sekaligus menyerlahkan keterlihatan institusi dalam aspek penyelidikan dan inovasi,” ujarnya.

Penyelidik Terima Anugerah Australia