UniMAP Jalin Kerjasama Dengan MDC Dalam Penyelidikan Konkrit

Kangar, 20 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAPTemp files) menandatangani surat hasrat (Letter of Intent-LOI) dengan Macro Dimension Concrete (MDC) Sdn Bhd bagi memenuhi keperluan industri dalam penyediaan konkrit, semalam.

Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata UniMAP menerusi Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) dan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Bahan menjalinkan kerjasama dengan MDC bagi membangunkan penyelidikan saintifik dalam bidang berkenaan.

Ujarnya, perbincangan berkenaan telah dimulakan sejak beberapa bulan lalu bersama pusat kecemerlangan itu sebelum LOI ditandatangani semalam.

“Selain itu, antara objektif LOI ini adalah bagi memantapkan kewangan luaran, institusi atau jabatan untuk menjalankan aktiviti penyelidikan antara kedua-dua pihak di samping mobiliti kakitangan dan pelajar UniMAP,”  kata beliau ketika majlis menandatangani LOI itu.

Majlis menandatangani LOI berkenaan berlangsung di Pejabat Naib Canselor dengan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin, Timbalan Naib Canselor  Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan, Pengarah Pusat Kerjasama Industri & Kerajaan Tempatan (CIGC) UniMAP Dr Shafriza Nisha Basah, Pengurus CEGeoGTech Prof Madya Dr Mohd Mustafa Albakri Abdullah, dan Dekan PPK Bahan Dr Mohd Firdaus Omar.

Pada majlis itu, UniMAP diwakili Dr Zul Azhar manakala MDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mr Leow Khang Heng.

Tambah Dr Zul Azhar, MDC juga bersetuju untuk memperuntukkan biasiswa kepada pelajar UniMAP di samping penempatan latihan industri serta memperkasa akademi MDC.

“Lebih menarik Akademi MDC turut menawarkan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bertepatan dengan teras UniMAP dalam bidang kejuruteraan,” kata beliau.

MDC telah diperbadankan pada 10 Mac 1997 di Jitra, Kedah Darul Aman bermula dengan membekalkan konkrit siap pakai bagi projek pembinaan kerajaan dan swasta. Kini MDC melakar nama sebagai pengeluar dan pembekal konkrit siap pakai yang boleh dipercayai dalam sektor pembinaan serta meluaskan liputannya ke Lembah Klang dan kawasan timur (Kuantan).

LoI UniMAP - MDC

LoI UniMAP - MDC

LoI UniMAP - MDC

LoI UniMAP - MDC