UniMAP Bakal Tawarkan Lapan Program Akademik di TIBA University Egypt

Kangar, 12 Februari – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menawarkan lapan program akademik di TIBA University , sebuah universiti baharu di bawah naungan Thebes Integrated Institute, Egypt.

Penawaran berkenaan diputuskan hasil daripada perbincangan delegasi UniMAP diketuai Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dengan Presiden universiti berkenaan, Prof Seddik Afifi sempena lawatan akademik UniMAP ke TIBA University bermula 10 hingga 14 Februari ini.

Dr Zul Azhar berkata sempena lawatan itu juga satu perjanjian persefahaman antara kedua-dua pihak turut ditandatangani di samping melawat tapak kampus TIBA University.

Katanya, program kerjasama ini adalah sangat penting dan memberi impak yang tinggi kepada UniMAP, sejajar dengan saranan Menteri Pendidikan dalam mengantarabangsakan program-program universiti di Malaysia.

“Kerjasama ini adalah bertepatan sekali dan dapat mengembangkan nama UniMAP di persada antarabangsa. Pihak UniMAP akan memberi sepenuh komitmen untuk memastikan usaha ini menempa kejayaan besar di kedua-dua belah pihak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Rezuwan Kamarudin, Timbalan Presiden TIBA University Prof Ahmed Siddik, Dekan Pengurusan Akademik UniMAP, Prof Madya Ir Dr Anuar Mat Safar, dan Dekan Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) UniMAP Dr Tunku Salha Tunku Ahmad.

Ujar Dr Zul Azhar, hubungan kerjasama UniMAP dan Thebes Integrated Institute, Egypt yang mempelopori bidang pendidikan tinggi swasta di Egypt telah bermula sejak tahun 2015 malah pada 2017, salah sebuah universiti milik Thebes Intergrated Institute iaitu Nahda University di Beni Suef, Egypt telah menghantar 12 orang pelajar ke UniMAP bagi mengikuti program mobiliti selama dua minggu. 

“Seterusnya, pada Disember 2017, lima orang pensyarah kanan UniMAP telah dilantik oleh Nahda Universiti sebagai pensyarah pelawat dan berjaya melaksanakan tugas pengajaran di universiti itu selama tiga minggu.

Susulan itu, kesinambungan kerjasama antara UniMAP dan Thebes Intergrated Institute diteruskan dengan beberapa siri perbincangan untuk melaksanakan kerjasama akademik melalui penawaran program akademik UniMAP di TIBA University pula,” katanya.

Sementara itu, Prof Seddik berkata pihaknya berbesar hati dengan kerjasama yang terjalin di antara UniMAP dan menyatakan rasa kagum dengan sistem pendidikan tinggi di Malaysia sekaligus berharap kemajuan dan penambahbaikan dalam pendidikan di Mesir menerusi kerjasama itu.

“Kerjasama ini dapat memberi banyak peluang kepada rakyat Malaysia dan Mesir sendiri dalam pelbagai aspek khususnya aspek pendidikan tinggi dan kami ingin belajar daripada pengalaman Malaysia.

“Kami turut menaruh harapan yang tinggi agar dapat mencapai kejayaan yang lebih besar di masa akan datang tambahan, dapat mengukuhkan hubungan yang terjalin menerusi perjanjian yang ditandatangani, hari ini,” katanya.

Dalam persetujuan tersebut, pihak TIBA University bakal menyediakan kemudahan infrastruktur, fasiliti dan tenaga pengajar manakala pihak UniMAP menyediakan semua perkara berkaitan dengan akademik, kurikulum, jaminan kualiti dan sijil pengijazahan.

Lapan program yang bakal ditawarkan ialah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik, Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer, Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan Kejuruteraan), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Kejuruteraan), Sarjana Sains (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (Penyelidikan)

Dalam persetujuan tersebut, pihak TIBA University menyediakan kemudahan infrastruktur, fasiliti dan tenaga pengajar manakala pihak UniMAP menyediakan semua perkara berkaitan dengan akademik, kurikulum, jaminan kualiti dan sijil pengijazahan.

lapan program akademik di TIBA University

lapan program akademik di TIBA University